17 April 2009

SIAPAKAH JAMAAH?

Jamaah atau lebih dikenali dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah digambarkan sifat-sifat mereka seperti berikut berdasarkan sabda Nabi saw:
Mulanya Islam itu adalah asing (dagang) dan akan kembali asing seperti semula. Maka berbuat baiklah kepada orang-orang asing itu!” Maka ditanyakan kepada Nabi saw : “Siapakah orang-orang asing itu? Nabi saw menjawab: “Mereka yang memperbaiki apa yang telah dirusakkan oleh manusia dari sunnahku dan mereka menghidupkan apa yang telah dimatikan manusia dari sunnahku’.
Pada hadis lain: `
Orang-orang asing itu berpegang teguh dengan apa yang kamu pegang sekarang’.
Pada hadis lain: `Orang-orang asing itu adalah manusia yang sedikit jumlahnya. Orang-orang baik di antara manusia banyak. Yang memarahi mereka lebih banyak daripada yang mencintainya’, Ihya Ulumiddin Jld.5 hal. 155
Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah umat Nabi Muhammad saw yang kekal istiqamah dalam jalan yang lurus yang mendapat hidayah melalui ucapan ’ihdinas siratal mustaqim’ . Seperti dijelaskan bahawa ada Empat Jalan untuk kekal dalam Jamaah:

1. Jalan Syariat

Jalan Syariat ialah aspek teoritikal dan praktikal mengenai apa yang zahir dalam kehidupan zahir yang merujuk kepada Kitabullah dan Sunnah RasulNya saw sebagai pedoman dan panduan hidup. Dalam istilah Melayu Jalan Syariat ialah ’perkataanku’ yakni sabda Nabi Muhammad saw. Maksudnya seluruh sabda, perbuatan dan kata-kata Baginda saw, fikir dan diam, emosi dan reaksi, suka-duka, susah-senang dalam apa jua situasi adalah pedoman dan ikutan, menjadi hukum-hakam, peraturan dan undang-undang yang wajib diikuti oleh semua orang-orang yang berikrar dengan hati suci Kalimah Syahadat Rasul ‘Muhammadar Rasulullah’ kerana Nabi Muhammad saw adalah model terunggul sepanjang zaman. Baginda saw adalah Quran yang hidup dan bergerak, menterjemahkan seluruh makna kandungan Al Quran sebagaimana Hadis mernyebutkan:
Adalah akhlak Rasulullah saw ialah Al Quran’
Juga Firman Allah swt.
‘Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu; bagi orang-orang yang mengharap Allah dan kedatangan Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah (Al Ahzab:21)
Syariat Rasulullah saw meliputi seluruh dimensi kehidupan dan urusan zahir diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia antarabangsa iaitu seluruh sistem yang mentadbir urusan dunia – sistem politik, ekonomi, undang-undang dan kehakiman, sistem sosial, hubungan antarabangsa dan negara, antara manusia dengan alam persekitarannya – haiwan, tumbuhan, alam fizikal dan alam abstrak; satu sistem kehidupan yang telah cukup komprehensif dan sempurna.
Dengan makna ini adalah tidak diizinkan samasekali mengambil apa-apa jua sistem yang lain dari mana-mana bangsa dan budaya yang bercanggah dengan Islam kerana akan menjadikan Islam dagang di bumi ini.
Lihatlah teguran Rasulullah dalam riwayat berikut:
Dari Jabir ra.
Dari Nabi saw (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda saw Lalu berkata:”Ya Rasulullah. Kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang Yahudi, maka bagaimana fikiran tuan bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?”
Mendengar yang demikian Nabi saw Bersabda:
“Adakah kamu merasa ragu-ragu dan serba salah (dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu Agama Islam dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci. (dari sebarang syirik dan penyelewengan) dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya selain menurutku”
– Mastika Hadis Jilid 1 hal. 47.
Peringatan Al Quran:
‘Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka’ – Al-Baqarah: 120.
Syariat pada zaman Nabi Adam as tidaklah selengkap pada zaman kesempurnaan sempena terutusnya Nabi Akhiruzaman Rasulullah saw.Syariat diturunkan secara berperingkat menurut perkembangan zaman; lengkap melengkapi dari seorang Nabi dan Rasul kepada seorang Nabi dan Rasul selepasnya, sehinggalah menjadi lengkap dan sempurna pada zaman Nabi Muhammad saw.
Oleh kerana syariat tidak diturunkan secara lengkap sekaligus, sebab itulah setiap syariat pada zaman Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul tertentu hanya sesuai untuk umat pada zaman masing-masing. Mereka tidak boleh menjadi model terunggul untuk semua manusia pada semua zaman. Setelah zahir Nabi Muhammad saw baharulah syariat menjadi lengkap dan sempurna. Inilah yang ditegaskan dalam firman Allah swt:
'Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu; bagi orang-orang yang mengharap Allah dan kedatangan Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah (Al Ahzab:21)
Zahirnya Nabi Muhammad saw bukan sahaja menjadi tanda syariat telah sempurna tetapi juga tarikat, hakikat dan makrifat. Inilah sunnah Rasulullah saw yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.Demikianlah makna dan maksud Tauhid yang berkekalan dan Al Quran sepanjang zaman – Bahawa Suhuf-Suhuf, Kitab Zabur, Kitab Taurat, Kitab Injil yang semuanya itu adalah Kitab Al Quran – al Kitab dan Kitab Induk. Demikian keterangan Al Quran:
Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya iaitu Kitab-Kitab, dan batu ujian terhadap Kitab-Kitab yang lain itu’ (Al Maidah:48)
`Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku ridai Islam itu jadi agama bagimu’ (Al Maaidah:3)
Sabda Rasulullah saw:
'Kutinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya, iaitu Kitabulah dan Sunnah RasulNya’
Sabda Nabi saw:
‘Bandingan di antara aku dan Nabi-Nabi seperti seorang yang membina rumah,lalu dia membina dengan baik dan memperindahkannya melainkan pada tempat sekeping batu-bata yang ada di salah satu sudutnya, lalu orang ramai mengelilingi rumah itu dan kagum melihatnya,lalu mereka berkata mengapakah tidak diletakkan batu-bata ini. Maka akulah seperti batu-bata itu dan aku penyudah Nabi-Nabi.’

Nanti akan disambung….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan