03 Julai 2009

(2)

KENAL DIRI...KENAL MATI.

KENAL MATI,

KENAL SAAT MATI!

Sungguh bertuah. Setelah menghubunginya petang tadi ternyata Tok Penghulu Malim bersedia menerima kunjungan aku bersama isteri pada malam ini. Aku memang sentiasa menjaga tatatertib dan kesopanan iaitu seboleh-bolehnya tidak akan datang ke rumah sesiapa jua dengan cara yang tidak semena-mena.Lebih-lebih lagilah dengan insan yang aku anggap mulia dan tinggi martabatnya seperti Tok Penghulu Malim ini. Aku sekali-kali tidak akan mengganggu keselesaan masa santai dirinya dan keluarganya.

Tok Penghulu Malim memberitahuku dia adalah murid kesayangan Tok Ayah Tan, seorang guru Ilmu Hakikat yang sangat dihormati.

`Sewaktu dia meninggal dunia, cuma saya seorang sahaja yang menghadapnya’, Tok Penghulu Malim memulakan bicara apabila nama gurunya disentuh.

`Tiga hari sebelum meninggal, dia telah berpesan supaya saya jangan pergi ke mana-mana pada waktu azan Maghrib hari tersebut. Dia meminta supaya saya berada di sisinya. Saya tak tahu apa sebabnya. Dan pada ketika yang ditetapkan, saya bertambah hairan kenapa cuma saya seorang sahaja yang berada di sisinya’

`Isterinya di mana?’

`Di dapur’

`Orang lain?’

`Ada! Ramai! Murid-murid dia pun ada! Tapi semuanya sibuk untuk sembahyang Maghrib. Lagipun dia nampak biasa sahaja sejak dari siang tadi. Nampak tak tenat pun. Jadi orang tak bimbanglah’

`Kenapa dia pesan supaya Abang Maliki seorang sahaja bersama dengan dia?’

`Ha! Itulah yang hendak diceritakan’, wajah Tok Penghulu Malim nampak ceria, berseri-seri dan gembira. `Saya pun pada mulanya tak tahu juga, kenapa cuma saya seorang sahaja yang dipesankan begitu’.

Tok Penghulu Malim mencapai kotak Salem dan menyalakan. Dia mengenaki beberapa sedutan. Aku diam sahaja memerhatikannya.Isteriku pun diam juga.

Tok Penghulu Malim adalah orang yang pernah menggemparkan orang-orang kampung di seluruh Mukim Lelabi sewaktu bertugas selama kira-kira lima tahun di mukim itu.Ilmu yang dibicarakannya menjadi polemik dengan seorang ustaz sekolah rendah yang telah pencen. Ustaz berkenaan adalah anak tempatan dan telah sejak sekian lama mengajar di masjid-masjid terutamanya di Lenggur. Walaupun tidak pernah bermuzakarah atau berbincang dengan Tok Penghulu Malim, tetapi Ustaz Ab.Hatif telah menegah orang ramai dari belajar dengan Tok Penghulu Malim, kerana menurut fahamannya ada unsur yang meragukan dan sesat.

`Saya sentiasa membawa kitab-kitab di dalam kereta’, Tok Penghulu Malim mengimbas kenangan dengan Ustaz Ab. Hatif sewaktu kunjungan pertama aku bersama isteri ke rumah Tok Penghulu Malim dulu.

`Kalau terserempak dengannya, saya nak tunjukkan kitab-kitab tersebut atau biar dia baca. Kemudian tunjukkan kepada saya di mana salahnya’

`Habis, pernah jumpa dia?’

`Tak pernah! Itulah yang dikesalkan’

Ustaz Ab. Hatif adalah seorang ustaz yang memang diketahui ramai sebagai seorang yang bertasauf juga. Tetapi beliau tidaklah pernah mengajar ilmu tasauf di surau-surau. Semasa di Kampung Sulang, sebelum berpindah ke Lenggur selepas banjir besar pada tahun 1970 dan 1971, ustaz ini pernah menjadi buah mulut orang ramai kerana kebiasaannya yang sangat kontradik dengan gelarannya.

Ustaz Abdul Hatif adalah seorang taik judi. Siang mengajar agama di Sekolah Kebangsaan Kancil, tapi pada waktu malam berjudi daun terup – judi pancing ikan namanya. Namun dia mengistiharkan azam untuk berhenti berjudi bila usia 40 tahun. Dan dia memang menunaikan janjinya apabila mencecah usia tersebut, lalu pergi menunaikan Rukun Islam yang ke lima di Makkatul Mukarramah. Bila bergelar Ustaz Haji Ab. Hatif, dia memang betul-betul berhenti dari kebiasaan lamanya dan melupakan terus hobi buruknya itu.

Aku sempat mengenali Ustaz Haji Ab.Hatif kerana dia pernah mengajar kitab Ad Darun Nafis di surau kampungku. Sebagai seorang peminat Ilmu Tasauf sejak sedari zaman remaja, aku terus membeli kitab tersebut di sebuah Kedai Kampar, di sebuah bandar di daerahku. Kedai milik orang Kampar tersebut terkenal sebagai kedai yang menjual kitab-kitab lama, barang-barang keperluan sembahyang dan ubat-ubatan tradisional Melayu.

Ustaz Haji Ab.Hatif menjanjikan kepada kami orang-orang kampungku termasuklah Cikgu Abdul, huraiannya akan sampai kepada kefahaman fanafillah atau matikan diri kamu sebelum kamu mati atau laamaujud ilallah. Sebagai seorang yang sedang mula dahaga kepada Tasauf, aku adalah peminat tetap kuliahnya yang diadakan pada setiap malam Jumaat. Dia tidak mengecewakan walaupun sanggup berulang-alik dengan motor honda-cub 60cc sejauh lebih enam kilometer sehala dari kampungnya Salawong ke Kampung Segar, menempuh jalan raya yang batu-batu jalannya berjeregil di sana-sini, menempuh kesepian dan rimba belantara di kiri-kanan. Aku menghormati dan mengagumi kesanggupannya itu.

Tapi aneh. Baru sahaja masuk muka surat kelima, dia tiba-tiba sahaja tidak datang.Kami orang-orang kampung yang memang tak ramai pun, sekitar tak lebih lima belas orang, tertanya-tanya kenapa dia tidak datang. Dia langsung tidak memberikan khabar berita. Aku cukup kecewa kerana benih Tasauf di jiwaku yang baru sahaja bertunas tiba-tiba terkulai layu. Aku cuba-cuba juga membaca sendiri kitab tersebut, tapi memang tak faham pun! Habis dengan siapa mahu aku bertanya dan belajar? Dengan siapa? Sejak itu tertanamlah keazamanku yang membara untuk mencari seorang guru Tasauf yang boleh membimbingku untuk menyelongkar mistri mengenai konsep-konsep yang di luar jangkuan akal.

Walau bagaimanapun, dengan Ustaz Haji Ab. Hatif ini aku masih ada kesempatan seterusnya bersama dengannya iaitu apabila aku diterima menjadi seorang guru sementara di Sekolah Kebangsaan Gelugur setelah tamat SPM. Ustaz Haji Ab.Hatif telah sedia mengajar di situ. Suasana bekerja dengan bilangan guru cuma seramai lima orang sahaja, menyebabkan hubungan kami menjadi agak rapat dan mesra.

Suatu masa aku berkunjung ke Endau bersama abang sepupuku, Abang Mat yang sangat kepingin untuk berjumpa kembali dengan Wak Abu yang menurut dakwaannya, mereka memiliki ilmu yang sama dan telah mengaku adik-beradik di dunia dan di akhirat. Wak Abu atau Pak Abu adalah seorang guru Tasauf di Endau, Johor dan menyimpan kitab-kitab lama termasuk dari gurunya sendiri Kiai Salleh atau terkenal juga dengan nama Panglima Salleh. Apabila pulang dari kunjungan ke Endau itu, Ustaz Haji Ab.Hatif yang tahu kunjunganku itu, lantas bertanya:

`Apa pandangan awak Kama, mengenai Pak Abu itu’, dia bertanya sambil baring-baring di atas meja – berbantalkan dua tangan bersilang di bawah tengkuk, sambil lutut yang kanan di atas yang kiri. Ketika itu kami berada di rumah sewa Cikgu Manaf. Cikgu Manaf tinggal sendirian kerana isteri dan anak-anaknya tinggal di bandar. Ketika itu kami sedang menunggu aktiviti kokurikulum yang dijalankan pada setiap hari Rabu bermula jam 3.00 petang. Cikgu Jalal, guru Bahasa Inggeris yang berasal dari Perak, dan Cikgu Jaafar – guru sementara sepertiku, sibuk di dapur menyiapkan juadah tengahari – memanaskan ikan goreng berlada yang dibawa oleh Cikgu Manaf. Cikgu Manaf, Guru Besar, sebagaimana selalunya, membuat taik mata sementara menanti nasi dihidangkan.Demikianlah kehidupan kami berlima pada setiap tengahari hari Rabu di sebuah sekolah yang pada waktu dulu – 1970an, letaknya di sebuah kawasan yang begitu terpencil.

Aku lantas menceritakan kepada Ustaz Haji Ab.Latif maklumat yang aku saksikan selama berada dua malam di rumah Wak Abu yang nama penuhnya ialah Abu bin Darasan.

`Saya dapati pada waktu selepas Asar tak putus-putus orang berkunjung ke rumahnya’, aku menerangkan.`Masing-masing membawa sebotol atau berbotol-botol air, untuk dibuat air tawar, atau untuk mendapatkan rawatan berbagai jenis penyakit dari Pak Abu’

`Dia boleh berubat?’

`Boleh!’, aku menjawab pantas.`Ramai betul orang yang datang berubat dengannya, sehingga masuk waktu Isya, barulah habis berubat’

`Dia tak sembahyang Maghrib?’, Ustaz Haji Ab. Hatif bertanya pantas dengan nada sedikit keras.

`Tak ada peluang langsung nampaknya. Lepas seorang, seorang. Lepas seorang, seorang’, jawabku.

Ustaz Haji Ab Hatif diam sebentar.Dia menarik nafas-nafas panjang. Wajahnya mempamerkan seribu makna. Setelah agak sejurus suasana bungkam antara kami, dia lantas bersuara.

`Kalau dia abaikan sembahyang, sengaja tinggalkan sembahyang seperti itu, itu bukan guru Tasauf ’, nadanya sinis. Tanpa memandang kepadaku, dia berkata lagi.

`Itu guru Tesauk namanya’, sindirnya.

Aku diam sahaja. Aku rasa kalimat itu begitu sinis.Aku tak dapat nak kata apa-apa. Aku tidak mengerti.Pak Abu atau aku biasakan dengan panggilan Abang Abu, memang tidak menunaikan solat Maghrib pada hari ketibaanku itu. Solat Isya mungkin dia lakukan di masid di sebelah rumahnya sebab sejurus aku lihat dia pulang dari masjid, tempat dia sering memberi kuliah.

Pada malam itu aku dapat merasakan bahawa aku adalah seorang yang bertuah. Aku dihuraikan dengan juadah Tasauf sampai kepada kupasan yang tinggi.Kupasannya pada malam itu khusus untukku kerana Abang Mat berkeruh di atas kerusi. Dia menunjukkan kepadaku kitab tulisan tangannya sendiri yang dia pelajari dari Kiai Salleh.Dia sempat secara ringkas menceritakan kepadaku kesah dia sebagai salah seorang murid yang mengikut Kiai Saleh mengamuk di Batu Pahat pada zaman darurat tahun 1948 dahulu. Dan pada malam itu aku juga mendapat tuah berganda, terus sahaja dianugerahi pusaka tinggalan kiai yang terkenal dengan ilmu Selendang Merah itu.

Selama tiga tahun setengah aku menjadi guru sementara di Sekolah Kebangsaan Gelugur. Aku menjadi begitu seronok dengan tugasku itu, dan mulai menyimpan niat untuk menjadi seorang guru terlatih lepasan maktab perguruan. Aku terasa amat keberatan untuk meninggalkan jawatan guru sementara walaupun telah mendapat tawaran menjadi Pegawai Kerani di Pejabat Daerah dan Tanah. Ustaz Haji Ab.Hatif bertanya apa rasionalku tidak mahu menerima tawaran tersebut.

`Saya perlukan masa cuti yang panjang, Ustaz’, aku menjawab dengan jujur.`Guru memiliki masa cuti yang panjang. Saya boleh gunakan kesempatan itu untuk mencari seorang guru untuk belajar Ilmu Tasauf dan ilmu ketuhanan’

Ustaz Haji Ab. Hatif agak tersentak mendengar jawapanku. Barangkali belum pernah dia menemui seorang anak muda yang usia baru dua puluh dua tahun, tiba-tiba teringin mencari ilmu yang biasanya menjadi bekalan orang tua-tua sahaja. Lantas dia sambil berbaring itu, memalingkan mukanya menghadap wajahku.

`Dengan Pak Abu?’, nada suaranya bagaikan mendesak jawapan.

`Tak tahulah lagi’, aku berbohong.

Sebenarnya aku memang berbohong dengan jawapan itu kerana mahu menjaga hatinya. Walhal aku telah membuat satu ketetapan bahawa aku akan ke Endau pada masa cuti sekolah untuk belajar dengan Pak Abu. Aku memang sangat tertarik dengan kelebihan yang telah aku saksikan sendiri, lebih-lebih lagi sebagai anak murid kanan kepada Panglima Salleh, pahlawan dan kiai yang memang menjadi kebanggaanku sejak aku mengetahui kesah kehebatannya mengamuk di Batu Pahat.

Ustaz Haji Ab.Hatif diam sejurus.Kemudian, sambil dalam kedudukan seperti tadi, wajah menengadah ke rabung rumah, dia berkata perlahan:

`Kalau awak betul-betul nak belajar Tasauf, Kama, awak tak payahlah pergi jauh-jauh’ dan dia diam sejurus. Aku menjadi agak tak sabar. Tapi seakan-akan aku sudah tahu maksudnya.

`Awak carilah sahaja seorang yang bernama Haji Abdul Hatif bin Awang, dia boleh mengajar Tasauf sebab dia ada kitab yang masyhur, Ihya Ulumiddin, karangan Imam al Ghazali’

Aku diam sahaja. Memang betullah terkaanku iaitu dia pastinya mencadangkan aku supaya belajar saja dengannya.

Kitab Ihya Ulumiddin memang menjadi idamanku sejak entah bila. Telah menjadi keazamanku, akan aku usahakan mendapatkannya kalau-kalau pada suatu hari nanti, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Tok Penghulu Malim masih lagi mengenaki Salem. Tiba-tiba isterinya muncul dengan satu dulang berisi kopi o dan sedikit kuih kering. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi di sebelah isteriku.

`Tok Guru Ayah Tan pada saat itu nampak tenang sahaja’, Tok Penghulu Malim mula berbicara semula setelah beberapa sedutan Salem dihembus ke udara yang berputar laju oleh kipas siling.

`Tapi sebaik sahaja habis azan, dia tiba-tiba nampak lain. Tiba-tiba sahaja ada kelainan dan perubahan. Saya jadi tergamam, tapi spontan merangkul tengkuknya. Pada ketika itulah dia menatang tinggi, dan...kemudiannya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mudah benar perginya.Bila sudah yakin, bahawa Tok Ayah telah tiada, saya letakkan kepalanya di atas bantal. Saya kiamkan dia dan selepas itu cepat-cepat meluru ke dapur memberitahu Mak. Menjadi gamat dan gemparlah dengan tiba-tiba. Orang-orang di ruang luar yang baru sahaja lepas kamat, tak jadi nak sembahyang. Semuanya terus sahaja meluru ke arah jenazah Tok Ayah.....’

`Akak tengah berdiri nak angkat takbir’, Kak Kalsum, isteri Tok Penghulu Malim mencelah.`Semuanya menjadi terkejut. Tiba-tiba sahaja Tok Ayah pergi.Begitu mudah. Tapi...itulah. Akak nampak wajahnya cukup bersih. Senyum aje...!’, informasi seterusnya dari Kak Kalsum.

`Semua orang marah pada saya’, Tok Penghulu Malim pula berkata.`Kenapa tak beri tahu mereka? Kalau beri tahu semua orang nak tengok, semua orang nak mengadap, semua orang nak tengok Tok Ayah pergi. Nak tengok bagaimana Tok Ayah pergi. Tapi apa yang saya boleh buat? Semua yang berlaku memang tidak disangka! Begitu cepat! Begitu mudah!’

`Tak adalah macam sesetengah orang....’, Kak Kalsom pula menambah kata.`Payah nak pergi...Kita ingat dah pergi, nampak senyap aje, macam dah tak ada...Tiba-tiba...bergerak pula. Rupa-rupanya ada lagi! Macam-macam...’,

`Abang Maliki tak ajar dia mengucap?’, aku bertanya dengan sedikit rasa musykil kerana kalimah akhir kalam bagaikan tidak dibisikkan.

`Tak perlu’, dia menjawab tegas.

`Tak perlu?’

`Mati martabat makrifat dan hakekat tak perlu ajar mengucap!’,Tok Penghulu Malim berkata dengan keyakinan sejati. Aku berlidah kelu.

`Dia bagaikan tahu saat untuk kembali, bukan begitu Tok Penghulu?’, isteriku bertanya.

`Haa! Itulah rahsianya! Itulah rahsia makrifat dan hakekat’, berseri-seri wajah Tok Penghulu Malim apabila isteriku bagaikan telah berjaya melalui lorong yang sedang dibukanya.

`Sebab itulah dia suruh saya seorang sahaja hadir pada saat itu.Itulah rahsia ilmu! Itulah kesudahan ilmu! Tok Guru tidak turunkan kepada semua orang. Bahawa saat untuk kembali adalah rahsia diri dan hanya diri sendiri sahajalah yang tahu’

`Kadang-kadang orang pada martabat itu berpesan secara kiasan kepada isteri atau anak-anaknya’, Kak Kalsum mencelah.

`Bagaimana?’, aku bagaikan orang bodoh. Kak Kalsum tersenyum.

`Sebelum pergi, Tuhan sebenarnya telah terlebih dahulu memberi banyak alamat’, Kak Kalsum masih dalam senyumannya.`Cuma tahu dengan tidak saja. Bila tengok orang sakit, terutama orang yang kita sayangi, camkanlah benar-benar alamat-alamatnya. Banyak alamatnya. Bila dah ada tanda-tanda atau alamatnya, janganlah pergi jauh lagi. Suruhlah semua yang disayangi berkumpul. Pada ketika itulah kadang-kadang si sakit memesan kepada anak yang jauh atau anak yang susah nak balik disebabkan banyak kerja dan sebagainya. Dia akan kata misalnya:`Mana Enja! Mana? Suruh Enja tu balik esok, pukul 9.00 malam ayah nak jumpa!’. Bila dia kata begitu, orang yang faham, fahamlah’

`Masa saya menziarahi aruah Pak Leman dulu’, Tok Penghulu Malim berkata pula.`Dia meminta isterinya mencarikan kad temujanji dengan doktor pada sekian-sekian hari bulan. Dan Pak Leman memang mahu pergi untuk mendapatkan rawatan susulan tersebut. Tiba-tiba tengah orang tercari-cari di mana letaknya kad temu janji dengan doktor itu, Pak Leman tiba-tiba berkata pula: `Tapi... macam mana nak pergi’. Dia macam bersungut.`Saya sudah berjanji, ada pula orang lain yang terlebih dulu mengajak saya pergi ke tempat lain.Macam mana....’, saya dengar sendiri sebab saya di sisi dia ketika itu. Orang sangka dia merepek. Selalunya memang orang bersangkaan, orang yang dekat nak mati memang suka merepek. Tapi itulah alamat...Kita kena camlah. Merepek atau alamat! Memang! Dia meninggal beberapa hari sebelum tarikh temujanji dengan doktor’.

Aku menarik-narik nafas. Terbuka di mindaku betapa banyaknya hal-hal yang perlu aku selongkari dan mudah-mudahan dengan Tok Penghulu Malimlah tempat aku membuka pintunya.Mudah-mudahan.

`Isyarat dan alamat sebenarnya berbagai-bagai. Ada alamat setahun. Ada alamat tiga bulan.Ada 40 hari. Ada sebulan. Ada seminggu, tiga hari, sehari atau pada saatnya.... Kalau tak tahu, rugilah diri.....’, tambah Tok Penghulu Malim seterusnya.

`Lebih-lebih lagilah kalau tak kenal....’

`Tak kenal?’, aku tergamam

`Ha! Bagaimana nak kembali kalau tak kenal?’

Aku dan isteriku saling berpandangan.Tak kenal? Tak kenal apa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan