28 Mei 2009

Sistem Ekonomi Lintah Darat.
(Artikel 4)

Di manakah lagi sisa iman kalau Kapitalisme menjadi sistem yang cukup berleluasa dalam mengurus sistem ekonomi negara dan dipertahankan oleh Mulkan Jabbariyyan sedangkan kapitalisme adalah sistem ekonomi yang sangat kejam, zalim dan menindas, sistem yang tidak bertimbangrasa kepada orang-orang biasa, apatah lagi insan yang lemah, miskin dan hidup melarat?
Firman Allah Taala:
‘Hai orang–orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya,– Al Baqarah: 208.

Di manakah lagi sisa iman, kalau ‘tidak mahu masuk ke dalam Islam keseluruhannya’, kalau sistem ekonomi Islam tidak digunakan, sebaliknya sistem kapitalis dibenarkan hidup subur mengurus sistem ekonomi negara di bumi umat Islam?

Inilah keengkaran namanya. Firman Allah kepada Mulkan Jabbariyyan yang engkar dalam menguatkuasakan perintah Allah dan RasulNya:
Dan tidak adalah yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang zalim” – Al-Ankaabut:29:49
“Dan tidak adalah yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang kafir” – Al-Ankabut:29:47

Orang Melayu menjadi kafir dan zalim kerana engkar melaksanakan sistem ekonomi Islam!
.
Kapitalisme sesungguhnya adalah sistem ekonomi yang menjadikan para kapitalis, dan golongan berautoriti terus dapat menimbun gunung kekayaan setinggi-tingginya, sementara orang biasa dan miskin dibiarkan untuk terus berada di dalam lembah biasa atau jurang kemiskinan kerana ruang untuk keluar dari lembah kemiskinan tersebut memang sengaja dipersempitkan.
.
Inilah sistem yang sangat zalim kerana berasaskan penindasan riba yang sangat tidak diizinkan oleh Allah Rabbul Alamin. Firman Allah Taala:
‘Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya’ – Al-Baqarah:275

Riba adalah kezaliman yang dihalalkan melalui istilah ‘keuntungan’ dan ini dinaungi dengan sangat ketat oleh Bank Negara. Bank Negara adalah ibu kepada sistem kapitalis di negara ini mewakili bank induknya di USA dan di London dan oleh kerana itu semua operasi perbankan di negara ini mesti berasaskan dasar kapitalisme yang diamalkan oleh Bank Negara. Justru semua bank diwajibkan mengamalkan riba atau untuk menampakkan unsur Islam, dilunakkan dengan istilah ‘bayaran perkhidmatan’ walhal matlamatnya adalah sama sahaja – mengaut keuntungan sebesar mungkin dan menafikan kebajikan.

Bahawa sesungguhnya tidak akan ada kebajikan dalam perkamusan kapitalisme. Dan oleh kerana tidak adanya kebajikan, tidak akan ada keadilan, tidak akan ada belas-kasihan, kasih-sayang, tolong-menolong serta bantu-membantu. Tidak akan ada nilai bertimbangrasa, bertolak-ansur, perihatin, ukhwah atau rasa persaudaraan, silaturrahim dan berbagai-bagai lagi nilai kemanusian yang diwajibkan oleh Islam. Oleh kerana tidak ada istilah ‘kebajikan’ dalam sistem ekonomi ini, sesiapa yang berurusan dengan bank kapitalis akan menjadi mangsa kepada kezalimaan, penindasan, pemerasan dan penganiyaan oleh sifat tamak-haloba bank-bank tersebut.

Apabila anda memerlukan perkhidmatan dengan bank; misalnya anda sebagai peminjam, anda terus dikenakan faedah tambahan (riba) sertamerta. Apabila anda gagal menepati syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah yang disediakan oleh bank tanpa pengetahuan anda; misalnya tergendala menepati ansuran bulanan atau melebihi tempoh masa bayaran balik yang ditetapkan, anda akan dikenakan denda dan penalti. Kalau anda gagal juga, anda akan diseret ke mahkamah yang ‘keadilannya’ memang dicipta khas bagi melindungi kapitalis melalui guamannya; dan apabila anda gagal juga mematuhi keputusan mahkamah, harta anda akan dilelong atau dirampas tanpa sedikit belas-kasihan pun! Inilah sistem ekonomi ‘lintah darat’, yang ‘menghisap darah’ yang ketika anda ditimpa masalah dan bencana, pada ketika itulah mereka akan ‘menahan jerat di pergentingan’. Iniah pepatah dan bidalan yang diperingatkan oleh nenek moyang Melayu sewaktu bermulanya serangan ideologi kapitalis di zaman imperialisme dahulu.

Adakah anda akan memperolehi apa-apa pertimbangan kemanusiaan apabila berada pada saat terjepit persis demikian? Apabila anda gagal memenuhi syarat-syarat perjanjian disebabkan anda barangkali ditimpa kemalangan atau musibah, atau anda jatuh sakit dan kehilangan punca pendapatan, sehingga anda betul-betul tidak mampu melangsaikan hutang pinjaman anda, apakah pada ketika itu anda akan mendapat simpati, belas-ihsan dan layanan belas-kasihan? Samalah juga bila anda berurusan dengan Mulkan Jabbariyyan mengenai pinjaman perumahan kerajaan atau kenderaan, dapatkah ketika anda sedang hampir tenggelam dan kelemasan oleh sesuatu musibah, memperolehi sebarang simpati dari kerajaan Mulkan Jabbariyyan yang memerintah anda dan sistem kapitalisnya?

Mulkan Jabbariyyan menolak samasekali konsep Negara Kebajikan dan oleh kerana itu teramat jauh sekali bezanya dari konsep Negara Islam.Ini adalah kerana seluruh perancangan politik dan ekonomi Mulkan Jabbariyyan adalah sekular-materialis, bukannya Islam. Seluruh aktiviti sekular-materialis adalah demi duit kerana duit adalah kiblat di dalam falsafah kapitalisme. Demi duitlah Mulkan Jabbariyyan mewajibkan Cukai Pendapatan dan berpuluh-puluh jenis cukai selainnya sehingga negara ini menjadi negara yang paling banyak mengenakan beban cukai kepada rakyatnya.

Demi duitlah digubal berbagai-bagai penguatkuasaan dan peraturan yang diekori sama dengan pelbagai jenis denda dan kompaun apabila rakyat ramai teralpa melakukan kesalahan.Demi duitlah pembangunan negara dirancakkan. Bahkan demi duitlah kemudahan pelbagai infrastruktur disediakan terutama kutipan cukai tol di atas setiap lebuhraya yang dibina. Demi duitlah maka kalimat muluk didendangkan untuk menghiburkan rakyat atas nama ‘pembangunan’ – ‘pembangunan untuk rakyat’ , ‘berkhidmat untuk rakyat’, ‘rakyat mahukan pembangunan’ dan sebagainya, walhal melaluinya kaum kapitalis boleh menimbun kekayaan melalui kontrak projek-projek mega yang dirancangkan, pembangunan dan pelaboran projek hartanah yang rakyat biasa, tidak ada kena-mengena samasekali.

Dan kapitalisme bukan sahaja menindas melalui riba bahkan melakukan monopoli dalam perdagangan.Demi keutuhan harta modal dan asetnya, kapitalis sanggup melakukan apa sahaja walaupun membunuh pesaingnya supaya terus unggul sendirian untuk melaksanakan penindasan dan monopolinya. Lihatlah betapa rakusnya syarikat-syarikat gergasi pasaraya melebarluaskan rangkaian niaga masing-asing sehingga ke bandar-bandar kecil menyebabkan peniaga-peniaga kecil tidak mampu bersaing lalu terpaksa gulung tikar. Kerakusan kapitalis ini memaksa beberapa Majlis Daerah yang berkesadaran, menguatkuasakan satu dasar perlindungan kepada peniaga-peniaga Melayu di pekan-pekan Melayu yang baru muncul, supaya peniaga kecil-kecilan ini boleh terus bernafas untuk boleh menumpang mencari rezeki.

Di manakah sisa iman seandainya kezaliman kapitalisme dipertahankan?
Kerajaan Mulkan Jabbariyyan materialis-kapitalis sesungguhnya sangat ‘asing’ dengan kerajaan Islam BALDATUN TOIYYIBATUN yang berteraskan prinsip membantu menyelamatkan manusia dari sebarang belenggu kesengsaraan dan kemiskinan supaya kekayaan negara dan dunia dinikmati bersama secara adil dan saksama. Orang-orang miskin yang biasanya terdiri dari pekerja bawahan yang bergaji rendah - rakyat ramai yang majorotinya berpendapatan sekadar secukup hidup - adalah golongan yang sangat mendapat perhatian dan pembelaan di bawah sistem ekonomi Islam, tetapi di dalam sistem kapitalisme, rakyat ramai akan dibiarkan jiwanya terus rendah supaya kekal bergantung harap dan simpati, mengabdikan masa dan tenaganya kepada pemilik modal (kapitalis/majikan) melalui dasar penswastaan yang diperkenalkan.

Inilah asas Dasar Penswastaan – dasar membebaskan tanggungjawab kerajaan supaya rakyat tidak lagi menjadi beban tanggungjawab kerajaan. Sejak diperkenalkan, semua agensi kerajaan yang merupakan keperluan asasi rakyat - TNB, STMB, JBA, mungkin tak berapa lama lagi, hospital diswastakan untuk menghalalkan syarikat-syarikat korporat ini membuat duit dan mengumpul laba. Termasuk juga bidang pendidikan IPTA dan IPTS. Sejak dasar penswastaan diperkenalkan, rakyat dan pelajar dibebani dengan pelbagai hutang dan pinjaman, yuran dan bil-bil yang sentiasa bertambah mahal. Leburlah konsep tanggungjawab kerajaan kepada rakyat dan golongan pelajar, tetapi sebaliknya menjadi tanggungjawab rakyat dan pelajar pula menjelaskan semua hutang pinjaman, cukai dan yuran kepada kerajaan sebagai satu kewajipan kepada negara!

Dasar Penswastaan yang diperkenalkan sejak 1990an adalah juga bertujuan mengekalkan buruh Malaysia kekal sebagai burh bergaji rendah demi menarik pemodal-pemodal luar negeri (kapitalis) untuk terus melabor dan membuat keuntungan besar di Malaysia.Inilah sistem dan dasar ekonomi yang menjadikan jurang ekonomi semakin melebar antara pemilik modal (kapitalis) dengan golongan bawahan (pekerja), antara negara-negara miskin di Asia dan Afrika juga di Amerika Latin, sementara negara-negara kaya seperti Barat dan Amerika dan sebahagian negara-negara timur terutamanya Jepun dan Korea terus bertambah kaya, maju dan makmur.

Seandainya tidak mengamalkan sistem ekonomi Islam terutama dalam urusan pinjam-meminjam, hutang-piutang, jual-beli dan lain-lain kegiatan ekonomi; sebaliknya selesa dengan kapitalisme, ertiya anda selesa dengan kezaliman!
.
Seandainya tidak memilih sistem ekonomi Islam, sebaliknya mempertahankan kapitalisme, ertinya anda mempertahankan kezaliman!
.
Jika demikian, di manakah sisa iman anda? Di manakah Islam anda, kalau kapitalisme menjadi sistem yang anda amalkan, anda pertahankan dan relai untuk dilaksanakan dalam kehidupan anda dan tidak pernah pula berusaha – paling daif, tidak memberi sokongan sewaktu plihanraya – untuk mendesak Mulkan Jabbariyyan menggantikan dengan sistem ekonomi Islam yang adil? Di manakah sisa iman?

Ada tiga hukum bagi golongan demikian.Firman Allah Taala:
Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” – Al-Maidah:5:44
Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” – Al-Maidah:5:45
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” – Al-Maidah:5:47

Hukum di atas terpakai kepada seluruh sistem kehidupan – way of lfe Islam – bukan terhad kepada hukum ekonomi sahaja tetapi politik, sosial, pendidikan, perundangan dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan