32
TOK LAT MENJADI SULTAN
Dalam suatu perjalanan pulang ke rumah dari tempat bekerja pada suatu cuti hujung minggu, aku tiba-tiba teringin untuk singgah di rumah Tok Lat terlebih dahulu.Bila sampai sahaja di kawasan perumahan Tanah Hitam Lama, aku lantas membelok untuk singgah di rumahnya. Sejak berpindah kerja di tempat baru, sudah agak jarang aku mengunjungi Tok Lat.Cuma pada hujung-hujung minggu sahaja.Itupun kadang-kadang sahaja kerana ada pula waktunya aku ke Tanah Merah mengunjungi Tok Ayah Sohor.
Setelah meletakkan kereta, aku berjalan kaki ke rumah Tok Lat.Bila sampai, pintu memang sudah sedia terbuka. Aku agak terkejut, apabila mendapati ruang tamu yang kecil itu telah penuh sesak dengan ramai tetamu, tetapi tidak seorang pun yang aku kenali.
`Ooo Cikgu’, Tok Lat menyapa bila melihat aku berdiri di muka pintu memberi salam.
`Masuk Cikgu! Masuk!’, Tok Lat seperti selalunya bersifat ramah-tamah dan mesra denganku.
Aku lantas masuk. Aku bersalam-salaman dengan tetamu yang tidak aku kenali itu. Kemudian lantas memberikan sembah salam kepada Tok Lat.
`Kenal?’, Tok Lat bertanyaku.
Aku menggeleng-geleng. Lelaki yang bersila di hadapan Tok Lat, tersenyum memandangku.Di sebelahnya adalah isterinya. Ada tiga orang lelaki lagi bersamanya. Aku menjangkakan lelaki yang bersila di sisi Tok Lat itulah yang menjadi ketua rombongan kerana dia kelihatan lebih kemas, berwibawa dan ada ketokohan. Tok Lat lantas memperkenalkan aku kepada mereka. Bila menyedari aku bekerja di tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka, lelaki itu mula menunjukkan sikap yang lebih mesra denganku. Bila saling cuba mengenali antara satu sama lain secara sepintas lalu, dengan merujuk nama orang-orang rertentu – nama-nama besar yang ada sekarang dan pada zaman dahulu, seakan-akan kami ada pula pertalian darah.
Anjang nama lelaki yang nampak hebat itu. Anjang, oleh kemesraan dan ada unsur pertalian darah denganku, dan lebih-lebih pula oleh faktor Tok Lat yang akrab denganku, tiba-tiba mempelawa aku ke rumahnya.
`Bawa tok sekali’, pesannya dengan nada kesungguhan. Aku memandang Tok Lat bagaikan meminta jawapan.
`Boleh, Cikgu! Boleh!’, Tok Lat memberikan kesanggupan.
`Kalau boleh datang musim sekarang, elok sangatlah’, Anjang berkata lagi.
`Kenapa?’
`Musim buah-buahan’
`Buah durian banyak?’, Tok Lat tiba-tiba tertarik.
`Banyak! Datanglah. Durian, langsat, dokong dan rambutan’
`Ha! Elok, Cikgu.Tok suka durian’, Tok Lat bernada gembira.
Aku gembira dengan keceriaan Tok Lat itu dan kesediaannya untuk bersamaku berkunjung ke rumah Anjang – saat yang sentiasa aku nanti-nantikan selama ini, lalu aku cuba mengesan di mana Anjang tinggal. Dia memberikan lokasinya dan apabila jelas semuanya, aku memberi kesanggupan untuk berkunjung ke rumahnya bersama Tok Lat apabila tiba masanya nanti.
Setelah selesai saat-saat perkenalan rengkas itu, lalu mereka menyambung perbualan yang tadinya tergendala.Aku berdiam diri sahaja sambil mendengar kerana tidak tahu hujung pangkalnya. Yang dibicarakan adalah mengenai orang-orang zaman terdahulu, tempat-tempat yang aku tidak pasti di mana dan bagaimana orang-orang berkenaan muncul beberapa kali di sana-sini. Aku kurang faham dan tidak dapat menghubungkan jalan ceritanya. Tapi nama Moyang ada disebut. Begitu juga Dato Bahaman, Mat Kilau, Pawang Nong dan lain-lain.
`Pada tahun 1960an dahulu, tok’, Anjang berkata seterusnya.`Saya teringat pernah pergi ke suatu tempat jauh di dalam hutan di belakang Gambang’
Tok Lat nampaknya mendengar dengan teliti. Semua orang nampaknya seperti tadi juga, sentiasa bertumpu kepada Anjang yang sejak sedari tadi, dialah yang banyak bersuara, banyak bertanya, menjawab dan menerangkan. Dialah selama ini yang aku dapati berbicara dengan Tok Lat sedangkan yang lain-lainnya hanya duduk diam, memerhati dengan hormat, penuh kesopanan.
`Kalau tak silap saya, tok’, Anjang meneruskan bicaranya.`Tempat tersebut letaknya di lereng bukit’.
`Cari siapa?’
`Ada seorang orang tua di situ’, Anjang menjawab pertanyaan Tok Lat itu.`Orang tua yang saya kunjungi itu, tinggal bersama isterinya di sebuah pondok kecil dan di hadapannya ada paya.Kalau tak silap di keliling pondoknya itu ada kebun ubi dan pisang’.
Anjang berhenti sebentar. Wajah Tok Lat direnungnya.
`Siapa orang tua itu, tok?’
`Awak pergi buat apa?’, Tok Lat tiba-tiba bertanya pula. Soalan Anjang tidak dijawabnya.
`Orang tua itu boleh berubat, tok.Jadi pergi berubatlah, bawa orang yang sakit itu’, Anjang menjawab.
`Awak pergi berdua sahaja, bukan?’
`Ha! Betullah!’, dan Anjang nampak sedikit tergamam.
`Siapa orang tua itu, tok?’, sekali lagi Anjang mendesak.
Tok Lat tersenyum.
`Toklah itu’, Tok Lat menjawab.`Tok!’, Tok Lat mengulangi menegaskan lagi.
`Tok?’, Anjang semakin terkejut. Rakan-rakannya terkejut juga. Bagaikan terbelalak mata mereka.
`Lama tok tinggal di situ. Dekat sepuluh tahun’,Tok Lat melanjutkan.
Tok Lat kemudiannya menerangkan bahawa dia duduk di berbagai-bagai tempat lain lagi di Negeri Pahang selepas berpindah dari Gambang.
Anjang nampak kian tergamam dengan berita itu. Dia begitu kaget mengenai jarak masa sejak 1960an sehingga sekarang.Ertinya sudah beberapa puluh tahun! Rakan-rakan Anjang yang baru pertama kali bertemu Tok Lat, nampak bagaikan terhairan-hairan. Bagaikan tidak berkelip-kelip mata mereka memandang Tok Lat. Tapi aku sendiri tidaklah terkejut kerana sudah mengetahui kesah-kesah Tok Lat sebelum ini yang tinggal di merata-rata tempat di Negeri Pahang. Misalnya di Triang, di Mempelas dekat Tasik Cini, di Jengka, di Merchong dan lain-lain.Tapi kesah Tok Lat pernah tinggal di dalam hutan dekat Gambang baharu sekaranglah aku tahu.
Aku percaya Anjang barangkali tidak tahu, Tok Lat berasal dari daerah Raub, iaitu dari Cheroh. Tok Lat mendakwa tanah tempat tinggal ayahnya masih dapat ditunjukkan tempatnya. Dalam satu trip bersama Tok Ayah Sohor untuk mengesan tanah tersebut, bilamana Bakar membawa mereka, Tok Ayah Sohor mendapati tanah tersebut sangatlah baik kerana memiliki kawasan berbukit dan ada beberapa buah gua.Tok Ayah Sohor menyatakan betapa sukanya dia kalau dapat memiliki kembali kawasan tersebut untuk tujuan-tujuan kerohanian kerana ada banyak gua di sana. Tetapi disebabkan tanah tersebut telah menjadi kawasan perkampungan dan ada pula sebuah surau kecil yang baharu dibina, mereka berdua tidak sampai hati untuk mengambil kembali tanah tersebut yang menurut dakwaan mereka, pada geran asal masih tercatat nama Tengku Husin, ayah mereka. Aku tidak dapat memastikan kebenaran dakwaan tersebut iaitu benarkah pada geran besar di Pejabat Tanah dan Daerah Raub ada catatan demikian.
Ayah Tok Lat mengembara kembali ke utara Tanah Melayu untuk menjejak warisan kerana dari warisan utaralah dia berasal. Bermula daripada Bendahara di Petani pada kurun-kurun yang lalu. Anak-anak Bendahara ini mengembara, meneroka dan membuka wilayah dan petempatan baru di beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu dan ada yang sampai ke Pahang. Di Pahang keturunan ini membuka beberapa wilayah seperti di Jelai, Berchang, Dong, Tea, Pedah, Jengka, Bera, Chenor dan sebagainya.
Ayah Tok Lat iaitu Wan Hussin kembali ke utara. Dalam satu sayembara untuk mencari siapa yang boleh menjadi Harimau Berantai kepada sultan Kedah, ayah Tok Lat dapat menewaskan semua jagoan yang lain oleh kehebatan ilmu tempurnya. Bila dia dapat bergaul dengan kalangan istana, ayah Tok Lat berjaya memikat puteri sultan dan akhirya berkahwin dengan puteri tersebut. Tok Lat telah menceritakan kepadaku dia tidak selesa berada dalam suasana istana yang penuh protokol dan kemewahan, dan oleh kerana itu dia keluar meninggalkan istana, kembali semula ke Pahang.
Tok Lat pernah mempelawaku ke Kedah untuk mengesan jejak sejarahnya pada zaman Sultan Abdul Hamid. Dia menceritakan kepadaku mengenai keajaiban Balai Nobat yang menyimpan banyak khazanah purba dan rahsia. Dia mempelawaku melawat Muzium Negeri Kedah, untuk meneliti kenangannya pada zaman yang lalu. Di Muzium Kedah Tok Lat mencadangkan aku duduk sebentar di atas kerusi tempat bersemayam Sultan Abdul Hamid yang masyhur dengan kebesaran daulatnya, seperti pernah dibuat oleh Bakar untuk merasai sesuatu keajaiban. Tok Lat juga mempelawaku mengenali Kampung Naga kerana di sanalah zaman kanak-kanaknya bermula.
Atas dorongan Tok Lat tersebut, aku sekeluarga telah pergi ke Kedah pada satu cuti Hari Raya.Kami tinggal di Pendang, di rumah anak saudara Tok Lat selama beberapa malam.Malangnya aku gagal untuk mengalami pengalaman duduk di singgahsana di Muzium Kedah kerana pada ketika itu muzium sedang dibaikpulih. Di Kedah, Tok Lat membawa kami pergi ke beberapa lokasi, menunjukkan beberapa kawasan yang pada masa dahulu dakwanya adalah miliknya, kawasan tanah di beberapa tempat yang luasnya beratus-ratus ekar yang nilainya bukan lagi beratus juta, bahkan berbilion Ringgit Malaysia. Tanah-tanah tersebut sedang dalam proses untuk dimiliki kembali dan usaha ke arah tersebut sedang dilakukan oleh Wan Mat Nor.Tok Lat tidak bermaksud untuk membolot kekayaannya, tetapi akan menghadiahkan beberapa bahagian tanah tersebut kepada beberapa teman rapatnya termasuklah aku sendiri juga. Jadi kami – rakan-rakan rapat Tok Lat, perlu membantunya dari segi kewangan untuk pelbagai urusan dengan Pejabat Tanah.
Pada hari terakhir, kami anak beranak kemudiannya dibawa ke suatu perkampungan yang ramai juga dihuni oleh orang-orang Siam. Aku sudah lupa nama tempatnya. Mungkin Kampung Siam namanya. Kami dijamu dengan lauk yang dihebahkan sebagai kegemaran Raja Bersiung, yang resepinya kini cuma diketahui oleh emak kepada Wan Mat Nor seorang sahaja. Memang menyelerakan. Aku tidak dapat pastikan kesahihan maklmat itu.
Sewaktu asyek meneliti salasilah keturunan Wan yang terletak di atas meja, Wan Mat Nor tiba-tiba berkata kepadaku.
`Nanti saya akan letakkan nama Cikgu di situ’.
Aku tercengang mendengar janjinya itu. Tapi aku tidak pula bertanya apa-apa. Tapi Wan Mat Nor sebelum itu telah berjaya menjadikan aku kagum padanya, sebagai seorang yang memiliki keistimewaan. Dia mendakwa pernah dijemput ke istana Sultan Kelantan kerana ada masalah gangguan persis saka. Dia berjaya memulihkannya. Demikian juga di istana lama Sultan Perak sehingga apabila dia melangkah ke ruang istana, tiba-tiba sahaja berjatuhan beberapa perhiasan di dinding istana.Ini menggambarkan kebesaran titisannya – sebagai titisan yang masih tulin, walaupun tidak menjadi orang istana! Dia juga mendakwa mempunyai hubungan yang rapat dengan Pak Lah.Mereka menjadi akrab atas sebab titisan Wan. Pak Lah didakwanya telah beberapa kali pernah berkunjung ke rumahnya.Demikian hebatnya tokoh yang bernama Wan Mat Nor ini.
