12 Ogos 2009

(12)
KHAZANAH PURBA PEMBERIAN WALI

Tanpa terduga aku mendapat peluang yang tidak dijangka. Aku dapat pergi ke rumah Tok Penghulu Malim lagi. Ini secara kebetulan saja.Bila aku pulang dari bandar aku sengaja melalui lorong ke rumah Tok Penghulu Malim dan mendapati kereta Subaru warna oren ada di dalam porch. Tergerak di hatiku untuk singgah sebentar. Dan sesungguhnya memang ketibaanku dialu-alukannya. Tok Penghulu Malim ada cerita baru untukku.Cerita dari Tanah Merah, Kelantan.
Dia pulang dari Tanah Merah pada malam tadi. Dia memberitahuku memang telah menjadi kelaziman baginya sejak sekian lama berulang-alek ke Tanah Merah, Kelantan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.Ada ketikanya dua kali dan ada pula waktu-waktunya setiap hujung minggu. Dia berulang ke sana bersama adik iparnya samada dengan menaiki Cheroeke atau BMW720i milik adik iparnya. Adik iparnya, Arbab, adalah seorang yang senang-lenang, berpendapatan melebihi RM30,000 sebulan kerana bekerja dengan sebuah syarikat komputer Amerika di ibu negara.
Aku belum lagi pernah mendengar nama Tok Ayah Sohor. Inilah pertama kali nama itu disebutkan kepadaku.Tok Ayah Sohor adalah guru kepada Tok Penghulu Malim. Apabila guru pertama Tok Penghulu Malim iaitu Tok Ayah Tan meninggal dunia, dia diperkenalkan pula oleh rakannya, Pak Nik, kepada Tok Ayah Sohor. Pak Nik menjadi kawan akrab kepada Tok Penghulu Malim kerana kehebatan perubatannya. Tok Ayah Sohorlah yang memperturunkan ilmu perubatan sehingga Pak Nik berkebolehan memerintah jin untuk maksud perubatan.Tok Ayah Sohor memiliki berbagai-bagai bidang ilmu untuk menjadikan anak-anak muridnya hebat dan terkenal samada sebagai seorang yang alim, seorang bomoh pelbagai bidang perubatan, seorang tok bidan, tukang urut, guru silat dan sebagainya.
`Tok Ayah Sohor memberitahu saya, tak lama lagi negara kita akan mengalami perubahan besar...’, Tok Penghulu Malim memulakan bicara.
Aku tiba-tiba menjadi seronok dengan berita itu. Berita besar. Berita yang memang sejak sekian lama aku nanti-nantikan, untuk satu perubahan ke arah yang lebih baik iaitu terbentuknya sebuah negara yang menjalankan sistem Allah dan RasulNya – Negara Islam BALDATUN THOIYYIBATUN Warabbun Ghafuur. Inilah impianku sejak aku memahami politik Islam. Perasaan ingin tahuku menjadi begitu berkobar-kobar. Memanglah Tok Penghulu Malim sesungguhnya sentiasa menjadi pakar motivasi dan mentor yang berkesan buatku.
Padanya sentiasa terkumpul serba maklumat yang terbaru, aneh dan mempersonakan.
`Akan berlaku perubahan kepada kedudukan Raja-Raja Melayu’, tambahnya lagi.
`Ha?’, aku begitu terkejut lalu menjadi kian tertarik.

`Ada apa dengan Raja-Raja Melayu?’, aku menggali misteri.
`Tempoh tujuh keturunan telah tamat’, Tok Penghulu Malim mula menerangkan.`Raja-Raja Melayu ini rupa-rupanya sesama keturunan mereka ada perjanjian. Dan bila tamat tempoh, raja-raja Melayu yang sedia ada akan turun untuk memberi giliran kepada keturunan yang lain pula’, dia meneruskan penerangan.
`Mahukah mereka turun dari takhta, Abang Malim?’, aku sedikit ragu dengan maklumat itu.Tidak pernah terdengar pula ada kompromi sedemikian di kalangan mereka.Entahlah.Mungkin aku yang ketinggalan maklumat sejarah.
`Ha! Inilah rahsianya!’
`Tapi semua sultan-sultankah, Abang Malim?’
`Taklah semua’
Aku memang tahu serba-sedikit mengenai sejarah raja-raja di Tanah Melayu. Ada beberapa negeri dikatakan dirajai bukan oleh keturunan yang sah kerana faktor campur tangan penjajah Inggeris. Keturunan yang menentang Inggeris atau enggan bekerjasama telah tersingkir dan mereka akhirnya berkelana sebagai rakyat biasa. Untuk menyelamatkan diri dari dikesan mereka menyamar nama rakyat biasa. Mereka menghilangkan gelaran Tuanku dan Tengku, lalu gelaran Tuanku jadi Tuan atau Wan sahaja. Raja-Raja Melayu adalah titisan Ahlul Bait, lalu mereka yang tersingkir ini menghilangkan gelaran yang berbau Arab. Dan bila sampai pada akhir abad ke 20, di kalangan cucu-cicit ramai yang tidak tahu bahawa mereka adalah dari keturunan raja-raja Melayu yang suatu masa dahulu berada di istana. Jurai titisan bahagian atas selalunya berakhir pada peringkat tok aki sahaja atau paling jauh peringkat moyang. Lepas itu entah siapa-siapa.
`Tok Ayah kata negeri-negeri yang tak ada raja pun akan dirajakan kembali’
`Maksud Abang Malim, Melaka dan Pulau Pinang juga?’
`Ya!’
`Sabah dan Sarawak?’
`Rasanya terlibat juga’
Maklumat yang diberikan oleh Tok Penghulu Malim ini bagaikan amat berkaitan dengan maklumat yang aku terima di Raub dahulu dengan satu kenyataan:
`Kita akan rampas balik bumi Melayu itu. Itu bumi Islam’, kenyataan ini merujuk kepada Pulau Singapura yang telah dilepaskan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama kepada Lee Kuan Yew, akibat tidak tahan dengan tekanan Cina, sehingga Singapura kemudiannya menjadi Yahudi di tengah-tengah Kepulauan Melayu. Barangkali peristiwa merampas kembali Singapura akan berjalan serentak dengan penyusunan semula struktur Kesultanan Melayu?
Tok Penghulu Malim menerangkan bahawa Tok Ayah Sohor akan melantik anak-anak muridnya untuk menjalankan tugas-tugas tertentu dan bersempena dengan itu, khazanah-khazanah purba akan dikeluarkan dan akan diserahkan kepada waris yang berhak. Tok Penghulu Malim memberitahu, dia walaupun ada titisan darah raja, tapi bukanlah dari titisan yang kuat.Walaupun demikian dia akan diberi peranan sebagai tokoh pencetus atau penggerak kebangkitan. Ertinya, bila sampai masanya, dia akan menjalankan tugas menabalkan raja-raja baru bagi negeri-negeri tertentu di Tanah Melayu. Demikian penjelasan Tok Ayah Sohor mengenai tanggungjawab masa depannya mengenai kebangkitan Melayu.
Tok Penghulu Malim naik sebentar ke tingkat atas untuk mengambil sesuatu. Sejurus kemudian dia turun semula dan meletakkan tiga bungkusan yang dibalut dengan kain kuning.Setelah menyalakan Salem dia pun berkata.
`Ini keris perlantikan saya sebagai tanda serahan tugas dan kuasa’, Tok Penghulu Malim lantas membuka benda yang dibalut dengan kain kuning. Bila balutan selesai dibuka terlihatlah sebilah keris di dalam sarungnya yang cantik berkilat kekuningan. Tok Penghulu Malim lantas menghunusnya.
`Cantiknya!’, aku bagaikan terpekik melihat keris yang bersadur keemasan di kedua-dua belah matanya. Keris yang sangat cantik itu, yang tersimpan dalam sarungnya yang cantik, berpindah tangan.Aku bukanlah pakar keris. Jadi tidaklah dapat aku menafsirkan apa-apa walaupun aku sedang menelitinya. Aku memang begitu terpegun melihat sebilah keris yang tersangat cantik berlok sebelas itu. Tok Penghulu Malim lalu memberi maklumat rengkas mengenai keris yang menjadi simbul pembuka kuasa Melayu itu.
`Bila keris ini dizahirkan, bermakna akan bermulalah suatu zaman baru’, Tok Penghulu Malim bersuara sebaik saja keris kembali ke tangannya.
`Ayah mengatakan akan ada banyak lagi khazanah-khazanah silam akan dizahirkan. Misalnya keris pertabalan, keris kebesaran, keris daulat, senjata peperangan milik pahlawan-pahlawan silam, artifek perubatan dan sebagainya’
`Dia nak serahkan kepada siapa?’
`Waris yang berhak!’
`Siapa?’
`Anak-anak muridnya bertaburan di seluruh negara. Anak-anak muridnyalah yang akan menggalas amanahnya’.
`Adakah semua anak-anak muridnya adalah pewaris khazanah silam?’
`Harus!’
Aku tiba-tiba jadi cemburu dengan berita itu. Rupa-rupanya murid Tok Ayah Sohor adalah orang-orang pilihan yang ada bertaburan di serata pelusuk tanah air. Dan Tok Penghulu Malim sudah tentu menjadi orang yang sangat penting bagi era yang bakal tiba. Baharulah aku tahu, rupa-rupanya Tok Penghulu Malim adalah orang yang sangat penting bagi era peralihan kuasa dan kebangkitan Melayu.Begitulah kesimpulanku. Jadi siapa Tok Ayah Sohor? Aku tertanya-tanya.
`Ini keris besi kuning’, Tok Penghulu Malim bersuara lagi sebaik bungkusan kedua dibuka. Bila sudah dibuka, dia menyerahkan sesuatu persis sebatang pen ke tanganku. Memang! Bentuknya adalah seperti sebatang pen yang boleh disangkut di poket baju. Pada batangnya terukir lorekan-lorekan bagaikan ayat-ayat al Quran.
`Boleh buka?’, aku meminta izin kerana memang pen itu boleh ditarik tudungnya.
`Boleh’
Bila keizinan diberi aku lantas menarik tudungnya. Menerpalah ke hidungku satu bauan persis wangian atar.Harum! Pen itu rupa-rupanya terdiri dari dua bilah keris kecil di pangkal dan di hujungnya.Bila ditutup dan dirapatkan, ia berupa sebatang pen.
`Apa gunanya?’
Tok Penghulu Malim tersenyum.
`Tak tahu kelebihan besi kuning?’
Aku menggeleng-geleng.Tok Penghulu Malim lantas menerangkan bahawa besi kuning mempunyai kehebatan luar biasa kerana merupakan raja besi. Orang yang mahir dalam ilmu kebatinan dan persilatan sangat arif mengenai kehebatan besi kuning.Memilikinya bagaikan menguasai seluruh kekuatan besi. Sementara keris kecil itu perlu dibawa bila berlaku peperangan. Ikatkan di atas kepala. Rangkumkanlah isteri dan anak-anak di kiri dan kanan, lalu melintaslah di hadapan musuh, nescaya semuanya akan selamat kerana akan luput dari pandangan musuh. Selain itu tidak akan terkena peluru atau sebarang senjata musuh. Keris besi kuning itu juga boleh digunakan untuk membunuh musuh melalui serangan jarak jauh.
`Boleh bantu orang juga. Boleh selamatkan 20 atau 40 orang. Ikut martabat kitalah. Keris ini sesuai untuk saya. Boleh membawa seramai 40 orang iaitu 20 di kanan dan 20 di kiri’
`Bagaimana caranya?’
`Pegang tangan secara berantaian. Semuanya akan lepas dari kepungan musuh’
Aku cukup terpegun dan sedikit cemburu dengan keistimewaan yang dianugerahkan oleh Tok Ayah Sohor kepada Tok Penghulu Malim itu.
`Awak pun patut pergi berjumpa Tok Ayah Sohor. Mana tahu rezeki awak boleh mendapat besi kuning seperti ini. Kalau jumpa Tok Ayah Sohor, kalau nasib awak baik, awak akan dikurniakan ilmu. Kalau tak dapat banyak pun tak apa. Dapat ilmu melihat dari dekat sesuatu benda yang jauh, pun sudah cukup bagus’
Begitulah amanat dari orang yang sangat aku hormati itu. Patutlah selama ini Tok Penghulu Malim memiliki berbagai-bagai kebolehan. Sewaktu perbualan-perbualan sebelum ini, aku memang terpesona kepadanya yang boleh menceritakan sesuatu yang tidak wujud dalam pandangan mata. Dia boleh bercerita dengan jelas mengenai sesuatu yang berada di tempat yang jauh.Misalnya Kota London, Sungai Thames, dan lain-lain dapat dilihatnya walhal dia belum pernah ke sana. Rupa-rupanya dengan ilmu, sesuatu yang jauh jaraknya, boleh didekatkan untuk berada dalam jangkauan mata. Begitu juga hal-hal mengenai manusia.Sesuatu maklumat yang kabur mengenai manusia akan menjadi jelas dengan singkapan ilmu.
Kemudian Tok Penghulu Malim membuka satu lagi bungkusan.Bungkusan itu kecil sahaja. Bila terbuka kelihatanlah biji-biji permata delima yang cantik yang sinarnya bagaikan air meleleh.
`Untuk apa?’, aku bertanya
`Harta!’, dia tersenyum. Aku tidak cukup mengerti maksudnya.
`Nilainya akan semakin meningkat. Semakin lama disimpan akan semakin mahal nilainya. Dan boleh dijual kalau memerlukan wang. Nak buat hiasan untuk anak dan isteri pun boleh. Buat permata cincin, loket dan sebagainya. Ada rahsia tersendiri untuk pemakainya’.
Aku merenung biji-biji permata delima yang berkilauan itu satu persatu.
`Kalau kita bertuah, akan dapat sepasang permata jantan dan betina. Yang betina cahayanya akan memenuhi seluruh gelas apabila direndam di alam air. Itulah delima yang bertuah’
`Apa gunanya?’
`Awak tak tahu?’, Tok Penghulu Malim bagaikan terkejut. Aku menggeleng-geleng.
`Itulah yang orang cari. Teramat besar gunanya. Boleh buat ibu duit’
Aku tekebil-kebil. Boleh buat ibu duit? Ertinya sesiapa yang bertuah akan mendapat ibu delima dan dengan itu boleh menjadi seorang yang kaya-raya.
`Semuanya ini adakah Tok Ayah Sohor berikan secara percuma?’
`O..Tidak!’
`Jadi?’
`Kenalah bayar dam sedikit. Upah untuk orang ghaib yang mengeluarkannya dari alam ghaib ke alam nyata’
Aku lantas mengambil sebiji delima.
`Ha! Yang awak ambil itulah ibunya’
`Oooo’, dan aku cuba menganalisis keistimewaannya berbanding dengan biji-biji delima yang lain-lain. Tapi tak ada apa-apa yang boleh aku analisiskan. Aku memang jahil mengenai permata. Tadi mengenai keris, aku juga jahil.
`Yang ini berapa damnya?’
`Seratus’
`Oooo’, dan aku terkejut dengan damnya, dan terasa malu juga kerana jahil pula mengenai harganya.
`Jadi kalau lima biji ertinya lima ratus?’
Tok Penghulu Malim mengangguk
`Besi kuning berapa damnya?’
`Ayah tak letak. Saya bagi seratus’
`Keris?’
`Keris mahal!’
`Mahal?’
Tok Penghulu Malim sekadar tersenyum.
`Saya tak bawa duit banyak, sebab tak jangka’, Tok Penghulu Malim menerangkan.`Saya memang tak tahu apa-apa. Tiba-tiba sahaja pada minggu lepas Tok Ayah Sohor suruh datang. Ada hal penting katanya. Saya telefon Arbab memberitahunya, Tok Ayah Sohor suruh pergi ke Tanah Merah. Bila sampai ke sana barulah Ayah beritahu maksud dia panggil saya. Mulanya saya tak mahu bawa balik lagi keris itu sebab belum bayar dam. Tapi Ayah kata orang ghaib izinkan bawa balik dulu dan diberi tempoh satu minggu untuk menyelesaikan damnya’.
`Jadi maksudnya, Abang Malim kenalah pergi semula minggu depan?’
`Tentulah! Dan ada keris lain pula. Keris tubuh negeri...’
`Oooo’, dan aku dapat melihat Tok Penghulu Malim sangat seronok dengan tugasnya itu.

`Keris simbol pembuka kuasa ini berapa damnya?’, aku meneruskan perasaan ingin tahu.
`Cuba awak teka! Awak agak berapa?’
Aku tak ada sebarang asas untuk meletakkan nilai damnya. Tapi spontan aku mengagak.
`Dua ratus’
`Dua ratus?’, suara Tok Penghulu Malim mendengus.`Kalau dua ratus awak tak layaklah...’, dan Tok Penghulu Malim meledakkan ketawanya.

Aku menjadi sedikit malu dengan kata-kata dan ketawanya itu. Kemudian Tok Penghulu Malim lalu berkata:
`Dua ribu!’
`Dua ribu?’, aku amat terkejut. Memang amat terkejut.

`Masyaallah....’, aku bagaikan merungut.

Tapi Tok Penghulu Malim mengatakan itu tidak menjadi masalah kepadanya kerana Arbab sanggup membiayainya. Dia sendiri memang tidak mampu kerana gajinya tidaklah seberapa, tapi adik iparnya itu bersedia demi kebangkitan satu era baru – era kebangkitan Melayu - di mana kedua-dua mereka bakal memainkan peranan yang teramat penting.

3 ulasan:

  1. wah.... kuasa yg mengalah kan nabi muhammad??!!! baginda sendiri luka,patah gigi bila diserang musuh islam... xde kebal@gahib... tok guru anda mmg hebat... klu leh buat ibu duit,bg kat sy la sikit... nk jgk kaya raya.... hahaha

    BalasPadam
  2. Aku berkata.......Sedarlah Umat Nabi Muhammad SAW...18 September 2011 pada 1:52 PG

    Aku berkata....
    Kembalilah ke jalan yang lurus.....
    Jangan menyimpang jauh dari ajaranNya....
    Nak Belajar agama mesti ada asas fardu ain....
    Tak ada kulit(asas fardu ain) maka rosak lah isinya.....Jangan hanya merujuk pada seorang yang sama gurunya untuk mendapat kepastian apa ynag dipelajari...Cuba rujuk beberapa org guru yang berbeza susur galur ajarannya...Kalau betul ajarannya maka jawapan dari beberapa org guru itu mesti adalah sama.....Jika lain cuba siasat apa yang salah...Jangan terus menerima sahaja...Gunakan OTAK (akal) yang Allah SWT telah berikan itu untuk berfikir......

    BalasPadam
  3. Sedarlah umat Islam....18 September 2011 pada 2:02 PG

    Bergantunglah kepada Allah SWT dgn doa dan ikhtiar (usaha) bukan dengan mempercayai azimat2@wafak@ tangkal....Itu dikira seperti menyekutukan Allah SWT...... Jika mahu hidup senang ..maka berusaha keras bekerja (kerja yang halal)ke jalan Allah....bukan dengan mempercayai benda2 seperti keris, kulit2 binatang, syiling purba untuk menjadikan kita hidup senang tanpa berusaha gigih.....COntohilah kehidupan dan Sunnah Nabi Muhammad SAW......

    BalasPadam