06 September 2009

20.
MEGAT LAKSAMANA BENTAN

Bukanlah suatu tugas yang mudah untuk sampai ke rumah Aingah Awang. Dari jalan utama terpaksa masuk ke sebuah lorong yang walaupun berturap, tetapi cukup sempit.Kalau berselisih dengan kereta, salah sebuah darinya terpaksa berhenti.

Bila keretaku sampai di simpang tiga di penghujung jalan, aku perlu membelok ke sebelah kiri, dan selepas itu membelok pula ke simpang kecil di sebelah kanan. Jalan berturap cuma sampai di situ sahaja dan selepas itu terpaksalah melalui sebuah padang rumput yang penuh dengan tahi lembu. Selepas menyeberangi padang itu, sampailah pula ke suatu jalan berbatas. Selepas menempuh jalan berbatas dan tanah yang berpasir sejauh kira-kira 400 meter baharulah sampai ke rumahnya. Dengan keadaan laluan yang sebegini rupa, kalau aku datang pada waktu malam besar kemungkinan akan tersesat. Dan ini memang terbukti bila aku pernah mengunjunginya pada sebelah malam dalam kunjungan-kunjungan seterusnya.
Rumah Aingah Awang sebenarnya adalah sebuah pondok yang kecil sahaja. Pondok yang boleh dikategorikan sebagai pondok buruk kerana komponen yang digunakan bagi membina sebuah pelantar, sebuah selasar, ibu rumah yang sempit dan dapur di belakang, adalah terdiri dari papan-papan terpakai yang sudah usang. Di bahagian dapur, dindingnya berselang-seli pula dengan buluh yang dijalin, papan plywood dan kulit kayu kepung.
Ketika aku bersama isteri sampai di pondoknya, Aingah Awang sedang mengasah parang. Aku memperkenalkan diriku dengan mengaitkan nama Tok Penghulu Malim dan Tok Lat.
`Oooo. Tok Penghulu, dia selalu datang ke sini memikat terkukur’, Aingah terus menjadi ramah apabila aku menunjukkan kemesraanku seolah-olah aku telah mengetahui dengan yakin bahawa beliau adalah Megat Seri Rama atau Megat Laksamana Bentan.
Tok Penghulu Malim telah mengingatkanku, tak perlu bertanya macam-macam kepada Aingah Awang untuk menyelongkar rahsianya kerana penyelongkaran akan menjadi suatu yang sia-sia sahaja, kerana orang-orang seperti ini tidak sekali-kali akan menceritakan siapa dia yang sebenarnya. Tok Penghulu Malim telah menggunakan seluruh kebijaksanaannya untuk membolehkan Aingah Awang mengaku bahawa dialah Megat Seri Rama tetapi gagal. Menurut Tok Penghulu Malim memadailah berpandu kepada Tok Lat sahaja sebagai pemegang rahsia besar kerana dia berada pada martabat yang lebih tinggi berbanding dengan Aingah Awang yang sekadar pada taraf seorang panglima.
`Siapa yang awak sebut tadi? Tok apa?’, Aingah Awang memberikan soalan.
`Tok Lat!’, aku menjawab. Aku merasakan dia berpura-pura sahaja tidak tahu.
`Siapa Tok Lat?’, Aingah Awang bertanya pula.
`Dialah yang memperkenalkan Tok Penghulu Malim dengan Aingah dulu...’,aku menjawab segera.Aku harap Aingah Awang akan terperangkap dengan soalannya itu.
Aku lihat wajahnya bagaikan cuba mengingatkan seseorang. Tapi aku senyum-senyum sahaja kerana rahsia dia dengan Tok Lat telah Tok Penghulu Malim ceritakan. Aingah Awang turut tersenyum bila melihatku tersenyum.
`Tak berapa ingat pula...’, Aingah Awang bagaikan bercakap sendirian.
Pada pertemuan pertama ini aku banyak bertanya mengenai latar belakang dirinya. Maklumlah baru berkenalan.
Sedang kami asyek berbualan itu, isteri Aingah Awang pun pulang.Di tangannya penuh dengan pucuk paku hijau yang tentunya akan dijadikan sayur untuk makan tengahari nanti. Paku hijau memang tumbuh berserakan di seluruh kawasan ini.Demikian juga paku merah, pucuk cemperai, cekur manis dan berbagai-bagai taruk kayu untuk dibuat ulam-ulaman. Isteriku gembira tidak terkira bila melihat sebuah kawasan yang kaya-raya dengan pelbagai taruk kampung kerana isteriku kalau tak ada ulam-ulaman sewaktu makan, seleranya hanya tinggal separuh sahaja.

Bila sampai, isteri Aingah Awang terus bersalam-salaman dengan isteriku.Isterinya nampaknya belumlah begitu tua. Rasaku belum 50 tahun lagi berbanding dengan Aingah Awang yang menurut jangkaanku sudah mencecah lebih 80 tahun.
Aingah Awang menceritakan Mak Ngah adalah isterinya yang kedua setelah isteri pertamanya meninggal dunia. Dengan isteri kedua, Aingah Awang tidak mendapat anak, tetapi dengan isteri pertama dia mendapat seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Anak lelakinya sebaya dengan usiaku. Seorang dari anak perempuannya tinggal di simpang masuk dekat jalan besar di luar sana tadi. Itulah rumahnya yang asal sewaktu Aingah Awang bekerja menyadap kelapa dan membuat kelapa kering pada masa dia muda-muda dahulu.
Pertemuan pertama membawa kepada siri-siri pertemuan yang banyak selepas itu kerana Aingah Awang menerangkan dia boleh berurut. Aku mengambil kesempatan mendapatkan khidmat kepakarannya. Selepas dua kali urutan, bila masuk pada malam ketiga, dia dapat mengesan rawatannya telah dipunahkan. Lalu Aingah Awang mengeluh:
`Kita sudah pulihkan, tapi dia punahkan kembali’, begitu komen Aingah apabila pada malam ketiga urutannya, dia mendapati urutannya bagaikan tidak berkesan lagi.
`Hai! Entah dah tak boleh pulih dah agaknya’, dan dia mengeluh.
Aku sunguh kecewa dengan kata-katanya itu. Tapi Aingah Awang meneruskan juga urutannya.Sambil itu dia berkata lagi.
`Handal orang ini’, Aingah Awang bersuara lagi.`Kita sudah pulihkan, tapi dia punahkan balik’.
Aku memang sudah tahu mengenai itu.Ini adalah masalah sejak sekian lama. Aku telah juga mengetahui puncanya dan mengetahui juga siapa punya angkara.
Dikatakan oleh kerana gagal memiliki isteriku, aku cuba dipunahkan. Mulanya isteriku telah terkena badi mayat sehingga sekerat badan isteriku sejuk bagaikan mayat. Selepas itu aku pula cuba dilumpuhkan, supaya akhirnya tentulah akan dibenci oleh isteri yang akhirnya akan membawa kepada perceraian .Demikian satu pendapat kepakaran tradisional.
Sihir tersebut dengan izin Allah, tidak berkuasa terhadapku, tetapi telah terkena kepada isteriku dan melalui perkongsian jiwa, aku sama-sama menanggung akibatnya bersama isteri. Sewaktu terkena pertama kali dahulu, Atuk di Raub berpesan:
`Jangan balas perbuatan orang. Serahkan sahaja kepada Allah. Bila sakit kita berubat’, dan inilah yang menjadi peganganku walaupun sehinggalah sampai sekarang,
Aku bersama isteri tetap juga tidak sembuh-sembuh dari sakit tersebut. Satu kepakaran lain menjelaskan, bila isteriku dipulihkan, sakit tersebut akan berpindah kepadaku, dan bila aku dipulihkan, isteriku pula tidak pulih.Dengan demikian sakit `zaman-berzaman’ ini akan terus-menerus kami tanggung. Sampai bila?
Menurut beberapa kepakaran tradisional yang mutakhir, sihirnya telah tiada, tapi bekas bisanya masih bersisa. Bagaimana ya?
Orang berkenaan nampaknya masih belum berputus asa agaknya, selagi aku masih sihat atau bernyawa.Pada suatu majlis perkahwinan di rumah bapa saudara belah isteriku, yang kebetulan isteri kepada bapa saudaraku itu adalah emak saudaranya, dia berjaya memerangkapku. Aku memang cukup berhati-hati sejak dari mula melihat kalibatnya dan mengelakkan diri dari berdekatan, berinteraksi atau bertembung dengannya. Malangnya ketika saat dia mahu pulang, dia berjaya melepaskan sihirnya melalui salaman yang amat tidak terjangka. Kenapa tiba-tiba terjengah di sisiku sewaktu akan pulang, sedangkan kami tidak pernah mesra atau bertegur-sapa?
Aku sedikit terleka kerana dia datang dengan sangat tiba-tiba lalu menghulurkan tangan kepadaku. Aku bagaikan tersedak dengan tiba-tiba sebaik menyambut tangannya, dan beberapa detik dunia bagaikan gelap dan aku seakan-akan hilang pertimbangan diri.
Alhamdulillah....Allah Pelindungku. Aku harap selepas ini janganlah lagi berbuat begini. Sudah berapa kali ya?
Kalau Atuk tidak meletakkan tekad jangan membalas dendam, sudah tentu aku telah patahkan leher ketika menjelma sebagai ayam jantan yang lehernya dalam gengamanku. Tapi aku hanya memberi amaran:`Aku lepaskan engkau kali ini! Tapi jangan engkau buat lagi!’, aku menjerkah di dalam mimpiku. Dan ayam jantan itu terbang kembali ke Indonesia.
Tapi ternyata dia tidak memadai dengan amaran. Dia masih buat juga lagi! Jadi-jadilah. Cukuplah...
Aingah Awang mengakui dia tidak mampu untuk merawatku.Aingah Awang berkata:
`Mu pergilah dengan siapa itu...?’, dia pura-pura terlupa namanya. Tapi aku tahu.
`Siapa?’, aku pura-pura bertanya.
`Tok apa tu? Tok..’
`Tok Lat?
`Ha! Pergilah kepada dia sebab dia lebih tinggi dari Aingah’
Dengan Tok Lat aku dimintanya menyediakan kain tiga warna iaitu merah, kuning dan hitam yang dijahit buat kain basahan mandi. Aku telah lakukan.
Sayangnya usaha Aingah Awang untuk memulihkanku tidak berpanjangan kerana tidak lama selepas itu dia ditimpa demam.Badannya menjadi sejuk. Untuk mendapatkan haba di badannya, Aingah Awang melakukan sesuatu yang sangat tidak masuk akal. Dia baring berjemur di atas atap zinc waktu tengahari panas terik. Akibatnya dia tidak sedarkan diri dan sakit itulah yang berpanjangan ditanggungnya sehingga membawa kepada akhir hayatnya.
Ketiadaan Aingah Awang memang sungguh memilukanku. Aku amat terasa kehilangannya. Dia menjadi tempat untukku menghilangkan kejemuan bekerja kerana menjadi teman tempat berseloroh dan bergurau senda, di samping menimba sebanyak munafaat melalui saaat-saat bersamanya. Dia aku anggap sebagai bapa – malah batuk berdehemnya, sebiji seperti batuk berdehem aruah ayahku. Bila dia berdehem aku akan terkenang kepada aruah ayahku, bagaikan aruah ayah ada bersamaku.

Dengan Aingah Awanglah aku sering mendapatkan telor dan ayam kampung dengan harga yang murah. Dengannya aku boleh juga mendapatkan bekalan ikan haruan yang kering dan basah. Darinya juga aku mendapat banyak petua-petua perubatan, mengenal pelbagai jenis akar kayu dan daunan untuk perubatan yang banyak di persekitaran tempat tinggalnya.
Aku pernah cuba mengesan mengenai kesah orang mati hakikat dengan Aingah Awang, apakah benar dizahirkan kembali. Dia mengaku memang betul. Lantas aku merujuk kepadanya mengenai kesah aku bersama isteri bagaikan melihat Tok Lan Wali (sila rujuk Bab 10 SOLAT YANG SEHARUM KASTURI)) dekat Pulau Melaka, Kelantan beberapa bulan setelah Tok Lan Wali meninggal dunia. Aingah Awang lalu berkata:
`Aingah pun pernah jumpa dia di sebuah masjid di Kuala Terengganu, lepas sembahyang Zohor. Tapi sempat pandang sekali sahaja. Bila pandang kali kedua, dia sudah tidak ada lagi. Puas cari, tapi tak jumpa juga. Aingah ingat nak bercakap sedikit dengan dia’
Kemesraan kami sampai ke peringkat sehingga aku pernah membawa Aingah dan isterinya bermalam di rumahku pada bulan puasa. Aku pernah juga membawa dia mengunjungi pasar raya. Di pasar raya Aingah Awang betul-betul menampakkan watak dia orang lama yang bagaikan rusa masuk kampung. Dia tidak pandai menaiki eskalator sehingga terpaksa dibantu. Dan bila sampai di tingkat atas, dia bagaikan khayal sehingga tak tahu saat untuk turun. Nasib baik aku memang memantaunya lalu cepat-cepat memegangnya dan dibantu juga oleh seorang yang berdekatan dengannya. Kalau dibiarkan dia sendirian, aku yakin Aingah Awang akan jatuh tersembam.
Antara kenangan yang indah bersamanya ialah apabla dia menceritakan dia pernah bertarung untuk merampas harta karun dari tangan penjaganya (jin?). Lantaran tertarik dengan kebolehannya aku lalu mencadangkan supaya pergi ke tanahku yang dikatakan ada menyimpan harta karun. Maklumat tersebut diberikan oleh adik iparku yang tinggal bersama ibuku di tanah tersebut. Seorang bomoh terkenal bernama Tok Biru memberitahunya, di dalam tanah itu ada sebiji tajau. Dia memberitahu adik iparku, bila dia mendapat alamatnya nanti, dia boleh usahakan untuk mendapatkannya iaitu setelah terlebih dahulu mendapat keizinanku sebagai pemilik tanah.
Maklumat yang lebih menggemparkan mengenai harta karun tersebut ialah apabila seseorang yang rapat denganku memberitahu, yang sebenarnya ada tujuh biji tempayan tajau di tanahku hasil tinggalan tentera Jepun. Tempayan-tempayan berkenaan sentiasa bergerak-gerak ke sana dan ke sini mengikut pergerakan bulan dan juga kawalan dari penjaganya. Kedua-dua maklumat ini mendorongku membawa Aingah Awang untuk cuba mendapatkannya. Kalau berjaya tentulah aku akan menjadi seorang jutawan segera. Kami tidur semalaman di rumah yang telah dikosongkan oleh adik iparku yang telah berpindah ke tempat lain. Tapi hairan juga. Setelah semalaman berjaga Aingah Awang tidak mendapat apa-apa alamat pun. Lalu dia memberikan pendapat, bolehjadi harta karun tersebut harus telah diambil oleh orang lain. Pendapatnya itu mungkin ada juga benarnya kerana pada bahagian hujung tanah di tepi sungai, memang ada aku temui satu lobang yang cukup besar dan bekas runtuhan tanah.Aku tidaklah begitu pasti. Entahkan ia entahkan tidak. Tapi ada logiknya juga tempayan tajau tersebut telah diambil orang kerana aku dengan Aingah Awang hanya datang setelah hampir 10 tahun berita tajau itu tersebar.
Kenangan paling teruja bersamanya ialah apabila Aingah Awang oleh entah apa sebabnya, mencadangkan supaya aku mendapatkan ilmu untuk mendapatkan wang segera. Menurut Aingah, ada seorang Pak Haji di Kota Tinggi boleh membawa kami ke satu tempat yang entah di mana. Apabila pergi kami perlu bersedia menghadapi tembakan demi tembakan dari para pengawal, seandainya kami disangka penceroboh untuk menembusi `kawasan’ itu. Aingah Awang meyakinkanku bahawa pergi dengan Pak Haji berkenaan, semuanya akan selamat. Apabila sampai ke tempat berkenaan – tentunya sebuah alam misteri - kami akan dapat bertemu dengan seorang yang usianya telah menjangkau 400 tahun. Dia akan menganugerahkan ilmu tersebut dan amalkanlah di dalam sebuah bilik yang gelap. Apabila sampai masa untuk diberikan rezeki, selonggok wang akan diletakkan di atas sejadah. Ada pula syaratnya. Kalau diletakkan katakanlah sebanyak misalnya RM30,000.00, janganlah diambil kesemuanya. Ambillah sekadar RM25,000.00 sahaja. Kalau diambil semua sekali, alamat itulah pemberian yang pertama dan terakhir. Amalkanlah pada bila-bila waktu apabila memerlukan duit.
Aku membuat keputusan untuk pergi. Siapa yang tak mahu kaya dengan cara bagaikan mendapat lampu ajaib Aladdin? Inilah buat pertama kalinya perjalananku menjadi perjalanan yang tidak direstui. Isteriku menentang dengan keras.
`Kalau mati kena tembak, macam-mana?’, dia menyoalku.
Itulah tanda sayang namanya. Aku tidak menjawab dan tidak mempedulikan bantahannya. Cuma dalam hatiku berkata, aku bersedia menghadapi apa jua halangan. Ini tentunya pengalaman yang cukup mencabar dan aku mahu menempuhnya. Aku tidak terfikir pun soal mati.
Kami bertolak dari Pantai Mengkareng ke Kota Tinggi pada suatu pagi Sabtu. Malang seribu kali malang. Bila sampai di Kota Tinggi baharulah aku sedar, Aingah Awang rupa-rupanya tidak tahu apa-apa mengenai Kota Tinggi.
Dia tak tahu pun mana satu jalan ke rumah Pak Haji.
`Jalan mana, Aingah?’
Aingah cuma diam saja terkelip-kelip. Bila ditanya banyak-banyak tentang jalan mana menuju ke rumah Pak Haji, Aingah masih juga tersengih-sengih.
`Lupa...Lupa...’, itulah jawapannya bila ditanya. Aku memang cukup meradang. Kalaulah dia budak kecil, sudah tentu aku lutu kepalanya.
Aku yang dua kali lima dengannya, memang juga tidak biasa dengan Kota Tinggi. Itulah kali pertama aku menempuh jalan yang menuju ke Johor Baharu di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu itu. Merabanlah aku memandu tanpa mengetahui ke arah mana yang mahu dituju. Segala jalan dan lorong telah kami redahi. Segala selekoh dan sempang telah kami lalui.Mahu bertanya pada orang, nama penuh Pak Haji pun Aingah tak tahu...Pak Haji Labukah? Pak Haji Labikah? Pak Haji Kundurkah?
Aku sempat juga menziarahi makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Dang Anum dalam kesempatan sewaktu kehilangan arah itu. Al Fatehah.
Setelah puas mencari rumah Pak Haji yang entah di mana letaknya, dan entah apa pula nama sebenarnya, tiba-tiba terjumpalah sebuah rumah kayu yang menurut maklumat awal dari Aingah Awang tadi `rumahnya di kawasan bandar’.
Bila terlihat rumah papan itu, Aingah Awang tiba-tiba berseru:
`Ha! Inilah rumahnya!!’, dan Aingah Awang tiba-tiba gembira.Aku juga teramat gembira. Tapi bila kami sampai di halaman, ternyata rumah berkenan tidak berorang. Aku turun dari kereta untuk mengesahkannya. Manalah tahu kalau-kalau ada tingkap yang terbuka menandakan ada penghuninya. Tapi ternyata pintu dan tingkap tertutup rapi.Berdasarkan keadaannya, rumah berkenaan bukanlah ditinggalkan, tetapi kebetulan pada ketika itu tidak ada penghuninya.
Jiwaku yang sebentar tadinya hidup, kini mati kembali. Namun aku tetap berusaha mencari sesiapa sahaja yang boleh memberikan maklumat mengenai ke manakah perginya tuan rumah itu. Tapi sungguh malang kerana entah mengapa rumah itu, tidak ada jiran yang berdekatan. Bila lewat petang setelah puas aku tercari-cari dan tertanya-tanya akhirnya dapatlah aku maklumat. Satu-satunya maklumat. Pak Haji itu telah lebih satu minggu pergi ke rumah anaknya yang entah di mana aku pun telah terlupa tempatnya. Aku tanya pula bilakah Pak Haji balik? Tapi yang ditanya sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aku berada pada tahap kekecewaan tertinggi. Aku tidak ada pilihan lagi. Hari telah kian petang. Tidak mungkin aku dapat mencari Pak Haji itu lagi. Anehnya Aingah Awang tetap selamba dan senyum jua.
`Tak ada rezeki..’, itu katanya bila aku memandu untuk pulang.
Menjelang tengah malam, bila sampai di rumah, isteriku terkejut kerana mendapati aku tiba-tiba pulang. Pada jangkaannya, aku akan bermalam di dalam hutan, atau di alam yang entah di mana, dan hanya akan pulang keesokan harinya atau pun lusa. Itupun kalau dibenarkan oleh orang yang berusia 400 tahun itu!
Berseri-seri wajah isteriku menyambut kepulanganku. Dia gembira bukan kepalang kerana aku pulang dengan selamat. Sangkaannya, kalau silap-silap perhetongan, aku tidak akan pulang, atau kalau pulang pun, pulang dalam keadaan tercedera atau kalau tidak pun, sebagai mayat!

2 ulasan:

  1. salam,
    abg pernah pergi laman darulsaka.blogspot?
    khabarnya dia boleh mengubat org.
    cubalah pergi tanya utk mengubat.
    diharap abg truskan menulis..kisah2 yg menarik utk dbaca.wasalam

    BalasPadam
  2. Tq atas maklumat yang diberikan. Saya akan cuba ke laman itu ...

    BalasPadam