Kebebasan Tanpa Sempadan
(Artikel 6)
Bagaimana Bangsa Melayu akan bangkit kalau Eksistensialisme menjadi sistem moral yang kian berleluasa sehingga sudah ada tanda-tanda menuju kepada kebebasan tanpa sempadan dalam kehidupan? Bermula dengan sikap liberal dalam falsafah liberalisme, jika tidak dibendung, nantinya akan menuju puncak kebebasan, lalu hidup dengan kebebasan eksistensialisme yang tiada lagi sempadannya.
(Artikel 6)
Bagaimana Bangsa Melayu akan bangkit kalau Eksistensialisme menjadi sistem moral yang kian berleluasa sehingga sudah ada tanda-tanda menuju kepada kebebasan tanpa sempadan dalam kehidupan? Bermula dengan sikap liberal dalam falsafah liberalisme, jika tidak dibendung, nantinya akan menuju puncak kebebasan, lalu hidup dengan kebebasan eksistensialisme yang tiada lagi sempadannya.
Teori moral Barat ini berteraskan fahaman ahli falsafah Perancis Jean-Paul Sartre (1905-1980) ‘existence precedes essence’ iaitu kewujudan mendahului intipati yang bererti pada awalnya manusia wujud, hadir dan berada dalam kehidupan kemudian baharulah mendefinasikan diri. Lantas manusia memilih untuk menimbulkan nilai-nilai sendiri dan identiti.
Teori Sartre ini berhubung rapat dengan alam semesta dan menafikan kewujudan Tuhan yang mencipta manusia. Beliau menegaskan segala-galanya diizinkan, dan semua nilai adalah subjektif, berubah-ubah dan tidak kekal serta tidak sejagat. Semua individu berhak individualistik dan justru tingkahlaku moral tertakluk kepada situasi.Beliau menegaskan bahawa nilai baik buruk mesti berasaskan pilihan individu secara bebas, bebas memilih matlamat serta membut keputusan tanpa merujuk kepada mana-mana autoriti luar. Setiap manusia berhak mengejar kebebasan dan kebebasan ini tanpa batasan.
Seseorang manusia tidak akan berjaya tanpa usaha. Jadi usaha manusialah yang menentukan kejayaannya. Manusia sejak semulanya menyedari kewujudan dirinya, lalu merancang untuk dirinya serta menjadi apa yang telah dirancangkan.Justru langkah pertama eksistensialisme ialah membuatkan setiap manusia menyedari apa yang dia jadi dan bertanggungjawab penuh atas kewujudannya.
Inilah bencana dalam kehidupan moral bagi masyarakat dunia tidak terkecuali Bangsa Melayu. Pengaruh Eksistensialisme meresap ke dalam kehidupan Bangsa Melayu melalui pendidikan sekular. Anak-anak – sejak pendidikan sekular diperkenalkan pada awal kurun yang lalu - melalui Sekolah-Sekolah Inggeris tajaan Mubaligh dan Sekolah Vernakular Melayu, dididik sejak dari kecil oleh pendidikan sekular supaya ibu bapa memberikan sedikit kelonggaran dan kebebasan.
Ibu bapa diminta supaya jangan mengongkong anak-anak, terutama anak-anak perempuan. Benarkan anak-anak perempuan menghadiri aktiviti-aktiviti bersama kanak-kanak lelaki bukan muhrim dalam kegiatan sekolah atas nama pendidikan. Berikan kebebasan kepada anak-anak termasuk anak perempuan untuk melibatkan diri dalam sukan dan permainan serta perkhemahan dalam aktiviti kokurikulum unit beruniform.
Ibu bapa yang pada mulanya menentang bibit-bibit yang mereka nampak merbahaya ini - pada suatu masa dahulu, bermula pada kurun yang lalu itu – telah dianggap sebagai ibu bapa yang kolot, tidak mengikut perkembangan zaman dan menentang kemajuan bangsa dan negara. Lalu sejak itu mulalah anak-anak dara, seawal dara sunti, terkinja-kinja dan terhegeh-hegeh di hadapan khalayak menjadi tontonan dan siulan. Bermulalah bibit pergaulan bebas pada zaman ibu bapa atau datuk-datuk yang ketika itu masih menjadi murid-murid di sekoah rendah, dan kini setelah sekian lama masa berlalu racun yang disuntik telah semakin terasa bahananya.
Kini, impak setelah lebih 50 tahun merdeka, kebebasan telah menjadi satu budaya. Kebebasan telah menjadi satu gaya hidup. Kebebasan atau gaya hidup bebas, bukan lagi satu larangan apatah lagi kesalahan!
Anak-anak muda Melayu, seperti muda-mudi Barat, tidak kira lelaki atau perempuan, jarang-jarang atau tidak lagi memberitahu dan meminta izin dari ibu bapa untuk keluar rumah walaupun pada malam hari. Ertinya budaya meminta izin dari autoriti sudah luntur! Budaya jangan buat atau jangan lakukan sebelum mendapat keizinan autoriti telah musnah! Tidak ada lagi rasa tanggungjawab anak-anak muda untuk mentaati autoriti!
Di antara mereka ada yang bebas pula untuk ke mana-mana bersama rakan-rakan berlainan jenis, dan boleh pula pulang pada mana-mana waktu walaupun pada waktu embun pagi telah menitis.Ada di antara anak-anak muda ini kadang-kala tidak berunding dengan ibu bapa terlebih dahulu apabila membuat sesuatu keputusan penting. Kadang-kala ibu bapa pula yang terpaksa tunduk dengan kehendak, permintaan dan keputusan mereka. Maka muncullah generasi ibu yang melahirkan para tuan seperti yang dibayangkan oleh Rasulullah saw.
Lebih merbahaya lagi apabila ibu bapa tidak lagi menjadi elemen penting dan berfungsi dalam menentukan halatuju hidup anak-anak kerana anak-anak merasakan bahawa mereka telah besar dan tahu membuat keputusan sendiri.
Inilah kesan minda sekular yang ditanam kepada majorti ibu bapa pada waktu-waktu yang lalu, menjadikan mereka pada hari ini ibu bapa sekular, bersikap liberal dan terbuka sehingga anak-anak muda remaja hidup penuh kebebasan. Renungilah Firman Allah Taala yang berikut:
‘Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…’ (At Tahrim:6)
Dengan budaya bebas sedemikian, apakah anak-anak dapat diselamatkan dari api neraka? Ibu bapa sesungguhnya akan dipertanggungjawabkan, dan bahawa sesungguhnya tidak akan ada jawapan perlepasan dalam kehidupan serba Yahudi dan sekular ini, lalu dikhuatiri para ibu dan bapa akan turut sama-sama terhumban.
Pada malam sambutan tahun baru, pada malam pesta-pestaan, pada waktu konsert bersama penyanyi-peyanyi pujaan yang dijadikan ikon negara, atau pada malam-malam pesta tertentu, seringkali dilaporkan dapat dikesan dalam jumlah yang banyak pasangan-pasangan remaja berdua-duaan dalam keadaan yang mengasyekkan di temani oleh berbagai-bagai pil khayal dan alkohol dan bersempena dengan itu berlalulah pesta syaitan sehingga pagi. Ini dibuktikan dengan penemuan botol-botol arak dan kondom! Inilah kebebasan, bebas dari batasan dan larangan agama – bebas minum arak, dadah dan pelbagai pil khayal, bebas dalam pesta maksiat dan sebagainya.
Demikianlah remaja dan anak-anak muda Melayu, setelah lebih 50 tahun racun sekularisme meresapi sistem pendidikan negara.Inilah tingkat paling rendah dalam martabat insan yang mendekati taraf haiwan apabila hidup mengikut nafsu amarah yang disebutkan di dalam Al Quran:
`...sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan...’-Yusuf:12:53
Dan yang lebih malang lagi, kebebasan ini cuba dikawal dengan denda yang tak seberapa ringgit oleh pihak yang menjaga agama yang membuat undang-undang sendiri atas nama mahkamah Islam. Di manakah lagi sisa iman kalau hukum berikut bagi kesalahan zina tidak dilaksanakan? Firman Allah:
‘Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang beriman’ (An Nur:24:2)
Jelas ayat Allah di atas menegaskan, laksanakanlah hukum Allah jika kamu beriman....Lalu kalau tidak mahu laksanakan apakah maknanya?
Dan memang tidak dilaksanakan, lalu bertambahlah bencana dan bala dan inilah yang tidak diketahui oleh tokoh-tokoh masyarakat yang tidak mencari obatnya dari Al Quran yang memperingatkan:
‘Jika kamu (kaum muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar (Al Anfal:8:73)
Eksistensialisme bukan sahaja membawa bencana kepada anak-anak, bahkan juga kepada keharmonian rumahtangga. Sistem bekerja yang diperkenalkan oleh Barat membuka ruang kebebasan kepada budaya yang cuba dikawal oleh Islam. Atas alasan bekerja kadang-kadang kebebasan disalahguna sehingga ada isteri/suami yang menjadi bebas ke mana-mana untuk keluar dengan sesiapa sahaja bukan muhrim, tanpa perlu merujuk/memberitahu atau meminta izin dari suami/isteri. Inilah isu dayus yang kurang diberi perhatian pada zaman kini!
Dengan budaya ini terbukalah perangkap syaitan kerana syaitanlah pihak ketiga bersama lelaki dan perempuan bukan muhrim di kala berdua-duaan. Dan memang ada khabar-khabar kecurangan sehingga perzinaan.Sekali lagi hukuman hudud tidak dijalankan.
Di manakah sisa iman, kalau Hadis Rasulullah saw berikut tidak dikuatkuasakan?
‘Tidak halal darah seseorang muslim melainkan dengan satu daripada tiga kesalahan. Orang yang telah berkahwin melakukan perzinaan, nyawa dibalas dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya dan berpisah daripada jamaah’
Al Quran telah menetapkan ada tiga kategori kepada pihak autoriti yang engkar dari
melaksanakan hukum mengikut perintah Allah:
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” – Al-Maidah:5:44
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” – Al-Maidah:5:45
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” – Al-Maidah:5:47
Lalu di manakah sisa iman?
Tanpa iman bagaimanakah Bangsa Melayu akan bangkit? Inilah bencana eksistensiaisme! Bencana yang kemucaknya adalah kebebasan tanpa sempadan. Kebebasan untuk berbuat apa sahaja!
Hidup Untuk Berseronok.
Bagaimana Bangsa Melayu akan bangkit, kalau Utilitarianisme menjadi satu lagi sistem moral yang cukup berkuasa membentuk gaya hidup berseronok-seronok kerana kehidupan adalah unuk mencari keseronokan?
Teori ini diasaskan oleh Jeremy Bentham (1748-1832) : mengatakan manusia dikuasai/dipengaruhi keseronokan serta kesakitan menakala kemoralan ialah usaha mencari kebahagiaan iaitu keseronokan. Sesuatu perlakuan dianggap baik/benar mengikut kadar atau pertimbangan kebahagiaan yang dihasilkan oleh perlakuan itu dan dianggap bermoral apabila menghasilkan keseronokan maksimum. Sebaliknya dianggap tidak bermoral apabila menghasilkan kesakitan atau penderitaan.
Menurut Bentham kebahagiaan ialah keseronokan yang dihajati dan tiadanya kesakitan menakala kesakitan ialah tiadanya keseronokan. Keseronokan sahajalah natijah yang benar, baik dan yang diidamkan. Pengalaman keseronokanlah yang mesti dimaksimumkan sementara kesakitan diminimumkan.
Sesungguhnya inilah sistem moral Barat yang menjadi barah yang hebat melanda kehidupan masyarakat dunia bersengkongkol dengan fahaman sekular-materialis lalu menjadikan hidup di dunia ini sebagai pentas untuk mencari kepuasan nafsu dan berseronok-seronok.
Kerana pengaruh Utilitasrianismelah anak-anak muda Bangsa Melayu hilang pedoman hidup, lalu memburu keseronokan hidup. Mereka alpa untuk mengetahui kerana apa manusia diutuskan di muka bumi. Mereka alpa untuk menyedari kenapa mereka dicipta? Mereka alpa untuk mengetahui apakah penanggungjawapan mereka? Mereka lalai dan alpa, bahawa hidup di dunia adalah perjalanan kembali kepada Allah Rabbul Alamin dan singgah di muka bumi sekadar sebentar mencari bekalan dalam satu perjalanan yang panjang.Mereka alpa untuk menginsafi bahawa maut akan tiba pada mana-mana masa dan nyawa manusia bila-bila masa sahaja akan direntap untuk dihadapkan ke Hadrat Allah secara rela atau terpaksa di Hari Pengadilan.
Inilah tujuan penciptaan manusia. Firman Allah:
`Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu’
Inilah pula amanah penciptaan. Firman Alah Taala.
`Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh’ (Al Ahzab:72)
Inilah distinasi hidup. Firman Allah Taala:
`Sesungguhnya Kami kepunyaan Allah dan kepadaNya lah kami kembali’ (Al Baqarah:156)
Inilah penangungjawaban di Yaumil Mahsyar mengenai amanah.
‘Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrahpun, nescaya dia melihatnya (akibat). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrahpun, nescaya dia akan melihatnya pula (balasan)’ (Az Zalzalah:7-8)
Akan tetapi Pendidikan sekular telah memesongkan kiblat hati para pelajar, lalu menjadikan minda mereka penuh dengan ilmu sekular demi matlamat sekular. Akhirnya mereka hidup secara sekular untuk keseronokan memiliki jawatan bergaya, mendapat gaji lumaian, kedudukan dan pangkat kemuliaan. Mereka menjadi pemburu keseronokan untuk mendapat nama yang harum dan masyhur, keseronokan mencari dan mengumpul ringgit dan harta, keseronokan memiliki rumah yang cantik dan kenderaan mahal bergaya, seronok dengan permainan, sukan, hiburan dan pesta-pestaan, keseronokan sukaria dan serba suka dengan pemenuhan nafsu amarah - mabuk-mabuk, kebebasan seks dan serbanika madu manis jelengkit dunia.
Apakah ini erti kehidupan di dunia?
Bertambah parah apabila stesen television dan media-media percetakan sangat mempromosikan ruang untuk keseronokan hiburan yang panas dan kurang manis, menyinggung kemuliaan agama dan melalaikan. Media elektronik dan cetak tidak dijadikan alat untuk mengisi minda dan jiwa dengan juadah-juadah santapan rohani demi kemuliaan martabat insan. Semua ini berlaku kerana matlamat keuntungan dalam falsafah materialisme.
Jika dunia dijadikan tempat berseronok-seronok, bersuka-ria dan bersuka-suka dan untuk keseronokan, jika jiwa dipenuhi dengan semata-mata keseronokan, di manakah lagi tempat sisa iman demi kebangkitan Bangsa Melayu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan