09 Oktober 2010

77. Tok Itam Minta Seluarnya Balik.

Bila waktu Maghrib hampir masuk, tok yang tadinya bersembang dengan aku, Dol dan Piei meminta izin untuk balik. Aku yang memang sentiasa cukup seronok bila saat-saat bersama tok, tiba-tiba mempelawa supaya tok bersembahyang di rumah sahaja.Memang sebelum ini ada sekali-sekala tok bersembahyang bersama kami. Selain Tok Hitam, Hang Tuah juga pernah. Tok Habib Noh bila datang memang menjadi imam.

`Tak boleh! Tok pakai seluar membajak.Tak bersih!’

`Tak apa! Tok boleh bersalin kain cucu Rahim’, Emi mencelah. Emi pun seronok kalau tok solat bersama.

`Ha! Betul tu! Kain cucu pun tak apa’, aku pula membuat tawaran.

Tok nampak termenung sejurus. Sejurus kemudian dia berkata.

`Boleh! Tapi cucu jadi imam’

Aku jadi tersentak dengan permintaannya. Aku belum pernah sekalipun dalam seumur hidup menjadi imam dalam sembahyang. Kami di rumah hijau sejak dahulu sehinggalah sekarang sembahyang sendiri-sendiri sahaja.

Aku termenung sebentar. Permintaan tok tersebut teramat berat buat ku tetapi dalam masa yang sama hati ku teramat ingin supaya tok ada bersama kami dan bersimbang lagi selepas solat Maghrib nanti. Dengan tok kami memang tak pernah merasa puas dan jemu. Sejak 1977 hingga sekarang 1979, bila tok datang tok akan sentiasa membicarakan hal-hal yang menarik – mengenai masalah kami, isu semasa, kesah-kesah tok pada zaman yang lalu, hal-hal agama dan sebagainya.

Tok menunggu jawapan dari ku yang masih ragu-ragu antara mahu atau tidak.Kalau mahu ,aku mesti menjadi imam solat Maghrib. Kalau tak sanggup jadi imam, tok akan pulang. Tok tidak pula meminta Piei dan Dol. Akhirnya aku membuat keputusan.

`Baiklah. Cucu akan cuba’, aku membuat keputusan yang berani.Sebelum ini bersama Tok Syed Noh memang kami telah diajar membaca surah al Fatehah dengan makhraj dan tajwid yang betul. Tok Man Misai yang menjadi guru Quran juga pernah membetulkan kami. Aku pun telah pernah membaca al Fatehah secara kuat yang didengari oleh rakan-rakan semasa Fatehah kami diperbetulkan oleh Tok Syed Noh. Jadi apa salahnya aku mencuba sekarang?

Kami mengambil wudhuk.Piei yang telah pun siap lebih awal membentang sejadah untuk kami solat Maghrib berjumaah. Tok dilayan oleh Emi untuk bersalin pakaian sembahyang – berkain pelikat dan berbaju Melayu, milik Yim.

Aku melaksanakan tugas buat julung kalinya menjadi imam. Tok Itam, Piei dan Dol menjadi makmum. Aku Berjaya melakukannya termasuk wirid dan doa sekali yang memang telah menjadi amalan ku. Pada ketika itu wirid dan doa yang aku amalkan rengkas sahaja.

Selesai solat kami bersimbang seperti biasa. Setelah kira-kira dua puluh minit bersimbang, tok lantas memberitahu dia mahu pulang. Kami pun mengizinkannya kerana menyedari tok memang ada banyak tugas. Pada malam-malam biasanya tok berzikir.

Selalunya bila tok akan pulang, dia akan terlebih dahulu akan berlam-salaman dengan kami sebagaimana juga sewaktu ketibaannya. Kami menanti tok menghulurkan tangan, tapi ternyata tok tidak menguhulurkan tangannya. Tiba-tiba tok berkata:

`Mana seluar tok?’

Kami tercengang.

`Seluar mana?’, aku bertanya dengan hairan.

`Selaur yang tok pakai tadi’

Kami tercengang buat kedua kalinya. Seluar mana? Kami terheran-heran.

`Kalau tok balik begini sahaja apa salahnya?’

`Heh! Tak boleh! Ini bukan pakaian tok’

Kami menjadi tercengang sekali lagi. Kenapa bukan pakaian tok sedangkan tok sedang memakai pakaian sekarang? Bukankah tok sedang berpakaian sekarang?

Bila melihat kami masih terpinga-pinga, tok lantas berkata lagi.

`Tok hendak seluar tok datang tadi. Seluar tok pergi membajak’

Pada ketika itu baharulah kami faham. Tok tadi datang dengan berseluar – pada mata kami seluar Yim, tapi pada hakekatnya seluar tok. Bila mahu bersembahyang tadi, tok bersalin pakaian baju Melayu dan kain sarung milik Yim. Jadi sekarang tok mahu balik seluar yang dipakai sewaktu kedatangannya tadi yang kami lihat ialah seluar Yim. Baharulah kamai faham kedudukan sebenarnya.

Emi yang telah mulai faham keadaan yang sebenar ketawa geli hati. Terpaksalah dia masuk semula ke dalam bilik dan mencari seluar yang Yim pakai tadi. Sejurus kemudian dia keluar semula membawa seluar yang dipakai oleh Yim sewaktu memanggil tok tadi.

`Ha! Inilah seluarnya. Inilah seluar yang tok pakai pergi membajak’

Tok lalu menanggalkan baju Melayu dan kain pelikat yang dipakainya dan digantikan dengan seluar. Selepas itu baharulah dia pulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan