17 Disember 2008

UPA PURANA

(Upa Purana adalah sebuah kesah dari Kitab Veda dalam agama Sanatara—dharma - ‘agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan’ iaitu nama asal bagi agama Hindu).

Upa Purana berisikan kesah kejadian alam semesta, kebinasaannya, pembaharuannya kembali, berserta salasilah devas iaitu makhluk-makhluk ghaib yang baik dan salasilah asuras iaitu makhluk-makhluk ghaib yang jahat, disusuli dengan kesah penciptaan manusia pertama bernama Manu dan penciptaan perempuan pertama bernama Shatarupa.
Dijelaskan dengan lebih lanjut mengenai devas, bermakna ‘yang cemerlang’. Devas adalah makhluk cemerlang kerana diciptakan dari nur dan merupakan makhluk yang taat mengabdi kepada Brahman. Di antara mereka menjalankan tugas-tugas tertentu misalnya Dewa Indra untuk menjaga swarga-loka, dan Dewa Yama untuk mencabut nyawa makhluk dan Dewa Vishnu sebagai utusan Brahman kepada para risyi dan lain-lain. Asuras pula bermakna ‘yang gelap’ kerana diciptakan dari api (nar). Tetapi makhluk ini martabatnya jatuh kerana mengengkari Brahman dan menyelewengkan ajaran Brahman. Ketua dari golongan mereka dipanggil Virochana.
Di dalam Upanishad pada bahagian Chandogya dikisahkan bahawa Indra dan Virochana pergi belajar selama tiga puluh dua tahun lamanya kepada Prajapati. Pada akhirnya Prajapati menyuruh mereka berdua mengenakan pakaian yang seindah-indah mungkin dan diminta memandang ke dalam air bening bagi mengenali Dia. Kedua-dua mereka nampak bayangan diri masing-masing tetapi Indra masih juga belum menemui Dia. Indra tidak berpuas hati dan belajar lagi sehinggalah akhirnya Prajapati menjelaskan tentang Dia.
Verochana yang begitu berpuas hati dengan penemuan dirinya dalam percubaan pertama merasakan dirinya alim kerana memiliki ilmu yang teramat penting. Selepas itu dikisahkan: ‘Now Virochana satisfied for his part that he had found out the Self, returned to the demons and began to teach them that the body alone is to be worshipped that the body alone to be served, and that he who worships the body and serves the body gain both worlds, this and the next.Such doctrines, in very truth, the doctrine of demons’ (Sekarang Virochana berpuas hati dengan dirinya yang telah berjaya menemui Diri, lantas kembali kepada para iblis dan mulai mengajar mereka bahawa hanya jasad sahaja yang perlu dipuja (sembah), jasad sahaja yang perlu dikhidmati dan sesiapa yang menyembah jasad dan melayani jasad beroleh kemenangan dalam hidup kini dan kehidupan yang akan datang. Ajaran demikian, sebenarnya, adalah ajaran ketuhanan iblis).
Demikianlah dikisahkan perpisahan jalan yang ditempuh oleh kedua-dua belah pihak di kalangan makhluk rohani yakni pihak devas dan pihak asuras.Dan kedua-dua pihak ini lantas berebut pengaruh dalam lingkungan kehidupan manusia seluruhnya. – Agama-Agama Besar Di Dunia hal.36-47.
Upa Purana menceritakan sesuatu yang sangat sinonim dengan apa yang dijelaskan dalam Agama Tauhid. Devas sesungguhnya tidak syak lagi adalah makhluk malaikat kerana dijadikan dari api. Dewa Indra yang disebutkan sebagai penjaga syurga-loka sudah tentulah malaikat Ridwan as. Dewa Yama yang ditugaskan mencabut nyawa, sudah tentulah merujuk kepada malaikat Izrael as sementara Dewa Vishnu adalah malaikat Jibrail as.
Asuras adalah makhluk iblis. Virochana dalam Islam dipanggil Azazil. Kesah Virochana yang angkuh dan rasa cukup berilmu memang sama dengan kesah Azazil yang dipilih mengetuai seluruh makhluk langit kerana ketinggian ilmunya mengatasi seluruh malaikat muqarrabin. Adalah diriwayatkan melalui kesah-kesah lama dari kitab-kitab lama, bahawa telah berlaku kegemparan di seluruh petala langit, tersebar khabar-khabar anign, akan berlaku kedurhakaan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Maka menjadi gementarlah seluruh para malaikat termasuk Jibrail as, Mikail as, Israfil as, Izrael as dan semua malaikat-malaikat muqarrabin. Mereka diriwayatkan telah mengadakan perjumpaan bagi menghindari dan menyelamatkan diri masing-masig dari melakukan kedurhakaan kepada Allah Rabul Alamin. Timbulah usul untuk membawa kebimbangan tersebut kepada Azazil kerana dialah yang terlebih alim setelah beribadah selama lebih 200,000 tahun. Pergilah kesemua malaikat muqarrabin termasuklah Jibrail as, Mikail as, Israfil as dan Izrael as mewakili seluruh golongan malaikat, datang dengan penuh hormat merendahkan diri mengadukan hal kepada Azazil.
Azazil – dalam Upa Purana – disebut Verocana, begitu teruja kerana dikunjungi oleh semua para pembesar kerajaan langit, lantas memanjatkan doa kepada Tuahn Semesta Alam memohonkan keselamatan bagi semua para malaikat, tetapi terlupa berdoa untuk dirinya dan golongannya.Kitab Suci al Quran melanjutkan kesah ini dengan firman-firman berikut:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:’Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata:’Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’. Tuhan berfirman:’Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’.
(Al Baqarah:30)
Allah swt mempunyai pelan tindakan untuk selama sekitar 7000 tahun di alam syahadah yang terdiri dari 11 bintang, bulan dan matahari yang tidak samasekali diketahui dan difahami oleh para malaikat. Sesungguhnya penciptaan manusia adalah satu rencana penciptaan yang amat besar dan penuh rahsia dan ini termasuk dalam rahsia-rahsia yang bukan sahaja amat besar, malah rahsia yang paling rahsia di sisiNya.
Lalu malaikat Jibrail as diperintahkan mencipta jasad Adam as. Ini dijelaskan di dalam Al Quran:
`Dan ketika Tuhamu berfirman kepada para malaikat:”Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruhKu, maka tunduklah kamu kepadaya dengan bersujud’
(Al Hijr: 28-29)
Sebaik jasad Adam as sempurna dicipta maka Allah swt berfirman:
`Sujudlah kamu kepada Adam’, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang kafir’.
(Al Baqarah:34)
Azazil (Verochana) enggan sujud kerana padanya terdapat sifat-sifat besar diri oleh ilmunya yang tinggi, kedengkian dan kesombongan.
‘Allah berfirman:’Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?’.Menjawab Iblis:’Saya lebih baik daripadanya.Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah’. (Al A’raf:12)
Hadis riwayat Muslim menerangkan bahawa Rasulullah saw bersada:
`Setelah Allah membentuk Adam dalam syurga dan diberikan tanpa roh, maka Iblis mengelilinginya dan melihat apakah sebenarnya dan ia dapati kosong dan ia menganggap kejadian itu tidak bererti’.
Malaikat Azazil menjadi Ibis kerana sesuatu yang telah termaktub dalam rahsia Iradah Qadak dan Qadar sebagaimana penciptaan Adam as adalah juga satu rahsia Iradah Allah swt yang paling besar. Iblis tidak mengetahui hakikat rahsia kejadian Adam as dan dia sombong dengan persangkaan dia lebih mulia kerana diciptakan dari api berbanding Nabi Adam as daripada tanah, air, api dan angin.
Fungsi devas dan asuras dalam Upa Purana yang sama-sama bersaing dalam memenangi hati manusia samalah dengan fungsi malaikat dan iblis yang sentiasa bertarung untuk merebut ‘singgahsana’ di hati anak Adam. Fungsi Asuras atau iblis dirakamkan dalam al Quran:
Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya dengan berkata:’Hai Adam! Mahukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?”
Maka keduanya (Adam dan isterinya) memakan dari buah pohon itu lalu nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga dan durhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah ia’
(Thaahaa:120-121)
`Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan dari keadaan semula dan Kami berfirman:`Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan’
(Al Baqarah:36)
Allah befirman:`Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama. Sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka jika datang kepadamu petunjuk daripadaKu, lalu barangsiapa yang mengikut petunjukKu, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka”
`Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan meghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta
(Thaahaa: 123-124)
Berlakulah dialog, ikrar dan sumpah antara Allah dengan Azazil.
‘Allah berfirman: Maka keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir. Sesungguhnya kutukanKu tetap atasmu sampai hari pembalasan.
‘Iblis berkata: Ya Tuhanku! Beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan’
`Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh
`Sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (Hari Kiamat)’
‘Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka”
(Shaad:77-83)
‘Allah berfirman:”Ini adalah jalan yang lurus; kewajipan Aku lah (menjaganya). Sesunggunya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat’ (Al Hijr:41-42)
Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya’ (Shaad:85)
Diriwayatkan melalui Hadis Rasulullah saw, apabila Iblis diberi tangguh, lalu Ibis berkata:
Demi kemuliaan Engkau! Sesungguhnya tidak aku keluar dari hati anak Adam, selama ia masih bernyawa”
Maka Allah Taala berfirman” “Demi kemuliaanKu! Sesungguhnya tidak terdinding dari anak Adam itu taubat, selagi ia masih bernyawa”(Ihya 6:138)
Allah swt telah menurunkan kesemua empat antagonis dan protagonis yang terlibat dalam takdirNya - Nabi Adam as, isteri Baginda Siti Hawa, ular dan Iblis – ke planet dunia; alam syahadah tempat transit bagi sebuah destinasi sebelum dipanggil pulang kembali ke HadratNya.Nabi Adam as diturunkan di bumi India, Siti Hawa di Jedah, ular di Isfahan dan Iblis di Baysan (di selatan Palestin).
Nabi Adam as menderita jiwa dan mental selama 100 tahun di India. Di sana Baginda as hidup berduka menangisi dan menyesali kealpaan dan kesilapannya sehingga tidak pernah sekalipun mengangkat kepalanya ke langit. Akhirnya Allah mengutus malaikat Jibrail as menemuinya.
Al Quran merakamkan hal ini:
`Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya,, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Peyayang’.
`Kami berfirman:`Turunlah kamu dari syurga itu.Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barangsiapa yang mengikut petunjukKu nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati’
(Al Baqarah:36-38)
`…lalu barangsiapa yang mengikut petunjukKu., ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka’
(Thaahaa:123)
`Adapun orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya’
(Al Baqarah:39)
Upa Purana menyebut Manu sebagai manusia pertama dan isterinya adalah Shatarupa sementara Al Quran menerangkan Nabi Adam as adalah manusia pertama dan Siti Hawa adalah isterinya. Sudah tentulah Manu dan Adam as adalah lelaki yang sama – bapa seluruh keturunan manusia; sementara Shatarupa dan Siti Hawa adalah ibu kepada sekalian manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan