24 Oktober 2010

80. Zikir Di Templer Park

Kami berada di rumah setinggan Kampung Pantai Dalam.Yim tinggal di sini. Dia tidak lagi bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Raub tapi telah beralih arah ke ibu kota. Rumah hijau di Raub masih di duduki oleh Dol yang pada ketika itu telah berjaya mendapatkan kerja dengan LLN/TNB.
Piei telah lama bertukar dari Jerantut ke Kedah. Sekolah pertama beliau ialah di SMK.Seri Gunung.Kemudian bertukar ke SMK.Alor Janggus dan seterusnya ke SMK.Siong, Baling, Kedah. Wan telah menamatkan pelajaran di USM dan bekerja dengan sebuah agensi Kerajaan Pahang sementara aku baru sahaja mula bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah.
Akulah yang paling banyak mendapat didikan tok secara berseorangan kerana sewaktu Yim di Raub aku selalu ke rumahnya dan melalui itulah aku lebih banyak mendalami soal-soal agama melalui tok.
Tok meminta kami pada kali ini berzikir – bertapa di luar; bukan di rumah lagi.Kami diminta merasai pula suasana bertapa di tempat yang berlainan samada di bawah pokok, di dalam hutan, di tepi anak sungai atau bahkan di dalam air.Tok memberitahu tempat yang terbaik adalah di dalam air kerana akan cepat mendapat ketibaan.
Bila kami berbincang, kami semua membuat keputusan untuk pergi ke Templer Park. Di sana ada air yang mengalir, ada hutan dan semak, ada kawasan lapang dan sebagainya sesuai dengan kehendak tok. Bila sampai, aku terus mencadangkan supaya kami semua berendam di dalam air sambil berzikir.Cadangan gila ku itu hampir sahaja dipersetujui kecuali Wan yang mengatakan habislah basah kereta Subarunya nanti....
Betullah juga. Akumemang mudah jadi gila tanpa memikirkan implikasinya!
Di tengah-tengah lalu lalang pengunjung ke taman itu kami tidak mempedulikan sesiapa dan apa komen orang-orang yang lalu lalang. Kami duduk bersila sambil memejamkan mata. Yim berada di sebelah ku, bertafakur di bawah satu pondok teduhan. Wan dengan Dol di suatu tempat yang lain sementara Piei duduk sendirian di pondok yang lain.
Kira-kira satu jam kami bermeditasi.
Kira-kira jam 10.00 malam, tok datang. Kedatangannya adalah khas bagi membuat refleksi mengenai pengalaman berzikir di Templer Park petang tadi.
`Tok nak dengar apa yang cucu dapat dalam berzikir. Yang pasti cucu semua telah dilimpahkan dengan cahaya. Betul bukan?’
Kami semua mengangguk.
`Beritahu tok, cucu dapat cahaya apa?’, tok menujukan soalan kepada Piei.
`Entahlah tok, Cucu nampak macam gelap sahaja’
`Mesti ada! Sekurang-kurangnya satu’
`Warna biru’, Piei menjawab.
`Ada lagi!’, tok berkata bagaikan dia telah tahu apakah warna cahaya yang dianugerahkan kepada Piei.
`Rasa-rasa macam warna hijau...Tapi sekejap sahaja’
Tok mengangguk.
`Cucu?’, Dol ditanyai pula
`Cucu satu sahaja tok. Warna merah’
Tok mengangguk lagi.
`Cucu?’, aku ditanyai
Aku tersenyum.
`Cucu banyak! Macam ada semuanya’
`Warna apa?’
`Biru, hijau, merah, kuning dan ...... cucu tak dapat sebutkan warnanya’
Warna-warna tersebut kebanyakannya menjelma pada saat-saat akhir meditasi.Pada permulaan zikir, tidak ada apa-apa yang kelihatan. Cuma kegelapan sahaja. Aku tidak ingat warna apakah yang mula-mula sekali tiba dan agak lama menyaksikannya. Begitu juga warna yang kedua. Selepas itu agak lama juga berada dalam kegelapan. Warna ketiga muncul sebentar sahaja. Menjelang akhir zikir iaitu bila Yim/ toklah tentunya menyuruh aku berhenti berzikir – beberapa warna muncul silih berganti, tapi sekadar yang begitu sebentar. Aku tak dapat nak istilahkan warna-warnanya.
`Cucu?’, Wan pula diminta.
`Cucu ada tiga. Merah, kuning dan putih’
Tok tidak pula menerangkan apakah maksud warna-warna itu dan kami pula tidak bertanya. Aku memang agak kesal juga kerana tidak bertanya apakah erti warna-warna itu dan nampaknya sampai bila-bilalah aku mungkin tidak akan mengetahui maknanya.
Selepas itu tok membicarakan soal Tasauf.
‘Begitulah kehidupan orang Tasauf ‘, tok berkata.`Asyek dengan berzikir.
Kalau cucu dapat mencari sebuah tempat kediaman yang jauh dari manusia ramai,kalau boleh di tepi anak sungai atau samada di pinggir bukit dan gunung atau di mana-mana sahaja asalkan jauh dari keriuhan ramai, tempat seperti itulah yang baik’
Tok yang datang adalah Guru.Justru bila Guru yang datang, kami bercakap dengan nada hormat dan tertib kerana demikianlah Guru.Kami tidak juga menyediakan makanan dan minuman kerana menyedari bahawa martabat Guru tidak lagi makan dan minum.
`Mandi, membasuh pakaian, mengambil wuduk dari air yang tidak disentuh oleh apa-apa adalah bagus untuk membersihkan jiwa. Cucu minum airnya dan berwudhuk darinya.Cucu tanam padi sendiri dan usahakan sendiri sehingga menjadi beras dan nasi. Cucu tanam sendiri sayur-sayuran dan pokok buah-buahan; bahkan semuanya atas usaha cucu, itulah yang teramat baik untuk jiwa kerana demikianlah cara hidup pengamal Tasauf sejati.’
Bicara dari Guru itu aku rasa memang ditujukan kepada ku kerana akulah satu-satu cucunya yang meminati Ilmu Tasauf.
`Adakah dato dulu begitu?’
Guru tersenyum memandang ku yang mengisyaratkan apa perlunya bertanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan