tapi aku hidup kembali,
MATI TAREKAT JASAD SENGSARA,
MATI HAKIKAT TUBUH SEMPURNA,
MATI MAKRIFAT ZAHIR KEMBALI.
`Ada empat jenis kematian’, dia meneruskan bicara. Bicaranya sejak lebih satu jam yang lalu. Jam kini telah melebihi 11.30 malam.
` Pertama ialah mati syariat, kedua mati tarekat dan kemudiannya mati makrifat dan mati hakekat’,
Aku, isteriku dan dia berada di ruang tamu rumahnya. Tadi suasana di ruang tamu agak riuh juga. Tapi kini tidak lagi. Semua anak-anaknya – telah besar panjang semuanya – yang tadinya ada bersama di ruang tamu telah tidur di ruang atas. Isterinya yang tadinya hadir bersama bersimbang dengan kami, juga telah tidur. Yang tinggal sekarang ialah kami bertiga, termasuk isteriku. Kami suami isteri sejak sebulan yang lalu hampir setiap hujung minggu mendengar curahan juadah Tasauf darinya - mengenal diri mengenal Tuhan.
`Mati syariat dan terekat ialah mati yang busuk. Tubuh orang syariat dan tarekat akan hancur dimamah bumi. Orang yang mati pada martabat syariat tidak dapat mengelakkan dari pertanyaan Munkar dan Nangkir serta siksaan kubur. Tubuhnya akan diapit bumi. Kalau digali kuburnya, kita akan jumpa tulangnya berserakan dan tulang rusuknya berselisih – tulang rusuk kanan di kiri, tulang rusuk kiri ke kanan. Itu tandanya diapit bumi’, dia menyambung bicara.
Aku bersama isteri mendengar dengan kusyuk. Guru ketuhanan yang telah aku mencarinya sejak sekian lama, baru kini kutemui. Setelah begitu teliti dan berhati-hati mencari guru yang dapat membimbingku ke jalan Tuhan, inilah orangnya. Tidak syak lagi kerana beberapa keistimewaan yang dimilikinya.
`Mati tarekat?’, isteriku tiba-tiba bertanya.
`Mati tarekat tidaklah seteruk mati syariat’, dia menjawab dengan segera. `Tulang tidaklah berserakan. Elok dalam susunannya. Tidaklah kaki lepas ke kepala, kepala lepas ke kaki, seperti mati syariat. Tapi dia juga tidak terlepas dari siksaan kubur. Cuma tidaklah seteruk siksaan kubur bagi orang-orang yang mati syariat’
Dia berhenti berbicara sebentar sambil meneguk kopi o yang telah pun sejuk untuk membasahi tekaknya. Dia tentu telah terasa kering tekaknya kerana telah berbicara sejak lebih dari satu jam yang lalu.
`Kita, kalau boleh tak mahu mati dalam syariat dan tarikat’, dia meneruskan.`Kalau boleh, kita biarlah mati dalam martabat hakikat dan makrifat’
`Apa keistimewaan mati martabat hakikat?’, aku pantas bertanya.
Dia tersenyum.
`Kalau boleh kita tak mahu badan kita ini hancur. Kalau boleh biarlah kita bangkit di Yaumil Mahsyar nanti dengan tubuh ini juga. Itulah keistimewaan orang yang mati pada martabat hakikat. Mati pula dengan tubuh yang harum’.
Aku mengangguk sambil meresapi huraiannya. Maklumat ini pernah aku dengar sebelum ini. Sewaktu lepas tamat SPM dan belum lagi bekerja – menganggurlah katakan - aku acapkali, bahkan hampir saban malam pergi ke rumah Cikgu Abdul, guru agamaku di sekolah rendah yang telah pencen dan menetap di kampung. Aku ke rumahnya kerana dia adalah orang yang terkenal berilmu dan dia pula membuka maklumat buatku untuk `mengenal diri’, di samping belajar juga syarat menjadi seorang lelaki perkasa supaya tidak wewenang dipermainkan oleh orang-orang yang bersifat durjana.Untuk jadi lelaki sejatilah kononnya.
Cikgu Abdul adalah pongkar ilmu, demikian jolokan dari Tok Aki Bakar untuknya bila Cikgu Abdul berkahwin dengan cucunya yang aku panggil Long Zalma, kakak sepupuku. Bila berkahwin dengan Long Zalma sebagai isteri keduanya, Tok Aki Bakar dapat mengenali Cikgu Abdul dengan lebih rapat lagi. Dari situlah dia dapat tahu Cikgu Abdul banyak memiliki ilmu-ilmu dunia – ilmu kehebatan warisan pahlawan silam. Tok Aki Bakar cukup bangga bermenantukan Cikgu Abdul, sebab itulah Long Zalma yang baru saja berusia 14 tahun dijodohkan dengan segala senang hati dengan Cikgu Abdul yang pada ketika itu telah melebihi 40 tahun.
`Sewaktu pembinaan jalan dari Semambau ke Belukar Resetali dahulu’, dia menyambung bicaranya.` Laluan terpaksa melalui sebuah kawasan perkuburan. Puas juruukur mencari laluan lain, tapi nampaknya terpaksa juga melalui sebahagian tanah kubur di Belukar Resetali itu. Maka terpaksalah kerja-kerja menggali kubur dilakukan. Apa yang mengejutkan ada satu kubur yang mayatnya tidak rosak. Tak cacat pun. Mayatnya bagaikan orang yang sedang tidur lena...’
`Lelaki atau perempuan?`, aku mencelah
`Lelaki’, dia menjawab pantas.`Hah! Itulah orang syariat tak percaaya. Itulah buktinya! Itulah mati hakikat!’
`Tahu siapa dia?’, aku bertanya.
`Kubur lama! Orang dah tak berapa ingat. Warisnya pun sudah tak dapat dikesan.Tapi sumber yang masih sahih, mengatakaan dia seorang alim...guru Quran’
`Rasa-rasa macam pernah saja mendengar berita begitu. Pernah tersiar dalam surat khabar tak?’, isteriku mencelah.
`Memang!’
’Bila ya?’
`Sekitar 70 an. Gempar semua orang....’
Suasana antara kami diam sejurus. Aku mengambil peluang meneguk kopi o. Dia pun sama. Dan selepas itu menyalakan sepuntung Salem.Aku membiarkan dia menikmati candu asapnya dengan sedutan yang dalam. Sepanjang perbualan malam ini dia telah menghabiskan rasaku tidak kurang dari lima batang Salem. Dia seorang perokok yang boleh tahan juga.
Isteriku memang kurang selesa dengan asap rokok, tetapi terpaksalah menghadapi realitinya kerana al maklumlah, kami adalah tetamu. Beruntungnya kipas siling berputar pantas. Tidaklah asapnya menyiksakan isteriku. Aku yang memang sudah biasa dengan lelaki yang merokok tidak menghadapi apa-apa masalah.Lagipun dulu aku seorang perokok juga. Tapi aku berhenti menjadi perokok. Salah satu sebabnya ialah kerana isteriku tidak suka lelaki merokok. Busuk katanya. Itulah janjiku padanya sewaktu mula memikat hatinya dulu dan aku mengakuri janjiku itu.
`Mati tingkat tertinggi ialah mati makrifat’, dia meneruskan bicaranya. `Mati pada peringkat ini bukan sahaja tubuh berbau harum, tetapi tubuhnya terus saja ghaib’
`Ghaib?’
`Sebaik-baik sahaja tujuh langkah kuburnya ditinggalkan, dia terus ghaib’
`Maknanya kalau digali kuburnya, tubuhnya telah tiada?’
`Ya! Kosong saja’
`Kosong? Bagaimana?’, aku sangat terkejut. Ini adalah informasi baru dan amat menakjubkan.
`Inilah mati martabat tertinggi yang menjadi idaman ahli Tasauf. Bukan sahaja tubuh tidak hancur, tetapi tubuh itu langsung ghaib.Lama kelamaan kuburnya pun akan hilang begitu sahaja, tanpa bekas’
`Batu nesan?’
`Hilang! Tenggelam!`
`Kuburnya hilang tanpa bekas dan dia ghaib’, aku sedikit tergamam sambil membisik perlahan, mengulangi maklumat yang amat berat untuk dipercayai itu.
`Tapi ghaib ke mana?’
`Dia orang besar’, dia menjawab segera.`Orang besar akhirat. Ilmunya tinggi. Dia diperlukan.Oleh kerana itu dia dipilih dan diperintahkan akan zahir kembali untuk menjalankan tugas. Inilah perintah Rasulullah’
`Jadi dia hidup balik?’
`Ya! Hidup balik’
`Untuk apa?’
`Menjalankan amanah Rasulullah’
`Bagaimana....? Tentulah orang akan terkejut. Anak isteri, teman-teman....bertemu dengannya kembali...’
`Dia tidak zahir di tempat asalnya’, dia bernada pantas dan tegas.`Dia akan zahir di tempat yang orang tidak akan mengenalinya lagi.Namanya pun berubah. Dia memakai nama lain. Kalau dulu dia bernama misalnya nama saya, Malim, besok bila zahir, dia tak akan pakai nama Malim lagi.Mungkin dia akan tukar kepada nama Jusuh ke. Tok Jusuh ke....’
Aku bersama isteri terkebil-kebil dan sedikit terlopong mendengar maklumat yang sedikitpun tidak terlintas di dalam fikiran itu.
`Macam Mat Kilau kah?’, aku cuba megaitkan maklumat itu dengan kesah pahlawan Mat Kilau yang masyhur mengenai misteri kematiannya.
`Mat Kilau salah seorang darinya. Tengok...berapa nama dia pakai? Di Pulau Tawar namanya Mat Kilau. Di Mambang, Mat Dadu. Di Aur, Mat Dahan. Bila dia ditembak oleh orang putih, lalu dikuburkan, tapi esoknya orang dapati kuburnya berlubang. Bila digali didapati kosong sahaja. Tidak ada mayatnya. Yang ada cuma batang pisang. Dia ghaib. Alih-alih pada tahun 1970 dulu muncul di Batu Lima’.
`Tapi dia dah mati kan?’
`Sebab dia mengistiharkan dirinya’, dia menjawab pantas.` Itu pantang besar. Bila istiharkan diri, memperkenalkan dirinya, menjadi tawarlah ilmu...’
’Maksudnya’
`Dia tak boleh zahir lagi’
Aku mengangguk seakan-akan faham.
`Berapa kali boleh mengulangi kematian?’
`Tujuh kali sahaja.Selepas itu tamatlah tugasnya. Bila tamat, ada orang lain pula yang akan mengganti tugasnya’
Jam menunjukkan hampir pukul 12.30 tengah malam. Isteriku untuk kesekian kalinya mencuit-cuit kakiku memberi isyarat saat untuk pulang telah melepasi janji kami pada waktu bertolak tadi, supaya tidak melebihi 12.00 malam. Aku sebenarnya masih belum puas lagi. Terlalu banyak rahsia rohani dan misteri Tasauf yang mahu kuselongkar dari orang hebat yang berilmu luas ini.
`Adakah ada orang seperti itu di kawasan kita ini?’
`Ha! Itulah masalahnya’, dia bernada kesal.`Memang dah lama saya mencari, tapi payah nak kenal. Mungkin dah jumpa, tapi tak kenal. Orang macam ini, dia tak mahu mengaku. Tak boleh mengaku pun. Cuma kita sendiri sahajalah yang perlu bijak untuk menyelongar dan mencungkil rahsianya.Itupun kena cekap mengemukakan pertanyaan.Bukan tiba-tiba saja terus bertanya, `betulkah tok ini dulunya ialah Tok Guru Peramu’, misalnya. Tak boleh tanya begitu. Dia tak akan mengaku. Kita kenalah, mula-mulanya membuka kesah orang dulu-dulu. Bagaimana pahlawan-pahlawan zaman dahulu berperang. Bagaimana kesah itu, kesah ini.Masa di Jeram Landak atau di Lubuk Terua misalnya, biar dia ceritakan. Dari ceritanyalah baru kita dapat mengesan atau membuat andaian, dia mungkin orang tua lama, mungkin Dato Bahaman atau Tok Gajah atau sesiapa saja orang-orang masyhur pada zaman silam. Lain kali kita datang lagi. Berbual lagi. Akhirnya kita dapatlah simpulkan siapakah sebenarnya dia’
’Bagaimana kita nak bezakan samada seseorang itu orang tua lama yang bangkit kembali atau orang tua biasa sahaja?’
Dia tersenyum.
`Orang jenis ini biasanya berjalan sendirian’, dia menjawab dalam senyuman. `Biasanya ada sebiji beg galas atau apa-apa beg yang lusuh bersamanya iaitu beg pakaiannya. Dia akan berhenti di masjid-masjid atau di surau-surau. Kalau ada sesiapa menyapanya dan mempelawanya ke rumah dia akan ikut dan tinggal sebagai tetamu untuk beberapa ketika. Kalau tak ada sesiapa menghiraukannya, dia akan terus berkelana ke sana ke sini. Dia akan sentiasa bermusafir...’
’Makan-minumnya dan tempat tinggal?’
`Ada! Bahkan ada yang beranak-beristeri’
`Abang Malim’, aku terus tertarik untuk bertanya mengorek mistri yang masih terpendam.`Oleh kerana orang-orang tua seperti itu adalah orang-orang lama, orang tersohor sebagai wali Allah atau wali pahlawan, bolehkah kita menuntut ilmu dari mereka?’.
`Memanglah! Itulah istimewanya kalau dapat bertemu’.
Tepat jam 12.41 minit malam kami suami isteri meninggalkan rumahnya dengan janjian akan datang lagi di lain masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan