22 November 2011

II.

“Selamat datang, tuan! Selamat datang ke Tanah Melayu!”, pegawai imigresen berbangsa Cina menyapa Dr.Lleyton Hewitt dalam Bahasa Inggeris apabila tiba gilirannya untuk menjalani pemeriksaan pas masuk di kaunter imigresen.Senyuman mesra terukir di bibir pemuda Cina yang berwajah ceria dan kelihatan kemas dan tampan itu.

“Terima kasih”, balas Dr.Lleyton Hewitt dengan lembut dalam Bahasa Melayu sambil juga mengukir senyuman yang manis.

“Tuan boleh berbahasa Melayu?”, pegawai di kaunter sedikit terperanjat mendengar ucapan pelancong kulit putih itu.Dia merenung mata Dr.Lleyton Hewitt dengan kening sedikit meredup.

“Boleh! Saya menguasainya dengan agak baik”

“Oooo..Tahniah”, kegembiraan jelas terukir pada wajah pegawai imigresen itu.Lalu tangan kanan yang di dalam menghulur ke luar.Dr.Lleyton Hewitt menyambut tangan yang terhulur itu.Dadanya terasa lapang sekali bila mendapat layanan sedemikian.

“Tuan dari Australia, ya?”

Perth

“Dr.Lleyton Hewitt”, pegawai itu membisik sendirian nama yang terpapar pada pas lawatan lantas menyemak dokumen-dokumen yang diberikan oleh Dr.Lleyton Hewitt sewaktu dia mula-mula sampai ke kaunter pemeriksaan tadi.Sambil itu Dr.Lleyton Hewitt sempat melebarkan pandangannya ke seluruh balai pemeriksaan imigresen itu.Nampak sibuk.Hampir semua kaunter pemeriksaan terdapat deretan panjang pelancong-pelancong yang baru tiba.Kebanyakannya adalah pengunjung-pengunjung berkulit putih dari Eropah.Ramai juga dari Korea dan Jepun. Pelancong dari Asia Barat dan Afrika pun ramai juga.

Secara perbandingan kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ini ternyata lebih sibuk berbanding dengan mana-mana lapangan terbang di tempat-tempat lain yang pernah Dr.Lleyton Hewitt kunjungi. Sudah beberapa kali dia melancong ke luar negara.Dia pernah ke Beijing, Seoul, Tokyo, Kaherah, New York dan beberapa kota raya di Eropah. Menurut keterangan Tengku Kamal Izzuddin Shah, sejak dekad kedua dasawarsa 21, Tanah Melayu menerima kunjungan tetamu dari serata dunia pada angka yang mengatasi paras tertinggi berbanding dengan dekad sebelumnya.

“Agak lama bersantai di Kota Cahaya”, pegawai imigresen berbangsa Cina tadi tidak ragu-ragu bertanya dalam Bahasa Melayu, seolah-olah untuk menguji kefasihan Dr.Lleyton Hewitt. Sambil itu tangannya memulangkan kembali dokumen yang telah sempurna diperiksa.

“Insyaallah. Mungkin satu minggu dan… mungkin lebih lama. Tengok keadaan dulu…”, balas Dr Llyton Hewitt.

“He! Awak orang Islamkah?”, pegawai berbangsa Cina tadi terkejut kembali. Malah nampaknya lebih terkejut berbanding tadi.

“Alhamdulillah. Tapi saya belum lagi mengistiharkan”, Dr Llyton Hewitt mengangguk sambil tersenyum.

“Maksudnya?”

“Hanya keluarga, sahabat terdekat dan Allah Taala sahaja yang tahu”

“Masyaallah!”, lalu pegawai muda berbangsa Cina itu berdiri lantas menghulurkan tangannya sekali lagi untuk disambut oleh Dr. Llyton Hewitt. Kali ini tangan yang bersambutan menjadi mesra.

“Kita bersaudara rupanya.Nama saya Ahmad Burhan Tee”, tangan Dr Llyton Hewitt lalu digengam dengan lebih erat dan mesra. Lalu dua tangan – yang satu berkulit putih kuning berbangsa Cina dan yang satu lagi berkulit putih kemerah-merahan berbangsa Australia, bergoncangan-goncangan dengan begitu erat dan mesra sekali pabila menyedari mereka di bawah satu naungan kalimah.

“Di mana menginap?”

“Di rumaah kenalan”

“Di mana?”

“Di Kota Cahaya”

“Ooo”

Ahmad Burhan Tee cepat-cepat membuka dompetnya dan dengan segera mengeluarkan sekeping kad lalu dihulurkannya kepada Dr.Lleyton Hewitt.

“Hubungilah saya nanti”

Dr.Lleyton Hewitt menyambut kad alamat berwarna merah jambu itu.Merenungnya sebentar.

. “Bolehlah kita bersimbang-simbang panjang. Sekarang tengah sibuk. Ramai di belakang sana”, Ahmad Burhan Tee sedikit kesal kerana tidak dapat bersimbang lama.

“Insyaallah”

Mata Dr.Lleyton Hewitt beralih semula kepada Ahmad Burhan Tee.Mereka saling bertukar senyuman. Selepas mengucapkan salam dan janjian akan ketemu lagi dia mohon berlalu pergi.

Berjalanlah Dr.Lleyton Hewitt dengan langkah yakin menuju ke tempat serahan bagasi.Dia berjalan dengan agak pantas sambil membaca panduan arah. Sambil melangkah itu fikirannya sedikit terhimbau kepada pemuda Cina yang baru ditemui di kaunter imigresen tadi.Wajahnya tenang dan menyenangkan.Ramah dan tampak mesra.Jauh di sudut hatinya, Dr.Lleyton Hewitt tertarik dengan anak muda itu dan kepingin untuk ketemu kembali bagi saling menjalin persefahaman.

Sambil melangkah itu fikirannya terusik juga dengan kelainan pemeriksaan imigresen di pintu masuk ke Tanah Melayu ini.Tidak ada pemeriksaan dokumen perjalanan yang ketat.Tidak ada pemeriksaan yang begitu rapi, teliti atau amat terperinci. Tidak ada soal jawab yang cerewet oleh pegawai-pegawai keselamatan di lapangan terbang sebagaimana dialaminya di kebanyakan lapangan-lapangan terbang lain di serata dunia, khususnya di USA yang terpaksa melalui beberapa kali tapisan keselamatan.Apakah ini satu keistimewaan? Kalau benar, mengapa? Atau apakah ini satu kecuaian? Buat sementara ini Dr.Lleyton Hewitt tidak mahu mencari jawapannya.

Dr.Lleyton Hewitt berjalan lagi dengan agak laju. Dia samasekali tidak berkesempatan untuk meninjau panorama indah di sepanjang perjalanan ke tempat bagasi.Dia perlu sampai segera untuk bersegera pula ke balai ketibaan kerana dia percaya Tengku Kamal Izzuddin Syah sudah tentu menunggunya. Dia tidak mahu Tengku Kamal Izzuddin Syah ternanti-nanti. Lagipun dia sudah agak rimas dan cape setelah hampir tujuh jam meninggalkan rumahnya, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, Australia Barat pada kira-kira selepas tengah hari tadi. Dan kini hari telah agak sore.

Kini dia bagaikan tidak sabar untuk bertemu dengan teman internetnya itu yang selama ini – sejak hampir dua tahun yang lalu hanya saling berhubungan untuk saling mengenali menerusi e-mel dan chatting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan