27 Disember 2009

(7)
Guru Mursyid?

Inilah persoalan sekarang. Persoalan yang teramat besar.

Masih adakah lagi guru-guru mursyid setelah iblis, telah begitu lama – saya rasa sejak ratusan tahun yang lalu berjaya menyelewengkan orang-orang yang menuntut pada jalan kerohanian? Sejak bila nama-nama seperti Tok Lat, Tok Ayah Bidin, Moyang, Ayahanda serta Pak Ali yang telah melakukan peranan memesongkan orang-orang Melayu di jalan Tuhan? Sejak bila?

Ingatlah apa kata Tok Ayah Bidin kepada saya bahawa misinya adalah untuk mencari/mencukupkan jumlah 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab! Pada ketika itu (sekitar awal dekad tahun 2000) masih belum cukup lagi.

Mereka adalah orang-orang yang hebat yang menyamar/mendakwa telah menempuh mati makrifat/hakekat dan zahir kembali dengan menggunakan nama-nama baru. Pada masa yang lalu mereka kononnya adalah wali-wali Allah, ulama dan pahawan Melayu atau pahlawan Badar. Bahkan bertaraf sahabat Nabi atau seorang Nabi!
.
Inilah watak-watak hebat yang menanti pengamal-pengamal Tasauf dan mereka akan menerobosi pada mana-mana sahaja pintu yang boleh diterobosi.Saya berpendapat tidak ramai pengamal Tasauf yang terselamat kerana setelah tamat satu perjalanan dalam kembara saya untuk tempoh lebih 30 tahun, saya belum menemui seorang ahli Tasauf yang hakiki.

Kenapa iblis menjadikan orang-orang Tasauf sebagai sasaran?

Saudara, Ilmu Tasauf adalah inti agama.Orang-orang yang cenderung kepada Ilmu Tasauf sesungguhnya adalah orang-orang yang secara semulajadinya memiliki hati yang bersinar atau orang-orang yang mahu memiliki hati yang bersinar. Secara semulajadinya mereka cenderung dan memiliki sifat-sifat mahmudah dan tidak banyak atau hampir tidak ada memiliki sifat-sifat mazmumah.Sinar di hati mereka menyebabkan mereka mahu mencari Tuhan untuk bermakrifah dan kembali kepadaNya dengan sempurna. Mereka lebih asyek mengurus hati dan jiwa berbanding mengurus jasad dan harta. Orang-orang berkenaan tidak mencari dunia fizikal tetapi lebih cenderung kepada dunia kerohanian.

Jiwa sedemikianlah yang dimusuhi iblis dan oleh kerana itulah sedaya mungkin akan memesongkannya!

Iblis tidak berminat kepada orang-orang yang mencari dunia. Mereka – orang-orang yang menghadapkan hatinya kepada dunia, bergelumang pada nafsu Amarah – sifat-sifat haiwaniah/syaitaniah dan mazmumah. Justru, tidak perlu disesatkan lagi kerana keseronokan mencari dan mencintai dunia itu sendiri adalah suatu kesesatan - kepala kejahatan, kerana sesiapa jua yang menghadapkan hatinya kepada dunia, maka berpalinglah hati dari menghadap kepadaNya! Bila hati berpaling dari Tuhannya, iblis tidak peduli seseorang itu samada solat atau tidak, beribadah atau tidak! Mereka gampang sahaja pada bila-bila masa sahaja menjadi tentera iblis yang zahir! Anda fahamilah ini dalam kehidupan pada akhir zaman ini!

Saudara, melalui pengaruh nama-nama yang contohnya dipaparkan di atas, terbukalah sesuatu yang ghaib.Akan ada tetamu yang tidak dikenali datang berkunjung sewaktu berzikir, menampakkan diri di dalam mimpi atau menzahirkan diri dengan pengakuan-pengakuan yang mempesonakan. Inilah yang terjadi kepada saya ketika bermimpi bertemu dengan Tok Guru Peramu sehingga mengheret saya dalam waktu yang begitu lama menelusuri laluan rangkaiannya. Saya tidak ada guru mursyid untuk mendapatkan ulasan, lantas mempercayainya.
.
Terjadi juga kepada anak saudara isteri saya, mendapat mimpi menerima ilmu persilatan dan perubatan dan Imam Rasul. Dia menceritakan kepada saya mengenai kesah bagaimana dia menerimanya. Memang dia boleh bersilat dan berubat dengan memakai sepasang pakaian hitam. Ayahnya memberitahu anaknya itu memiliki tenaga gajah putih yang mempunyai kekuatan luar biasa. Ayahnya sendiri pun memang banyak menempuh pengalaman-pengalaman ajaib dan ada kehebatan tersendiri.
.
Berat sangka saya menduga Imam Rasul adalah Moyang yang ada dalam persekitaran Aki Anjang kerana selepas kesahnya diceritakan kepada saya, pada malam itu juga saya bermimpi berada dalam satu suasana Tok Lat ada bersama. Menurut ayah anak saudara isteri saya, Iman Rasul yang mendampingi anaknya memanglah Tok Gajah.Jika demikian watak Moyang memanglah merupakan ketua bagi agenda iblis kerana bersama Moyang ialah Tok Lat, Tok Ayah Bidin dan Lebai Umar (guru Ayah La) yang melahirkan ramai guru-guru Tasauf, guru persilatan, tok bomoh, tok bidan dan sebagainya.

Bagi saudara-saudara yang mahu menjalani Tasauf, ambillah iktibar dari Syeikh Abdul Qadir al Jailani yang tidak tertipu oleh perdayaan syaitan yang datang berkunjung di dalam mimpinya dengan mendakawa Tuhan.
.
Saya rasa gangguan misteri seumpama beginilah yang paling dahsyat yang jika tidak dipandu dan dibimbing oleh seorang guru mursyid, akan terbukalah kepada lorong berhantu! Ingatlah Ayah La yang dikunjungi oleh para tetamu yang tidak dikenali sedangkan beliau tidak ada guru untuk dijadikan tempat merujuk! Lagipun Lebai Umar (Cikgu Jantan Pahlawan Pahang), guru beliau adalah spesis seperti Tok Lat Juga.
.
Mungkin banyak pengalaman para wali yang mengenal perangkap iblis pada permulaan persimpangan berliku yang boleh dijadikan teladan. Maka berusahalah mencarinya dari sumber-sumber yang benar sebelum melangkah ke alam Tasauf.

Lorong berhantu seperti inilah yang telah dilalui oleh ramai pengamal Ilmu Tasauf dan Terekat. Di antara mereka ada yang menjadi guru lalu dianggap/disangkakan sebagai seorang guru mursyid kerana tanda-tanda ketinggian ilmu dan keajaiban/kelebihan yang mereka miliki samada dalam bidang perubatan, persilatan atau fihrasat dan kasyaf. Saya percaya inilah jenis guru Tasauf yang ramai boleh ditemui. Mereka melahirkan pula sejumlah anak-anak murid bagi mencapai angka 70,000 yang masih belum mencukupi untuk bukan dibawa masuk ke syurga, tetapi untuk dibawa masuk ke neraka tanpa hisab!

Sewaktu beramal Tarekat Naqysabandiah dahulu, ada saya temui seorang yang pada ketika itu telah menggambarkan kepada saya, dia telah mencapai pengalaman kerohanian yang tinggi iaitu Israk dan Mikraj. Saya agak kagum padanya. Setelah puluhan tahun berlalu, pada hari ini beliau telah cukup maju sehingga menjadi seorang guru yang dipandang tinggi oleh murid-muridnya dan dikunjungi oleh orang sejauh serata Tanah Melayu untuk pelbagai maksud.Melalui keistimewaannya dia memiliki pengikut serta mendapat rezeki sehingga boleh menunaikan fardhu Haji walhal dia tidak bekerja apa-apa. Saya tahu latar diri dan peribadinya kerana dia adalah darah-daging di sebelah isteri saya.

Pengorbanan seperti inilah yang saya lalui - bekorban kepada guru berhantu yang disangkakan pengorbanan pada jalanNya, walhal masa, tenaga, harta dan wang ringgit terkorban bukan pada jalanNya. Inilah yang jarang disedari kerana iblis bersembunyi di sebalik kerja-kerja agama!

Guru-guru seumpama ini, pada zahirnya mereka mengamalkan Tasauf dan membicarakan soal Tasauf yang tinggi. Mereka banyak memberi informasi yang luar biasa, menabur janji dan memberi gambaran yang muluk-muluk. Mereka ada kebolehan yang hebat bahkan pada tahap bagaikan memiliki kuasa menaikkan atau menurunkan darjat seseorang anak muridnya. Ini terbukti bila Ayah La telah menurunkan darjat anak perempuannya disebabkan anaknya enggan untuk bersama suaminya. Aki Anjang juga pernah menawarkan kepada saya, iaitu tawaran yang ditawarkan kepada seseorang yang telah matang menurut tafsirannya:

`Kalau payah sangat nak naik darjat Cikgu, biar Aki sahajalah yang menaikkan’. Cara dinaikkan oleh Aki Anjang ialah dengan menunggang sejenis binatang yang dengan hanya satu lompatan sahaja, terus sampai ke langit atau.... yang sesayup pandangan mata. Hebat! Tapi saya tidak menerima tawarannya.

Semua guru-guru ini ada rangkaiannya sendiri masing-masing samada terdiri dari manusia biasa atau yang ghaib dan selagi kita mempercayainya mudah sahaja bertemu atau terserempak dengan mereka. Demikianlah saya sewaktu bersama Tok Lat dan Tok Ayah Bidin dahulu. Anehnya setelah saya meninggalkan mereka, sampai sekarang saya tidak lagi pernah terserempak dengan rangkaiannya.

Demikianlah juga dengan Ayah La dan rangkaiannya, dan rangkaian inilah yang dijejaki oleh Cikgu Zan. Norizan juga ada rangkaiannya. Begitu jua Pak Ali dan Ayahanda. Aki Anjang pula acapkali melakukan perjalanan jauh kerana mengesan dan menjejaki nama-nama yang baru muncul dan selalu pula menghilangkan diri ke dalam hutan (alam ghaib), kadang-kadang sampai satu minggu atas urusan menguruskan persediaan menghadapai suasana negara yang tidak menentu.

Apa yang jelas, kesemua guru-guru jenis ini tidak ada persefahaman. Masing-masing tidak berinteraksi dengan rangkaian kelompok yang lain. Antara Ayah La dan Tok Lat misalnya, Ayah La sangat memusuhi Tok Lat. Anak-anak murid mereka pada umumnya meletakkan kesetiaan/ketaksuban kepada guru dan sekadar mesra dalam kumpulan rangkaian mereka sahaja. Demikianlah silaturrahim cara mereka.

Saudara, andaikata seseorang salik tidak memiliki keteguhan pegangan kepada Syariat Rasulullah saw, tidak mengenali perdayaan iblis secara zahir dan batin, tidak mengenali syaitan-syaitan manusia, tidak memahami syirik khafi dan yang lebih utama ialah konsep Keesaan Wujud, guru-guru seperti ini mudah sahaja menjadikan anda mempercayai Allah sebagai Tuhan bersama tuhan-tuhan yang lain. Mereka akan menjadikan anda mentaati Allah bersama tuhan-tuhan yang lain sebagaimana terjadi kepada saya selama ini! Jika demikian, apalah bezanya anda dengan Hinduisme? Fahamilah!

Jika sedemikianlah ramainya guru-guru sempama ini, yang beraksi sejak entah bila dalam dunia Tasauf Melayu, berpaksi kepada induk-induk seumpama Moyang, Tok Lat, Tok Ayah Bidin, Pak Ali dan Ayahanda, di manakah lagi mahu dicari guru-guru mursyid dan pengamal Tasauf yang hakiki?

(Esei ini belum siap lagi. Saya insyaallah akan update lagi sebab saya masih mencari hadis yang berharga dari Ihya yang menyatakan bahawa pada setiap ....puluhan/ratusan ribu atau jutaan manusia dilahirkan... ada seekor anak iblis akan dilahirkan oleh manusia! Juga hadis mengenai cuma golongan ahli sufi sahajalah pada mata iblis yang berpakaian/ditakuti dan dimalui kerana selain kumpulan tersebut, iblis tidak takut/malu kerana semuanya kelihatan bertelanjang oleh ketiadaan darjat insan!)

10 ulasan:

  1. Alhamdulillah. Baik dan menarik nukilan saudara. Saya amat teruja, sumbangan dan huraian pengalaman yang sungguh berharga. Hanya kesesatan yang dilalui sahaja akan menyuluh liku2 seterusnya. Semoga tercapai hajat dihati. Redha dan tawakkal adalah pakaian sebenar seorang Muslim. Guru Mursyid tidak akan mengaku ianya adalah Mursyid, cabaran kepada sang murid sejati. Guru Mursyid memang sukar dicari, mereka sedang melihat kita. Percayalah. Dengan hati yang tenang dan bersyukur atas setiap anugerah, pertolongan tetap akan tiba. Itu janji DIA.

    BalasPadam
  2. salam saudara, saya cuba linkkan blog saudara dalam blog saya, tetapi gagal diakses .... Invalid content type: wwwfafiruilallah.blogspot.com

    mungkin saudara dapat bantu. tk

    BalasPadam
  3. Saya memang kurang mahir dan tak mahir sebenarnya dlm mengendalikan blog. Cubalah lagi.

    BalasPadam
  4. Guru mursyid tetap ada di kelantan mereka semua teguh pegang syariat hanya murid tertentu yg kenal siapa mereka

    BalasPadam
  5. saya pon pernah ditipu oleh guru bertopeng iblis...masakan solat puasa berzakat dan menunaikan haji..tidak perlu dilakukan..malah amat mengejutkan saya mereka manyatakan Allah tidak wujud...dikalangan mereka ilmunya mmg tinggi malah ke tahap makrifah..hakikatnya semuanya tipu daya iblis..

    BalasPadam
  6. Salam bro. Tulisan tuan pd tahun 2009. Sekarang tahun 2017.Benar apa yg tuan nyatakan. Rangkaian iblis semakin dasyat. Yg dtg menipu bukan lagi tok ayah tok syekh tapi nyamar jadi Allah jadi Muhammad. Ramai di luar sana ngaku diri Allah tapi qorin sendiri pun tak kenal lagi.

    BalasPadam
  7. Mu berdamping ker tidak dgn para habaib? Cuba tnya para habaib tentang mursyid. Zahirkan hajat mu yg kmu nak guru mursyid sudah lama kamu usahakan dan sudah lama kamu dlm lembah kesesatan sblm ni. Atau kamu xpernah cari pluang jumpa mana2 habaib 1 by 1 face 2 face?

    BalasPadam
  8. Yg kata guru mursyid xkan mengaku yg dia mursyid itu komen pling lucu. Mursyid akan mengaku mursyid bila kene pada tempat, orang, dan keadaan. Kalau xngaku mursyid sampai mampos xdpt anak murid mcm ni. Apa kamu nak kata xde nabi yg mengaku nabi jgk ker... Dorang mengaku pn bkn saja2 ngaku wei tp telah dibagi pengishtiharan dan perlantikan dari mursyid kpd mursyid itu sendiri. Sbg contoh apabila mursyid kpd mursyid tersebut dpt pengishtiharan hak dr perkhabaran melalui mimpi/yaqazah ketika bertemu Rasulullah

    BalasPadam