09 Mei 2009

Imam Mahadi Dari Bangsa Melayu?
(Artikel 2)

Syarat Kebangkitan Bangsa Melayu.

Firman Allah Taala:
‘‘Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa’ – An Nuur: 55
Firman seterusnya yang bermaksud:
`Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauhul Mahfudz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang solleh – Al Anbiya:105


Berdasarkan ayat An Nuur: 55 dan Al Anbiya:105 di atas, Allah Azzawajalla telah meletakkan dua syarat untuk kebangkitan pada era akhir zaman iaitu beriman dan beramal soleh. Rasulullah saw telah pula menetapkan nama gelaran Imam Mahadi iaitu Imam Yang Mendapat Petunjuk sebagai personaliti akhir zaman yang beriman dan beramal soleh, bagi membuka lembaran zaman baru untuk dunia yang ideal dan bahagia menggantikan dunia yang penuh dengan kezaliman, kemungkaran dan kejahatan.

Imam Mahadi adalah imam akhir zaman yang sudah semestinya seorang insan pilihan yang menghidupkan kembali 100% sunnah Allah dan RasulNya. Orang-orang yang beriman dan beramal solehlah nantinya yang akan menjadi pengikut dan penyokongnya dan kalau tanpa iman dan tanpa amal soleh, haruslah belum pasti menjadi pengikut dan penyokongnya bahkan dikhuatiri menjadi penentangnya yang paling tegar.

Masalah sekarang ialah mengenai apakah umat Islam pada hari ini beriman? Apakah umat Islam pada hari ini beriman dan kemudiannya beramal soleh? Setiap amal perbuatan hanya menjadi amal soleh andaikata disertai dengan iman, kerana tanpa iman sesuatu amal tidak menjadi amal soleh di sisiNya. Atas dasar inilah amal kebaikan orang-orang yang tidak beriman (orang kafir) tidak menjadi amal soleh di sisi Allah Rabul Alamin. Dengan prinsip ini juga bermakna semua amal-amal yang disangka sebagai amal soleh, tidak menjadi amal yang soleh di sisiNya kalau tanpa iman kerana iman adalah urusan batin dan ini telah diperkatakaan melalui konsep Islam Batin dalam artikel sebelum ini.

Untuk menerangkan kenapa amal-amal tidak menjadi amal soleh, ini adalah isu lain yang tidak dibicarakan di sini. Walaupun demikian diturunkan hujah betapa iman dan Islam adalah satu integrasi dan kesatuan yang samasekali tidak boleh wujud berasingan, kerana Islam tidak berguna tanpa iman. Firman Allah Taala:
‘Orang-orang Arab Badui itu berkata: “ Kami telah beriman”,Katakanlah (kepada mereka): “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu’ - Al-Hujuraat:14
Sesuailah juga dengan Firman Allah swt.
‘Di antara manusia ada yang mengatakan:”Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”, pada hal sesungguhnya mereka itu bukan orang-orang beriman’ – Al Baqarah: 8.

Juga jangan pandang rengan, jangan ambil mudah soal iman. Refleksilah diri masing-masing dengan setulusnya – betapa mudahnya ketiadaan iman walaupun beragama Islam berdasarkan peringatan-peringatan dan pesanan-pesanan Rasulullah saw. Seseorang yang mengaku Islam ertinya adalah orang yang masih bersolat, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan Fardhu Haji, akan tetapi mudah sahaja dikategorikan ketiadaan iman dalam keadaan-keadaan seperti berikut:
.
‘Tidak beriman seorang kamu, sebelum dia mencintai saudaranya, akan apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri’.
`Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya'.

Hendaklah disedari, saudara di sini bukan ertinya sudara mara atau adik-beradik dari pertalian darah keturunan, tetapi merujuk saudara seagama kerana orang-orang mukmin adalah bersaudara – Al Hujurat:10. Orang mukmin mesti menjaga hubungan kasih-sayang sesama mereka. Dalam hal ini lihatlah perbalahan terkhususnya dalam soal politik. Apakah ini tanda orang beriman apabila terzahir dengan sangat jelas kata nista, cacian, sikap permusuhan dan dendam-kesumat? Ertinya berdasarkan hadis di atas, bukanlah lagi tanda orang berimaan.Dan lihatlah pula hadis berikut:
`Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengelurkan kata-kata buruk dan kesat’
Lihatlah pula hadis-hadis seterusnya dan buatlah cermin diri.
`Tidak beriman dengan aku seseorang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan dia tahu yang jirannya dalam kelaparan'
`Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa selamat dari kejahatannya'
`Tidak beriman seseorang kamu sehingga Allah dan RasulNya lebih dikasihinya daripada yang lain dari keduanya’
`Orang mukmin itu mencintai orang mukmin, sebagaimana mencintai dirinya’ sendiri’

Imam Ghazali ra membahagikan empat tingkat tauhid/iman:
· Tingkat Pertama: Ucapan LA ILAAHA ILLAL LAAHU dan hatinya lalai atau memungkiri seperti tauhid orang-orang munafik
· Tingkat Kedua: Dibenarkan oleh hatinya akan makna lafal seperti umumya kaum muslimin - iktikad orang awam.
· Tingkat Ketiga: Dipersaksikan dengan jalan kasyaf (Terbuka hijab) dengan perantaraan nur kebenaran – makam orang-orang muqarrabin.
· Tingkat Keempat : Tiada dilihatnya pada yang wujud selain Yang Esa –Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.281-282.

Para ulama Tasauf di Alam Melayu membahagikan iman juga kepada empat tingkat berikut:
Ilmu Yaqin – Tingkat Pertama - Percaya dan yakin berdasarkan ilmu dan akal
Ainul Yaqin – Tingkat Kedua - Keyakinan berasaskan pengalaman hati dan rasa
Haqqul Yakin – Tingkat Ketiga - Keyakinan berasaskan penyaksian batin
Kamal Yakin – Tingkat Kempat - Keyakinan sempurna lagi hakiki

Apa yang dikategorikan oleh Imam Ghazali ra dan ulama Tasauf di Alam Melayu sebenarnya tidak ada apa-apa perbezaan dan kedua-dua pengkategorian tersebut bahkan memperjelaskan betapa iman dan tauhid pada tahap pertama adalah martabat iman yang sangat rendah, lemah dan rapuh yang bila-bila masa sahaja boleh tergelincir – sila rujuk hadis-hadis yang dipaparkan di atas - lantas menjadi kufur, kafir, murtad, munafik, syirik atau fasik.

Setelah berpuluh-puluh tahun bahkan beratus-ratus tahun umat Islam diserata dunia setiap hari menghirup racun oleh gerakan Zionis melalui agenda Freemason, Illuminati dan sebagainya; setelah sekian puluh dan ratus tahun dinazakkan benih iman oleh ideologi-ideologi Yahudi - sekularisme, materialisme, pragmatisme, hedonisme, liberalisme, nasionalisme, individualisme, eksistensialisme, utilitarinisme, egoisme – sekadar beberapa contoh, dan semua isme-isme ini telah menjadi sistem hidup hampir ke seluruh dunia, dan bahkan menjadi cara hidup, budaya moral sosial, yang turut diamalkan, ditaati bahkan dipertahan dan diperjuangkan sama oleh umat Islam di seluruh dunia, sehingga sukar untuk dibezakan antara mana amalan Islam dan mana pula yang bukan amalan Islam, manakah lagi tinggal sisa iman? Inilah masalah iman dan aqidah yang cukup tercabar!

Firman Allah Taala:
Apakah kamu tidak memperhatikan orang-oang yang mengakui dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhukum kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan sejauh-jauhnya’ – An-Nisa:60.

Thaghutlah yang berjenama dengan berbagai-bagai nama isme-isme Yahudi yang dinyatakaan di atas yang telah berakar-umbi dalam sistem Mulkan Jabbariyyan yang mengurus sistem negara kota umat Islam selama ini!

Umarak dan Ulama Perosak?

Secara asasnya ada dua golongan sahaja yang menyebabkan kerosakan kepada umat Islam dan dunia menurut peringatan Rasulullah saw iaitu umarak dan ulama. Sabda Rsulullah saw:
`Dua golongan dari umatku apabila baik nescaya baiklah manusia semuanya dan apabila rusak nescaya rusaklah manusia seluruhnya iaitu amir-amir (pemerintah) dan ahli-ahli fiqih (ulama)’ – Ihya Jld.1. hal.48

Golongan umarak ialah dari golongan Mulkan Jabbariyyan iaitu sekumpulan elite politik yang terdidik khusus dari sistem sekular Barat Yahudi yang telah diamanahkan untuk kemerdekaan tanah air, dan kemudiannya setelah merdeka, mengimport lebih banyak lagi pemikiran tersebut, lalu seterusnya menyebarluaskan sistem Barat Yahudi untuk ditanam di dalam minda dan hati umat Islam. Ini adalah penyelewengan atau kedurhakaan (jabbariyyan) golongan umarak (pemerintah).

Keadaan menjadi bertambah parah apabila berlaku pula penelewengan atau kedurhakaan ulama. Golongan ulama yang diberi amanah menjaga kemurnian agama dan wajib membuat teguran kepada apa jua gejala kebinasaan ummah, telah mendiamkan diri atau terus bersekutu dan bergabung dengan umara. Rakyat ramai atau orang awam yang berada pada aras tauhid dan iman tingkat pertama, melihat ulama yang majoritinya lepasan pusat pengajian tinggi, bahkan di antaranya dari Timur Tengah – lambang Islam dan pusat rujukan Islam sedunia - menyangkakan merekalah model orang berilmu, merekalah ulama warasatul ambiya, lantas sama-sama setia bersekutu bergabung bersama Mulkan Jabariyyan.

Kedua-dua golongan ini – ulama dan elite politik yang memerintah - adalah golongan jabbariyyan (durhaka dan menyeleweng) kerana mereka dengan sedar dan dengan sengaja tidak mahu mengikut syariat Allah dan RasulNya sedangkan pilihan di tangan mereka. Di sinilah bermulanya sokongan kepada Mulkan Jabbariyyan oleh majoriti ummah; dan sejak itu bermulalah zaman dagang Islam.

Ulama sedemikianlah yang dikatakan ulama jahat. Sabda Rasulullah saw:
‘Aku di antara kamu dengan dajal, lebih takut kepada kamu daripada dajal’.
Sahabat-sahabat lantas bertanya:’Siapakah di antara kami wahai Rasulullah?’.
Jawab Rasulullah saw:”Ulama jahat’
Sabda Baginda saw seterusnya:
Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal dari Al Quran itu kecuali hanya tulisannya.Masjid-masjd mereka tersergam indah, tetapi ia kosong dari hidayah.Ulamak mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali’

Kenapa ulama menjadi jahat atau kenapa intelektual Islam sedemikian menjadi sejahat-jahat makhluk di bawah naungan langit – ertinya lebih jahat dari syaitan? Dengarlah Sabda Penghulu Junjungan saw:
Janganlah engkau mempelajari ilmu pengetahuan untuk bersombong-sombong dengan sesama berilmu, untuk bertengkar dengan orang berfikiran lemah dan untuk menarik perhatian ramai kepadamu.Barangsiapa berbuat demikian, maka dia dalam neraka” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal:225.
Bersabda Nabi saw:“Barangsiapa menuntut ilmu di antara ilmu pengetahuan yang menuju kerelaan Allah untuk memperoleh harta benda duniawi, maka orang itu tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal.233.
Sabda seterusnya:
‘Ulama yang jahat ialah yang datang kepada amir-amir (Mulkan Jabbariyyan). Amir yang baik ialah yang datang kepada ulama-ulama’- Ihya Jld.1 hal:258

Golongan yang jahat dan durhaka dengan Allah dari kalangaan rakyat ramai, samada dilabelkan dengan jenama setan manusia, manusia dajal, manusia durjana, penzina, perogol, pemabuk, penjudi, penkhianat, penzalim, penipu, perompak, peragut, pembunuh dan seumpamanya dapat dikenali melalui kejahatan pekerti dan moralnya – yang pada umummnya memiliki moral yang sangat rendah.

Akan tetapi alim ulama tidak semudah itu untuk mengenal kedurhakaan dan penyelewengan mereka. Alim ulama tidak terjerumus dengan kejahatan salahlaku moral yang rendah. Dengan kedudukannya yang tinggi dan mulia pada pandangan masyarakat, sukar untuk dikenali kejahatan hatinya oleh rakyat ramai yang memiliki iman pada tingkat pertama kerana mereka sentiasa mempamerkan imej alim, berada dalam majlis-majlis agama atau majlis-majlis berunsur agama, berjubah dan bersurban, berjambang dan berjanggut; bahkan membaca khutbah, menjadi imam solat dan menyampaikan kuliah agama.Tanpa pandangan mata hati mereka dilihat seolah-olah pendukung agama yang tulin; tetapi dengan hidayah petunjuk Allah, dapat dikesani bahawa sesungguhnya merekalah pendukung utama agenda Yahudi Zionis melalui kesetiaannya kepada Mulkan Jabbariyyan.

Inilah bencana terbesar di kalangan rakyat ramai kerana rakyat ramai tidak dapat membezakan ulama manakah golongan warasatul ambiya dan ulama manakah pula yang menyambung lidah Zionis Yahudi dan Dajjal. Diperturunkan ayat-ayat Allah mengenai kejahatan mereka bersubahat dan bersekongkol dengan Mulkan Jabbariyyan:
‘Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui’ – Al BaqaraH:42
‘Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, setelah Kami menerangkan kepada manusia dalam al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknat oleh semua yang dapat melaknat’ – Al-Baqarah:159

Sabda Rasulullah saw:
‘Barangsiapa mengetahui sesuatu ilmu, lalu menyembunyikannya, maka ia dikenakan oleh Allah Taala kekang, dengan kekang api neraka pada hari qiamat’.
Kepada ulama sedemikianlah disabdakan oleh Rasulullah saw:
‘Manusia yang sangat menderita azab pada hari Kiamat ialah orang yang berimu yang tiada bermunafaat dengan ilmunya’

Rakyat ramai sesungguhnya sangat sukar untuk mengenal siapakah sebetulnya ulama warasatul ambiya kerana dijerumuskan ke dalam lembah kejahilan, kekeliruan dan kejahiliahan oleh sistem pendidikan sekular untuk beberapa keturunan kerana terpinggirnya ilmu Islam yang menyuluh mata hati khasnya ilmu Tasauf.

Demi sesungguhnya, setelah cukup lama Jalan Islam – Syariat, Tariqat, Makrifat dan Hakekat disisihkan, sehingga istilah-istilah sedemikian menjadi istilah yang begitu ‘pelik, aneh dan asing’ di institusi sekular pengajian tinggi; bahkan dilabelkan sebagai ciri ajaran sesat - siapakah sebenarnya ulama? Dengarlah penjelasan dari pengamal Tasauf zaman berzaman:

`Bukanlah orang yang berilmu itu orang yang menghafal dari kitab, apabila ia lupa nescaya ia menjadi orang bodoh. Sesungguhnya orang berilmu itu ialah orang yang mengambil ilmu dari Tuhannya pada sebarang waktu yang dikehendakinya tanpa hafalan dan belajar’ – Ihya Ulumiddin Jld. 4 hal. 64.

Inilah ulama yang perlu dicari dan sesungguhnya memang teramat sukar untuk ditemui pada zaman kini kerana Ilmu Tasauf yang menjadi pegangan utama ulama-ulama silam, sebagai syarat utama dalam disiplin keilmuan, telah lama dipinggirkan dari persada ilmu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan