19 Disember 2009

(6)
Sesat Di Laut Ilmu

Madah Saiyidina Ali krmh.

Alangkah banyaknya pohonan kayu,
Tapi tidak semuanya berbuah.
Alangkah banyaknya buah-buahan,
tapi tidak semuanya boleh dimakan.
Alangkah banyaknya ilmu,
Tapi tidak semuanya bermunafaat.

Memang sesungguhnya bukanlah semua ilmu bermuafaat. Ilmu dunia jika tidak dimaksudkan untuk agama dan ukhrawi, akan semata-mata bermunafaat untuk dunia sahaja dan tidak berguna samasekali untuk akhirat. Lebih-lebih lagilah jika tidak ditauhidkan, akan boleh membawa kesesatan pula. Ada pula sejumlah ilmu yang tidak berguna samasekali bahkan haram mempelajarinya.

Bahkan ilmu agama sendiri, tidak berguna apa-apa kalau dimaksudkan kepada dunia semata-mata. Sementelahan pula bukan semua bidang ilmu agama berguna untuk kemuliaan akhirat, kerana sebahagiannya tidak berkaitan samasekali dengan kemuliaan tingkat di sisiNya.

Bagi orang-orang yang mencari kemuliaan akhirat, mereka lebih berminat kepada bidang ilmu yang membawa kepada kemuliaan akhirat. Inilah bidang ilmu yang dicari oleh ahli-ahli sufi dalam Ilmu Tasauf kerana inilah ilmu yang termulia kerana setinggi-tinggi ilmu ialah ilmu mengenai Allah Taala iaitu mengenai Zat, Sifat dan Afaalnya dan KerajaanNya yang meliputi seluruh alam Mulki, Malakut, Jabarut dan Lahut. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis:

Orang bertanya kepada Nabi saw: “Wahai Rasulullah! Amalan apakah yang lebih baik?”, Maka Nabi saw. menjawab:”Ilmu mengenai Allah Azzawajalla (Maha Mulia dan Maha Besar)
Bertanya pula orang itu:”Ilmu apa yang engkau kehendaki?”
Nabi saw. menjawab:”Ilmu mengenai Allah swt”
Berkata orang itu lagi:”Kami menanyakan tentang amal, lantas engkau menjawab tentang ilmu”
Maka Nabi saw menjawab:” Bahawasanya sedikit amal adalah bermunafaat dengan disertai ilmu mengenai Allah.Dan bahawa sanya banyak amal tidak bermunafaat bila disertai kebodohan mengenai Allah swt” –
Ihya Ulumiddin Jld.1 hal.52

Atas maksud inilah saya mencari Ilmu Tasauf dan Ilmu Ketuhanan.

Mengenal Tuhan adalah wajib hukumnya, akan tetapi tidaklah pula semua Ilmu Ketuhanan perlu dicari. Sebahagiannya sekadar cerita-cerita! Untuk bercerita dan diceritakan! Memang hebat dan menakjubkan manusia apabila diceritakan, akan tetapi ini sebetulnya tidaklah begitu perlu, kerana tentunya tidak lebih utama dari mengamalkannya!

Setelah mencapai satu peringkat kefahaman makrifah iaitu Keesaan Wujud, seseorang salik seharusnya perlu lebih bekerja keras memberi tumpuan kepada amal yang ikhlas dan memberikan perhatian kepada membersihkan hati dan memerhatikan perjalanannya. Tapi pada tahap inilah saya diseret berjumpa Tok Lat yang dikatakan mencapai mati hakikat makrifat yang digambarkan memiliki lautan ilmu. Saya diasyekkan dengan ilmu yang pelik-pelik mengenai rahsia hakikat diri, rahsia-rahsia ayat al Quran, hakikat Nabi dan Rasul yang saya baru sedari lama kemudiannya, telah terpesong jauh dari hakekat kebenaran!

Saya diasyekkan dengan cerita-cerita dan kesah-kesah yang pelik-pelik berkisar mengenai dirinya sendiri, kesah Tok Ayah Bidin, berbagai-bagai watak tok-tok yang entah siapa-siapa, yang tidak saya kenali, yang penuh pula dengan pelbagai keajaiban. Begitu juga kesah Hang Tuah lima bersaudara, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan sebagainya yang jelas bercanggah dengan fakta sejarah.

Begitu juga kesah Naga Pulau Tioman, Naga Tasik Cini, dan naga-naga lain, kesah buaya putih serta penunggu-penunggu/penjaga gunung, bukit dan sungai yang ada pengaruhnya dalam kehidupan dunia. Juga kesah adanya kubur nabi di tempat-tempat tertentu di Tanah Melayu, kesah Nabi-Nabi dan Rasul yang bermastautin di tempat-tempat tertentu termasuk di Gua Kota Gelanggi dan beberapa gua lain yang bentuk penghidupan mereka sangat berbeza dengan apa yang diterangkan oleh agama.

Saudara,

Semua yang tersebut adalah keasyekan saya dalam proses mempelajari ilmu dan memahami makna kehidupan kerana sangat taksub kepada seorang yang dipercayai akan memperkasakan saya demi kebangkitan Bangsa Melayu/Islam walaupun jauh di sudut hati ada persoalan-persoalan yang perlu dihujahkan dan ada keraguan.

Lantas bila telah begitu percaya memiliki ilmu Tasauf/Ketuhanan pada aras kognitif yang tinggi – memiliki pula berbagai-bagai ilmu dunia yang hebat-hebat serta dibekali pula dengan pelbagai persenjataan sakti, maka terdetaklah di hati, rasa telah berilmu tinggi, rasa kuat dan hebat, rasa sebagai pahlawan dan pejuang dan ini melayakkan persediaan untuk menghadapi gelombang yang bakal tiba yang sayalah digambarkan akan mengepalainya.

Saudara, perlahan-lahan menyelinaplah tanpa kesedaran saya betapa ada tersembunyi unsur memungkiri Tauhid Keesaan. Inilah dosa-dosa tersembunyi di dalam batin! Saudara, merasai dan mempunyai perasaan-perasaan sedemikanlah sesungguhnya kebinasaan dalam Tasauf! Inilah sesungguhnya yang wajib dibersihkan! Inilah dosa-dosa batin yang telah memerangkap Azazil.

Imam Ghazali ra menerangkan ada empat martabat kesucian:
Tingkat Pertama: mensucikan zahir dari segala hadas, kotoran dan benda yang menjijikkan.
Tingkat Kedua: mensucikan anggota badan dari segala perbuatan jahat dan berdosa
Tingkat Ketiga: mensucikan hati dari segala pekerti yang tercela dan sifat-sifat rendah yang terkutuk
Tingkat Keempat: mensucikan sir (rahsia/batin) dari sesuatu selain dari Allah Taala
–(Ihya Jld.1 hal.450)

Tingkat keempat inilah yang dikatakan martabat ikhlas pada martabat yang tinggi!

Jika demikian, alangkah besarnya bencana yang bakal menimpa saya seandainya saya masih berada di alam taklukan Tok Lat dan Tok Ayah Bidin!

Jika demikian alangkah besarnya bencana yang bakal menimpa sesiapa jua yang mendakwa dan merasakan bahawa: ` dialah nanti....’ . Atau ada persangkaan bahawa `orang itulah nanti yang akan....’.

Alangkah besarnya petaka bagi umat yang merasakan bahawa: `kamilah...atau merekalah....’, kerana saya/dia/kami atau mereka, telah memiliki kekuatan - kerana ada ilmu kebatinan, memiliki kehebatan tempur dalam persilatan, memiliki persenjataan....sedangkan seluruh kekuatan adalah milik Zat Yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa, tersembunyi dalam Rahsia Qudrah dan IradahNya yang tidak ada sebarang makhluk pun yang berkongsi denganNya kerana KEESAAN ZATNYA!

Bahawa demi sesungguhnya kebangkitan Bangsa Melayu dan Islam akhir zaman adalah urusan Zat Yang Mencipta Kehidupan! Bukan urusan saya! Jadi buat apalah saya sibuk di atas urusan yang Zat Yang Maha Gagah Perkasa tidak berkongsi dengan sesiapa jua dari makhlukNya? Inilah perdayaan dalam perjalanan kepadaNya.

7 ulasan:

  1. Salam
    Alhamdulillah. Saya bersyukur.
    Harap buang catatan saya yang 2 itu sebelum ini, tak elok masih diletak disini.


    wassalam

    BalasPadam
  2. assmlkm,sungguh menarik pndangan saudara,,lebih menuju ke jalan yang satu,terdetik kesedarn akn hakikat kita dalm mencari apa itu melayu sebenarnya sedang sedikit demi sedikit mengangkat bangsa kita terlalu tinggi hingga timbul rasa riak dlm diri

    dari kata2 saudra mmg seorg ahli tasawuf, sdgkn saya hanya islam dinama dan jasad namun belum lahir roh islam yang sebenarnya dalam diri,

    saya pminat dan pengkaji sejarah melayu ingin kongsi ebook yang dlm simpnan saya ini, buknlh saya hendak berkta ia benar tapi biarlah saudara yang menilainya kerana saya bukan orang yang ahli untuk mengiakanya,
    http://www.4shared.com/file/180042444/2bfa686c/mungkinkah.html

    BalasPadam
  3. Saudara ku..x molek rasa nya saudara menceritakan watak watak tok lat..dan lain lain yang saudara pernah anggap sebagai guru sebagai general-general azazil...sedangkan dari mereka lah juga saudara akhirnya menemui apa yang saudara katakan kebenaran...kalau x ada salah masakan saudara bertemu dengan yang benar.Begitu juga dengan AZAZIL yang akhir nya menjadi Syaitan kalau tanpa nya masakan kan pula ALLAH membuka pintu TAUBAT dan IKHLAS kepada hamba-hambanya..Demikianlah kasih sayang ALLAH kepada kita...disitu lah letak nya sifat kamalat ALLAH.Cukup lah kita menyalah kan syaitan,guru,ustaz,toriqat,mazhab dsb.Salah kan dulu diri kita yang hina dina ini kerara tidak faham akan agama ALLAH.Jahil kita dengan ALlah..BURUK BAIK SEMUA nya datang dari ALLAH semata-mata untuk hamba-hamba nya berfikir dan kembali mengESA kan NYA....kalau kita dapat kembali mengESAkan ALLAH bersyukurlah kerana ALLAH pilih kita untuk kembali....seperti firman ALLAH 'Aku beri petunjuk pada siapa yang Aku suka dan Aku sesatkan pada siapa yang aku suka...pada siapa yang Allah sesat berdoalah untuk mereka,kalau lah ALLAH yang boleh memilih kita untuk ditunjukkan kebenara..nescahaya ALLAH itu jugalah yang boleh memberikan kebenaran kepada orang lain.

    BalasPadam
  4. Allahummahdi qaumana innahum la ya'lamun

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum.
    Saudara tanpa nama, saya sungguh bersyukur di atas teguran yang sangat indah itu. Alhamdulillah. Insyaalah, saya akan lebih berhati-hati untuk berada pada tahap kesopanan yang benar.
    Tegurlah..Teguran saudara amatlah dialu-alukan. Insyaallah.

    BalasPadam
  6. Sesungguhnya pengalaman jumpa guru sesat adlh lumrah sblm jumpa guru yg sebenarnya cari aja di pondok di kelantan pasti jumpa guru mursyid saya jumpa guru saya di pondok alor tar tumpat

    BalasPadam