Tibalah saat untuk Anjang dan rombonganya beredar. Tampillah seorang anak muda yang merupakan orang yang paling muda dalam rombongan tersebut. Bila dia mendekati Tok Lat untuk bersalaman, dengan tidak disangka-sangka dia membuka pencak. Aku yang duduk betul-betul di sisinya menjadi tergamam juga. Sambil duduk itu tubuhnya menjadi bergetaran dan tangannya tiba-tiba menjadi tegang. Keluar urat-urat lengannya. Kulit mukanya tiba-tiba berubah menjadi kering dan berkilat sambil matanya menjadi merah dan berair. Dia mendesis-desis sambil memencak itu. Aku yang sangat hampir di sisinya memerhati sambil berawas juga. Aku kehairanan kenapa tiba-tiba dia jadi begitu. Tok Lat kelihatan tenang sahaja sambil tersenyum. Anak muda itu perlahan-lahan merapati Tok Lat dalam langkah pencaknya dan setelah beberapa saat berlalu, akhirnya dia menghulurkan kedua-dua belah tangannya bersalaman dengan Tok Lat. Baharulah aku tahu, bahawa tariannya itu tadi adalah tarian langkah sembah.Bagaikan langkah sembah kepada seorang sultan atau raja sehari dalam majlis persandingan.
Tok Lat lalu menepuk-nepuk dan mengusap-ngusap kepalanya. Selesai Tok Lat mengusap kepalanya, baharulah anak muda tersebut menjadi normal kembali. Tapi berair matanya selepas tarian langkah sembah itu. Aku mulanya menyangka, cuma dia seorang sahaja yang akan mengalami demikian. Rupa-rupanya berlaku kepada setiap orang dalam rombongan itu kecuali Anjang. Cuma Anjang sahaja yang boleh bersalaman seperti biasa.
`Saya dapat kawal diri’, Anjang memberitahuku.`Kalau saya tak boleh tahan, saya pun akan jadi begitu juga’.
Bila mereka telah beredar, aku cuba mendapatkan penjelasan dari Tok Lat kenapa terjadi peristiwa aneh tadi.
`Mereka titisan tok’
Aku terkebil-kebil.Titisan darahkah? Dan wajahku menggambarkan kehairanan.
`Titisan ilmu’, Tok Lat menjelaskan bagaikan tahu apa yang sedang bergolak di hati.
`Nampak mereka cukup hormat kepada tok?’,
Tok Lat tersenyum.
`Begitulah Cikgu.Ilmu dari tok’
`Macam menyembah sultan, tok’
`Begitulah, Cikgu’
Rupa-rupaya Tok Lat adalah sultan.Memperjelaskan kepadaku satu keyakinan bahawa Tok Lat pada hakekatnya memang Tengku Syafie yang kalau dia tidak lari dari kalangan istana pada zaman yang lalu, dia mungkin sudah pasti ditabalkan pada suatu masa dahulu!
Begitulah kesimpulanku.
Walau bagaimanapun, lawatan ke Kedah sebenarnya banyak memberikan ruang untukku berfikir,membuat penilaian dan mengajarku untuk berhati-hati bagi perjalanan seterusnya bersama Tok Lat.Gambaran yang hebat dan indah muluk yang digambarkan olehnya sebelum ini mengenai sejarah dan kebenaran kesahnya sebagai titisan raja, dan Wan Mat Nor yang menjadi orang harapannya, menjadi sebab untuk aku perlu berwaspada mengenai apakah erti semuanya ini ? Itulah satu-satunya peluang berjalanan bersama Tok Lat yang amat aku nanti-nantikan selama ini, tetapi aku begitu kecewa kerana tidak ada apa-apa. Aku korbankan kemeriahan hari raya untuk tidak ada apa-apa! Mindaku mula diusik kecelaruan! Apakah aku berada dalam trek yang betul atau sekadar satu permainan? Siapakah Tok Lat sebenarnya?
Namun aku masih perlu banyak bersabar – tunggu dan lihat sambil berhati-hati, kerana penghujung perjalanan telah pun hampir, kerana aku tahu di mana penghujungnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan