15 November 2011


Novel BALDATUN THOIYYIBATUN Warabbun Ghafuur


KHAMIS

13 OGOS 2020

I

“Datanglah! Datanglah sekarang”, pelawa Tengku Kamal Izzuddin Syah kepadanya menerusi perbualan internet beberapa bulan yang lalu.

“Datanglah! Saksikanlah fajar 2020 yang sedang menyingsing ini!

“Kenapa?”

“Andainya saudara mengikuti sejarah Malaysia moden atau Tanah Melayu moden – tentu sekali saudara tahu kerana saudara adalah pengkaji sejarah kebangkitan bangsa-bangsa tersohor - tentu saudara tahu bahawa pada awal dekad 1990an atau tepatnya pada 28 Februari 1991 – kira-kira lampau 29 tahun yang lalu, Perdana Menteri Malaysia yang ke empat ketika itu Tun Dr. Mahathir Muhammed, Bapa Malaysia Moden telah menginspirasikan betapa Malaysia akan menjadi negara maju yang moden pada tahun 2020”

“Betulkah?”, dia seolah-olah menjadi orang bodoh yang bagaikan tidak pernah mendengar apa-apa mengenai angka keramat 2020 yang masyhur itu apabila mengemukakan soalan itu.

Ada pelbagai pihak pada akhir kurun yang lalu itu memandang sinis – penuh prasangka, dengki, iri hati dan benci, dan tidak kurang pula yang meletakkan harapan tinggi menggunung – teristimewa Bangsa Melayu.Tapi saudara percayakah?”

“Percaya apa?”

“Titik peralihan! Babak pada sebuah era baru.Era sebuah bangsa muda yang belum pernah lagi mendominasi dunia dan belum pernah cemerlang. Bangsa yang belum pernah bersinggahsana di persada dunia. Bangsa Melayu! Bangsa Melayuku. Bangsa Melayu Islam yang mula muncul sebagai bangsa agung pada milineum ini.Kabilah pada akhir zaman.Inilah waktunya!”

“Barangkali…Ini masih kebarangkalian sebenarnya, tapi majoriti orang-orang Melayu berkeyakinan besar kerana umat Muhammad saw tetap akan bangkit pada akhir zaman ( 1 ) sebelum Islam kembali menjadi dagang. ( 2 ) Saya percaya Bangsa Melayulah bangsa yang paling terkehadapan pada millennium ini, setelah didahului oleh Arab Quraisy yang menjadi terkemuka pada permulaan Tahun Hijrah, 622M dahulu

“Datanglah untuk menyaksikan saat keramat yang telah pun tiba ini – menyaksikan sendiri negara dan kotakota pusat pentadbiran yang diberi jolokan Kota Cahaya ini!”

Dr.Lleyton Hewitt lalu memohon diberi takrifan Kota Cahaya.Bulan lepas dia menerima e-mel mendifinasikan Kota Cahaya.

Allah cahaya langit dan bumi.Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus yang di dalamnya ada pelita besar.Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang seperti mutiara yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak barakahnya, pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat yang minyaknya hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya, Allah membimbing kepada cahayaNya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu ( 3 )

Allah adalah sumber cahaya. Cahaya seluruh semesta alam baik alam zahir maupun alam batin, baik alam kabir atau pun alam soghir – cahayaNya menerangi sehingga menjadikan yang tidak ada menjadi ada, yang ghaib menjadi nyata atau tetap nyata dalam ghaibnya – persis mentari yang menjadi sumber cahaya menerangi dan menyatakan segala sesuatu menjadi nyata dan ada.

Allah adalah cahaya alam sehingga apa yang terlihat dan kelihatan adalah cahayaNya – meliputi dan menyelimuti setiap maujud, menerobosi setiap ruang dan bukan ruang di seluruh tujuh alam bertingkat di lapisan langit dan bumi.

Maha Suci Allah. Andainya tidak ada cahaya Allah, maka binasalah segala sesuatu, lenyap dan luputlah segala wujud yang maujud, ranaplah segala sesuatu sehingga langit dan bumi, bintang dan cekerawala, planet, galaksi dan nebula, bahkan seluruh alam jagat raya yang tiada penghujung dan bertepi ini, akan hancur berkecai bertebaran dan bertabrakan.

Demi sesungguhnya perutusan Nabi Allah Adam as adalah menefestasi Cahaya WujudNya.Demikian juga perutusan semua para ambiyaNya.Demikian juga auliyaNya.Demikian juga sekalian kaum muslimin muslimat mukminanin wa mukminat.

Persis sebutir lampu yang dikerumuni oleh kelkatu, demi cahaya! Demikianlah Allah -bukannya layak untuk diperbandingkan - dihajati oleh semua makhluk demi CahayaNya.Sekadar mana cahaya yang dimiliki individu manusia, sekadar itulah pula menjadi suluhan hidupnya di dunia ini, di alam barzakh dan ketika meniti assiratal mustaqim.Mereka yang memperolehi cahaya akan hidup dengan cahayaNya, sebaliknya yang menolak cahayaNya akan berada dalam zulmat kekafiran dan kesyirikan.

Kota Cahaya yang terulung ialah Madinah al Munawwarah sempena perutusan Penghulu sekalian Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, Khatamul Ambiyaa Saidina Muhammad Rasulullah saw. Nabi Muhammad saw adalah rahmat seluruh semesta alam.Sempena perutusan Baginda saw bermakna kepada Baginda saw lah berpusatnya seluruh sumber cahaya di alam kosmos ini serta juga alam soghir.

Pada kala seluruh planet bumi dalam kegelapan kejahilan dan kejahiliahan, Madinah menjadi Kota Cahaya – Cahaya Kebenaran dari Ilahi yang menyinarkan Islam, iman, tauhid dan makrifat ke seluruh alam. Madinah menjadi pusat yang menyebarkan Islam membebaskan manusia daripada sistem hidup jahiliah dan barbarian, membebaskan manusia daripada perhambaan kepada akal, nafsu, sistem politik dan ekonomi serta pelbagai gaya hidup melulu, perhambaan kepada sesama manusia – raja dan maharaja, presiden, perdana menteri, pemimpin politik, tok-tok guru, tok-tok sami, rahib, paderi dan pendeta – perhambaan kepada hantu syaitan, makhluk-makhluk ghaib dan jin untuk mentauhidkan Allah Zat Yang Maha Esa, zat wajibal wujud, sehingga manusia bermakrifah kepada Allah dengan cara yang selayaknya,

Kini setelah 14 kurun berlalu – berlalunya kenabian terakhir Rasulullah saw - apa yang telah terjadi kepada umat manusia? Orang-orang bukan Islam dari alam zulmat, hidup dengan bertuhankan akal dan nafsu mencipta wewenang segala ideologi, sistem dan cara hidup, undang-undang dan peraturan yang penuh dengan kezaliman dan penindasan - semua ideologi lama dan baru – kapitalisme, sekularisme, liberalisme, kuminisme, sosialisme, nasionalisme, pragmatisme, materialisme, hedonisme, nihilisme, individualisme, utilitarianisme, egoisme, eksintensialisme dan sebagainya.

Orang-orang Islam pula menjadi pak ikut dan pak turut, mengambil semua atau sebahagian besar sumber dari alam zulmat itu, meninggalkan sistem dan pedoman al Quran dan as Sunnah, lalu berpecah kepada 73 puak (4) - Jabariah, Kadariah,Muktazilah, Khawarij, Syiah; berbagai-bagai gerakan dan pertubuhan politik -nasionalis, liberalis, sosialis, demokratik; berbagai-bagai aliran tarekat dan batiniah yang telah terseleweng dan sesat - Naqsyabandiah, Muhammadiah, Syattariah, Syamaniah, Batiniah, Makrifatullah, Ajaran Muhamad Matahari, Ajaran Ayah Pin, Ajaran Kahar Ahmad; berbagai-bagai nama gerakan dakwah – Al Arqam, Tabligh, ABIM, Al Maunah, JIM dan sebagainya lalu hidup bak buih ( 5 ) - lembik, lemah dan hina - menjadi ratahan bangsa-bangsa yang kuat dan zalim, yang saling bercakaran, tuduh menuduh sesama sendiri dan membuat tokok-tambah dan tafsiran-tafsiran baru terhadap al Quran dan Hadis Rasulullah saw yang samasekali tidak layak bagi mereka melakukannya, (6) dan seterusnya menghadapkan hati kepada berbagai-bagai kiblat timur dan barat.

Umat Islam dalam nisbah 1:999 dalam setiap 1000 ( 7 ) hidup dalam keadaan membuat tafsiran sembrono masing-masing mengenai Allah, lalu Zat Wajibal Wujud hanya menjadi slogan dan hiasan di bibir tetapi tidak diimani, dikudusi dan diibadati sebagaimana selayaknya. Masyarakat dunia telah kehilangan Cahaya Ilahi.Orang-orang Islam sendiri tercari-cari cahaya sejati dan hakiki dan amat dibimbangi menjadi seperti Hinduisme yang meraikan Deepavali - Pesta Cahaya - dengan persangkaan akan memperoleh kembali cahaya dengan perlbagai pesta agama dan hari kebesaran – Maulidur Rasul, Awal Muharam, Nuzul Quran, Hari Bubur Asyuraa, Nisfu Syaaban dan sebagainya.

“Datanglah ke Malaysia! Semoga saudara akan dapat melihat Madinah Kedua.Datanglah! Semoga saudara tidak kehilangan cahayaNya”

Dia – Dr.Lleyton Hewitt - menarik nafas-nafas panjang.Dia sesungguhnya begitu terumpan. Dan sesungguhnya sekarang dia sedang dalam perjalanan ke Kota Cahaya.

Tengku Kamal Izzuddin Shah memperjelaskan selanjutnya bahawa Kota Cahaya atau Madinah Kedua akan menyempurnakan CahayaNya. Madinah Pertama telah menyempurnakan CahayaNya dengan meranapkan dua kuasa besar dari dunia kegelapan pada waktu itu – Empayar Rom dan Empayar Parsi, sehingga Islam menjadi kuasa tunggal mentadbir tiga perempat wajah dunia sejak abad ke 7M hingga awal abad ke 20M.

“Saudara perlu datang demi mengalami sendiri, merasai, menghayati dan menikmati sendiri, bagaimana hidup dalam dunia moden yang diurustadbirkan dengan hikmah dan kebijaksanaan CahayaNya, dan percayalah saudara, bahawa apabila cahaya bersinar, nescaya hilanglah gelap kezulmatan (8) dalam jangkawaktu tak berapa ketika lagi”.

Dr.Lleyton Hewitt memang sesungguhnya telah membuat pengkajian yang mendalam dalam tesis Doktor Falsafahnya mengenai sejarah kebangkitan kuasa-kuasa besar yang menjadi bangsa-bangsa terkemuka sejak ribuan tahun yang lalu – Greek Yunani, Mesir, China, India dengan tamadun-tamadun besar dan gemilang di Lembah Tigris dan Euphrates, Lembah Nil, Babylon, Lembah Indus-Ganjes, Mesopotamia, Yang Tze Kiang dan sebagainya.

Dia mengkaji dengan mendalam juga tamadun dan kebangkitan bangsa-bangsa Eropah Moden, Jepun dan Korea. Selain Jepun dan Korea yang bangkit dengan kekuatan dalaman dan jati diri yang hebat, bangsa-bangsa Eropah termasuk Amerika Syarikat, kebanyakannya – menurut kefahaman, tafsiran dan rumusan kajiannya - bangkit melalui jalan yang tidak halal. Dia memahami dengan jelas sejarah perkosaan sistem kolonialisme dan imperialisme yang dilakukan kepada negara-negara terjajah pada awal kebangkitan kuasa-kuasa Barat bermula abad ke 15 dahulu, bagaimana bangsa-bangsa peribumi yang terjajah menjadi hamba kepada kuasa-kuasa “tuan” mereka yang menindas sehingga seluruh hasil bumi diangkut menambun kekayaan, menjadikan kuasa-kuasa kolonial sebagai kuasa yang memiliki empayar kekayaan yang tiada taranya, meninggalkan bangsa peribumi dalam kehinaan, kebodohan, tertindas dan melarat dalam kemiskinan. Selepas bangsa-bangsa terjajah diberi kemerdekaan, mereka dibelenggu pula oleh dasar ekonomi kapitalisme yang bersifat monopoli di seluruh dunia, sehingga bangsa-bangsa yang mahu membangun terus terbelenggu dalam penjajahan ekonomi pula. Dr.Lleyton Hewitt merumuskan: mereka – USA dan Barat, adalah lanun dan perampuk-perampuk yang menimbun kekayaan di atas kezaliman dan penindasan serta perkosaan tanah jajahan selama ratusan tahun.Justru tamadun Barat dan USA adalah tamadun barbarian dan tidak bermaruah!

“Tuan-tuan dan puan-puan”, suara ketua pramugara Cik Tiara Natasya Ching binti Abdullah terdengar di hujung telinga.”Kita akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang sebentar lagi.Sila lekatkan tali pinggang keledar anda. Sila tegakkan tempat duduk.Lampu akan dipadamkan sebentar lagi.Jika anda ingin terus membaca sila gunakan suis lampu di atas kepala anda …..”

Kemudian Cik Tiara Natasya Ching membuat pengumuman di dalam Bahasa Inggeris pula.

Dr.Lleyton Hewitt yang sejak sekian lama ngelamun jauh di alam kenangan lantas menegakkan kerusinya.Dia menjengah jendela dari tempat duduknya di tingkat atas jentera gergasi itu. Bumi Malaysia masih kabur.Airbus A380 yang membawa kira-kira 800 penumpang itu masih mengatasi awan.Namun Dr.Lleyton Hewitt masih sabar menatap panorama angkasa.Dia menanti saat kapal angkasa merendah.Inilah saat keseronokan, juga saat mendebarkan – sama juga persis saat berlepas.Seronok tapi mendebarkan, juga mencemaskan. Debaran, rasa bimbang, khuatir dan kadang-kala cemas tetap teradun.Tetapi di antara kedua-duanya - masa berlepas dan merendah - saat mengalami kedua-duanya, amat menakjubkan, dengan rasa kebesaran pujian kesyukuran kepada Zat Yang Maha Mencipta – Pencipta segala kebesaran, hakikat bagi segala sesuatu. Begitulah rasa hati Dr.Lleyton Hewitt.

Nota kaki:

1. - `Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauhul Mahfudz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba Ku yang solleh – Al Anbiya:105

- `Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang solleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa’ – An Nuur:55

- Hadis riwayat Ibnu Masud ra : Rasulullah saw telah bersabda:` Sekiranya tidak tinggal lagi pada dunia ini kecuali satu malam sahaja, nescaya malam itu diperpanjangkan oleh Allah sehingga seorang lelaki dari ahli rumahku berkuasa. Namanya serupa dengan namaku dan nama bapanya serupa dengan nama bapaku. Ia akan memenuhinya (memerintah) dengan keadilan seperti telah dipenuhi (diperintah) orang dengan kezaliman. Dan ia akan membahagi-bahagikan harta dengan sama. Allah akan menjadikan perasaan kaya dalam hati umat ini. Maka ia akan berada selama tujuh atau sembilan tahun, kemudian daripada itu tidak ada lagi kesenangan di dalam kehidupan sesudah Mahdi itu – Manusia Di Langit dan Di Bumi hal: 227.

2. -`Nabi saw bersabda: Mulanya Islam itu adalah asing (dagang) dan akan kembali asing seperti semula. Maka berbuat baiklah kepada orang-orang asing itu!” Maka ditanyakan kepada Nabi saw : Siapakah orang-orang asing itu? Nabi saw menjawab: Mereka yang memperbaiki apa yang telah dirusakkan oleh manusia dari sunnahku dan mereka menghidupkan apa yang telah dimatikan manusia dari sunnahku’.

Pada hadis lain: `Orang-orang asing itu berpegang teguh dengan apa yang kamu pegang sekarang’.

Pada hadis lain: `Orang-orang asing itu adalah manusia yang sedikit jumlahnya. Orang-orang baik di antara manusia banyak. Yang memarahi mereka lebih banyak daripada yang mencintainya’, Ihya Ulumiddin hal. 155

3. Al-Quran : Surah An.Nuur:35

4. -`Demi Allah yang mengutuskan aku dengan sebenarnya menjadi Nabi! Sesungguhnya akan bercerai-berai umatku dari pokok agamanya dan kumpulannya kepada tujuh puluh dua golongan. Semuannya sesat menyesatkan yang membawa mereka kepada neraka. Apabila telah ada yang demikian, maka haruslah kamu berpegang teguh dengan kitab Allah Azzawajalla (Al Quran) kerana di dalamnya berita orang-orang sebelum kamu dan berita tentang apa yang akan datang sesudah kamu. Dan hukum yang dijalankan di antara kamu, oleh orang-orang yang berkuasa yang menyalahi akan Al Quran, dia dibinasakan oleh Allah Azzawajalla .Barangsiapa mencari ilmu yang lain dari Al Quran nescaya dia disesatkan oleh Allah Azzawajallah….’ Ihya Ulumiddin Jld.2 hal. 148-149.

5. Hadis daripada Tsauban bahawa Rasulullah saw. Bersabda: “Akan datang suatu masa dalam waktu yang dekat, bangsa-bangsa (selain Islam) akan bersatu dan mengalahkan kamu seumpama sekumpulan manusia berkerumun berebut-rebut akan hidangan makanan di sekitar mereka.

Sahabat bertanya:”Wahai Rasulullah! Apakah kerana sedikitnya kita pada waktu itu?” Rasulullah menjawab:”Bukan! Bahkan kamu pada waktu itu adalah golongan ramai tetapi kualiti kamu pada waktu itu bagaikan buih-buih di lautan yang dibawa oleh arus air.Allah mencabut daripada hati musuhmu perasaan takut kepada kamu dan Allah mencampakkan perasaan “wahn” ke dalam hati kamu.Sahabat bertanya:”Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan “wahn” itu? Rasulullah menjawab:”Cinta dunia dan takut mati” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

6. -`Nasihatku, bertakwalah kepada Allah swt dan taatlah kepada pemerintah, sekalipun yang memerintah itu seorang hamba abdi. Siapa di antara kamu yang sempat hidup pada zaman yang akan datang, dia akan melihat pergeseran yang banyak sesama Islam. Hendaklah kamu mengikut sunnahku dan sunnah Khulafa ar Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan taringmu, dan jauhilah perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah, setiap yang bidaah itu sesat dan tiap-tiap yang sesat itu tempatnya dalam neraka’ – Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi – Berjihad Menerusi Tulisan, hal. 171

7. - Sabda Rasulullah saw:`Tahukah kamu, hari manakah ini? Inilah hari yang dikatakan kepada Adam as: Bangunlah! Maka carilah akan kecarian neraka dari anak cucumu’. Maka Adam as bertanya: Berapa? Maka dijawab: Dari setiap seribu itu, maka sembilan ratus sembilan puluh sembilan ke neraka dan seorang ke syurga” – Ihya Ulumiddin Jld.7 hal.29.

8. - `Dan katakanlah: `Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu

adalah sesuatu yang pasti lenyap’ - Al Israa:81

1 ulasan:

  1. Rahsia dlm rahsia......jejak waris Nusantara...hj Man 019 223 4377..dlm perjlnan menemui Tuan...benar maka gubungi sy ...InshaaAllah

    BalasPadam