27 November 2011

IV

Pukul 9.30 malam baru mereka selesai sarapan. Makan sambil bersila di atas tikar mengkuang berwarna-warni yang dihampar betul-betul di atas dataran permaidani di tengah-tengah ruang makan. Dr.Lleyton Hewitt agak tergamam bila dijemput menikmati hidangan malam dalam suasana seperti itu. Dengan agak kekok dan sedikit sukar dia duduk bersila di sebelah Tengku Kamal Izzuddin Syah dan Tengku Putera Muhammad Kamal Syah.

Memang di situlah Tengku Kamal Izzuddin Syah anak beranak mengambil sarapan utama iaitu pada waktu tengah hari dan malam. Mereka duduk bersila menghadap rezeki dalam suasana kekeluargaan yang begitu intim.

“Beginilah adatnya orang-orang Melayu makan pada zaman dahulu”, Tengku Kamal Izzuddin Shah menerangkan sebelum jamuan dimulai. ”Walaupun kini sudah tidak begitu popular lagi, tetapi kami sekeluarga masih terus menghidupkan budaya yang kian dilupai ini”.

Bila semuanya telah duduk bersila dengan rapi – bagi lelaki, dan bertimpuh bagi perempuan, Tengku Putera Muhammad Kamal Syah memulainya dengan membaca doa makan. Bila doa makan selesai dibaca Tengku Kamal Izzuddin Syah menghulurkan bekas basuh tangan kepada Dr.Lleyton Hewitt sambil bersedia untuk menjirusnya.Dr.Lleyton Hewitt terkebil-kebil tidak mengerti apakah yang hendak dilakukannya sehingga mencetuskan ketawa di kalangan anak-anak. Bila Tengku Kamal Izzuddin Syah menerangkan bahawa mereka akan makan dengan menggunakan tangan, cepat-cepat Dr.Lleyton Hewitt memohon maaf kerana dia tidak pernah menggunakannya dan tidak berani samasekali untuk mencubanya buat kali ini. Dia berjanji akan mencubainya di lain waktu. Terpaksalah kepadanya diberikan sudu dan garfu.

Suasana makan malam berjalan dengan teratur.Sebagaimana selalunya, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah tidak membenarkan anak-anaknya bercakap atau berbual-bual sambil makan, kecuali hal-hal yang betul-betul perlu atau berkaitan dengan suasana makan yang sedang dinikmati.Sesekali dia menegur anak-anaknya yang melakukan kesilapan seperti menyuap banyak-banyak, membiarkan jari penuh dengan nasi atau mengunyah cepat-cepat dan berbunyi pecap-pecap.

Lauk yang dihidangkan – masak masam-manis ikan tenggiri, sop sayur campur dan singgang ayam Sarawak, ikan masin gelama dan udang goreng berlada, serta beraneka ulaman kampong, cecah sambal tempoyak dan belacan – cukup menyelerakan. Dr.Lleyton Hewitt begitu berselera menghirup singgang ayam Sarawak dan itulah lauk utamanya. Dia mencuba ulaman petai dan pucuk putat serta daun sepanjang yang dicelur. Walaupun agak kepedasan oleh sambal tempoyak, tapi dia tetap memberi pujian keenakan lauk-pauk yang dihidangkan. Dia seterusnya meyakinkan tuan rumah, bahawa dia boleh menerima selera lauk-pauk Melayu.

Kini waktu telah menunjukkan pukul 10.39 malam.Di ruang tamu, Tengku Kamal Izzuddin Syah dan Dr.Lleyton Hewitt sedang berbicara dengan agak serius sekarang. Telah hampir setengah jam mereka berdua berbual-bual. Pada mulanya Puan Sharifah Aeinna Nadzrah hadir sama, tetapi kira-kira lima belas minit yang lalu, beliau telah pun beredar ke tingkat atas untuk tidur setelah memahami dia tidak perlu terlibat sama, setelah juga menyediakan Kopi O Halia Madu Melayu yang masih berwap.

