29 November 2010

86. Risalah Kominis.

Tok memang geram dengan pihak keselamatan yang bertindak tidak di atas falsafah menegakkan kebenaran. Aku teringat kesah pada tahun 1978:
Pada tahun 1978 kegiatan bersenjata secara gurila oleh PKM masih agak kuat. Daerah Raub termasuk dalam kawasan hitam bilamana kawalan keselamatan oleh polis dan tentera agak ketat. Perkauman masih agak tebal dan rasa curiga-mencurigai agak tinggi. Parti DAP pada waktu itu dianggap sering menyalakan api perkauman sehingga ada risalah-risalah haram diedarkan untuk membangkitkan semangkit kecinaan dan anti Melayu.
Ada satu risalah yang bertulis di dalam Bahasa Melayu yang sampai kepada ku. Aku sudah terlupa bagaimana aku mendapatnya dan risalah ini tersebar di kalangan kami. Diberitakan rencana tersebut diperolehi dari sumber asalnya dalam bahasa Cina. Risalah tersebut menggambarkan semangat kecinaan dan anti Melayu dan dikatakan telah tersebar dengan meluas di kalangan orang-orang Cina secara rahsia.
Bila membaca risalah tersebut timbullh rasa geram di hati ku. Aku merasakan satu tanggungjawab pula untuk memberitahu kepada orang-orang Melayu mengenai cita-cita politik Bangsa Cina. Orang-orang Melayu perlu disedarkan bahawa kalau mereka masih leka, negara ini tidak lama lagi akan dikuasai politiknya oleh orang-orang Cina. Orang-orang Melayu perlu disedarkan bahawa dendangan Perpaduan Nasional hanyalah momok sahaja dan tidak akan menjadi kenyataan kerana orang-orang Cina mempunyai niat tersembunyi yang tidak disedari oleh orang-orang Melayu.Ini keyakinana ku pada masa itu melalui pengalaman gerak hati, bacaan politik dan penerangan dari tok.
Aku lantas menggunakan mesen cetak (mesen stensel) sekolah – waktu itu belum ada kemudahan fotostat. Aku taip pada kertas stensel dan kemudian dengan mesen cetak sekolah iaitu dengan bantuan En.Shamsuddin (budak pejabat), aku cetak dengan jumlah yang banyak.Kertas-kertas stenselan tersebut aku masukkan ke dalam sampul surat dan aku kirimkan kepada orang-orang yang penting di persekitaran kampung halaman ku terutama Ketua Kampung, Pak Imam, pemimpin politik cawangan bahkan Tok Penghulu.Selain mereka, aku bercadang untuk mengirimkan seberapa banyak yang boleh kepada orang-orang Melayu dan kenalan ku di seluruh negara.
Kira-kira kurang lebih sebulan berlalu.
Pada suatu hari Isnin aku ditimpa demam dan tidak hadir ke sekolah.Pada sebelah petangnya En, Shamsuddin datang ke rumah hijau dengan basikalnya memberitahu ku Guru Besar En. Chew Swee Boon (mendiang) berpesan kalau masih tidak sihat juga, dia meminta aku pergi juga ke sekolah pada hari besok kerana ada hal penting. Datang sekejap pun tak apa. Bila mendapat pesanan itu, hati ku terus berdebaran. Aku tanya En. Shamsuddin, apa yang berlaku di sekolah. En.Shamsuddin memberitahu ada polis datang ke sekolah berjumpa dengan Guru Besar tapi dia tidak tahu kenapa. Serta merta fikiran ku melayang kepada risalah yang telah aku edarkan.Aku mengesyaki itulah puncanya.Aku tiba-tiba diserang ketakutan. Bila Sudin balik aku tidak bertangguh lagi. Aku dengan segera membakar kesemua risalah yang masih berbaki di dalam simpanan.
Bila sampai di sekoah pada hari esoknya, Guru Besar meminta aku segera pergi ke balai polis dan berjumpa dengan Inspektor.................. dari Cawangan Khas.
Sambil menyerah kepada Allah dan memohon pertolonganNya aku terus ke balai polis. Pada waku itu aku hanya berbasikal sahaja.
Di Balai Polis aku terus memperkenalkan diri untuk berjumpa dengan Inspektor berkenaan. Dia menyoal siasat ku. Memang betul terkaan ku. Risalah yang aku edarkan menjadi puncanya. Aku pura-pura tdak pernah melihat risalah tersebut. Lalu Inspektor berkenaan menunjukkan kepada ku sehelai risalah siap dengan sampulnya sekali yang dialamatkan kepada Tok Penghulu. Aku menafikan sekeras-kerasnya penglibatan ku dalam pengedaran risalah tersebut walaupun sahihlah sudah, itulah risalah yang aku cetak sebelum ini. Di akhir soalsiasat, Insektor tersebut berkata:
`Pihak polis akan meneruskan siasatan dan kalau didapati kenyataan yang Cikgu berikan bercanggah dengan apa yang kami temui, kami akan mengambil tindakan selanjutnya’.
Aku tidak pulang ke sekolah dan kemudiannya terus balik ke rumah kerana aku memang mendapat cuti rehat selama dua hari.Pada hari itu aku berjalan dan mengayuh basikal bagaikan tidak bertulang.Aku ceritakan kepada Yim dan Yim laporkan kepada tok.
Malam Tok Itam datang. Aku lihat mukanya merah dan air matanya berlinangan. Beberapa jurus tok tidak berkata apa-apa.Tok sangat dukacita dengan peristiwa itu kerana tugas yang murni telah disalahertikan. Tok berjanji akan memastikan perkara tersebut akan dilenyapkan begitu sahaja.
Bila tok pulang Yim memberitahu, tok seakan-akan mahu mengamuk apabila mendengar kesah ku itu. Sebab itulah buat beberapa jurus sewaktu tok tiba, tok tidak dapat berbicara. Kalau pada zaman dahulu tok sudah tentu akan mengamuk kalau apa-apa berlaku kepada ku, cucu yang diasuhnya. Tapi sekarang undang-undang di tangan polis berbeza dengan zaman dahulu.
Alhamdulillah semuanya selamat. Aku tidak pernah lagi dihubungi oleh pihak polis selepas itu. Kesah ini aku berani paparkan kerana aku percaya kes itu telah pun ditutup dan inspektor berkenaan aku percaya mungkin telah lama bersara/ meninggal dunia.Orang-orang yang pernah ku edarkan surat dulu pun semuanya telah meninggal dunia.Apa pun aku meminta maaf kepada semua yang berkenaan kerana pernah mengganggu emosi mereka termasuk pihak polis.
Polis mengesyaki akulah yang menyebarkan risalah haram tersebut kerana cop pada sampul surat mengesahkan semuanya diposkan dari Raub dan bila diselidik, aku lah agaknya satu-satunya orang tempatan yang diketahui bertugas di Raub.
Jadi apakah akan ada lagi Kebangkitan Rakyat yang lebih hebat sehingga polis dan tentera akan ikut serta bersama rakyat untuk meruntuhkan sistem Yahudi bagi digantikan dengan sistem Islam?
Bila Kebangkitan Rakyat 2007/8 tidak merubah wajah bumi Melayu ini, semuanya ini kian memenatkan ku setelah perjalanan mencari Guru Mursyid sepanjang dekad 1990an dan 2000an cukup meletihkan.

22 November 2010

85. Mimpi-Mimpi

(Bacalah juga RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA kerana kesah ini ada perkaitan dan kesinambungannya ialah RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA)
Apakah aku menerima mimpi-mimpi karut?
Entahlah..
Banyak yang dialamatkan tapi semuanya menjadi rahsia sekeluarga.
Pada saat kedatangan berbagai-bagai mimpi itulah Tok Lat dan Tok Ayah Bidin memainkan peranan mereka dengan berbagai-bagai pemberian terutamanya KERIS KEBANGKITAN/PERTABALAN dan dibantu sama oleh PUTERI-PUTERI BUNIAN yang semuanya dikesahkan dalam RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA.
Pada ketika itu aku tidak merujuk mimpi-mimpi tersebut kepada dato-dato kerana tak mahu rahsia-rahsia besar terbocor kepada Yim kerana aku berpendapat Yim tidak berhak mengetahuinya – yakni rahsia ku, lebih-lebih lagilah hal ini ada pula kaitan dengan Tasauf yang Yim memang tidak mengetahui dan tidak memahaminya samasekali.
Ada banyak petunjuk diberikan melalui mimpi:
Antaranya ialah:
(1) Melihat Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Dalam Bingkai Gambar.
Pada suatu hari aku terlihat di sebuah jabatan kerajaan gambar berkenaan terpampang di dinding. Aku tiba-tiba teringatkan bahawa pada suatu ketika aku pernah merenung gambar seperti itu dan bila menatap wajah Raja Permaisuri Agung lalu aku berkata:
`Sepatutnya bukan engkau di situ’
Ku renungi lagi gambar itu.
`Sepatutnya isteri aku lah di situ’, aku melanjutkan.
Kemudian mata ku beralih kepada KDYMM. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung. Selepas aku merenungi sejenak, aku lantas berkata:
`Dan akulah di situ’
Aku bagaikan nak gila memikirkan apakah benar aku pernah berkata begitu. Jika betul, memanglah aku orang gila. Memang sangat mustahil aku berkata begitu baik secara sedar atau sengaja. Aku terfikir-fikir bilakah suasana sedemikian telah aku lalui? Apakah ianya di alam nyata dan di mana? Puas aku memikirkannya. Tapi akhirnya aku menyumpah-nyumpah kepada diri ku bahawa itu hanyalah sebuah mimpi dan bila teringatkan mimpi itu, aku menyumpah-nyumpah mengatakan:
`Ini mimpi gila! Ini mimpi gila!’
Demikianlah di antara mimpi-mimpi terawal. Rasanya pada sekitar 1998/99.

(2) Ambil Gambar Dengan Pakaian Kebesaran
Aku siap dengan pakaian lambang kebesaran seorang sultan lalu diambil gambar ku.
(3) Tandatangan
Aku menandatangani sebuah buku yang telah ditandatangani oleh hanya pemimpin-pemimpin dunia semasa dan pemimpin sebelumnya. Terlalu banyak tandatangan di situ. Di antaranya Margaret Tetcher (PM Britain), Dato Seri Dr.Mahathir Muhammad (Tun), KDYMM.Yang DiPertuan Agung dan ramai lagi pemimpin-pemimpin dunia.
(4)Berhentikan Dato Seri Mahathir Dari Berucap
Waktu itu Tun Dr. Mahathir masih lagi Perdana Menteri Malaysia. Orang-orang yang tidak senang kepada Tun Dr. Mahathir memang sentiasa ternanti-nanti saat Tun meletakkan jawatan tetapi ternyata Tun pada waktu itu seolah-olah tidak mahu berundur.
Datang suasana dalam mimpi ku, sewaktu Tun sedang berucap, aku meminta Tun berhenti, tetapi Tun terus juga berucap dan tidak mengendahkan permintaan ku.Setelah tiga kali permintaan ku tidak dipedulikan, akhirnya aku marah lalu memegang/mencekak leher Tun lalu mengangkatnya sehingga kedua-dua belah kakinya tergantung. Selepas berbuat demikian baharulah Tun berhenti.
(Aku merujuk kepada Tok Petanda mengenai mimpi ku itu dan pada waktu itu memang Tun telah meletakkan jawatan. Tok Petanda mengatakan ilmu ku telah mengatasi ilmu Tun.Pada ketika itu timbul khabar-khabar yang tidak rasmi/jelas mengatakan Tun memilki kuasa kesaktian/ilmu yang tidak dapat ditundukkan kerana dikelilingi oleh ramai bomoh handalan sebab itulah semua orang tunduk kepada Tun. Semua orang tidak berani menentangnya dan akan menunduk hati dan wajah bila bertentang dengan matanya. Banyaklah kesah-kesah mistik disebarkan.Aku tidaklah pasti mengenai hal ini apakah sebuah fitnah tapi pada era itu ramai orang mengkesahkan mengenai kehebatan Tun)
(5)Dengan Mahathir di Suatu Majlis
Aku bagaikan telah mengepalai suatu kesudahan penantian dan sedang memberikan ucapan.Tiba-tiba datang Tun bagaikan sangat kecewa dengan kedudukan aku sekarang. Dia bagaikan meminta aku menyerahkan kembali kedudukan itu kepadanya. Aku lantas berkata:
`Kalau Tun mahukan juga tempat ini, boleh! . Tapi Tun hanya boleh melakukan sesuatu setelah mendapat arahan saya!’
Kata-kata ku itu membatalkan niatnya kerana kalau Tun berada di tempat ku, Tun mesti melaksanakan dasar-dasar Islam menurut apa yang aku rencanakan.
(6) Pak Lah Bawa ke Pentas Majlis
Orang-orang sedang ramai berkumpul dan berhimpun.Aku berada dalam kesesakan itu. Tiba-tiba Pak Lah datang. Pak Lah ketika itu telah menjadi Perdana Menteri Malaysia.Pak Lah lantas mengambil tangan ku dan memimpin tangan ku ke atas pentas.
(7) Tanda tangan Untuk Masuk Pejabat
Aku berada di sebuah ruang pejabat.Aku melihat bilik timbalan bersebelahan dengan bilik yang diperuntukkan buat ku.
Aku duduk di sebuah kerusi lalu membuka sebuah buku yang mengisyaratkan ketibaan ku ke situ yang sekadar menenti masa sahaja untuk memasuki pejabat. Bila buku lawatan itu aku buka, aku dapati nama ku sudah tertulis di situ dengan tulisan italik yang cantik berwarna merah jambu.
Dan lain-lain mimpi.
Mimpi-mimpi berkenaan beriringan pula dengan menerima keris-keris melalui Tok Ayah Bidin dan Tok Lat dan disentuh juga keturunan ku oleh Tok Lat. Mengenai titisan darah keturunan ini aku dikagetkan pula oleh Pak Habib (Sila baca bab 34:PAK HABIB dalam RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA).Pak Habib meminta aku menelusuri titisan jurai di sebelah atas kerana menurutnya titisan aku adalah dari istana!
Ini menjadikan aku semakin yakin akan peranan ku untuk agama, bangsa dan negara. Isteri ku juga dari titisan demikian dan titisan di sebelah emaknya bertaut dengan titisan ku. Kami berdua dari darah Bugis dan Jawa.
Aku mulai meyakini akan diberi peranan berasaskan darah keturunan, silat martabat Mahaguru Pertama dan Ilmu Tasauf; kesemuanya ini mewajarkan kebangkitan Melayu peranannya adalah di tangan ku.
Mimpi yang terakhir digambarkan: `negara telah hilang kekuasaannya’ oleh Kebangkitan Rakyat bersama polis dan tentera. Pada waktu kekosongan kuasa tersebut aku bersama beberapa orang pegawai-pegawai tertinggi negara kononnya sedang berada di suatu tempat bagaikan ternanti-nanti atau menanti sesuatu. Sejurus kemudian tibalah satu rombongan bergajah untuk mengambil... Mengambl aku....? Atau mengambil mahkota...? Aku sudah terlupa dan kurang jelas.
Semua mimpi berkenaan tidak aku ceritakan kepada sesiapa kerana menanti saat kebenarannya. Selepas pilihan raya 2004 baharulah perkara ini aku rujuk kepada tok.
Aku merujukkan mimpi terakhir ini kepada Petanda sewaktu isteri dan anak-anak ku sedang berzikir pemantapan zahir dan batin setelah kesemuanya menerima persilatan rohani dari tok. Tok Petanda mengatakan itu adalah mimpi hakiki selain berbagai-bagai lagi mimpi hakiki sebelumnya.
Ini menggambarkan, akan terjadi demikian..... bila sampai masa Kebangkitan Rakyat, sistem akan runtuh dan negara serta orang-orang Melayu kehilangan kepimpinan;lalu saya akan diberikan tanggungjawab disebabkan tidak sesiapa mampu .... kepimpinan tertinggi negara! Inilah yang akan terjadi bila tidak tokoh perpaduan Melayu termasuk Raja-Raja Melayu sendiri!
`Inilah kerja-kerja wali...’, begitu rumusan Tok Petanda dan dia mendetailkan mengenai rasional, plot perjalanan dan suasananya bila sampai waktunya.
Pilihan raya 2008 berlalu dalam suasana yang penuh debaran. Aku cukup suspense dan berdebaran oleh beberapa siri Kebangkitan Rakyat sebelum dan selepasnya, cukup untuk menjadikan aku bagaikan ternanti-nanti berlakunya perkara yang sedemikian dinanti.Namun perkara yang dinanti tidak terjadi juga....Kebangkitan Rakyat berlaku tapi tidak ada sokongan polis dan tentera, bahkan menurut kata tok:
`Kalau tak ada pihak keselamatan (polis) cucu, dah berlaku dah.....’

14 November 2010

84. Pencak Luar Biasa!

Dalam tempoh 1990an aku asyek mencari Guru Tasauf setelah aku putus hubungan dengan perguruan Tarekat Naqsyabandiah. Semua kesah-kesah ini – kesah mencari Guru Mursyid - telah aku kesahkan dalam RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA.
Tahun 1998 – 2004 ada begitu banyak mimpi dan alamat yang sampai kepada ku, tetapi aku tetap akur dengan pesanan tok iaitu `jangan ceritakan kepada sesiapa pun’.
Inilah misteri yang aku simpan dengan penuh kerahsiaan. Aku simpan dengan sebegitu erat sehingga kepada Yim pun tidak aku ceritakan mengenai alamat-alamat yang aku terima melalui mimpi. Tidak seorang pun yang aku ceritakan selain isteri dan anak-anak ku.
Aku ingat pesan Yim pada tahun 1980an dahulu.
`Engkau Mal, menurut yang aku dengar dari tok, bila usia engkau 45 atau 46 tahun, engkau akan dapat sesuatu’ (Ini aku ada sentuh dalam `Bertamu Ke Rumah Wali?’, dalam RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA dan yang begitu mengejutkan ku ialah Ayah La tiba-tiba tahu tahu rahsia itu.....Walhal itu adalah kali pertama kami bertemu! Bagaimana dia boleh tahu? Oleh kerana itu pada waktu itu aku begitu mengaguminya)
Bila sampai tempohnya aku memang bermimpi. Aku bermimpi berpencak sambil membaca ayat-ayat al Quran.Bila baca satu ayat, terbuka satu pencak dan aku baca pula ayat yang lain,maka pencak ku bertukar kepada taraf yang lebih ampuh. Begitulah sehingga beberapa tingkat dan setiap tingkat dengan kehebatan tersendiri.
Setelah beberapa bulan kemudian tergeraklah di hati ku untuk menguji apakah betul aku bermimpi seolah-olah dianugerahi seni pencak khusus untuk ku sendiri sedangkan aku telah boleh memencak sejumlah 132 pencak pendekar, puteri, panglima, Petanda, Guru dan Mahaguru. Lantas aku memohon didatangkan pencak ku. Bila selesai, bagaikan aku tidak percaya bahawa pencak yang dikurniakan kepada ku adalah pencak yang cukup istimewa dan menakjubkan - sekurang-kurangnya pada martabat Guru. Aku bagaikan tidak percaya lalu melupakannya begitu sahaja.
Agak lama kemudian baharulah aku mencubanya sekali lagi oleh desakan ingin tahu. Ternyata demikianlah tarafnya. Lantas dengan itu aku mencuba membuat perbandingan dan analisis antara Guru Ketiga,Kedua atau Pertama – di manakah taraf persilatan ku. Bila siap aku analisis, ternyata silat ku bukan pada martabat Guru tapi pada martabat Mahaguru!
Aku tambah bagaikan tidak percaya!
Lantas aku cuba pula membanding dan menganalisis pencak Mahaguru Ketiga, Kedua, Pertama dan Mahaguru Terulung. Bahawa sanya setelah aku membuat analisis pencak, sukar untuk aku mempercayainya bahawa aku telah dianugerahi pencak Martabat Mahaguru Pertama!
Pada suatu ketika, teringatlah tok pernah mengatakan kepada ku:
`Dalam cucu berlima, seorang akan dilonjakkan’
Nyatalah sudah bahawa akulah yang dilonjakkan, tapi aku tidak tahu kenapa dan untuk apa?Aku tidak pula merujuk kepada dato-dato kerana pada waktu itu aku agak akrab dengan Tok Lat dan Tok Ayah Sohor dan mempercayai merekalah yang akan melonjakkan ku sebagai kesinambungan secara zahiriah.
Maka mimpi-mimpilah yang memberikan jawapan untuk aku sendiri memahaminya.

08 November 2010

83. Bersuluk

Bila tidak berlaku tragedi 1980 dan kehilangan Piei menjadikan rancangan tok seolah-olah gagal.
Ketika berlaku traged di Memali aku sedang menjalani suluk Tarekat Naqsybandiah bagi kali kedua.Tarekat ini pun aku ikuti setelah tok merestuainya kerana aku khuatir mengamalkan tarekat yang salah dan sesat.
Saudara, pada masa bersuluk; ketika aku sedang berzikir sebelum terlelap – tika itu jam hampir 12.00 malam, aku terdengar suara Mail (sudah meninggal) iaitu seorang murid tua dalam perguruan.Dia membisikkan kepada kawannya:
`Diam! Diam! Syyysss! Tok Wan sedang dilawati oleh seorang wali Allah’
Aku memasang telinga mendengar bisikan perbualan mereka berdua – murid-murid yang kanan dan senior. Aku mengesyaki toklah yang datang itu sebab sebelumnya aku telah terhidu bau keminyan.Pada waktu itu dan waktu-waktu dulu aku memang seringkali dibaui oleh bau keminyan menandakan tok ada datang ke sisi ku.
Tapi sayangnya aku tidak merujuk atau bertanya kepada Mail mengenai kesah yang dilihatnya itu.Demikian jugalah kepada Tok Wan (Guru Suluk – telah meninggal dunia juga). Oleh kerana kurang kepekaan itulah, sampai sekarang aku kesali kerana tidak mengetahui secara pasti mengenai orang yang datang berkunjung itu. Aku kesali juga kerana tidak mengetahui apakah komen Tok Wan mengenai tetamu itu.
Bila selesai bersuluk, Yim datang ke rumah ku dan aku minta panggil tok. Tok bertanya kepada ku apa yang aku perolehi sewaktu bersuluk. Aku menerangkan satu persatu. Dia kata:
`Bukan! Bukan! Bukan itu cucu’, maksud tok mengenai aku terlihat wajah Syeikh Bahauddin Naqsyabandi al Khalidi (Pengasas Tarekat Naqssyaandiah), bayangan kaabah, kalimah Allah di seluruh tubuh dan lain-lain di dalam suluk.
Pada masa itu aku belum faham apakah maksud tok memberi komen, `bukan bukan’ itu. Aku hanya memahami maksud tok, lama kemudian iaitu apabila aku menerima pula Tarekat Muhammadiah; setelah aku meninggalkan Tarekat Naqsyabandiah, lalu tok mengatakan.
`Jangan terkejut bila terbuka nanti, cucu akan berkata:`Aku adalah engkau dan engkau adalah aku!’.
Ini merujuk kepada konsep moksya dalam ajaran Hindu dan nirvana dalam Buddhisme! Dalam Islam ialah Mikraj Rohani yakni mencapai maqam fanafillah.
Merujuk kepada suasana suluk di Pulau Lalang tersebut, tok memberitahu:
`Guru Kedua ada datang menziarahi cucu waktu bersuluk itu’
Bukan aku yang bertanya tapi toklah yang memberitahu. Ertinya benarlah aku dikunjungi dan aku memang berbangga dengan kunjungan Guru Kedua itu menandakan upacara suluk dan amalan Tarekat Naqsyabandiah dibawah perguruan Tok Wan Hassan adalah direstui dan benar. Cuma aku begitu kesal tidak merujuk kepada Tok Wan untuk mengetahui apakah Tok Wan tahu bahawa wali Allah yang datang itu adalah dato ku dan kesali juga apa yang dibualkan oleh tok dengan Tok Wan.
Walau bagaimanapun aku meninggalkan terekat ini apabila berpindah ke Seremban kerana tidak dapat menumpukan aktiviti dan amalannya kerana tidak lagi berdampingan dengan para pengamalnya. Lagipun aku tidak mahu berbelah dan berpindah kasih dari dato-dato kepada Tok Wan dan ahli-ahli jamaahnya.

03 November 2010

82. Zaman 1980an.

Setelah tidak terjadi perang tahun 1980, kami memang betul-betul terpisah. Mimpi yang aku terima benar-benar menunjukkan kami telah bercempera jadinya. Dol bersama Saedah masih menetap di Raub. Yim di Pantai Dalam, KL dan selepas itu bekerja di Beruas. Namun pada akhirnya menjad peneroka FELDA di Keratung. Wan di Muazam Shah dan kemudiannya berpindah ke KL di bawah syarikat Dato Jamaluddin Jarjis. Piei dapat balik ke utara dan aku di daerah sendiri. Kami memang benar-benar terpisah dan sibuk dengan kerjaya masing-masing dan tidak lagi dapat berkumpul seperti dahulu.
Dalam tempoh tersebut aku, Wan dan Piei bertemu pasangan hidup masing-masing. Wan dua kali berada di luar negeri.Mulanya ke London mengikut isterinya yang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana.Kemudian dia sendiri pula melanjutkan pelajaran ke USA. Piei menjadi begitu aktif dalam kegiatan politik PAS dan akhirnya terkorban dalam Tragedi Memali.
Piei sangat aktif dalam perjuangan atas cita-cita menegakkan Negara Islam dan menentang kemungkaran. Tiupan semangat Islam oleh para dato supaya berceramah dan aktif dalam perjuangan Islam, menyebabkan Piei ditukarkan ke tiga buah sekolah dalam tempoh dua tahun.Mula-mula di Sekolah Menengah Seri Gunung, lepas itu ke SMK. Alor Janggus dan kemudiannya ke SMK.Siong, Baling.
Di Siong beliau rapat dengan Ustaz Ibrahim Libya dan bersama aktivis-aktivis PAS yang lain seringkali keluar menguruskan program ceramah dan acapkali balik larut malam. Bila berlaku tragedi di Memali, dia berada di dalam markas PAS tersebut.
Keadaan yang semakin kurang terkawal sewaktu pihak berkuasa melancarkan operasi di Memali sehingga tersebar khabar seorang kanak-kanak perempuan terbunuh, menyebabkan jiwa perjuangan dan silat peperangan yang sudah mendarah-daging di dalam dirinya mendorong beliau merampas sebilah parang lalu meluru ke jalan raya untuk mengamuk menuntut bela terhadap polis hutan yang telah melepaskan tembakan ke arah markas PAS tempat mereka semua berlindung. Tindakan itulah yang telah meragut nyawanya apabila tubuhnya begitu lembut ditembusi peluru.
Sesiapa yang pernah melihat tayangan rengkas yang plotnya diedit dalam video Tragedi Berdarah di Memali yang ditayangkan oleh RTM beberapa ketika selepas tragedi tersebut, pemuda yang berbaju belang melintang berwarna hijau putih itulah teman akrab ku yang kami memiliki perkongsian kesah suka dan duka ...
Kami panggil tok untuk membuat analisis:
`Si Shafie tidak cukup bersabar. Kalau sedikit lagi dia bersabar, akan ada kedatangan. Tok sudah pesan, banyakkan kesabaran. Tunggu...Jangan cucu yang marah...Biar datuk yang marah...Sebab itulah cucu perlu tingkatkan kesabaran....’
Dalam hal inilah aku pernah bertanya kepada Hang Tuah:
`Seandainya cucu berada di suatu tempat dan tiba-tiba terjadi peperangan di suatu tempat yang lain, perlukah cucu pergi?’
Hang Tuah menjawab:`Tak payah!’
`Tak payah?’,aku terkejut mendengar jawapannya sedangkan kami dipersiapkan untuk berperang bagi membela agama,bangsa dan negara, tapi kenapa pula tidak dibenarkan pergi?
`Biar dato-dato yang uruskan.Bila keadaan diperlukan, cucu dengan sendiri sahaja akan berterbangan’
`Kalau jadi perang besar-besaran, cucu, tok pun tak tahu,cucu pun tak tahu , di bumi mana kita akan dicampakkan’, begitu penjelasan Panglima Hitam dalam suasana yang lain pula merujuk kepada suasana kalau terjadi perang sebenar di tanah air pada bila-bila masa atau juga perang akhir zaman.
Tok menceritakan dengan panjang lebar kepada kami semua mengenai suasana di Memali itu, bagaimana gerakan polis hutan membuat kepungan termasuk menggunakan kereta perisai dan helikopter. Bagaimana proses terperinci suasana itu termasuklah pada saat-saat akhir pemergian Piei...Cerita tok memanglah amat bercanggah berbanding dengan plot kesah yang dipaparkan di dalam video, berita RTM dan laporan akhbar. Kami seolah-olah mendapat kesah yang original sifatnya dari tok dan ini terbukti benar bila aku bersama isteri dan anak-anak berpeluang mengunjungi Memali dan menziarahi Kubur Panjang dalam kunjungan awal 1990an.
Memang aku telah tahu demikianlah sifatnya bila berlaku pertembungan antara kebenaran dan kebatilan.Inilah sejarah dan sunnatullah.
Al Fatehah untuk Piei.
Kata tok di saat Piei di atas pangkuannya:`Kalau dah cucu mahu pergi juga, pergilah....’
Tok mengatakan dia memberi beberapa pengarahan supaya diakuri Piei untuk menahan pendarahan pada saat kritikal tersebut. Tapi Piei gagal melaksanakannya.
Piei bernada sayu di saat akhir:`Tak apalah, tok. Biarlah cucu mati....Biarlah...Tapi nantilah...Di belakang cucu masih ada empat orang lagi teman-teman cucu untuk membela agama, bangsa dan tanah air...’
Demikian kata tok merujuk saat-saat akhir bersama Piei.
Entahlahl