30 November 2009

(3)
Tentera-Tentera Iblis.

Ada dua jenis tentera iblis yang menyerang manusia yang mencari Tuhan pada jalan Tasauf.Satu adalah yang zahir dan yang satu lagi adalah yang ghaib. Firman Allah Taala yang bermaksud:

`Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia.Raja Manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia dari (golongan) jin dan manusia". (An-Nas: 1-6)

Firman seterusnya:

`Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta Yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu' ( Al Anaam:112).

Kedua-dua jenis syaitan jin dan manusia ini tidak dapat dikenali dengan mudah kecuali dengan ilmu. Manusia pada martabat Amarah samasekali tidak memiliki ilmu untuk membezakan mana satukah syaitan dari kalangan manusia, kerana mereka hanya kaya-raya dengan ilmu akademik dan sekular. Bagi mereka semua manusia adalah manusia, dan tidak ada syaitan dari kalangan manusia. Bagi mereka syaitan adalah makhluk ghaib yang berjenama seperti polong, pontianak, hantu raya, dan sebagainya yang membuat rasukan.Mereka tidak mengenali syaitan manusia, kerana bahawa sesungguhnya mereka sendirilah syaitan-syaitan! Inilah adalah bicara pada ilmu hakikat.

Pada martabat Lawamah, manusia telah dibukakan pengenalan untuk membezakan kategori manusia: manusia manakah yang baik, yang benar, berakhlak mulia dan beriman sempurna dan manusia manakah pula sebaliknya yang jahat, sesat, durjana, penuh dengan sifat nifak, fasik, kufur, suka maksiat dan berbagai-bagai sifat mazmumah. Timbullah keinginan pada nafsu Lawamah untuk menjauhkan diri dari golongan manusia yang jahat. Mereka mulai menyenangi manusia yang baik dan cenderung kepada kebaikan dan kebenaran. Timbullah keinginaan untuk mengikuti ajaran Nabi Muhammad saw dan menjadikan al Quran sebagai pedoman hidup.

Akan tetapi kekuatan jiwa untuk menentang pengaruh syaitan manusia dan jin pada peringkat ini masih lagi lemah. Pada martabat ini mereka mudah sahaja terdorong kembali kepada nafsu Amarah terutama kalau masih meneruskan pergaulan dengan syaitan manusia. Martabat Lawamah adalah medan mujahadah, peperangan yang sangat sengit untuk memastikan siapakah yang menang dalam pertarungan merebut takhta di hati – siapa yang akan bermastautin di hati. Kalau syaitan menang, manusia tadi akan kembali terjunam ke lembah Amarah dan haruslah kekal dengan nafsu tersebut; meneruskan matlamat dan gaya hidup yang bercanggah dengan Al Quran dan Sunah Rasulullah saw. Mereka biasanya menjadi golongan yang tegar menentang Islam walaupun kelihatan macam orang-orang Islam!

Bagi jiwa yang kuat menentang syaitan manusia dan jin, mereka akan meningkat kepada nafsu Mulhamah. Manusia pada martabat Mulhamah mulai memiliki hati yang bersinar. Pada tahap ini, syaitan akan mengirim soldadu yang berpangkat tinggi untuk menyesatkan mereka kerana martabat Mulhamah adalah martabat insan yang tinggi ilmu agamanya terutama ilmu mengenai Allah Taala (Zat, Sifat, Asma dan AfaalNya), baik akhlaknya, bagus amal ibadahnya dan mencintai kehidupan yang mulia berpandukan Sunnah Allah dan RasulNya. Pada tahap inilah orang-orang berilmu, ahli ibadah, pejuang Islam dan kebenaran akan teruji. Yang tidak ikhlas akan terperangkap dalam syirik khafi dan Tauhid KeEsaan.

Dengan kurniaan Allah Azzawajalla, alhamdulillah, saya dapat mengenali segolongan tentera iblis yang zahir tetapi dengan kelemahan saya sendiri, saya tidak dapat mengenali sebahagian zahir yang lain. Tentera iblis yang memakai pakaian Syariat dapat saya kenali. Dengan berpandukan Ihya Ulumiddin, insyaallah dapat kita kenali dengan mudah tentera-tentera iblis yang bertebaran di dalam masyarakat yang membawa bencana dan perpecahan kepada umat Islam. Sila baca Ihya Jld.1 Bab Ulama Akhirat dengan Ulama Dunia (Su') hal. 224 - 305. Inilah peranan kitab ini pada masa yang lalu. Sebab itulah saya menyarankan kitab Ihya Ulumiddin Jilid 1 – 8, perlu ditelaah pada masa sekarang untuk kembali semula kepada ajaran Rasulullah saw. Dengan berpandukan Ihya, insyaallah kita akan dapat mengenal siapa pembawa bencana kepada Syariat Rasulullah saw supaya tidaklah kita perlu bertegang leher lagi dan insyaallah akan kembali sepenuhnya kepada ajaran Allah dan RasulNya.

Akan tetapi dalam proses memahami Tasauf, tetera iblis yang memakai pakaian Tasauf saya tidak kenal samasekali: saya tidak dapat mengenal kekeliruan dalam ilmu, perdayaan dan kelicikannya. Ihya Ulumiddin tidak menyediakan maklumat berkaitan bidang mukasyafah dan inilah yang telah memerangkap saya. Ihya tidak menyediakan persiapan untuk berhadapan dengan soal makrifat dan hakekat dan oleh kerana itu saya tidak dapat mengenali mereka sebagai pembawa bencana kepada Sunnah Allah dan RasulNya pada peringkat tinggi.Inilah tamsilan yang diberikan kepada saya iaitu saya tidak ada memiliki apa-apa persediaan untuk menghadapi peperiksaan di universiti!

Saudara, dalam proses belajar Tasauf, saya sangat tidak menyangka bertemu dengan guru-guru Tasauf yang telah tesasar dalam perjalanan. Saya sejak sedari mulanya memang amat berhati-hati mencari guru Tasauf kerana saya memang sedar permainan iblis teramat dahsyat dalam perjalanan pada tingkat ini. Saya sudah kenali sebahagian di antara mereka yang telah menyeleweng, namun dalam keadaan begitu berhati-hati itulah, saya termasuk juga ke dalam perangkap iblis. Guru-guru Tasauf yang telah tersasar ini telah menyebabkan saya tersasar sama. Semuanya ini berpunca dari kelemahan saya sendiri - kejahilan, kebebalan dan penyakit-penyakit hati. Apa pun saya sedar bahawa perjalanan saya adalah satu perjalanan yang telah dirancang dan ditakdirkan kerana selepas tamat tempohnya, ada sesuatu yang amat bernilai yang Allah izinkan untuk saya memahaminya. Alhamdulillah!

3 ulasan:

  1. Lagi satu penggunaan nama AZAZIL tu tak berapa sesuai sebab AZAZIL tu nama IBLIS kepada guru MALAIKAT sebelum dilaknat selepas itu digelar SYAITON yang direjam.

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah.
    Terima kasih atas teguran yang amat saya hargai.

    BalasPadam
  3. Nak tanya... Mat sabu tu kategori apa ye? Adakah amarah? Bisikan hati sy kuat mgatakan dia adalah tentera iblis dlm klgn mujahidin.... Wallahualam

    BalasPadam