30 Disember 2009

(8)
Bangkitnya Bangsa Melayu,
Bangkitlah Islam Akhir Zaman!
(Satu Pengharapan)

Saudara,

Saya sudah lama mempunyai keyakinan bahawa Bangsa Melayu akan bangkit memimpin dunia. Saya juga sudah lama mengesyaki Imam Mahadi akan muncul dari Bangsa Melayu.Buku Manusia Di Langit dan Manusia di Bumi hasil pena Ustaz Amaluddin Darus yang saya miliki pada tahun 1970an banyak membuka ilham mengenai ini. Ini selari pula dengan perkembangan yang saya lalui pada waktu itu yakni berkaitan dengan kuasa spiritual Melayu. Justru, cita-cita perjuangan telah ada sejak seawal dekad tersebut untuk melihat Bangsa Melayu bangkit menjadi bangsa yang cemerlang dalam perjuangan yang dipimpin oleh Imam Mahadi.

Saya cuba mengambil perhatian istimewa mengenai hal ini dan mengikuti dengan ragu-ragu mengenai Darul Arqam. Saya memang tidak percaya Darul Arqam sebagai satu gerakan pilihan Allah dan begitulah juga pemimpin utamanya.Namun dari mereka saya mendapat banyak informasi yang berguna.

Kebangkitan Bangsa Melayu bagi saya mesti berteras kepada Islam. Ajaran Islam meliputi dua aspek iaitu zahir dan batin. Jadi untuk bangkit Bangsa Melayu mesti melengkapi dan memiliki kedua-dua kekuatan tersebut. Arqam saya nampak seakan-akan menyesuaikan diri dengan keperluan itu iaitu ada aspek batiniah melalui Tarekat Muhammadiah, dan ada aspek zahiriah iaitu kegiatan ekonomi, dan cukup menarik pada peringkat awal perkembangannya. Sayangnya Arqam diseret oleh iblis melalui konsep Imam Mahadi dan Pemuda Bani Tamim, dan bila Abuya terlalu percaya dia akan mengambil-alih kekuasaan negara, Arqam menerima hukumannya. Itulah sebenarnya tanda kepalsuan janji iblis!

Kebangkitan Bangsa Melayu memang boleh menjadi kenyataan kalau UMNO yang menerajui kekuasaan politik mengambil kesempatan sejak 1957. Akan tetapi UMNO tidak memiliki kekuatan zahir dan batin. UMNO tidak berminat kepada Islam kerana asyek dengan ideologi Barat/Yahudi. UMNO pula teramat mengharap kepada kekuatan zahiriah lalu memiliki mimpi-mimpi besar mengenai ekonomi dan dalam masa yang sama begitu kagum dan asyek dengan tamadun sekular Barat. Islam menjadi terumbang-ambing dalam kedua-dua aspek zahir dan batin di tangan UMNO. Justru saya memang tidak berminat kepada UMNO.

ABIM pada mulanya menarik minat saya tetapi bila Anwar Ibrahim memasuki UMNO, perjuangan ABIM bagaikan kehilangan pedoman antara tuntutan sekular dan agama. Lalu saya kehilangan minat kepada ABIM.

Mengenai Jumaah Tabligh, saya sejak dari mulanya lagi memang tidak berminat kerana kumpulan ini bagaikan kaum pelarian, lari membawa diri dari realiti kehidupan dan perjuangan.Maafkanlah saya kerana berkata demikian. Saya ada hujah mengenai ini tapi biarlah dibicarakan tidak pada waktu ini.

Bagi saya semua organisasi Bangsa Melayu dan gerakan Islam yang tersebut di atas, dan serpihan yang lain-lainnya, semuanya ada peranan iblis durjana yang sangat jelas dan tersembunyi.

Saya lebih cenderung kepada PAS kerana berada dalam medan, berjuang untuk aspek zahiriah iaitu Syariat Rasulullah saw. PAS berjuang untuk memberikan kuasa kepada Islam melaksanakan sistem Allah dan RasulNya dalam seluruh dimensi kehidupan. Inilah kelebihan PAS berbanding dengan gerakan-gerakan yang lain, yakni atas niat yang indah! Sayangnya PAS bagaikan tidak ada Tasauf dan kadang-kadang bagaikan menentangnya, sedangkan Ilmu Tasauf tersangatlah penting untuk kekuatan zahir dan batin.Jadi, bagi saya PAS tidak cukup sempurna.

Justru, saya lebih berminat kepada Tasauf dan pengalaman tersebut telah saya kesahkan sebelum ini melalui RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA. Tapi malangnya guru-guru Mursyid tidak dapat saya temui. Guru-Guru Tasauf telah diseret oleh iblis sehingga ada yang menolak perjuangan Islam. Ada di antara mereka memfitnahkan pejuang Islam sebagai penipu besar!
.
Mudah-mudahan Ayah La yang telah kembali kepadaNya mendapat rahmat keampunan dariNya. Amin.
.
Bagi Tok Penghulu Maliki dan Cikgu Zan yang memang amat berjasa kepada saya dalam membimbing di jalanNya, mudah-mudahan Allah Taala membukakan hati dan fikirannya ke jalan kebenaran!

Demikianlah huru-haranya Islam di kalangan Bangsa Melayu. Ini berpunca dari umarak dan ulama. Umarak tidak mahu melaksanakan Islam, dan ulama pula tidak menegur umara. Berlakulah perpecahan dan perbalahan, saling tuduh-menuduh sehingga bagaikan kehilangan cara untuk kembali kepada Sunnah Allah dan RasulNya saw. Namun semua golongan masyarakat Melayu yang berserpihan dan bersepahan ini, masih mendakwa mereka adalah Ahlul Sunnah Wal Jamaah! Inilah isu yang sangat perlu ditangani.Bagi saya Bangsa Melayu sangat perlu berhati-hati kerana dikhuatiri kesemuanya termasuk dalam golongan 73 golongan yang saling sesat-menyesatkan!

Justru, jawapannya ada dalam Ilmu Tasauf. Bagi saya Ihya Ulumiddin tetap kitab induk selepas al Quran dan al Hadis yang mesti dijadikan panduan.

Saudara, mengenai Kebangkitan Bangsa Melayu, saya mempercayai ianya dapat dicapai melalui perjuangan Parti PAS yang syaratnya, PAS mesti berteras kepada Ilmu Tasauf. Inilah bagi saya ketulenan Ahlul Sunnah Wal Jamaah yakni kombinasi zahir dan batin atau integrasi Syariat, Tarekat, Hakekat dan Makrifat. Itulah Sunnah Allah dan RasulNya saw.

Selain itu saya juga ada formula tersendiri dan ini adalah suatu pendaman dan pada 1990an mendapat keyakinan-keyakinan tersendiri. Pada ketika itulah saya berkenalan dengan Tok Penghulu Maliki dan seterusnya Tok Ayah Bidin dan Tok Lat. Ayah La dari Bukit Tempayan juga menyebabkan saya tersentak (Lihat Bab 8:BETAMU KE RUMAH WALI) bila tiba-tiba dia membocorkan satu maklumat rahsia diri saya yang tidak siapa pun mengetahuinya. Sesungguhnya selepas maklumat yang Ayah La bocorkan itu, saya mempercayai pula beberapa formula yang tiba selepasnya.

Rupa-rupanya Tok Lat dan Tok Ayah Bidin mengambil kesempatan ke atas saya dari maklumat persis yang tersingkap kepada Ayah La. Saya kemudiannya mendapat banyak lagi mimpi dan formula, lalu bersangkaan Tok Lat dan Tok Ayah Bidin adalah tokoh yang dizahirkan/diutus untuk menjadikan suatu idealisme yang tersembunyi dan rahsia menjadi realiti. Saya lantas mempercayai mereka terutama apabila mendapati dan mempercayai bahawa Tok Penghulu Maliki akan memainkan peranan yang besar, dan memberitahu pula kepada saya Tok Lat dan Tok Ayah Bidin adalah Penjaga Dunia.

Lantas saya bersangkaan Tok Lat dan Tok Ayah Bidin adalah dua watak paling tinggi yang konsepnya telah saya fahami di Raub pada 1977 dan sekarang telah zahir, khusus untuk saya, demi agama, bangsa dan negara. Saya mula merasakan kesah di Raub yang merupakan kesah yang paling rahsia yang tidak pernah saya bocorkan kepada sesiapa kecuali terhadap isteri dan anak-anak, berkesinambungan kepada Tok Lat dan Tok Ayah Bidin secara zahir.

Saudara, kesah di Raub saya sedang mempertimbangkannya untuk dikesahkan, dan jika semuanya ok, jika keadaan mengizinkan iaitu setelah disemak dari semua sudut, insyaallah, menjadi projek penulisan blog KANZUN MAHFIYYAN mulai tahun 2010, kerana kesah tersebut kini, bukanlah lagi kesah yang paling rahsia dalam hidup saya. Saya akan namakannya TENTERA AKHIR ZAMAN.

Apabila Tok Lat dan Tok Ayah Bidin ternyata misi mereka gagal untuk menundukkan saya, Tok Lat memperalatkan pula Norizan untuk mendampingi saya. Norizan memberikan maklumat-maklumat mirip dengan kod formula saya dan begitu ketara cuba memastikan supaya saya tetap teguh mempercayai Tok Lat dan Tok Ayah Bidin, mereka memang mempunyai misi dan visi yang besar untuk saya. Melalui Norizan, alam orang-orang buniyan cuba dibukakan dan digambarkan bahawa semua orang buniyan akan bersama saya (Lihat Bab 26:ORANG CACAT YANG TIDAK CACAT) untuk kebangkitan akhir zaman. Tidak cukup dengan itu Puteri Bunian, TENGKU PUTERI NORMALA dari Bukit Puteri, Kuala Terengganu juga akan memberikan bantuan berupa kewangan. Aingah Awang (Bab 20:MEGAT LAAKSAMANA BENTAN) juga berfungsi untuk melekakan saya dengan janji kekayaan.

Saudara, semua gerombolan bala tentera iblis tersebut berusaha mengalihkan saya dari perjalanan!

Tok Lat terutamanya menjanjikan berbagai-bagai hal yang muluk-muluk. Demikian juga Norizan yang diperalatkan oleh Tok Lat.

`Bila sampai masanya nanti Cikgu akan.....Cikgu nanti akan begitu, akan begini... Cikgu nanti akan masyhur....Cikgu nanti akan jadi sebutan....’, dan entah apa-apa lagi. Apa yang dikatakan itu adalah terjemahan kepada mimpi-mimpi yang saya tidak begitu mahu mempercayainya.

Saya sejak dulu-dulu lagi mempercayai Kebangkitan Melayu akan berlaku menerusi pilihanraya. Komposisi kaum di Malaysia dan perpecahan yang hebat antara dua puak Melayu yang saling bersaing dalam politik, memungkinkan kuasa politik Melayu akan hilang. Orang-orang Melayu saya percaya tidak akan rela bumi bertuah ini akan beralih tangan kekuasaanya kepada orang lain, sebab inilah sahaja satu-satunya bumi Melayu. Hidup dan mati adalah di bumi ini. Justeru, apabila senario politik menunjukkan orang-rang Melayu akan kehilangan kuasa politik di tanah air sendiri, pada ketika itulah saya percaya akan berlaku peralihan...Pada ketika itulah saya percaya mimpi-mimpi akan menjadi kenyataan.Kalau pada tahun 1946 dahulu bangkit Panglima Salleh dan rakan-rakannya di Pahang dan di Perak menyelamatkan Bangsa Melayu, saya mempercayai pada saat persis itulah akan berlakunya kebangkitan Melayu.Pada persis itulah seorang penyelamat Melayu akan ditampilkan.

Kemenangan besar Pak Lah dalam pilihanraya 2004 memang amat menyentakkan perasaan kerana saya percaya/mengharapkan pada tahap itulah mungkin berlakunya kebangkitan berdasarkan formula-formula, tetapi Pak Lah ternyata membuat kejutan apabila UMNO dan BN menang besar.Saya menanti pula pilihanraya berikutnya yang saya percaya, pada ketika itulah nanti akan menjadi realiti apa yang saya ramalkan kerana senario politik negara menjelang PRU ke 12 begitu panas. Saya sangka apinya akan menyala semasa atau selepas PRU ke 12. Tidak juga berlaku, walaupun kuasa kerajaan Barisan Nasional telah dinafikan majoriti dua pertiga.

Bila tidak berlaku juga kebangkitan Melayu, saya mempunyai masa untuk menilai semula kesah-kesah di Raub.Isteri saya mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam hal ini yang sekaligus merombak segala-galanya.

Saudara, demikianlah perjalanan saya...perjalanan kepadaNya?

Sekarang saya menanti pula saat yang semua orang di seluruh dunia sedang menanti. Tahun 2012 dipercayai pada lengkongan ketika itulah PRU ke 13 akan dilangsungkan. Seluruh dunia sedang menanti tahun 2012 dan ada banyak ramalan yang boleh dipertimbangkan mengenainya. Sama-samalah kita menantinya kerana semuanya adalah rahsia di tangan Allah Tuhan Semesta Alam.

Apapun saya telah bebas dari diperkudakan oleh Tok Lat yang telah pun meninggal dunia. Beberapa bulan setelah Tok Lat `dikosongkan’, dia akhirnya meninggal dunia dalam keadaan tidak ada sesiapa pun mengadapnya.Inilah kesah yang saya katakan sebelum ini mungkin saya akan sambung. Jadi, silalah ikuti - kalaulah saya tulis nanti - siri TENTERA AKHIR ZAMAN, iaitu sejarah atau kesah yang ada saya sentuh sekali-sekala dalam siri RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA sebelum ini.

Selamat tinggal 2009!

8 ulasan:

  1. UMNO perjuangan asalnya OK, tapi sejak zaman Tun Abd Razak, seperti tersasar.
    Saya berbelah bagi dengan PAS sejak berganding bahu dengan ROKET. Menambahkan rasa terkilan bila dengar ceramah politik ahlinya yang menggunakan kata2 kasar dan memalukan orang. Tak semua, tapi seorang dua telah membuatkan saya terfikir akan perjuangannya.
    Saya impikan satu kerajaan yang tulus. Tak kisah kalau nak berParti, tapi kalau satu parti menyatakan kebenaran, parti satu lagi patut menyokong. Kalau salah, akui kesalahannya. Imi tidak, dalam Parlimen, kalau satu parti sokong kenyataan wakil parti lain (walau pun betul), telah dikenakan tindakan. Bukan ini yang kami nak. Teringat kata2 Abu Bakar As-Sidq sewaktu menerima baiat dari Sahabat apabila menjadi Khalifah Pertama Islam. -FM-

    BalasPadam
  2. Saudara tanpa nama,
    Perjuangan UMNO bagi saya sejak pada asalnya lagi tetap tidak ok sebab nawaitunya tidak untuk menegakkan sunnah Allah dan RasulNya dalam sistem bernegara sebaliknya mengekalkan sistem barat Yahudi.
    Matlamat perjuangan UMNO sejak penubuhannya lagi telah lari dari konsep undang-undang tubuh negara Islam yang Rasulullah saw perkenalkan.
    Mengenai PAS,sebab itulah PAS perlukan Tasauf.Tanpa Tasauf ditemuilah berbagai-bagai hal yang bolehlah dianggap kelemahan dalam perjuangan Islam. Inilah tanda tidak sempurnanya PAS tetapi janganlah disebebkan kelemahan itu orang-orang Melayu terus-menerus menyokong menerusi pilihnraya sebuah kerajaan Melayu yang jelas berkiblat kepada barat Yahudi.Susah mahu menjawabnya di Yaumil Mahsyar nanti.
    PAS amat perlu mengamalkan Tasauf Tasauf sesungguhnya teramat penting kerana membersihkan hati dan jiwa dari sifat-sifat mazmumah terutama syirik khafi dan dosa-dosa batin yang tersembunyi. Tasauf membimbing manusia untuk mengenal Tuhan. Kenallah diri nyata-nyata, nescaya kenallah Tuhan dengan nyata.Bila kenal diri kenallah Tuhan. Bila kenal Allah, konsep KeEsaan menjadi mudah dan indah.
    Tasauf membuka rahsia-rahsia jiwa melalui istilah yang dipanggil maqam.Maqam pertama ialah sabar. Inilah darjah pertama dalam maqam Tasauf yang sebaiknya dimiliki sebelum berjuang dalam politik terutama pada barisan kepimpinan, kerana semakin bertasauf akan semakin sabarlah jiwa dan semakin takutlah untuk berada pada barisan kepimpinan!
    Orang-orang PAS yang faham soal ini biasanya tidak terlalu ghairah keinginannya untuk menjadi pemimpin/berceramah tetapi seperti saya katakan tadi inilah kelemahan dalam perjuangan!
    Saya berpendapat perkongsian PAS dgn DAP semata-mata atas maksud yang sama iaitu untuk menebang pohon puaka yang telah amat berpuaka. Tapi atas prinsip Islam , Insyaallah tidak! Saya yakin PAS tetap istiqamah dalam ikrarnya kepada Allah dan Rasul. Tapi masakan rahsia di dalam dada mahu dibocorkan kepada musuh agama.

    BalasPadam
  3. Hadis Nabi saw: Akan terjadi di akhir zaman isla m muncul dari sebelah timur. - Salam Tuan.. Siapa yg meriwayat kan hadis ini? Adakah hadis ini terdapat dlm kitab sunan ibnu majah? Apa pula pendapat ulama tentang darjat hadis ini? Sohih atau ...

    BalasPadam
  4. Assalmuaalaikum.
    Isu yang saudara tanpa nama timbulkan agak merugikan masa untuk dibicarakan kerana isunya telah agak ketinggalan.Maafkanlah saya. Tak perlulah kita leka lagi dalam perbincngan/perdebatan mengenainya kerana sebaiknya jangan ada sesiapa lagi dari kalangan umat Islam yang sayangkan Islam masih berada dalam gerabak ilmu dan maklumat yang telah jauh tertinggal di belakang.
    Isu sekarang ialah Kebangkitan Islam. Inilah janji Allah dan RasulNya. Inilah yang perlu dipersiapkan oleh semua umat Islam termasuk Bangsa Melayu terutamanya. Persiapan untuk bangkit ialah dengan memiliki iman yang murni, hakiki lagi sempurna sekurang-kurangnya pada tingkat kedua atau kalau ada kurniaan Allah Rabbul Alamin ialah pada tingkat ketiga seperti yang dikategorikan oleh Iman Ghazali ra.

    • Tingkat Pertama: Ucapan LA ILAAHA ILLAL LAAHU dan hatinya lalai atau memungkiri seperti tauhid orang-orang munafik
    • Tingkat Kedua: Dibenarkan oleh hatinya akan makna lafal seperti umumya kaum muslimin - iktikad orang awam.
    • Tingkat Ketiga: Dipersaksikan dengan jalan kasyaf (Terbuka hijab) dengan perantaraan nur kebenaran – makam orang-orang muqarrabin.
    • Tingkat Keempat : Tiada dilihatnya pada yang wujud selain Yang Esa –Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.281-282.
    Pada pengamatan saya iman Bangsa Melayu sekarang majoritinya berada pada tingkat pertama! Inilah isu bagi Bangsa Melayu sekarang! Isu yaang sangat besar tapi tak ramai yang mempedulikannya! Silalah rujuk 10 esei Kebangkitaan Melayu Akhir Zaman dalam blog ini juga esei-esei kami yang terdahulu untuk dijadikan bahan panduan.Insyaallah.
    Tidak perlu diperdebatkan lagi Islam bangkit samada daari Barat atau Timur atau dari mana-mana pun kerana semua arah adalah milikNya. Cuma hadis tersebut menjadi rujukan yang kuat kerana keturunan Rasulullah saw memang berhijrah ke Alam Melayu dan ramaai pula di Tanah Melayu dari kalangan orang-orang Melayu. Logiklah orang Melayu kerana mustahil Timur merujuk kepada orang Korea atau Jepun. Lagipun Bangsa Melayu belum ada sejarah gemilang.
    Kalau menafikan hujah dari hadis tersebut, iaitu Islam bangkit dari Timur, dari manakah Islam akan bangkit? Mustahil dari barat, mustahil juga dari utara dan selatan. Bukankah Islam kubunya di Timur sejak Timur Tengah pada zaman terdahulu?
    Saya perturunkan satu lagi hadis yang ada kaitan dengan hadis yang saudara persoalkan:
    `Kami ahlul bait telah Allah swt pilih untuk akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak sehingga datangnya suatu kaum dari timur yang membawa bersama mereka panji-panji hitam'
    (Abu Daud, Al Haakim At Tarmizi, Ibn Majah). Sila rujuk Ahlul Bait Rasulullah saw dan Raja-Raja Melayu hal 338.
    Sekian. Wassalaamualaikum.

    BalasPadam
  5. Alhamdulillah, saya telah baca dan renungi tulisan saudara. Saya setuju sebahagian besar pandangan ikhlas saudara itu tetapi ada beberapa hal yang memusykilkan saya. Bagi saya PAS tidak akan berupaya membawa umat Islam kembali kearah tasauf, perjuangan mereka kini lebih menjurus kepada keuntungan politik untuk menafikan kekuasaan UMNO yang mereka tolak sejak zaman merdeka lagi. Atas dasar ISLAM, adalah wajib umat Islam menyokong PAS. Tidak dapat dinafikan.

    Perkongsian dalam gagasan PR tidak banyak membantu PAS untuk berkuasa di Malaysia. Bagaimana jika tonggak utama PR saudara Anwar tidak lagi menjadi peneraju, apakah PR akan tetap kukuh? Mahukah DAP bersama dengan PAS lagi? Masing2 membawa mimpi yang berlainan dan saling cuba menguasai saingannya untuk mendapat takhta.

    PKR masih membawa doktrin Yahudi "sekularima" sepertimana UMNO juga dan tidak mustahil akan mengecewakan PAS bila sudah menang kelak. DAP seperti yang kita sedia maklum amat kuat perseteruannya dengan Pemerintahan Islam dan ini kerap kali disuarakan oleh Kit Siang dan Karpal. Saya percaya mereka tidak ikhlas dalam persahabatan dengan PAS.

    Apa yang mungkin akan berlaku jika berkuasa kelak, ialah DAP pastinya akan usulkan rombakan kawasan pilihan raya mengikut jumlah penduduk dan semestinya akan dapat menguasai banyak kerusi dari bandar2 besar. Apakah PKR dan PAS akan menolak permintaan mereka? Apakah senarionya jika ia benar2 berlaku? Bilangan kerusi DAP akan meningkat sekali ganda dan mungkin lebih layak mendapat kuasa pemerintahan negara. Siapakah yang akan dapat menghalang mereka ketika itu? Terutamanya bila DSAI sudah tidak berpengaruh atau "tiada".

    Sudahkah PAS bersedia menghadapi situasi tersebut dan membiarkan Islam dipinggirkan terus dari bumi Malaysia seperti Singapura. DAP mendapat naungan kerajaan Singapura dan bagaikan saudara kembar dengan PAP. Kelihatan ada benarnya kenyataan bahawa apa yang berlaku ini diatur oleh "tangan hitam" yang berlindung disebalik wayang demokrasi. Islam akan dihancurkan oleh mereka yang amat memusuhinya. Apakah ia ada kaitan perhubungan DSAI dengan "jesuits" selepas dia keluar dari penjara? Itu hanya pandangan saya sahaja dan mungkin saudara mempunyai pandangan berbeza mengenainya.

    Akhir kata, kiranya PAS ingin menawan Malaysia, wajarlah pemimpin mereka membawa kembali tasauf kedalam enjin pergerakan mereka ketika UMNO semakin goyah ini. Tarbiahkan ahli2nya dengan pengajaran Islam sebenar dan lupakan permusuhan yang tidak berfaedah. Bukankah kita ingin mendapat pertolongan dari Allah? Jika tidak, kita lupakan sahaja demokrasi yang berbau busuk dan menjijikkan ini. Lupakan. Semoga Allah memberi hidayah dan membuka pilihan yang lebih baik.

    BalasPadam
  6. Sdr Abatasa,
    Sy telah cba beri response tentaang pandangn saudara tapi dicatatkan Maaf HTML anda tidak boleh diterima.Kenapa ya?
    Saya cuba pula poskan melalui email blog saudara. Tapi banyaak pula songenya.
    Maaflah saya ni celik sebelah mata aje tentang blog.
    Kalu perlukan response sy cubalah berikan cara yg lain.
    Tq

    BalasPadam
  7. terima ksih atas maklumat itu, saya cuba semak setting, apa yang tak kena. Cuba sdr guna email lain: wvw.iiii@ymail.com

    Blog sdr tak dapat di akses melalui senarai blog (cuba sdr klik "KANZUN MAHFIYYAN" dalamblog ini) sama result nya. Mungkin sdr boleh set semula setting blogrol.

    tk.

    BalasPadam
  8. sdr abatasa.
    Semoga selamat dlm penerimaan

    BalasPadam