10 Julai 2009

(4)

QURAN CACAT

Inilah kali pertama setelah kami dikurniakan empat orang anak, aku duduk berdua-duaan bersama isteri di pantai laut. Anak-anak sengaja kami tinggalkan di rumah kerana memerlukan masa sembang yang tenang. Aku mengambil kesempatan untuk mengaplikasikan ilmu serta menganalisis dan mensentesis. Kitab tulisan tangan Tok Ayah Tan menginspirasikan aku untuk berada di pinggir laut melihat AIR. Kami duduk di atas batu hampar di suatu tebing tinggi yang berbatu batan di hujung tanjung pinggir Bukit Lindungan, sambil mengadap laut.

Kami tidak berbicara buat beberapa jenak. Hanya asyek melihat ombak memukul batu-batan di tebing bawah. Alunan ombak yang menghempaskan diri ke tebing berbatu dan percikan airnya yang bertaboran memberikan pandangan yang mengasyekkan. Kadang-kadang percikannya yang halus bak mutiara berkilauan, menerpa juga kepada kami yang berada di tebing. Bunyi deburan hempasan ombak ke batu-batan diikuti bunyi kocakan limpahan air ke celah-celah batu di bahagian hujung bawah amat menghiburkan. Kami menikmati muzik alam ciptaan Allah itu buat beberapa jurus. Semakin lama dihayati jiwa kami menjadi semakin syahdu rupanya.

`Hakikat wujud’, aku membisik sendirian, membuka bicara setelah lebih lima belas minit berlalu tanpa suara.

`Hakikat wujud adalah Esa. Esa Zat! Esa Zat boleh dibandingkan dengan hakikat air. Demikian tulisan Tok Ayah Tan’, aku melanjutkan.

Isteriku diam saja. Macam tak mengendahkan.Tapi aku tahu dia mendengar.

`Bila pandang ke laut seperti kita lakukan sekarang, hilanglah air. Yang nampak ialah laut. Demikian menurut kitab Tok Ayah’, aku berkata seterusnya.

`Na faham?’, aku bertanya bila isteriku masih belum memberikan apa-apa reaksi.

`Apa yang kelihatan bagi abang?’, isteriku bertanya pula. Adakah dia bertanya kerana tak faham atau mendugaku, aku tak pasti.

’Yang kelihatan ialah laut dan ombak’, aku melanjutkan.

`Ada lagi!’

`Apa dia?’

`Laut, ombak, gelombang, alun, arus dan buih’, jawabnya.

`Jadi?’

Isteriku merenungku dengan senyuman manis dan lembut.Senyuman itu masih tetap indah dan menawan walaupun isteriku telah melahirkan seramai empat orang zuriatku.Senyuman itu tetap menimbulkan gelora kasih-sayang sebagaimana waktu aku mula-mula mengenalinya dulu.

`Apabila semuanya itu kelihatan apa yang berlaku?’, aku tercengang dengan pertanyaannya itu.Sejurus dia menanti.Tidak ada jawapan dariku.

`Apa yang berlaku apabila semuanya itu menjadi nyata?’

Lagi sekali aku diasak.Tapi sekali lagilah aku bungkam.

`Hilanglah air!’, isteriku tiba-tiba memberikan jawapan setelah aku masih lagi terfikir-fikir.

`Hilang?’

`Kenapa?’

`Kerana yang dilihat ialah sifat-sifatnya, yakni sifat-sifat air!’

`Kerana zat hilang di dalam sifat’, kataku untuk menambah makna.

`Manefestasi air’, kata isteriku pula.`Manefestasi sebagai laut. Sebagai gelombang, ombak, alun, riak, arus dan buih’

`Ya! Ya! Air memanifestasikan dirinya dalam pelbagai sifat’, aku tiba-tiba menjadi gembira. `Bila teramat luas liputannya, air bernama lautan. Bila di kawasan terhad dikelilingi bukit-bukau, air bernama tasik. Bila di dalam lengkongan yang lebih kecil bernama kolam’.

`Bila nampak sifat, hilanglah zatnya’

`Ya! Ya!’

`Bila nampak zatnya hilanglah sifatnya’

`Ya! Ya!’

`Kalau mengalir keluar dari dalam tanah bernama mata air. Bila mengalir dalam kuantiti yang banyak bernama sungai’

`Kalau digali di dalam tanah bernama telaga’, tambahku pula.

`Walhal ianya tetap air juga’

`Samalah dengan alam!’

`Ya! Manefestasi Zat kepada Sifat. Yang kelihatan ialah Sifat.Bila Sifat menjadi zahir, ghaiblah Zat! Betulkan?’

`Betul! Manifestasi Zat kepada pelbagai bentuk sifatNya’

`Inilah yang Tok Penghulu Malim katakan malam itu.Apa dia kata,bang? Pandang yang satu dalam yang banyak, betulkan?’

`Betullah! Dan juga sebaliknya, pandang yang banyak dalam yang satu!’

Kami berdiam diri sebentar. Kami berdua menjadi begitu gembira sekarang. Objektif utama ke sini telah tercapai. Kami berdua tanpa terduga telah sampai kepada satu kesimpulan. Kesimpulan hakikat Zat dan Sifat. Ah! Betapa seronoknya. Tok Penghulu Malim mengamanatkan, kefahaman datangnya dengan fikir dan zikir. Sebatikan keduanya, akan terbukalah pintu ilham.Wah! Kami dapat merasakannya sekarang. Walhal konsep ini semasa membacanya di dalam kitab Tok Guru, tak begitu faham.

Kami berdiam diri lagi sebentar. Asyek melihat sebuah bot nelayan yang baru muncul dari kejauhan. Jam 3.00 petang bot-bot nelayan mulai menghampiri pantai. Sekejap lagi akan muncullah sebuah demi sebuah bot-bot nelayan pulang membawa hasil tangkapan dari khazanah laut yang tak pernah habis-habis walau sebanyak mana pun dipungut.

Isteriku sebetulnya tidak pernah belajar dengan sesiapa pun mengenai ilmu Tasauf. Berbeza denganku. Aku bermula mengenal Tasauf seawal usia dua belas tahun lagi, apabila secara semulajadi meminati kesah wali-wali Allah. Aku meminati kesah Nabi-Nabi dalam Kesasul Ambiya. Aku meminati kesah-kesah manusia sakti dan luar biasa. Kesah pahlawan-pahlawan terbilang yang terkenal kehandalannya. Kesah Laksamana Hang Tuah dan pertarungannya dengan Hang Jebat menyebabkan aku cukup hiba sehingga mengalirkan air mata kerana sangat menyayangi dan menyanjungi kedua-dua pahlawan terbilang Melayu yang tidak ada tolok-bandingnya itu.

Tidaklah menghairankan bila pada akhir belasan tahun iaitu selepas tamat SPM, aku mula mendekati Cikgu Abdul di kampungku – mendapatkan ilmu agama/tasauf dan ilmu bekalan diri untuk lelaki. Aku belajar bersilat dan buah pukul.Dan pada awal tiga puluhan mengamalkan zikir tarekat dan berterusanlah meminati dan mencari ilmu yang sangat penting untuk peningkatan diri dan kerohanian.

Isteriku, walaupun tidak terdedah secara langsung dalam bidang Tasauf, tapi dia terdidik sejak sedari kecil lagi di bawah asuhan Tok Minah dan Tok Aki Said. Tok Aki Said adalah seorang pengamal Tasauf yang abidin. Tok Minah adalah pengamal Tasauf yang amilin. Inilah yang aku fahami mengenai sepasang suami-isteri tersebut apabila isteriku menceritakan bagaimana dia diasuh dan dididik, sehingga aku menggelarkan kedua-dua tok dan aki itu sebagai sepasang suami isteri Melayu terakhir. Inilah yang diterjemahkan oleh isteriku.Yakni, agama ertinya adalah kebagusan dan keindahan jiwa, tidak duduk di bibir tetapi di hati, terpamer melalui kebagusaan akhlaknya.Inilah Tasauf yakni keindahan akhlak yang bersumber dari Allah Rabbul Alamin.

Sebab itulah apabila tiba saat aku hampir melangsungkan pertunangan dahulu, aku bermimpi telah terbina sebuah masjid yang tersangat indah di Kampung Segar iaitu kampung tumpah darahku. Apabila telah bertunang, aku bermimpi pula membeli senaskah al-Quran. Oleh kerana aku memang tidak memiliki naskah sendiri, keesokan harinya aku lantas membeli senaskah al Quran. Aku menyangkakan mimpi tersebut ialah ilham untukku supaya memiliki al-Quran, tetapi rupa-rupanya, itulah isyarat isteriku hadir dalam hidupku lantas menjadi milikku. Alhamdulillah!

`Abang agak terkejut apabila Tok Penghulu Malim mengatakan Aicik Leman adalah Quran cacat’

Aku membuka topik simbang yang baru sambil merenungi wajah isteriku dan mata kami bertembung. Aicik Leman adalah seorang orang tua yang tinggal di Kampung Ladang dan merupakan seorang abidin. Oleh kerana dia cacat disebabkan serangan kencing manis sehingga kedua-dua belah jari kakinya terpaksa dikudungkan, dia hanya memberikan tumpuan kepada beribadah sahaja. Rezekinya datang dari ihsan orang-orang yang berkunjung kepadanya. Tidak kurang juga dari kawanku sendiri yang menjadi anak muridnya. Aicik Leman menjadi tempat tumpuanku juga untuk mendapat kefahaman mengenai jalan kehidupan sufi.

`Tok Penghulu Malim kata, itu adalah satu kekurangan bagi Aicik Leman’, aku menyambung bicara. `Walhal Aicik Leman adalah seorang abidin.Apa pendapat Na?’

Terdiam sebentar.Na nampaknya bagaikan sedang berfikir

`Entahlah. Mungkin tidak agaknya’, Na menjawab dan kemudiannya melanjutkan.`Dia kena kencing manis pada waktu zaman muda. Jadi jari-jari kakinya dikudungkan, sebelum dia menjadi abidin’, isteriku menjawab.

`Betul ke?’

`Betul! Ingat tak ketika dia memberitahu kita, dia membantah arahan doktor yang mahu memotong kedua-dua belah kakinya sampai ke paras lutut, apabila kencing manisnya telah bertambah kritikal”.

`Ya!Ya! Baru abang ingat. Bila dia dimasukkan ke hospital semula, oleh satu serangan sakit yang lain, doktor Singh yang merawatnya dulu terkejut kerana mendapati dia masih hidup.Doktor bertanya bagaimana dia boleh pulih. Aicik Leman menerangkan, `masuk Islam dahulu, doktor, baharulah doktor boleh faham’

`Aicik Leman merawat sakitnya dengan doa dan zikir’

`Betul! Betul! Sejak itulah hidupnya adalah untuk beribadah dan bersunyi diri’, aku baru ingat dengan pasti kesah sebenar mengenai Aicik Leman, seorang orang tua yang begitu aku hormati.

Aku kenali Aicik Leman sebelum aku berkahwin. Anak muridnya – rakan sekerjaku, Bakir, mempelawa aku berkenalan dengan gurunya. Aku lantas pergi. Bersimbang dengan Aicik Leman begitu menarik hatiku, tetapi lama selepas itu aku tidak pergi lagi menziarahinya.Lalu kawanku itu menyampaikan pesan gurunya, `kawan awak yang datang dulu itu, tak mahu datang lagikah?’. Kawanku itu mengatakan tentulah ada sesuatu yang dipandangnya istimewa mengenaiku, sebab itulah dia bersungut kenapa aku tidak datang lagi’.

Aku tetap terus menziarahi orang tua yang hidup bergantung kepada pencen dan sumbangan orang ramai itu sehinggalah dia meninggal dunia. Sepanjang hidupnya kami anak-beranak menjadikannya bagaikan seorang bapa angkat.

Sewaktu dia sakit agak tenat dahulu, dia mempercayai bahawa dia adalah mangsa aniaya dan hasad dengki. Dia percaya dia terkena sihir. Dengan hasrat membantunya aku memberikannya sesuatu dari milikku – tali pinggang merah - untuk dipakainya. Seminggu kemudian, aku ziarahinya kembali. Kelihatan dia sudah sihat. Aku cukup gembira.

`Aicik pakai tiga malam sahaja’ dia melaporkan.

`Kenapa?’

`Dah sihat’

Aicik Leman lalu menerangkan, pada malam ketiga dia didatangi oleh beberapa orang yang memakai pakaian orang Melayu zaman dahulu. Semuanya kelihatan hebat.Seorang darinya tersangat tampan dan dialah yang berbicara.

`Yang sebenarnya awak tak ada sakit apa-apa. Tak ada sihir dan tak ada buatan khianat manusia. Awak ditimpa bala kerana kesalahan awak sendiri.Awak memenuhi semua hajat manusia yang berkunjung dengan sembahyang hajat awak yang berkat. Tetapi awak tidak menyemak maksud tersirat dan latar belakang orang yang memohon supaya dibuat solat hajat itu. Mereka menyalahgunakan rezeki Allah yang dikurniakan kepada mereka hasil usaha dari solat hajat awak yang dimakbulkan.Mereka juga memungkiri janji. Kemudian mereka melakukan perbuatan maksiat dengan rezeki yang awak doakan itu. Oleh kerana itu awak turut menerima akibahnya juga, kerana awak terlibat secara tidak langsung melorong mereka ke jalan maksiat. Inilah akibatnya! Bukan sihir manusia. Jadi, mulai dari sekarang bertaubatlah!’

`Itulah pesan lelaki yang gagah dan hebat itu’, Aicik Leman mengakhiri kesah mimpinya.

`Aicik terus bertaubat. Aicik tidak akan melakukan solat hajat lagi. Rupa-rupanya kita sangka kita buat amalan baik iaitu menolong orang yang memerlukan pertolongan. Kita sangka kita buat kebajikan dan amal soleh, tapi silap gaya, kita menanggung akibatnya’.

Mengenai Aicik Leman, Tok Penghulu Malim tidak meletakkannya pada maqam yang tinggi.

`Dia Quran cacat!’, katanya bertegas dengan keyakinannya walaupun aku cuba membayangkan sesuatu yang istimewa mengenai Aicik Leman. `Seseorang yang solat insyaallah akan terpelihara seluruh anggota tubuhnya. Insyaallah tidak akan cacat. Inilah di antara rahsia-rahsia rokaat di dalam solat fardhu. Inilah yang tidak seharusnya berlaku kepada orang-orang yang sempurna makrifat dan hakekatnya’.

`Kenapa?’, aku bertanya.

`Kerana ayat Quran yang sejumlah 6666 ayat secara hakekatnya adalah 6666 urat yang berselirat di dalam tubuh insan’.

`OOO...

`Sebab itulah tubuh manusia tidak boleh dilangkah.Tubuh manusia menanggung rahsia. Rahsia amanah.Insan adalah rahsia-Ku dan Aku lah Rahsianya. Sebab itulah pada maqam makrifat dan hakekat, tubuh jasmaninya seharusnya tidak cacat’.

`Kalau kemalangan?’, isteriku bertanya.

`Itu lain!’, tegas nadanya.

`Kalau kehilangan anggota atau cedera parah dalam peperangan?’.

`Itu juga lain. Yang saya maksudkan, orang-orang sebegini tidak mungkin ditimpa oleh sesuatu bencana kronik yang mencacatkan tubuh zahirnya oleh penjagaanNya yang sempurna’.

Aicik Leman cacat fizikalnya.Jari-jari kakinya telah tiada semuanya kerana serangan kencing manis.Dia tidak boleh berdiri dan berjalan lagi dan ke mana-mana pun dia mahu pergi, dia hanya mampu mengengsot.

Aku tidaklah begitu berani untuk mempercayai dengan keyakinan sepenuhnya mengenai maklumat yang disampaikan oleh Tpk Penghulu Malim itu.Namun bila mentafsirkan informasinya, seolah-olah ada makna tersendiri mengenai mimpi melihat aruah Aicik Leman. Dia berada pada suatu tempat di sebuah tanah perlembahan sambil meminta sedekah....

2 ulasan:

  1. jadi ape maksudnya itu ya tuan?
    berkenaan arwah Aicik Leman tu?

    maaf ye kerana bertanya..
    =)

    BalasPadam
  2. Tk Mr.Aicik Leman seorang abidin dan tidak begitu sampai kpd makam-makam yg tinggi dlm tasauf.Bktinya dia tidak dpt memberi tafsiran yg tepat kpd Ayah Lan Wali yg sentiasa dalam makam fanafillah/baqabillah. Begitu juga mengenai kiasan-kiasan yg diberikan oleh Wali Aziz dia tak mampu tafsirkan.Justru digambarkan dia meminta sedekah yg bermaksud masih mengharapkan hadiah dari yg hidup.
    Apa pun jangan percaya mimpi dan tafsiran saya.Wallahuaklam.

    BalasPadam