12 Julai 2009

5.

LU SEMBAH DINDING

Sekali lagi kami ke pinggir laut. Di tempat yang sama. Kali ini anak-anak kami ikut sama. Kami biarkan Kak Long mengawasi adik-adiknya bemain pondok-pondok. Bagaimanapun mata dan perhatian kami tak lepas dari mereka.

`Abang teringat sewaktu di Raub dahulu, ada orang tua mengupas kepada abang mengenai sembahyang’, aku memulakan bicara.

Raub adalah permulaan segala-galanya.

Zaman masih bujang. Usia baru 23 tahun. Baru mula bekerja. Formulanya:

5-1=4: 4-3=1

5 ialah Yim,Aku,Wan,Piei dan Dol.

5-1=4 ialah Yim, Aku,Wan dan Dol tolak Piei (Tragedi 1986) tinggal Yim, Aku,Wan dan Dol

4-3=1 ialah Yim, Aku,Wan dan Dol tolak Yim,Wan dan Dol: Dilonjakkan Aku ialah Aku.

`Orang zaman sekarang ini, kalau dikata oleh ca ya nun alif, lu orang Melayu sembah dinding, barangkali ramai yang tak reti nak pelepas’, begitu orang tua itu memulakan bicara.

Sebentar tadi dia mengimamkan kami – aku, Piei, Dol dan Wan. Selepas solat dia selalunya membuat kupasan dan kajian agama.

`Kalau orang tanya cucu, mana Allah Taala? Macam mana cucu nak jawab?’

Kami kepeningan. Semuanya menggeleng-geleng.

`Cucu?’, tiba-tiba tanpa terduga aku ditujukan

`Allah Taala ghaib’, jawabku.`Tak boleh dilihat’

‘Cucu?’, si Wan menggeleng-geleng.

`Cucu?’, si Piei tersengih bagai kerang busuk

`Cucu?’, si Dol terkerinying.

`Ghaib macam mana?’, matanya tepat kepadaku semula. Aku terkelu dan terbisu.

`Macam angin?’ matanya masih kepadaku. Bila aku berlidah kelu matanya bergiliran kepada rakan-rakanku seorang demi seorang. Tapi si Dol, si Piei dan si Wan menggeleng-geleng. Bila matanya sampai kepadaku kembali, aku menjadi serba-salah untuk menggeleng atau tidak.

`Malaikat juga ghaib’, dia bersuara lagi.

`Jin juga ghaib`, tambahnya.

`Syaitan juga!’, si Piei bersuara. Dia mengangguk.

`Jadinya, macam-mana nak pelepas? Lu sembah dinding! Mana Lu punya Tuhan? Gua ada! Tuhan gua ada di depan! Lu mana?’

Kami terkebil-kebil jadinya. Tak pernah terlintas di minda akan diberikan soalan-soalan yang teramat tinggi seperti itu.

`Samalah juga kalau orang kata, orang Islam sembah batu!’, dia berbicara seterusnya.

`Sembah batu?’, si Wan tak faham. Lantas bertanya. Aku pun tak faham juga.Demikianlah rasaku si Piei dan si Dol, tentu tak faham juga.

`Batu di Mekah!’, tegas suaranya. Kami agak kehairanan

`Rumah batu empat segi di Mekah’, aku masih tercengang-cengang.Memandang si Wan. Dari si Wan ada jawapan.

`Kaabah!’, si Wan menerangkan

Dia memandang Wan dengan wajah berseri-seri lantas bernada keras.

`Ha! Mana Allah Taala? Adakah Allah Taala berada di dalam Kaabah?’, soalan itu menyebabkan kami mengerahkan minda semula. Tapi minda yang kosong tetap kosong.

`Allah Taala tidak bertempat. Allah Taala tidak ada pada satu-satu tempat yang khusus bagiNya. Dia meliputi seluruh alam’

Aku menceritakan kepada isteriku mengenai kesah bersama Atuk itu.

`Orang sekarang sembah Yang. Orang dulu sembah Yang Esa’, isteriku bagaikan membuat rumusan

`Kalau tak ada makrifah begitulah’, aku menyokong hujah isteriku.

`Mengaku sembah Allah, tapi...sembah...sembah apa tadi?’

`Sembah dinding dan batu!’

`Ha! Itulah...`

Tiba-tiba Kak Long terjerit memanggil ibunya. Kami menoleh.

`Kak Ngah nak pergi tebing sana`, Kak Long membuat laporan.`Kak Long dah tak bagi, dia nak pergi juga!`

`Kak Ngah!!’, si ibu menjerit.

Kak Ngah yang sudah sedikit terpisah dari kakak dan adiknya memberi alasan.

`Kak Ngah bukan nak pergi tepi sana. Kat sini aje! Tapi kak Long tu....!`

`Dengar cakap Kak Long!’, si ibu berpesan. Dan pesan si ibu nampaknya menjadi.Kak Ngah berpatah balik mendekati kakaknya.

Kak Ngah adalah anak keduaku. Kelahirannya telah terlebih dahulu diberikan alamatnya. Aku menyaksikannya di dalam mimpi. Ketika aku mendapat tawaran untuk pertukaran ke sebuah negeri sejauh hampir 300 kilometer dari tempat bekerja yang asal, isteriku sedang mengandungkannya. Aku meminta tempoh sebulan dengan persangkaan berdasarkan jangkaan doktor, isteriku akan bersalin pada tempoh terebut. Tapi ternyata tidak.

Bila sampai saat bertolak, isteriku telah membuat ketetapan – dan ketetapannya dirahsiakan dari pengetahuan ibunya - akan mengikut aku berpindah. Sebelum itu, ibu mertuaku telah menasihatkan supaya aku pergi dahulu sendirian, biarlah isteriku selamat bersalin di rumahnya. Tapi aku bimbangkan keselamatan isteriku, kerana kalau aku tiada, siapa yang boleh diharapkan untuk membawanya ke hospital? Lebih-lebih pula kalau sakit pada malam hari.Ketika itu jiran-jiran belum ada kereta. Dua orang adik iparku masih lagi belajar. Saudara-mara pula duduk berjauhan.Lalu siapakah yang boleh diharapkan?

Keputusanku itu menyebabkan ibu mertuaku berkecil hati tapi dia tidak mengetahui bahawa isteriku memang lebih bersedia menghadapi apa jua keadaan bersamaku di tempat baru.

Bila kami sampai di Seremban pada kira-kira 1.00 tengah hari, lori yang membawa barang-barangku telah pun tiba. Tugas yang pertama ialah memindahkan semua barang-barang ke dalam rumah. Belumlah begitu banyak. Barang-barang yang besar cuma set ruang tamu dan meja makan.Set bilik tidur perkahwinan, kutinggalkan di rumah ibu mertua. Peti sejuk akan beli baru.Mesen basuh juga.Yang banyak ialah kotak-kotak berisi pakaian, permainan anak dan keperluan dapur. Walaupun demikian rumah No 917, Jalan Kedidi 2, Taman Paroi Jaya, rumah teres dua bilik dan satu bilik kecil menjadi agak sesak dan berkaparan.

Setelah berehat sebentar, kira-kira jam 4.00 petang kami keluar untuk keperluan. Tugas pertama ialah mencari Kelinik Bidan. Aku memandu perlahan-lahan di tempat yang belum begitu biasa itu. Kami menyusuri Jalan Ampangan. Bila melihat suatu simpang jalan, tergerak di hatiku untuk memasuki simpang itu.Dengan tidak terduga simpang yang kupilih itu betul-betul membawa kami ke Klinik Bidan Gedung Lalang. Alhamdulillah, lega rasa di hati. Selepas itu kami memasuki Jalan Ampangan kembali dan menuju ke Seremban – Seremban Tahun 1987 – untuk mencari beberapa keperluan di sebuah pasar raya dan membeli nasi bungkus.

Sewaktu makan malam selepas solat Maghrib, isteriku mengadu dia mulai sakit. Aku yang tak berapa cukup pengetahuan mengenai itu, terus mengusulkan akan mengambil bidan. Tapi isteriku yang telah berpengalaman melahirkan anak pertama melarangku dengan mengatakan belum waktunya lagi. Ketika itu baharulah dia berterus-terang memberitahuku, bahawa dia sebenarnya telah mulai terasa sakit tanda mahu bersalin sejak dari subuh pagi tadi lagi! Tapi dia menyembunyikannya!

Aku terasa sedikit berdebar menghadapi kemungkinan yang belum pasti. Aku mengharapkan isteriku belum lagi sakit. Atau kalau sakit, biarlah pada waktu siang. Tapi sekarang adalah malam! Malam yang mendebarkan! Tidak ada kenalan! Tidak ada jiran! Baru sampai pula dan keletihan! Barang-barang pun masih berkaparan! Kami bertiga beranak sahaja pula sekarang!

Anak sulung baru berusia menjelang tiga tahun. Setelah menidurkan anak sulungku di atas toto, aku menunggu isyarat dan perintah dari isteriku. Jam 11.30 malam aku mendapat perintah.

Segera aku menghidupkan Mitsubishi Lancer. Bila keluar dari jalan perumahan untuk menuju ke jalan besar, ada sebuah jambatan kecil di situ – jambatan kayu. Aku lantas melalui jambatan itu.Tetapi alangkah berderaunya darah! Dengan tiba-tiba sahaja tayar hadapan sebelah kanan keretaku bagaikan terjatuh ke dalam sesuatu, dan keretaku terhenti dengan tiba-tiba. Enjin kereta pun mati dengan tiba-tiba.Tidak bergerak lagi! Aku dengan segera menghidupkan engin kembali dan menukar gear undur. Aku tekan minyak. Tidak berganjak juga. Aku cuba lagi dan kali ini menekan pedal minyak dengan lebih kuat.Tapi sia-sia sahaja! Aku lantas membuka pintu dan turun dengan segera untuk mengesan puncanya.

Sekali lagi berderau darahku. Rupa-rupanya memang benar tayar keretaku terjatuh di celah antara sambungan lantai kayu jambatan yang disusun secara melintang.

`Ini jambatan maut!`, bentak hatiku.

Kalau pada waktu siang mungkin boleh perasan.Tapi kalau pada waktu malam, orang-orang yang pertama kali melaluinya sepertiku, tentulah menjadi mangsa. Allah hu Akhbar! Aku mengeluh.

Aku tiba-tiba merasakan bahawa aku adalah seorang lelaki perkasa. Lalu membaca `bismilla hirrrahma nirrahim`. Dengan segenap tenaga usia tiga puluh empat tahun, aku lantas memegang bahagian hadapan kereta lalu mengangkat dengan sekuat-kuatnya. Tayar kereta tak berganjak sedikit pun. Aku cuba lagi. Kali ini dengan lebih memberikan tumpuan. Seluruh sisa tenaga dan kekuatan yang masih ada aku kerah. Kemudian sekali lagi kucuba. Tapi...tak berganjak walau seinci pun!

Aku sungguh kecewa. Aku menoleh ke deretan rumah dua tingkat di belakang. Kelihatan gelap kebanyakannya. Yang masih bercahaya ialah dari cahaya samar lampu bilik tidur atau lampu anjung. Sunyi dan sepi seluruhnya. Jalan pun lengang. Tidak ada kalibat manusia. Semua penghuni bagaikan sedang bersiap sedia untuk dilamun mimpi.

Aku menarik nafas panjang.Resah.Gelisah.Takut. Cemas dan bimbang.Isteriku sedang berjuang antara hidup dan mati sekarang. Ya, Allah! Aku pula terperangkap di sini. Tidak ada seorang kenalan pun di taman ini! Bahkan di seluruh Seremban ini!

`Siapakah yang dapat menolongku pada saat ini?`, aku seakan-akan bertanya kepada diri sendiri.

Sedang dihantui keresahan, tiba-tiba bersinar lampu kereta dari jalan utama. Ada kereta datang. Aku sedikit lega. Dengan keburuan aku menerpa sambil melambai-lambai. Kereta itu pun berhenti di tengah-tengah jambatan kayu itu. Keluarlah dari kereta berkenaan seramai lima orang anak muda. Muda-muda semuanya. Barangkali usia sekitar dua puluh dua tahun. Semuanya berkulit putih bersih dan berwajah tampan. Mereka berbaju Melayu dan berkain pelekat. Rasa-rasanya semuanya berkopiah. Belum sempat aku membuka mulut, mereka lebih dahulu bersuara.

`Tak apa bang! Kami dah tau! Kami ramai! Kami boleh angkat!’

`Abang masuk semula ke dalam kereta`, seorang yang lain memberi arahan.

`Tempat ini memang ramai orang kena`, rakannya memberikan informasi.

Dengan tidak berkata apa-apa aku terus masuk ke dalam kereta sambil menghidupkan engin. Mereka menyuruh aku memasukkan gear undur dan bila kereta diangkat, mereka menyuruhku menekan pedal minyak. Aku akur. Dan alangkah mudahnya masalah diselesaikan.Keretaku terus boleh bergerak undur.

`Ok, bang! Selamatlah!’

Mereka pun terus masuk ke dalam kereta.Aku mengucapkan terima kasih dan kami berbalas lambaian. Sampai di Kelinik Bidan, aku dapati keadaan gelap dan sunyi. Aku tidak peduli.Aku memberi salam. Setelah beberapa kali salam, baharulah pintu terbuka.

Cepat-cepat aku memberikan penjelasan kepada bidan itu yang rasa-rasanya dalam sekitar usia awal tiga puluhan. Panjang lebar penjelasanku. Maklumlah kami belum berkenalan.Banyak soal-jawab berlaku. Dia lantas meminta Kad Rawatan. Allah hu Akhbar, tertinggal di dalam beg tangan isteriku! Bila sampai pada tahap itu suaminya mulai merasa curiga.

`Saya bersumpah dengan nama Allah, saya tidak bohong!`, aku mengharapkan aku dipercayai dengan sumpah itu.

`Bukan tak percaya, tapi kami perlukan bukti`

Aku termenung sebentar. Berfikir. Kemudian aku berkata.

`Kalau saya tinggalkan Kad Pengenalan, boleh terima tak?’

Suaminya terdiam sebentar.

`Ok! Bolehlah’, katanya kemudian.

Lega bukan kepalang hatiku dengan jawapan suaminya itu.

Jam 12.15 tengah malam aku sampai kembali ke rumah sewa. Segera aku meluru ke bilik tidur.Isteriku masih berbaringan di atas toto. Alhamdulillah! Aku cukup khuatir, kalau-kalau dalam tempoh ketiadaanku tadi, isteriku telah melahirkan anak. Dan alangkah mencemaskan kalaulah begitu jadinya. Lega sedikit hatiku sekarang. Isteriku nampak tenang dan menerangkan kepadaku ulangan sakitnya mulai semakin kerap. Aku mengusap kepalanya dan memintanya supaya bersabar, bertenang dan jangan lupa pada Allah.Aku tinggalkan bidan tersebut bersama isteriku. Aku segera pula masuk ke bilik sebelah. Anak sulungku sedang tidur dengan lenanya. Alhamdulillah! Aku lantas mencium pipinya dengan rasa syukur dan kasih-sayang. Oh! Tuhan!

Aku keluar semula dan duduk di kerusi. Aku cuba menenangkan diri. Sambil itu aku cuba memasang telinga mendengar apa yang dibicarakan oleh bidan dengan isteriku. Tapi tak begitu jelas. Dalam keadaan seperti itu tidak ada apa-apa yang boleh aku lakukan selain berdoa di dalam hati agar segala-galanya selamat dan sempurna. Agak lama juga penantian itu. Agak lama juga aku menanggung keresahan itu sehinggakan aku dapat mendengar dengan jelas suara isteriku dalam perjuangan hidup mati di ambang kelahiran anak keduaku.

Tepat jam 1.40 pagi aku diminta masuk oleh bidan kerana ada keperluan. Aku tidak menyangka apa-apa tapi pada ketika itulah aku tiba-tiba melihat dengan penuh ketakjuban akan keagungan dan kebesaran kekuasaan Allah Taala. Aku diperlihatkan keadaan anak perempuanku sedang dilahirkan. Allah hu Akhbar! Beberapa detik aku dalam ketakjuban dan keterpesonaan. Sejurus kemudian aku keluar mengambil keperluan. Dan begitulah aku beberapa kali keluar masuk bilik mengikut perintah bidan apabila aku diperlukan mengambil berbagai-bagai keperluan sempena menyambut ketibaan anakku ke alam insan.

Hampir sejam kemudian baharulah segala-galanya selesai.Aku menghantar bidan yang sangat berjasa kepada kami itu pulang ke Klinik Bidan dan mengucapkaan setinggi-tinggi terima kasih kepadanya. Semoga Allah membalas jasanya yang tidak terhingga itu. Bila pulang ke rumah, pada malam itu juga aku membersihkan mentuban dengan garam dan asam menurut sebagaimana yang diarahkan oleh isteriku. Bila telah bersih aku letakkan baik-baik di dalam besen dan kemudiannya kututup dengan sebji dulang.

Bila selesai aku masuk ke bilik isteriku semula. Dia telah lena. Anak keduaku, juga seorang perempuan, berada di atas tilam kecil di sisi ibunya. Juga lena. Kurenungi dengan kasih sayang kedua-dua kesayangan hatiku itu. Pada ketika itulah aku bagaikan mahu menangis. Entahlah...Entah untuk apa. Sedih dan gembira berbaur di dasar hati.

Kemudiannya aku masuk ke bilik sebelah. Jam 4.30 pagi. Aku merebahkan diriku di sisi anak sulungku. Aku tahu bahawa aku samasekali tidak boleh tidur dengan lena walaupun kini aku berada di puncak keletihan. Aku sekadar perlu tidur-tidur ayam sahaja kerana sesungguhnya tugas yang maha berat sedang menanti...

Sesungguhnya sepanjang tempoh pantang akulah segala-galanya dalam penangungjawaban. Ibu mertuaku yang berkecil hati tidak memberikan apa-apa emosi apabila aku melaporkan kelahiran anak keduaku pada pagi keesokan harinya.

`Na dah selamat bersalin, mak’

`Ha’

`Malam tadi, mak’

`Ha’

`Anak perempuan, mak’

`Ha’

Tidak ada apa-apa soalan dari mak! Tak ada! Mak tak bertanya pun bagaimana keadaan anak dan cucunya sekarang? Bila anaknya mula sakit? Mudah ke? Ada orang bantu ke? Dan bla bla bla....

Sedihnya hati! Dan isteriku merembas air mata kepiluan mendengar laporanku itu. Namun aku berjaya menenangkan hati isteriku. Kami berdua memang telah menjangkakan dan bersedia menghadapinya dengan tabah.

Beberapa hari kemudian Ayah Uda yang tinggal di Kuala Lumpur datang bersama Cu Limah dan anak-anaknya. Terhibur hati kami oleh perangsang darinya. Kemudian Uncle Yaakob dan Auntie Nor juga datang.

Pada minggu kedua untuk selama satu minggu Yim dan isterinya pula datang memberikan bantuan. Alhamdulillah! Semoga Allah membalas jasa baik mereka suami isteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan