24 April 2009


2. Jalan Tarekat

Tarekat bererti ‘jalan’ yakni ‘jalan hidup’ atau `way of life’, Jalan Allah dan Jalan RasulNya. Jalan Allah termaktub dalam kalimah ‘lailla haillallah’ yang sumbernya ialah al Quran. Jalan RasulNya termaktub dalam kalimah ‘Muhammadar Rasulullah’, kerana Rasulullah yang merealisasi dan menterjemahkan sesuatu yang ghaib dan abstrak ke dalam kehidupan di bawah petunjuk wahyu. Inilah maksud Iman Majmal yang menghimpunkan Rukun Iman yang dipelajari dalam Sifat 20 iaitu dua perkara:
(i) Aku beriman (percaya) kepada Allah dan aku ikut kata (perintah) Allah.
(ii) Aku beriman (percaya) kepada Rasul dan aku ikut kata (perintah) Rasul.

Dalam istilah Melayu, tarekat ialah ‘perbuatanku’ iaitu apa jua yang diperbuat oleh Rasulullah saw dalam sepanjang kehidupan Baginda. Umat Rasulullah saw diwajibkan , meniru, mencontohi mempraktik dan melaksanakan seluruh cara hidup Rasul yang agung itu dalam semua dimensi kehidupan. Dalam ibadah terutamanya ibadah khususiah misalnya solat, puasa, zakat dan haji umat Islam mesti mengamalkannya dengan lillahitaala mengikut rukun yang diwajibkan, betul syarat sah dan batalnya, wajib, sunat, makruh dan harusnya, zahir dan batinnya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Pedoman yang diberikan tersebut kemudiannya dikembangkan pula melalui ilham, ijtihad dan qias dengan cukup lengkap lagi sempurna oleh pelupur mana-mana mazhab fekah yang empat iaitu Imam Syafie ra, Imam Hambali ra, Imam Maliki ra dan Imam Hanafi ra.

Selain ibadah khususiah, tarekat juga merujuk kepada amalan-amalan zikir, terutama zikir-zikir Tarekat yang sahih bersumber dari Rasulullah saw dengan berbagai-bagai namanya, baik zikir zahir maupun zikir batin. Selain itu, termasuk juga amalan berdoa, berwirid, bertakbir, bertasbih, bertahmid, beriktikaf, bertafakur, membaca selawat, membaca Al Quran, melaksanakan urusan-urusan sosial kekeluargaan dan kemasyarakatan - nikah kahwin, talak, cerai dan rujuk, hidup berkeluarga dan berjiran-tetangga, serta hubungan sosial dan kemasyarakatan.

Tarekat juga merujuk kepada sistem urus tadbir sesebuah negara kota iaitu bagaimana tadbir urus dalam bidang pendidikan, undang-undang dan kehakiman, keselamatan, pertahanan dan peperangan, sistem ekonomi termasuk konsep Baitumal, sistem pajakan dan pajak-gadai, pusaka, wasiat, waqaf, jual-beli, hutang-piutang dan sebagainya serta perhubungan dengan alam sekitar, kafir zimmi dan kafir harbi, negara tetangga dan dunia antarabangsa.

Para Sahabat rh adalah juga model panduan dan pedoman umat Islam kerana mereka juga menjadi contoh ikutan kerana telah mempraktikkan semua ajaran Allah dan RasulNya. Berkaitan dengan hal ini Baginda saw bersabda:
‘Para Sahabatku umpama bintang di langit. Mengikut mana satupun kamu akan mendapat petunjuk’
Rasulullah saw telah meninggalkan contoh kehidupan pada ‘jalan yang lurus’; maka jejak itulah yang wajib diikuti. Jejak ini telah diikuti dengan sangat sempurna – dengan penuh rela dan cinta - oleh sebilangan besar para Sahabat terutama para Sahabat yang agung. Inilah pengucapan doa dalam Al Fatehah yang wajib dibaca pada setiap kali solat:
‘Tunjukilah kami jalan yang lurus’ (Al Fatehah: 1:6)

Ditunjukkan juga oleh Hadis Rasulullah saw:
Abdullah bin Mas’ud ra. berkata:
‘Rasulullah saw telah menggariskan bagi kami pada suatu hari, suatu garis, seraya bersabda:”Inilah Jalan Allah!”, Kemudian Baginda menggariskan beberapa garis di sebelah kanan dan di sebelah kiri garis tadi.Kemudian beliau bersabda:” Inilah jalan-jalan dan pada setiap jalan ini ada syaitan yang mengajak kepadanya”.
Lalu beliau membaca ayat ini untuk menerangkan garis-garis itu:
‘Sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka turutlah.Dan janganlah kamu turutkan jalan-jalan (untuk garis-garis itu) – Al-An’am: 153 – Ihya Ulumiddin Jld. 4 hal 83.

Jalan persimpangan berliku, kanan dan kiri adalah jalan-jalan lencongan yang teramat banyak jumlahnya berbanding dengan jalan yang lurus yang cuma satu. Selain menganut, mengamali dan meniru agama-agama yang telah mengalami sempang-prenang – jalan berliku juga merujuk kepada pengamalan, pematuhan atau menjadikan panduan dalam pengurusan sistem hidup baik dalam sistem politik, ekonomi, sosial dan sebagainya yang semuanya bernaung di bawah berbagai-bagai sistem dan ideologi – sekularisme, kapitalisme, liberalisme, nasionalisme, komunisme, sosialisme, individualisme, pragmatisme, materialisme dan sebagainya. Kesemua ideologi berkenaan bersumber dari rencana jahat Yahudi yang sentiasa merencanakan kejahatan zaman berzaman, yang dicipta sebilangannya setelah terutusnya Nabi Akhir Zaman saw, yang sejak ratusan tahun yang lalu telah amat berbisa menghakis ‘cara hidup’ atau ‘addin’ atau ‘way of life’ pada ‘jalan yang lurus’ di kalangan umat Islam sedunia. Kesemuanya itu ada ‘syaitan yang mengajak kepadanya’ ,mengajak dan menyeru kepada kebinasaan dunia dan akhirat.

Dengan lain-lain kalimat, tarikat adalah aspek praktikal pada jalan yang lurus – mempraktikkan kandungan al Quran melalui contoh teladan Rasulullah saw, dan diikuti oleh para Sahabat rh, para Imam Mazhab, para ulama warasatul ambiya serta pesonaliti-personaliti agung dari kalangan ahli sufi dan pengamal Tasauf al Haq pada kurun-kurun yang lalu.

4 ulasan:

  1. salam persaudaraan buat tuan punya blog.

    terima kasih atas kunjungan tuan ke blog kerdil saya.saya melihat secara sepintas lalu blog tuan.
    artikel tulisan tuan agak mendalam dari segi tasaufnya...posting berkaitan dengan wahdatul wujud sebelum ini cukup menarik...tetapi bagi yang baru memulakan perjalanan sebagai si salik agak berat untuk memahaminya..dan harus berhati-hati atau mungkin boleh mengadap guru yang murshid...jika sudah sampai kepada tahap kasyrah fi wahdah dan wahdah fi kasrah..insyaAllah...semoga berjalan mengikut garisannya dari ilallah kepada lillah kepada a'allah kepada ma'allah kepada fillah kepada 'anillah dan akhirnya kepada billah...

    wassalam.

    sangtawal sakranta....

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum.
    Saudara sangtawal sakranta,
    Terima kasih di atas response saudara dan semoga kita berada dalam perjalanan yang benar di sisiNya bagi mencapai matlamat yang sama dan untuk itu semoga kita saling bantu-membantu dan tegur-menegur dengan semangat persaudaraan Islam sejati.
    Wassalamualaikum.

    BalasPadam
  3. Tuan,Pelita Didalam Kaca, hamba berkhendak mempelajari ilmu prjalanan ini,bagaimana boleh Tuan membimbing hamba ke jalan ini..

    BalasPadam