22 November 2011

III.

“Abah balik! Abah balik!”

Sorakan riang dari dua suara yang berpadu kedengaran di pintu hadapan.Kedua-dua anak Tengku Kamal Izzuddin Syah yang sejak lima belas minit yang lalu telah bersedia duduk menunggu di muka pintu, bagaikan tidak sabar-sabar menanti kepulangan abah yang disayangi.Riuh-rendah suara dua beradik itu apabila pintu utama pagar besar di hadapan menguak lebar.Cahaya lampu Waja Perdana V6 yang telah direndahkan, menyinari ruang letak kereta di sisi rumah banglow dua tingkat setengah yang tersergam indah itu.

“Abah balik! Abah balik”, ulang si adik, Tengku Puteri Hazirah Aeinni yang baru berusia empat tahun. Kakak di sebelahnya, Tengku Puteri Farahana Aeinni yang berusia tujuh tahun tidak bersorak riang lagi.Tapi wajahnya ternyata begitu ceria dan berseri melihat kepulangan abahnya yang telah meninggalkan rumah sejak jam 5.39 petang tadi.

Keriangan dan suara gembira anak-anak di atas kepulangan si ayah menarik perhatian dua orang lagi anak Tengku Kamal Izzuddin Syah, Tengku Puteri Diyana Aeinni yang berusia sepuluh tahun dan Tengku Putera Muhammad Kamal Syah yang berusia dua belas tahun. Mereka berdua yang sedang bersama si ibu, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah di ruang dapur membantu ibu menyiapkan makanan malam, cepat-cepat meluru ke pintu utama.

“Abah pulang, mak…”, Tengku Puteri Diyana Aeinni sempat membisikkan kepada ibunya sewaktu berjalan itu.

“Pergi ambil kunci.Buka jeriji. Cepat!”, si ibu mengeluarkan arahan.

Si ibu cepat-cepat mengemaskan ruang dapur, mengambil tudung saji mengkuang dan dengan segera menutup makanan yang baru saja diletakkan di atas meja makan. Menjadi teradat kepadanya, setiap kali suami pulang atau akan bertolak pergi, dia mesti menyambut atau meraikannya di muka pintu. Dia pun tidak sabar-sabar untuk melihat tetamu yang pada kali ini, menurut suaminya lebih istimewa berbanding dengan tetamu-tetamu sebelum ini, kerana tetamunya pada kali ini adalah seorang pencari kebenaran yang telah mengembara ke pelbagai simpang-siur kepercayaan dan agama, tetapi akhirnya merumuskan bahawa cahaya kebenaran hanya ada satu sahaja dan bersumber daripada Zat Yang Satu iaitu Allah Yang Maha Esa.

Dalam cahaya terang lampu di pekarangan luar anak-anak dapat melihat abahnya pulang bersama seorang lelaki kulit putih yang nampaknya segak dan muda.Anak-anak yang telah biasa dengan para tetamu berbagai bangsa yang datang ke rumah mereka, tidak menjadi terkejut atau takut-takut kepada Dr.Lleyton Hewitt yang berjalan dengan tegap sambil mengheret dengan tangan kirinya sebuah beg pakaian yang sederhana besarnya. Sementara Tengku Kamal Izzuddin Syah sendiri mencebet sebuah beg pelbagai guna dan komputer riba kepunyaan sahabat internetnya itu.

“Sila masuk Pak Cik Llll..ton Wiitt”, Tengku Puteri Hazirah Aeinni meraikan tetamu yang baharu sampai itu, mendahului abang dan kakak-kakaknya dalam bahasa anak-anak yang sedikit pelat. Abang dan kakak-kakaknya ketawa mengilai mendengar nama Dr.Lleyton Hewitt yang disebut pelat itu.

“Terima kasih!”, Dr.Lleyton Hewitt meletakkan begnya.Cepat-cepat dia merendahkan badannya lalu mendukung Tengku Puteri Hazirah Aeinni yang lengkap berpakaian baju tidur cheongsam berwarna merah darah, yang baru dibeli oleh abahnya sempena Tahun Baru Cina awal tahun ini dulu.

“Anak yang bagus.Anak yang pintar”, Dr.Lleyton Hewitt merangkul dengan mesra. “Pak Cik ada bawa ole-ole dari Perth untuk…siapa nama?”

“Ha..Ha..zirah Aeinni”

“Nanti Pak Cik berikan. Mahu tak?”

“Mahu!”

Tengku Puteri Hazirah Aeinni diletakkan kembali di atas lantai.

“Sila masuk Pak Cik”, anak-anak yang lain meraikan pula.Mereka tidak ragu-ragu untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Melayu kerana telah diberitahu oleh bapanya tetamu mereka pada kali ini fasih berbahasa Melayu.

“Salam dengan Pak Cik”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah sebagaimana selalunya mendidik anak-anak untuk bersopan dengan orang-orang yang lebih tua.Berdahulu-dahuluanlah anak-anak yang sentiasa mematuhi perintah si ibu bersalaman dengan Dr.Lleyton Hewitt sambil masing-masing mencium tangan tetamu barunya itu.

Mereka berada di ruang tamu sekarang.Duduk di kerusi masing-masing. Puteri Hazirah Aeinni yang tiba-tiba cepat berasa mesra dengan Dr.Lleyton Hewitt, tidak segan-segan ingin duduk di sisi orang putih itu.

“Mari! Mari! Mari duduk di atas riba Pak Cik!” Dr.Lleyton Hewitt lantas mengangkat Tengku Puteri Hazirah Aeinni dan meletakkan di atas haribaannya.

“Pak Cik itu penat Zirah.Mari duduk dekat mak…”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah seolah-olah memprotes.

“Tak mengapa”, Dr.Lleyton Hewitt memegang Tengku Puteri Hazirah Aeinni dengan mesra.”Saya suka budak-budak kecil”

“Duduk diam-diam dekat Pak Cik itu”, si ibu memberi pesanan.

Biasanya bila ada tetamu, si ibu sentiasa memberi pesanan yang serupa supaya anak-anak duduk diam-diam, jangan berjalan-jalan atau menyampuk orang tua yang sedang bercakap.Kalau ibu bapa dan tetamu sedang bercakap mengenai perkara-perkara yang anak-anak tidak perlu mendengar sama, anak-anak mesti patuh dengan perintah supaya beredar dari situ.

Dan bilamana berkunjung ke rumah tetamu pula, anak-anak diberi pesanan oleh si ibu supaya duduk diam-diam di tempat masing-masing.Jangan sekali-kali berjalan ke mana-mana. Menjadi kemarahan besar kepada si ibu kalau mendapati anak-anak menjengah ke sana ke sini bagai rusa masuk kampung menyiasat keadaan di dalam rumah tetamu yang dikunjungi. Kalau berbuat demikian jua, alamat bila pulang ke rumah akan dipulas telinga dan dijerkahi oleh si ibu.Demikian didikan Puan Sharifah Aeinna Nadzrah kepada anak-anaknya. Sehingga kini dia cukup berpuas hati dengan sopan santun anak-anaknya.

“Ini kali pertama Dr. Lleyton berkunjung ke Malaysia – maksud saya, Tanah Melayu ?”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah membuka bicara bila Dr.Lleyton Hewitt mulai berhenti melayani Tengku Puteri Hazirah Aeinni yang tekun menjawab pertanyaan-pertanyan yang dikemukakan oleh tetamu baru yang telah mulai dimesrainya itu.

“Ya! Tapi saya pernah ke Kota Kinabalu, bersama keluarga.Tapi sudah lama, ketika usia saya baru 10 tahun”

Kemudian perbualan mereka beralih kepada kehidupan di bandar Perth – Swan River, Kings Park,Caversham Wildlife Park, Underwater World dan sebagainya. Puan Sharifah Aeinna Nadzrah seronok menyelongkar kembali khabar mengenai bandaraya Perth dan syurga membeli belah di Fremental, dua bandar berdekatan yang pernah dikunjungi bersama suami ketika mereka merayakan bulan madu perkahwinan kira-kira tiga belas tahun yang lalu.

“Jadual perjalanan sudah siap!”, Tengku Kamal Izzuddin Syah tiba-tiba mengalih topik bersembang.

“Besok petang kita akan ke Kota Cahaya”, Tengku Putera Muhammad Kamal Syah menerangkan mendahului ayahnya.

“Oooo! Bagus!”

“Syyyysss!”, Tengku Puteri Diyana Aeinni menutup mulutnya dengan jari telunjuk.Mengisyaratkan supaya Tengku Putera Muhammad Kamal Syah tidak mencampuri perbualan. Abangnya tiba-tiba tersedar dia telah melakukan kesilapan.Serentak dengan itu dia mengerling ibunya.Ternyata ibunya memberi amaran dengan membulatkan matanya. Tengku Putera Muhammad Kamal Syah ternyata begitu kesal dengan kesilapannya tadi.

“Lusa... iaitu hari Sabtu, kami merancang membawa Dr ke Ulu Tembeling”

Ada apa di sana?”

“Menghadiri majlis perkahwinan”

“Oooo. Bagus! Siapa yang kahwin?”

“Anak saudara saya”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah menerangkan

“Kami telah membuat perancangan supaya Dr merenjiskan air mawar kepada pengantin”

“Wow! Apa?”

“Merenjis air mawar”

“Saya tak faham apakah itu?”

“Air mawar, tepung tawar, inai dan beras kunyit”

.”Wow! Apa itu? Mana saya boleh buat?”

“Ah! Itu tak susah. Kami akan tunjukkan caranya nanti”

“Majlis ini istimewa Dr”, Tengku Kamal Izzuddin Shah menerangkan seterusnya.”Kami menerapkan sepenuhnya budaya dan adat istiadat perkahwinan orang-orang Melayu.Orang-orang di Ulu Tembeling nanti, dan tentu sekali pengantin sendiri, mahu melihat bagaimana orang putih dari Australia Barat menyerikan majlis perkahwinan mereka, supaya meninggalkan kenangan yang bermakna kepada mempelai berdua”.

“Dua minggu kemudian Dr di langsungkan pula majlis menyambut menantu di Nagoya, Jepun”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah menerangkan seterusnya.

“Apa? Nagoya?”

”Ya!”

”Pengantin lelaki orang Jepunkah?”

“Ya! Mereka berkenalan ketika anak saudara saya Sharifah Munirah Saadah membuat ijazah Kejuruteraan Elektronik di sana”

“Perkahwinan ini istimewa Dr”, Tengku Kamal Izzuddin Shah mencelah seolah-olah cuba mempengaruhi Dr.Lleyton seterusnya. ”Ianya menjadi simbolik percantuman antara dua budaya besar. Budaya Jepun yang gah dengan kepesatan dan kemajuan ekonomi dan teknologi terkini, bercantum dengan budaya Melayu yang sedang menuju puncak. Oleh kerana itulah saya dalam E Mail yang lalu, amat mengharapkan supaya Dr datang pada waktu ini kerana saya berhasrat untuk memberi makna tersendiri kepada pengantin baru, tetamu-tetamu dari Jepun dan Bangsa Malaysia, bahawa percantuman dua budaya besar ini menjadi lebih meriah dan signifikan bila diserikan oleh orang Australia yang mewakili tamadun dari bangsa terkemuka yang telah lama memerintah dunia, simbolik kepada perpaduan dan silaturrahim muslimin sejagat”

Dr.Lleyton Hewitt tersandar sekarang apabila mendengar tugasnya yang begitu besar itu.Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil bersuara dengan rasa keberatan.

“Nampak susah…Susah bagi saya melakukannya”

“Ah! Tidak! Senang sahaja… Tengok saja orang buat, Dr terus tahu”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah menenangkan.

“ Itu perkara enteng Dr.Yang penting sekarang ialah Dr mahu ikut jalan yang mana satu?”

”Ikut jalan raya atau naik bot?”

”Naik bot?”

”Bot perahu kajang”

“Huh! Naik perahu lagi bagus!”.

“Tapi lama Dr…Hampir empat jam memudiki Sungai Tembeling ke Bukit Mat Daling”

“Tak mengapa. Saya mahukan pengalaman yang menarik. Tentunya penuh dengan belantara yang cantik menghijau, air yang jernih dan flora fauna”

”Memang!”

“Tapi belum tahu juga! Belum tentu menarik! Nanti kalau air surut, ada jeram, terpaksa tarik bot. Teruk!”

“Oooo! Bagus! Lebih mencabar!”

“He! Awak sudah biasakah?”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah terkejut

“Tidak! Tapi saya mahu mengalaminya”

“Wah! Kalau begitu, baik kita biarkan dia bertolak dari Kuala Tembeling, abang?”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah membuat cadangan.

”Lebih banyak cabarannya!”

“Tak sempat! Dr. Lleyton perlu tiba di rumah pengantin di Kampung Mat Daling selewat-lewatnya pukul 12.00 tengahari”

Dr.Lleyton Hewitt dipersilakan minum Kopi Halia Madu Melayu ais yang baru sahaja dihidangkan oleh Tengku Puteri Diyana Aeinni, produk minuman berkhasiat yang mendapat permintaan tinggi dari negara-negara berhawa dingin terutama di Eropah.Selepas minum mereka tidak menyambung bicara lagi kerana Maghrib sudah berlalu panjang. Dr. Lleyton Hewit dibawa ke biliknya di tingkat bawah oleh Tengku Putera Muhammad Kamal Syah dan akan di jemput kembali selepas solat Isya nanti, kira-kira jam 8.45 malam untuk sarapan malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan