09 November 2009

35

IBU SITI ZUBAIDAH

Di rumah Aki Anjang, di Tembesu Paya

Aku sampai selepas waktu tenghari sebaik selesai dari satu tugasan. Aku sampai waktu telah pun lama melepasi tengahari, tapi Aki Anjang nampaknya masih belum makan tengahari lagi. Jadi rezeki akulah boleh makan bersamanya untuk kesekian kalinya. Orang di rumah ini, walaupun tidak makan makanan laut tapi masakannya sangatlah enak. Isteri Aki, Mak Su Wandah memang boleh memasak sayur-mayur atau daging dengan resipi yang begitu menyelerakan. Masak tumis belimbing hitam ulam kerdas, jering atau petai, memanglah amat lazat dan membuka selera. Kadang-kadang diserikan pula dengan taruk kayu sebagai ulaman. Tambah pula kalau pada musim ulam buah kepayang jeruk. Bila pakej menjamu selera menjadi lengkap, selalunya selera agak susah untuk dikawal. Isteriku sendiri memberi pujian mengenai keistimewaan sentuhan selera tangan Mak Su Wandah. Bila isteriku memberikan pujian, ertinya markah dan kualitinya tentulah A* sebab isteriku sangat sensitif kemampuan selera rasanya.

Selepas makan, Aki memberitahuku dia ada urusan. Jadi dia meminta aku berbual-bual dengan Ibu Siti Zubaidah. Aku terkejut mendengar nama itu. Aki memberitahu Ibu Siti Zubaidah telah datang ke rumah Aki sejak lebih satu minggu yang lalu kerana menerima rawatan perubatan dari Aki. Aki mengambilnya dari Terengganu. Aku dipelawa oleh Aki untuk berkenalan dengan Ibu Siti Zubaidah. Mak Su Wandah ternyata memberi ruang yang seluasnya kepadaku untuk berbual-bual dengan Ibu Siti Zubaidah.

Sebelum ini, rumah Aki memang pernah juga dikunjungi oleh orang-orang lama. Selain Moyang ialah Dato Bahaman. Aku tidak tahu siapa Ibu Siti Zubaidah. Aku pernah mendengar nama tersebut dalam kesah Syaer Siti Zubaidah. Begitu juga sewaktu menerima keris Naga Mas dahulu, dikatakan oleh Tok Lat, Siti Zubaidah ialah anak kepada Maulana Malek Ibrahim, Wali Songo yang pertama. Maka aku sungguh gembira kerana mendapat peluang keemasan seperti ini untuk mengenalinya yang memang sudah pasti bukan orang biasa.

`Siapa Ibu?’,aku membuka medan sembang. Tadi sewaktu aku dengan Aki sedang makan, Ibu Siti Zubaidah tidak turut serta. Pada ketika itu aku tidak tahu pun Ibu Siti Zubaidah ada di rumah itu.

`Nama ibu ialah Saimah, tapi hakikatnya ialah Ibu Siti Zubaidah’.

Aku agak kurang pasti maksudnya.Ibu melanjutkan.

`Di dalam mimpi Ibu dinamakan begitu’.

Aku tidak bertanya apa-apa kerana ibu masih dalam proses menerangkan siapa dirinya.

`Ketika ibu masih anak dara’, Ibu melanjutkan.`Ibu beberapa kali telah didatangi mimpi yang ibu samasekali tidak mahu mempercayainya.Ibu diarahkan membuat satu tugasan oleh orang di dalam mimpi tersebut. Ibu tak mahu dan tidak menghiraukan perintahnya’.

Ibu Siti Zubaidah yang pada anggaraku berusia sekitar lima puluhan nampak bagaikan berusaha mengingatkan kesah yang telah agak lama berlalu itu. Aku menunggu bicara seterusnya.Tidaklah pula aku bertanya apakah tugasan yang diamanahkan.

`Orang di dalam mimpi itu mendakwa dia adalah Raja Mulut Merah dan ibu adalah keturunanya. Ibu tidak percaya. Orang dalam mimpi itu berkata, kalau tidak percaya nanti mulut awak akan menjadi herot. Walaupun dia memberi amaran begitu,namun ibu tetap tidak mahu mempercayainya’.

Mata ibu melilau sebentar mencari sesuatu.Bila matanya sampai ke tepak sireh,matanya berhenti di situ.

`Sanggup kalau mulut herot? Ibu diberi amaran di dalam mimpi’.

`Saya tidak percaya! Ibu tetap berdegil’

Ibu Siti Zubaidah diam sejurus. Tangannya mencapai tepak sireh lalu mengambil sehelai daun sireh. Sambil mengapur sireh, Ibu menyambung ceritanya.

`Beberapa hari berlalu, tapi ternyata tak jadi apa-apa pun.Ibu ingat selamatlah. Tapi rupa-rupanya seminggu kemudian, mulut ibu betul-betul herot. Bila mulut jadi herot, baharulah Ibu menjadi takut. Dan malamnya terus mendapat mimpi. Raja Mulut Merah datang lagi. Ibu merayu kepadanya supaya memulihkan mulut Ibu. Dia kata mulut Ibu tidak dapat dipulihkan selagi Ibu belum mengiktirafnya sebagai Raja Mulut Merah iaitu pangkat moyang pada Ibu’

Ibu Siti Zubaidah selesai mengapur sireh. Dia kemudiannya memasukkan rencah tambahan ke dalam sireh tersebut - beberapa hiris pinang yang telah dikacip nipis dan sedikit gambir. Selepas itu dia melipat-lipatkan daun sireh itu dan terus memasukkan ke dalam mulutnya. Sejurus dia berhenti berbicara kerana asyek mengunyah daun sireh.

`Kemudian Raja Mulut Merah berkata lagi. Oleh kerana Ibu mendurhaka kepadanya mulut yang herot hanya akan sembuh setelah terkena penampar darinya. Ibu tidak ada pilihan lain, selain menyetujuinya. Bila terkena penampar darinya, memang terasa sakit di pipi. Dan ibu memaang betul-betul hairan, mulut Ibu lantas pulih seperti sediakala pada keesokan harinya. Selepas peristiwa itu, barulah Ibu percaya, dia adalah moyang kepada Ibu. Dia adalah Sultan Mulut Merah’.

Ibu Siti Zubaidah berdiam diri sebentar, sambil mulutnya masih mengunyah-ngunyah sirih.Menjadi merahlah kedua-dua bibirnya sekarang oleh air sireh.Setelah menelan nikmat air sireh, Ibu Siti Zubaidah berkata seterusnya.

`Sultan Mulut Merah berkata, nasib Ibu memang akan sentiasa diirundung malang. Dia meminta supaya Ibu tetap bersabar. Selain terpaksa menanggung kesusahan hidup, ibu juga akan ditimpa sakit. Sakit ibu hanya akan sembuh, apabila diubati oleh abang Ibu sendiri. Ibu bertanya kepadanya, bila pula Ibu ada abang? Ibu memang tidak ada abang sedarah sedaging. Tapi dia kata ada. Bila awak sakit, abang awaklah yang akan mengubatnya’

Ibu Siti Zubaidah adalah insan yang memang sejarah hidupnya sentiasa dilanda derita iaitu selain kehidupan yang susah, dia akan selalu menderita sakit. Anehnya apabila sakit menjadi semakin teruk, pada ketika itulah dia seakan-akan terlihat ada seorang lelaki yang hebat datang memencak bagaikan menentang satu serangan. Selepas selesai bertarung lelaki itu akan menguruskan rawatan untuknya pula. Selepas mendapat rawatan, sakitnya akan berkurangan. Tetapi hairannya, kesihatannya tidak berkekalan. Beberapa tahun kemudian sakit tersebut akan berulang kembali. Maka berulanglah sekali lagi ia didatangi secara imbasan oleh seorang lelaki yang sama yang akan merawatnya.Dia diberi alamat bahawa lelaki yang merawatnya itulah abangnya di alam ghaib, dan bila sampai masanya mereka akan dipertemukan. Setelah bertemu baharulah dia akan pulih sepenuhnya.

Maklumat dari Ibu ini kemudiannya aku kemukakan kepada Aki Anjang pada suatu kesempatan yang lain. Aki Anjang mengakui bahawa dia dalam satu perjalanan ke Terengganu, tiba-iba diarahkan untuk menemui seorang perempuan yang hidupnya begitu susah dan sering pula dilanda sakit.

`Bila Anjang sampai ke rumah Ibu, Ibu yang sedang sakit ketika itu, tiba-tiba sahaja merasakan ada kesembuhan. Ibu dapat merasakan keanehan itu’, Ibu menerangkan.

`Aki memang tak pernah jumpa pun. Aki memang tak kenal. Tapi bila sampai ke rumah Ibu, tahulah aki, inilah adik kandung aki’, Aki Anjang menerangkan kepadaku saat pertemuan pertama itu.

`Ibu terus tahu’, Ibu menjelaskan seterusnya.`Inilah orang lelaki yang bersilat sewaktu Ibu sakit. Inilah orang yang yang merawat Ibu. Ibu yakin kerana bila melihat Anjang, hati Ibu sangat gembira dan sakit Ibu tiba-tiba sahaja bagaikan menjadi sembuh’.

Ibu Siti Zubaidah menerangkan bahawa pertemuannya dengan Aki Anjang cuma baru berlaku dalam waktu setahun dua ini. Ertinya dia telah cukup lama menderita. Kunjungannya ke rumah Aki Anjang pada kali ini adalah kunjungan pada kali kedua.Dia nampaknya telah semakin sehat dan dijangkakan dalam sehari dua lagi dia akan dihantar pulang ke kampungnya di Terengganu.

Aku cuba mencungkil kenapa dia terpaksa menanggung derita sejak sekian lama? Dia mengatakan ada rahsianya! Tapi tidaklah pula aku mendesak apakah rahsianya.

Aku cuba bertanya kenapa Ibu dengan Aki Anjang dikatakan adik-beradik, sedangkan mereka tidak dilahirkan dari satu rahim? Ibu mengatakan itu juga ada rahsianya!

Ibu Siti Zubaidah mendakwa dia pernah mendapat mimpi istimewa ketika terlelap selepas solat Maghrib. Entah mengapa dia tiba-tiba terlalu mengantuk lalu terlena. Dalam terlelap itulah dia dikunjungi oleh beberapa orang yang berjubah.Lalu seorang darinya bertanya kepadanya.

`Awak kenal orang itu?’, orang itu menunjukkan kepada seorang lelaki yang lebih hebat berbanding dengan yang lain-lain. Ibu Siti Zubaidah menggeleng-gelengkan kepalanya. Lantas orang itu menerangkan.

`Kalau awak nak kenal, itulah Nabi Muhammad’

Tapi Ibu tidak sempat bertanya apa-apa kerana mereka semua kemudiannya telah berlalu pergi.

Mengenai keluarganya, Ibu Siti Zubaidah menerangkan dia telah lama menjanda. Anaknya cuma ada dua orang sahaja. Anak perempuannya tinggal bersamanya di Terengganu, sementara anak lelakinya tinggal di Kampung Bolak tidak jauh dari rumah kediamanku di Bukit Lindungan. Isteri anaknya bekerja di sebuah kantin sekolah sementara suaminya berjualan pelbagai barangan di pekan sehari termasuk di bawah Kulit Kerang. Menurut Ibu, anak lelakinya yang tidak pernah belajar agama, sekarang telah semakin mendalam pengetahuannya mengenai ketuhanan dan boleh menjadi imam. Ibu Siti Zubaidah memberitahuku, anaknya mencapai taraf demikian kerana sedang berguru dengan Saidina Ali.

`Saidina Ali?’, aku terkejut

`Ya!’

Berita ini adalah berita yang teramat besar. Apakah aku akan mengorak langkah kepada perkenalan dengan martabat insan yang lebih tinggi setelah selama ini aku dimampatkan dengan ilmu oleh pahlawan terbilang Pahang? Aku tidak pasti tapi aku telah membuat ketetapan bahwa aku perlu mencari anak Ibu Siti Zubaidah, untuk membolehkan aku bertemu dengan Saidina Ali!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan