14 November 2010

84. Pencak Luar Biasa!

Dalam tempoh 1990an aku asyek mencari Guru Tasauf setelah aku putus hubungan dengan perguruan Tarekat Naqsyabandiah. Semua kesah-kesah ini – kesah mencari Guru Mursyid - telah aku kesahkan dalam RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA.
Tahun 1998 – 2004 ada begitu banyak mimpi dan alamat yang sampai kepada ku, tetapi aku tetap akur dengan pesanan tok iaitu `jangan ceritakan kepada sesiapa pun’.
Inilah misteri yang aku simpan dengan penuh kerahsiaan. Aku simpan dengan sebegitu erat sehingga kepada Yim pun tidak aku ceritakan mengenai alamat-alamat yang aku terima melalui mimpi. Tidak seorang pun yang aku ceritakan selain isteri dan anak-anak ku.
Aku ingat pesan Yim pada tahun 1980an dahulu.
`Engkau Mal, menurut yang aku dengar dari tok, bila usia engkau 45 atau 46 tahun, engkau akan dapat sesuatu’ (Ini aku ada sentuh dalam `Bertamu Ke Rumah Wali?’, dalam RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA dan yang begitu mengejutkan ku ialah Ayah La tiba-tiba tahu tahu rahsia itu.....Walhal itu adalah kali pertama kami bertemu! Bagaimana dia boleh tahu? Oleh kerana itu pada waktu itu aku begitu mengaguminya)
Bila sampai tempohnya aku memang bermimpi. Aku bermimpi berpencak sambil membaca ayat-ayat al Quran.Bila baca satu ayat, terbuka satu pencak dan aku baca pula ayat yang lain,maka pencak ku bertukar kepada taraf yang lebih ampuh. Begitulah sehingga beberapa tingkat dan setiap tingkat dengan kehebatan tersendiri.
Setelah beberapa bulan kemudian tergeraklah di hati ku untuk menguji apakah betul aku bermimpi seolah-olah dianugerahi seni pencak khusus untuk ku sendiri sedangkan aku telah boleh memencak sejumlah 132 pencak pendekar, puteri, panglima, Petanda, Guru dan Mahaguru. Lantas aku memohon didatangkan pencak ku. Bila selesai, bagaikan aku tidak percaya bahawa pencak yang dikurniakan kepada ku adalah pencak yang cukup istimewa dan menakjubkan - sekurang-kurangnya pada martabat Guru. Aku bagaikan tidak percaya lalu melupakannya begitu sahaja.
Agak lama kemudian baharulah aku mencubanya sekali lagi oleh desakan ingin tahu. Ternyata demikianlah tarafnya. Lantas dengan itu aku mencuba membuat perbandingan dan analisis antara Guru Ketiga,Kedua atau Pertama – di manakah taraf persilatan ku. Bila siap aku analisis, ternyata silat ku bukan pada martabat Guru tapi pada martabat Mahaguru!
Aku tambah bagaikan tidak percaya!
Lantas aku cuba pula membanding dan menganalisis pencak Mahaguru Ketiga, Kedua, Pertama dan Mahaguru Terulung. Bahawa sanya setelah aku membuat analisis pencak, sukar untuk aku mempercayainya bahawa aku telah dianugerahi pencak Martabat Mahaguru Pertama!
Pada suatu ketika, teringatlah tok pernah mengatakan kepada ku:
`Dalam cucu berlima, seorang akan dilonjakkan’
Nyatalah sudah bahawa akulah yang dilonjakkan, tapi aku tidak tahu kenapa dan untuk apa?Aku tidak pula merujuk kepada dato-dato kerana pada waktu itu aku agak akrab dengan Tok Lat dan Tok Ayah Sohor dan mempercayai merekalah yang akan melonjakkan ku sebagai kesinambungan secara zahiriah.
Maka mimpi-mimpilah yang memberikan jawapan untuk aku sendiri memahaminya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan