09 Jun 2013

JAHAT SANGKA KEPADA KAUM MUSLIMIN.


JAHAT SANGKA KEPADA KAUM MUSLIMIN.
(Tersiar dalam Majalah FARDUAIN  Edisi 16) 

Allah Taala berfirman:”Hai orang-orang yang beriman.Jauhilah kebanyakan purbasangka kerana sebahagian daripada purbasangka itu dosa” (al Hujurat:12)
Purbasangka  atau jahat sangka ertinya ialah mengumpat di dalam hati, merupakan salah satu  sifat dan tabiat mazmumah yang memandang orang lain sebagai jahat, buruk, tidak berguna, rosak peribadi, tidak boleh dipercayai dan apa-apa sahaja yang bersifat kekurangan bahkan kekejian. Semua orang  buruk di matanya baik temannya sendiri,jirannya, rakan sekerjanya bahkan kadang-kadang terhadap ibu bapa, isteri dan anak-anak sendiri,  dipandangnya dengan sangkaan yang buruk.
Jahat sangka adalah pintu bagi  setan bagi  menjadikan seseorang  yang memiliki sifat tersebut, memiliki pula  berbagai-bagai akhlak buruk yang lain yang   menjerumuskan  kebiasaan mengumpat, memandang rendah, tidak memuliakan orang dan memandang dengan penghinaan  walhal  dia sendiri teledor  melaksanakan kewajipannya.
Orang yang jiwanya penuh dengan purbasangka sebenarnya berada dalam krisis jiwa  yang dahsyat.Orang-orang seperti ini akan sentiasa merasakan dirinyalah  yang serba betul dan  serba tahu.Ini adalah gambaran betapa  adanya penyakit batin yang sangat kronik iaitu ujub di dalam batinnya.Ujub merupakan  salah satu penyakit batin yang tergolong dalam syirik khafi. Syirik khafi adalah kekejian terbesar kedua selepas syirik akhbar atau syirik jali. Syirik khafi  membatalkan amal yakni tidak diterima di sisi Allah,  Zat Yang Maha Suci.
Seseorang yang benar-benar alim, wara, terkenal dalam akhlak dan tingkahlaku agamanya, samasekali tidak seharusnya  beranggapan enteng untuk mengatakan atau membuat  monolog: ”orang seperti aku ini tidak disangka orang apa-apa selain yang baik-baik sahaja”,  kerana dakwaan sebegini adalah menyombong dengan dirinya sendiri dan ujub.Orang alim seperti ini seharusnya  telah beroleh munfaat dengan ilmunya,  dan seharusnya telah  sangat berbaik sangka terhadap sesama orang beriman dan muslimin dan sangat merendahkan dirinya sesama manusia di atas jalan kebenaran.
Namun demikian, bukan semua orang yang paling wara, paling takwa dan paling alim disukai oleh manusia walaupun mereka  bebas dari purbasangka  teradap sesama mukmin dan muslimin.Segolongan manusia tetap  marah kepada mereka walaupun mereka adalah orang-orang yang mulia; mulia kerana ilmunya, akhlaknya dan ibadahnya. Kerana itulah seorang penyair (Imam as Shafie ra) bermadah seperti berikut:
            `Wa `ainu’ rridlaa an kulli ’aibin kaliilatun.
            Wa laa kin ’ainu’ssukhti tudi’l masaawia’
Ertinya:
            `Apabila kita senang kepada orang,
             segala kekurangannya tidak nampak.
            tetapi bila marah kepada orang,
            segala keburukannya akan nampak’.
Orang-orang berilmu, warak,soleh dan takwa memang mudah menjadi bahan purbasangka kerana mereka bercakap mengenai kebenaran. Kerana itu berkatalah Ats Tsuri ra: `Apabila engkau melihat orang alim itu banyak teman maka ketahuilah bahawa dia itu bercampur kerana jika kebenaran yang dikemukakannya maka dia akan dimarah’ (Jl 1 156).Justru biasalah bagi orang alim dan soleh apatah yang berada di barisan hadapan ummah berjuang dengan perbuatan dan lisannya menegakkan kebenaran dan keadilan dituduh dengan pelbagai tuduhan purbasangka  -  difitnah dan dikata-nista, bahkan dikeji, dihina dan dibunuh.
Diriwayatkan  dari Ali bin Husain bahawa Syafiyyah binti Huyay bin AkhThab menerangkan kepadanya:”Bahawa Nabi saw beriktikaf dalam masjid.Lalu aku datang kepada Rasulullah saw.Aku bercakap-cakap dengan beliau.Tatkala telah sore  hari, lalu aku pergi.Maka Rasulullah saw pun bangun berdiri berjalan bersama aku.Lalu lewat di situ dua orang Ansar dan memberi salam kepada Rasulullah saw.Kemudian keduanya pergi.Lalu Rasulullah saw memanggil keduanya, seraya bersabda:”Dia ini Shafiyyah binti Huyay”.Maka keduanya menjawab:”Wahai Rasulullah! Kami tidak menyangka apa-apa pada engkau, selain yang baik”.Lalu Rasulullah saw bersabda:”Sesungguhnya setan itu berjalan pada anak Adam, pada tempat jalannya darah dari tubuh.Aku takut setan itu masuk pada engkau berdua”.
Perhatikan bagaimana Rasulullah saw berusaha terhadap agama  kedua Sahabat  orang ansar tadi lalu menjaganya supaya tidak dimasuki setan dengan purbasangka  kerana kalau dimasuki setan di dalam hati kedua-dua orang ansar tersebut maka sudah pasti kedua orang ansar tadi akan berjahat sangka terhadap Rasulullah saw dan seterusnya akan membuat tuduhan.Ini sudah tentulah  akan membinasakan kedua-dua sahabat ansar tadi. Rasulullah saw  berusaha menjaga umatnya lalu mengajar mereka jalan menjaga dari tuduhan dengan sabda Baginda saw: `Takutlah akan tempat-tempat yang bisa menimbulkan tuduhan’.
Maka  haruslah menjaga diri dari jahat sangka dan dari menuduh orang-orang lain sebagai jahat kerana orang-orang jahat itu tidak menyangkakan terhadap orang-orang lain selain dengan sangkaan jahat juga.Maka seandainya anda melihat seseorang yang berjahat sangka terhadap orang lain, yang mencari segala kekurangan, kesalahan dan kesilapan orang, maka ketahuilah bahawa orang itu busuk hatinya kerana melihat orang lain berasaskan kacamata kejahatan yaang dipakainya.
Bahawa sesunggunya orang mukmin meminta kemaafan sedangkan orang munafik mencari kekurangan.Orang mukmin itu sejahtera  dadanya terhadap hak semua makhluk Tuhan. Dan bahawa sesungguhnya tidak harus  memiliki sifat buruk  sangka terutama kepada sesama kaum muslimin kerana dikhuatiri akan terjadi buruk sangka yang lebih berpetaka terutama  terhadap rahsia takdir al Khalik.Inilah kebinasaan terbesar.
Biasakanlah  bersangka baik kepada sesama mukmin dan muslimin. Semoga sifat baik sangka ini berguna  terutama menjelang saat-saat di akhir hayat nanti kerana Sabda  Nabi saw : ’Allah Taala berfirman:”Aku  pada  sangkaan hambaKu dengan Aku.Maka hendaklah ia menyangka dengan Aku akan apa yang dikehendakinya”.
Nabi saw bersabda:”Seorang lelaki akan masuk neraka.Maka ia akan bertempat di dalam neraka selama seribu tahun.Ia akan memanggil:”Ya, Hannan! Ya Mannan! (Wahai Yang Maha Belas Kasihan, Wahai Yang Maha Pemberi Nikmat).Maka Allah Taala berfirman kepada Jibrail as:”Pergiah! Maka bawalah kepadaKu akan hambaKu”.Nabi saw meneruskan sabdanya.”Maka hamba itu dibawa kepada Allah.Lalu disuruh berdiri di hadapan Tuhannya.Maka Allah Taala berfirman:”Bagaimana engkau mendapati tempat engkau?”
Laki-laki itu menjawab:”Tempat yang buruk”
Nabi saw meneruskan sabdanya:”Maka Allah Taala berfirman:”Kembalikanlah orang ini ke tempatnya semula”.
Nabi saw meneruskan sabdanya:”Maka laki-laki itu berjalan dan berpaling ke belakang.Maka Allah Taala berfirman:”Kenapa  engkau berpaling?”
Laki-laki itu menjawab:”Sesungguhnya aku berharap bahawa tidak ENGKAU kembalikan aku kepadanya sesudah ENGKAU keluarkan aku daripadanya”.
Maka Allah Taala berfirman:”Pergilah dengan laki-laki ini ke surga”.
Ini menunjukan harapan dan baik sangka melepaskan hamba tersebut  daripada neraka.Nabi saw masuk ke tempat seorang pemuda dan pemuda itu akan meninggal dunia.Maka Nabi saw bertanya:`Bagaimana engkau mendapati diri engkau?’ Pemuda itu menjawab:`Aku mengharap Allah dan aku takut akan dosa-dosaku’.Nabi saw bersabda:`Tiada berkumpul keduanya harap dan takut  itu dalam hati hamba pada seperti tempat ini selain yang diberikan oleh Allah kepadanya akan yang diharapnya.Dan diamankan oleh Allah dari yang ditakutinya’
Ertinya  janganlah bersangka  buruk, jangan purbasangka atau buruk sangka sesama muslim dan mukmin kerana dikhuatiri akan diheret iblis sewaktu sakaratumaut nanti,  daipada Zat Yang Maha Pengampun yang rahmat dan kasih sayangNya meliputi sepenuh-penuh  langit dan bumi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan