13 November 2009

36

ANAK NABI ADAM

Aku bersama isteri memang agak bersusah-payah juga mencari Usop anak lelaki Ibu Siti Zubaidah. Aku perlu berkenalan dengannya terlebih dahulu kerana hanya dengan melalui Usop, baharulah aku boleh bertemu dengan Saidina Ali.

Setelah sedikit tercari-cari akhirnya sampailah aku ke rumah Usop.Usop memberitahuku gurunya Saidina Ali atau dipanggil Pak Ali sedang sakit dan dirawat di hospital. Tergamam juga aku bila mendengar berita itu. Jadi aku bersama Usop terpaksalah pergi menziarahi Pak Ali di hospital dan pertemuan itulah yang membawa aku ke rumah Pak Ali pada hujung minggu berikutnya.

Pak Ali telah pulih nampaknya. Dia mengakui memang mengidap empat jenis penyakit iaitu masalah jantung, darah tinggi, kencing manis dan gaut. Tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal. Ketika kami tiba, Pak Ali berada sendirian sahaja di rumahnya di Buluh Gading. Rupa-rupanya rumah berkenaan adalah rumah kebun sahaja. Rumah sebenarnya adalah di perkampungan Sungai Sedut.

Aku datang pada malam tersebut khas mahu mencungkil mengenai latar dirinya.Kenapa dan bagaimana dia mendapat taraf yang sedemikian tinggi?

`Mati makrifat ini Cikgu, bukan terhad setakat tujuh kali sahaja’, dia menerangkan bila aku mengatakan mati makrifat adalah sekadar tujuh kali sahaja.

`Lebih dari tujuh, Cikgu’, Pak Ali bernada tegas.Dia menerangkan dengan wajah ceria. Pak Ali nampaknya memang seorang yang sentiasa ceria.Wajahnya sekali imbas mirip wajah Dato Ali Rustam. Kalau ada misai tebal, tentulah hampir 100% serupa dengan Dato Ali Rustam.

`Pak sudah empat puluh satu kali mati....’, Pak Ali menerangkan.`Kali ini adalah kali yang keempat puluh dua’

`Empat puluh dua kali?’, aku cukup terkejut. Tok Lat setahuku hanya baru beberapa kali sahaja. Demikian juga Mat Kilau dan Dato Bahaman. Menurut maklumat yang aku tafsirkan, tak siapa pun dari orang-orang lama yang telah aku kenali sebelum ini, menempuh mati makrifat lebih dari tujuh kali. Jelaslah, bahawa aku sekarang telah sampai kepada tahap penemuan dan penyelongkaran yang teramat tinggi.

Pak Ali tersenyum.

`Mula-mulanya Pak sebagai anak Nabi Adam’, Pak Ali melanjutkan.

Dia masih terus tersenyum.Tapi tidaklah dia menceritakan kesemua sejarah mati makrifat yang telah ditempuhinya. Dia sekadar menerangkan permulaannya adalah sebagai anak Nabi Adam dan beberapa nama yang besar yang aku telah terlupa, dan sekarang adalah sebagai Saidina Ali.

`Pak telah menempuh pengalaman ribuan tahun, lahir sebagai manusia yang menempuh berbagai-bagai cara hidup penuh kemewahan, kebesaran atau derita sengsara’, Pak Ali menerangkan seterusnya.

`Bagaimana?’, aku sungguh takjub. Aku ingin mengorek lebih lanjut kesahnya. Maklumat ini teramat luar biasa bagiku. Sebelum ini aku sudah cukup takjub dengan kesah Tok Lat dan Tok Ayah Sohor, tiba-tiba pada malam ini Pak Ali membongkarkan satu maklumat yang berganda-ganda menakjubkan.

`Kita boleh pilih Cikgu, samada mahu jadi seorang yang hidup senang atau orang susah’

Aku terkelip-kelip tidak mengerti.Pak Ali ketawa.

`Ketika kita masih di alam ghaib, kita pilihlah sendiri. Kalau kita mahu rasa hidup senang-lenang, penuh kemewahan dan kebesaran, kita pilihlah jadi anak raja’

`Bagaimana?’

`Waktu ibu dan bapa sedang bersenggama’, dan Pak Ali ketawa.`Ketika itulah...’

Dan ketawa Pak Ali menjadikan aku kian terpesona dengannya. Memang jelaslah bahawa dia seorang yang jauh lebih luar biasa berbanding dengan Tok Lat dan Tok Ayah Sohor. Orang yang telah ribuan tahun menempuh sejarah berulang-ulang kali mati makrifat berbanding Tok Lat dan Tok Ayah Sohor yang cuma baru sekitar tak sampai pun dua ratus tahun.

`Pak sekarang sebenarnya sudah sangat tua, Cikgu’, Pak Ali meneruskan.`Kalau Pak mahu tunjukkan diri Pak yang sebenarnya, Pak hanyalah seumpama kain buruk yang terlepek di atas lantai. Tua sangat...’

Aku faham maksudnya itu. Tua dalam hakekat makrifat. Tapi bila melihat Pak Ali sekarang dia sebenarnya bukanlah termasuk dalam ketegori orang tua. Dia sebenarnya – kalau menurut roman muka dan tubuhnya, baru berusia 50an.Memang benar pun, sebab Pak Ali masil lagi bekerja dan belum bersara. Dia bekerja sebagai seorang Juruteknik JKR di sebuah pejabat JKR Daerah. Pada setiap hujung minggu dia balik ke rumah isterinya di Sungai Sedut. Tapi dia tidaklah begitu kesahkan masalah berulang-alek. Tidaklah seperti aku yang banyak merungut berulang-alik sejauh 240 km dari rumah ke tempat kerja.

Menurutnya dia boleh ada atau boleh tidak ada di pejabat menurut kesukaannya. Dia boleh adakan atau hadirkan dirinya di pejabat, walaupun dia sebenarnya pergi ke tempat lain.Dia juga tidak kesahkan perangkap had laju polis. Sepanjang hayatnya dia tidak pernah terkena perangkap had laju. Menurut tafsiranku, hal ini terjadi kerana Pak Ali tentu boleh sken polis yang membuat perangkap had laju atau boleh kelirukan pandangan polis.

Ketika kawasan perumahannya terkena banjir selama lebih satu minggu, semua kenderaan tenggelam oleh air banjir dan selepas air surut, semua kereta tidak dapat dihidupkan lagi.Tapi menurut Pak, keretanya boleh dihidupkan seperti biasa.

`Bagaimana?’, aku cuba mencungkil.

`Pak tutup semua lubang air’

Aku melihat Pak Ali tersenyum kerana dia tahu bahawa aku tahu semuanya itu, bukanlah melalui proses biasa. Mana ada masa Pak Ali mahu menutup semua lubang engin kerana air dikatakan menyerbu dengan cara yang sangat tiba-tiba!

Bila Pak Ali menerangkan bahawa dirinya telah teramat tua, teringatlah aku kepada kesah Sahak, anak saudara Tok Ayah Sohor yang menceritakan kepadaku, dia pernah terlihat Tok Ayah Sohor dalam bentuk seorang orang tua yang telah bongkok tiga sedang berjalan terbongkok-bongkok menuju ke bilik air di hadapan balaisahnya di Tanah Merah.

Bila Pak Ali menerangkan kepada aku suami isteri, bahawa dia boleh menunjukkan dirinya adalah umpama sehelai kain buruk yang terlepek di atas lantai disebabkan sudah terlalu tua, isteriku sangat terkilan kenapa aku tidak terus saja meminta Pak Ali berbuat demikian pada masa itu? Memang aku pun terasa sedikit kesal kerana tidak meminta Pak Ali menunjukkan dirinya yang sebenarnya pada malam itu.Tapi isteriku pun satu juga,kenapa dia sendiri tidak memintanya?

Pak Ali seterusnya menerangkan bahawa di atas muka bumi sekarang, cuma dia berdua sahaja yang diberi tanggungjawab untuk membentuk Kerajaan Allah Taala yang bernama Kerajaan Tabarokallazi. Maklumat yang diberikannya menjadikan aku begitu keliru dan terkejut kerana aku telah memiliki maklumat tersendiri. Maklumat aku ialah maklumat yang sangat rahsia dalam simpananku, iaitu maklumat melalui khabar-khabar ghaib yang disampaikan oleh Tok Lat dan Tok Ayah Sohor mengenai kerajaan pada masa hadapan, peranan Tok Penghulu Malim dan kedudukan aku sendiri bila tiba waktunya.Ini bererti ada perbalahan dan peranggahan yang sangat besar antara kefahamaku dengan Pak Ali.

Bila hal ini dibicarakan dengan lebih terperinci, terseretlah nama-nama Tok Lat dan Tok Ayah Sohor. Aku terpaksa menceritakan mengenai keris-keris kebangkitan yang berada di tangan Tok Penghulu Malim dan yang telah diserahkan kepadaku sebagai bukti.

`Mengarut semuanya itu, Cikgu’, Pak Ali berkata dengan yakin.Kata-katanya itu bagaikan letupan halalintar ke telingaku.

Isteriku memandang tepat ke wajahku dengan wajah seribu makna.

`Kerajaan yang benar ialah Kerajaan Allah Taala, Kerajaan Tabarakallazi biyadihil mulku wahuwa `ala kullisyain qadir’

Aku belum pernah mendengar istilah kerajaan sedemikian. Aku memohon penjelasan darinya.

`Pak dengan Ayahanda diberi tanggungjawab untuk menubuhkan kerajaan ini’

`Siapa Ayahanda?’, aku bertanya.

`Dia tinggal di Kelantan’, Pak Ali menjawab.`Ayahanda ialah Nabi Khidir’

`Nabi Khidir?’

Aku pernah mendengar kesah Nabi Khidir berada di Kelantan melalui kawan ku Rozamli Mat Atil pada awal 1990an dahulu. Ketika itu dia mempelawa aku mengamalkan Jalan Makrifatullah dan nantinya boleh bertemu dengan seorang yang dipanggilnya Pak Cu usianya telah 30,000 tahun.Dia adalah Nabi Khidir dan tinggal di Kelantan. Dia hidup sebagai seorang manusia biasa yang ada anak dan isteri.

Rozamli Mat Atil mencadangkan supaya kami berdua bertapa di sebuah gua untuk membuat persiapan perang sabil yang bakal tiba.Kepadanya telah ditayangkan sebuah filem ghaib mengenai gambaran yang bakal terjadi dan peranannya untuk menghadapi kemusnahan yang bakal menimpa bangsa dan negara.Digambarkan olehnya orang-orang Melayu akan hancur oleh kehebatan tentera `tok ca’ yang setiap dari mereka memiliki kesaktian tempur dan boleh muncul dan ghaib di mana-mana sahaja.Mereka berpusat di Pulau Pinang.

Tetapi pada masa itu aku teguh dengan pendirian dan keyakinan yang asasnya telah terbina di Raub bahawa bangsa Melayu tetap ampuh di bumi Melayu ini oleh adanya tentera-tentera Allah, pejuang-pejuang dan penunggu tanah air; satu keyakinan dan pendirian yang sangat berbeza dengan apa yang dikatakannya. Lantas aku mempercayai bahawa kawanku itu telah diseret pemikirannya oleh jin. Aku tidak mempercayainya samasekali dan sejak itu aku tidak lagi rapat dengannya.

Ada banyak hal-hal yang tak masuk akal menyebabkan aku menolak berbagai-bagai berita dan kesah ghaib yang dialami dan dilalui oleh kawanku itu.Antaranya dia mendakwa telah menyelam secara rohani melihat kerajaan yang tenggelam di dasar Tasik Chini, masuk ke dalam kubur dan berdialog dengan ahli-ahli kubur dan boleh turun naik ke langit bagi menyelamatkan isteri dan anak-anak sewaktu perang besar berlaku nanti.

Dan sekarang, apakah aku telah dipertautkan kembali dengan kesah ini – kesah yang dahulunya aku tolak dengan akal yang rasional dan logik?

Terseretlah pula nama Rozamli Mat Atil dalam perbualan.

`Rozamli Mat Atil, murid Ayahanda yang durhaka’, Pak Ali menerangkan.

Menurut Pak Ali, Rozamli Mat Atil adalah murid yang keras kepala, tidak jujur dan banyak membawa masalah. Dia menceritakan dengan panjang lebar mengenai kesah kawanku itu dan banyaklah maklumat-maklumat yang tidak menggembirakan kalau diketahui oleh kawanku itu yang dihuraikan oleh Pak Ali. Yang Pak Ali dan Ayahanda bimbangkan ialah kerana Rozamli Mat Atil sedang menyebarkan pengaruhnya kepada orang lain sedangkan dia sebenarnya tidak layak berbuat demikian.Lagipun apa yang Rozamli Mat Atil dakwahkan, berbeza dengan pegangan dan pendirian Pak Ali dan Ayahanda.

`Dia terlalu cepat mahukan pengaruh dan ketinggian’, demikian rumusan Pak Ali mengenai Rozamli Mat Atil. Kesimpulannya Rozamli Mat Ali telah menyeleweng.

Pak Ali kemudiannya menjanjikan akan membawa aku bertemu dengan Ayahanda, tapi syaratnya aku terlebih dahulu perlu mengamalkan amalan untuk melayakkan menjadi tentera Allah Taala dalam Kerajaan Tabarokallazi. Pada malam itu aku terus menerima ayat-ayat untuk diamalkan.

`Sudah 360 orang cuba mengamalkannya. Cuma Pak seorang sahaja yang berjaya’

Aku terperanjat mendengar maklumat yang sangat luar biasa itu.

`Cikgu cubalah.Manalah tahu. Untuk beramal, Cikgu dan isteri perlu mandi bunga dahulu. Cikgu datanglah petang esok. Bawa juga kain ihram. Isteri Cikgu bawa kain mengkana’.

Aku bersetuju dengan arahannya itu kerana manalah tahu nasibku, kalau-kalau boleh menjadi tentera Kerajaan Tabarokallazi demi untuk sama-sama terlibat dalam kebangkitan Islam akhir zaman. Aku bersedia mengamalkannya setelah semua ilmu Tok Lat dan Tok Ayah Sohor ternyata tidak serasi denganku. Tidak ada ilmu mereka berdua yang makbul untukku. Tidak ada sebarang bukti dan tanda menurut yang dialamatkan terjadi kepadaku.

Hampir sepuluh tahun aku mengamalkan ilmu mereka berdua, tapi hairan! Anehnya Tok Penghulu Malim dan anak-anak murid mereka yang lain, telah berjaya dan masing-masing telah terbuka kepada pelbagai keajaiban kerohanian. Masing-masing memiliki berbagai-bagai kebolehan dan keistimewaan.Aku sendiri tak ada apa-apa – habuk pun tarak! Aku cukup hairan!

Tok Ayah Sohor pernah berpesan kepadaku:

`Bila terbuka nanti, Cikgu, Cikgu akan dapat melihat hakekat semua orang. Cikgu akan takut melihat hakekat mereka – dengan rupa berbagai-bagai rupa haiwan yang buas lagi ganas. Bila terjadi begitu nanti, Cikgu ambillah cuti, duduklah di rumah’.

Pada masa yang lain Tok Ayah Sohor berpesan:

`Kalau Cikgu tiba-tiba terserempak dengan seorang orang tua, kalau diajaknya Cikgu berjalan, Cikgu ikut sajalah’, kalimat itu merujuk kepada perjalanan kerohanian yang akan aku tempuhi untuk peningkatan darjat.

Isteriku yang selama ini begitu patuh dengan kesetiaanku kepada Tok Lat dan Tok Ayah Sohor, tetapi begitu sangsi dengan pelbagai pemberian mereka kepada kami di sebalik jumlah dam yang dikenakan, memandangku dengan seribu makna di wajahnya. Isteriku yang selama ini cukup setia bersamaku dalam kembara, tetapi tidak mampu membantah kerana ketiadaan hujah, atau sebenarnya cuba mengelak dari bertelingkah dan bersengketa, memandangku dengan padangan mendalam, apabila Pak Ali mengatakan, bahawa Pak Ali dan Ayahandalah yang menggalas tanggungjawab mendaulatkan kerajaan akhir zaman.

`Tapi saya ada menerima keris, Pak’, aku cuba mempertahankan hujah.

`Keris? Keris apa?’

`Keris kebangkitan! Keris yang lebih tua dari Taming Sari!’

Pak Ali tercengang.

`Keris ini berkaitan dengan kebangkitan Melayu akhir zaman’, aku cuba berhujah.

`Tok Penghulu Malim lagi banyak’, aku bagaikan memberitahu Pak Ali bahawa bukan aku seorang sahaja yang telah dipesonakan oleh Tok Lat dan Tok Ayah Sohor. Ramai lagi! Pak Ali memang kenal dengan Tok Penghulu Malim.

`Awak bawa keris itu malam esok.Pak nak tengok’

Aku sebenarnya serba salah juga samada mahu membawanya atau tidak. Sesungguhnya sehingga sekarang kesah keris tersebut berada dalam simpanank, tidak seorang pun mengetahuinya. Aku tidak pernah menceritakan walau kepada sesiapa pun kesah aku, atau rahsiaku berguru dengan Tok Lat dan Tok Ayah Sohor. Bahkan setahuku tidak ada juga sesiapa pun yang tahu kesah aku sekeluarga berulang-alik sejak sekian lama ke Tanah Merah. Aku menjadikan segala-galanya itu sebagai rahsia aku sekeluarga, dan tidak akan aku bocorkan kepada sesiapa jua, sehinggalah ianya terbocor dengan sendirinya.

Apakah Pak Alilah orang yang pertama untuk aku serahkan nasib kesah aku, dan nasib keris-keris tersebut?

Akhirnya pada malam esok aku membawanya juga ke rumah Pak Ali. Aku telah nekad sekarang. Aku merasakan aku telah sampai di penghujung perjalanan. Aku perlu segera mendapatkan kesimpulan mengenai perjalanan yang cukup jauh dan meletihkan ini. Telah sepuluh tahun tempoh berlalu. Telah berpuluh ribu kilometer perjalananku sekeluarga. Telah entah berapa puluh ribu ringgit telah aku belanjakan. Dan telah entah berapa puluh ribu jam masa aku sekeluarga habis dalam perjalanan. Semuanya itu demi kebangkitan Melayu dan Islam! Apakah sia-sia semuanya? Entahlah.

Selepas aku dan isteriku selesai mandi bunga pada malam esoknya, kami mulai bersedia untuk menyaksikan nasib kerisku itu. Sekaligus nasib aku sendiri juga.

`Pak nak tengok sangat, setakat mana ilmunya. Setakat mana pembisanya atau segagah mana kuasanya. Kalau ada penjaganya, Pak nak tengok sangat, seperkasa mana makhluknya’

Lalu keris Tapak Gajah yang berbalut dengan kain kuning aku serahkan kepada Pak Ali. Lalu dibuka balutannya oleh Pak Ali. Setelah dibuka, lalu Pak Ali menghunusnya.Sejurus dia memicit-micit. Dia merasa-rasa dan mengesan apa-apa keanehan dari Tapak Gajah itu. Aku bersama isteri menanti dengan sedikit tertanya-tanya apa yang akan berlaku.

`Tak ada apa-apa pun!’, Pak Ali memberikan komen spontan.

Lalu dia mengambil pula keris kapit kepada Naga Mas. Dibuka balutannya dan dihunuskannya seperti Tapak Gajah tadi. Dia melakukan perkara yang serupa sebagaimana kepada Tapak Gajah.Memicit-micit dan cuba mengesan apa-apa keanehan dari keris tersebut.

`Pak nak tengok sekuat mana ilmunya’, Pak Ali berkata lagi. Mengulangi pernyataannya sebentar tadi.

`Pak nak tengok sehandal mana orangnya’

Dia terus memicit-micit keris itu.

`Tak ada apa-apa pun!’, tiba-tiba katanya lagi, dan Pak Ali ketawa. Aku tak dapat nak ketawa.Bercelaru minda dan hatiku.

Aku lantas menghulurkan Naga Mas. Bila Naga Mas berpindah ke tangan Pak Ali, aku pun berkata.

`Ha! Inilah Naga Mas. Keris yang paling utama’

Pak Ali segera membuka balutannya dan kemudiannya menghunuskannya. Naga Mas menyerlahkah dirinya yang bersadur emas bertatahkan naga.Seperti tadi juga, dia memincit-micit dan mengusap-ngusap. Berjurus-jurus dia begitu.

`Tak ada apa-apa pun’, Pak Ali berkata dan seperti tadi juga, dia ketawa.

`Tak ada apa-apa ilmu pun..’, lalu dia meletakkan keris tersebut di atas tikar.Aku menjadi tak keruan sekarang.

Aku tidak pasti apakah ilmu Tok Lat dan Tok Ayah Sohor telah ditawarkan terlebih dahulu atau keris itu memang tidak ada kuasa samasekali. Tapi aku lebih yakin, ilmu pada senjata itu telah ditawarkan oleh Pak Ali.

`Tok Lat dan Tok Ayah Sohor, ilmunya tidaklah setinggi mana...’ demikian kesimpulan muktamad dari Pak Ali.

Aku tidaklah begitu bersetuju dengan kesimpulannya itu, tapi kata Pak Ali seterusnya, kalau ilmu mereka tinggi, sudah tentulah Tok Empat Zanum - dia memang kenal Tok Empat Zanum - tidak kecewa setelah melalui perjalanan meletihkan melalui ribuan kilometer untuk mendapatkan nilai 8 billion ringgit harta karun! Tok Empat Zanum memang teramat kecewa kerana Tok Lat dan Tok Ayah Sohor tidak berdaya untuk menarik karun tersebut yang terpendam di dasar Laut Cina Selatan! Sejak kegagalan tersebut, Tok Empat Zanum terasa dirinya dipermainkan. Seperti aku juga, wang habis, masa pun habis!

`Tok Lat dengan Tok Ayah Sohor, bukanlah tinggi sangat Cikgu’, itulah kesimpulan Pak Ali sekali lagi.

Aku menjadi amat ragu-ragu dengan kesimpulan Pak Ali itu.Masakan! Terlalu banyak bukti kehebatan ilmu mereka. Walau bagaimanapun, mempercayai taraf Saidina Ali mungkin benar lebih tinggi berbanding dengan taraf Moyang, Tok Lat dan Tok Ayah Sohor – mempercayai dan ingin mengetahui Kerajaan Allah Taala Kerajaan Tabarokallazi, aku mengamalkan ayat-ayat suci tertentu dari al Quran selama 40 hari. Berbeza dengan ayat-ayat Tok Lat yang sesetengahnya entah apa-apa – bunyinya bagaikan bahasa al Quran; yang bila sampai waktunya mahu aku tunjukkan kepada orang-orang yang mahir Bahasa Arab untuk diberi makna - ilmu yang Pak Ali suruh aku amalkan semuanya adalah ayat-ayat al Quran. Setelah tamat aku amalkan, ternyata tanda-tanda dan isyarat kemujaraban amal tidak berlaku juga! Tidak ada apa-apa tanda seperti yang Pak Ali imbaskan.

Namun aku aku ternanti-nanti saat untuk mengenali Ayahanda seperti yang dirancangkan olek Pak Ali. Tapi ternyata Pak Ali sentiasa sahaja mengadakan berbagai-bagai alasan. Pak Ali sentiasa sahaja bermain dengan kata-kata. Telefon bimbitnya sentiasa sahaja tidak dapat dihubungi dan nombor konteknya bertukar pada saban minggu. Bila aku tanya berbagai-bagai alasan diberikan. Alasan yang bagaikan sengaja di ada-adakan dan dibuat-buat. Ada ketikanya temujanji tidak berlaku kerana dia tak datang.

Akhirnya aku mendapati Pak Ali sama sahaja dengan Tok Lat! Itulah kesimpulanku! Mereka berdua banyak elat dan lat.

Dengan Tok Lat, sesungguhnya teramat banyak pengalaman-pengalaman menunjukkan betapa liciknya dia. Betapa licik, elat dan latnya! Mungkir janji! Berdusta! Janji palsu! Penipu!

Mereka – Pak Ali, Tok Lat, Tok Ayah Sohor sama sahaja, tidak boleh diharap dan dipercayai. Mereka adalah pembohong, penipu besar dan pembawa bencana kepada Sunnah Rasulullah saw! Bila sampai kepada kesimpulan ini, aku sungguh bersyukur kepada Allah Taala yang tetap memeliharaku walaupun aku telah terperosok jauh dalam lembah kesesatan.Allah Taala menjaga dan melindungiku dengan menjadikan semua amalan ilmu yang diberikan oleh mereka tawar dalam amalan.

Kalau ilmu tersebut diizinkan oleh Allah untuk maakul dan makbul, aku tidak tahu di lembah kesesatan mana aku berada sekarang sebagaimana berlaku kepada watak-watak lain yang ada dalam kesahku; mereka semakin canggih dan maju. Di antara mereka, terutama Tok Penghulu Malim, sentiasa dapat mengumpul pengikut baru dan bertambah erat semula dengan Tok Ayah Sohor walhal dahulunya telah berkerat rotan berpatah arang. Orang-orang seperti mereka mungkin tidak mampu keluar dari lembah kesyirikan selama-lamanya.....

Alhamdulillah! Aku telah berjaya keluar.Inilah rupanya rahsia kata-kata Pak Habib kepada adik iparku sewaktu kunjungan pertama kami ke rumahnya dahulu.

`Teruk kakak awak Saharul! Teruk!’

Kami semua tercengang tidak mengerti.Dan mata Pak Habib beralih dari Saharul kepada isteriku.Kemudian beralih kepada aku pula.

`Kalau tak ada kakak awak, tidak ada sesiapa pun yang boleh menjaga Din’.

Aku tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana aku tahu isteriku. Pernyataan sedemikian pernah suatu ketika dahulu diucapkan oleh isteriku kepadaku sewaktu bicara harmoni antara kami setelah gigi dan lidah tergigit.Isteriku sesungguhnya memiliki rahsia dan rahsia inilah yang menyelamatkanku. Kalau isteriku tidak bersamaku, haruslah aku tidak boleh diselamatkan dan akan berada di jurang kebinsaan abadi. Rahsia isteriku adalah rahsia yang tidak samasekali boleh kunyatakan kerana ianya adalah rahsia! Rahsianya, rahsiaku dan rahsia dua orang lelaki Melayu dan perempuan Melayu terakhir.

2 ulasan:

  1. alhamdulillah cikgu terselamat..walaupun sudah banyak kerugian...niat yg suci menjadi permainan org2 yg zalim..dari awal saya sudah syak permainan kotor mereka2 ni..

    BalasPadam