“Berbalik kepada soalan Dr tadi”, Tengku Kamal Izzuddin Syah meneruskan perbualan.”Mengenai bagaimana latar belakang terbentuknya Kota Cahaya. Dalam hal ini saya rasa elok saya menolehkan perhatian Dr kepada suasana menjelang akhir dekad pertama millineum ini”, Tengku Kamal Izzuddin Shah membetulkan duduknya. Badannya sedikit ditegakkan. Dengan berbuat begitu dia terasa semakin selesa untuk berbicara.

”Pada waktu itu, generasi yang terdidik pasca kemerdekaan 1957, terutama generasi muda, khusus merujuk kepada bangsa Melayu - menjadi semakin keliru mengenai arah tuju bangsa. Majoriti anak-anak muda belasan tahun dan awal dua puluhan semakin lupa mengenai jati diri, agama, budaya dan bahasa ibunda, tidak memperhetongkan maruah dan martabat diri dan bangsa, amat memberi kejutan kepada survival ummah. Pilihan raya pada waktu tersebut memberi persimpangan yang mengelirukan kepada senario masa depan dan kepimpinan umat Melayu”.

Diam sejurus sambil menggigit bibir yang atas seolah-olah dia sedang menyelongkar kembali episod yang tak boleh dilupakan. Episod bilamana generasi muda terjebak dalam ketagihan dadah dan arak, hidup bebas sehingga terjerumus dalam kehidupan seks yang tidak terkawal, terjebak dalam budaya black metal dan budaya-budaya kuning yang lain, asyek dengan hiburan dan pesta-pestaan, berbagai-bagai gaya hidup barat yang bercanggah dengan Islam, sehingga kehidupan beragama menjadi dagang dan terasing kepada mereka. Dengan kehidupan yang begitu bobrok setelah kira-kita setengah abad bangsa Melayu Islam ditadbir di bawah sistem sekular barat, apa akan jadi kepada generasi Melayu seterusnya?

Dr.Lleyton Hewitt menanti huraian seterusnya dengan tenang.

”Bila aspek kepimpinan dan ketuanan Melayu menjadi begitu gawat, mencabar dan mencemaskan maka kedua-dua kelompok peribumi yang bercakaran sejak lebih setengah abad kerana bersengketa dalam mentafsirkan al Quran (9) terpaksa berkompromi dan berpadu demi menghadang kebangkitan gelombang yang meranapkan ketuanan. Dalam kecelaruan itu – mengambil masa juga, golongan bangsawan ahlul bait Rasulullah saw. (10) tampil ke medan kepimpinan lalu menggagaskan idea perpaduan Islam di bawah panji-panji tauhid. Sejak saat itu termeterilah kesediaan seluruh ummah untuk bertahan hingga ke titisan darah terakhir demi tanah warisan dan agama tercinta.Itulah satu tragedi besar kepada kedaulatan dan ketuanan Melayu dan melaluinya – beberapa tahun yang penuh tragedi, ummah Melayu tidak lagi mempunyai pilihan lain selain berpegang kepada saranan Kitabullah (11 ).

“Apakah selepas itu tidak ada lagi pilihan raya?”

Tengku Kamal Izzuddin Syah menggeleng-gelengkan kepalanya

“Sebenarnya pilihan raya, bagi pendapat saya, tidak memberi apa-apa keuntungan kepada Bangsa Melayu!”, Tengku Kamal Izzuddin Shah berwajah suram. Dr. Lleyton Hewitt mengerutkan keningnya mendengar kenyataan yang masih belum lengkap itu.

”Pilihan raya sebenarnya kian menghakis bukan sahaja ketuanan politik, tetapi kian menghakis ketuanan dalam segala-galanya, sehingga Bangsa Melayu asyek dan hanya terbuai dalam khayalan dendangan-dendangan puitis merdu penuh melankolik. Pilihan raya yang memang bukannya lahir daripada tradisi Islam, sebenarnya membawa tragedi yang penuh dengan bencana kepada bangsa Melayu”

Dr. Lleyton Hewit semakin mengerutkan keningnya.Matanya juga kian meredup. Ini gagasan pemikiran baru, fikirnya. Wajahnya menggambarkan rasa ingin tahu.

“Dalam soal memilih pemimpin, lebih-lebih lagi peneraju kepimpinan negara, Islam sebenarnya tidak membuka ruang wewenang kepada semua lapisan masyarakat – terutamanya orang-orang yang jelas jahat pekertinya, samada ianya seorang penjenayah, atau penagih dadah, penzina dan penggemar maksiat, orang-orang yang rosak akhlaknya, orang-orang yang suka kepada pesta-pestaan dan tidak menginginkan kehidupan yang bermaruah, adil, aman dan bahagia, menjadi orang-orang yang diberi hak dan kuasa untuk memilih barisan kepimpinan negara. Termasuk juga orang-orang muda yang rata-ratanya belum cukup matang dalam mengenali perwatakan manusia, lebih-lebih lagi pula bagi anak-anak muda yang telah kehilangan pedoman hidup atau hidup tanpa tujuan”.

Tengku Kamal Izzuddin Syah berhenti sebentar. Dia semakin menegakkan duduknya.Bila membicarakan persoalan serius dan besar seperti itu Tengku Kamal Izzuddin Syah sentiasa berwajah tegas tetapi tenang.

“Memilih barisan kepimpinan negara adalah tugas yang tersangat penting”, Tengku Kamal Izzuddin Syah meneruskan. “Ini adalah kerana nasib bangsa dan negara , terutama kehidupan beragama terletak di bahu kepimpinan kerana mereka berada di barisan hadapan. Dalam sesebuah masyarakat yang telah sakit, punah dan bobrok, masyarakat yang telah rosak dan hilang arah tuju, keputusan pilihan raya tetap tidak akan memberikan ruang kemenangan kepada pemimpin-pemimpin yang baik.Pemimpin yang terpilih biasanya adalah orang-orang yang serasi dengan selera masyarakat yang telah rosak tersebut. Inilah kelemahan dalam sistem demokrasi dan kelemahan ini nampaknya terus berpanjangan – hingga menjadi tali-temali yang berjaringan, saling tarik-menarik hingga akhirnya menjadi kusut – menjadi benang kusut yang tidak terungkai, lalu menjadi badi dan petaka kepada jati diri umat Melayu dan Islam, dalam hampir setiap dimensi kehidupan. Inilah bencana!”.

Dr.Lleyton Hewitt nampak menganggukkan kepalanya. Dia mendengar dengan penuh perhatian kerana nama Tengku Kamal Izzuddin Syah ini adalah di antara nama yang harum dalam kebangkitan era baru di Tanah Melayu ini.

“Rasulullah saw sebagai sebaik-baik model ikutan untuk manusia telah memperkenalkan system syuraa”, Tengku Kamal Izzuddin Shah berkata seterusnya.”Sistem ini berbeza samasekali dengan sistem demokrasi barat yang dianggap sebagai system terbaik untuk dunia sejak abad ke 19 dahulu.Sistem demokrasi Barat memperkenalkan pilihan raya dan melaluinya ditubuhkan parti-parti politik.Semua parti-parti politik tersebut terpaksa bersaing dan ‘berperang’ dalam kempen-kempen pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Bagi saya bila sistem ini dipaksakan oleh Barat kepada umat Islam yang baru merdeka, maka impak yang ketara ialah dasar pecah dan perintah kepada ummah Islam menjadi semakin berbisa. Umat Islam terus berbalahan dan bercakaran, terperangkap dalam sistem kepartian dan berlakulah perbalahan dalam kempen-kempen pilihan raya.Inilah Dr, tragedi di bumi Melayu selama lebih setengah abad yang lalu, sehingga berlaku permusuhan persis api dalam sekam, sehingga umat Melayu bagaikan akan berkerat rotan berpatah arang, oleh sentimen kebencian yang bagaikan tidak akan ada kesudahannya. Walhal umat muslimin adalah umat yang satu – satu kalimah tauhid, satu kitab, satu kiblat dan bahkan bersaudara! Tetapi kenapa berbalah? Inilah yang saya katakan, demokrasi barat membawa bencana kepada orang-orang Melayu di negara ini! Bukan sahaja kepada bangsa Melayu bahkan kaum muslimin seluruhnya!”

Tengku Kamal Izzuddin Syah berhenti berbicara untuk menuangkan kopi o Halia Madu Melayu ke dalam cawan.Air kopi berwarna kehitaman itu masih berwap.Bila selesai dia mengambil satu daripadanya dan menghulurkan cawan yang satu lagi kepada Dr.Lleyton Hewitt.

“Jemput minum”, pelawanya dengan penuh keramahan.

Dr.Lleyton Hewitt mengambilnya. Kopi yang masih terasa panasnya itu dihirupnya seteguk. Tengku Kamal Izzuddin Syah juga menghirupnya seteguk.

“Bagaimana? Cukup manisnya?”

“Cukup”

“Ok rasanya?”

“Ooo... enak sekali”

“Memang sesuai diminum pada waktu malam-malam begini”

“Betul! Sungguh terasa kesegarannya”, Dr. Lleyton Hewitt memberi pujian ikhlas.

Tengku Kamal Izzuddin Syah tersenyum.Semua teman-teman luar negeri yang berkunjung ke rumahnya bila diminta memberi komen mengenai kopi tersebut sentiasa memberi pujian yang serupa.Dan bila mendengar komen seperti itu, Tengku Kamal Izzuddin Syah akan melahirkan kalimat promosi yang sama.

“Kalau berminat untuk jadi pengedar di Perth, saya boleh tolong uruskan!”

Dr.Lleyton Hewitt menyatakan minatnya.Dia percaya bangsanya di Perth bahkan di seluruh Australia Barat akan meminati kopi tersebut sebagai salah satu minuman pilihan waktu malam untuk menambahkan panas badan dan kecergasan seorang lelaki.Lebih-lebih pula apabila diberitahu anak saudara Puan Sharifah Aeinna Nadzrah sendiri yang menjadi salah seorang rakan kongsi dalam Syarikat Herba Melayu Berhad – salah sebuah syarikat peribumi yang berkembang maju.

Jam besar yang tersergam di dinding di sebelah kanan mereka tiba-tiba berbunyi sebelas kali. Tengku Kamal Izzuddin Syah dan Dr.Lleyton Hewitt berdiam diri sebentar memberi laluan kepada bunyi dentuman jam tersebut yang berbunyi lembut dan bergema halus itu. Irama dengungannya pada malam sesepi itu meninggalkan irama sentimental yang sedikit sayu di jiwa tapi bahkan menghiburkan.

“Sudah jam 11.00, Dr sudah mengantuk?”

“Ooo..belum! Kita masih segar dalam santapan minda”, Dr.Lleyton Hewitt lantas mencapai cawan kopinya dan meneguk kopi o panas itu.

“Boleh tambah lagi…”, Tengku Kamal Izzuddin Syah membuat pelawaan bila Dr.Lleyton Hewitt meneguknya sampai habis.

“Tak apa! Tak apa! Nanti bila perlu saya ambil”, dan Dr.Lleyton Hewitt tiba-tiba sendawa.

“Ha! Itu sudah cukup bagus. Kopi halia telah berfungsi - mengeluarkan angin jahat di dalam badan”, dan dengan berkata begitu Tengku Kamal Izzuddin Syah mencapai cawannya pula dan meneguknya sampai habis dengan harapan dia juga akan sendawa. Memang. Sebaik-baik sahaja kopinya dihabiskan dia juga sendawa.

“Saya sependirian dengan Tengku Kamal”, Dr.Lleyton Hewitt pula memulakan bicara - meneruskan diskusi santapan minda yang sedang rancak itu.” Senario perpecahan dan pemecahbelahan berlaku juga di Australia. Tragedi – meminjam istilah Tengku Kamal tadi – berlaku juga di Australia.Sistem dua parti – gabungan parti-parti kerajaan yang memerintah dan gabungan parti-parti pembangkang – tidak banyak memberi keuntungan kepada rakyat jelata kerana gabungan pembangkang sentiasa tidak diberi ruang yang adil untuk memperjelaskan secara bebas dan terbuka mengenai dasar-dasar dan idea-idea proaktif untuk diketengahkan kepada rakyat. Gabungan parti-parti pembangkang kehilangan hak untuk mempromosi idea menerusi media massa, baik saluran media cetak atau elektronik. Semua saluran media dimonopoli sepenuhnya oleh pemerintah dan lebih memburukkan lagi keadaan apabila kempen terbuka atau rapat umum dilarang samasekali.Pembangkang sentiasa tidak berkesempatan untuk membersihkan diri dalam tempoh berkempen yang pendek. Implikasinya Parti Labour tetap unggul sejak kemenangan besar lebih dua dekad yang lalu. Saya berpendapat prinsip-prinsip keadilan telah tidak terlaksana dalam proses demokrasi di Australia di samping pengaliran keluar stok kewangan negara secara sia-sia, bagi membiayai budget pilihan raya yang begitu besar, dalam satu persaingan pilihan raya yang pembangkang tidak berpeluang samasekali untuk meraih kemenangan”

“Samalah!”, Tengku Kamal Izzuddin Shah tiba-tiba mencelah.”Tapi Dr. Lleyton, proses demokrasi di negara sekular barat, walaupun berlaku juga perbalahan tetapi tidak melibatkan perbalahan ideologi negara. Maksud saya di negara-negara berkenaan apa pun jua parti yang diberi mandat, tetap juga kekal dengan falsafah dan ideologi yang serupa. Yang berbeza cumalah stail dan gaya pengurusan, perbezaan pendekatan, kaedah dan teknik. Berbeza dengan negara-negara umat Islam kerana perbalahan yang berlaku bukan semata-mata perbalahan ideologi tetapi tidak dapat tidak melibatkan sama soal-soal kemurnian iman dan akidah. Lebih-lebih pula jawatan kepimpinan dalam Islam, bukanlah jawatan yang wajar dipohon melalui pencalonan pilihan raya ala barat, atau dengan menawarkan diri untuk bertanding atau melalui proses temuduga setelah permohonan dibuat, atau apa-apa jua cara yang tidak begitu serasi dengan Islam”.

Individu yang menawarkan diri atau menampilkan diri untuk dipilih Tengku Kamal, biasanya merekalah orang-orang yang sepatutnya dicurigai kerana selalunya mereka memang ada motif tersembunyi dan agenda peribadi”, Dr.Lleyton mencelah.

“Memang!”

“Selalunya mereka akan mempamerkan ketrampilan personalti, ilmu atau kelulusan yang tinggi, memperagakan kehebatan diri melalui kebolehan berpidato atau berceramah dan diikuti pula dengan janji-janji molok yang menyeronokkan, sehingga orang ramai terpesona”

“Betul! Dan inilah petaka dan musibah yang melanda kepimpinan Bangsa Melayu pada zaman yang lalu” (12) Tengku Kamal Izzuddin Syah berwajah sayu. Kemudian dalam wajah yang serupa dan nada yang sedikit perlahan dia menyambung kata.

“Kepimpinan sebenarnya adalah anugerah dan amanah Allah”. Mata Tengku Kamal Izzuddin Syah meredup merenung Dr.Lleyton Hewitt yang mendengar dengan khusyuk.” Amanah Allah yang diberi kepada orang-orang tertentu berasaskan hukum-hukum dan prinsip kedaulatan Tuhan. Manusia yang diberi amanah kepimpinan, mesti melaksanakan amanah mengikut hukum Tuhan kerana Tuhan adalah penggubal hukum – Allah Maha Pencipta dan Maha Kuasa sementara manusia adalah pelaksana hukumNya. Dalam hal sebeginilah, dan inilah realiti di Kota Cahaya sekarang, di Tanah Melayu dan Malaysia seluruhnya, ramai individu yang telah dipilih atau dilonjakkan oleh majoriti ahli qariah, menarik diri dari jawatan yang ditawarkan kerana khuatir kepada pengabaian prinsip amanah dan akauntabiliti (13) yang dipertanggungjawabkan di hadapan Kadhi Rabbul Jalil di Yaumil Mahsyar. Kebanyakan mereka hanya menerimanya kembali setelah mendapati tidak ada sebarang calon lain yang lebih layak daripadanya”

“Apakah itu yang dikatakan oleh Tengku Kamal tadi prinsip… apa? Syuraa?”

“Ya! Konsep syuraa! Konsep yang melahirkan kepimpinan terbaik daripada kalangan manusia yang terbaik dalam sesebuah kaum. Ini sekaligus akan melahirkan pemimpin spiritual sebagaimana Nabi Muhammad saw – Baginda saw adalah pemimpin agama dan kerohanian, dan sekaligus pemimpin negara. Semua barisan kepimpinan yang terpilih bersama rakyat jelata akan menjadikan peneraju utama negara, dalam konteks Malaysia, Duli Yang Di Pertuan sebagai personaliti tonggak kerana Bagindalah yang terbaik – akhlaknya, ilmu agamanya, amal ibadahnya, tawadhuknya dan tertinggi fihrasatnya, serta berbagai-bagai lagi sifat-sifat kesempurnaan sebagai seorang pemimpin. Jelasnya di sini, dalam soal kepimpinan, umat Islam mesti kembali semula kepada kaedah yang sedia ada iaitu membaiah kuasa mutlak kepada seorang yang terbaik, yang mengetuai aspek kerohanian dan pentadbiran, termasuk ketenteraan, dan dibantu pula oleh sekumpulan orang-orang terbaik, di bawah naungan kedaulatan Allah Taala samada ianya bergelar khalifah atau amir atau sultan atau raja. Dan inilah simbul kepimpinan di Malaysia, di Tanah Melayu atau di Kota Cahaya sekarang, yang mengekalkan tradisi Bangsa Melayu iaitu Kedaulatan Raja-Raja Melayu”

Jam menunjukkan 1.53 minit malam.Memikirkan besok mereka ada atur cara yang telah dijadualkan, Tengku Kamal Izzuddin Syah dan Dr.Lleyton Hewitt bersetuju untuk menamatkan perbincangan.

9. - `Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya’ – Al A`raaf: 3

- `Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang telah diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut pada hal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka:`Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah dan Rasul’, nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu’ – An Nisaa: 60-61.

- ` dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia; dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu menceraiberaikan kamu dari jalanNya.Yang demikian itu diperintahkan kepadamu agar kamu bertakwa’ – Al An`aam: 153

10. Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hambal: `Kutinggalkan di tengah kalian dua pusaka (peninggalan): Kitabullah sebagai tali terentang antara langit dan bumi, dan keturunanku, Ahli Baitku. Sungguhlah kedua-duanya itu tidak akan terpisah hingga kembali kepadaku di Haudh (Telaga Nabi di Syurga) – Ahlul-Bait (Keluarga) Rasulullah saw dan Raja-Raja Melayu hal. 11

- Sahih Al-Bukhari : ` Sesungguhnya bahawa puteraku ini (sambil menunjuk kepada Al Hasan ra) adalah Sayyid. Mudah-mudahan melaluinya Allah akan menyelamatkan (pertikaian) antara dua golongan besar dari kaum muslimin’ – Ahlul-Bait (Keluarga ) Rasulullah saw dan Raja-Raja Melayu hal : 18.

11. - `Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir’ – Al Maaidah: 44

- `Dan tidak adalah yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang kafir’: Al Ankabuut: 47

- `Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya) dan ulil amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya’. – An Nisaa: 59-60

12. `Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah isi hatinya, pada hal ia adalah penentang yang paling keras’. Al- Baqarah: 204

- `Dan apabila kamu melihat kepada mereka , tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkta kamu mendengarkan perkataan mereka.Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar’ – Al Munaafiquun:

- ` Sekiranya sesuatu urusan itu (peranan) diserahkan kepada mereka yang bukan ahli ( bukan bidang atau pakarrnya), maka tunggulah kiamatnya (kehancurannya) kepada kaum atau bangsa itu sendiri ’ - (Bukhari), Ciri-Ciri Wanita Yang Membawa Ke Syurga, hal. 249.

- `Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali denganmeninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu)?’ – An Nisaa: 144.

13. -`Ingatlah! Menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah.Mahasuci Allah Tuhan semesta alam’ – Al A`raaf: 54

- `Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah’ – Ar Ra`d: 31

- `Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya’ – Al Mukminuun: 8

- `Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh’ – Al Ahzab: 72

Tiada ulasan:

Catat Ulasan