4. Jalan Hakekat
SIAPA AKU? Inilah inti atau pati; atau intipati, intisari dan saripati dalam konsep hidup beragama. Agama ialah jalinan hubungan jasmani, rohani, qalbu, jiwa dan roh dalam perhubungan antara manusia dengan Khaliknya. Soalan-soalan mengenai siapakah saya dan siapakah Tuhan? Dari mana saya datang? Kenapa saya dijadikan? Kenapa saya dihantar ke tempat transit di muka bumi? Dan ke manakah destinasi saya seterusnya? Apakah saya seorang hamba dan/atau semata-mata seorang hamba? Dan apakah Tuhan? Siapakah Tuhan yang bernama Allah? Apakah Tuhan dan apakah Allah? Siapakah dan apakah malaikat? Apakah roh? Apakah Nabi dan apakah Rasul? Apakah Allah dan apakah Muhammad? Apakah Adam? Apakah dunia dan apakah hidup dan apakah kehidupan? Dan sebagainya.
Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan faham iaitu kefahaman hakikat dan makrifat – bukan kefahaman syariat semata-mata, sebagaimana Imam Al Syafie ra mengatakan,’ Jadilah fakih dan sufi; jangan hanya menjadi salah satunya. Sungguh, demi kebenaran Allah, aku menasihatimu dengan ikhlas’. Dan Imam Malik ra mengingatkan, `Orang yang bertasauf tanpa mempelajari fekah telah merusak imannya, sedangkan orang yang memahami fekah tanpa menjalankan tasauf telah merusak dirinya. Hanya orang-orang yang memadukan keduanyalah yang menemukan kebenaran’. (Tasauf dan Ihsan hal: 178)
Sabda Rasulullah saw:
‘Bahawa A Quran itu mempunyai zahir dan batin, batas dan pangkal’
‘Allah menurunkan al Quran dengan sepuluh batin, lebih batin lebih bermunafaat dan lebih menguntungkan, kerana batin itu adalah sumber’
Berkata Sahl At Tusturi ra : “Orang yang berilmu itu mempunyai tiga ilmu: ilmu zahir yang diberikannya kepada ahli zahir, ilmu batin yang tak sanggup dilahirkannya kecuali kepada ahlinya dan ilmu antara dia dan Allah Taala, yang tidak dilahirkannya kepada seorang juapun’ (Ihya Ulumiddin Jld.1 hal:359)
Apa yang batin, apa yang tak sanggup dizahirkan kepada manusia ramai ; bahkan apa yang menjadi rahsia antara dia dan Allah Taala itulah HAKIKAT. Membicarakannya tidaklah menjadi sunnah Nabi saw kepada umat yang ramai kecuali kepada para Sahabat yang terkhusus. Sahabat terkhusus berjumlah sepuluh orang iaitu Sahabat-Sahabat Besar yang dijamin masuk syurga kerana mendapat rahsia-rahsia hakikat dan makrifat. Selain mereka hanyalah sebilangan yang amat sedikit termasuklah Abu Hurairah ra dan Saidina Abas ra. Inilah yang dimaksudkan oleh Penghulu Junjungan saw :
”Tidaklah Abu Bakar melebihi dari kamu disebabkan banyak puasa dan bersolat. Tetapi adalah disebabkan oleh suatu sirr (rahsia) yang mulia dalam dadanya’ (Ihya Ulumiddin hal:358)
Siapakah AKU? Inilah soalan untuk mengenal diri. Sabda Penghulu Junjungan Rasulullah saw.
’Barangsiapa mengenal dirinya bahawasanya mengenal ia akan Tuhannya. Barangsiapa mengenal akan Tuhannya, binasalah jasadnya’
Siapakah AKU adalah berkaitan dengan rahsia amanah. Firman Allah Taala :
`Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh’ – Al Ahzab: 72
Amanah Allah tidak dipersanggupi oleh Ruh Nabati dan tidak ditawarkan kepada Ruh Haiwani tetapi dipersanggupi oleh Ruh Ruhani. Apakah Ruh Ruhani? Inilah rahsia - rahsia ‘hakikat diri’ , ‘amanah’ yang akan ‘kembali kepadaNya’ apabila tiba saat kematian iaitu apakah seseorang itu dapat kembali dengan ‘sempurna’ sebagai seorang insan. Yang tidak mengenal diri (makrifah) dan tidak mengenal atau mengetahui akan hakikat dirinya, dibimbangi akan kehilangan darjat dan martabatnya dan justru belum pasti dapat kembali dengan sempurna. Kembali yang sempurna ialah kembali kepadaNya bukan kepada selainNya. Firman Allah Taala :
`Sesungguhnya Kami kepunyaan Allah dan kepadaNya lah kami kembali’ (Al Baqarah:156).
FirmanNya lagi:
‘KepunyaanNya lah apa yang di langit dan di bumi’ (Al Baqarah:255)
Jika demikian, siapakah anda ? Siapakah anda yang tidak memiliki kepunyaan ? Siapakah anda ‘Kepunyaan Allah’? Kepunyaan Allah bermaksud tidak ada satu zat atau satu sifat pun selain Allah boleh mendakwa bahawa ada mana-mana bahagian di seluruh langit dan bumi ini, milik selain Allah.Inilah makna ‘meliputi’ dalam Firman berikut:
‘Ingatlah bahawa sesungguhya Dia Maha Meliputi segala sesuatu’ (Fusysyilat:54)
‘Kursi Allah meliputi langit dan bumi’ (Al Baqarah:255)
Sesungguhnya diri anda – mata, telinga, mulut dan lidah, perut, kemaluan, kaki dan tangan serta seterusnya isteri anda, anak-anak anda yang anda kasihi, harta-benda dan hartanah, wang ringgit dan segala bentuk kekayaan dan kemewahan, bahkan usia, masa, bahkah segala-gala semuanya, di sepanjang hidup anda di dunia ini – semuanya adalah milikNya, bukan milik ada ! Inilah amanah yang nantinya di Yaumil Mahsyar akan dipertangungjawaban di hadapanNya - Qadhi Rabbul Jalil. Anda akan ditanya mengenai ‘amanah diri anda’ yang seharusnya dipulangkan kembali kepadaNya dengan sempurna sebagaimana semulanya, bukan sebagaimana lainnya ! Amanah masa dan usia anda, ilmu, harta dan wang ringgit yang diberikan, apakah anda telah memenuhi amanah dan janji yang diikrar sejak azali dahulu ?
Apakah anda mampu menjawabnya apabila pada setiap detik usia anda di muka dunia dahulu, anda menyalahi amanahNya pada Jalan Syariat dan Tarekat ? Mampukah anda menjawabnya apabila pada ketika itu baru anda menyedari bahawa seluruh harta-benda dan wang ringit anda yang selama ini anda sangka anda yang punya ; bahkan diri anda sendiri, rupa-rupanya bukan anda yang empunya ? Apakah ada keteledoran yang lebih dahsyat daripada ini - mengkhianati amanah Allah dan RasulNya - apabila anda di hadapkan kepada Qadhi Rabbul Jalil, Zat Yang Maha Gagah Perkasa di Yaumil Mahsyar nanti, dan anda dihadapkan kepadaNya sebagai pengkhianat amanah?
Orang yang tidak memahami Jalan Hakikat akan binasa pada setiap helaan nafasnya kerana mengotori dan mengkhianati amanah dirinya dengan noda dan dosa, sifat durjana mazmumah, kehaiwanan, kesyaitanaan dan maksiat sehingga kekotoran dan kekejian dirinya menjadikan dia adalah yang paling jauh dari yang terjauh dari Zat Yang Maha Suci.Justru Allah Taala berfirman :
‘Sesungguhnya binatang yang paling buruk di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir kerana mereka itu tidak beriman’ – Al Anfal :55
Selain orang-orang kafir yang tentunya telah kehilangan hakikat diri, demikian juga orang-orang munafik, fasik, zalim, kufur, dayus, sombong, tamak-haloba, kapitalis, sekularis, liberalis, pemakan riba, penzina, peminum arak, penjudi dan para penghuni neraka lainnya. Firman Allah dan terkhusus bagi golongan munafik:
‘Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan RasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasik. Dan janganlah harta–benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki akan mengazab mereka di dunia dengan harta dan anak-anak itu dan agar melayang nyawa mereka dalam keadaan kafir’ – At-Taubah : 84-85
Mengenal Jalan Hakikat teramatlah mustahak supaya manusia yang dilahirkan sebagai seorang insan muslim, membesar sebagai seorang individu yang sempurna imannya kerana seandainya iman tidak sempurna, dikhuatiri hilanglah martabat mukmin. Apabila kehilangan iman, lalu menjadilah umat muslimin yang sepanjang usianya berada pada maqam nafsu amarah iaitu nafsu persempadanan perbatasan di antara iman dan kafir. Kealpaan oleh persangkaan masih seorang Islam yang sejati, walaupun telah terjerumus ke dalam lembah golongan munafik, atau muslim yang fasik, zalim, durhaka, kufur, dayus atau apa-apa sahaja istilah yang seumpamanya, adalah perdayaan syaitan yang paling merbahaya. Dengarlah Firman Allah Taala mengenai perdayaan syaitan buat dijadikan iktibar apabila berlakunya kedurhakaan Iblis mengenai kejadian Adam as:
Allah berfirman: Maka keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir. Sesungguhnya kutukanKu tetap atasmu sampai hari pembalasan.
‘Iblis berkata: Ya Tuhanku! Beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan’
`Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh
`Sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (Hari Kiamat)’
‘Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka”
(Shaad:77-83)
‘Allah berfirman:”Ini adalah jalan yang lurus; kewajipan Aku lah (menjaganya). Sesunggunya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat’ (Al Hijr:41-42)
‘Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya’ (Shaad:85)
Diriwayatkan melalui Hadis Rasulullah saw, apabila Iblis diberi tangguh, lalu Ibis berkata:
Demi kemuliaan Engkau! Sesungguhnya tidak aku keluar dari hati anak Adam, selama ia masih bernyawa”
Maka Allah Taala berfirman” “Demi kemuliaanKu! Sesungguhnya tidak terdinding dari anak Adam itu taubat, selagi ia masih bernyawa”(Ihya 6:138)
Iblis berada di dalam hati anak Adam sehingga ke hujung nyawa dan apabila gagal memahami bisikan dan perdayaannya, iblislah yang memerintah di hati. Apabila iblis menguasai singgahsana hati, runtuh berserakanlah Istana Allah. Firman Allah.
‘Hai anak-anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu (Adam dan Hawa) dari syurga’
(Al A`aaf:27)
`Dia (Iblis) adalah ia dari golongan jin . Maka ia mendurhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain daripadaKu sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim’ - (Al Kahfi:50)
‘Barangsiapa yang mengambil syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah teman yang seburuk-buruknya (An Nisaa:4:38)
Perdayaan syaitan dapat dirmuskan melalui firman Allah yang berikut :
‘Orang-orang Arab Badui itu berkata: “ Kami telah beriman”,Katakanlah (kepada mereka): “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu’ - Al-Hujuraat:14
Sesuailah juga dengan Firman Allah swt.
‘Di antara manusia ada yang mengatakan:”Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”, pada hal sesungguhnya mereka itu bukan orang-orang beriman’ – Al Baqarah: 8.
Manusia yang tidak pernah bertanyakan soalan ‘siapa AKU’ terhijab dari menyedari siapa hakikat dirinya, tidak menyedari siapa yang memiliki dirinya, lantas merasakan dirinya adalah dirinya, bukan selainnya lantas hidup bersultan di mata dan beraja di hati. Dialah dirinya, dialah tuhannya, dialah nafsu yang menjadi tuhannya. Golongan ini akan asyek dengan nafsunya serakahnya, asyek dengan dunia asyek-maksyuknya, sibuk memburu wang ringgit dan harta-benda, menghambakan diri kepada kerjaya dan dunianya, hamba nafunya atau hamba manusianya.Bagi mereka luputlah secara relatif Iman Majmal ‘Laailaha Illallah Muhammadar Rasulullah’, kerana keengganan menjadikan Kitab Allah dan Sunnah Rasul dalam seluruh kemampuannya. Allah Taala berfirman :
‘Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tidak dipergunakan untuk memahami, dan mereka mempunyai mata, tidak dipergunakan untuk melihat, dan mereka mempunyai telinga, tidak dipergunakan untuk mendengar.Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi’ – Al-Araf :179
‘Dan barangsiapa buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat nanti ia akan lebih buta dan lebih sesat dari jalan’ – Al Isra :72.
Bagi golongan manusia yang sentiasa berusaha mengenal dirinya – dalam istilah Tasauf dipanggil ‘salik’ - akan menempuh Jalan Syariat dan Jalan Tarekat dengan penuh istiqamah untuk mencapai kesempurnaan di Jalan Makrifat dan seterusnya memperoleh bahagia pada Jalan Hakekat. Orang yang ingin mengenali dirinya akan menelusuri secara mendaki tujuh gunung lautan nafsu – amarah, lawamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamaliah.Maqam mutmainnah adalah permulaan maqam bahagia. Firman Allah Taala :
‘Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhaiNya.Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu’ ( Al Fajr:27-30)
Maqam selepas mutmainnah dan yang tertinggi ditempuhi dalam ‘fana’ di Alam Lahut.Di sinilah diperolehi pengertian yang paling sempurna mengenai maksud ayat :
`Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin’ (Al Hadid:3)
Hadis Nabi saw melanujtkan :
‘Ya Allah.Engkaulah Yang Awal, tidak ada apa-apa pun sebelumMu.Engkaulah Yang Terakhir, yang tidak ada apa pun selepasMu.Engkaulah Yang Zahir yang tidak ada apa pun atas Mu. Eangkaulah Yang Batin yang tiada ada apa pun di bawahMu’
Begitulah juga dengan Firman Allah Taala :
‘Sesungguhnya Tuhanmu meliputi segala manusia’ (Al Israa:60)
‘Ingatlah bahawa sesungguhya Dia Maha Meliputi segala sesuatu’ (Fusysyilat:54)
Persoalan-persoalan ini bukan sekadar diketahui dan difahami, tetapi dibatini pada satu pengalaman batin pada jiwa terdalam – satu hadap hati yang berterusan dan berkekalan terhadap KEESAAN WUJUD sehingga semuanya fana dan ‘lebur’ dan ‘tiada’ dan ‘nirvana’ dan ‘moksya’ - selain Zat Allah YANG MAHA ESA. Mengenai inilah maksud Rasulullah saw :
‘Matikan diri kamu sebelum kamu mati’
Sabda Nabi saw.
‘Aku mengenal Tuhanku oleh Tuhanku’, yakni dengan cahaya dari Tuhanku. Firman Allah dalam Hadis Qudsi :
‘Manusia adalah rahsiaKu dan Aku lah rahsianya’.
‘Aku ciptakan Muhammad dari wajahKu’.
Pada tahap ini juga menjadi jelaslah firman Allah Taala :
“Katakanlah: Yang hak telah datang dan yang batil telah lenyap”, (Al Israa:81)
“Tiap-tiap sesuatu pasti binasa ,kecuali Allah’, (Al Qasas:88)
Dan Hadis Qudsi:
`Bilamana Aku bersangatan mencintai seorang hamba, maka Aku akan menjadi pendengarannya, penglihatannya, lidahnya, tangannya dan kakinya. Maka olehKu dia mendengar, olehKu dia melihat, olehKu dia berbicara, olehKu dia marah dan olehKu dia berjalan’
Perhatikan kenyataan Imam Ghazali ra mengenai empat tingkat tauhid:
· Tingkat Pertama: Ucapan LA ILAAHA ILLAL LAAHU dan hatinya lalai atau memungkiri seperti tauhid orang-orang munafik
· Tingkat Kedua: Dibenarkan oleh hatinya akan makna lafal seperti umumya kaum muslimin - iktikad orang awam.
· Tingkat Ketiga: Dipersaksikan dengan jalan kasyaf (Terbuka hijab) dengan perantaraan nur kebenaran – makam orang-orang muqarrabin.
· Tingkat Keempat : Tiada dilihatnya pada yang wujud selain Yang Esa –Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.281-282.
Inilah yang dimaknakan oleh Imam Al Ghazali : ‘Maka barangsiapa mengenal kebenaran nescaya melihat yang demikian pada tiap-tiap sesuatu.Kerana tiap-tiap sesuatu itu adalah daripadaNya, kepadaNya, dengan Dia dan untuk Dia. Maka Dialah semua, menurut yang sebenarnya. Dan barangsiapa tidak melihat yang demikian pada tiap-tiap sesuatu yang dilihatnya, maka seolah-olah dia tidak mengenalNya. Dan barangsiapa mengenalNya, nescaya mengenal bahawa tiap-tiap sesuatu selain Allah itu batil dan tiap-tiap sesuatu itu binasa selain wajahNya. Bukan sesuatu itu akan batil dalam keadaan yang kedua nanti (kiamat), tetapi sekarang juga batil, kalau dipandang kepada dirinya dari segi diri itu sendiri.Kecuali dipandang adanya (wujudnya) sesuatu itu, dari segi adanya dengan sebab Allah Azzwajalla dan dengan QudrahNya’ (Jld 2 hal 130)
Demikian penjelasannya lagi:
‘Orang yang tidak melihat Allah Taala pada tiap-tiap sesuatu, tentu melihat lainNya. Dan tiap apa saja yang dipandang oleh hamba kepadanya selain Allah Taala, nescaya pandangannya itu mengandung sesuatu syirik yang tersembunyi kerana tauhid yang bersih adalah tidak melihat pada tiap-tiap sesuatu selain Allah Azzawajalla’ (Ihya 2 hal.144).
Manusia yang telah menempuh fanafillah dan baqabillah adalah insan kamil-mukamil yang telah ‘terbangun’ sejak di dunia lagi. Agama Sanatara-Dharma mengistilahnya ‘jivanmukta’, iaitu bagi insan yang mencapai moksya semasa hayatnya di dunia lagi, atau nirvana dalam ajaran Gautama Buddha.
Bertemu hakikat diri adalah kerinduan bagi yang mengenal dan mencintaiNya.
Syeikh Hamzah Fansuri dalam Kitabnya Syarbul –‘Asyikin’, pada Bab Ketujuh Pada Menyatakan Berahi dan Syukur”, menyatakan:
“Ketahui bahawa pangkat berahi terlalu tinggi daripada segala pangkat, kerana berahi tiada dapat diperbuat melainkan anugeraha Allah Taala juga. Adapun alamat orang berahi, tiada takut akan mati. Apabila takut ia akan mati, tiada berahi hukumnya, kerana kehendak orang berahi itu mati.Seperti sabda Rasulullah saw:
Man mata minal-ishqi faqad mata syahidan
Yakni barangsiapa mati daripada berahinya,
Maka bahawa sesungguhnya mati syahid.
Sabda Rasulullah saw.
Man ashaqa wa ushiqa fa mata
Minal isy faqad mata syahidan
Yakni:
Barangsiapa berahi dan bersungguh-sungguh,
Diberahikannya, maka mati ia daripada
Berahi [itu], maka bahawa sesungguhnya
Mati syahid.
Firman Allah Taala:
‘Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah’ – Al-Baqarah:165
Cinta Allah membawa kepada rindu dan asyek dan selepasnya mencapai fana iaitu dengan anugerah kasih-sayangNya. Dalam fana dan lebur; dalam asyek dan maksyuk; dalam cinta yang apinya membakar, akan terlatahlah bahasa-bahasa yang idak difahami oleh Syariat.
Imam Junaid al Baghdadi dalam fananya menjawab pertanyaan:’Tidak ada di dalam jubahku selain Allah’
Mansur Hussin al Hallaj dalam fananya menyebut: Ana al Haq yang bererti Akulah Yang Hak atau Akulah Allah’
Selain itu terdapat juga kalimat seperti:
‘Aku adalah Aku’
‘Aku adalah Engkau dan Engkau adalah Aku’
Demikian contoh bahasa-bahasa dalam fanafillah apabila berada dalam ‘tiada’ dalam kekosongan yang tiada perbatasan, apabila berada di kejauhan yang terdekat dalam konsep Lamaujud Ilallah. Pada tahap ini AKU, DIA dan KAMI adalah KEESAAN. Lao Tze menyebutkan yang berikut dalam tulisannya:
· Tao itu kosong, tapi berisi, dan tak pernah penuh.
· Anda memandang kepadanya, tapi Dia tidak tampak. Namanya: Bukan Bentuk
· Mencari Tao itu kehilangan dari hari ke hari, kehilangan di atas kehilangan, sampai tiba pada tenang damai.
· Siapa yang tahu, tidak berbicara; dan yang tidak tahu banyak bicara.
Memahami Hakikat bererti mengetahui bahawa dunia hanyalah sebuah fatamorgana. Alam dunia adalah alam ilusi dan fantasi sebagaimana alam-alam yang mendahuluinya - Lahut, Jabarut dan Malakut – kerana yang hak, hakiki dan realiti ialah hakikatNya – Zat Wajibul Wujud yakni Akhirat. Justru dunia sekadar permainan bukan kenyataan. Dunia sekadar pengkalan transit bagi seorang pengembara, bukan destinasi kerana akhir perjalanan ialah kembali ke HadratNya untuk bertemu denganNya. Oleh kerana itulah Penghulu Junjungan saw bersabda.
‘Manusia itu tidur. Maka apabila mereka telah mati, nescaya mereka terbangun’ (Ihya Ulumiddin Jld. 6 hal.160)
Benarlah Socrates (470-399sm) apabila mentakrifkan kematian adalah ‘satu tidur tanpa mimpi yang tentunya baik atau roh berhijrah ke dunia lain’
Jalan Makrifat dan Jalan Hakikat adalah umpama ‘menikmati isi dan rasa manisnya’ Islam dan Iman dalam Tauhid Keesaan yang berakhir dengan syurga. Maqam makrifat dan hakikat yang tinggi adalah golongan muqarrabin dan maqam tertinggi – khusus bagi yang terkhusus ialah sebagaimana Sabda Rasulullah saw:
‘Allah memiliki syurga yang tanpa bidadari dan istana serta tanpa madu dan susu. Kenikmatan di syurga itu hanya satu iaitu melihat Zat Allah’
Hal ini dijelaskan oleh al Quran:
‘Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri – A-Qiyamah:22.
Juga dijelaskan dalam Hadis Nabi saw:
‘Kamu sekalian akan melihat Tuhanmu seperti kamu melihat sinar bulan purnama’
Adapun bagi yang tidak ada makrifat dan tidak tahu hakikat dirinya akan berserakan dan bercemperakan, akan bertaburan berterbangan dan bergelandangan tak ketahuan oleh angkara iblis laknatullah pada kala sakaratulmaut, dan binasa sengsara di dalam neraka sebagai haiwan dan syaitan selama-lamanya, kecuali ada sezarrah benih iman. Firman Allah Taala:
‘ Sesungguhnya haiwan yang paling buruk di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir, kerana mereka itu tidak beriman…’ (Al Anfaal:5-56)
‘Sesungguhnya orang-orang kafir yakni Ahli Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahanam; mereka kekal di dalamnya.Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk’ – Al Bayyinah:6
Hadis Nabi saw:
‘Orang yang mengoyak-ngoyakkan kehormatan orang lain dibangkitkan sebagai anjing yang galak.Orang yang loba kepada harta-benda orang lain dibangkitkan sebagai serigala yang ganas. Orang yang menyombong terhadap orang lain dibangkitkan dalam bentuk harimau. Dan orang yang mencari jadi kepala dibangkitkan dalam bentuk singa’
menarik...
BalasPadamtanpa nama,
BalasPadamterima kasih
terima kasih kerana memberi pencerahan dlm bab ini...
BalasPadamanda berbicara mengenai sufi melalui pelbagai jalan dan ianya amat menarik...
benarlah sabda baginda muhammad, "aku mengenal tuhanku melalui tuhanku'.
hanya yang 'sedikit' akan memahami..insyallah
future phenomenon,
BalasPadamSemoga saudara bersama kami dalam perjalanan...
Terima kasih atas pencerahannya..salam silahturrahim dari hamba untuk Tuan..
BalasPadam