07 Disember 2009

(5)
Cinta Dunia Cinta Durjana.

Saudara, dunia telah saya fahami hakekatnya.Ihya Jilid 5 di bawah tajuk `Tercelanya Dunia’ memberikan maklumat yang saya jadikan pegangan hidup saya. Tidak ada apa-apa yang perlu dipesonakan mengenai dunia bahkan pada pandangan hakekat digambarkan sebagai seorang perempuan tua ahli seher yang amat huduh rupanya. Apalah yang hendak direbutkan dari dunia selain dari bermimpi mengenai apa-apa yang akan ditinggalkan, kecuali apa-apa yang berharga untuk maksud-maksud agama.

Dalam perjalanan mencari Tuhan, dunia sebenarnya adalah musuh nombor satu. Dalam mendapatkan maqam cinta Allah yang sejati, mengosongkan hati dari dunia adalah satu kewajipan pada makam hakekat. Inilah yang dikatakan fanafillah dan baqabillah kerana semakin bergelumang dengan dunia semakin terhakislah cinta kepada Allah kerana hati tidak dapat dimuati oleh dua cinta pada masa yang sama. Salah satu mesti pergi. Orang-orang berilmu dan baik agamanya pada permulaan perjalanannya perlu menjadikan riwayat berikut sebagai pedoman.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw mengutus Abu Ubaidah bin Al Jarrah. Lalu ia datang dengan membawa banyak harta dari Bahrain. Maka kaum Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah.Lalu mereka mengerjakan solat Subuh bersama Rasulullah saw dengan sebaik-baiknya. Apabila Rasulullah saw selesai solat, lalu Baginda saw pergi.Maka datanglah mereka kepada Nabi saw. Rasulullah saw tersenyum ketika melihat mereka. Kemudian bersabda:”Aku menyangka bahawa kamu telah mendengar bahawa Abu Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu.Mereka menjawab:”Benar wahai Rasulullah”
Nabi saw lalu mejawab:”Bergembira dan berangan-anganlah apa yang menyenangkan kamu.Demi Allah! Tiadalah kemiskinan yang lebih aku takut kepada kamu.Tetapi yang lebih aku takut kepada kamu ialah bahawa terhampar kepadamu dunia, sebagaimana telah terhampar kepada orang-orang sebelum kamu.Lalu kamu berlomba-lomba akan dunia sebagaimana mereka berlomba-lomba padanya.Maka dunia akan membinasakan kamu sebagaimana dunia telah membinasakan mereka’
– Ihya Ulumiddin Jld.5 hal.19

Tetapi syaitan laknatullah menggelincirkan saya dari pandangn hidup sedemikian melalui Tok Penghulu Maliki yang asyek dengan delima dan urusniaga bersama adik iparnya. Timbullah perlahan-lahan dalam pemikiran bahawa untuk perjuangan Islam memang memerlukan wang dan apalah salahnya wang yang banyak asalkan kita faham makna zuhud. Lagipun pada waktu itu gaji masih kecil, anak-anak masih kecil dan rumah masih menyewa. Jadi tentulah kilauan ringgit yang bakal menanti tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Tentulah saya cukup teruja bila dibukakan peluang untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah. Dengan memiliki beberapa artifak tertentu khasnya batu delima betina, saya percaya pada ketika itu akan terbuka kepada jalan kekayaan. Bila Tok Penghulu Maliki mendapat delima sedemikian, terdetaklah di hati saya, Tok Penghulu Maliki yang sedemikian `hebat’ pun, dan telah pun hidup senang, masih lagi memerlukan wang yang banyak. Tentulah dia seorang yang tahu bagaimana menguruskan wang dengan betul mengikut jalan agama. Terdetaklah di hati saya alangkah bertuahnya saya kalau memperolehi batu delima sepertinya juga.

Tidak nampakkah di situ saudara, betapa tarikan kepada kekayaan, perlahan-lahan bakal mengosongkan hati dari lambaian cinta kepada Allah? Tidak nampakkah di situ saudara, perlahan-lahan saya bakal kehilangan cinta kepada Allah kerana kekayaan ringgit akan mengheret kecintaan kepada dunia? Demi sesungguhnya, hati apabila diisi oleh sesuatu akan disibukkan oleh sesuatu itu. Lihatlah asyeknya orang-orang yang hatinya di tarik kepada kesibukan di padang-padang permainan, di pasar-pasar, di kebun dan di pejabat? Sibuklah bergelumang siang dan malam demi keasyekan hati kepada dunia, bahawa semuanya adalah ibadah dan dibenarkan oleh agama asalkan tidak berdosa! Bila asyek dengan selain Allah, asyeklah kepada selainNya. Inilah kejayaan iblis pada langkah pertama, memesongkan hadap hati dalam perjalanan seseorang salik.

Apa yang jelas, terbukti kemudiannya, TOK PENGHULU MALIKI memang menjadi asyek dengan delima dan pada pengamatan saya tidak begitu berjaya melepaskan dirinya dari lambaian cinta dunia!

Saudara, tanda adanya unsur cinta dunia juga menghinggapi Ayah La di Bukit Tempayan. Beliau bangga ketika kenduri perkahwinan anak perempuannya, bilamana rumahnya dikunjungi oleh kereta-kereta yang besar menjalar. Terdetak rasa gembira di hati, bahawa baharulah orang-orang kampung tahu, Ayah La memiliki waris yang kaya-raya! (Ini Cikgu Zan dan isterinya ceritakan). Terdetak di hati rasa gembira dan bangga di atas hal sedemikian adalah tanda ada satu pendaman terembunyi di dalam hati berkaitan dengan cinta harta, kebesaran dan dunia di sebalik penampilan zuhud, atau barangkali tidak cukup kesabaran pada maqam sabar kerana selama ini dia tersisih dan disisihkan. Ini adalah hal-hal yang besar dalam urusan hati terutama berkaitan dengan makam sabar dan reda.Ayah La sendiri pun tidak kenal siapakah mereka yang kaya-raya itu, jadi untuk apalah dia berbangga! (Lihat Bab 8:BETAMU KE RUMAH WALI)

Agak-agaknya kalau saya tanya saudara, bolehkah saudara menerangkan siapakah sebenarnya mereka yang kaya-raya yang datang berkunjung itu?

Ayah La juga bangga dengan anak buahnya (anak murid Cikgu Zan) yang hidup kaya-raya sebagai seorang kontraktor! Apakah ini tanda bebas dari cinta dunia? Tidakkah ini tanda ketidakjelasan kefahaman dalam agama kerana orang yang benar-benar faham agama khasnya Ilmu Tasauf, memang mengetahui kerjaya sedemikian memang tejebak dengan rasuah politik dan projek politik, kroni, pilih-kasih, dan amalan rasuah. Kerjaya sedemikian memang penuh dengan syubabah dan diragui kesucian serta halal-haramnya dan saya berpendapat seseorang yang berada pada maqam Tasauf yang tinggi, sewajarnya jelas dalam hal-hal seperti ini kerana dianugerahi panduan hati. Lebih-lebih lagilah apabila Ayah La mendakwa TUAN GURU HAJI SAUDI PENIPU BESAR (Lihat Bab 11), pada fahaman saya adalah satu kecelaruan dalam memahami Islam secara komprehensif dan merupakan fitnah yang membawa bencana kepada ummah!

Saudara, mengenai batu delima betina membawa tuah, semuanya adalah penipuan kerana TOK PENGHULU MALIKI dan saya sampai sekarang pun tidak kaya. Batu delima yang dikatakan bernilai semakin tinggi, ternyata tidak ada apa-apa pun. Bila dibawa ke kedai emas untuk dibuat cincin, tahulah batu-batu delima tersebut bukanlah dari kualiti yang tinggi!

Selepas tamat kesah batu delima, saya dibukakan jalan kekayaan melalui perdampingan dengan orang-orang bunian pula. Saya percaya ini adalah langkah seterusya untuk mengheret saya supaya asyek dengan alam buniyan. Puteri Mahsuri (Lihat Bab 26:ORANG CACAT YANG TIDAK CACAT) dan Tengku Puteri Normala Indera Kayangan (Bab 28: TENGKU PUTERI NORMALA dan Bab 29: NAIK KERETA KUDA TERBANG) membawa misi untuk menimbunkan saya dengan wang ringgit.

Saya mengamalkan ilmu untuk menzahirkan Puteri Mahsuri dan suaminya. Norizan yang memberikan ilmu tersebut cukup hairan, kenapa ilmu yang puteri tersebut sendiri berikan, gagal untuk menzahirkannya di hadapan saya. Apapun ada dua bau-bauan yang tersangat harum dapat saya hidu sewaktu mengamalkannya.

Mengenai Tuan Puteri Normala pula, menurut kembarnya Along, beliau pernah datang ke rumah saya beberapa kali untuk berinteraksi dengan saya, tapi dia terpaksa kembali dengan segera kerana di kawasan Bukit Lindungan tempat saya tinggal, katanya terlalu banyak orang-orang jahat. Jadi Tengku Puteri Normala dilanda ketakutan dan tidak boleh menunggu lama. Jauh sekalilah dari dapat masuk ke dalam rumah saya.

Saudara, demikianlah kekuasaan Allah Taala memelihara saya dalam perjalanan kepadaNya. Pada ketika itu, saya memanglah begitu kecewa. Maklumlah pesonaan kilauan habuan besar yang sedang menanti. Demikianlah juga Aingah Awang yang berusaha membawa saya ke Kota Tinggi untuk menemukan saya dengan seorang yang berusia 400 tahun. Tetapi usaha tersebut gagal juga apabila Pak Haji yang dicari tiada di rumah... (Lihat Bab 20:MEGAT LAKSAMANA BENTAN)

Megenai `keris sekeluarga’ yang kononnya `keris kebesaran’ yang diberikan kepada saya oleh Tok Ayah Bidin, saya tidak mahu memberikan apa-apa komentar di sini kerana saya tidaklah begitu terusik dengan jalan hidup sedemikian. Prinsip hidup saya sejak sekian lama adalah menyenangi berada di pinggir-pinggir atau di pinggiran... Saya lebih selesa dengan konsep melukut di tepi gantang...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan