Karma bermakna ‘tindakan atau perbuatan’ iaitu merujuk kepada tindakan seseorang dan akibat-akibat dari perbuatannya. Dalam Hinduisme ‘kehidupan pada zaman sekarang ditentukan oleh bagaimana corak kehidupannya pada masa yang lalu’. Hukum karma adalah hukum berasaskan kesan-kesan moral, atau kesan akibat tindakan seseorang pada masa lampau, pada masa kini ataupun pada kemunculan akan datang. Apabila seseorang melakukan tindakan-tindakan yang betul, dia sebenarnya sedang menunju ‘pembebasan dari kitaran berulang-ulangnya kelahiran dan kematian’.
Sebaliknya kalau perbuatan seseorang itu jahat, dia akan berada lebih jauh dari pembebasan. Faktor penentu ialah karma seseorang. Pusingan kelahiran, kematian dan kelahiran semula tidak akan berakhir. Matlamat Hinduisme adalah untuk ‘mencapai karma yang sebagus mungkin’ bagi ‘mengeluarkan dirinya dari putaran kelahiran semula dan mencapai kebahagiaan abadi (eternal bliss)’.
Kesimpulannya nilai baik dan buruk dalam kehidupan seseoraang sama-sama berperanan menentukan kelahiran semula seseorang selepas mati.(The culminating value of all one’ life actions, good and bad, which together determine one’s next rebirth after death.)
Unsur Tauhid
Hukum Karma terdapat unsurnya dalam salah satu Rukun Iman iaitu percaya kepada ‘untung baik dan untung jahat’ seseorang hamba yang telah tercatat dalam Lauhil Mahfudz. Untung baik dan untung jahat termaktub dalam Qadak dan Qadar iaitu Iradah Allah swt. Firman Allah swt:
‘Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)’ (Huud:11:6)
‘.dan jika mereka memperoleh kebaikan mereka mengatakan:”Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan:”Ini dari sisi kamu (Muhammad)”. Katakanlah:”Semuanya dari sisi Allah” ( An Nisaa:78)
‘Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu’ ( Ath Thallaq:3)
Hukum Karma juga dapat dilihat unsurnya dalam agama Islam berdasarkan Firman Allah swt: ‘Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrahpun, nescaya dia melihatnya (akibat). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrahpun, nescaya dia akan melihatnya pula (balasan)’ (Az Zalzalah:7-8)
‘Pada hari ini (Yaumil Mahsyar) tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya.Tidak ada yang dirugikan hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya’ (Al Mukmin:17)
Hukum Karma ialah perbuatan, kelakuan, tindakan seseorang menentukan samada seseorang itu mendapat balasan baik atau buruk. Ini adalah asas yang sangat sama dengan ajaran Tauhid.
‘mencapai karma yang sebagus munkin’ iaitu perbuatan atau akhlak yang terbaik. Islam juga menekankan akhlak yang sebaik mungkin. Semakin baik akhlak seseorang manusia menjadikannya semakin hampir dengan Allah swt (muqarrabin). Insan terhampir ialah Nabi Muhammad saw. Yang terjauh dari Allah swt ialah yang terburuk akhlaknya. Justru kaum munafiqin terletak pada azab terkebawah pada lapisan ketujuh neraka kerana kejelikan akhlaknya.
‘mengeluarkan dirinya dari putaran kelahiran semula dan mencapai kebahagiaan abadi. Konsep ‘kebahagiaan abadi’ , ialah kehidupan di syurga yang kekal selama-lamanya dan inilah akhir perjalanan manusia yang beroleh rahmat Ilahi menurut ajaran Tauhid iaitu bebas dari sengsara. Inilah tanggungjawab manusia di bumi ujian ini untuk membebaskan dirinya dari segala kejahatan supaya bebas dari sengsara (samsara) akhirat.
Kecelaruan Tauhid
‘kehidupan pada zaman sekarang ditentukan oleh bagaimana corak kehidupannya pada masa yang lalu’. Agama Hindu mempercayai manusia yang ada pada hari ini, pernah hidup pada masa yang lalu dan apa yang dialami kini adalah hasil dari kesan karma pada kehidupan terdahulu. Kehidupan pada hari ini akan menentukan pula nasib bahagia atau tidak pada masa kelahiran semula nanti. Kelahiran semula dan kematian adalah proses yang berulang-ulang dan tiada akhirnya kecuali dengan ‘pembebasan’- bebas dari berulangnya kelahiran semula dan mencapai ‘bahagia abadi’. Selagi belum dapat kebahagiaan abadi, ‘berulangnya kelahiran semula dan kematian adalah satu kesengsaraan (samsara).
Dalam hal ini Agama Islam menerangkan bahawa kehidupan manusia bermula di muka bumi apabila dia dilahirkan.Masa yang lalu bagi manusia adalah terangkum dalam ilmu mengenal diri (makrifat) iaitu ‘dari mana kamu datang’. Jawapannya ialah `Sesungguhnya Kami kepunyaan Allah dan kepadaNya lah kami kembali’ (Al Baqarah:156)
Masa lalu manusia ialah dari beberapa ‘alam’ dan rengkasnya ialah alam roh,alam kandungan bapa, alam kandungan ibu dan alam dunia.Dunia adalah alam transit dan dinamakan juga alam khayalan (maya). Di atas dunia manusia diutuskan untuk berkelana dalam pengabdian dan menjaga amanah.Manusia dipinjamkan oleh Allah jasadnya untuk kembara ke alam fizik, diberi dan dipinjamkan usia, akal, harta dan lain-lain untuk membuat ‘persediaan dan perniagaan’ bagi kehidupan seterusnya di Alam Akhirat. Apabila mati, manusia akan memasuki alam kubur dan apabila kiamat dunia, bermulalah pula alam akhirat. Di alam akhirat manusia akan ‘dihidupkan semula bersama jasad’ (kelahiran semula menurut Hindu) dan bertanggungjawab sepenuhnya di atas seluruh perbuatan baik dan buruknya. Ada proses penanggungjawaban di Yaumil Mahsyar (Hukum Karma). Firman Allah Taala:
(Ingatlah) suatu hari, tiap-tiap diri datang untuk membela dirinya sendiri dan bagi tiap-tiap diri disempurnakan (balasan) apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka tidak dianiaya - (An Nahl:111)
Pada masa itulah manusia akan mengalami hidup berlandaskan ‘karma’nya yang lalu (di atas dunia), diciptakan dan dihidupkan semula (di Yaumil Mahsyar) samada sebagai manusia atau haiwan.Penghuni neraka (orang-orang yang tidak beriman dengan Allah Taala) adalah haiwan.Ini dibuktikan dengan Firman Allah Taala:
‘ Sesungguhnya haiwan yang paling buruk di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir, kerana mereka itu tidak beriman (iaitu) orang-orang yang kamu (Nabi dan Rasul/Risyi dan Maha Risyi) telah mengambil perjanjian dari mereka (umat masing-masing), sesudah itu mereka mengkhianati janjinya pada setiap kalinya (menolak Agama Tauhid), dan mereka tidak takut (akibat-akibatnya – neraka)’ (Al Anfaal:5-56)
‘Sesungguhnya orang-orang kafir iaitu ahli Kitab (tidak mentaati ajaran Suhuf-Suhuf, Zabur, Taurat dan Injil) dan orang-orang musyrik (penyembah berhala dsb) ke neraka Jahanam; mereka kekal di dalamnya.Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk (Al Bayyinah:6)
Hadis Nabi saw:
‘Orang yang mengoyak-ngoyakkan kehormatan orang lain dibangkitkan sebagai anjing yang galak.Orang yang loba kepada harta-benda orang lain dibangkitkan sebagai serigala yang ganas. Orang yang menyombong terhadap orang lain dibangkitkan dalam bentuk harimau. Dan orang yang mencari jadi kepala dibangkitkan dalam bentuk singa’
Penghuni syurga ialah insan. Insan adalah manusia yang hidupnya kekal dengan sifat kemanusiaan dan mengabdi kepada Allah swt.Firman Allah swt untuk insan:
’Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal solleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah ridha terhadap mereka dan mereka pun redha kepadaNya.Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang-orang yang takut kepada Tuhannya’ (Al Bayyinah:7-8)
Kami berpendapat inilah di antara kerja jahat dan perdayaan Azazil dan kaum kerabatnya dalam konsep kelahiran semula (reincarnation).Tidak ada jelmaan semula di atas dunia. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, bukit-bukau, gunung ganang, air, udara, langit, bumi dan sebagainya adalah sama-sama makhluk Allah seperti manusia yang semuanya itu dijadikan untuk berkhidmat dan dimunafaatkan untuk dan oleh manusia kerana manusia adalah khalifah – Khalifah Allah bukan khalifah selainNya. Firman Allah swt:
‘Dan Dia menundukkan untukmu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya’(Al Jaatsiyah:13)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan