24.
MISTRI KERIS NAGA MAS
Aku segera menghubungi Tok Ayah Sohor mengesahkan akan mengambil kesemua keris keluarga Naga Mas pada hari Sabtu minggu hadapan. Aku berpesan supaya jangan dia berikan kepada sesiapa jua.
Bila maklumat mengenai mistri Naga Mas menjadi tergantung oleh kehadiran Tok Penghulu Malim, aku mulai merancang waktu yang lain untuk bersama Tok Lat. Aku sesungguhnya teramatlah ingin untuk mengetahui rahsia selanjutnya mengenai Naga Mas. Demikianlah juga isteriku. Isteriku cukup terkilan kerana pada hari Ahad lalu, dia tidak boleh pergi. Maklumlah pada hari sebelumnya iaitu Sabtu, kami sekeluarga pergi ke Tanah Merah. Hari Ahad tentulah menjadi hari yang teramat sibuk baginya untuk membuat persiapan untuk anak-anak ke sekolah - membasuh dan menggosok baju termasuk pakaianku sendiri. Dia menyatakan rasa yang sangat terkilan kerana tidak dapat menyaksikan satu peristiwa yang menakjubkan apabila Tok Lat berkomunikasi dengan orang di alam ghaib melalui Naga Mas.
Selepas Tok Penghulu Malim menasihatkanku supaya mengambil semua sekali keris keluarga Naga Mas tersebut, dari segi kewangan, aku tidak ada pilihan yang lain lagi. Aku terpaksa mengeluarkan wang simpanan di Tabung Haji. Sebelum mengeluarkannya, pegawai di Tabung Haji memberi pilihan kepadaku iaitu samada mahu menangguhkan pemergian ke Tanah Suci kepada satu jangka waktu yang sesuai. Aku berpendapat dengan keupayaan simpanan yang rendah tidak mungkin aku suami isteri dapat menunaikan Fardu Haji dalam tempoh penangguhan yang ditetapkan.Oleh kerana tidak ada pilihan lain, aku pun membuat keputusan membatalkan hajat menunaikan Fardhu Haji. Dengan keputusan itu baharulah aku boleh mengeluarkan wang simpanan tersebut.Pilu juga hatiku dengan keputusan itu.Mudah-mudahan Allah Azzawajalla melapangkan rezekiku untuk menabung semula bagi membolehkan aku suami isteri pergi ke Tanah Suci bila tiba saat seruanNya nanti.Amin.
Rabu jam 4.00 petang.Di ruang tamu rumah Tok Lat sekarang.
`Naga Mas, Cikgu, ditempa dari besi tua’, Tok Lat memberikan informasi mengenai Naga Mas apabila aku memohon diperjelaskan.`Dari besi asal. Dari besi kharsani - raja segala besi, dan lebih tua berbanding dengan keris Taming Sari’.
Aku begitu terpesona dengan maklumat di luar jangka itu.
`Taming Sari ditempa kemudian, Cikgu’, Tok Lat memperjelaskan seterusnya. `Dari saki baki besi Naga Mas baharulah ditempa pula keris Taming Sari. Maksudnya Naga Maslah asal Taming Sari’
`Oooo’
Aku cukup terpegun dengan maklumat itu.
`Kalau begitu, tok, apakah Naga Mas sehebat Taming Sari?’, aku bertanya pula.
`Macam itulah Cikgu’, dan Tok Lat berhenti sebentar untuk menghirup kopi o yang dihidangkan oleh Mak sebentar tadi.
`Tapi Naga Mas tidaklah dibawa bertikam`
`Kenapa?’
`Sebab dia bukan keris panglima’.
`Maksud tok?’
`Naga Mas keris raja`, Tok Lat menjawab dengan tegas. `Dia berada di dalam simpanan raja. Kalau tidak di tangan raja, keris Naga Mas berada pada tangan para wali. Orang ramai tidak tahu rahsia Naga Mas, Cikgu. Naga Maslah, sebab menjadi teguh seseorang raja dan kerajaan. Sebagaimana Taming Sari juga, menjadi sebab teguhnya seseorang panglima’.
Tok Lat diam sebentar. Kami suami-isteri mendengar dengan begitu asyek.
`Tapi Naga Mas tidaklah masyhur sebagaimana Taming Sari sebab dia adalah rahsia raja – rakyat ramai tidak tahu. Naga Mas pakaian raja. Sebaliknya keris Taming Sari menjadi masyhur sebab dia menjadi senjata pertikaman – pakaian panglima. Oleh kerana kemasyhuran Hang Tuah sebagai panglima Melayu tersohor, menjadikan Taming Sari tumpang mendapat nama’.
`Jadi maksud tok, kalau tak ada Hang Tuah, adakah keris Taming Sari mungkin tidak terkenal?, isteriku pula bertanya.
`Terkenal juga Mek! Raja besi, besi yang paling bisa..Tapi Hang Tuahlah yang lebih memasyhurkannya’
Dan Tok Lat berhenti lagi sebentar. Menghirup kopi o lagi.
`Hang Tuah dengan Taming Sari adalah simbul, Mek. Simbul Melayu dengan Jawa. Tapi Hang Tuahlah yang lebih terkenal, berbanding Taming Sari. Hang Tuah adalah kebanggaan Melayu. Mulutnya bisa – menjadi tanda zaman berzaman bahawa Bangsa Melayu terus hidup dan akan bangkit!’
`Oooo’.
`Inilah simboliknya, Cikgu, Mek. Taming Sari dengan Hang Tuahnya. Jawa dengan Melayunya.Kehandalan Hang Tuah bergabung dengan kehebatan Taming Sari, menjadikan Hang Tuah tidak terkalahkan. Demikianlah juga Melayu dengan Jawa, Cikgu, Mek. Satu kesatuan dan satu kepaduan. Jawa mesti bersama Melayu untuk kebangkitan. Ertinya Cikgu, Indonesia dan Malaysia perlu bersatu – satu rumpun’
Kami terpesona dengan kupasan Tok Lat itu.Tok Lat mengipas-ngipas badannya yang kepanasan. Dia yang baru sahaja sampai ke rumah, belum pun sempat berehat, tiba-tiba kami suami isteri sampai. Terpaksalah dia melayani kami. Aku mengharapkan pada tempoh kini, untuk sekurang-kurangnya setengah jam dari sekarang, tidak ada sesiapa yang datang kerana aku memerlukan saat ini untuk menggali rahsia Naga Mas.
Tok Lat mencapai Benson dan menyalakan. Benson yang aku bawa tadi. Apabila berkunjung ke rumah Tok Lat kami jarang-jarang datang dengan tangan kosong.Nasihat Tok Penghulu Malim memang kami amalkan. Justru setiap kali datang aku pasti akan membawa buah tangan. Sekurang-kurang sebungkus besar rokok Benson. Kadang-kadang gula sekilo dua. Ada juga waktunya beras lima kilo.
`Tapi Taming Sari teramat bisa, Tok! Bukan sahaja bisa, tetapi sesiapa sahaja yang memegangnya menjadi kebal. Adakah Naga Mas begitu juga?’
Tok Lat tersenyum.
`Begitulah Cikgu’,Tok Lat masih tersenyum. Dia menyedut Benson beberapa kali.Asap Benson sempat juga menyesakkan dada isteriku. Walaupun kipas kecil berputar laju namun asap tidak sempat pergi jauh, oleh ruang tamu yang agak kecil itu. Pintu pula sengajaku tutup supaya orang menyangka Tok Lat belum balik.
`Kalau berlaku peperangan Cikgu’, Tok Lat berbicara seterusnya.`Kalau pada Cikgu ada Naga Mas, Cikgu ada pilihan samada untuk pergi berperang atau duduk berzikir sahaja’.
Aku terkebil-kebil.Tidak faham maksudnya.
`Kalau Cikgu tak mahu berperang, Cikgu boleh duduk berzikir sahaja, dan semua senjata kumpulan Naga Mas akan terbang dengan sendirinya untuk membunuh seteru’.
Aku mendengar maklumat itu dengan rasa seronok.Sungguh puas mendengar berita itu. Sungguh puas rasanya kalau memiliki kesemua keris dalam kumpulan Naga Mas itu. Bagaikan tidak sabar rasanya untuk menanti ketibaan hari Sabtu, hari untuk ke rumah Tok Ayah Sohor dan mengambil kesemua sekali keris keluarga Naga Mas tersebut.
`Naga Mas adalah keris yang terakhir zahir ke alam nyata, Cikgu’, Tok Lat memberikan maklumat seterusnya.`Tok dengan Tok Ayah Sohor telah mendapat alamat, sejak mula pertama kali melihat Cikgu lagi, bahawa keris ini akan diserahkan kepada Cikgu’
Aku tergamam mendengar maklumat yang mengejutkan itu.
`Tapi tidakkah sebelum ini Naga Mas akan diserahkan kepada Tok Penghulu Malim?’, aku bertanya.
`Siapa kata?’, Tok Lat bagaikan marah.
Aku tidak menjawab. Aku memang tak tahu apa-apa.Cuma aku mengesyaki sahaja kerana Tok Penghulu Malim pernah melahirkan rasa terkilannya, dia sekadar pemegang keris-keris diraja tetapi tidak dianugerahi keris kebesaran peribadi selain bertaraf panglima.
`Mereka telah bersetuju menyerahkan Naga Mas kepada Cikgu’,Tok Lat mengulangi kenyataan yang telah disebutkan pada pagi Ahad yang lalu.
`Tapi Tok Penghulu Malim nampak bagaikan terkilan, tok.Nampak seolah-olah Tok Penghulu Malim sudah tahu kesah Naga Mas’
`Dia memang tahu tentang keris Naga Mas!’, pantas Tok Lat menjawab.Tegas nada suaranya. `Tapi dia tak boleh! Titisan dia lemah berbanding dengan Cikgu. Titisan Cikgu lebih kuat. Bila bercantum dengan titisan Mek, Cikgu jadi bertambah kuat’.
`Tapi kenapa dia bagaikan terkilan?’
Tok Lat sekadar tertawa.
`Sebenarnya Cikgu, biar tok jelaskan, kenapa Cikgu dipilih. Cikgu adalah warisan yang kuat untuk diserahkan perkara ini.Bila Cikgu dengan Mek datang ke rumah tok untuk berubat dulu, pada malamnya tok telah mendapat alamat tentang Cikgu berdua. Cikgu dengan Mek adalah titisan yang bertemu’
`Titisan bertemu?’, aku menyoal.
`Kerana Cikgu dengan Mek datang dari titisan yang sama’
Aku tercengang dengan maklumat itu. Isteriku pun terkejut juga.
Walaupun maklumat kami dari titisan yang sama, seakan-akan telah pernah kami mengetahuinya, tapi setakat ini belum bertemu bukti yang sahih.Sewaktu emak aku masih ada hayatnya, pernah dia bersimbang dengan Tok Me, tok kepada isteriku – sekarang kedua-duanya telah tiada, bahawa ada satu nama orang pada zaman yang lalu, yang sama-sama dirujuk oleh mereka berdua iaitu Yang Melukut. Memang jurai keturunan aku dan isteriku berpunca pada nama itu iaitu pada sebelah ibu masing-masing.Cuma yang tidak dapat dipastikan adakah Yang Melukut itu merujuk kepada orang yang sama.Selain itu Tok Yang Hassan, pangkat moyang saudara kepada isteriku, adalah waris juga kepada ibuku. Ini tanda yang cukup kuat iaitu titisan kami berdua dari sebelah ibu datang dari titisan yang sama iaitu Yang Melukut. Pada ketika aruah emak dan Tok Me masih hidup, isu ini belum lagi timbul.Bila mereka telah tiada, kepada siapa lagi mahu dirujuk?
Semuanya itu membuktikan bahawa ada logiknya aku dan isteriku adalah dari titisan yang sama, tetapi aku tidaklah dapat membuat perkaitannya. Titisan paling atas yang aku ketahui dari sebelah emakku, hanyalah pada tahap aki sahaja iaitu Tok Aki Bakar dan Tok Tinah. Adik beradik Tok Aki Bakar ialah Tok Aki Deraman. Tapi siapa adik-beradik Tok Tinah? Di sebelah ayahku pula, siapa adik beradik Tok Aki Kasim? Ayah Tok Aki Kasim ialah Moyang Ismail. Siapa pula adik-beradik Moyang Ismail dan siapa di atasnya, aku tidak tahu. Isteri Tok Aki Kasim ialah Tok Halimah, tapi anak siapakah Tok Halimah? Begitulah kaburnya aku dengan titisan keturunan. Cuma yang selalu disebut, aku ada titisan darah Bugis terutama dari belah bapa. Di sebelah pihak isteriku pula, dari sebelah bapanya, memang jelas dari titisan darah Bugis.Memang kami tahu, ada nama-nama besar pada zaman yang lalu dikaitkan dengan kami.
Ertinya titisan di sebelah ibu kami, berkumpul pada nama Yang Melakut dan di sebelah bapa, sama-sama dari darah Bugis. Menjadi kebiasaan orang-orang dahulu menjodohkan anak masing-masing sesama waris; selalunya sepupu dengan sepupu atau paling jauh pun, dua pupu dengan dua pupu. Bila isteriku dipertemukan jodoh denganku, semua waris di sebelah isteriku menyangkakan tradisi silam semakin diabaikan. Isteriku orang bandar, sementara aku orang ulu. Tetapi siapa sangka, Allah mentakdirkan titisan yang telah terpisah selama ratusan tahun – yang sudah pasti dari induk yang sama - tiba-tiba bercantum kembali.Aku adalah titisan yang telah hilang! Tercampak ke dalam hutan nan ulu sejak zaman moyang dan aki kerana aku dari keturunan yang kalah dan lari. Tapi tiba-tiba aku dipertemukan dengan isteriku untuk dipertautkan kembali darah keturunan.Keturunan Bugis? Entahlah. Demikianlah takdirNya.
`Tadi tok ada menyebutkan, pada saya akan diserahkan perkara ini. Oleh kerana itulah Naga Mas diserahkan kepada saya.Jadi saya nak tanya, perkara apa yang tok maksudkan?’
`Ooo.Itu tak payah tanya, Cikgu!’.
Aku menjadi terkilan.Terkebil-kebil aku menatap wajah Tok Lat. Begitu juga isteriku. Tok Lat tersenyum. Dia bagaikan sedar aku teramat inginkan penjelasan, lalu dia berkata.
`Pada Cikgu, bukankah telah diberikan alamat?’
Aku terdiam.Sejak akhir-akhir ini memang aku ada mengalami mimpi-mimpi yang aku tidak mahu mempercayainya.Aku telah menceritakan mimpi-mimpi tersebut kepada isteriku dan isteriku ibarat mati balik hidup pun, bagaikan tidak mahu mempercayainya.
`Titisan Cikgu dengan Mek, adalah titisan yang masyhur. Cikgu akan menjadi masyhur nanti...’.
Begitu kata Tok Lat seterusnya sebelum aku bersama isteriku melangkah balik. Kami tertanya-tanya apabila mendengar maklumat yang sukar untuk dipercayai itu.
Menjadi masyhur? Entahlah....Dan aku bersama isteriku, Tok Lat biarkan terus tertanya-tanya.
bagus ceritanya.. saya dari keturunan bugis..
BalasPadamdari keturunan Daeng Chelak.
Semoga keturunan anda akan memuliakan kembali bumi Melayu dengan wajah Islam sejati sempena dan demi darjat dan darah mulia Penghulu Junjungan saw.
BalasPadam