26 Ogos 2009

16.
BERTEMU ORANG TUA PURBA.

Pukul 4.30 petang aku bersama isteri sampai di Lorong Lengkok Kiri, Tanah Hitam Lama. Aku mencari rumah No 314 yang pada pintunya tertulis tulisan kuning nama TOK LAT seperti tanda nama ke rumah Tok Ayah Sohor juga. Menurut Tok Penghulu Malim di rumah murah itulah Tok Lat tinggal.Sejurus mencari sampailah aku ke rumah berkenaan. Pintunya sedikit terbuka. Oleh kerana lorong agak sempit di situ, aku tidak dapat meletakkan kereta dan terpaksalah membuat satu pusingan semula. Aku meletakkan kereta di hujung deretan bangunan tempat aku mula-mula sampai tadi dan terpaksalah berjalan kaki kira-kira 40 meter ke rumah berkenaan.
Hatiku sedikit tertanya-tanya. Bagaimanakah orangnya nanti? Berdebar pun ada, gembira pun ada. Berdebar, gembira, dan penuh tanda tanya.Maklumlah akan berhadapan dengan seorang yang menurut sangkaanku tentunya luar biasa. Seorang yang lain dari yang lain. Orang yang pernah mati, pernah melalui proses kematian dan kemudiannya dihidupkan kembali. Dihidupkan kembali atas perintah Rasulullah untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab.
Bila sampai di muka pintu bersama isteri, aku lantas memberi salam kepada seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di kerusi.Salamku segera dijawab oleh lelaki itu dan kami suami isteri dipersilakan masuk.Orangnya bertubuh kecil sahaja.Tidak berbaju tetapi menyelimutkan bahunya dengan sehelai tuala. Dia mungkin tidak cukup selesa dan rimas oleh cuaca panas petang yang membahang walaupun sebuah kipas kecil berpusing di sisinya.
`Saya berhajat nak berjumpa Tok Lat’, aku bersuara dengan hormat.Orang tua itu merenungku lantas menegakkan duduknya.Sejurus merenung, kemudian dia bersuara.
`Toklah, Tok Lat’.
`Oooo. Maafkanlah. Saya tak kenal’
Kami bersalam-salaman. Aku suami isteri dipersilakan duduk. Kemudian Tok Lat berseru meminta isterinya keluar. Sejurus kemudian keluarlah seorang perempuan yang usianya menurut tafsiranku dalam sekitar enam puluhan.
Bersalam-salamanlah dengan isteriku.
`Apa hal?’, aku ditanyai Tok Lat.
`Saya diberitahu oleh Tok Penghulu Malim mengatakan Tok boleh berubat’.
`Oooo. Tok Penghulu...Sakit apa?’
Aku lalu menceritakan bahawa dadaku terasa kering dan kosong sejak lebih satu tahun yang lalu. Aku belum pernah meminta rawatan doktor. Pada mulanya aku beranggapan masalah ini berpunca akibat kekurangan air. Lalu aku meminum air dengan kuantiti yang banyak. Dan ianya ternyata berkesan. Tetapi usaha itu hanya ikhtiar sementara sahaja. Sejak akhir-akhir ini ternyata dengan meminum air yang banyak pun tidak berkesan lagi. Inilah yang agak menggusarkanku.

Sewaktu lawatan kerja ke Swan Dusit Institut di Bangkok, aku pernah meminum sejumlah kuantiti yang banyak air yang berais untuk menghilangkan rasa kering di dada.Aku terlupa bahawa sebentar lagi akan mengalami trip perjalanan untuk satu lawatan ke sebuah institut. Sejurus selepas bertolak, tiba-tiba aku diserang oleh keinginan untuk membuang air kecil. Pada mulanya aku menjangkakan jaraknya agak dekat sahaja dan aku berharap masih boleh menahannya. Akan tetapi setelah satu jam berlalu, ternyata aku tidak lagi dapat bertahan. Sementara menanti tiba di sebuah stesen minyak, bagaikan meletup rasanya pundi-pundi kecingku menahan keinganan membuang air kecil yang tidak terperikan.
Tok Lat lantas mencapai kupiah kuning di sisinya dan meletakkan di kepalanya. Seterusnya dia mengambil sebatang lilin dan menyalakannya. Kemudian dia membaca sesuatu.Selepas siap membaca, dia menitiskan lilin yang cair ke dalam sebuah mangkuk yang berair. Dia menggerak-gerakkan lilin itu ke sana ke mari di sekitar permukaan air di dalam mangkuk kecil itu. Sejurus dia begitu. Bila selesai dia memadamkan lilin dan mengeluarkan lilin cair yang telah mengeras di dalam mangkuk yang bentuknya telah menjadi satu kepingan bagaikan rempeyek. Sejurus dia merenung dan membelek-belek. Aku dan isteri memerhatikan sahaja. Sambil merenung lilin cair yang telah menjadi keras itu, dia pun berkata:
`Cikgu mengidap sakit gestrik dada.’, dia menerangkan. Aku belum pernah lagi mendengar nama sakit seperti itu.
Dia lalu memperincikannya dengan membuat hubungkait antara nafas, peredaran udara di dalam paru-paru dan air. Huraiannya nampak ilmiah dan saintifik. Aku jahil dalam ilmu perubatan dan biologi.Jadi tidaklah dapat aku pastikan huraiannya samada betul atau tidak. Tapi untuk menafikannya aku tidak mampu sama sekali.Apa pun huraiannya begitu menarik dan jelas.
`Apa puncanya Tok’, isteriku bertanya.
Tok Lat merenung kepada kepingan lilin itu semula. Kemudian dia bersuara.
`Masa kecil-kecil dahulu suka makan sisik ikan tamban’, dia memandangku sambil tersengih. Aku mengingat-ngingat kesah masa kecil.
`Yang paling cepat dan bisa, sisik ikan tamban yang direbus atau dikukus ’
Aku dan isteri berpandangan. Pada masa aku kecil-kecil dahulu memang aku suka makan ikan tamban di cecah dengan ubi kayu. Bila dewasa, baru beberapa tahun yang yang lalu aku tiba-tiba suka meratah mentah-mentah, anak-anak ikan tamban yang dikukus yang dibeli dari kedai ikan masin Seng Kee. Kadang-kadang aku buat lauk mentah-mentah atau digoreng makan dengan nasi sebagai ganti ikan masin. Aku sedikit tergamam dengan penjelasan Tok Lat itu.
`Itulah Tok’, isteriku bersuara.`Tiba-tiba saja dia berkenan benar meratah mentah-mentah anak ikan tamban kukus yang dibeli dari kedai Seng Kee’.
Tok Lat terkebil-kebil.
`Penyakit ini kalau di bawa kepada doktor mungkin doktor akan belah dada Cikgu’.Tok Lat menerangkan selanjutnya. Aku tiba-tiba menjadi ngeri mendengar ramalannya. Menurutnya lagi dadaku akan di belah dua dan dibuka untuk dicuci rongga dada dan paru-paru. Kalau pulih pun aku akan kehilangan tenaga semulajadi. Ertinya tidaklah lagi kuat seperti biasa.
`Ada ubatnya Tok?’, aku bertanya dengan nada cemas tapi penuh harapan.
`Ada’, jawabnya. Dan dengan jawapannya itu aku menjadi sedikit tenteram.`Tapi ubat ini susah nak mendapatkannya, Cikgu. Orang yang membuat ubat itu, sewaktu mencari ramuan membuatnya, ibarat ’haus tapak kaki’ mencarinya’.
Tok Lat lalu menerangkan dia hampir setiap hari pergi ke Dungun pergi ke kedai ubat Pak Syeikh. Kedai itu mendapat bekalan dari Yunan, China kerana Pak Syeikh adalah keturanan Yunan dan pakar dalam ubat-ubatan China. Tok Lat mendakwa dia pernah tinggal lama di Yunan belajar ilmu ketuhanan. Dia menerangkan bahawa dia boleh membaca dan bercakap Yunan. Sebab itulah hubungan dia dengan Pak Syeikh akrab. Tok Lat juga menerangkan dia boleh berbahasa Arab. Apa yang tertera pada lilin cair tadi adalah kalimat Arab yang perlu ditafsirkan. Sesiapa yang boleh membaca Arab dia boleh tunjukkan lakaran pada kepingan lilin tersebut.
Selepas membayar sejumlah yang ditetapkan, kami mula bersembang.Mulanya aku yang banyak ditanya.Bila sampai giliranku bertanya, aku berusaha untuk mengorek misterinya. Setelah satu jam perbualan, kesimpulan mengenai Tok Lat adalah seperti berikut:
Tok Lat pernah tinggal di Dungun, Terengganu dan berkahwin di sana. Dia dikurniakan seorang anak perempuan. Anak perempuannya telah berkahwin dan melalui satu-satu anaknya itulah, Tok Lat dikurniakan beberapa orang cucu. Cucunya yang sulung tinggal bersamanya dan sedang belajar kelas malam untuk mendapatkan sijil kemahiran. Selepas isterinya meninggal dunia, dia meninggalkan Dungun dan bekerja di merata-rata tempat sebagai buruh kilang papan, mencari rotan manau dan berniaga kain di pasar lambak di bawah pokok. Di bawah pokoklah dia bertemu isterinya sekarang.
Isteri Tok Lat yang membahasakan dirinya Mak, menerangkan, Tok Lat pada ketika itu berniaga kain batek. Mak menyedari peniaga itu, iaitu Tok Lat adalah seorang yang begitu permurah dan teramat belas kasihan kepada sesama manusia. Setiap hari dia dapati ada sahaja orang, terutama orang perempuan yang suka mengambil kesempatan di atas kemuliaan hati peniaga itu.Biasanya bila pelanggannya terutama orang perempuan meminta tawar, Tok Lat terus sahaja bersetuju walaupun hargnya jauh lebih rendah berbanding harga modal. Ada pula yang sanggup merayu, meminta supaya diberikan secara percuma kerana mengaku tak ada duit. Mak mendapati peniaga itu sentiasa kasihan dan tak sampai hati dengan rayuan pelanggannya.Peniaga itu sentiasa tunduk dengan rayuan, lantas terus bersetuju menghadiahkan secara percuma. Inilah yang menarik hati Mak kepada peniaga itu.
`Daripada orang tipu dia, baik Mak yang tipu dia. Lalu Mak ambil dia sebagai suami’, kata Mak.

Lantas Mak yang telah lama menjanda berkahwin dengan Tok Lat. Ini berlaku pada awal 1990an. Sejak itu tinggallah Tok Lat di rumah yang Mak beli hasil bekerja di sebuah kilang papan.
Mengikut cerita Tok Lat,dia pernah juga tinggal di Triang, mengikut orang bekerja menebang balak. Sewatu di Jerantut dia rapat pula dengan Pawang Nong dan memawang tanah membuka Wilayah Jengka atas perintah Tun Abdul Razak. Tok Lat juga pernah tinggal di hutan dekat Tasik Cini bekerja mencari rotan manau.
Ayahnya berasal dari Raub.Menurutnya masih ada tanah ayahnya di Raub di kawasan Cheroh. Pada geran asal, dakwanya, masih ada nama ayahnya yang bernama Tengku Husin. Pada zaman mudanya, ayahnya berkelana ke Kedah untuk mengesan jejak warisan kerana keturunannya adalah dari kerabat diraja Kedah- Perlis dan Patani.

Di Kedah ayahnya berusaha untuk mendekati golongan istana.Ayahnya terpaksa menyertai sayembara pertarungan menentang harimau berantai raja kerana dengan cara itulah dia dapat memenangi hati sultan. Diceritakan Sultan Kedah sentiasa berusaha mendapatkan seorang yang lebih perkasa untuk menggalas tugas sebagai harimau berantai.Pertarungan yang sengit menggunakan kebatinan berlangsung dan akhirnya ayahnya berjaya dalam sayembara tersebut. Sejak itu dapatlah ayah Tok Lat berada dalam kalangan istana. Ayah Tok Lat akhirnya berjaya memikat puteri diraja, lalu berkahwinlah mereka. Bila Tok Lat diputerakan dia dinamakan Tengku Shafie.Tetapi apabila dia membesar sebagai seorang anak muda, Tengku Shafie lari dari kehidupan istana kerana tidak mahu kepada kebesaran istana.Tok Lat memilih kehidupan sebagai rakyat biasa.
Dari Kedah Tengku Shafie pergi ke Indonesia belajar ilmu ketuhanan. Lepas itu pergi ke Yunan untuk mendalami lagi bidang yang sama. Kemudian dia balik semula ke Kedah dan mengamalkan ilmu. Dia mengorek lubang di bawah rumah ayahnya dan bertapa. Di sanalah dia mencapai kesudahan dalam ilmu.
`Sekarang Tok tak mahu belajar lagi’, itulah kesimpulannya mengenai ilmu ketuhanan. `Tok hanya mahu belajar ilmu yang Tok tak tahu. Kalau ada sesiapa yang boleh ajar Tok apa yang Tok tak tahu, baharulah Tok mahu belajar’
Lantas Tok Lat mengupas sedikit buatku mengenai konsep `tanpa huruf dan suara’ iaitu merujuk kepada rahsia wahyu Tuhan kepada para Nabi dan Rasul sehingga terzahirnya suara melalui kalam Nabi Junjungan. Aku mendengarnya dengan amat terpesona bagaimana prosesnya dari beberapa konsep ghaib sampai kepada zahir di hujung lidah. Aku dapat mengikuti huraiannya dengan baik tapi tak mampu untuk memahaminya.Agak pening dan memeningkan!
Bila aku singkap soal peperangan , Tok Lat lalu membuka satu ilmu yang menurutnya telah dikurniakan kepada Tok Penghulu Malim.Ilmu tersebut amat berguna apabila berada dalam kecemasan bagi menyelamatkan diri. Dikatakan boleh menghilangkan diri, tenggelam ke dalam bumi. Di dalam bumi akan terbuka lorong-lorong dan nantinya boleh muncul pula di mana-mana. Syaratnya jangan pandang belakang.Aku amat teruja dengan ilmu ini kerana merasakan inilah ilmu yang satu-satunya yang belum lagi aku memilikinya untuk tujuan peperangan.
Sesungguhnya aku cukup terpegun dengan orang yang telah mati tetapi zahir kembali ini. Orangnya lebih kecil dan lebih rendah berbanding dengan diriku sendiri. Berkulit agak hitam dan agak keperangan. Berdahi luas. Rambutnya bertelau-telau dan berombak antara putih dan hitam. Tidaklah terlalu lebat kerana ada bahagian-bahagian tertentu terutama di belakang kepalanya sudah botak. Oleh keterpesonaan kepadanya dan ilmu yang dibukanya lantas aku mengajukan harapan.
`Kalau saya mahu mendapatkan ilmu tersebut dari Tok, bolehkah Tok kurniakan?’, aku berdebar-debar dengan harap-harap cemas. Dia tersenyum.
`Boleh’, jawabnya sepatah.Dan jawapannya itu adalah jawapan yang sangat mahal dan berharga bagiku.
`Tapi kenalah belah malam. Malam Selasa atau Khamis atau malam Jumaat’, tambahnya.
Di pintu tiba-tiba muncul sepasang suami isteri memberi salam. Ternyata orang tersebut adalah pesakit ulangan kerana mereka telah saling mengenali. Lantas aku merasakan saat untuk pulang telah tiba. Cawan yang tadinya berisi kopi o telah pun kosong. Bila aku meminta izin untuk pulang, Tok Lat berkata.
`Datanglah lagi. Janganlah datang kerana nak berubat sahaja’, aku dan isteriku mengangguk dengan gembira. Ini adalah alamat yang sangat istimewa buat kami berdua.
`Bawalah anak-anak sama’, pesan Tok Lat seterusnya. Mak juga memberi pesanan yang sama.
Petang itu aku sungguh gembira kerana sempat menyelongkar rahsia hidup Tok Lat. Walaupun aku percaya Tok Lat memang tidak menceritakan sepenuhnya, atau cerita yang sengaja berliku-liku kerana dia tetap menyembunyikan rahsia sebenar dirinya sebagai seseorang pada masa yang lalu, tetapi aku tetap merasa puas kerana latar belakang penguasaan ilmunya memang mengharuskan dia zahir kembali.
Aku bersyukur kerana diangerahi masa yang begitu selesa kerana tidak ada sesiapa datang berubat pada sepanjang tempoh perbualan. Aku sesungguhnya menjadi seorang yang cukup gembira. Gembira kerana aku diterima dengan baik. Diterima dengan penuh kemesraan oleh Tok Lat dan isterinya. Apakah ini alamat yang indah? Entahlah. Apapun akulah – seolah-olah - orang yang paling bertuah di dalam dunia ini.

3 ulasan:

  1. Pengalaman anda membuatkan saya tertarik untuk mengenal waris guru2 seperti mana anda sebutkan. Apatah lagi mendalami ilmu ketuhanan dan mengenal diri. Selanjutnya bidang tasawuf itu digali untuk menikmati intinya. Jika anda tidak keberatan dan tidak menjadi halangan bolehkah saya mengetahui apakah Tok Penghulu Maliki,cikgu Zan masih hidup ataupun sekiranya tidak ada lagi mungkin boleh ditunjukkan waris ilmu atau guru yang boleh mengajar.

    BalasPadam
  2. Saya juga penggemar ajaran tasawuf tetapi sehingga ke hari ini belum dapat mencari guru seperti mana yang anda sebutkan. Dahulu saya mempunyai jemaah tetapi hancur. Hajat dihajati hendak meniti ke jalan ahlulllah tetapi tak kesampaian. Bagaimana boleh saya menghubungi saudara untuk membantu saya mencari 'orang2 istimewa' dan guru mursyid untuk saya menadah sedikit ilmu? Walaupun saya jauh lebih muda daripada anda, namun pencarian masih jauh. Oleh sebab saya ingin menjadi seorang yang berpengetahuan dalam hidup saya terus mencari. Kebetulan mertua saya tinggal berhampiran pondok Sg. Durian.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum.
    Saudara, Tok Penghulu Maliki dan Cikgu Zan masih hidup dan sehat walafiat.
    Terma kasih kerana sudi mengikuti kesah dan pengalaman saya.Tapi kesah ini belum tamat lagi. Harap saudara bersabarlah membacanya untuk sampai kepada akhir perjalanan dalam pencarian saya.
    Mencari guru Tasauf yang mursyid sangatlah sukar.Ikutilah perjalanan kesah saya sehingga ke akhirnya dan di sana nanti mudah-mudahan akan mendapat kesimpulan yang hakiki dariNya.
    Buat sementara, kalau anda memiliki Ihya Ulumiddin yang asli yang menjadi rujukan utama saya - bukan Ihya yang telah disunting yang ada di pasaran - di situlah asas Tasaufnya. Pemikiran, pedoman dan pegangan hidup saya adalah pada Ihya tersebut. Imam Ghazali adalah mujadid yang menghidupkan agama yang menyelesaikan kemelut pemikiran dan tauhid pada zamannya, maka wajiblah bagi kita menjiwai kitab tersebut untuk menyelesaikan kemelut dalam kehidupaan yang cukup keliru dan bercelaru sekarang.
    Ambillah apa-apa yang baik dari blog KANZUN MAHFIYYAN dan jadikanlah sebagai asas untuk dibincang dan dimuzakarahkanlah dengan ilmuan Islam yang ikhlas dan sesuai. Semoga di Sg.Durian atau di Masjid Bukit Abal ada warisannya.
    Semoga Allah membantu dan memberi petunjuk buat saudara mencari guru hakiki dan mursyid.

    BalasPadam