10 Ogos 2009

11.
TUAN GURU HAJI SAUDI PENIPU BESAR

Tanpa diduga Cikgu Zan bersama isterinya mahu mengunjungiku. Selepas selesai suatu keperluannya dengan Tok Penghulu Malim, dia menghubungiku untuk simbang-simbang ilmu. Aku tentulah teramat gembira dengan kunjungan pertamanya ke rumahku kerana sudah tentu akan mendapat tambahan ilmu, akan memperoleh kefahaman yang lebih tinggi mengenai agama dan keyakinan yang lebih mendalam dalam pegangan hidup. Apatah lagi Cikgu Zan adalah martabat guru. Guru Mursyid. Guru Tarekat Muhammadiah.
Dalam beberapa pertemuan di rumah Cikgu Zan sebelum ini, dia selalu
memberikan informasi mengenai Ayah La. Dia melonjakkan Ayah La sebagai satu-satunya insan bertaraf tinggi selepas Tok Penghulu Malim. Dia selalu menggambarkan betapa akrabnya hubungan dirinya dengan Ayah La dan mengharapkan supaya aku juga mengikuti jejaknya. Ayah La juga meletakkan harapan yang tinggi, supaya aku juga menjadi murid yang mencapai darjat seperti Cikgu Zan.
Dalam menuntut jalan ketuhanan, bukan senang untuk mendapatkan anak-anak murid yang sehaluan dengan isteri, dan kemudiannya diikuti pula oleh anak-anak. Demikian penjelasan Cikgu Zan. Kebanyakan anak-anak muridnya, si suami sahajalah yang sanggup menerima amalan zikir sedangkan si isteri tidak mahu.
Yang lebih malang lagi, ada pula si isteri yang menentang amalan suaminya. Bila ini berlaku, ianya adalah cabaran yang begitu besar buat si suami kerana kalau tidak ditangani dengan bijaksana, acapkali akan membawa sengketa kepada rumah tangga.
Cikgu Zan ada memberitahuku sebelum ini, bahawa pada tahap sekarang tugasnya adalah menyelongkar seberapa ramai pengamal Tasauf di seluruh pelusuk tanah air. Kunjungannya kepada mereka bukanlah untuk maksud menambah ilmu kerana semua ilmu-ilmu ketuhanan dan dunia - bagaikan ada pada Ayah La, dan lambat-laun akan diturunkan semuanya kepada Cikgu Zan. Kunjungan Cikgu Zan kepada mereka hanyalah sekadar menziarahi, berkenal-kenalan, dan menimba pengalaman hidup insan-insan mulia berkenaan. Tapi kalau Cikgu Zan hendak dianugerahi ilmu oleh mereka tidaklah pula menjadi halangan.Boleh saja Cikgu Zan menerima dan mengamalkannya.
Semua nama ahli-ahli Tasauf berkenaan diberikan oleh Ayah La kepada Cikgu Zan.
Anehnya, Ayah La sendiri pun tidak pernah bertemu dengan mereka. Bagaimana Ayah La tahu mengenai mereka, Cikgu Zan pun hairan. Ayah La sekadar memberikan informasi dan garis panduan seperti berikut:
`Kalau mahu berjumpa dengan orang yang tugasnya menjaga Gunung Senyum, pergilah ke tempat sekian-sekian...Kalau mahu berjumpa dengan orang yang....carilah orang yang tinggal di hujung bukit sekian-sekian, di tempat sekian-sekian...namanya sekian-sekian...Orang di situ memanggilnya sekian-sekian...Kalau mahu berjumpa dengan ketua wali, kerana dialah yang mengurus dan menjaga....pergilah ke sekian-sekian....’, demikianlah Ayah La memberikan kata kunci.
Seolah-olah Ayah La bagaikan menyimpan senarai nama-nama pengamal Tasauf.
Siap dengan nama dan gelarannya sekali. Siap dengan lokasi tempat tinggalnya. Siap dengan tugas-tugasnya. Kadang-kadang taraf keilmuan dan martabat juga diberikan.
Tugas Cikgu Han ialah cuba mencari individu-individu berkenaan dan berkenalanlah dengan mereka. Timbalah sebanyak-banyaknya munafaat melalui pertemuan tersebut, kerana orang-orang tersebut ada menyimpan kesah-kesah kelainan dan tersendiri masing-masing yang tidak diketahui oleh masyarakat ramai. Orang ramai tidak tahu keistimewaan orang-orang berkenaan, kerana mereka kelihatan sama sahaja seperti orang-orang biasa, hidup sebagaimana orang-orang biasa - sebagai tukang rumah, tukang urut, penoreh getah, pengamal perubatan tradisional, bidan dan sebagainya. Mereka ini selalunya merahsiakan ilmu, kecuali kepada sesama ahli atau kepada orang-orang yang bijak mencungkilnya. Apabila mereka membuka rahsia ilmu dan mendidik anak-anak murid – seperti yang dibuat oleh Ayah La, maka terkenallah mereka di kalangan orang ramai dan bila sampai ke Jabatan Agama Islam, mereka akan dianggap sebagai pengamal ajaran sesat! Demikianlah juga seperti yang telah terjadi kepada Tok Penghulu Malim di Kampung Lenggur disesatkan oleh Haji Abdul Hatif.Bahkan Ayah La sendiri dikenali di Bukit Tempayan sebagai pengamal ajaran sesat. Begitulah juga Ayah Wan Hassan di Pulau Lalang.Dan bahkan begitulah juga Tok Lan Wali.Mereka diaggap sebagai pengamal ajaran sesat.
Sepanjang pengalaman Cikgu Zan mencari orang-orang sedemikian, ada orang-orang yang mudah dicari. Bila pergi ke lokasinya, kadang-kadang tak perlu banyak bertanya, orang terus sahaja mengenalinya. Tetapi kadang-kala, ada pula yang teramat susah untuk ditemui, terutamanya bila nama yang Ayah La berikan tidak dikenali oleh orang-orang kampung berkenaan. Ada ketikanya pula orang-orang berkenaan dikenali dengan nama yang berlainan pula. Kadang-kadang berlaku pula keadaan di mana tidak ada pula nama-nama demikian di tempat-tempat berkenaan.
Bila berlaku begitu, timbullah pertanyaan-pertanyaan di hati Cikgu Zan. Timbullah rasa syak dan wasangka. Betulkah ada orang yang mahu dicari? Betulkah ada orang tersebut di sini? Apapun bagi Cikgu Zan, segala susah-payah, letih dan acapkali juga tersesat, semuanya itu ada rahsianya tersendiri yang berupa latihan kepada kerohaniannya.
`Bila mengamalkan zikir ini, biasanya beroleh berkat’, Cikgu Zan bagaikan memperteguhkan lagi keyakinanku supaya bertambah istiqamah di dalam zikir.
`Dengan mengamalkan zikir, rumah insyaallah terpelihara. Orang-orang jahat seperti pencuri tidak akan dapat memasuki rumah orang yang berzikir. Syaitan juga tidak berani masuk ke dalam rumah dan tak boleh mengganggu kita dengan mudah’
`Rezeki pun murah’, isterinya menyampuk.
Aku mendengar dengan begitu seronok maklumat-maklumat berkenaan. Cikgu Zan memang memberikan perhatian istimewa kepada aku dan isteriku berbanding dengan anak-anak muridnya yang lain kerana kamilah merupakan satu-satunya anak muridnya yang dapat menghabiskan zikir nafi isbat sejumlah 70,000 kali dalam tempoh yang diberikan.
Belum ada lagi anak-anak muridnya yang dapat melakukan demikian. Aku tidak pasti apakah ada apa-apa keistimewaannya.
`Azin, adik akak’, isteri Cikgu Zan memberikan maklumat selanjutnya.`Dia adalah seorang kontraktor Kelas F. Dulu, payah sangat nak dapat projek. Selepas menerima zikir, mencurah-curah datang projek. Sampai tak menang tangan’.
Lalu mereka berdua silih berganti memberikan informasi mengenai Azin. Azin kini menurut mereka telah hidup senang-lenang. Dapat membeli rumah baru yang diubahsuai untuk nampak lebih anggun dan mewah.Memiliki beberapa buah kereta termasuk sebuah Mercedes baru. Dari sudut kerohanian dan Tasauf, Azin juga berjaya. Azin adalah di antara anak didik yang menjadi kebanggaan Ayah La kerana mencapai kejayaan zahir dan batin. Azinlah contoh.Demikian kata Ayah La.
Aku bersama isteri belum lagi mengenali Azin. Di hatiku memang teringin untuk mengenali orang yang telah begitu maju dalam bidang kerohanian itu.
`Orang-orang di Bukit Tempayan menuduh Ayah La mengamalkan ajaran sesat’, aku pula berkata. Aku ingin merungkai satu tandatanya.`Mereka bagaikan menyisihkan Ayah La.Jadi bagaimana Ayah La berhadapan dengan masyarakat sedemikian?’.
`Ayah dah biasa....’, isteri Cikgu Zan menjawab dengan pantas.` Dia buat tak tau ajelah...Orang tegur dia jawab.Orang tak tegur, orang buat tak peduli...dia buat tak kesah aje’.
Aku tak dapat menggambarkan betapa kuatnya jiwa Ayah La bersama keluarganya hidup dalam sebuah masyarakat yang bagaikan memulaunya. Ayah La tidak memiliki anak murid yang ramai sebagaimana Ayah Wan Hassan di Pulau Lalang kerana dia tidak memimpin amalan tarekat. Ayah Wan Hassan walaupun tersisih dari masyarakat, tetapi dia dikelilingi oleh anak-anak muridnya yang sentiasa berkunjung. Lebih-lebih lagilah pada waktu suluk, suasana di rumah Ayah Wan Hasan menjadi meriah dalam suasana ibadah. Pendek kata, Ayah Wan Hassan samasekali tidak rasa tersisih.
`Tapi pada suatu ketika, ada Tuhan nak tunjuk kepada orang-orang di Bukit Tempayan’, Cikgu Zan pula berkata. Mataku bertumpu sepenuhnya kepada Cikgu Zan kerana tentunya dia akan menceritakan satu kesah yang menarik.
`Ketika kenduri kahwin Pizah, anak sulung ayah. Orang di situ semuanya terkejut’.
`Kenapa?’, aku bagaikan tidak sabar.
`Kereta besar-besar datang!’, isteri Cikgu Zan pula yang menjawab pertanyaanku.
`Entah siapa! Entah dari mana! Ayah pun tak kenal! Banyak kereta besar-besar yang datang. Barulah orang-orang di Bukit Tempayan sedar, rupa-rupanya Ayah memiliki ramai kaum-keluarga yang kaya-raya’
`Tapi hairan ya, bang!’, isteri Cikgu Zan mencelah.`Entah siapa-siapa! Bila tanya Ayah, Ayah sendiri pun tak kenal’
`Zan sendiri ada di sana pada masa itu?’, aku membahasakan guruku itu dengan Zan sahaja kerana dia muda setahun dariku.
`Ah! Kita orang memang berkampung di situ – sejak dari hari pertama sampai siap. Kamilah yang bertungkus-lumus’, isterinya menjawab.
Isteriku tiba-tiba muncul sambil menatang sedulang minuman petang. Ada sepiring goreng pisang sematu abu nampaknya. Pisang sematu abu yang aku tanam di tepi pagar rumah. Walaupun rumahku adalah rumah teres, tapi terletak di hujung deretan bangunan. Jadi adalah sedikit ruang yang agak selesa untuk bertanam sementara menunggu rumah diubahsuai.
`Tapi yang kita orang hairannya....’, isteri Cikgu Zan berkata seterusnya sebaik sahaja isteriku selesai meletakkan dulang minuman dan menuangkan air ke dalam cawan.
`Mereka tak dapat bersama...’
`Siapa?’
`Pizah dengan suaminyalah...’
`Maksudnya?’, aku jadi bodoh dengan maklumat itu.
Isteri Cikgu Zan tergelak. Cikgu Zan juga.
`Tak dapat bersama?’, aku bertanya.
`Kenapa?’, aku bertalu-talu bertanya mohon penjelasan mengenai maklumat itu. Tidak dapat bersama mempunyai erti yang luas. Jadi aku tetap keliru.
Isteriku yang baru mengikuti kesah itu nampak agak terpinga-pinga. Tapi tak pula dia bertanya. Aku menanti penjelasan selanjutnya.
`Rupa-rupanya Che Din’, Cikgu Zan mula mahu melengkapkan maklumat yang baru dibuka oleh isterinya.`Orang dari darjat yang rendah tak boleh berbuat apa-apa kepada orang dari darjat yang lebih tinggi’.
`Maksud Zan?’
`Mereka tidur saja-sajalah....dan tak buat apa-apa’, dan Cikgu Zan tergelak.
Aku sedikit keliru.Isteriku nampak keliru juga. Kami agak kaget dengan berita itu. Tapi kami tidak berkata apa-apa.Tidak juga bertanya. Namun kami berdua memang kurang faham.
`Anak Ayah La – maklumlah anak Ayah’, isteri Cikgu Zan bersuara lagi dengan nada bangga.
’Anak yang diasuh dan dididik oleh Ayah sendiri, anak yang telah mencapai darjat yang tinggi dan telah tersingkap dalam kerohanian’.
`Suami dia pula, tak tahu apa-apa. Syariat semata-mata. Akibatnya.....’, dan isteri Cikgu Zan terus ketawa.
`Tak faham!’, aku separuh terjerit.
Mereka berdua lantas meledakkan ketawa kerana kebebalanku menanggapi apa yang tersirat.
`Pizah tak hendak bersama!’, Cikgu Zan berusaha memudahkan aku untuk memahami sebuah misteri.`Bila dia tak hendak, dia tutup! Lalu suaminya tak boleh buat apa-apa...’
Aku masih mengerutkan kening.
`Tak faham?’, Cikgu Zan bagaikan menyelongkar mindaku. Aku mengeleng-geleng walaupun di hatiku bagaikan sudah mula mengesyaki sesuatu. Tetapi aku mahu bersuluh di dalam terang.
`Dah tak ada benda tu, dah cari tak jumpa, nak buat macam-mana?’, dan Cikgu Zan tergelak besar. Isterinya pun juga tergelak sama.
`Kalau dah begitu, bilalah Ayah La nak dapat cucu!’, isteri Cikgu Zan pula berkata. Aku tidak tergelak.Isteriku pun tidak juga. Kami kekagetan mendengar kesah yang tak masuk akal itu.
`Habis! Apa yang Ayah La buat?’, aku terus menggali rahsia
`Nasib baik....’
`Ayah ada banyak ikhtiar’, Cikgu Zan menerangkan.`Teruk juga Ayah nak memulihkannya. Bila semua ikhtiar tak menjadi, Ayah terpaksalah menurunkan darjat Pizah…’
`Maksudnya?’
`Turun kepada darjat biasa setaraf suaminya…’
`Ooooo...’
`Barulah boleh….’.
`Sekarang dah dapat dua orang cucu…’, Cikgu Zan menamatkan kesah yang menakjubkan itu.
Bila kesah pelik itu tamat dikesahkan, isteriku mempersilakan dua orang tetamu yang amat kami hormati itu minum sambil makan goreng pisang yang masih panas itu. Sambil makan itu bicara tetap juga berjalan.
`Sekarang ada satu lagi masalah yang menimpa Ayah’, Cikgu Zan membuka satu lagi rahsia dalam kehidupan Ayah La.Kami suami isteri menjadi begitu seronok untuk mengetahui lebih banyak lagi kesah orang yang sangat kami hormati dan sanjungi itu.
`Si Li itu’.
`Kenapa?’, isteriku bagaikan tak sabar-sabar untuk mengetahui kesah si Li pula.
`Itulah satu-satunya anak lelaki ayah’
`Dia tak nak kahwin!’, isteri Cikgu Zan membocorkan pula satu lagi rahsia.
`Kenapa?’, serentak terpacul pertanyaan dari kami suami-isteri. Kami sudah mengenali anak lelaki Ayah La itu. Anak muda tersebut kelihatan cukup baik dan sopan. Dia agak pemalu dan pendiam tapi murah dengan senyuman. Walaupun aku tidak pernah berbual dengannya, tapi dari pengamatanku, dia memang seorang anak muda yang terdidik dengan sempurna dalam agama.
`Inilah masalah ayah! Ayah sangat risau! Kalau Li tak mahu kahwin, habislah zuriat dan titisan ayah’
Aku segera faham kerana zuriat seseorang adalah dari keturunan belah lelaki.Yang lebih kuat dan sejati adalah pada anak lelaki.
`Tak mau dia kahwin!’, isteri Cikgu Zan meneruskan kesah yang masih tergantung itu.`Puas ayah memujuk’.
`Banyak anak gadis yang telah ditawarkan, cantik-cantik belaka. Tak mahu dia. Puas Ayah memujuknya’.
`Kenapa?’, aku bertanya.
`Dia dah mengenal! Dah dapat nikmat mengenal! Bukankah sebesar-besar nikmat ialah nikmat mengenal Allah Taala?’, Cikgu Zan memecahkan kekeliruanku.
`Bila sudah mendapat nikmat makrifat, apalah lagi lebihnya nikmat berkahwin..’, isteri Cikgu Zan pula melanjutkan.
`Seratus kali ganda nikmat makrifat ... berbanding dengan nikmat persetubuhan....’,Cikgu Zan menjelaskan.
Aku terkebil-kebil bagaikan cicak makan kapur. Isteriku pun sama. Patutlah Tok Penghulu Malim sebelum ini menerangkan kepadaku bahawa di Patani, ilmu mengenai mengenal Allah Taala, dan lebih-lebih lagilah amalan zikir Tarekat, tidak diberikan kepada orang-orang yang masih muda dan belum berkahwin. Di Patani menurutnya, sejak zaman-zaman yang lalu sehingga kini, amalan zikir hanya diberikan kepada orang-orang yang sudah lanjut usianya. Menurut Tok Penghulu Malim, apabila terbuka hakekat kepada orang-orang muda, yang paling dikhuatiri selain dari tak mahu berkahwin ialah takut diambil kembali oleh Yang Empunya Diri.
`Satu perkara saya nak tanya dengan Zan’, aku berkata apabila suasana perbualan mengenai kesah keluarga Ayah La sudah berakhir.Aku merasakan saat untuk mereka beredar telah begitu hampir kerana minuman telah habis diminum. Jadi sebelum mereka meminta diri, aku cepat-cepat mengambil peluang untuk mengetahui mengenai pendirian Cikgu Zan mengenai politik negara. Sudah beberapa kali sewaktu di rumahnya, aku kehilangan kesempatan untuk membuka isu ini. Aku tidak mahu terlepas peluang sekali lagi.Politik Islam dan Tasauf bagiku mesti berintegrasi.
`Apa pendapat Zan mengenai Tuan Guru Haji Saudi?’
`Haji Saudi?’
Cikgu Zan bagaikan agak terkejut dengan nama itu. Nama yang sangat kontra dengan kehidupan Ayah La. Haji Saudi adalah tokoh politik terkemuka yang berjuang untuk menegakkan sistem pemerintahan Islam dalam kehidupan bernegara, sedangkan Ayah La adalah seorang ahli Tasauf yang menumpukan kepada kehidupan kerohanian. Aku cuba melihat di mana wujud keserasian dan persefahaman di antara kedua-dua tokoh tersebut menurut persepsi Cikgu Zan. Haji Saudi adalah rujukan utamaku dalam memahami sistem politik dan kaedah berpolitik bagi umat Islam.
`Haji Saudi....’, Cikgu Zan bersuara. Perlahan saja suaranya bagaikan untuk dirinya sendiri.
`Kita jangan ikut rentak dia’, Cikgu Zan meneruskan bicaranya yang perlahan itu.`Jalan politik adalah jalan bermasalah dan berpecah-belah. Tidak ada kedamaian. Sedangkan jalan Tasauf adalah jalan tenang. Jalan mencari ketenangan jiwa untuk mencapai mutmainnah. Kita tak boleh mengata-ngata orang.Hati kita mesti suci dari sifat-sifat seperti itu. Mengata, mengumpat, membuat tuduhan, memfitnah atau menghina dan merendah-rendahkan sesama manusia adalah tanda kekotoran hati’.
Ciku Zan berhenti sebentar.Matanya merenung tepat kepada mataku bagaikan mahu meresapkan maklumat itu melalui mataku.
`Jadi, jangan Che Din libatkan diri dengan jalan yang mengundang banyak sengketa, perbalahan dan permusuhan...’
Dia berhenti lagi. Masih sinar matanya cuba menembusi mataku.
`Bila Che Din mengambil jalan ini .... Ayah pesan, jangan dekati jalan politik. Jangan campuri urusan mereka...Ayah kata..Haji Saudi adalah penipu besar....’
`Ha! Penipu besar?’, aku agak tergamam dan begitu terkejut dengan jawapannya itu. Ianya bagaikan satu letupan di telingaku.
Aku tiba-tiba bagaikan menjadi keliru dengan makumat itu. Sewaktu di Pulau Lalang dahulu, demikianlah juga pendirian Ayah Wan Hassan. Pada kira-kira lebih tujuh tahun yang lalu, sewaktu aku sering berulang ke Pulau Lalang menadah kitab Sirus Salikin, dia melarang anak-anak muridnya dari menceburi, apatah lagi aktif dalam politik. Ini bertujuan supaya mudah beroleh jiwa tenang. Tapi Ayah Wan Hassan tidaklah sampai memberikan apa-apa fatwa mengenai Tuan Guru Haji Saudi. Malah Ayah Wan Hassan sebaliknya menyanjung Haji Saudi sebagai seorang ulama besar dan tahfiz.
Aku sebenarnya telah memiliki kefahaman dan pendirian sendiri mengenai hal ini. Setahuku Haji Saudi adalah seorang ulama ikutan ummah yang mendapat pengiktirafan dunia Islam. Semasa belajar di universiti pada awal 1980an dahulu, aku telah beberapa kali mendengar ceramahnya. Bila keluar dari universiti, aku tetap menjadi pendengar setianya. Bahkan aku memahami Islam sebagai satu sistem hidup yang komprehensif dan menyeluruh, yang wajib diperjuangkan oleh semua umat Islam yang beriman adalah melalui penjelasannya. Haji Saudi memfatwakan bahawa umat Islam wajib berjuang untuk menegakkan sistem Allah dan RasulNya di bumi ini bagi menggantikan sistem Barat Yahudi yang jelas bertentangan dengan ajaran al Quran dan al Hadis.
Fatwa ini secocok pula dengan pendirian asasku semasa di Raub dahulu.
Tapi apa sudah jadi? Ini sesungguhnya adalah satu kaji selidik yang teramat berat untukku....Untuk mempertemukan jalan harmoni dalam kebenaran agama, antara politik Islam dan Tasauf.

3 ulasan:

  1. Tuan, orang lelaki mudah untuk belajar, berbeza jika pihak isteri sahaja yang ingin mencari dan suami mempunyai perbezaan pendapat. Walaupun diberi keizinan tetapi tidak sepenuhnya. Ini amat sukar bagi kami, sedangkan belajar mengenal itu wajib..apa pendapat saudara

    BalasPadam
  2. Umi, Sepatutnya wajib bagi suami.Namun, Saya berpendapat pilihannya ialah kebijaksaaan puan sendiri untuk memenangi hati suami - perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit memujuknya.Memang mengambil masa dan memamag memerlukan kesabaran.Apa pun inilah nilai dan harga kasih-sayang! Selamat mencuba dan maju jaya.

    BalasPadam
  3. bagaiman nak memujuk isteri mengikuti sy untuk belajar ilmu mengenal diri?

    BalasPadam