24 November 2009

RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA:
Komentar dan Ulasan

(1)
Menanti Keputusan Peperiksaan.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? – Al Baqarah:214

Saudara, ujianlah yang telah saya tempuhi dalam tempoh kembara saya sekitar sepuluh tahun.Walau bagaimanapun, sebelum ujian bermula, saya telah terlebih dahulu diberikan alamat betapa saya tidak akan berupaya untuk menempuh ujian yang bakal tiba. Sekurang-kurangnya ada dua alamat diberikan menggambarkan saya tidak akan mampu menghadapinya. Saya digambarkan seolah-olah sedang menuntut di sebuah universiti (UM tempat saya belajar dahulu). Pada suatu hari saya tiba-tiba diperingatkan bahawa peperiksaan akan tiba dalam tempoh terdekat.

Pada ketika itu baharulah saya sedar bahawa saya masih belum lagi menyiapkan beberapa kerja kursus yang diberikan sedangkan tempoh serahan telah begitu hampir.Saya juga masih belum lagi membaca dan mengulangkaji semua mata pelajaran termasuk juga mata-mata pelajaran pada semester terdahulu. Alangkah banyaknya yang belum dibaca! Dalam mimpi tersebut saya dapat merasakan betapa tidak bersedianya saya, betapa sukarnya perasaan saya untuk menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Saudara, selepas itulah saya dipertemukan dengan Tok Lat dan Tok Ayah Bidin. Selama kira-kira sepuluh tahun saya menempuhi kembara dalam persekitaran bersama mereka. Berhadapan dengan merekalah saya tafsirkan saya tidak memiliki sebarang persediaan! Bila tamat episode bersama mereka, saya tiba-tiba mendapat pula satu mimpi. Saya mengetuai pengawasan di sebuah pusat peperiksaan. Saya tiba tepat pada waktunya. Alhadulillah, tapi pembantu-pembantu saya agak lewat tiba dan saya menanti ketibaan mereka.

Selepas mimpi menjadi ketua pengawas peperiksaan tersebut, disusuli pula oleh mimpi saya diserahkan beberapa skrip peperiksaan yang perlu saya memeriksanya. Dan yang terakhir sekali ialah saya bermimpi pula menghadapi satu peperiksaan akhir – inilah peperiksaan pertama setelah digambarkan akan menempuh peperiksaan sejak sepuluh tahun yang lalu.

Peperiksaan akhir tersebut dilangsungkan untuk tempoh selama tiga jam. Pada dua setengah jam yang pertama, saya tidak menulis apa-apa jawapan – sekadar melihat-lihat soalan sedangkan calon-calon lain tekun menjawabnya. Setelah tempoh menjawab tinggal kira-kira setengah jam sahaja lagi, baharulah saya mula menjawabnya. Alhamdulillah, dapat pula disiapkan semuanya. Saya serahkan skrip jawapan kepada pengawas peperiksaan.

Saudara, sehingga sekarang saya belum lagi mengetahui apakah keputusannya! Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan