26 September 2009

25.
GELIGA BULAN CERMIN TURKI

Ada satu mimpi terkini yang aku perlu rujuk kepada Tok Lat. Aku tidak dapat mentafsirkannya. Tok Lat sebelum ini mengingatkan, kalau mimpi yang aku faham, tidak usah merujuk kepadanya. Atuk di Raub dahulu berpesan begitu juga. Bahkan Atuk di Raub dahulu berpesan supaya jangan ceritakan kepada sesiapa kecuali kepadanya. Atuk juga selalu berkata:`faham sendiri kot’, bila aku mahu bertanya sesuatu kerana katanya banyak perkara aku akan faham sendiri juga pada akhirnya.
Sejak berkenalan dengan Tok Lat dan Tok Ayah Sohor, semenjak dua menjak ini, aku telah banyak bermimpi. Ada yang aku fahami maksudnya. Walaupun faham dan boleh mentafsirkannya – dan faham juga alamatnya - tetapi aku tetap tertanya-tanya. Walau bagaimanapun mimpi yang mahu aku rujuk ini adalah mimpi yang aku tidak faham samasekali.Mimpi ini nampaknya sangat berkaitan dengan Tok Lat kerana seakan-akan dia ada sama dalam suasana tersebut.
`Seakan-akan saya berada di atas sebuah lubang kubur, tok, memandang ke arah sesuatu yang gelap’, aku mula menerangkannya.`Saya tidak faham apa yang gelap itu, tapi seolah-olah dikatakan pusat Rasulullah. Tiba-tiba dalam timbunan tanah dalam lubang kubur itu, saya terlihat ada enam biji botol, yang besar sedikit berbanding botol esen. Semuanya elok bertutup dengan tudungnya sekali. Saya ambil kesemuanya. Tiba-tiba dari arah belakang saya, seakan-akan tok ada sama. Terniatlah di hati saya untuk memberikan satu kepada tok. Saya berikanlah’
`Tok dah pulangkan balik kepada Cikgu botol itu’, Tok Lat tiba-tiba mencelah.Dia bagaikan benar-benar berada di dalam mimpiku.
`Bila?’
`Tok dah pulangkan!’
Aku masih terpinga-pinga juga. Apakah maksud telah dipulangkan sebab tidak ada digambarkan dalam mimpi itu. Atau apakah aku sudah terlupa jalan ceritanya?
`Apa maknanya, tok?’
`Ilmu, Cikgu. Mengenai ilmu’, Tok Lat berkata seterusnya.
`Ilmu?’
`Cikgu kena ambil ilmu dari tok’
Aku terkelip-kelip. Aku cuba mengaitkan ilmu dengan botol-botol sebanyak enam biji itu.
Satu pula aku serahkan kepada Tok Lat. Tapi Tok Lat kata dia telah pulangkan kembali kepadaku. Bila? Bagaimana? Aku tertanya-tanya pula mengenai lubang kubur. Kenapa lubang kubur? Kenapa memandang suatu yang gelap dan dikaitkan dengan pusat Rasulullah? Sungguh aku tidak mengerti.
Tok Lat nampak kekeliruanku itu lantas menjelaskan.
`Lubang kubur itu maknanya, toklah, Cikgu’.
Aku terkelip-kelip.
`Pusat dan gelap itu berkaitan dengan ilmu. Enam botol itu ertinya, Rukun Iman.Ada enam Rukun Iman. Ada enam jenis ilmu dalam enam Rukun Iman. Inilah yang cikgu kena ambil dari tok.Ambil asal-usulnya – asal-usul sehingga terbitnya Rukun Iman’.
Aku mengangguk. Terasa juga gembiranya. Aku tiba-tiba merasakan diriku semakin bertuah dan dihargai. Asal-usul? Ilmu asal-usul? Asal-usul Allah? Asal-usul Rasul, Kitabullah, Malaikat, Qadak dan Qadar dan Akhirat? Wah! Ini cukup hebat! Dengan Tok Ayah Sohor aku telah diberi ilmu dalam hakikat huruf dan kalimah Ismu Zat dan Lam Jalalah yang terletak pada pelbagai bahagian tubuh yang
Tok Ayah Sohor sentiasa mengurniakan kepadaku dan isteri pada setiap kali kunjungan. Sekarang dengan Tok Lat pula. Alangkah bertuahnya aku kerana tanpa terduga dianugerahi ilmu dari dua orang yang sangat tinggi tarafnya!
Pada waktu Tok Penghulu Malim sedang asyek menyalin ilmu dari Tok Lat dulu, aku teringat di dalam suatu mimpi aku hanya duduk diam sahaja membiarkan Tok Penghulu Malim menyalin. Ada seorang perempuan di dalam mimpi itu. Siapakah orang perempuan yang ada dalam suasana tersebut? Tok Penghulu Malim kata, itulah isteri Tok Lat.
Digambarkan dalam mimpi itu aku hanya tidur-tidur dan baring-baring saja. Apakah sekarang aku telah terjaga? Apakah sekarang aku telah terbangun? Ertinya telah tiba waktuku pula untuk menerima anugerah ilmu dari Tok Lat?
`Tok Penghulu Malim sudah habis mengambil ayat-ayat dari tok?’, aku bertanya. Cuba mencungkil rahsia Tok Penghulu Malim dengan Tok Lat.
Sudah agak lama aku tidak ke rumah Tok Penghulu Malim iaitu apabila keasyekan aku sekarang berubah kepada Tok Lat dan Tok Ayah Sohor pula.
Dengan Tok Penghulu Malim aku hanya berkesempatan bertemu bila sama-sama terserempak di rumah Tok Lat sahaja.Tapi aku dapat mengesan sejak akhir-akhir ini Tok Penghulu Malim sudah agak jarang berkunjung ke rumah Tok Lat. Barangkali asyek menghafal dan mengamalkan ilmu kerana Tok Penghulu Malim pernah memberitahuku demikian.
`Sudah habis, Cikgu’, jawab Tok Lat.
`Adakah ayat yang tok akan kurniakan kepada saya, sama dengan yang telah diberikan kepada Tok Penghulu Malim?’
`Oooo. Lain Cikgu’, tegas suara Tok Lat.`Ayat untuk Cikgu lagi tinggi. Ilmu terus datang dari Moyang, bukan dari tok’.
`Moyang?, pertama kali pula aku mendengar satu lagi nama iaitu Moyang.Lalu tergeraklah di hatiku untuk mengetahui siapa pulakah Moyang itu.Lalu Tok Lat menerangkan Moyang ialah Imam Rasul.
`Imam Rasul itu, Imam Perang Rasulkah, tok?’
`Ya!’
`Pahlawan Pahang yang orang panggil Tok Gajah?’
`Ya’
Lalu Tok Lat menceritakan secara rengkas asal mula kenapa Moyang mendapat gelaran Tok Gajah iaitu berpunca dari kelainan tabiatnya berbanding rakan-rakannya yang lain kerana dia suka makan teberau gajah sebagai ganti tebu.Ini berpunca akibat kekurangan makanan ketika perang melawan Inggeris.
`Adakah Moyang akan datang ke sini Tok untuk memberikan ilmu kepada saya?’
`Oooo, tidak, Cikgu!’
`Jadi?’
`Moyang akan sampaikan kepada tok, dan tok akan zahirkan melalui kalam untuk Cikgu salin.
Cikgu kena cari buku nanti’
`Moyang tinggal di mana?’
`Di Endau’
`Endau Johor?’
`Bukan! Endau Rompin. Di Kampung Jawa’
Lalu Tok Lat menceritakan rumah Moyang terletak di tepi laut di kawasan kebun kelapa. Dia tidak ada kerja lain selain berzikir. Kalau sesiapa menziarahinya, dia akan berbual sebagaimana biasa, seperti Tok Lat juga. Tetapi apabila dia mula mahu beramal, dia terus sahaja berzikir dengan menggunakan tasbih yang bijinya besar-besar, sebesar buah guli. Tasbih tersebut umpama rantai leher yang sentiasa dikalungkan di lehernya. Bila dia berzikir, dia tidak menghiraukan lagi persekitaran. Maka pada ketika itu tetamu yang ada perlulah beredar kerana Moyang akan menjadi tersangat asyek dan tidak lagi berinteraksi dengan sesiapa. Menurut Tok Lat, Moyang lebih tinggi berbanding dengannya dan Tok Ayah Sohor.Moyanglah satu-satunya yang sampai ke peringkat tertinggi dalam satu sayembara kerohanian seramai sembilan orang sesama mereka.
`Bila boleh mula, tok?’, aku bagaikan tidak sabar untuk menambah ilmu.
`Seperti dulu juga, Cikgu. Isnin malam, atau Khamis malam Jumaat’, Tok Lat menjelaskan.
`Tiap-tiap kalikah begitu, tok?’
`Kali pertama sahaja, Cikgu.Lepas itu tak kesahlah. Bila-bila Cikgu ada peluang datanglah. Selain ayat dari Moyang, Cikgu perlu ambil pula ilmu dari tok. Cikgu perlu cari Quran cetakan lama’
`Untuk apa?’
`Ada satu muka surat dalam Quran itu, dan pada muka surat tersebut terletaknya permulaan satu ayat. Cikgu kena dapatkan Quran itu. Ayat pada muka surat tersebut sangat perlu untuk dicantumkan dengan ayat tok’
`Quran cetakan baru, tok?’
`Tak boleh! Muka surat dia telah berubah. Cikgu cari!’, dia memberikan arahan.
Kemudian Tok Lat tiba-tiba memberitahuku dia mahu masuk ke biliknya sebentar di tingkat atas.Tinggallah aku sendirian sekarang.
Hatiku berasa sungguh gembira dan lapang jadinya sekarang. Hujan nan lebat bagaikan sedang turun mencurah-curah sekarang. Aku yang memang bagaikan sentiasa dahagakan air, tidak perlu bersusah-payah mencarinya lagi. Sediakan saja bejananya dan nantinya akan penuhlah dengan sendirinya.

Demikianlah aku yang dahagakan ilmu!
Teringat aku ketika mula berkenalan dengan Tok Lat dahulu.Aku sangat meminggirkan diri kerana merasakan aku teramat tidak layak untuk berdampingan dengannya. Tetapi setelah beberapa tahun, aku semakin dapat merasakan Tok Lat menjadi lebih akrab denganku juga dengan anak-anak dan isteriku, berbanding dengan sesiapa yang lain, termasuk dengan Tok Penghulu Malim sendiri. Tok Lat mula kuanggap bagaikan benar-benar tok bagiku sekeluarga sekarang.
Demikanlah juga dengan Tok Ayah Sohor.Aku dapat merasakan keakrabannya denganku lebih erat, berbanding dengan Tok Penghulu Malim sendiri. Malah dari segi ilmu, Tok Ayah Sohor mengatakan aku sudah cukup banyak dianugerahi ilmu berbanding dengan Tok Penghulu Malim. Belum pernah dicurahkan kepada sesiapa sebelum ini sebanyak yang dicurahkan kepadaku. Kalau tak silapku, dengan Tok Ayah Sohor aku sudah sampai kepada penghujung ilmu bila dia menurunkan Khatamun Nubuwah. Katanya Khatamun Nubuwah Nabi letaknya di sebelah kanan, berbeza dengan umatnya di sebelah kiri.Sejak menerima Khatamun Nubuwah, Tok Ayah Sohor bagaikan tidak lagi menganugerahi apa-apa lagi ilmu buatku.
Sejurus kemudian Tok Lat turun semula dari tingkat atas. Bersamanya ada satu beg plastik.Bila dia duduk di kerusinya semula dia mengeluarkan satu persatu barang-barang di dalam beg tersebut.Sambil itu dia bersuara.
`Ini ada satu pemberian untuk Cikgu’, aku diam sahaja. Tapi dalam hati tertanya-tanya juga.

`Malam tadi dia hantar barang-barang ini. Dia minta serahkan keapada Cikgu’
`Siapa?’, aku mahukan kepastian.
`Tok pun baru kenal. Katanya dia adalah titisan kalau bukan dari Lokman Hakim ialah Iskandar Zulkarnaen.Tok terlupa pula’
`Untuk apa tok?’
`Mereka nak berdamping dengan Cikgulah’
`Jadi barang-barang ini?’
`Inilah tandanya’
Tok Lat lalu mengambil satu barang yang berkilau-kilauan, bermanik-manik kilauan cahaya. Nampak bagaikan satu ketulan batu, pecahan dari induknya yang besar.
`Ini ibu emas,Cikgu’, ketulan berkilauan itu berpindah ke tanganku. Aku mengamatinya.Memang berkilauan dan bermandikan cahaya. Heran juga aku, ibu emas kelihatan berkilauan seperti permata kekuningan.
`Cikgu simpan’, katanya kemudian.
Kemudian Tok Lat mengambil satu barang lain yang berbentuk bagaikan sekeping kaca. Tapi bukan kaca dan bukan juga cermin.Permukaannya berpetak-petak dan bagaikan retak, tetapi bukannya retak. Warna kepingan itu sedikit keperangan.
`Ini Cermin Turki, Cikgu’
`Cermin Turki? Apa gunanya?’
`Cikgu tak tahu?’
Aku mengeleng-geleng.
`Besar gunanya, Cikgu’, aku membelek-belek Cermin Turki itu.Tok Lat memerhatikan sahaja aku yang sedang dalam keasyekan itu.
`Pembalikan cahaya, Cikgu’, katanya lagi. `Inilah cermin yang digunakan pada waktu perang zaman dahulu oleh orang Turki. Ini yang kecil. Yang besar ada dalam simpanan dia’.
`Bagaimana menggunakannya?’, aku bertanya.
`Cikgu halakan sahaja kepada matahari. Cahaya matahari dari pembalikan Cermin Turki ini boleh membunuh dan membakar apa-apa sahaja yang terkena sinarannya. Dia mengikut niat Cikgu. Boleh juga dibuat cermin untuk melihat benda-benda ghaib. Baca Fatehah dan selawat, dan niatkan’
Aku membalik-balikkan Cermin Turki itu. Bahagian depan dan belakangnya nampak serupa sahaja. Aku bercadang untuk membuat bingkai supaya dia lebih mudah disimpan.
Barang-barang yang lain adalah batu-batu permata yang boleh dibuat loket. Batu loket untuk isteriku nampak lebih ganjil berbanding dengan yang lain. Tok Lat menerangkan kesemua loket tersebut telah diisikan ayat dan nantinya akan keluar kalimah Allah dan nama isteriku pada loketnya. Loket untuk anak-anak perempuanku tidak akan terzahir kalimah Allah, tetapi amat berguna bagi keperluan masa hadapan mereka iaitu terjamin keselamatan mereka walau berada di mana-mana negara pun di seluruh dunia kerana bersama permata tersebut ada pengawal-pengawal peribadi untuk anak-anakku. Lagi satu ialah batu permata yang bernama Geliga Bulan yang perlu diletakkan di atas siling tempat laluan keluar-masuk di rumahku. Permata Geliga Bulan adalah untuk mengalirkan rezeki – jalan rezeki ke rumahku.
Kesemua pemberian tersebut adalah percuma kecuali batu-batu permata yang terpaksa dikeluarkan dam yang jumlah kesemuanya ialah RM200.00.
`Dalam sedikit waktu lagi titisan samada Lokman Hakim atau Iskandar Zulkarnaen akan datang lagi berjumpa tok untuk memberi isyarat kepada Cikgu’.

`Untuk apa?’

`Dia meminta Cikgu pergi ke tempatnya’.

Tok Lat memberikan maklumat selanjutnya.

`Di mana tok?’, aku terasa satu tanggungjawab baru yang penting terpikul di atas bahuku.

`Kalau tok tak silap di Bukit Dinding’

`Bukit Dinding?’

Tapi aku tidak pula bertanya di mana lokasinya tempat itu.

`Mungkin tok juga perlu pergi bersama Cikgu’.

Aku tiba-tiba terasa cukup gembira dengan maklumat itu terutama kerana akan pergi bersama Tok Lat.Belum pernah aku berpeluang ke mana-mana bersamanya. Setakat ini cuma mendengar dengan rasa begitu cemburu kesah rakan-rakan yang lain yang pernah pergi bersama Tok Lat yang biasanya akan mengalami berbagai-bagai pengalaman yang luar biasa.

Pergi dengan Tok Lat sesungguhnya ibarat pergi mengalami satu pengalamankerohanian yang tidak bisa dialami dengan orang lain dan aku bagaikan tidak sabar menanti ketibaan harinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan