21.
BATU DELIMA KUNCI KARUN.
Sebaik sahaja pulang dari rumah Tok Ayah Bidin aku bersama isteri tidak menunggu lebih lama lagi. Keesokan petangnya terus sahaja kami ke rumah Tok Lat.
`Bawa kepada tokmu. Dia tahu apa nak buat’, demikian pesan Tok Ayah Bidin kepadaku bersempena mendapat lima biji permata delima dan dua biji batu permata panca delima. Permata delima tersebut dikatakan dalam satu keluarga dan tidak elok dipisahkan. Oleh itu perlu diambil kesemuanya sekali. Demikian Tok Penghulu Malim memberikan nasihat kepadaku kalau mendapat apa-apa jua kurniaan dari Tok Ayah Bidin
`Sebiji adalah ibunya’, Tok Ayah Bidin berkata seterusnya.
Aku cukup gembira apabila mendengar berita itu kerana ibu delima menurut penjelasan orang-orang yang arif mengenai permata, hanya ada satu dalam seribu atau dalam beribu-ribu dan dikatakan amat besar gunanya. Sesiapa yang memilikinya akan terbukalah kepadanya pintu kekayaan.
`Kena tapakan dulu’, Tok Ayah Bidin memberikan arahan.`Dan beri dia makan madu.Tapi biar tokmulah yang ceritakan’
Selain itu aku juga ditawarkan satu bentuk cincin permata delima. Aku yang memang teridam-idam mahu memakai cincin, tidak menyangka pula, di luar perancangan tiba-tiba memiliki sebentuk cincin permata delima yang cantik bersalutkan perak. Permata delima dan panca delima dikenakan dam sejumlah RM500.00 sementara cincin, tidak dikenakan dam tapi berharga RM250.00.
Pada pertemuan kali ketiga dengan Tok Ayah Bidin ini, aku sempat mendapatkan pengesahan dari Tok Ayah Bidin mengenai mimpi kalimah ismu zat yang telah aku bermimpi mengenainya, apakah Tok Ayah Bidin benar-benar melakukannya. Tok Ayah Bidin mengatakan benar.Pada malam itu Tok Ayah Bidin telah meletakkan kalimah ismu zat di dahiku.
Selepas pengesahan itu, Tok Ayah Bidin lalu menganugerahkan pula satu lagi amalan buat aku dan isteriku iaitu kalimah lam jilalah merentangi muka dengan huruf alif di tengah-tengah. Juga kalimah ba dan ta di kelopak mata atas dan bawah. Dengan penganugerahan ilmu tersebut Tok Ayah Bidin mengingatkan supaya aku dan isteri jangan mudah marah dan kalau marah juga, jangan renung anak mata orang kerana akibatnya orang tersebut akan muntah darah.
Aku teramat gembira dengan semuanya itu. Terasa benar bahawa aku telah dihargai dan diraikannya dengan sebaiknya. Terasa benar bahawa aku juga telah mendapat tempat di hatinya.
`Sebagai anak murid Ayah’, Tok Ayah Bidin berkata lagi`Awak berdua kena faham benar-benar hakekat Allah Taala’, Tok Ayah Bidin melanjutkan.
Lalu dia menerangkan secara rengkas konsep kosong lalu menjadi satu titik dan proses seterusnya. Konsep itu telah aku temui dalam kitab Hakekat Insan karangan Ahmad Laksamana yang telah diharamkan.
`Amalkan betul-betul. Biar kasih kepada Tuhan. Kasihkan Tuhan betul-betul’, katanya lagi
Aku cukup gembira dengan kunjungan pada kali ini kerana tanpa terduga aku telah mendapat pengiktirafan. Pengiktirafan sebagai anak murid Tok Ayah Bidin. Apakah ada pengiktirafan yang lebih utama berbanding dengan pengiktirafan seperti itu yang datangnya pula, dari orang yang diberi amanah untuk kebangkitan Bangsa Melayu? Serta merta terasa terubatlah luka di hatiku yang dicederakan oleh Ayah La beberapa bulan yang lalu.
`Cikgu dengan Mek bertuah’, demikian rumusan Tok Lat bila aku memberitahunya pengiktirafan Tok Ayah Bidin tersebut.`Bukan senang nak dapat pengiktirafan itu. Bukan senang Tok Ayah Bidin nak iktiraf seseorang sebagai anak muridnya. Dan bukan senang juga nak jadi anak murid Tok Ayah Bidin.Cikgu dengan Mek memang bertuah’.
Mak keluar membawa kopi o.
`Minum Cikgu! Mek!’, pelawa Mak.
`Cikgu tak tahu siapa sebenarnya Tok Ayah Bidin’, Tok Lat berbicara seterusnya.Lembut dan mesra suaranya. Tapi suara yang lembut dan sedikit mendatar itu cukup bertenaga untuk menjadikan aku dan isteriku bertambah tertarik dan teruja. Kami mulai bertambah kusyuk mendengar bicara dari orang yang sangat luar biasa itu.Kami menanti penerangan selanjutnya. Tentu ada rahsia yang sangat besar mengenai Tok Ayah Bidin yang barangkali belum dirungkaikan oleh Tok Penghulu Malim kepadaku atau Tok Penghulu Malim sendiri pun belum mengetahuinya.
`Tok Ayah Bidin sebenarnya adalah adik Tok’
`Ha? Adik?’, kami berdua bersuara serentak.
`Adik bongsu’, dia menerangkan.
`Bila genap usianya 40 hari, Tok Ayah Bidin tiba-tiba hilang dari buaian’.
Kesah itu mendatangkan kejutan yang bertambah hebat kepada kami. Terpegunlah kami dengan maklumat yang ajaib itu, sambil mata tidak berkerdip menunggu bicara dari orang tua yang pada pendapatku, usianya telah menghampiri atau mungkin melebihi 95 tahun itu.
`Bila sudah tua macam sekarang, barulah tok dapat berjumpa dengan dia. Puas tok cari...’
`Dia hilang ke mana?’, aku menggali lagi.
`Istambul!’
`Istambul?’
Aku dengan isteriku saling berpandangan. Istambul letaknya di Turki.Bagaimana Tok Ayah Bidin boleh pergi dan hilang sebegitu jauh?
Lantas Tok Lat menerangkan bagaimana mereka yang telah terpisah sedemikian lama boleh bertemu pada kira-kira lima tahun yang lalu. Menurut Tok Lat, telah sampai khabar kepadanya ada orang yang begitu handal merawat penagih dadah di Tanah Merah. Tok Lat ingin berkenalan dan ingin melihat kaedah rawatannya. Bila sampai sahaja tiba-tiba kedua-duanya sama-sama tergamam. Tiba-tiba sahaja Tok Lat dan Tok Ayah Bidin bagaikan dikuasai oleh satu naluri dalaman.Tok Ayah Bidin yang sedang mandi dan berkain basah tiba-tiba datang menerpa Tok Lat dan mereka saling berdakapan, sambil sama-sama bertangisan dan berteriakan adik-abang, melepaskan kerinduan puluhan tahun. Atau ratusan tahun?
Tok Lat menceritakan bahawa Tok Ayah Bidin telah dibawa secara ghaib dan membesar dan berguru sehingga tamat dalam ilmu Tasauf dan ketuhanan di Istambul, Turki.Turki adalah sebuah kuasa Islam yang kuat pada zaman dahulu dan dikatakan memiliki kehebatan dalam ilmu peperangan – bukan teknologi peperangan moden tetapi teknologi kesaktian.
Pada masa kecil-kecil dahulu, aku sendiri pernah didongengkan mengenai kehebatan Istambul oleh aruah ayahku. Ilmu dari Turki telah dipelajari oleh orang-orang Indonesia sehingga orang-orang di Indonesia memiliki keajaiban dalam peperangan. Lalu aruah ayahku mendongengkan kesah kehebatan orang-orang di Indonesia.
`Bom orang putih tak meletup!’, begitu dikesahkan oleh aruah ayah ku.`Orang semua nampak bom jatuh. Bila nampak bom dijatuhkan dari kapal terbang, orang semua lari bertempiaran, takut meletup’.
Ayahku bercerita bagaikan dia betul-betul menyaksikan perstiwa itu.
`Tapi lama-kelamaan orang tak lari lagi’
`Tak lari? Kenapa ayah?’
`Orang berkerumun pula! Berebut-rebut!’
`Berebut? Berebut apa?’
`Berebut buah tembikai!’
`Buah tembikai? Kenapa pula ada buah tembikai?’
`Sebab bom tak meletup!’
`Tak meletup? Kenapa?’
`Sebab bom sudah menjadi buah tembikai!’, tambah ayahku dengan yakin.
`Macam mana?’, aku yang ketika itu pada usia sekolah rendah, menjadi cukup takjub mencari di mana logiknya kesah itu. Aku pada zaman kanak-kanak dikatakan omeh oleh abangku kerana banyak bertanya.Berbeza dengan abangku yang suka mendengar diam-diam. Aku banyak bertanya kerana ingin tahu satu kesah mengenai keajaiban ilmu. Sifat-sifat itu menandakan pemikiran yang kritis dan kreatif, hingga akhirnya akulah satu-satunya anak yang berjaya dalam pelajaran yang dilahirkan dari sebuah keluarga petani yang miskin.
`Habis boleh makanlah, ayah?’, aku pada usia kanak-kanak terus bertanya.
`Boleh...’,kata ayahku. Aku bersama abangku juga kakakku ternganga.Heran memikirkan bagaimana bom boleh jadi buah tembikai dan kemudiannya boleh pula dimakan.
`Maniskah ayah?’
Aku bertanya lagi. Soalanku menyebabkan ayahku geli hati.Lalu meledaklah ketawanya.
`Manislah agaknya....’,dan ayah terus ketawa. Aku tidak pasti ayah ketawa kerana apa. Dan aku juga tidak pasti sehingga kini akan kebenaran kata-kata aruah ayahku itu.Barangkali dia bergurau. Tapi itulah realiti pada zaman ayahku sendiri sebagai seorang kanak-kanak yang menempuh era Perang Dunia I dan menjadi orang muda yang telah berumahtangga sewaktu Perang Dunia Ke 2. Ayah menempuh zaman kekejaman pemerentahan Jepun, komunis Bintang Tiga, zaman darurat dan Tanah Melayu yang masih muda selepas kemerdekaan. Ayah dibesarkan dalam keadaan dunia yang penuh kacau-bilau dan huru-hara, justru tidak hairanlah kesah-kesah luarbiasa, kesah-ksah kesaktian, orang kebal dan boleh menghilangkan diri menjadi sebahagian dari asam garam hidupnya kerana begitulah teknologi perang pada zaman yang silam.
Pada waktu aku masih kecil, digambarkan bahawa Istambul dan Indonesia adalah dua bangsa yang melahirkan ramai manusia-manusia berilmu sakti, luar biasa dan hebat-hebat. Didongengkan bahawa orang Indonesia juga memiliki berbagai-bagai kesaktian yang lain dan pusat kehebatannya terletak pada tangan Presiden Indonesia yang pertama iaitu Seokarno.Entah ia entah tidak, aku tak tahulah.
Kesah-kesah kehebatan ilmu kebatinan adalah nostalgia pada zaman yang lalu! Apakah sekarang - pada peperangan zaman moden dengan teknologi robot, komputer dan mesen, kesaktian silam telah tidak berfungsi lagi?
`Cikgu cari bedak sejuk’, Tok Lat memberi arahan bagaimana harus kami lakukan kepada biji-biji permata delima yang diambil dari Tok Ayah Bidin itu.`Cikgu taburkan bedak-bedak sejuk tersebut ke dalam kain kuning yang lebarnya kira-kira sejengkal jari manis.Lepas itu Cikgu ambil permata delima dan titiskan sedikit madu lebah padanya. Cari pula keminyan dan taburkan di atasnya. Bila siap Cikgu simpanlah elok-elok dan jangan buka-buka sehingga 40 hari. Mek boleh buat...’, lalu Tok Lat memandang isteriku. Isteriku mengangguk.
Arahan yang diberikan kami simpan di dalam hati, menanti masa untuk dilaksanakan.
`Ada apa-apa yang perlu dibaca Tok’, aku mohon penjelasan.
`Tak payah! Biar Tok sendiri yang buat’
Dan dengan kata-kata itu Tok Lat lalu membaca beberapa ayat. Aku dengar dia membaca surah al Fatehah, diikuti dengan selawat dan selepas itu aku tidak pasti apakah pula ayat-ayat yang lain.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan