23.
NAGA MAS
Keesokannya - Ahad - jam 8.00 pagi aku telah berada di rumah Tok Lat. Inilah pertama kali aku mengunjunginya pada waktu pagi.Aku terpaksa pergi pada waktu pagi kerana pada sebelah petang atau malam, Tok Lat selalunya akan dikunjungi oleh orang-orang yang memerlukan perubatan. Selain itu selalu pula dikunjungi oleh teman-teman rapat Tok Lat seperti Pak Him, Fa, Cik Hashim, Man, Haji Rahim atau kadang-kadang Do Din.
Do Din bila datang, habis semua anak-anaknya diangkut. Dia menjadi sainganku, kerana dia dan anak-anaknya termasuk isterinya begitu manja dengan Tok Lat. Do Din yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah 1 acapkali membawa Tok Lat berjalan ke sana-ke sini. Inilah yang aku katakan saingan kerana aku tidak mampu melakukan sedemikian dan dengan demikian aku khuatir kalau-kalau Tok Lat menjadi lebih rapat dan mesra dengan anak-beranaknya. Tapi sebenarnya tidak. Tok Lat memang mesra dengan mereka, tetapi tetap lebih mesra dengan aku anak-beranak, dengan caranya yang tersendiri.
Menjadi kebiasaan Tok Lat keluar sekitar jam 9.00 atau 10.00 pagi. Jadi datang pukul 8.00 bagiku sudah memadai untuk aku membongkar misteri keris yang aku terima dari Tok Ayah Sohor semalam. Aku juga amat mengharapkan agar Tok Penghulu Malim tidak datang pada pagi ini. Bila Tok Ayah Sohor memberi pesanan supaya Tok Penghulu Malim jangan mengetahui kesah keris ini diberikan kepadaku, aku menjadi sangat tertekan sepanjang berada di rumah Tok Lat sekarang.
`Tok Penghulu Malim memang sangat menanti-nanti ketibaan keris ini, Cikgu’, itu komen Tok Lat bila aku mengingatkan pesanan Tok Ayah Sohor. Sebelum itu aku menceritakan secara ringkas kepadanya mengenai suasana di balaisah Tok Ayah Sohor sewaktu aku memilih keris.
`Keris inilah keris yang paling dinanti-nantikan, Cikgu’, Tok Lat memulakan bicara.
Tok Lat lalu membelek-belek keris itu.Dia melurut-lurutkan dengan tapak tangannya mata keris itu, ke hujung dan ke pangkal beberapa kali. Dia kelihatan bagaikan mentafsir dan membuat fihrasat. Kemudian dia menegakkan pula mata keris itu di ambang matanya menghala siling, sambil matanya ke atas dan ke bawah meneliti lorekan keemasan pada matanya. Kemudian dia menekan-nekankan pula keris itu ke atas meja. Menjadi tegaklah keris itu sekarang. Mata keris menikam meja dan tapak tangan kanan Tok Lat menekan ulunya.Beberapa jurus dia biarkan keris dalam keadaan begitu. Selepas itu dia membilang pula loknya. Aku diam sahaja sambil memberikan tumpuan sepenuhnya. Perasaan ingin tahu begitu bergelora di hati.
Selepas berpuas hati dengan analisisnya Tok Lat pun bersuara.
`Cantik keris ini Cikgu’
Dia memuji.Aku tidak pasti, cantik rupanya atau cantik misterinya.
`Apa Tok Ayah Sohor kata?’
`Dia kata keris ini milik Sunan Gunung Jati, Wali Songo’, aku menerangkan.
Tok Lat diam. Dia nampak agak terkejut dengan penjelasan itu.Tiba-tiba dia melekapkan keris tersebut ke telinganya.Nafas dihelanya.Sejurus dia begitu. Tiba-tiba:
`Assalamualaikum!’, Tok Lat tiba-tiba memberi salam. Aku menjadi terkejut. Aku tidak melihat sesiapa. Pada siapakah Tok Lat memberi salam?
`Ha! Inilah menengku, nak bercakap sedikit dengan Tengku’, Tok Lat bersuara lagi. Tok Lat menggunakan kata ganti menengku, istilah hormat yang bererti patik.`Menengku minta maaf banyak-banyaklah sebab menganggu Tengku pagi-pagi begini’, baharulah aku sedar bahawa Tok Lat sekarang sedang berbicara dengan seseorang melalui keris itu.Tok Lat nampaknya begitu bersopan sekarang. Tentulah berbicara dengan seorang yang tinggi kedudukannya. Begitu agakanku. Tapi siapa?
`Inilah menengku hendak bercakap sedikit mengenai keris ini...’
`Ya! Ya! Mengenai keris ini Tengku. Keris yang diserahkan kepada Cikgu ini’,Tok Lat berkata seterusnya. Dan dia diam sejurus.
`Oooo’, Tok Lat berkata lagi dan mengangguk-ngangguk.
`Oooo. Faham!’, katanya lagi
`Faham!’, katanya lagi sambil mengangguk-ngangguk.Selepas itu, Tok Lat diam sebentar, tapi kepalanya menganggu-ngangguk. Cuma mulutnya sahaja yang berkata, ya, ya, ya, faham, faham.
`Ha! Dia ada di sini sekarang’.
`Cikgulah’, dan Tok Lat memandang kepadaku
Dan selepas itu Tok Lat bagaikan mendail lagi. Mengucap salam dan selepas itu Tok Lat bercakap dalam Bahasa Arab pula. Aku tidaklah faham apakah yang Tok Lat bualkan. Bila perbualan tamat, Tok Lat meletakkan keris tersebut di atas meja.
`Betullah keris ini untuk Cikgu.Keris milik Maulana Malek Ibrahim. Namanya Naga Mas. Berada dalam simpanan anaknya yang bernama Siti Zubaidah’
`Tapi Tok Ayah Sohor kata milik Sunan Gunung Jati’, aku seolah-olah merasakan ada pertelingkahan maklumat.
`Sunan Gunung Jati, Wali Songo yang bongsu sekali, Cikgu’, Tok Lat bernada tegas.`Maulana Malek Ibrahimlah yang menjadi pemilik asalnya. Keris ini menjadi milik turun temurun silih berganti berpindah dari satu tangan ke satu tangan para Wali Songo sehinggalah sampai kepada Sunan Gunung Jati’.
Aku terdiam mendengar maklumat itu.
`Mereka semua telah bersetuju, perkara ini hendak diserahkan kepada Cikgu. Mek bantu’, Tok Lat berkata seterusnya. Aku kurang pasti apakah maksudnya itu. Perkara apa? Tapi tidak terbuka pula mulutku untuk bertanya. Tiba-tiba Tok Lat bagaikan terkejut dan menjadi sedikit resah, lalu berkata.
`Simpan keris itu, Cikgu.Takut Tok Penghulu Malim sampai nanti’
`Dia selalu datang waktu pagi?’
`Ada! Pagi, petang dan malam!’
Akupun cepat-cepat mahu membungkus keris tersebut dalam surat khabar yang menjadi bungkusannya. Ketika itulah tiba-tiba daun pintu yang sedia terbuka sedikit, lalu terkuak lebar. Terdengarlah salam di muka pintu. Orang yang mahu dihindari ternyata sampai. Tok Penghulu Malim tercegat berdiri di muka pintu. Tak sempatlah untukku menyembunyikan keris tersebut.
`Duduklah tok’, Tok Lat mempersilakan Tok Penghulu Malim duduk. Tok Penghulu Malim pun duduk. Matanya terus terpaku kepada Naga Mas yang belum terbungkus sepenuhnya. Hulu keris yang terdedah tidak dapat menyembunyikan dirinya.
`Keris?’, tegurnya.
`Awak ambil dari Tok Ayah Sohor?’, Tok Penghulu Malim bertanya sambil matanya masih terpaku kepada Naga Mas. Aku tak pandai berbohong.
`Semalam pergi’, jawabku dengan nada yang serba tak kena.
Tok Penghulu Malim tanpa meminta keizinan dari sesiapa lantas menghulurkan tangannya mencapai Naga Mas. Aku berdebaran kerana aku tahu dia pandai mentafsir besi. Ketika berada di rumahnya beberapa bulan yang lalu,ketika dia menunjukkan kepadaku beberapa bilah keris tubuh negeri, terbukti dia boleh menganalisis dengan baik. Tok Lat terkebil-kebil jadinya. Bila keris dihunus nampak wajah Tok Penghulu Malim mulai berubah.
`Cantik’, dia memberikan pujian.
Dia lantas membuat analisis seperti Tok Lat lakukan tadi.Akhirnya dia mengira lok.
`Dua belas lok’, dia berkata sendirian.Matanya masih meneliti mata keris yang terhias dengan sisik naga keemasan itu.
`Ini Naga Mas’, dia tiba-tiba bersuara lagi. Aku tergamam apabila dia tiba-tiba tahu nama keris itu. Tok Lat masih juga terkebil-kebil seperti tadi.
`Dulu Tok Ayah Sohor kata keris ini nak serahkan kepada saya, Tok’, dia tiba-tiba bersuara bagaikan memprotes dan ada sedikit unsur rintihan dan kesalan. Wajahnya suram, tapi dia berusaha menjernihkannya dengan senyuman hambar.
`Yang tok punya bukan Naga Mas’,Tok Lat tiba-tiba bagaikan membela Tok Ayah Sohor dan membelaku juga.`Naga Mas ini loknya dua belas. Tok tak sesuai sebab angkanya genap.Angka genap sesuai untuk Cikgu’
`Betulkah?’
`Betul! Tok angka ganjil.Cikgu angka genap’.
Tok Penghulu Malim nampak masih belum berpuas hati.Dia lalu mengira lok keris sekali lagi untuk memastikan genap atau ganjil. Memang jelas, keris itu ada dua belas lok. Bila dia agak berpuas hati, dia lalu memasukkan mata keris kembali ke dalam sarungnya.
`Sebilah ini sahaja?’, Tok Penghulu Malim bertanya kepadaku.
`Ada lagi!’, aku menjawab jujur.
`Mana dia?’
`Pada Tok Ayah Sohor’
`Kenapa tak ambil semuanya?’
Aku terdiam.
`Tak penuhlah kuasanya kalau tak ambil semua’, Tok Penghulu Malim menerangkan.Aku tidak cukup mengerti apakah maksud kuasa itu. Tok Penghulu Malim tahu aku tak faham.Lalu dia berkata lagi:
`Kalau awak hanya seorang diri, isteri tak bawa, anak tinggal di rumah, awak sahaja bersendirian, apa rasa awak?’
`Tentulah susah hati Cikgu’, Tok Lat pula menyokong hujah Tok Penghulu Malim.`Nak makan tentulah tak berselera, nak tidur tak lena. Semua kerja buat, jadi tak sempurna’.
`Lemahlah jadinya awak!’, tingkah Tok Penghulu Malim pula.
`Betul! Betul!’, Tok Lat menyokong hujah Tok Penghulu Malim.
Aku tersengih.
`Keris seperti ini mesti datang sepasang. Mesti ada pasangannya. Dan mesti ada juga keris Tapak Gajah’, kata Tok Penghulu Malim lagi.
`Keris Tapak Gajah?’, aku terkejut. Aku belum pernah mendengar nama seperti itu.
`Keris untuk pertabalan!’, Tok Penghulu Malim menjelaskan.
`Pertabalan? Pertabalan siapa?’, aku kebingungan. Tok Penghulu Malim tergelak besar. Tok Lat tersengih.
`Awak kena ambil semua sekali. Jangan pisah-pisahkan’
`Kalau tak ambil?’, aku menguji cadangan Tok Penghulu Malim. Maklumlah bukan senang untuk membayar dam RM3000.00 lagi yang terpaksa aku korek dari simpanan di Tabung Haji.
`Tak apa!’, Tok Penghulu Malim menjawab pantas.’Kalau tak ambil, tak apa.Kalau awak tak mahu pun tak apa....’. dan Tok Penghulu Malim tersenyum.
’Tapi awak bagilah pada saya...’, dan Tok Penghulu Malim tergelak dengan gurauannya.
Tok Lat tersengih seperti tadi juga. Aku tidak tahu mahu ketawa atau tidak. Aku tidak faham samasekali.Untuk bertanya lebih lanjut lagi kepada Tok Lat, terutama mengenai istilah kuasadan pertabalan, aku tidak mahu rahsia Naga Mas diketahui oleh Tok Penghulu Malim. Justru aku sekadar berdiam diri membiarkan mereka berdua berceloteh. Azamku, Tok Ayah Sohor pasti akan aku kunjungi sekali lagi untuk menyelongkar rahsia Naga Mas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan