24 April 2009


3. Jalan Makrifat

Jalan Makrifat ialah jalan untuk mengenal dan pengenalan mengenai Allah Rabbul Alamin. Mengenal Allah swt adalah wajib hukumnya - dari sudut Rububiyah dan Uluhiyyah, bukan semata-mata melalui Sifat Dua Puluh, tetapi juga melalui Zat, Sifat, Asma dan AfaalNya yang akhirnya menjadikan hati menghadap kepadaNya. Mengenal seluruh sifat-sifat Maha KesempurnaanNya dan KemahsucianNya.
Sabda Rasulullah saw
‘Bermula awal-awal agama ialah mengenal Allah’.
Pesanan Rasul Teragung ini menunjukkan bahawa makrifah seharusnya mendahului ibadah, bukan beribadah tanpa mengenalNya. Sabda Baginda saw seterusnya:
‘Orang bertanya kepada Nabi saw:`Wahai Rasulullah! Amalan apakah yang terlebih baik?’
Nabi saw menjawab:’Ilmu mengenai Allah Azzawajalla (Maha Mulia dan Maha Besar)
Bertanya pula orang itu:’Ilmu apa yang engkau kehendaki?”
Nabi saw menjawab:”Ilmu mengenai Allah swt”
Berkata orang itu lagi:” Kami menanyakan tentang amal, engkau menjawab tentang ilmu”
Maka Nabi saw menjawab:” Bahawasanya sedikit amal adalah bermunafaat dengan disertai ilmu mengenai Allah.Dan bahawasanya banyak amal tidak bermunafaat bila disertai kebodohan mengenai Allah swt”
(Ihya Jld 1 hal. 52)
Mengenal Allah dapat dicapai melalui mengenal diri – asal dan kronologi kejadian. Sabda Penghulu Junjungan saw:
’Barangsiapa mengenal dirinya, bahawa sanya mengenal ia akan Tuhannya’
Semuanya bermula dengan mengenal Tuhan pada martabat Zat. FirmanNya:
’Dialah Yang Awal...” – al Hadid.3
Dalam Hadis Qudsi:
’Aku adalah kanzun mahfiyyan. Aku suka dikenali. Aku jadikan makhluk lantas mereka mengenaliKu’
Allah pada martabat Zat adalah Nur yakni Nur Allah. Allah pada martabat Sifat ialah Nur Muhammad dan kemudianya kejadian Adam as dari tanah, air, angin dan api.
Merujuk kepada aspek rohani Allah Taala berfirman:
‘Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniup ke dalamnya ruhKu, maka tunduklah kamu kepadaya dengan bersujud’(Al Hijr: 28-29)
Kemudian kejadian manusia keturunan Adam as berasal dari pati bumi ’tinn’.Dari kronologi konsep inilah munculnya Martabat Tujuh. Firman Allah:
’Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah.Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah iu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang lain (manusia) - Al Mukminun:12-14)
Makrifat juga boleh diketahui melalui mengenali hati.Imam Ghazali ra menerangkan:
‘Hatilah apabila dikenali oleh manusia, maka sesungguhnya manusia itu telah mengenali dirinya. Dan apabila manusia telah mengenali dirinya, maka ia telah mengenal akan Tuhannya. Dan hati itu apabila tidak dikenali oleh manusia, maka manusia itu tidak mengenali dirinya. Dan apabila manusia itu tidak mengenal akan dirinya, maka ia tidak mengenal akan Tuhannya’ – Ihya Ulumiddin.Jld.4 hal.6.
Hati wajib dikenali untuk mengenal diri dan lapisan-lapisannya.Mengenal hati termasuklah mengenali sifat-sifat diri yang tercela, kehinaan dan kelemahannya; mengenal pula Khaliknya dan bagaimana mengabdi, untuk berserah diri dengan beradab dan bersopan santun bagi menghampiriNya.Seluruh amal dan cara hidup akan menjadi kosong dan sia-sia kalau tidak menjadi ‘hamba abdi’ sejati; tidak mencapai makrifah dengan Allah swt sebagai sumber kewujudan.
Makrifah menjadikan manusia mempunyai tempat tumpu dan tuju hati, menjadikan Allah swt sebagai tempat tujuan, tumpuan dan cita-cia hati dalam perjalanan hayatnya – perjalanan batin dan rohnya. Apabila hati menghadap kepadaNya, lalu Allah menjadi pemimpin dan pegangan batinnya dan menjadi Zat yang dicintainya. Demikianlah yang difirmankan:
`Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah’(Al Baqarah:165)
Cinta Allah adalah klimeks dalam pengabdian dan hanya dapat dicapai melalui makrifah kepadaNya.Makam cinta adalah makam terakhir dalam perjalanan hati seseorang salik kepadaNya. Tanpa makrifah dikhuatiri seluruh amal tergantung di antara langit dan bumi. Amal dikhuatiri menjadi sia-sia kerana tidak sampai kepada tujuan akhirnya. Para ulama Tasauf membimbangi berakhir dengan suul khatimah kerana dahsyatnya gangguan pada sakaratulmaut.Tanpa makrifatullah manusia kehilangan cinta lantas mencintai selainNya. Inilah kebinasaan kepada sebilangan yang teramat besar di kalangan manusia.
Makrifat Allah pada martabat Zat memerlukan ’fana’ dan inilah yang dialami oleh tokoh-tokoh sufi yang agung sehingga dalam fananya meluahkan kalimat-kalimat yang menggugat pandangan syariat lalu dijatuhi hukuman sesat atau dihukum bunuh. Konsep fana ini dinamakaan nirvana dalam ajaran Siddhartha Gautama Buddha sementara agama Sanatara-Dharma (Hindu) menamakan sebagai moksya.
Perjalanan kerohanian bagi mencapai makrifah sesungguhnya penuh dengan simpang-siur di kanan dan di kiri. Gangguan dari syaitan, iblis, jin dan berbagai-bagai jenis makhluk halus dari alam ghaib kerohanian menyebabkan seseorang salik akan sesat dalam persimpangan berliku dan akhirnya mendapat hakikat yang salah dan sesat. Inilah yang berlaku dalam kalangan sebilangan pengamal Tasauf di seluruh Alam Melayu. Pada zahirnya mereka adalah ahli ibadah dan pengamal syariat Rasulullah saw yang tegar, mereka bagaikan dianugerahi dengan kebolehan-kebolehan tertentu, hebat dalam perubatan dan persilatan, boleh meramal dengan tepat mengenai sesuatu, serta mampu membicarakan aspek-aspek tasauf dan ketuhanan sehingga diberi julukan penghormatan yang istimewa ’tok ayah’, tetapi pada hakikatnya adalah kesyaitanan.
Perjalanan pada Jalan Makrifah sesungguhnya wajib dibimbing oleh seorang guru mursyid, kerana tanpa guru sempurna, syaitanlah yang akan menjadi gurunya. Inilah maksud Hadis berikut:
Abdullah bin Mas’ud ra. berkata: ‘Rasulullah saw telah menggariskan bagi kami pada suatu hari, suatu garis, seraya bersabda:”Inilah Jalan Allah!”, Kemudian Baginda menggariskan beberapa garis di sebelah kanan dan di sebelah kiri garis tadi.Kemudian beliau bersabda:” Inilah jalan-jalan dan pada setiap jalan ini ada syaitan yang mengajak kepadanya”.
Lalu beliau membaca ayat ini untuk menerangkan garis-garis itu:
‘Sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka turutlah.Dan janganlah kamu turutkan jalan-jalan (untuk garis-garis itu) –
Al-An’am: 153 – Ihya Ulumiddin Jld. 4 hal 83.
Tanpa makrifah manusia mudah sahaja berpaling daripada Jalan Tuhan kepada Jalan Kesyaitanan - ada syaitan yang mengajak kepadanya. Inilah gangguan pada Jalan Syariat dan Tarekat dan pada dunia akhir zaman ini, terbentang pula dengan sangat luas dan jelas bagi yang diberi mata hati, Jalan Dajjal Zionis melalui propaganda Freemason, Illuminati dan sebagainya yang telah menjadikan umat Islam umat yang keliru, bercelaru dan berseteru.
Firman Allah Taala seterusnya:
`Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan, maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya’`
`Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk’
(Az Zukhfruf:36-37)
Peringatan Allah Rabbul Alamin tersebut merangkumi semua lapisan manusia – orang jahil dan orang berilmu dari kalangan umat Islam. Orang yang tidak berilmu pasti akan menjadi kuda tunggangan syaitan, kerana kejahilannya mengenai Allah lantas menyembah Allah di samping mengabdi kepada tuhan-tuhan yang lain. Firman Allah:
‘Maka janganlah kamu menyeru tuhan yang lain di samping Allah.. – Asy Syu’ara:213
‘Allah berfirman:”Lemparkan olehmu berdua ke dalam neraka semua orang yang sangat engkar dan keras kepala, yang sangat enggan melakukan kebajikan, melanggar batas lagi ragu-ragu, yang menyembah sembahan yang lain beserta Allah… - Qaf:24-26
Sementara orang yang berilmu tetapi tanpa makrifah sempurna, adalah penggembala yang menggembala syaitan kerana tidak dapat membersihkan dirinya dari syirik khafi - syirik yang digambarkan oleh Rasulullah saw bagaikan ' semut hitam di bawah tikar pada malam yang gelap' yang dijadikan senjata oleh syaitan mengaburi orang-orang berilmu yang istiqamah dalam urusan Syariat dan Tarekat. Kedua-dua golongan ini binasa. Lihatlah pesanan Rasulullah saw:
Janganlah engkau mempelajari ilmu pengetahuan untuk bersombong-sombong dengan sesama berilmu, untuk bertengkar dengan orang berfikiran lemah dan untuk menarik perhatian ramai kepadamu.Barangsiapa berbuat demikian, maka dia dalam neraka” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal:225.
Bersabda Nabi saw:“Barangsiapa menuntut ilmu di antara ilmu pengetahuan yang menuju kerelaan Allah untuk memperoleh harta benda duniawi, maka orang itu tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal.233.
Sebagai rumusannya, Jalan Makrifah adalah jalan yang sangat mustahak bagi insan yang telah bagus dan istiqamah dalam pegangan Syariat dan Tarekat; sangat perlu bagi insan yang telah berpegang teguh kepada prinsip ”Hidup Adalah Pengembaraan Pulang’.Demi sesungguhnya - selain dari itu - Jalan Makrifat adalah jalan untuk menjawab persoalan SIAPA AKU.

6 ulasan:

  1. salam buat tuan blog...

    Saya sangat tertarik dengan artikel-artikel tuan.teruskan usaha murni tuan..semoga diredhai Allah.

    kalau boleh,izinkan saya menyiarkan beberapa artikel tuan dalam blog saya.

    izinkan saya berkongsi sedikit ilmu...

    Ciri terakhir dari cinta yang hakiki kepada Allah itu,menurut keterangan tuan itu ialah Redha atas segala ketentuanNya.Seperti Al-Ghazali,Al-Palembani juga menganggap redha itu makam tertinggi yang merupakan buah dari Mahabbah(cinta).(ibid.,hlm 40;bandingkan Ihya',jilid IV,hlm 333).

    menurut Al-Palembani,erti Redha itu"tidak menyangkal akan segala perbuatan yang diperlakukan Allah atasnya dan(atas) orang lain yang lain daripadanya kerana sekalian perbuatan yang wuqu'(terjadi) di dunia ini,perbuatan-Nya dan wajib ia redha akan perbuatan-Nya.(ibid ,hlm 138)

    Rabiatul Adawiah pernah ditanya.."Bilakah seorang hamba Allah redha kepadaNya?"..
    jawabnya.."apabila kegembiraannya menerima musibah sama dengan kegembiraannya menerima nikmat"
    ..namun ini bukan bermaksud seseorang harus redha pula menerima kemaksiatan dan kekafiran.

    oleh itu menurut Al-Palimbani...redha yang lahir dari Cinta kepada Allah itu adalah pintu yang amat besar,yang merupakan jalan masuk kepada makrifat Allah Taala dan adalah maqam yang terlebih tinggi,iaitu maqam orang yang muqarrabin,yakni orang yang hampir kepada Allah taala(lihat sair,jilid IV,hlm 139)

    namun banyak kitab-kitab tasawuf dan ulama-ulama mengatakan cinta adalah maqam yang tertinggi seperti yang tuan katakan disini.

    wassalam.

    BalasPadam
  2. Tidak jadi masalah untuk saudara Sangtawal menyebarkan melalui blog saudara., asalkan dinyatakan sumbernya.
    Terima kasih juga di atas perkongsian yang diberikan.Maqam redha dan cinta menurut fahaman saya adalah maqam tertinggi yang berintegrasi dan saling beriringan.Adalah tidak mungkin cinta tanpa redha atau sebaliknya. Cinta mencintai dan rela-merelai adalah sifat kekasih sejati.
    Wassalamualaikum

    BalasPadam
  3. Salam.

    Terima kasih saudara.

    Kenapa blog saudara saya tidak boleh link-kan ke blog saya?

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum.
    Sangtawal, sila link: wwwfafiruilallah.blogspot.com
    Sekian.

    BalasPadam
  5. salam...

    masih tak boleh link...maybe ada problem dengan setting blog saudara...saya rasa org lain pun tak boleh link juga ni..boleh tanya member....

    mungkin saudara boleh pergi ke dashboard > setting > basic > click "yes" pada "add your blog to our listing...dan click "yes" pada "let search engines find your blog? ...lepas tu pergi kat > setting balik > site feed > click "full" kat "allow blog feed" tu...

    cuba..insyaAllah.

    Wassalam.

    BalasPadam
  6. Sangtawal
    wwwfafiruilallah jangan letak titik selepas www
    Silakan.

    BalasPadam