19 November 2009

37

AJAL DAN MAUT DI TANGAN TUHAN.

Malam sekarang. Jam telah melebihi 12.15 malam.

Kami anak-beranak berada di rumah sewa tempat aku bekerja. Aku ada tugas pada masa cuti sekolah, lalu anak-anakku, semuanya mengikut aku tinggal di rumah sewa tersebut.

Isteriku sedang sakit sekarang.Sakit yang teramat berat. Badannya tiba-tiba menjadi teramat bisa. Bisa seluruh kulit dan dagingnya. Bisa semua sendi dan tulangnya. Bisa dan pening kepalanya bagaikan dibaji.

Memang isteriku selalu mendapat bisa-bisa badan seperti itu. Penyakit itu memanglah juga salah-satu dari penyakit-penyakit idapannya. Bisa-bisa badan, tersentak urat, sakit kepala, selain sakit zaman-berzaman seperti aku juga – bisa pinggang.

Aku sesungguhnya sangat takjub kepada isteriku, bahawa dia teramat tabah menghadapi semuanya itu. Selama lebih lima tahun sepanjang aku ditukarkan ke tempat lain, dengan kesihatan sedemikian rupa, isteriku tetap mampu menguruskan persekolahan anak-anakku dengan sempurna. Yang lebih menakjubkan deritanya itu tidak seorang pun tahu. Tidak seorang pun tahu, kecuali anak-anak, bahawa dia pernah beberapa kali diserang kejang urat ketika memandu. Tidak seorang pun tahu bahawa dia dalam keadaan mengidap bisa-bisa badan, bahkan sakit kepala, tapi dia tetap tabah menguruskan semua keperluan anak-anak. Anak-anak tetap pergi ke sekolah dengan perut yang kenyang! Makan-minum anak-anak tetap terjaga sempurna, walaupun dia dalam keadaan kesihatan yang tidak sempurna. Ada tiga buah sekolah yang perlu dikunjungi pada setiap pagi dan tengahari, dan kadang-kadang waktu petang dan ada waktunya pula, pada beberapa waktu malam apabila anak ada kelas tuison untuk persediaan menghadapi SPM. Cuma tuison pada hujung minggu sahaja aku yang menguruskan kerana aku ada bersama.

Ajaibnya, bila pada hari Sabtu dan Ahad isteriku sedikit pun tidak menggambarkan bahawa dia sebenarnya sakit. Dia kelihatan sehat-walafiat menerima kehadiranku. Dia tetap ceria mengikut sama trip ke Tanah Merah yang bagaikan satu kewajipan bagiku pada hampir setiap bulan, atau ke rumah Tok Lat yang hampir pada setiap hujung minggu, sedangkan aku sendiri tidak tahu bahawa dia sebenarnya sakit! Aku sedikit pun tidak menyedari bahawa isteriku bahagia di dalam derita!

Bila badan isteriku bisa-bisa, anak-anakku akan duduk menindih pada seluruh badannya sehingga terlena. Itupun kalau terlena. Lama-kelamaan – biasanya hingga satu jam, akan reda juga. Walaupun aku memang tahu bahawa isteriku tidaklah begitu sehat, dan memang sentiasa berusaha membantu kesembuhannya, tapi sebahagian besar kesah deritanya, menjadi rahsianya dan anak-anak!

`Jangan bagi abah susah hati....’, itulah pesannya kepada anak-anak.

Tetapi sakit bisa yang menyerang isteriku pada malam ini, ternyata rawatan dengan duduk dan melenyek-lenyek tubuhnya, tidak lagi maakul walaupun semua anakku duduk di badannya serentak. Sakit pada malam ini ternyata agak luar biasa, kerana bisa yang tidak terperi tidak dapat juga diredakan. Bukan sahaja tidak reda, tapi bertambah bisa sehingga bergeseran kulit pun dirasakan bagaikan terkena asid. Aku sendiri bagaikan sudah berputus asa dan tidak tahu lagi untuk berbuat apa-apa.

Inilah kali kedua isteriku diserang sakit yang sebegini bisa. Kali pertama ialah ketika aku bertugas di Kuala Lumpur dan menginap di Hotel Vistana. Isteriku tersilap kerana tidak menanggalkan loket pemberian Tengku Puteri Normala Indera Kayangan binti Zainun Yang Ketujuh (Kesah dalam Bab 28:TENGKU PUTERI NORMALA). Ada satu pantang yang isteriku terlanggar iaitu tidak menanggalkan loket tersebut ketika buang air. Tidak lama sahaja selepas itu, kira-kira jam 9.30 malam, isteriku tiba-tiba mendapat bisa, badannya panas dan demam, sehingga kulitnya terasa bagaikan terbakar.

Aku telah berusaha memulihkannya tetapi nampaknya usahaku sia-sia sahaja.Pada ketika itu, aku tidak mempunyai pilihan lagi. Aku terpaksa menghubungi kembar Tengku Puteri yang tinggal di Kampung Geliga, Kemaman iaitu Along, meminta kaedah pemulihan darinya. Along lantas memberikan beberapa petua, dan setelah aku mengusahakannya, alhamdulillah, isteriku pulih seperti biasa. Peristiwa tersebut menyebabkan isteriku berkerat rotan berpatah arang dengan Tengku Puteri Normala dan Along, dan akhirnya berkerat rotan berpatah arang menjadi keputusan aku juga kerana setelah berkali-kali menyeru kehadirannya ke rumahku, Tengku Puteri Normala tetap juga tidak datang.

Along memberi alasan:`Dekat rumah Cikgu ada banyak makhluk jahat.Mala telah pergi, tetapi tiap kali pergi, makhluk tersebut mengganggu Mala.Jadi Mala takutlah nak pergi...’

Walaupun sakit di Hotel Vistana bagaikan sudah tidak terderita, tetapi sakit pada kali ini sesungguhnya terlebih dahsyat lagi. Isteriku bagaikan antara sedar dengan tidak sedar.Tidak ada upaya samasekali untuk dia bergerak, hatta mengangkat jarinya. Apatah lagi tubuhnya. Matanya merah dan berair. Dia hanya mampu mengerang. Kulitnya terasa teramat bisa, sehingga bergeser sedikitpun bagaikan terkena api.Aku dengan anak-anakku tidak tahu bagaimana pada sepanjang malam itu, isteriku menanggung deritanya sehinggalah menjelang siang.

Bila bangun pagi Kak De tiba-tiba memberitahu dia bermimpi. Rumah kami bagaikan dikepung dan dikelilingi oleh begitu ramai orang-orang yang berpakaian hitam. Besar-besar dan tinggi-tinggi semuanya. Mereka datang dengan beberapa buah kenderaan yang besar-besar memenuhi selebar jalan, berbentuk empat persegi berwarna hitam seluruhnya, termasuklah juga cerminnya. Kenderaan ganjil tersebut diletakkan di sisi rumah dan orang-orang hitam yang tinggi dan besar-besar itu berdiri di sisi kenderaan tersebut. Mereka datang seolah-olah mahu mengambil isteriku, demikian penerangan dari Kak De. Isteriku sendiri terpaksa bertarung dan bertahan sepenuh jiwa dengan zikir qalbu pada sepanjang malam dan seandainya terleka walau sekadar sesaat jua, katanya, seolah-olah akan tamatlah riwayatnya - akan terpisahlah rohnya dari jasadnya.

Menurut isteriku dan Kak De, semua mereka barangkali pahlawan dan tentera yang dikirim oleh Tok Ayah Sohor. Ini kami rumuskan kerana Tok Ayah Sohor pernah memberitahu kami dia memiliki kenderaan hitam persis yang digambarkan oleh Kak De. Syukurnya mereka sekadar berlegar di luar rumah dan tidak masuk ke dalam rumah!

Anehnya bila menjelang siang, bisa yang ditanggung oleh isteriku menjadi agak reda. Namun, dia tetap tidak bermaya, lemah, longlai dan lesu.

Isteriku percaya sakitnya berpunca dari keputusannya membasuh kain mengkana yang dijampikan oleh Pak Ali. Pak Ali telah berpesan supaya mengkana sembahyang jangan dibasuh sebelum ilmu diamalkan terlebih dahulu. Isteriku telah bertekad dia tidak mahu mengamalkan ilmu Pak Ali, tetapi dia mahu menggunakannya untuk dibawa bersembahyang. Dia berazam untuk membasuhnya. Sebelum ini beberapa kali dia pernah cuba mengacah untuk membasuhnya, tapi ada terselit rasa bimbang dan ragu. Namun, pada siang tadi dia bertekad bahawa `Allah Taala lebih berkuasa daripada Pak Ali’, dan dia membasuhnya. Anak-anak mengetahui keputusannya itu, tetapi aku tidak pula diberitahu. Akibatnya, selepas Isya, dia mula diserang bisa yang bisanya semakin bertambah meningkat dari minit ke minit!

Jadi siapakah yang memiliki tentera kotak empat persegi berwarna hitam yang mengepung rumah sewaku pada sepanjang malam? Tentera Tok Ayah Sohorkah atau Pak Ali? Aku tidak ada jawapannya.

Kira-kira satu atau dua bulan sebelum serangan ini, apabila aku balik ke rumah di Bukit Lindungan, isteriku dan anak-anak melaporkan bahawa kereta Perodua Kancil yang aku belikan untuk pengangkutan anak-anakku ke sekolah, telah beberapa kali bagaikan di serang. Ada ketikanya dengan tidak semena-mena bagaikan ada letupan-letupan di sisi kereta dan bagaikan terdengar sesuatu yang teramat laju melintasi di sebelah sisi atau di hadapan kereta. Pada ketika yang lain, sewaktu isteriku dan anak-anak dalam satu perjalanan ke sekolah, mereka merasakan Perodua Kancil bagaikan akan terbalik kerana kedua-dua tayar di sebelah kiri bagaikan telah terangkat. Tapi anehnya tidak juga terbalik! Dan satu keanehan juga, isteriku dan anak-anak tidak pula merasa takut dengan pengalaman-pengalaman aneh tersebut!

Aku sendiri pernah dua kali menempuh situasi aneh sewaktu memandu Perodua Kancil. Pertamanya ialah sewaktu berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat. Memang hairan juga tiba-tiba bagaikan ada beberapa letupan kuat dan bagaikan ada sesuatu yang menderu laju melalui bahagian hadapan keretaku.Kali kedua ialah ketika memandu Kancil dalam perjalanan balik ke tempat kerja. Setelah kira-kira 70 kilometer meninggalkan rumah, tiba-tiba aku terdengar letupan-letupan seperti yang telah aku alami sebelum ini. Aku menyangka lori kecil di hadapanku di timpa kemalangan atau tayarnya meletup. Tapi tidak. Spontan aku lihat satu objek bagaikan sepuntung kayu berpusing-pusing laju melintasi bahagian atas bumbung lori tersebut mencecah pucuk pohonan kayu di hadapanku dan terus hilang dari pandangan.Aneh! Dari mana datangnya benda berpusing bagaikan kayu itu?

Bila berbincang dengan isteri, kami sama-sama teringat sewaktu Perodua Kancil dibeli, kami membawa kepada Tok Lat untuk ditepung tawar bagi mendoakan keberkatan. Tok Lat lalu bertanya.

`Siapa yang pakai kereta ini?’

`Isteri saya, Tok’ aku memberitahu dengan jujur. `Saya beli untuk memudahkan anak-anak pergi ke sekolah’, jawabku.

`Mek pakai?’, Tok Lat bagaikan mahukan pengesahan dari isteriku. Isteriku menjawab.

`Dua-dua. Bergilir-gilir’

Sebelum ini isteriku menggunakan Waja, dan bergilir-gilirlah denganku yang lebih kerap menggunakan Mitsubishi Galant. Tetapi disebabkan Mitsubishi Galant tidak auto dan tidak memiliki stereng kuasa, memandunya adalah satu yang menyiksakan terutama dalam keadaan jalan yang sentiasa sibuk, terpaksa bermain dengan gear, pedal minyak dan klas yang keras. Aku pula sentiasa perlu bergerak ke destinasi yang jauh di serata Tanah Melayu menyebabkan keperluan menggunakan Waja begitu medesak. Terpaksalah aku membeli kereta yang sesuai dan jimat minyak untuk kegunaan isteriku.

Ketika Tok Lat bertanya siapa yang akan menggunakan kereta tersebut, isteriku memang telah mengesyaki ada niat yang tersembunyi darinya. Isteriku memang sejak dulu-dulu lagi ada kesadaran sedemikian. Kesadaran adanya permainan dalam perjalanan hidupku. Ini terbukti kerana cuma Perodua Kancil sahaja yang mengalami kejadian pelik tetapi tidak pula berlaku kepada dua buah keretaku yang lain.Kenapa Perodua Kancil sahaja yang menjadi sasaran? Jawapannya ialah cuma kereta itu yang ditepung tawar oleh Tok Lat.

Kenapa Tok Lat memberi ancaman kepada isteriku? Jawapannya adalah kerana isteriku menjadi faktor halangan kepada rencana Tok Lat terhadapku!

Kemuncak serangan kepada isteriku ialah apabila isteriku sedang berada di dalam rumah sendirian pada suatu tengahari. Dia tiba-tiba terdengar bagaikan ada satu hentaman yang teramat kuat daripada sesuatu kepada pintu kaca lungsur di ruang tamu rumahku. Serentak dengan itu terdengarlah bunyi kaca pecah bertaburan menghempas lantai, dan bila dia menoleh terlihatlah serpihan kaca bertebaran di atas lantai. Pada kaca lungsur tempat hentakan, kelihatan ada satu lubang sebesar kepingan CD, bekas bagaikan terkena hentakan sesuatu yang keras tadi.

Alhamdulillah.

Allah Pelindung dan Penolong Yang Sebaik-Baiknya. Allah adalah Zat Yang Maha Gagah Lagi Maha Perkasa yang kepadaNya lah bergantung segala sesuatu dari makhlukNya.

Serangan terhadap isteriku sebenarnya telah lama berlaku. Cuma aku sendiri yang kurang fikir dan kurang tafsir! Telah hampir sepuluh tahun sebenarnya!

Dalam tempoh itu mindaku telah beku dan terbelenggu.Tok Lat dan Tok Ayah Bidin memang telah berjaya menakluki mindaku, sehingga aku tunduk dengan penuh khidmat, patuh dan setia.Walaupn masih ada daya fikir dan analisis untuk menghujah dan memprotes, tetapi aku tetap kalah kepada mereka kerana mengharap kebenaran janji-janji yang sebenarnya palsu.Namun, alhamdulillah, walaupun mindaku ditakluki, tapi mereka tidak dapat menakluki hatiku.

Pada badan isteriku kadang-kadang terdapat calar-calar seolah-olah terkena cakar atau terdapat tumpukan-tumpukan lebam apabila bangun pada waktu pagi.Pada beberapa tahun sebelumnya, aku menganggap itu hanyalah satu fenomena biasa dan tidak mahu mempercayai ianya berkaitan dengan serangan-serangan dari dalam selimut, bagaikan duri di dalam daging. Tetapi sejak akhir-akhir ini aku semakin percaya, bahawa isteriku adalah sasaran serangan.

Serangan menjadi kian hebat terutama apabila aku telah membuat keputusaan muktamad bahawa aku tidak akan lagi mengadakan sebarang interaksi dengan Tok Lat dan Tok Ayah Sohor ekoran daripada peristiwa dalam bab sebelum ini:BERTEMU ANAK NABI ADAM.

Tok Ayah Sohor - kalaulah benar - tidak menyerang lagi selepas serangan pada malam di rumah sewaku dahulu. Cuma Tok Lat sahaja – barangkali - yang nampaknya tidak berputus asa. Dia terus melancarkan ancaman! Dia amat merbahaya! Ancaman terhadap isteriku mungkin tidak akan ada penghujungnya selagi isteriku bernyawa! Itulah kesimpulanku kerana isteriku adalah antara faktor utama kegagalan misi dan visinya terhadapku.

Kami bergantung kepada Zat Yang Maha Berkuasa. Agak lama juga tempoh perlindungan untuk isteriku terutama apabila malam mula menjelang. Nasihat dari Raub - tempat perguruan silatku - menjadi panduan buatku, dan kepada mereka aku sebagai cucu merayu rawatan, dan Tok Lat akhirnya menerima takdirnya.

Dalam satu perjalanan sekeluarga menghantar pulang Kak Long yang sedang melanjutkan pelajaran di Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang, aku tiba-tiba teruja dengan sebuah lagu yang aku tidak ketahui siapa penyanyinya pada ketika itu dan lagu itu pertama kali aku dengar, apabila didendangkan oleh seorang teman sekerja sewaktu meraikan persaraan Dato’ Pengarah. Pada malam itu aku sangat terkesan dengan lagu tersebut kerana kawan sekerjaku itu mampu mendendangkan dengan cukup menghiburkan. Aku bagaikan terpegun bila lagu itu berakhir.

Bila anakku memainkan CD lagu tersebut, aku meminta anakku mengulanginya sekali lagi kerana bukan sahaja iramanya yang sungguh merdu, tapi senikatanya aku dapati sangat sinonim dengan kesah kembaraku selama ini.Lagu itu menjadi laguku yang sering didendangkan melalui CD di dalam kereta atau di rumah oleh kami anak-beranak.

Inilah lagu ku.

Bisikan rasa di kejauhan,

biarpun jelas nyata, tak kuhiraukan.

Samudera dalam,aku selami,

keindahan cintamu, tak kuhargai.

Jauh perjalanan,luas pandangan,

bertambah pengetahuan,pengalaman.

Namun bahgia,belum kutemui,

kiranya yang kucari, ada di sini.

Aku menghampirimu, dengan kesal, dengan harapan.

Engkau menerimaku,dengan maaf dan kasih-sayang.

Demikian lama,tertutup mata dan minda.

Hidupku sia-sia,terabai masa.

Mujurlah pintumu,terbuka luas menanti,

ke persada cintaku,ingin kudaki.

Lagu ini kalau aku huraikan akan membongkar lebih banyak rahsia hidupku dan rahsia isteriku. Jadi cukuplah sampai di sini....

Begitulah juga dengan kesah Tok Lat...yang misi dan visinya telah digagalkan...Akhirnya Allah Azzawajalla mentakdirkan Tok Lat menerima takdir dariNya.

Takdir bagi Tok Lat memerlukan siri yang lain pula. Jadi, cukuplah sampai di sini...

Akan di sambung ke siri BERGURU DENGAN JIN [SEBUAH KESAH BENAR

PENGALAMAN PENGARANG DALAM MENUNTUT ILMU PERSILATAN].

T a m m a t