30 Oktober 2010

81. Lari Dalam Perang

Aku diheret oleh arus yang teramat deras di sebuah jeram sungai. Air yang mengalir dengan sangat laju itu menyebabkan aku tunggang terbalik dan tenggelam-timbul di dalam air. Aku bagaikan tidak berdaya untuk berbuat apa-apa dan terpaksa membiarkan sahaja diri ku dihanyuti oleh air yang deras itu. Ada ketikanya jatuh terjunam, ada ketikanya jatuh berpusing-pusing di bawa oleh air yang cukup berkuasa tu. Berjurus-jurus - dihanyutkan oleh air menuruni jeram sungai sehinggalah aku sampai di kawasan yang tidak ada lagi jeram. Di kawasan ini, walapun lebih tenang tetapi masih berarus deras. Walaupun demikian dapatlah juga aku mengawal diri. Aku hanya sekadar perlu mengimbangi diri ku untuk terus kekal timbul sambil membiarkan air yang masih deras mengalir menghanyutkan diri ku ke hilir.
Sejurus tadi kami berlima sebenarnya berada di suatu medan.Kami berlima akhirnya tiba-tiba terpaksa melarikan diri dan satu-satunya jalan yang kami tempuhi ialah menerjunkan diri ke dalam air sungai yang berjeram dan berbatu-batu itu.
Aku cukup bersyukur kerana sewaktu diseret tidak ketahuan tadi, kepala ku tidak terhantuk kepada batu-batan yang begitu banyak berada di jeram tersebut. Nasib baik juga badan ku tidak juga terdagul kepada batu-batu tersebut. Kalau terjadi demikian tentulah kepala ku atau tubuh ku cedera.
Dalam keadaan yang tetap cemas dan kelam-kabut itu, aku tidak perasaan bagaimana tiba-tiba sahaja Piei berada di sisi ku. Aku tidak sempat dan tidak ada masa untuk menyapa dirinya kerana kami sibuk dengan ikhtiar menyelamatkan diri masing-masing.
Aku tidak sempat dan tidak ada masa untuk bertanya padanya mengenai kawan-kawan yang lain. Yim, Wan dan Dol, di manakah mereka? Aku tidak tahu bagaimana nasib kawan-kawan yang lain. Ke manakah Yim? Ke manakah Wan? Ke manakah Dol? Aku tidak tahu di manakah mereka semua.
Aku bersama Piei terus sama-sama berenang sambil menghiliri sungai yang tetap berarus deras itu. Kami masih lagi tetap berenang dengan kuat walaupun nafas mencungap-cungap. Walaupun kami berdua telah jauh di hilir, tapi kami berdua tetap berenang tanpa menghiraukan penat dan letih.
Beberapa jurus kemudian kami terdampar di tepi tebing. Dan bila mencecah sahaja tebing, kami tidak bertangguh lagi. Dengan nafas yang mencungap-cungap kami terus menongkah tebing dan selepas itu lalu menongkah pula pada sebuah tebing yang semakin tinggi bagaikan sebuah bukit.
Sambil mendaki bagaikan merangkak itu aku bertasbih:
`Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah’.
Tiba-tiba aku terjaga.`Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!’, lidah ku masih bertasbih.
Nafas ku tercungap-cungap sebaik terjaga itu.Aku cuba mengingat kembali mimpi ku tadi. Kami berlima sebenarnya terpaksa lari dalam keadaan kelam-kabut dan ketakutan kerana tewas dalam peperangan! Kami tewas dalam peperangan melawan orang-orang kafir! Lalu terpaksa lari dengan ketakutan! Walaupun kami tidak diburu, tetapi kami dilanda ketakutan oleh kekalahan dalam perang! Walaupun yang sebenarnya tidak ada suasana peperangan yang dialami, kami tiba-tba melarikan diri dari peperangan setelah tewas.
Bila perkara ini dirujuk kepada tok, reaksi tok, kalau tak silap panglima ketika itu ialah Panglima Gayung Lanang ialah:
`Nampaknya cucu semua kena berzikir semula......’

2 ulasan:

  1. moral of the story?/stories?

    BalasPadam
  2. tanpa nama...silalah baca sambungannya.

    BalasPadam