(Artikel 7)
Orang Melayu Bagai Enau Dalam Belukar
Bagaimana Bangsa Melayu akan bangkit kalau mengamalkan sikap Egoisme – sikap bagai enau dalam belukar iaitu tingkah laku moral yang sangat mementingkan diri sendiri?
Orang Melayu Bagai Enau Dalam Belukar
Bagaimana Bangsa Melayu akan bangkit kalau mengamalkan sikap Egoisme – sikap bagai enau dalam belukar iaitu tingkah laku moral yang sangat mementingkan diri sendiri?
Egoisme menjadikan sebilangan Bangsa Melayu, sangat mengutamakan kroni, kaum-kerabat dan mengabaikan silaturrahim. Egoisme menafikan hak golongan yang berlainan pendapat dan pandangan.
Teori Egoisme menganggap nilai itu baik jika menguntungkan diri sendiri dan nilai itu buruk dan jahat jika sesuatu itu merugikan diri sendiri. Berasaskan cadangan Thomas Hobbes (1588-1679) :`kita memanggil perkara-perkara yang kita ingin lakukan sebagai ‘baik’ dan perkara-perkara yang kita benci sebagai ‘jahat’(evil)”.Teori ini bertujuan untuk realisasi kendiri, sayang diri, penting diri dan menjadi tanggungjawab semua manusia untuk memaksimumkan kebaikan diri sendiri.
Inilah teori moral yang mengizinkan penindasan dan eksploitasi, bersekutu dengan falsafah kapitalisme yang sangat mementingkan keuntungan. Teori ini sangat menentang pengorbanan diri – bahkan digantikan dengan sikap melampau dalam pemeliharaan diri, pengasihan diri, pembesaran diri, kepentingan diri dan ego. Teori ini sangat menentang peraturan mutlak dari autoriti. Semua peraturan perlu bersifat individualistik kerana sesiapa jua yang mematuhinya dipercayai akan menjadi kuat, maju, lengkap dan berkuasa. Selain itu teori ini juga menafikan Tuhan dan agama.
Inilah teori yang menghalang manusia dari berpegang kepada semangat tolong-menolong atau bantu-membantu di atas semangat kejiranan dan persahabatan. Orang-orang egoisme tidak akan ada masa untuk membantu anda yang dalam kesusahan. Mereka adalah orang-orang yang tidak mungkin sanggup bersusah-payah membantu anda walaupun anda seorang teman atau sahabatnya, jiran dan tulannya, sesama sebangsa dan seagama bahkan sedarah dan sedaging. Di dalam jiwanya tidak ada kesediaan untuk bersusah-payah atau sanggup berkorban untuk orang lain. Sebaliknya andalah yang diminta sentiasa berkorban untuknya dan bahkan mereka sanggup memperhambakan anda demi mencapai hasrat diri.
Anda yang memiliki sifat jujur, amanah, rajin, baik-hati, sopan-santun, pemurah dan berbagai-bagai sifat mulia akan diperalatkan demi mencapai keuntungan peribadi mereka. Bila anda pemurah, mereka akan baik dengan anda kerana sifat murah hati anda itu menguntungkan mereka. Bila anda jujur, kejujuran anda akan dieksploitasikan. Bila mereka ada kepentingan peribadi dari anda, mereka akan mendekati dan berpura-pura baik dengan anda tetapi apabila habis keperluan mereka kepada anda, anda akan tidak dipedulikan bahkan kadang-kadang dilayan bagaikan seekor anjing kurap.
Inilah manusia egoisme yang sanggup menahan jerat di pergentingan!
Seseorang bapa yang mementingkan diri akan menghabiskan wang gajinya untuk memuaskan nafsu dirinya – membiarkan anak-anak dan isterinya hidup sekadarnya. Bapa jenis ini akan keluar berseronok-seronok bersama teman-teman untuk makan-makan dan hiburan di luar rumah – lebih bersedia membelanjakan gaji bulanan untuk pemuasan minat dan hobinya, mengabaikan keperluan rumahtangga dan persekolahan anak-anak.
Isteri yang egoisme pula, akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak. Isteri jenis ini lebih rela melayan keinginannya untuk beristirehat terutama yang bekerjaya, rela membeli lauk di kedai atau menyerahkan urusan rumah tangga kepada orang gaji, atau lebih seronok kalau suaminya sendiri yang melakukannya untuk memenuhi keperluan dirinya. Isteri jenis ini, keseronokannya adalah di pejabat kerana dengan cara begitu akan selamat dari beban tanggungjawab di rumah. Pesan Rasulullah saw.
`Setiap wanita (isteri) adalah pengurus terhadap urusan rumahtangga dan suaminya. Ia akan dipersoalkan tentang tugas dan tanggungjawabnya itu’.
Inilah soal-soal yang sukar bagi para isteri di Yaumil Mahsyar iaitu menjawab soalan-soalan yang sukar dijawab, terutama bagi yang mengutamakan kerjaya berbanding melayan suami. Ini dibuktikan oleh Sabda Rasulullah saw seterusnya.
`Sesungguhnya seseorang isteri itu belum dianggap mentaati dan menunaikan kewajibannya terhadap Allah sehingga ia mentaati dan menunaikan kewajipannya terhadap suaminya’.
Jika para isteri gagal menunaikan amanahnya terhadap suami dan rumahtangganya, bagaimana boleh terbina keluarga bahagia bagi kebangkitan Bangsa Melayu? Andaikata tidak terbina keluarga bahagia, di manakah lagi sumber bahagia? Dari keluarga yang tidak bahagialah lahirnya golongan remaja dan anak-anak muda yang hidup mereka tidak ketahuan dan tiada ketentuan, yang menyebabkan merebaknya gejala moral sosial yang membawa bencana kepada kehidupan. Inilah soal-soal di Yaumil Mahsyar yang sukar untuk dijawab oleh ibu bapa!
Anak-anak yang mementingkan diri apabila telah berjaya dalam kerjaya, sanggup tidak pulang ke rumah berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun menjenguk orang tua yang merindui apatah kalau yang sedang uzur. Pendapatan yang besar tidak digunakan untuk membalas jasa orang tua, tetapi dihabiskan dengan keseronokan memburu gaya hidup mewah dan bergaya.
Seseorang jiran yang mementingkan dirinya, tidak akan mengambil tahu atau mengambil berat jiran di persekitaran dan tidak akan ada semangat kejiranan. Kehidupan yang bagaikan segala benda ada, segala hajat dapat dan segala keperluan cukup, seolah-olah tidak perlu lagi mengamalkan semangat tolong-menolong dan bantu-membantu. Masing-masing dengan keegoan bagaikan enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Tidak ada lagi semangat bagaikan aur dengan tebing yang menjadi pusaka nenek moyang. Sedangkan Rasulullah saw berpesan betapa perlunya membina hubungan kejiranan yang intim:
‘Tidak beriman dengan aku seseorang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan dia tahu yang jirannya dalam kelaparan’.
Kalau tiada semangat kejiranan, ertinya.... tidak beriman!
Egoisme menjadikan seseorang itu jiran yang jahat, dan andaikata demikian, perhatikan sabda Nabi saw yang berikut:
‘Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa selamat dari kejahatannya’.
Sabda Baginda saw lagi:
“Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah tidak beriman. Demi Allah, tidak beriman”
Maka ditanya:” Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?”
Lalu dijawab:”Mereka yang tidak menyelamatkan jirannya daripada gangguannya’
Lalu jika demikian, masih adakah lagi sisa iman kalau tiada hubungan silaturrahim dan kejiranan, apatah lagi kalau menjadi jiran yang jahat?
Seseorang yang egois dapat dikenali dengan mudah ketika berada di jalan-jalan raya. Mereka yang mementingkan dirinya ini, akan memandu laju dalam keadaan yang merbahaya mengikut keseronokan nafsu dan hatinya, bukan pertimbangan akal. Mereka sentiasa mengintai peluang untuk merebut berdahuluan samada sewaktu memotong, membelok, membrek atau keluar dari persimpangan.
Di sebalik memandu laju sesuka hati, ada pula segolongan yang memandu dengan sangat perlahan sesuka hati, dan tidak pula memberi laluan atau isyarat untuk membolehkan konvoi di belakang yang masih jauh distinasinya memintasnya. Pemandu jenis ini bagaikan memandu dalam alamnya sendiri dan tidak mempedulikan persekitaran.
Bagi peniaga yang egois, peniaga jenis ini sanggup menjual barang-barangnya dengan harga yang tersangat mahal. Mereka sanggup menipu dan menghisap darah untuk untung besar. Aktiviti berniaga bukan lagi satu amal soleh dan fardhu kifayah.Akad jual beli yang dilafazkan hanya mainan bibir kerana sudah pasti tidak sah kerana harga jualan tidak mencapai muafakat hati kedua-dua belah pihak.
Kemuncak mementingkan diri dalam sistem ekonomi dapat dilihat dalam sistem bank kapitalis yang mengenakan riba, zalim dan menindas. Dan janganlah merasa aneh kalau layanan sedemikian akan anda terima juga jika anda seorang kakitangan awam yang berurusan dengan Mulkan Jabbariyyan dalam pinjaman perumahan dan kenderaan!
Yang lebih dahsyat lagi ialah apabila negara dipimpin oleh pemimpin yang mementingkan diri.Pemimpin jenis ini mengaburi rakyat konon berkhidmat kepada negara demi rakyat, tetapi yang sebenarnya berkhidmat untuk kepentingan diri – mengumpul harta untuk dirinya dan keluarga, sahabat dan kroni, dan membiarkan rakyat jelata terutama golongan yang tidak sebulu dengannya dalam keadaan terabai. Projek-projek yang ada kepentingan diri didahulukan atas nama projek rakyat, tetapi rakyat biasa tidak mendapat apa-apa.
Atas nama pembangunan, terbinalah berbagai-bagai projek di kawasan-kawasan strategik, tetapi yang mengaut keuntungan, ialah kroni dan kaum-kerabat. Rakyat biasa berputih mata, tetapi tetap merasa bangga dapat melihat bangunan-bangunan tinggi tersergam indah menggantikan rimba-belantara. Rakyat tetap terhibur bagai Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai. Inilah jenis pemimpin yang dipertahankan oleh rakyat di bawah sistem demokrasi – kerajaan Mulkan Jabbariyyan. Untuk pemimpin jenis ini, silalah amati kenyataan Imam al Ghazali ra `sehari dari raja yang zalim itu, lebih jahat dari perbuatan fasik enam puluh tahun’ kebalikan dari Hadis Rasulullah saw:
`Sesungguhnya sehari dari imam (penguasa) yang adil itu lebih baik daripada ibadah seorang sendirian dalam masa enam puluh tahun’ (Ihya Jld.5 hal.395-397)
Untuk para penyokongn Mulkan Jabbariyyan pula, sabda Rasulullah saw.
’Barangsiapa menyukai sesuatu kaum dan mengambil mereka menjadi pemimpinnya, nescaya ia dikumpulkan bersama mereka pada hari kiamat’ – Ihya Jld.7 hal.575
Al Quran mengkesahkan kesah mereka di akhirat nanti:
’Dan ketika mereka berbantah-bantahan di dalam neraka, maka orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri:”Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan dari kami sebahagian azab api neraka?
Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab:’Sesungguhnya kita semua sama-sama dalam neraka kerana sesungguhnya Allah menetapkan keputusan antara hamba-hambaNya – Al Mukmin: 47-48
Inilah bencana paling besar menimpa rakyat dan negara apabila para pemimpin adalah egois.
Dimanakah lagi sisa iman dan bagaimanakah Bangsa Melayu akan bangkit jika negara dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang egois?
Ketaatan Membabi Buta!
Teori moral Prinsip Kewajipan diperkenalkan oleh Immanuel Kant (1724-1804) menegaskan ‘duty for the sake of duty – tanggung jawab dilaksana semata-mata kerana amalan itu merupakan satu tanggung jawab. Immanuel Kant menjelaskan bahawa kewajipan moral (moral obligation) bukan diperoleh dari Tuhan atau autoriti manusia dan komuniti atau dari kegemaran dan keperluan agen-agen manusia tetapi dari penaakulan. Penaakulanlah merupakan tanggungjawab tertinggi dan dianggap satu nilai utama dalam etika kemoralan. Semua orang mesti mematuhi tanggungjawab mereka dan individu yang baik dengan tekad baik yang mutlak ialah yang sentiasa berkelakuan/ bertindak atas dasar kewajipan atau menghormati undang-undang. Tumpuan ialah kepada niat, tujuan, motif – bukan atas apa yang dilakukan. Motif tunggal tekad baik hanyalah melakukan kewajipan dan sesuatu tindakan bernilai moral jika berkaitan dengan kepentingan diri.
Implikasi teori ini ialah menjadikan pemikiran manusia sebagai kemuncak dan kuasa tertinggi dalam membuat keputusan atau menggubal peraturan. Walaupun teori ini tidak menyatakan penafian kepada kewujudan Tuhan, tetapi yang jelas ialah bertuhankan akal kerana kuasa akallah; kuasa dan kebolehan penaakulan dan pemikiran manusialah yang berkuasa dan tertinggi. Ertinya manusia memiliki kebebasan berfikir untuk membuat keputusan dan menjadi kewajipan dan tanggungjawab pula untuk mematuhi semua kewajipan demi menghormati undang-undang dan peraturan yang telah digubal.
Pengaruh teori moral ini sangat berjaya melahirkan budaya kesetiaan,kepatuhaan dan ketaatan membuta-tuli dalam menunaikan segala perintah dan tanggungjawab walaupun perintah yang batil dan mungkar dan bercanggah dengan prinsip al Quran dan al Hadis. Pengaruh yang sangat ekstrim dapat dilihat dengan sangat jelas betapa berkuasanya Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri serta Kabinet Menteri-Menteri dalam menggubal berbagai-bagai peraturan dan undang-undang tanpa merujuk kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah saw. Apabila sesuatu Rang Undang-Undang telah diluluskan maka nantinya akan dikuatkuasakan oleh JPA, sistem kepolisan, ketenteraan, sistem keadilan dan Mahkamah.
Inilah campurtangan manusia dalam kuasa ketuhanan! Inilah bencana yang diperkenalkan oleh Prinsip Kewajipan kepada umat Melayu kerana demi sesungguhnya kuasa menggubal adalah kuasa Tuhan! Firman Allah:
`Ingatlah! Menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah.Mahasuci Allah Tuhan semesta alam’ – Al A`raaf: 54
`Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah’ – Ar Ra`d: 31.
‘Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin apabila Allah dan Rasulnya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan tentang urusan mereka.Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata” – Al-Ahzab:33.36
Demikianlah di antara syarat iman kerana orang yang beriman dengan Allah Taala, tidak ada pilihan lain selain taat. Durhakalah bagi sesiapa yang membuat pilihan yang lain atau menggubal sewenang-wenangnya segala akta, peraturan dan undang-undang tanpa merujuk kepada prinsip keadilan al Quran. Kabinet Menteri, Mahkamah dan JPA bagaikan memiliki kuasa ketuhanan sehingga setiap perintah wajib dipatuhi. Kalimat ’Saya Yang Menurut Perentah’, menjadi badi kepada penjawat-penjawat awam sedangkan Islam mengajar tidak wajib taat kepada perintah yang mungkar.Taat hanya kepada yang makruf!
Demikianlah bentuk kesetiaan yang diwariskan oleh Prinsip Kewajipan yang melahirkan Kod Etika sehinga melahirkan pegawai-pegawai dan kakitangan awam yang berkiblat kepada kerja, mengabdikan minda, masa dan tenaga untuk membangunkan sektor awam yang cemerlang dan gemilang yang pada hakikatnya bererti berkiblatkan (atau dalam bahasa yang lebih kasar ialah bertuhankan) sekularisme, mengatasi kepentingan gemilangnya agama.
Inilah sesungguhnya bahaya yang teramat besar kerana menyebabkan berlakunya peralihan kiblat hati – beralihnya perhatian, tumpuan dan hadap hati dari akhirat kepada dunia, dari ibadah kepada kerja, daripada kepada Allah Rabbul Alamin kepada dunia tanpa disedari. Inilah perdayaan.
Firman Allah Taala:
’Maka janganlah kamu dapat ditipu oleh kehidupan dunia’ – Luqman.33
’Maka janganlah kamu dapat ditipu oleh kehidupan dunia’ – Luqman.33
’Hai orang-orang yang beriman! Janganlah harta-bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Dan barangsiapa yang berbuat begitu, inilah orang-orang yang menderita kerugian’ (Al-Munafiqun:9)
Keasyekan bekerja adalah tanda cinta harta. Cinta harta adalah cinta dunia. Cinta dunia adalah kerana menginginkan kemuliaan pada mata manusia. Kemuliaan pada mata manusia ialah keinginan untuk dilihat hebat dan tinggi, dan alatnya ialah dengan memiliki kelulusan, ilmu, kedudukan dan pangkat yang tinggi, harta dan kekayaan, nama yang harum dan sebagainya.Rasulullah saw bersabda:
’Cinta harta dan kemuliaan itu menumbuhkan nifak (sifat munafik) dalam hati, sebagaimana air menumbuhkan sayuran’ – Ihya Ulumiddin.Jld.5 hal.103
Inilah yang sangat membinasaka, sifat nifak. Dan semuanya itu merosakkan pegangan agama. Yakni iman. Sabda Rasulullah saw.
’Tidaklah dua ekor serigala yang buas yang dilepaskan dalam kandang kambing lebih banyak merosakkan dibandingkan dengan cinta harta dan kemegahan pada agama seorang muslim’ – Ihya Ulumiddin. Jld 5 hal. 103
Tidakkah semuanya ini adalah bencana kepada kehidupan beragama?
Pesan Nabi saw seterusnya:
’Janganlah engkau mengambil sawah ladang, nanti engkau mencintai dunia’
’Janganlah engkau mengambil sawah ladang, nanti engkau mencintai dunia’
Renungilah doa Penghulu Junjungan saw ini:
`Wahai Allah Tuhanku. Jadikanlah makanan keluarga Muhammad sekadar mencukup sahaja. Wahai Allah Tuhanku. Hidupkanlah aku miskin.Matikanlah aku miskin. Dan kumpulkanlah aku dalam golongan orang-orang miskin’.
Doa sedemikian mungkin terlalu ganjil dalam kehidupan yang sangat bersebati dengan minda sekular dan materialistik kini!
Sesungguhnya inilah minda Tasauf dan oleh kerana itulah Tasauf telah tersingkir sejak sekian lama dan difatwakan sebagai sesat oleh intelektual agama yang mencintai dunia!
Penyakit batin mencintai dunia dan berkiblat kepada dunia, dibudayakan dalam budaya kerja sektor awam. Penjawat-penjawat awam menjadi abdi kepada kerjaya apabila diikat erat dengan pengurusan masa bekerja yang rigid, dan selepas itu diminta pula memberikan komitmen setinggi mungkin demi kecemerlangan organisasi dan institusi. Nilai-nilai kerajinan, ketekunan, kesabaran, kesetiaan, sedia berkorban, keseronokan bekerja dan lain-lain yang menguntungkan organisasi menjadi nilai yang sangat diutamakan yang mesti dan wajib untuk peningkatan diri dan kegemilangan organisasi. Inilah pengabadian namanya! Mengabdikan kepada organisasi dan institusi. Inilah sekularisme! Inilah abdi sekular dan akhirnya lahirlah jiwa sekular sehingga urusan agama tidak lagi menjadi agenda utama dalam kehidupan!
Demikianlah perhambaan kepada selainNya! Hamba kepada kerjaya walhal Rasulullah saw mengajarkan bahawa seluruh pengabdian, seluruh pengorbanan masa, tenaga, nilai-nilai dan sifat ketekunan, kesabaran, kerajinan, kesetiaan, nikmat bekerja dan keseronokan jiwa adalah untuk dan kepada Allah Rabbul Alamin, bukan selainNya.
Firman Allah Taala:
`Katakanlah: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum-keluargamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan RasulNya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintahNya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik’ (At Taubah:24)
`Katakanlah: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum-keluargamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan RasulNya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintahNya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik’ (At Taubah:24)
Inilah yang dibimbangi iaitu kepalsuan ikrar bagi sesiapa yang bersolat ketika berikrar dalam Doa Aftitah! `Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk/kerana Allah Tuhan Semesta Alam’.
Kecintaan kepada kerjalah menyebabkan ramai penjawat awam sangat asyek, rajin dan tekun dalam bekerja iaitu lambang kesetiaan kepada sekularisme. Kepada kerjalah kerajinan! Kepada kerjalah ketekunan! Kepada kerjalah kesabaran! Dan kepada kerjalah keasyekan! Lalu di manakah anda hadapkan hati anda? Inilah fitrah hati yang dialihkan oleh Etika Perkhidmatan Awam sedangkan para Nabi dan Rasul berjuang untuk mengalihkan kiblat hati umat manusia dari dunia menghadap kepada akhirat sempena dengan amanah.
`Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh’ (Al Ahzab:72)
Siapakah yang mengalihkan hadap hati sedemikian terhadap orang-orang Melayu? Siapakah yang berusaha siang dan malam untuk membangun bangsa dan negara mengikut acuan sekular, kalau tidak iblis dalam teori moral Prinsip Kewajipan yang bersembunyi di dalam minda Mulkan Jabbariyyan? Siapakah kalau bukan kakitangan awam yang melaksana dan memperteguhkannya di atas slogan `saya yang menurut perentah?’ Siapakah kalau tidak orang-orang Melayu yang bernama Ahmad Sarjan, Wan Zahidi, Tengku Fatah atau Datin Zalma dan sebagainya yang mindanya tidak dipenuhi oleh minda al Quran?Atas nama arahan, seseorang penjawat awam wajib mematuhi perintah dan arahan pihak atasan. Perentah dari siapa? Dari Mulkan Jabbariyyan yang mendukung sistem Barat Yahudi. Inilah Prinsip Kewajipan!
Tidakkah bercanggah dengan prinsip Islam namanya, kalau seseorang penjawat awam tidak diluluskan pertukarannya untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang berhampiran dengan isteri atau suaminya? Tidak bercanggah dengan Islamkah apabila kewajipan terhadap isteri atau suami dan keluarga terpaksa dikorbankan demi tanggungjawab terhadap organisasi atau institusi atau negara? Atas nama Islamkah kewajipan terhadap keluarga dipinggirkan?
Justru semua pegawai awam sangat terikat dengan Perintah Am, Kod Etika, Surat-Surat Pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.Inilah kitab-kitab yang sangat ditaati dan kadang-kadang perintah dan arahannya sangat berkuasa dan dilindungi pula oleh sistem perundangan dan kehakiman menggantikan perintah Al Quran dan perintah Nabi Muhammad saw. Firman Allah Taala:
`Ingatlah! Menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah.Mahasuci Allah Tuhan semesta alam’ – Al A`raaf: 54
`Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah’ – Ar Ra`d: 31.
Inilah batas Allah dan sekali-kali jangan dicerobohi. Bukan Etika Perkhidmatan Awam tidak baik. Bagus! Tapi mestilah berkiblat kepada Tauhid! Bukan berkiblat kepada sekularisme! Oleh kerana tidak diletakkan asas Tauhid di atasnya, justru muncullah bentuk-bentuk kepimpinan yang tidak Islamik - angkuh, sombong, meninggi diri, tidak bersifat terbuka, tidak bertimbangrasa, menghambakan orang bawahan dan sebagainya.
Ambillah teladan dari Rasulullah saw dalam suatu riwayat ketika bermusafir untuk menyembelih kambing dan memasak, Rasululllah saw mengambil tugas mencari kayu api.Para sahabat rh tidak bersetuju Rasulullah saw melakuknnya.Lantas Rasulullah saw berkata:
‘Saya tahu bahawa kamu menegah saya dari melakukan perkerjaan itu, tetapi saya tidak suka membezakan diri saya dari kamu, dan sesungguhnya Allah tidak suka akan hambanya yang memperlihatkannya berbeza dari sahabat-sahabatnya’.
Siapa kita kalau tidak mencontohi Rasulullah saw?
Dalam sistem ketenteraan dan kepolisan, Prinsip Kewajipan sangat ketara. Prisip SAYA YANG MENURUT PERENTAH sangat berleluasa walaupun dalam urusan yang masih sangat boleh dipersoalkan makrufnya. Lebih merbahaya apabila kepatuhan untuk melaksanakan kemungkaran. Inilah prinsip Islam yang dicerobohi:
`Wajib ke atas seseorang muslim mematuhi dan mentaati perintah samada yang ia suka atau tidak, kecuali dia diperintahkan melakukan perkara maksiat.Apabila dia diperintahkan melakukan maksiat maka tidaklah wajib ke atasnya patuh dan taat lagi’
Di Pakistan, tentera Taliban digempur habis-habisan demi kesetiaan kepada arahan kerajaan sekular. Demikian juga di Irak! Demikian di Afghanistan! Demikian di Palestin antara Fatah dengan Hamas. Demikian di..di..di..Semua negara-negara umat Islam Prinsip Kewajipan amat berkuasa.
Kerajaan Pakistan sangat setia kepada arahan USA demi Prinsip Kewajipan! Di belakang USA adalah Yahudi Zionis! Di belakang Yahudi Zionis ialah Iblis. Iblis menggembalakan bala tenteranya yang terdiri dari syaitan jin dan manusia untuk patuh dan setia. Inilah kemuncak Prinsip Kewajipan, ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Thaghut! Dan inilah erti ketaatsetiaan Mulkan Jabbariyyan!
Lalu di manakah lagi sisa iman di hati?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan