17 Ogos 2009

13.
PENJAGA MAKAM PEJUANG TERBILANG.

Aku memberhentikan kereta, membuka pintu, lalu turun dari kereta. Jalan raya begitu sepi nampaknya. Sejak bertolak untuk pulang tadi, hampir tidak ada sebarang kereta melalui jalan ini kecuali sebuah dua motorsikal. Nampaknya tidak ada perumahan di kawasan ini. Hutan di sebelah kiri jalan kelihatan agak tebal berselang-seli dengan belukar dan semak-samun memenuhi kawasan sekitar.
Isteriku enggan ikut sama apabila aku mempelawanya. Dia lebih rela berada di dalam kereta sendirian berbanding merentasi tanah perkuburan untuk menurut ajakanku mencari sebuah makam seorang yang masyhur sebagai pejuang tanah air, juga sebagai seorang insan soleh yang dianugerahi keramat.Ketika itu hari telah mendekati malam. Paling lama empat puluh lima minit lagi Maghrib akan tiba.Aku menguji isteriku dengan pertanyaan:
`Tak takutkah tinggal sendirian?’
Isteriku tersenyum. Dia tidak menyatakan rasa takut tapi sebaliknya berpesan:
`Janganlah lama sangat....’
Aku tersenyum dengan pesanannya itu.Ertinya takutlah tu, tapi tak mahu mengaku.
Dia nampaknya lebih rela berada bersendirian di dalam kereta sedangkan aku lebih suka kalau dia bersamaku. Apa-apa hal pun dia sepatutnya bersamaku untuk menghadapi apa jua kemungkinan. Maklumlah di kawasan perkuburan yang sunyi dari manusia. Hari pun sudah semakin petang. Tapi aku tidaklah sampai mendesaknya kerana dalam keadaan apa pun, aku tetap yakin, dia tetap berada di dalam kawalan dan pemerhatian, walaupun aku akan berada jauh darinya nanti.Inilah keyakinanku berkat pelajaranku di Raub sejak 1970an dahulu.
Aku mengatur beberapa langkah ke hadapan dan kemudian berdiri sejenak meninjau keadaan. Kawasan perkuburan yang sunyi itu kurenung sejenak. Aku sekarang berada di penghujung di sebelah sini.Aku tidak pasti apakah aku perlu menyeberangi tanah perkuburan itu untuk sampai ke penghujung di sebelah sana kerana makam yang dicari tidak diketahui di mana lokasinya.
Sambil berjalan di kawasan yang batu-batu nesan berceracakan di sana-sini itu, tiba-tiba aku sedikit tersentak apabila seekor kucing hitam tiba-tiba muncul. Entah dari mana ia datang. Ia tiba-tiba terkejut melihatku. Ia memandangku sejurus dan kemudian lari dengan sekencang-kencangnya bagai di hambat setan, lari ke kawasan hujung tanah perkuburan di sebelah sana sehingga luput dari pandanganku.Isteriku menyaksikan fenomena itu.
Kubur yang sedang aku jejaki itu tentulah kelihatan lebih istimewa berbanding dengan yang lain, begitu detak fikirku. Tentulah dijaga dan dipelihara oleh orang-orang kampung, termasuk Persatuan Sejarah Malaysia. Maklumlah makam orang yang bersejarah.Nun di kejauhan ada beberapa kubur yang kelihatan berpagar. Aku mengesyaki tentulah kubur yang aku cari berada di sekitar di sana itu. Bila semakin hampir, aku semakin pasti.
Ada sebuah kubur yang berpagar yang batu nesannya dibalut dengan kain kuning. Ha! Tentulah yang itu, bisik hatiku kerana demikianlah satu dari isyaratnya.Tetapi sebelum kakiku melangkah ke arah tersebut, aku tiba-tiba tertarik kepada seorang lelaki tua yang sedang berada di sisi ampaian kain berhampiran sebuah pondok buruk. Aku membuat keputusan untuk terlebih dahulu mendapatkan maklumat yang lebih tepat daripada orang tua itu. Tak sangka, ada pula kalibat manusia yang duduk di tanah perkuburan! Di sebuah pondok buruk pula.

`Assalamualaikum!’, aku memberi salam. Orang tua yang sedang mengangkat kain di ampaian itu memandangku. Dia menunggu aku bersuara seterusnya.
`Saya berhajat untuk menziarahi Tok Guru Peramu.Boleh saya tahu di mana makamnya?’
Lelaki tua yang berkulit agak hitam, memakai pakaian yang begitu lusuh itu lantas menjawab.
`Itu’, sambil menunjuk dengan mulutnya ke arah sebuah kubur.`Yang batu nesannya berbalut kain kuning itu’
`Yang di dalam pagar berpintu kecil itu?’
Dia tidak menjawab tapi sebaliknya bertanya.
`Apa hajat nak berjumpa Tok Guru?’
Aku lantas menceritakan secara rengkas latar belakang kenapa aku mahu menziarahinya. Semuanya bermula pada ketika aku menjalani satu kursus di Port Dickson. Seperti selalunya, aku akan menyewa sebuah bilik di hotel lain kerana telah menjadi teradat bagiku membawa bersama isteri dan anak-anak yang pada ketika itu semuanya masih kecil-kecil belaka.
Pada suatu malam di hotel itu aku bermimpi bertemu dengan Dato Bahaman. Lalu aku bertanya kepadanya sambil merujuk kepada satu perjalananku, menempuh jalan pulang dari Tanjung Lumpur.
`Jadi betullah ketika saya lalu di perkuburan dan memberi salam, betullah kubur Tok di situ?’
`Ha! Betullah!’.
`Jadi betullah Tok ialah Dato Bahaman?’
`Ha! Betullah! Akulah itu.Akulah Tok Guru Peramu!’
Dan selepas pengakuannya itu dia mengembungkan kedua-dua belah pipinya lalu membuat muka penyet.
Sejurus kemudian wajahnya pun hilang.
Aku menceritakan kepada isteriku mengenai mimpi itu. Namun aku agak tertanya-tanya apakah benar aku telah bertemu dengan aruah Tok Guru Peramu atau nama asalnya ialah Dato Bahaman Orang Kaya Semantan? Balik dari Port Dickson aku lantas membeli sebuah risalah kecil yang telah diterbitkan pada ketika itu sempena kematian Tok Guru Peramu beberapa tahun sebelumnya. Aku mendapati gambar Tok Guru Peramu dari risalah tersebut, berbeza dengan wajah yang aku lihat di dalam mimpi. Aku sedikit keliru! Apakah mimpiku itu bukan suatu yang hakiki? Tapi tidak ada sesiapa yang boleh aku rujuk bagi memecahkan kebuntuan itu.
`Tok Guru tak ada di sini sekarang’,orang tua itu memberikan maklumat.
`Dia ke mana?’
`Dia berada di Gunung Tahan’
Aku tidaklah menghiraukan maklumat itu. Tidaklah juga aku terkejut dengan maklumat yang diberikan.Yang penting ialah aku perlu menziarahinya kerana memang telah lama menjadi hasratku, bukan oleh faktor mimpi itu sahaja, tapi lebih awal lagi memang telah ada keinginan di hatiku, untuk menziarahi makamnya kerana kemuliaan dirinya menurut berita yang pernah aku dengari. Beliau dikatakan memiliki keramat yang ramai orang menyaksikannya. Antaranya membawa air di dalam raga untuk membasuh kakinya sedangkan setitis air pun tidak menitis. Pernah orang-orang dari kawasan yang jauh ingin memohon sesuatu hajat darinya, lalu salah seorang darinya tidak diizinkan masuk ke dalam pondoknya.Bila mereka pulang, mereka membuat refleksi apakah sebabnya. Lalu dirumuskan lelaki bekenaan tidak mengangkat hadas kecil sewaktu membuang air kecil dalam perjalanan ke rumah Tok Guru Peramu tadi.
Tok Guru Peramu menjadi insan yang dikunjungi oleh ramai orang baik dari sekitar Kuantan bahkan dari tempat-tempat yang jauh untuk pelbagai hajat dan keperluan. Oleh berita-berita seperti itulah yang mendorong aku menziarahi makamnya, kerana pada waktu dia masih ada hayat, aku tidak berkesempatan oleh halangan sistem perhubungan pada zaman itu. Lagi pun pada waktu itu aku belum mengambil SPM lagi.
`Bila anak sampai ke makam Tok Guru, anak berilah salam dan nyatakanlah apa-apa hajat. Di kuburnya ada dua orang malaikat yang menjaganya.Seorang bernama Muhamad Razali dan yang seorang lagi bernama Muhamad Ramli. Mereka berdua akan menyampaikan hajat anak kepada Tok Guru’, demikian pesanan orang tua itu dan selepas itu dia meninggalkanku masuk ke dalam pondoknya.
Aku cepat-cepat melangkah menuju ke makam. Bila sampai ke pintu kecil, aku lantas memberi salam. Aku duduk bertinggung sambil menghadiahkan al Fatehah dan Qulhu sambil mendoakannya. Aku tidak ingat apakah aku ada menyatakan apa-apa hajat. Tapi itu tidak penting.Yang pentingnya ialah aku merasa puas hati kerana pada akhirnya dapat juga aku menziarahinya walaupun dia telah tidak ada lagi di dunia ini.
Kemudian aku segera pula menuju ke pondok. Aku merasa perlu untuk mendapatkan maklumat yang lebih detail mengenai Tok Guru Peramu. Aku juga sangat kepingin untuk mengenali orang tua yang nampaknya agak misteri itu.
Bila sampai di pondoknya, aku lantas memberi salam sekali lagi. Salamku dijawab dan aku dipersilakan masuk.Bila sampai di dalam pondok yang berlantaikan tanah itu, aku terus melabuhkan punggungku di atas satu tongkah kayu. Di sisiku adalah dapur kayu tungku tiga, tempat orang tua itu memasak. Ada cerek dan periuk yang hitam berarang.Ada juga beberapa biji pinggan kaca dan pinggan plastik, serta beberapa biji gelas kaca lama.
Pondok itu memang cukup kecil. Mungkin dalam sekitar 6` x 10` sahaja. Di hujung pondok terletak pangkin papan, tempat tidurnya di tepi dinding. Ada tikar mengkuang yang buruk menjadi lapik lantai, dan di atasnya terhamparlah sebuah tilam kekabu yang nampaknya cukup lusuh dan leper. Pondok itu tidak bertingkap, tapi cahaya dari luar boleh menerobos masuk melalui celahan dinding yang terbina dari papan, kulit kayu dan buluh yang dipecahkan. Atap nipah yang menjadi peneduh, nampaknya tidak dapat menjamin dari basah apabila di timpa hujan lebat.
Aku cukup terpegun melihat pondok yang teramat daif itu. Bagaimanalah orang tua ini berpenghidupan di pondok buruk setaraf sebuah bangsal kambing ini?
Dia berada di hadapan sisi kananku sekarang, sambil menghisap Gudang Garam berwarna hitam perang. Dia masih berseluar dan berbaju seperti tadi. Air mukanya susah untuk aku tafsirkan. Apakah dia gembira dengan kunjunganku? Apakah dia tidak senang atau bagaimana, aku tidak pasti. Yang jelas, roman mukanya penuh mistri.Apa pun aku berazam untuk mencungkil sesuatu darinya.
`Saya adalah orang suruhan Tok Guru’, dia memberikan maklumat apabila aku bertanya mengenainya.`Apa saja yang Tok Guru suruh, saya akan lakukan.Bila Tok Guru pergi ke mana-mana, sayalah yang disuruh menjaga rumahnya’.
`Ada Pak Cik mengambil apa-apa ilmu dari Tok Guru?’, aku ingin menyelongkar rahsia di dalam dadanya.
`Adalah sedikit-sedikit’, dia bernada rendah diri.
`Ilmu apa?’
`Adalah sedikit-sedikit ilmu mengenai ketuhanan dan mengenal diri’
`Ilmu-ilmu lain?’
`Ilmu apa?’
`Ilmu peperangan, misalnya’
Dia menggeleng-geleng.
`Orang-orang yang menemui Tok Guru, adakah mereka mengambil apa-apa ilmu mengenai ketuhanan dan mengenal diri?’
Dia menggeleng-geleng juga, tapi dalam gelengan itu dia menjawab.
`Mereka datang untuk mendapatkan hajat dunia. Nak lulus periksa, nak naik pangkat... supaya orang kasih, nak berubat dan macam-macam lagi. Kalau ilmu pula, selalunya ilmu nak dapat rezeki murah, dapat banyak ikan, ilmu pelaris...’
Aku memang tidaklah terkejut dengan minat orang ramai. Pada zaman memuja kebendan dan kemewahan ini, manusia pada umumnya berselera kepada urusan keduniaan. Tak ramai yang berminat untuk mencari dan memahami ilmu mengenai Allah Taala. Bagaimana mahu mendekati Allah Taala. Bagaimana mahu mendapat cintaNya dan bagaimana jalan kembali kepadaNya.
Melihat kehidupan Pak Cik yang serba daif itu, aku menukar tajuk perbualan pula.
`Pak Cik kerja apa?’, orang tua yang berusia sekitar akhir enam puluhan itu – berdasarkan roman wajahnya, menggeleng-geleng.
`Jadi, bagaimana soal makan-minum Pak Cik?’
`Kadang-kadang ada orang bagi beras, bagi gula, kopi, ikan...’
`Pak Cik memasak sendiri?’, dia mengangguk. Sambil itu dia mengepul-ngepulkan asap rokoknya. Menjadi sesaklah udara sekarang hasil dari gumpalan asap rokoknya.
`Tapi jarang-jarang’, dia bernada perlahan. `Selalunya bila Pak Cik lapar, Pak Cik pergilah ke mana-mana restauran.
Pak Cik makanlah apa-apa sahaja yang Pak Cik mahu. Udang, ketam, ayam....dan apa-apa sahaja’
`Pak Cik ada duit nak bayar?’, dia menggeleng-geleng
`Habis! Siapa yang bayar?’
`Ku Tok Ki’
`Ku Tok Ki? Siapa Ku Tok Ki?’
`Dia orang baik. Dia orang kaya, tinggal di rumah batu warna hitam’
`Dia tinggal di mana?’
`Jalan ke Teluk Cempedak’
Aku tercengang. Jalan dari mana? Tergerak pula di hati u untuk mengetahui mengenai Ku Tok Ki. Tapi untuk mendapatkan maklumat mengenai misteri Ku Tok Ki selanjutnya, mungkin memakan masa. Hari pun telah semakin petang sehingga cuaca di dalam rumah telah bertambah gelap. Pak Cik pun nampaknya macam mahu terus-menerus berada di dalam gelap. Aku pun tidak pasti dimana pelitanya. Letrik memang sudah tentu tiada. Aku bertekad untuk mendapatkan maklumat mengenai Ku Tok Ki, dari Tok Penghulu Maliki sahaja.
Lalu aku cuba pula menghimbau kenangan Pak Cik bersama Dato Bahaman, kalau-kalau ada maklumat mengenai kehebatan perang Dato Bahaman melawan penjajah orang putih pada akhir kurun ke 19 dahulu.Manalah tahu kalau-kalau Pak Cik yang berpengalaman hidup bersama Tok Guru Peramu ini memiliki koleksi pengalaman perang pahlawan terbilang itu. Bila kesah itu aku buka, Pak Cik pun bersuara dengan suara yang tiba-tiba tinggi nadanya.
`Pergi jahanam...! Pergi jahanam orang putih...!’.
`Ada Tok Guru ceritakan kesah di Lubuk Terua?’
`Pergi jahanam...! Pergi jahanam semua orang...!’, itulah kalimat yang diulang-ulang beberapa kali oleh Pak Cik. Soalan-soalanku tidak dipedulikannya samasekali.
Menyedari Pak Cik sudah jemu berinteraksi denganku, aku tanpa meminta izin darinya terus meninggalkannya yang masih dengan seruan entah kepada siapa-siapa:
`Pergi jahanam....! Pergi jahanam....! Pergi jahanam semua orang....! Pergi jahanam orang putih...!’
Bila aku berada di luar pondok, aku mendapati keretaku tiba-tiba telah berada berhampiran dengan ampaian kain tempat Pak Cik mengangkat kainnya tadi. Aku terkejut. Cepat-cepat aku melangkah. Aku sedikit risau.Isteriku berada di tempat pemandu.
`Terkejut dengan bunyi berdentam tadi’, dia memberi jawapan bila aku begitu keliru mengenai dirinya.
`Bunyi berdentam?’
`Bagai ada benda besar yang jatuh.’, dia menyampaikan khabar yang mencemaskan.Aku terdiam.
`Tak dengar?’, isteriku menyembunyikan rasa cemasnya dalam senyumannya yang hambar.
Aku ada mendengar bunyi itu.Bunyi berdentam, sejurus sebelum Pak Cik bertukar watak menjadi aneh sebentar tadi.
Aku lalu masuk ke dalam kereta. Cahaya siang telah pun berakhir sebenarnya.Aku terpaksa menyalakan lampu kecil meninggalkan tanah perkuburan yang telah mulai diselimuti wajah malam itu.

1 ulasan:

  1. Saya sangat tertarik membaca kisah ini. Masih ada sambungan lagi kah?

    BalasPadam