22.
KERIS PUSAKA WALI.
Setakat kini, aku sebenarnya tidak ingat, sudah entah berapa kali aku pergi ke rumah Tok Ayah Sohor. Setiap kali pergi, aku tidak pernah pergi sendirian. Isteri dan empat orang anak-anakku mesti ikut sama. Kami biasanya bertolak dari rumah pada sekitar 7.30 - 8.00 pagi dan sampai ke Tanah Merah pada sekitar jam 12.30 tengahari hingga 1.30 tengah hari – bergantung kepada berapa lama berhenti di Kuala Berang, serta kadar kesibukan lalulintas di jalan raya. Apabila akan bertolak, biasanya pada hari Sabtu, isteriku dan Kak Long serta Kak Ngah akan bangun pada awal-awal pagi untuk membuat persiapan. Untuk menjimatkan belanja, isteriku akan menyediakan semua keperluan makan dalam perjalanan termasuk makan tengahari. Kami tidak singgah di kedai makan.
Bila sampai di Kuala Berang biasanya kami akan berhenti untuk membeli buah tangan. Biasanya jagung manis dan pisang lemak manis atau pisang jelai berangan.Kami juga membeli jagung manis yang sudah direbus dan kacang rebus untuk dimakan di dalam kereta. Kadang-kadang kami membeli juga keledek atau batang keladi serta isinya, atau buah-buahan tempatan mengikut musim. Mak Cik tempat kami sentiasa singgah untuk membeli itu – kerana jagung manisnya lebih sedap berbanding tempat-tempat yang lain - begitu baik hati dan pemurah. Bila keretaku sampai dan berhenti di hadapan gerainya, dia kelihatan cukup gembira. Kadang-kadang dia bagaikan berlari-larian meraikanku di kereta. Makcik itu nampak benar berkenannya dengan aku sekeluarga. Bila akan bertolak pergi, bagaikan tak muat tangan pemberiannya. Semoga Mak Cik yang baik budi itu dikurniakan rezeki yang murah dan mendapat barakah yang banyak dari Allah Rabbul Alamin. Amin!
Seperti selalunya, sebelum bertolak ke Tanah Merah, aku perlu membuat temujanji terlebih dahulu dengan Tok Ayah Sohor. Aku perlu memastikan Tok Ayah Sohor tidak ke mana-mana kerana ada juga waktunya walaupun telah dibuat temujanji,Tok Ayah Sohor tiba-tiba tidak ada di balaisahnya kerana dibawa oleh orang ke tempat lain. Bayangkan perjalanan sejauh hampir 800 kilometer pergi dan balik, menjadi perjalanan yang sia-sia sahaja apabila balaisah kosong tiada berpenghuni!
Selepas aku menghubungi telefon bimbitnya pada suatu hari Jumaat, Tok Ayah Sohor memberitahuku, dia ada urusan selepas waktu tengah hari pada keesokan harinya. Jadi kalau aku mahu pergi menemuinya, aku perlu sampai segera. Lalu aku menjanjikan akan tiba pada jam 12.30 tengah hari. Oleh kerana terikat dengan janji untuk tiba jam 12.30 tengah hari pada suatu Sabtu hari itu, aku terpaksa memandu kereta dengan kelajuan yang melebihi paras biasa. Selalunya aku memandu dengan kelajuan 90 -100 kmj sahaja, tetapi pada hari itu, aku memandu dengan kelajuan sehingga ada kalanya mencecah 130kmj. Isteriku yang sentiasa peka mengawal kelajuan kereta, pada hari itu dia terpaksa menahan rasa cemas. Dia sedar aku terikat dengan janji untuk tiba jam 12.30 tengahari.
Entah mengapa perjalanan pada hari itu, terlalu banyak lori di jalanraya. Untuk sampai ke Kuala Berang kereta bergerak sungguh perlahan. Selepas meninggalkan Kuala Berang baharulah kesibukan di jalan raya agak reda.Oleh kerana diburu masa, aku acapkali mengabaikan garisan berkembar. Jauh sekalilah dari mematuhi tanda had laju. Akibatnya aku terkena perangkap had laju jalan ke Jeli pada tempat had lajunya 70 kmj. Setelah bertengkar dengan polis lalu lintas, aku memecut semula seperti tadi kerana jam pada ketika itu memang telah melebihi pukul 12.00 tengahari.
Alhamdulillah, keretaku masuk ke simpang rumah Tok Ayah Sohor pada jam 12.28 minit dan tepat 12.30 minit tengah hari aku telah sampai di muka pintu balaisahnya. Tok Ayah Sohor seperti biasa duduk bersila di atas sejadah dengan pakaian rasminya – kain pelikat tanpa baju. Dia menjawab salamku bila aku melangkah masuk ke balaisah.
`Tepat dia sampai’, Pak Badur yang merupakan pembantu peribadi Tok Ayah Sohor bersuara meraikan ketibaan aku sekeluarga. Dia sedang duduk di penjuru kiri balaisah. Dialah yang menjaga balaisah apabila Tok Ayah Sohor akan ke mana-mana.Dia memang telah mengenaliku sebagai salah seorang anak murid Tok Ayah Sohor yang paling asyek berkunjung.
`Dia ini memang tepat bila berjanji’, Tok Ayah Sohor berkata merujuk kepadaku.
Aku sampai di hadapannya dan memberikan sembah salam penuh kesantunan seperti yang kulihat dilakukan oleh Tok Penghulu Malim. Tok Penghulu Malim pun mencadangkan supaya aku mengikut gayanya kerana gaya tersebut mengilhamkan penurunan dan penganugerahan ilmu yang banyak atau sampai habis dari guru. Aku tidak pasti pula sejauhmana kebenarannya. Tapi Tok Penghulu Malim sesungguhnya adalah model utama bagiku dalam amalan Tasauf.
Seperti biasa tidak ada bual bicara yang banyak dengan Tok Ayah Sohor. Tidak ada sembang-sembang kosong. Bila aku sekeluarga sampai, hanya bualan yang perlu sahaja dan selepas itu dikurniakan tambahan ilmu dan amalan. Bukan berbentuk ayat tapi kalimah-kalimah tertentu di tempat-tempat tertentu. Ada kalanya hanya bertemu sekadar 10 minit sahaja untuk satu anugerah ilmu. Lepas itu kami akan pulang. Bukan tidak mahu sembang-sembang ilmu, tapi apabila ilmu diberikan, Tok Ayah Sohor akan menghulurkan tangan. Selepas itu, dia akan berkata:
`Amalkan.Mek juga.Ayah izinkan’.
Bila selesai acara seperti itu aku tidak ada pilihan lain lagi. Aku akan memohon izin untuk balik. Kecualilah kalau aku ada apa-apa isu yang mahu dibicarakan, Tok Ayah Sohor akan melayanku lebih lama sedikit. Dia sentiasa dalam tugas dan kesibukan, walaupun pada waktu tidur, dia tetap bertugas.Begitulah maklumat mengenainya yang Tok Penghulu Malim berikan.
Apabila selesai urusan dengan Tok Ayah Sohor, kami akan terus sahaja balik dan berhenti makan tengahari di suatu tempat teduhan di tepi sungai berhampiran Setiu menghala ke Kuala Terengganu. Kadang-kadang kami berlama-lamaan di Kuala Terengganu, terutamanya di Pasar Payang untuk keperluan-keperluan tertentu. Biasanya kami sampai kembali ke rumah sekitar pukul 9.00 - 10.00 malam. Demikianlah pengalaman selama bertahun-tahun, sekurang-kurangnya sebulan sekali atau ada kalanya dua kali sebulan berkunjung ke balaisah Tok Ayah Sohor di Tanah Merah.
Pada pertemuan ini, selepas menganugerahkan tambahan ilmu dan selepas izin amal, Tok Ayah Sohor tiba-tiba berkata kepadaku:
`Ada satu anugerah untuk awak. Pemberian para wali’, aku sedikit terkejut dengan kata-katanya itu. Isteriku juga.
`Pergi buka almari itu’, perintahnya.
Mata kami semua terpaku kepada almari cermin di sebelah kanannya itu.
`Ada tiga bilah keris di situ, awak pilih dan ambil satu sahaja’, Tok Ayah Sohor memberikan arahan. Aku tiba-tiba menjadi gugup dan berdebaran. Aku segera bangun dan berjalan perlahan ke arah lemari tersebut. Aku membuka pintunya. Memang di dalam almari tersebut ada tiga bilah keris yang sebaya panjangnya. Ada juga beberapa bilah keris kecil. Tiga bilah keris yang panjang berada dalam sarung kayu kekuningan dan berukiran, sementara beberapa bilah keris yang pendek berada dalam sarung yang bagaikan dibuat dari gading. Aku keliru mana satukah yang perlu diambil. Tok Ayah Sohor suruh ambil satu sahaja. Ada dua bilah keris yang pada pangkal ulunya terhias dengan batu-batu permata yang berwarna-warni sementara yang sebilah lagi terhias dengan permata bewarna putih semuanya. Setelah terintai-intai dan terpilih-pilih, aku memilih sebilah dari keris yang dihiaskan dengan batu-batu permata kecil yang berwarna warni terebut. Keris itu menjadi pilihanku kerana dia nampaknya lebih anggun dan tersisip di dalam sarung yang cantik ukirannya. Aku lantas menyerahkan kepada Tok Ayah Sohor.
`Ha! Betullah pilihan awak’, Tok Ayah Sohor bersuara.`Yang ini memang keris lelaki – memang untuk awak!’
Aku terpinga-pinga dengan kenyataannya itu. Gembira? Aku tidak pasti. Dia lalu meminta aku menghunuskan keris itu. Bila terhunus bersemaraklah aroma wangian atar.
`Keris ini milik Sunan Gunung Jati, Wali Songo’, dia memberikan maklumat yang amat mengejutkan.
Tok Ayah Sohor lantas menerangkan secara rengkas siapa Wali Songo. Maulana Malek Ibrahim adalah Wali Songo yang pertama. Wali Songo terkenal juga dengan nama Wali Sembilan. Selepas Maulana Malek Ibrahim, Wali Songo seterusnya ialah Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Giri, Sunan Drajad, Sunan Kudus, Sunan Mria dan Sunan Gunung Jati. Aku sebagai seorang yang meminati dan mengetahui sejarah, memanglah telah biasa dengan nama-nama tersebut. Kesah Wali Songo memang di antara kesah para wali yang aku telah baca.Mereka adalah pejuang dan penyebar agama Islam yang gigih di Tanah Jawa dan menjadi benteng kepada pengaruh Hinduisme yang berpusat di Candi Borobodur di Tanah Jawa. Mereka juga menjadi benteng kepada asakan pengaruh Kristian oleh penjajah Belanda di Indonesia.
Aku meneliti keris itu. Ada 12 lok semuanya.Isteriku nampak tertarik.Begitulah juga anak-anakku.Mereka berkerumun mendekatiku untuk melihat keris tersebut dari jarak dekat.
`Ada tiga bilah semuanya. Satu untuk lelaki. Satu untuk perempuan dan yang satu lagi adalah keris pertabalan. Awak pergi ambil lagi. Ambil semua sekali’, Tok Ayah Sohor memberikan arahan seterusnya.
Bergeraklah sekali lagi aku ke arah almari tersebut.Bila sampai aku tiba-tiba bertanya:
`Keris yang kecil-kecil ini Tok Ayah, ambil juga?’
`Ambil semuanya’, jawabnya.
Anak keduaku memberi bantuan mengambil beberapa bilah keris kecil, bila aku meminta bantuannya. Tak muat tanganku.
Tok Ayah Sohor lantas memintaku menghunuskan satu persatu keris-keris tersebut. Aku lantas membuka keris untuk perempuan. Tidak ada bezanya dengan keris untuk lelaki. Cuma bentuk ulunya dan tatah keemasannya yang lebih cantik dan unik.Keris yang ketiga iaitu keris pertabalan, besi matanya nampak bertompok-tompok bulat berlorekan, lurus sahaja matanya tanpa lok. Aku menghunus sebilah dari keris-keris kecil tersebut. Bila terhunus, Tok Ayah Sohor pun berkata:
`Keris itu boleh terbang sendiri’
Aku terkejut bercampur gembira mendengarnya.
`Kelima-limanya, ayah?’
`Ya! Kalau berlaku perang, awak anak beranak selamat di dalam rumah’
Aku tambah terpegun dengan maklumat itu.
Aku sedang memikirkan apakah akan aku mengambil kesemuanya atau cuma mengambil sebilah sahaja untuk diriku sendiri. Apa pun aku terlebih dahulu perlu mengetahui berapakah jumlah damnya. Aku sesungguhnya tidak bersedia untuk membayar dam yang terlalu tinggi.Lantas aku bertanya Tok Ayah Sohor.
`Damnya berapa ayah?’
`Yang lelaki – keris untuk awak seribu lima ratus’
Wow! Aku terkejut lalu terdiam. Perasaanku terasa sedikit tertekan. Wang di dalam dompet cuma ada RM1000.00. Kalau aku mahu memilikinya, terpaksalah aku meminta sebanyak RM500.00 dari isteriku. Sedang terfikir-fikir itu, Tok Ayah Sohor berkata lagi.
`Keris ini nak duduk dengan awak. Nanti awak bawa pada tokmu, biar dia buka rahsianya’
Mendengar kata-katanya itu, aku tidak mempunyai pilihan lagi. Aku mesti mengambilnya. Aku perlu mengetahui apakah rahsia di sebalik keris ini. Ertinya aku perlu meminta duit tambahan dari isteriku. Dalam pada itu tergerak juga di hatiku, apa kata kalau aku mengambil kesemuanya. Lantas aku bertanya Tok Ayah Sohor.
`Kalau saya ambil kesemuanya, berapa damnya ayah?’
`Empat ribu lima ratus’
Aku menjeling isteriku. Dia berwajah agak suram. Aku cuba menghetong keupayaan kewanganku. Memang aku tidak memiliki wang simpanan selain di Tabung Haji. Simpanan kewanganku memang terhad.Maklumlah pendapatan sebelah tangan. Kalau isteri bekerja bolehlah tahan.
Aku menjadi begitu serbasalah sekarang. Kalau keris ini membawa makna besar kepada kehidupan, kenapa aku tidak sanggup berkorban? Berakit-rakit dahulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Demikian madah orang tua-tua. Hajat di hati, kalau mampu, mahuku ambil kesemuanya. Lalu aku berkata kepada isteriku.
`Kalau kita nak ambil kesemuanya, kita keluar duit Tabung Hajilah!’, aku memberikan cadangan. Isteriku merenungku. Wajahnya masih bermendung. Sejurus kemudian dia bersuara bagai berbisik.
`Nantilah dulu... Kita baliklah dulu...’, isteriku memberikan cadangan.
Bila mendengar kata-kata isteriku itu, aku lalu berkata kepada Tok Ayah Sohor.
`Saya ambil sebilah sahajalah ayah’.
`Boleh...’
Aku mengeluarkan dari dompet wang sejumlah RM1000.00 dan isteriku menghulurkan RM500.00. Aku terus menyerahkan kepada Tok Ayah Sohor.
Selepas itu selesailah urusanku. Aku menyimpan kembali ke dalam almari semua keris yang lain.Bila semua keris telah siap disimpan, kami semuanya memberikan sembah salam, lalu akan melangkah keluar. Pada ketika itulah Tok Ayah Sohor berkata lagi.
`Jangan bagi Tok Malim tahu!’, pesannya. `Tok Malim nak sangat keris yang awak bawa itu’
Aku mengangguk dengan hormat sambil memberi janji. Tidak pula kutanya kenapa Tok Penghulu Malim dilarang dari mengetahuinya.
Isteri dan anak-anakku pulang dengan perasaan yang bercampur. Aku pun sama. Apakah aku gembira?Apakah isteriku gembira? Entahlah. Yang jelas, rancangan asal untuk singgah di Pasar Payang kerana ada beberapa hajat di sana terpaksa dibatalkan. Terpaksalah menanti gaji bulan hadapan pula atau entahkan bila barulah boleh singgah semula di Pasar Payang. Nampaknya kami tepaksalah membatalkan rancangan tersebut dan terus sahaja pulang mengikut jalan Kuala Berang – Jabor.
Kembalilah ke pangkal jalan sementara masih berkesempatan..
BalasPadamDah byk org kena pekena mcm ni.... Mudah sgt kah nak dapat keris sunan gunung jati tu?
BalasPadam