04 Oktober 2010

76. Jumpa Tok Itam.

`Betulkah cucu jumpa tok pada malam tu?’, aku bertanya.
`Ha! Dah selalu minta nak jumpa, jumpalah’,tok menjawab.
Malam itu malam terang bulan. Aku tiba-tiba sampai ke sebuah kawasan seakan-akan sebuah sawah padi. Ada seseorang yang kelihatan sedang mara ke arah ku dari tengah-tengah sawah itu. Besar dan tinggi tubuhnya. Bila sampai di sisi ku ternyata, lembaga yang datang itu memang besar dan tinggi. Rasanya ketinggian ku memang sekadar paras dadanya sahaja.
Dalam hati aku berkata `inilah Panglima Hitam’.
Emi datang dari dapur membawa sedulang air. Ada juga sepiring kuih yang aku beli pada petang tadi di bandar Raub.Memang begitulah selalunya, bila berhajat akan memanggil tok, aku akan menyediakan juadah dan benda putih yang tok suka - Benson.
`Betul ke Mal ?’, Emi bertanya lagi bagi mengesahkan kebenaran mimpi ku.
Aku mengangguk kerana sebelum tok dipanggil, aku telah terlebih dahulu menceritakan kepada Yim dan Emi mengenai mimpi ku itu.Aku mahu tok dipanggil pada malam ini untuk mengesahkannya kerana memang sudah lama aku berhasrat dan beberapa kali pernah berdoa untuk berjumpa dengan Panglima Hitam.
`Tapi sekejap aje, tok !’, aku bagaikan mengesali diri.
`Ha! Dah cucu nak balik juga!’
Memang pada malam itu aku pun tidak tahu kenapa sebaik sahaja berjumpa aku tiba-tiba terus sahaja mahu balik.
`Apa yang dibualkan tok?’,aku bertanya setelah aku tidak ingat apa-apa mengenai apa yang aku dan tok bicarakan.
`Cucu tiba-tiba sampai. Cucu bagi salam, tok pun jawablah. Lepas itu cucu tanya,tok buat apa?Tok jawab, tanam padi.Bila tok pergi dekat cucu, adalah sembang satu dua patah lagi, tiba-tiba cucu kata nak balik. Tok cuba tahan, singgahlah kat pondok tok, minum-minum dulu, tapi cucu kata nak balik jugak.....Dah nak balik juga, baliklah....kata tok’
Aku memang kesal dengan saat yang teramat sejenak itu. Aku mengesali, kenapa aku tba-tiba mahu balik? Bukankah terlebih elok kalau kiranya aku dapat bersembang lama? Tapi kenapa terjadi begitu? Aku cukup kecewa.
Pada waktu awal-awal perkenalan dengan mereka dahulu, Yim yang tinggal sebilik dengan ku selalu bertanya pada pagi-pagi hari sebaik bangun dari tidur.
`Egkau ingat tak,Mal?’
`Ingat apa?’
`Cuba ingat-ingat’
`Tentang apa?’
`Malam tadi! Cuba ingat-ingat’
`Mimpi?’
`Ya! Mimpi malam tadi’
Aku berusaha megingati tapi tak ada apa-apa yang aku ingat. Sehinggalah Yim memberitahu ku.
`Malam tadi engkau pergi ke tempat tok. Puteri-puteri melayan engkau’
`Siapa?
`Puteri Gunung Ledang, Puteri Melor, Puteri Mayang Mengurai dan ramai lagi...’
`Aku buat apa?’
`Saja! Saja-saja.Bersembang-sembang’
Tapi aku memang tidak ingat apa-apa. Bukan sekali sebenarnya Yim bertanya soalan sedemikian. Beberapa kali sebenarnya, yang bermakna beberapa kali aku pernah di bawa ke tempat mereka, tetapi aku memang tak ingat apa-apa.Entahlah. Entah mengapa.
Ada dua kesempatan melihat Panglima Hitam.Padi kali kedua iaitu setelah aku memohonnya disebabkan aku tidak berpuas hati dengan mimpi yang pertama. Tok Itam sedang duduk. Aku berdiri di sisinya. Pada ketika itu aku memang dapat melihat wajahnya dengan lebih jelas dari sebelah kanannya.Kulitnya bukanlah hitam dari segi warna, tetapi berwarna hitam keperangan dan warna ini adalah hitam berbanding dengan warna-warna yang tidak kehitaman.
`Asyek tengok hidung kita aje!’, tok memberikan komen kepada ku yang memang pada malam itu aku syek melihat hidungnya yang besar dan mancung itu.
`Eee! Seronoknya dapat jumpa tok’, Emi mencelah.`Emi pun dah banyak kali berdoa nak jumpa tok.Tapi tak pernah dapat.Bila agak-agaknya, tok?’
Tok Itam sekadar tersenyum.
Rumah hijau tidak lagi seperti dahulu. Sekarang telah menjadi rumah kelamin campur bujang. Ini hanyalah buat waktu sementara sahaja kerana tak lama lagi aku akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya,mengikut jejak Wan yang telah terlebih dahulu melajutkan pelajaran ke USM. Keputusan STPM melayakkan aku melanjutkan pelajaran. Aku dapat keputusan yang agak cemerlang iaitu A bagi Sejarah, B bagi Bahasa Melayu dan dua subsidiari dengan Kertas Am kekal 3.
Bilik yang aku tinggal bersama Yim dahulu kini telah menjadi bilik Yim suami isteri, dan aku buat sementara tinggal d ruang terbuka tempat tidur Piei setelah Piei bertukar ke SMK.Jerantut.
Sebenarnya rumah hijau memang pernah beberapa kali menjadi tempat tidur Emi. Begitu juga Saedah. Semasa Yim sakit dahulu, Emi memang beberapa kali terpaksa di panggil dari Sungai Way untuk membantu merasionalkan kembali pemikiran Yim.Demikian juga Saedah, juga dalam usaha pemuiihan ingatannya. Bila Emi atau Saedah datang, akulah yang terpaksa membawa diri keluar bilik untuk memberi laluan kepada mereka. Bila mereka telah berumah tangga, aku jugalah yang terpaksa mengalah kerana itulah sahaja satu-satunya bilik yang berkunci pintunya di rumah hijau itu.
Dalaam hal ini Tok telah memberi pesanan sewaktu membina ikatan sesama kami dahulu, buatlah seperti adik-beradik; seperti saudara sendiri. Lantas demikianlah di hati ku tidak terniat walau sezarah pun rasa kecurangan. Aku rasa demikianlah juga Wan dan Piei.Kami beranggapan adik-beradik lima bersaudara.
Beruntungnya kami tidak disyaki oleh sesiapa walaupun beberapa kali aku, Wan dan Piei pulang berkumpul di rumah hijau bila ada apa-apa keperluan bersama, walaupun rumah berkenaan kemudiannya telah menjadi rumah kelamin. Tapi kami pun tahu, tok memang sentiasa mengawasi kami dan dapat menjenguk ke dalam hati kami. Kami pun memang dididik untuk memiliki hati yang lurus, berpegang kepada agama demi perjuangan agama.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum ....

    Baru sebulan jumpa blog ini.... suatu yang amat menarik.

    Kalau boleh nak tanya ..

    Ini kah bacaan yang membolehkan bersilat sendiri tu yang saudara adasebut bahwa itu adalah penipuan jin...

    1- Istigfar 7 kali
    2 - syahadah 3 kali
    3 - Fatihah 1 kali
    4 - Al-Ikhlas 3 kali
    5 Selawat 3 kali
    6 - bacaan anytara 2 sujud solat 1 kali

    Doa ... Ya Allah .... aku memohon perlindungan daripadaMu dari segala bahaya yang berlaku pada siang dan malam, Ya Allah ... aku memohon kepada mu ddengan izin Mu permainan persilatan ...... dengan izin Mu Ya Allah

    (Zikir dalam hati, ikut gerakan jika terasa).

    Itukah bacaannya ... atau bacaannya saudara berlainan. Saya juga amat berharapa saudara dapat menjelaskan dengan terperinci (melalui pengalaman saudara) bagaimana pengamal silat sebegini boleh tersesat dan terpesong.

    Sekian ... terima kasih

    Siti Sofeah Abdul Halim
    Kuala Kubu Baru

    BalasPadam
  2. Tq Siti Sofeah atas kesudian anda menjengah blog sy.
    Pertanyaan sdri ada jawapan dalam siri Tentera Akhir Zaman. Bacalah dari mula...kalau sanggup...
    Bagaimana jin menyesatkan akan sy buat ulasan setelah habis kesah ini di tulis. Sekarang pun telah hampir sampai ke penghujung.
    Tentang bacaan tak usah dihairankan.Semua nampak sesuai dengan Syariat Islam. Tapi demikianlah perdayaan.
    Untuk melihat kehebatan iblis dalam hal ini silalah jengah kesah Ranju-Ranjau Dalam Kembara yang ditulis sebelum siri ini.
    Sekian. Wassalamualaikum.

    BalasPadam