18 Disember 2008

SANATARA-DHARMA

Upa Purana meriwayatkan Manu adalah manusia pertama dicipta. Keturunan Manu Pertama berlanjutan sampai ke Manu Keenam tetapi semuanya binasa oleh Topan Besar yang melanda permukaan bumi, kecuali satu keluarga yang selamat. Keluarga yang selamat itu dipanggil Manu Ketujuh dan merupakan asal-usul manusia yang ada sekarang ini.Manu Ketujuh disebut Vaivaswata. Vaivaswata dikatakan telah menyusun hukum-hukum yang dikenali dengan Kitab Hukum Manu.
Kesah Topan besar yang membinasakan seluruh keturunan umat manusia kecuali Manu Ketujuh samalah dengan kesah banjir zaman Nabi Allah Nuh as. Manu Ketujuh yang bernama Vaivaswata tentulah – menurut sangkaan yang kuat - adalah Nabi Nuh as dan Manu-Manu sebelumnya tentulah para Nabi dan Rasul utama sebelum terutusnya Nabi Nuh as.
Kesah mengenai kehancuran oleh banjir besar – topan besar dalam Upa Purana – dirakamkan dalam al Quran dalam ayat berikut:
“Kami berfirman’Muatkanlah ke dalam bahtera itu dari masing-masing binatang sepasang dan keluargamu kecuali orang telah terdahulu ketetapan terhadapnya dan orang-orang yang beriman. Dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit’.
Dan Nuh berkata:’Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut nama Allah di waktu berlayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
Dan bahtera itu belayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya, sedang anaknya berada di tempat yang jauh terpencil:”Hai Anakku, naiklah bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir”
Anaknya menjawab:”Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah”. Nuh berkata:”Tidak ada yang melindung hari ini dari azab Allah selain Allah Yang Maha Penyayang”:.Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.
Dan difirmankan:”Hai bumi, telanlah airmu, dan hai langit berhentilah”. Dan air pun disurutkan, perintah pun diselesaikan dan bahtera itu pun berlabuh di atas bukit Judi, dan dikatakan:”Binasalah orang-orang yang zalim” –
Hud:40-44.
Kitab Hukum Manu yang disusun oleh Vaivaswata – Nabi Nuh as – besar kemungkinan dapat dikesan dalam Kitab Veda yang menjadi kitab kepercayaan agama Sanatara-Dharma. Istilah Hindu adalah istilah yang menurut sejarahnya adalah istilah yang telah didahului oleh istilah Sanatara-dharma. Sanatara-dharma yang dirujuk kepada agama yang tertua ini bermakna ‘agama yang abadi’ atau ‘agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan’. Istilah `abadi’ dan `tiada permulaan dan tiada kesudahan’ adalah konsep yang sangat halus mendalam dalam ajaran Tauhid yang merujuk kepada Allah sebagai Zat Yang Kekal Abadi dan Zat Yang Tiada Permulaan dan Tiada Kesudahan. Firman Allah:
‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir’(Al Hadid:3)
‘Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus..’(Al Baqarah:255)
Dengan penjelasan ini tentulah boleh ditegaskan bahawa agama Sanatara-dharma iaitu ‘agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan (abadi) ini’ adalah agama yang memang terilham mutlak bersumber dari Zat Yang Maha Esa, sebagai Tuhan Yang Hidup Kekal Abadi, Yang Tidak Ada Awal dan Akhir bagiNya. Agama Sanatara-dharma ini sudah pasti adalah agamaNya yang ZatNya Kekal Abadi tetapi kemudiannya bertukar menjadi Agama Hindu. Istilah Sanatara-dharma bertukar kepada Hindu, iaitu dari perkataan Sindhu bersempena nama sebuah lembah Sungai Sindhu kerana di lembah sungai inilah orang-orang Arya yang bermigrasi ke India membina penghidupan sambil mengamalkan ajaran sebuah agama Tauhid yang sudah keliru dan bercelaru setelah melalui masa ribuan tahun sebelumnya pada zaman selepas Nabi Nuh as, Nabi Hud as, Nabi Salleh as dan Nabi Ibrahim as yang penuh dengan tribulasi, konfrontasi dan tentangan. Tentulah tidak mustahil istilah Hindu menjadi istilah yang lebih dominan dan berkuasa dalam tamadun di lembah Sungai Sindhu yang kian berkembang, menggantikan istilah Sanatara-dharma yang konsepnya telah kian luntur itu.
Ajaran Tauhid yang bermula sejak zaman Nabi Adam as adalah ajaran-ajaran dari langit yang sesungguhnya penuh ‘hikmah dan kebijaksanaan’. Lihatlah penjelasan Al Quran:
‘Yaasiin.Demi Al Quran yang penuh hikmah’ ( Yaasiin:1-2)
Al Quran adalah Al Kitab untuk membolehkan manusia memperoleh kebijaksanaan dan hikmah. Semua kitab-kitab dari langit sarat dengan hikmah dan kebijaksanaan. Kitab Veda adalah sebahagian dari Suhuf-Suhuf yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu justru istilah Veda sendiri membawa erti ‘hikmah dan kebijaksanaan’. Apakah bukan hikmah dan kebijaksanaan apabila kandungan dalamVeda sendiri antara lainnya adalah mengenai kesedaran dan kejiwaan tinggi, bukan sekadar intelektual semata-mata?
Istilah Veda berasal dari bahasa Sanskrit dari akar kata ‘wid’ yang kemudiannya berkembang menjadi weda atau widya yang bererti ilmu, pengetahuan dan kebijaksanaan. Seperti diperjelaskan, ajaran tauhid dari Suhuf-Suhuf dan al Kitab adalah ajaran yang sarat dengan ilmu, hikmah dan kebijaksanaan. Dengan ilmulah manusia akan memperolehi kebijaksanaan.Ilmu dan kebjaksanaan ini tidak diberikan wewenang kepada sesiapa oleh Allah yang merupakan Pemilik dan Sumber Ilmu. Kebijaksanaan adalah terkhusus kepada para Nabi dan Rasul kerana mereka adalah Pesuruh-Pesuruh Allah yang akan memberikan kebijaksanaan (veda), kemajuan dan tamadun kepada umat manusia.
Kitab Veda diperolehi secara ‘sruti’ iaitu sabda suci yang merupakan ajaran langsung yang diwahyukan oleh Brahman (Supreme God – Tuhan Agong) kepada setiap ‘rishi’ dan ‘maha rishi’ (orang suci). Ajaran dalam kitab Veda juga dihasilkan menerusi ‘smirti’ iaitu tradisi dalam bentuk ucapan, perbuatan dan tulisan dari seseorang rishi atau ajaran guru (archaya) dan avatar.Para rishi dan maha rishi menerima ajaran dalam keadaan ‘samadhi’ iaitu secara bersemadi atau bersunyi diri.
Keterangan di atas menghampirkan Veda dengan tradisi penurunan agama Tauhid melalui firman Allah kepada para Nabi dan Rasul rh yang diterima melalui khilwah dan bertapa atau mengasingkan diri dari kesibukan manusia dan dunia. ‘Sruti’ hampir atau bagaikan menyamai tradisi penurunan wahyu sementara ‘smirti’ menghampiri tradisi Hadis dan Sunnah Rasul. Dengan begitu tentulah ‘Sruti’ bererti Firman Tuhan (wahyu) sementara ‘smirti’ adalah Sabda Junjungan (hadis) dari para Nabi dan Rasul (rishi dan maha rishi).
Selain itu Veda juga diertikan ‘kebijaksanaan dari Cahaya Putih’. Pemilik dan sumber kebijaksanaan adalah Allah Rabbul Alamin. Allah adalah sumber bagi segala sesuatu di seluruh alam semesta ini. Apabila Veda bermakna ‘kebijaksanaan dari Cahaya Putih’, maka Cahaya Putih amatlah sinonim dengan Firman Allah swt:
Allah Cahaya Langit dan bumi’ - An Nuur:35)
Adalah dipercayai kitab Veda yang mengandungi bait-bait puisi, doa dan upacara-upacara keagamaan ini digubah secara bertulis dalam tempoh melebihi jangkamasa seribu tahun bermula 1400sm. Sebelum Veda dikenali dalam bentuk tulisan, ajaran-ajaran Brahman ini hanya wujud secara lisan dan pertuturan. Justru apabila kitab Veda berjaya dikumpulkan secara bertulis, maka Veda merupakan satu-satunya kitab agama terawal yang ada pada tangan manusia dan tersimpan sehingga kini. Apakah tidak mungkin di dalam Vedalah barangkali tersimpan sebahagian ajaran-ajaran Tauhid yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul rh pada zaman ribuan tahun Sebelum Masihi melalui Suhuf-Suhuf yang berjumlah 100 buah yang diturunkan oleh Allah Tuhan Semesta Alam?
Ajaran Tauhid adalah ajaran yang satu dan sama; atau tetap serupa mengenai doktrinnya, yang diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Dari Nabi Adam as sehinggalah kepada zaman Nabi Muhammad saw ajaran Tauhid – meliputi soal-soal ketuhanan dan kerasulan, akhlak dan tingkah laku, konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka, konsep pengabdian kepada Tuhan, konsep dunia dan akhirat, hakikat roh dan mikraj rohani, hadap hati dan pegangan hati, mujahadah, muraqobah dan musyahadah, zuhud, syukur, tawakal, redha, cinta Allah dan Rasul dan sebagainya; semestinya sama – dahulu, sekarang dan sampai kiamat. Inilah sesunguhnya yang telah terbukti dalam ajaran Hinduisme, sebagai agama yang bersumber dari Tauhid, yang diturunkan dari langit oleh Tuhan Yang Maha Esa, Allah Tuhan seluruh umat manusia dan Tuhan bagi seluruh alam semesta.Sebanyak mana yang ditemui ada persamaan dan unsurnya, maka di situlah kebenaran Tauhid dan kebenaran persangkaan bahawa Agama Hindu juga adalah agama yang diturunkan dari langit, bukannya agama budaya sebagaimana yang dikategorikan selama ini.
Mengenai hal ini Al Quran menjelaskan:
`
Manusia itu adalah umat yang satu, maka Allah mengutus para Nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan benar untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata kerana dengki antara mereka. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus’
(Al Baqarah:213)
Akan tetapi sebahagian besar manusia oleh godaan syaitan telah terkeluar dari ajaran Tauhid.Firman Allah swt:
`Kemudian mereka menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan.’ (Al Mukminuun:53)
‘.. segolongan dari mereka mendengar firman Allah lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui’(Al Baqarah:75)
Firman seterusya:
"Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, pada hal mereka mengetahui’ (Al Baqarah:146)
Sedangkan di sisi Allah swt agama Tauhid tetap satu – dulu, sekarang dan untuk selama-lamanya. Pada zaman Nabi Muhammad saw baharulah ajaran Tauhid yang melalui proses evolusi ribuan tahun menjadi lengkap dan sempurna kerana Baginda saw adalah ‘insan kamil mukamil’, insan teragung yang menyempurna dan memanifestasikan seluruh kesempurnaan Zat Wajibal Wujud, untuk kehidupan umat manusia sehingga berakhirnya kehidupan dunia.Betapa agungnya firman Allah Azza Wajalla mengenai insan awal hakiki ini:
‘Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad saw) melainkan untuk rahmat bagi semesta alam’ (Al Anbiyaa:107)
Dengan kata-kata lain, ajaran tauhid yang melalui proses evolusi sejak dari zaman Nabi Adam as terus memaju dan memperkembangkan tamadun dunia, dibawa sambung menyambung oleh 124,000 orang Nabi dan Rasul, lantas apabila ‘zahirnya’ insan awal hakiki ini, sampailah dunia kepada kesempurnaan.Bersempena dengan itu Allah Taala berfirman:
`Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku ridai Islam itu jadi agama bagimu’ (Al Maaidah:3)

2 ulasan:

  1. ilmu yang bermenfaat. pembukaan rahsia terpendam yang sewajarnya diketahui oleh orang yang ikhlas menuju jalan yang banar. tk.

    ALIFF

    BalasPadam
  2. pandai tuan berkarya....gaya cerita yang sangat santai....

    teruskan tuan...
    =)

    BalasPadam