09 April 2009

WAHDATUL WUJUD.

Fahaman Wahdatul Wujud bukanlah satu ajaran baru yang sesat dan menyesatkan. Fahaman ini adalah ibarat tunjang dan teras batin dalam tasauf yang akarnya tertancap di dasar bumi ketujuh dan puncaknya menjulang menujah langit terus ke Sidratul Muntaha. Inilah sesungguhnya, diulangi, demi sesungguhnya, inilah pati, intipati dan saripati agama yang menjadi pegangan para Nabi dan Rasul dan Auliya-Auliya Allah yang agung sejak zaman Nabi Adam as sehinggalah kiamat dunia. Wahdatul Wujud adalah Quran Batin dan Islam Batin yang dapat dilihat dengan sejelas-jelasnya tersembunyi dalam ayat-ayat mutasyabihat tetapi demikianlah Maha Kuasanya Allah menyembunyikan sesuatu yang teramat terang. Sesungguhnya sesuatu itu apabila menjadi teramat terang, akan tersilau lalu tertutup pengihatan oleh kesilauan.
Fahaman ini adalah pegangan batin kepada hakikat al Haq dalam Sifat 20 - Nafsiah, Salbiah, Maani dan Manuwiyah – terdiri dari wujud, qidam, baqa, mukholal fatuhu taala lilhawadis, qiamuhu taala binafsih, wahdaniat, qudrat, iradat, ilmu, hayat, samak, basar, qalam, qanuhu taala qadirun, qanuhu taala maridun, qanuhu taala alimun, qanuhu taala hayyun, qanuhu taala samiun, qanuhu taala basirun dan qanuhu taala mutakallimun. Inilah pegangan jiwa-jiwa yang kudus dan agung sepanjang zaman, wujud dalam semua zaman, tetapi menempuh proses evolusi yang berkembang sempurna dan mencapai puncaknya apabila terutusnya Muhammad Habibullah saw.
Sesungguhnya tentulah suatu hal yang amat luar biasa dan menjadi puncak ketakjuban pula, menjadi lemahlah seluruh akal yang lemah, apabila Dia yang menjadi sumber wujud bagi seluruh kewujudan, Dia lah Zat Yang Maha Nyata dan Zahir, yang Maha Nyata dan Maha ZahirNya tidak didahului oleh apa-apa atau siapa-siapa, tiba-tiba Dia pulalah juga yang Maha Ghaib dan Tersembunyi. FirmanNya:
Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang zahir dan Yang Batin’
Seluruh ketakjuban ini tersembunyi dalam rahsia kalimah teragung ‘Laailaha Illallah Muhammadar Rasulullah’ yakni Hakikat Allah dan Hakikat Muhammad saw. Inilah asas pertama teras akidah Ahlul Sunnah Waljamaah. Meyakini dengan tepat dan benar hakikat Allah dan Muhammad ertinya mengetahui dengan jelas dan tepat Hakikat Ketuhanan Allah Rabbul Alamin serta Hakikat Kerasulan Muhammad, hubungkait antara Nur Allah dan Nur Muhammad antara Zat dan Sifat dan keharmonian Jalalullah dan Jamalullah sehingga memanifestasikan hayat dan wujud bagi semesta alam. Konsep inilah yang dapat ditemui dalam ajaran Taoisme dalam konsep The Three Pure Ones seperti berikut:
The Tao Producing The One (Tai Chi)
The One Produce Two (Ying and Yang)
The Two Produce The Three (The Three Pure Ones)
The Three Produce All The Myriad Being (All of Existence)
(Tao melahirkan yang Satu
Yang Satu melahirkan yang Dua
Yang Dua melahirkan yang Tiga
Yang Tiga melahirkan semua makhluk)
Menerusi interaksi dan hubungan harmoni antara Ying dengan Yang, The Three Pure Ones menjadi nyata. Inilah kombinasi dan kesan interaksi Zat dan Sifat, Jalalullah dan Jamalullah!
Dapat dilihat juga dalam konsep Brahman seperti berikut:
In the beginning there was Existence, One only, without a second (Pada permulaannya hanya ada satu Wujud, Maha Esa, tanpa ada yang kedua) - Upanishad, Chandogyia.
Before creation, all that was the Self, the Self alone. Nothing else was. Then Self thought: Let me send forth the worlds (Sebelum kejadian, seluruh yang ada cuma dia.Dia sahaja. Tidak ada yang lainnya. Kemudian dia berfikir:Biar Aku adakan alam semesta) - Upanishad, Aitareya
He thought: Behold the worlds. Let me now send forth their guardians. Then he send forth their guardians. (Dia berfikir: Lihat alam semesta. Biar aku adakan para penjaganya. Kemudian Dia mencipta penjaganya) Upanishad. Aitarey
Let a man, freeid from the taint of passion, worship Brahman alone (Mestilah seorang manusia, terbebas dari godaan nafsu, menyembah Brahman sahaja) Upanishad, Chandogya.
Brahman is supreme. He is self – luminous. He is beyond all thought. Subtler than the subtlest is He, farthest than the farthest, nearer than the nearest. He resides in the lotus of hearth of every being ( Brahman itu maha agung. Dia cemerlang sepanjang zatnya. Dia berada di luar seluruh pemikiran.Dia maha ghaib dari yang paling ghaib, maha jauh dari yang paling jauh, maha dekat dari yang paling dekat. Dia bersemayam di dalam seroja hati setiap makhluk) - Upanishad, Mundaka.(Agama-AgamaBesar Di Dunia hal. 44-45)
Persoalan yang sangat menggugat pegangan umat Islam akhir zaman ialah mengenai konsep Muhammad. Siapakah Muhammad saw? Pegangan yang paling lemah mengenai Nabi Muhammad saw adalah apabila diputarbelitkan oleh Yahudi dan orientalis Barat melalui pengajian di universiti sekular Islam yang mengatakan bahawa Baginda saw adalah insan yang menjadi Nabi terakhir yang diutuskan di Mekah yang riwayat Baginda saw bermula cuma sejak 571M-632M. Inilah bencana! Melalui maklumat sedemikian, maka timbullah sangkaan dan kepercayaan kepada umat Islam bahawa sejarah Agama Islam cuma bermula pada abad ke 6M. Inilah juga bencana!
Nabi Muhammad saw sesungguhnya adalah Rahsia Agung. Baginda saw adalah tajalli kanzun mahfyyan – Cahaya Allah memanifestasi kepada Cahaya Muhammad, Rahsia Agung yang tersembunyi dalam Zat manifestasi kepada Sifat.. Ruh Muhammad saw adalah ruh yang termurni sebagai makhluk pertama dan asal seluruh makhluk sesuai dengan Sabda Rasullullah saw:
Aku dari Allah dan orang-orang mukmin dari aku’
Firman Allah swt dalam Hadis Qudsi:
Kalau Aku tidak menciptakanmu, maka Aku tidak akan menciptakan ‘Falak’ (alam semesta)’
Sabda Penghulu Junjungan Rasulullah saw seterusnya:
‘Tatkala Adam as telah terbuat suatu kesalahan (menyebabkan Baginda as tersingkir dari syurga, Baginda as berdoa memohon ampun). Sekali Baginda as mengangkat kepalanya ke arah langit dan memohon. “Ya Allah! Aku memohon keampunan kepada Engkau dengan berkat syafaat Muhammad saw”. Maka Tuhan mewahyukan kepadanya:”Siapakah Muhammad saw ini yang engkau memohon keampunan dengan berkatnya?”.Baginda menjawab:”Ketika Engkau menjadikan aku, maka sekali aku memandang ke arah ArasyMu dan aku melihat ada tertulis padanya ‘Laa illa haillallah Muhammadar Rasulullah’, maka aku telah yakin bahawa tiada sesiapapun yang lebih tinggi daripadanya pada sisiMu yang namanya Engkau telah meletakkan bersama dengan namaMu”.Lantas Tuhan mewahyukan kepadanya:”Wahai Adam! Sesungguhnya dia adalah Nabi Akhir Zaman dari keturunanmu. Sekiranya dia tiada maka sudah pasti Aku tidak menjadikan engkau”
Firman Allah swt.
‘Telah datang kepada kamu sekalian cahaya (Nabi Muhammad saw) dan Kitab yang menjelaskan’(Al Maidah:15)
Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan untuk kasih sayang (rahmat) bagi semua alam’ (Al Anbiya:107)
Dan tiada Kami mengutus kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui’ – Saba: 28
Dalam Hadis Qudsi:
'Aku adalah kanzun mahfiyyan' (perbendaharaan tersembunyi). Aku ingin ditemukan dan dikenali.Kuciptakan makhluk agar mereka mengenaliKu'.
Inilah rahsia bacaan selawat berikut:
‘Allahhum masolli ala Saidina Muhammadin fil awwalinn, wasolliwassallim ‘ala Saidina Muhammadin fil aakhirin’
Inilah di antara ayat-ayat yang disembunyikan oleh musuh-musuh Allah dan RasulNya kerana bukan faktor mutasyabihat tetapi di belakangnya mengandungi jarum halus dan licik bangsa Yahudi atas kedengkian mereka kerana Nabi Muhammad saw tidak diutuskan sebagai Bangsa Yahudi.
Selain dalam ajaran ‘agama yang kekal abadi’ - Sanatara Dharmaa - (Hindu) dan agama Pemberi Cahaya – Buddha, intipati Islam ini dapat juga dilihat dalam ajaran agama lain – Kristian, Yahudi, Zoroasterime, Kung Fu Tze (Confucius) dan Taoism (Lao Tze). Bahkan bukan sahaja dalam ajaran yang bersifat keagamaan, intipati Islam ini dapat dilihat unsurnya dalam bicara falsafah hasil penemuan ilham tinggi dari ahli-ahli falsafah yang masyhur sebelum masihi dalam tamadun Greek-Yunani seperti Phytogoras, Socrates, Plato, Aristotle, mazhab Neo Platonisme dan sebagainya yang berat sangkaan kami mengatakan mereka terdiri dari kalangan para Nabi dan Rasul yang berjumlah seramai 313 orang.
Mazhab Neo Platonisme adalah aliran falsafah Greek yang terakhir dibangunkan oleh Plotinus (205-270m) pada abad ke 3 masihi di Iskandariah, Mesir. Ahli falsafah Greek ada yang berpendapat bahawa Plotinus pernah mendalami ilmu falsafah di India dan pokok ajarannya ialah mengenai ‘mengenali Dia di dalam diri sendiri’ dan ‘ Dia berada dalam seluruhnya’ dan ‘ seluruhnya adalah Dia’ yang banyak terdapat dalam Kitab Veda terutama kitab Upanishad, melahirkan faham bahawa Wujud Tunggal Pencipta meresapi seluruh alam. Dunia falsafah menyebutnya sebagai fahaman pantheism atau dalam Tasauf Islam terkenal dengan fahaman Wahdatul Wujud.
Fahaman ini pernah dianut oleh ahli-ahli sufi Islam sejak abad ke 10M, misalya Jalaluddin Al Rumi (1207-1273M), Mahyuddin Ibnu Arbi (1165-1240M) dan Bahauddin Al Naqsyabandi (1317-1389M). Bahkan sufi besar Al Hallaj (858-922M) pada saat-saat fanafillah sering terlatah mengucapkan ‘Ana’l Llah’ yang bererti ‘Akulah Allah’ dan ‘Ana Al Haqq’ yang bererti ‘Akulah Al Haqq’, lalu dijatuhi hukuman mati di Baghdad pada masa Khalifah Al Muqtadir (908-932M) – (Agama-Agama Besar Di Dunia hal.49).
Intipati Islam ini serta berbagai-bagai disiplin ilmu lainnya - ilmu sains dan cabang-cabangnya, matematik, astrologi dan astronomi, geografi, psikologi dan antropologi, perubatan, kejuruteraan, dan berbagai-bagai bidang ilmu teknologi kemahiran hidup lainnya, berkembang serentak atau beredar dari satu tamadun kepada satu tamadun yang lain silih berganti – Tamadun India, Tamadun China, Tamadun Yunani, Tamadun Mesir, Tamadun Irak dan lain-lain pada abad-abad Sebelum Masihi. Seluruh tamadun dunia zaman sebelum masihi ini pada akhirnya mencurah menimbun dan berkumpul serta berkembang dengan sangat indah sempurna dalam induknya - tamadun Islam; bermula pada zaman Rasulullah saw bersempena Baginda saw sebagai penutup para Nabi dan Rasul. Inilah erti Nabi Akhir Zaman iaitu Nabi terakhir yang telah menyempurnakan seluruh tamadun al Haq sejak zaman Nabi Adam as bagi mencapai kesempurnaan tertinggi dalam tamadun kemanusiaan menjelang kiamat.
Ajaran Islam yang sudah lengkap sempurna sempena zahirnya ‘bapa segala roh’ ini terus mencapai zaman gemilang dan terbilang pada zaman para Sahabat rh dan seterusnya pada zaman-zaman seterusnya sewaktu Islam menjadi pentadbir dunia di Zaman Empayar Umaiyyah, Abbasiyah, Fatimiyyah, Uthmaniah, Dinasti Moghul/Kesultanan Delhi, Kesultanan Acheh, Kerajaan Islam Demak, Kesultanan Islam Brunei, Kesultanan Sulu, Kerajaan Melayu Melaka dan sebagainya.
Inilah rahsia ayat:
‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang zahir dan Yang Batin’
Juga.
Allahhum masolli ala Saidina Muhammadin fil awwalinn, wasolliwassallim ‘ala Saidina Muhammadin fil aakhirin’
Serta firman Allah swt:
`Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku ridai Islam itu jadi agama bagimu’ (Al Maaidah:3)
Kedurjanaan bangsa Yahudi memporak-perandakan umat Islam menjadi begitu berbisa apabila para ilmuan Islam yang mukhlisin, para ulama warasatul ambiya dan para pendukung ilmu tasauf yang hidup penuh muhabbah kepada al Khaliq, pada zaman-zaman terdahulu telah dituduh dipengaruhi oleh ajaran Tasauf yang sesat dari pemikiran ahli-ahli falsafah Greek Yunani terutamanya aliran NeoPaltonisme, Hindu dan Buddha, lantas dilemparkan sangkaan Tasauf Islam diserapi pengaruh Hindu dan Buddha selain pengaruh NeoPlatonisme. Inilah bencana ratusan tahun kepada ummah, ilmu dan tamadun Islam!
Nabi Muhammad saw memang tidak menyampaikan konsep Wahdatul Wujud secara meluas – kecuali kepada sahabat-sahabat khusus dan ahli Suffah - kerana membimbangi berulangnya malapetaka yang telah menimpa umat-umat Nabi terdahulu yang akibat ‘keterbatasan ilmu dan akal’ di kalangan umat, lalu membuat tafsiran-tafsiran dan takwilan yang menyesatkan sehingga meletakkan unsur ketuhanan dan kedewaan kepada manusia-manusia luar biasa seperti itu lantas dipatungkan, disembah dan dipuja. Ini sangat jelas dalam ajaran Kristian, Buddha dan Hindu.
Umat Nabi Muhammad saw secara majoritinya dibiarkan dalam keadaan ’ orang awam’ yang berpegang seteguhnya kepada Syariat Rasulullah saw dan Islam Zahir sambil membenarkan, mengikuti, mencontohi, mentaati dan mencintai personaliti yang berilmu yang terbukti memiliki ilmu yang tidak terjangkau oleh mereka. Inilah maksud sabda Penghulu Junjungan saw:
’Para Sahabatku umpama bintang di langit. Mengikuti mana-mana satupun kamu akan mendapat petunjuk’.
Menempuh jalan Tasauf sesungguhnya menempuh medan perjuangan yang teramat berat. Inilah yang ditempuhi oleh para sufi. Dalam proses mencari dan ‘mengenal diri dan ketuhanan’ seseorang ‘salik’ yang menjalani berbagai-bagai jalan tasauf dan zikir tarekat, akan melakukan zikir secara khilwah, bertapa, suluk, meditasi dan berbagai-bagai istilah lagi; akan tersingkap kepada jalan berliku dan simpang-siur perjalanan, dan tanpa bimbingan rohani sempurna terdedahlah kepada berbagai-bagai takwilan ketuhanan.
Mencari pembimbing ruhani sempurna atau guru mursyid – insan warasatul ambiya yang mewarisi ilmu zahir (Fekah –Syariat Zahir) dan ilmu batin (Tasauf – Syariat Batin) - adalah wajib supaya terselamat seseorang salik dari duri dan pancaroba penghuni alam ghaib dan rohani. Imam Al Syafie ra mengatakan,’ Jadilah fakih dan sufi; jangan hanya menjadi salah satunya. Sungguh, demi kebenaran Allah, aku menasihatimu dengan ikhlas’. Dan Imam Malik ra mengingatkan, `Orang yang bertasauf tanpa mempelajari fekah telah merusak imannya, sedangkan orang yang memahami fekah tanpa menjalankan tasauf telah merusak dirinya. Hanya orang-orang yang memadukan keduanyalah yang menemukan kebenaran’. (Tasauf dan Ihsan hal: 178)
Dalam proses penyucian jiwa untuk menghampiriNya teramatlah sukar membezakan antara ilham kemalaikatan dengan bisikan iblis, syaitan, jin dan berbagai-bagai makhluk halus. Hanya salik yang benar-benar ikhlas akan selamat sampai ke destinasi.Inilah juga masalah dalam alam tasauf akhir zaman terkhususnya di Kepulauan Alam Melayu – sukarnya untuk mendapat pembimbing ruhani sempurna setelah sekian lama Islam disekularkan di bawah sistem dan ideologi Barat.
Oleh sebab konsep WahdatulWujud adalah suatu persoalan metafizika yang paling halus dan terdalam yang “seakan-akan tertutup” dan disebarkan pula secara tradisinya ‘tertutup dan secara rahsia’, sebab itulah pengamal-pengamal tasauf sendiri bertelingkah dan pecah kepada dua golongan sejak sekian abad. Mereka yang benar-benar mukhlisin di sisi Allah Azawajalla dan mencapai Al Haq, mereka yang sedikit jumlahnya adalah golongan muqarrabin dan rohaniah dari kalangan umat Nabi Muhammad saw yang melintasi Siratul Mustaqim tanpa hisab adalah satu bilangan yang kecil sahaja iaitu seramai 70,000 berbanding dengan umat-umat Nabi dahulu kala yang besar jumlahnya. Al Quran menerangkan mengenai hal ini:
Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu (masuk syurga). Mereka itulah orang-orang yang didekatkan (kepada Allah).Berada dalam kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian (Al Waqiah:56:10-14)
Akan tetapi Nabi Muhammad saw tetap berbangga dengan ramainya umat Baginda saw yang masuk syurga; dan ramai pula masuk dengan syafaat Baginda saw sendiri dan syafaat golongan muqarrabin sehingga umat Baginda saw yang masuk syurga menyamai bilangan semua umat 313 Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu. Al Quran menerangkan:
‘(Kami ciptakan mereka – bidadari) untuk golongan kanan (iaitu) segolongan besar dari orang-orang terdahulu dan segolongan besar pula dari orang-orang kemudian’ (Al Waqiah:56:38-40)
Golongan muqarrabin dalam kalangan umat Nabi Muhammad saw jumlahnya sekadar 70,000 berbanding berbilion manusia Islam sejak zaman Rasulullah saw sehinggalah ke hari kiamat. Selain sejumlah para Sahabat dan para Auliya Allah yang agung dari kalangan bangsa Arab dan Timur Tengah, terdapat sedikit di kalangan bangsa-bangsa yang lain di serata dunia Islam. Di Alam Melayu yang titisannya kebanyakan dari kalangan Ahlul Bait cuma sekadar segelintir, berbanding ratusan juta umat Melayu sejak kedatangan Islam pada sekitar abad ke 13 lalu.
Golongan muqarrabin adalah golongan paling istimewa. Mereka menempati syurga tingkat empat hingga ke tujuh. Sabda Nabi saw mengenai nikmat golongan ini:
‘Allah memiliki syurga yang tanpa bidadari dan istana serta tanpa madu dan susu.Kenikmatan di syurga itu hanya satu, iaitu melihat Zat Allah’
Al Quran pula menerangkan:
‘Wajah-wajah (golongan muqarrabin) pada hari itu berseri-seri’ (Al Qiyamah:22)
Juga dijelaskan dalam Hadis Nabi saw:
Kamu sekalian akan melihat Tuhanmu seperti kamu melihat sinar bulan purnama’
Wahdatul Wujud sesungguhnya bukanlah masaalah akidah. Wahdatul Wujud pada hakikatnya tidak ada apa-apa perbalahan dengan aqidah Ahlul Sunnah Waljamaah. Aqidah adalah soal keyakinan iaitu setelah melepasi tingkat kepercayaan. Keyakinan ada lapisan-lapisan atau tingkat-tingkat iman tersendiri, bermula dari keyakinan berasaskan ilmu – ilmu yaqin. Bila keyakinan hati semakin meningkat, hati akan mencapai tingkat ainul yaqin dan inilah iman yang baik dan berguna. Benih Wahdatul Wujud bermula dari ainul yaqin, lantas mencapai keyakinan yang benar – haqqul yakin. Keyakinan yang benar ialah melihat yang benar itu adalah benar iaitu benar yang hakiki sebagaimana adanya atau sebagaimana sepatutnya – kebenaran wujud Al Haq; lantas seterusnya mencapai keyakinan yang sempurna – kamal yaqin. Inilah martabat kamil muqamil. Wahdatul Wujud sesungguhnya bukan konsep akidah, tetapi adalah berkaitan dengan pegangan batin dan jiwa – sesuatu yang diluar batas akal dan kognitif tetapi adalah persoalan metakognitif dan metafizika – rahsia terindah dalam batin yang paling dalam!
Firman Allah swt.
Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan benar’ (Al Hijr:15:85)
Sabda Nabi Muhammad saw:
Barangsiapa melihat daku sesunguhnya ia melihat Haq Taala”
Allah Taala sesungguhnya adalah Zat Al Haq.Al Haq adalah salah satu dari Nama-Nama Allah Yang Maha Agung, lawannya batil. Sesuatu yang batil ertinya sesuatu yang tiada, lenyap, luput dan binasa. Firman Allah swt:
‘Dan katakanlah:”Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap“. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap’ (Al Isra:17:81)
Firman Allah swt seterusnya:
Tiap-tiap sesuatu pasti binasa kecuali Allah’ (Al Qasas:28:88)
Zat Al Haq adalah wujud abadi kerana:
Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin”(Al Hadid:57:3)
Hadis Rasulullah saw:
‘Janganlah kamu memaki masa! Sesungguhnya Allah itu Yang Mencipta masa’ dan dihuraikan dalam makna intrinsik ‘Aku lah masa itu’.
‘Sekuntum syair yang paling benar yang diucapkan oleh seseorang penyair ialah ucapan Lubaid:”Ketahuilah., setiap sesuatu selain Allah itu batil”
Di kalangan ariffinbillah mengatakan.
‘Allah sekarang adalah seperti Allah dahulu jua’
Inilah yang dimaknakan oleh Imam Al Ghazali : ‘Maka barangsiapa mengenal kebenaran nescaya melihat yang demikian pada tiap-tiap sesuatu.Kerana tiap-tiap sesuatu itu adalah daripadaNya, kepadaNya, dengan Dia dan untuk Dia. Maka Dialah semua, menurut yang sebenarnya. Dan barangsiapa tidak melihat yang demikian pada tiap-tiap sesuatu yang dilihatnya, maka seolah-olah dia tidak mengenalNya. Dan barangsiapa mengenalNya, nescaya mengenal bahawa tiap-tiap sesuatu selain Allah itu batil dan tiap-tiap sesuatu itu binasa selain wajahNya. Bukan sesuatu itu akan batil dalam keadaan yang kedua nanti (kiamat), tetapi sekarang juga batil, kalau dipandang kepada dirinya dari segi diri itu sendiri.Kecuali dipandang adanya (wujudnya) sesuatu itu, dari segi adanya dengan sebab Allah Azzwajalla dan dengan QudrahNya’ (Jld 2 hal 130)
Demikian penjelasannya lagi:
‘Orang yang tidak melihat Allah Taala pada tiap-tiap sesuatu, tentu melihat lainNya. Dan tiap apa saja yang dipandang oleh hamba kepadanya selain Allah Taala, nescaya pandangannya itu mengandung sesuatu syirik yang tersembunyi kerana tauhid yang bersih adalah tidak melihat pada tiap-tiap sesuatu selain Allah Azzawajalla’ (Ihya 2 hal.144).
Inilah ‘nirvana’ dalam pengalaman Gautama Buddha iaitu kemuncak tertinggi yang dicapainya dalam meditasinya yang ertnya mencapai ‘arahat’ yang bererti mencapai ‘tiada’ kerana yang mutlak ada ialah Zat Yang Maha Esa. Agama Sanatara-dharma memanggilnya mencapai ‘moksya’. Taoisme menyebutnya Wu wei yang bererti "without action" or "effortless doing" yang ertinya ialah muroqabah dalam khilwah atau bertapa yang matlamatnya ialah kesepaduan/keserasian (alignment) dengan Tao, bagi menyingkap yang halus dan kuasa tersembunyi dalam segala perkara (hakikat).
Sesungguhnya Wahdatul Wujud mempunyai takwilan dan huraian-huraian batin mengenai ayat-ayat di atas dan huraian Imam Al Ghazali ra juga adalah dalam makna yang intrinsik lagi halus mendalam, kerana Wahdatul Wujd bukan lagi soal kepercayaan atau keyakinan tetapi menyentuh soal-soal dan persoalan diluar batas ilmu dan akal, bahkan tidak dapat difahami oleh hati yang mati iaitu soal musyahadah dan mukasyafah, soal rasa dan merasai bahkan mengalami; sebagaimana seseorang cuba menghuraikan secara ilmiah bagaimana dan apakah hakikat pada perasaan dan rasa: ‘sakit’, ‘pahit’ atau ‘manis’ yang samasekali di luar kemampuan bicara dan bahasa.
Sehingga orang-orang yang pendek fikiran menyangka dalam bentuk-bentuk zahiriah yang diketahui dengan pancaindera lalu mereka menyerupakan dengan makhluk (at tasybih), bersatu dengan Tuhan (al ittihad), Tuhan bertempat padanya (al hulul), mentubuhkan dan membentukkan (menyerupakan Allah dengan manusia dalam bentuk tubuh dan bentuknya), mengatakan ‘dia itu Tuhan’ kalimat yang menyesatkan orang-orang Nasrani mengenai Nabi Isa as; sebagaimana sesatnya Yahudisme, Zoroastarianisme, Hinduisme, Buddhisme, Taoisme, Confucianisme dan berbagai-bagai kabilah tasauf dan sufisme di tanah air.
Wahdatul Wujud sesungguhya adalah kesempurnaan dalam pencapaian rasa dalam makna ayat-ayat berikut:
`Adapun orang-orang beriman sangat cinta kepada Allah’ (Al Baqarah:2:165)
Katakanlah: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum-keluargamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan RasulNya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintahNya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik’ (At Taubah:24)
FirmanNya lagi.
`Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya’ (Al Maidah:54)
Apabila ayat ini dibacakan di hadapan Syaikh Abu Said Al Maihani, lalu beliau mengatakan:”Demi umurku! IA mencintai mereka dan biarkanlah IA mencintai mereka. Maka dengan sebenarnya IA mencintai mereka kerana sesungguhnya IA mencintai diriNYA”
Abu Said mengisyaratkan dengan yang demikian bahawa IA yang mencintai dan DIA yang dicintai. Inilah tingkat tinggi yang tidak anda fahami selain dengan contoh menurut batas akal engkau - (Ihya Ulumiddn. Jld.6 hal:345)
Hadis-Hadis Rasulullah saw:
‘Tiada beriman seorang kamu sehingga adanya Allah dan RasulNya itu lebih dicintai dari yang lain’
Hadis saw seterusnya.
‘Tiada beriman seorang hamba sebelum adalah aku lebih dicintai dari isterinya, hartanya dan manusia semuanya’
Pada satu riwayat ‘Dan dari dirinya sendiri’
‘Abu Razin Al ‘Uqaili bertanya:”Ya Rasulullah! Apakah iman itu?”
Rasulullah saw menjawab:” Bahawa adalah Allah dan RasulNya lebih kamu cintai dari yang lain”
Wahdatul Wujud adalah martabat cinta. Cinta Allah dan Rasulnya. Makam tertinggi dan terakhir dalam perjalanan dan pengembaraan jiwa rohani seseorang salik dalam mencari dan mengenal Tuhannya.Inilah yang dilalui oleh para sufi dan pengamal tasauf zaman berzaman dari Nabi Adam as sampai Kiamat. Mereka ‘menjalani, mengalami, merasai dan menikmati agama’; bukan sekadar ‘mengetahui’.Mereka menjalani agama bukan dengan ilmu dan akal semata-mata tetapi dengan seluruh jiwa raga dan rasa. Mereka menghayati dan mengalami rasa keagamaan pada makam-makam tertentu dalam agama. Cinta dan lain-lain makam dalam ilmu tasauf – sabar, redha, zuhud, syukur, tawakal, jinak hati, rindu dan lain-lain - sesungguhnya bukan soal bicara. Wahdatul Wujud adalah soal rasa pada kewujudan Al Haq yang lautannya dalam tidak terhingga.
Wahdatul Wujud membawa jiwa kepada cinta, asyek dan rindu – mazhab asyik, cinta dan rindu antara dua kekasih lantas seluruh jiwanya asyek dengan ibadah demi cinta dan rindu sehingga mencapai makam fana. Di sinilah timbullnya istilah fanafillah yang mencetuskan kegemparan-kegemparan besar pada zaman-zaman yang lalu apabila terkeluar bahasa-bahasa cinta dari ‘kekasih kepada kekasih’, sehingga keluarlah fatwa-fatwa syariat yang memadamkan bara dan api Islam sejak sekian lama.
Untuk memahami bahasa cinta dalam kehidupan orang-orang beriman pada darjat kemuliaan, bacalah kesah-kesah hidup mereka pada zaman silam yang hidup dan matinya demi cinta hanya untuk Allah dan RasulNya semata-mata!
‘Tatkala Allah Taala menyuruh NabiNya saw mencari kedekatan kepada Allah, lalu dikatakan kepadanya:
Dan sujudlah dan dekatkan diri (kepada Allah)- Al Alaq:19
Maka beliau membaca dalam sujudnya:
Aku berlindung dengan kemaafanMu daripada siksaanMu. Aku berlindung dengan kerelaanMu daripada kemarahanMu. Dan aku berlindung denganMu daripadaMu. Tiada dapat aku hinggakan pujian kepadaMu sebagaimana Kamu memujikan diriMu sendiri.
Maka sabda Nabi saw. Aku berlindung dengan kemaafanMu daripada siksaanMu, adalah perkataan dari kesaksian perbuatan Allah saja. Seakan-akan dia tidak melihat selain Allah dan AfaalNya (perbuatanNya). Maka ia meminta perindungan dengan perbuatanNya daripada perbuatanNya.
Kemudian ia mendekatkan diri lalu ia fana (lenyap) daripada kesaksian sifat-sifat. Maka ia membaca Aku berlindung dengan kerelaanMu daripada kemarahanMu. Dan itu adalah dua sifat (rela dan marah)
Kemudian ia melihat yang demikian suatu kekurangan pada tauhid. Lalu ia mendekatkan diri dan mendaki dari ‘maqam musyahadah sifat-sifat’ ke ‘musyahadah zat’. Lalu beliau membaca Dan aku berlindung denganMu daripadaMu. Dan ini adalah lari daripadaNya kepadaNya dengan tidak melihat perbuatanNya. Akan tetapi ia melihat dirinya lari daripadaNya kepadaNya. Meminta pelindungan dan memujikanNya.Maka ia fana daripada kesaksian dirinya kerana ia melihat yang demikian itu suatu kekurangan. Dan ia mendekatkan diri lalu membaca Tiada dapat aku hinggakan pujian kepadaMu sebagaimana Kamu memujikan diriMu sendiri. Maka bacaannya Nabi saw Tiada dapat aku menghinggakan itu adalah pengkhabaran dari kefanaan dirinya dan keluar daripada kesaksian diri itu. Dan bacaannya saw Sebagaimana Kamu memujikan diriMu sendiri itu, adalah penjelasan, bahawa IA yang memuji dan dipujikan. Dan semuanya tidak dapat tidak daripadaNya dan kepadaNya akan kembali. Dan bahawa tiap-tiap sesuatu itu binasa selain WajahNya, maka adalah permulaan maqamnya itu penghabisan maqam orang-orang bertauhid (al muwahhidin) iaitu bahawa ia tidak melihat selain Allah Taala dan afaalNya. Lalu ia meminta perlindungan dengan perbuatan dari perbuatan.
Maka perhatikanlah kepada yang berkesudahan penghabisannya apabila berkesudahan kepada YANG MAHA ESA, YANG MAHA BENAR sehingga terangkat dari pandangannya dan kesaksiannya, selain Zat Yang Maha Benar’ – Ihya Uliumiddin Jld.6 hal 348-349.
Perhatikan pula doa Rasulullah saw diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib ra:
Sesungguhnya Aku itu Allah. Tuhan sarwa sekalian alam. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada Tuhan yang disembah selain Aku, yang hidup yang berdiri sendiri. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku. Aku tidak beranak dan tiada diperanakkan. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku, Yang Maha Pemaaf Lagi Maha Pengampun. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan kepada Aku ia kembali, Yang Mulia, Yang Bijaksana,Yang Pengasih, Yang Penyayang, Yang Memiliki Hari Akhirat, Yang Menjadikan Kebajikan dan Kejahatan, Yang Menjadikan Syurga dan neraka, Yang Esa, Yang….dan seterusnya….’
Nabi saw menyebutkan sebelum tiap-tiap kalimat, akan kata-kata:’ Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku (I’nnii ana’llaah, laa ilaaha I’llaa ana)’ sebagaimana yang telah kami bentangkan di atas. Maka orang yang mendoa dengan nama-nama tersebut, maka hendaklah mengucapkaan: ‘
Sesungguhnya Engkau itu Allah, tiada Tuhan yang disembah selain Engkau’
Demikianlah maqam fana dan baqa Nabi saw. Demikianlah juga persis makam fana para Nabi dan Rasul serta auliya-auliya Allah yang agung, sekadar memperteguhkan hujahan hakikat, bahawa Wahdatul Wujud adalah sunnah Rasulullah saw – sunnah yang khusus bagi orang-orang muntahi atau yang berada pada tahap penghabisan dalam perjalanan rohani. Antara wasiat mereka - misalnya Syeikh Daud al Fatani kepada orang-orang Islam yang tidak memahami perjalanan rohani: “bahawasanya adalah bagi segala kaum penghulu ahli al Saufi beberapa istilah mereka itu yang tiada mengetahui akan dia melainkan ahlinya. Maka tiada harus yang bukan ahlinya itu mentalaahkan segala kitab mereka itu kerana yang tiada mengetahui akan kehendaknya diambilnya atas zahir perkataan mereka itu maka membawa kepada kufur; sebab itulah diharamkan mentalaah segala kitab mereka itu, yang bukan ahlinya, seperti kata Syeikh Muhyi’l-Din ibn al-‘Arabi ra, nanhu qaumun tahrim mutaala’ati kutubina…ertinya bahawasanya adalah kami suatu kaum yang haram mentalaahkan kitab kami yakni apabila tiada tahu akan segala istilah mereka itu – (Martabat Tujuh oleh Muhammad Uthman El Muhammady)
Dzun-Nun al Misri iaitu salah seorang pemuka utama dari golongan ini mengatakan:’Mahasuci Allah yang menjadikan jiwa itu sebagai tentera yang berbaris. Maka jiwa orang-orang bermakrifah itu agung dan kudus.Maka kerana itulah mereka itu rindu kepada Allah Taala. Jiwa orang-orang mukmin itu kerohanian. Maka kerana itulah mereka ingin kepada syurga. Dan jiwa orang-orang yang lalai itu penuh kenafsuan.Maka kerana itulah mereka cenderung kepada dunia’.
Maka tanyalah diri dengan setulus hati, di manakah diri anda dan di manakah cinta anda! Wahdatul Wujud sesungguhnya Tauhid KeEsaan Wujud – Tauhid Kecintaan Wujud Hakiki kerana Zat Kanzun Mahfiyan Mencintai DiriNya Sendiri lalu mencipta alam semesta untuk dikenali dan dicintai, demi cintaNya - batil atau menafikan wujud selainNya. Inilah hakikat wujud - wujud hakiki bukan khayali!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan