29 Julai 2009

9. SOLAT YANG SEHARUM KASTURI.

Ini adalah kunjungan kali kedua ke rumah Ayah La. Cikgu Zan memberi pesanan supaya datang menjelang waktu Maghrib supaya boleh solat bersama Ayah La. Pucuk dicita ulam mendatang. Sememangnya itulah di antara hajat yang sangat utama setelah nama Ayah La bermastautin di hatiku. Aku sememangnya tersangat ingin untuk merasa bersembahyang berimamkan seorang yang telah terangkat darjatnya.
Aku memang ada kenangan mengenai ini. Semuanya bermula pada awal usia 30an apabila seorang teman sekerja – Mat Arif – memberitahuku hajatnya untuk mengenali seorang pengamal Tasauf yang bernama Wan Hassan di Pulau Lalang. Kawanku ini telah mengalami kemalangan pada suatu musim banjir di hujung tahun sebelumnya.Kereta yang dipandu oleh abang iparnya telah terbalik menyebabkan kawanku itu telah terjerut oleh tali pinggang keledar, dan hanya beberapa detik sahaja memisahkan nyawanya dari mati lemas, apabila tali pinggang keledarnya sempat dibuka oleh abang iparnya.
Peristiwa ini menginsafkannya betapa kematian adalah sesuatu yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja tanpa boleh diduga. Dunia dalam sekelip mata sahaja boleh ditinggalkan apabila disambar maut. Amatlah menakutkan kalau sewaktu tengah berseronok-seronok atau asyek-maksyuk, tiba-tiba sedar-sedar saja diri telah berada di liang lahad! Tergeraklah di hatinya untuk mendekati hidup beragama dan membuat persiapan mati.
Di Kelang ada seseorang memberitahunya bahawa di tempat dia bekerja ada orang yang boleh memimpinnya untuk maksud tersebut iaitu seorang guru Tasauf yang mengamalkan zikir Tarekat Naqsyabandiah. Bila hasrat itu disampaikan kepadaku, aku terus saja tahu siapa yang dimaksudkannya itu. Walaupun aku belum lagi mengenalinya, tapi aku tahu dia adalah seorang guru suluk Tarekat Naqsyabandiah titisan dari Imam Ishak di Dong, Raub. Dia dikenali sebagai seorang guru tarekat yang murid-muridnya meninggalkan solat Jumaat terutama pada waktu suluk.

Suatu Jumaat petang, dengan membawa tiga orang lagi teman - Aidin, Bakir dan Wan Zakri, kami berlima pergi berkenalan dengan Ayah Wan Hassan yang pada setiap malam Sabtu membaca kitab Tasauf yang berjudul Sirus Salikin di surau Kampung Setembok. Setelah mendapat informasi darinya, kami membuat keputusan untuk menerima amalan zikir tersebut. Tapi aku agak terleka membawa teman-teman untuk pergi menerima amalan tersebut. Ini disebabkan aku terpaksa terlebih dahulu mendapat restu dari perguruanku yang terdahulu iaitu di Raub – bukan perguruan tarekat tetapi perguruan silat yang berpaksi kepada qudratullah.Wan Zakri yang memang istiqamah dalam ibadah menjadi tidak sabar lalu pergi sendirian menerima amalah zikir dan bila aku bertemu dengannya kemudian, dia memberitahuku bahawa dia selama ini belum pernah lagi merasa nikmat dalam sembahyang, tetapi bila berjumaah dengan Ayah Wan Hassan ,dia tiba-tiba dapat merasai nikmatnya. Bila tiba satu cuti penggal persekolahan, dia terus bersuluk dan berjaya mengalami pengalaman-pengalaman kerohanian sehingga akhirnya menjadi salah seorang anak murid kesayangan Ayah Wan Hassan.
Hampir sebulan setengah kemudian, baharulah aku dapat membawa dua orang temanku untuk menerima amalan zikir Tarekat Naqsyabandiah. Yang menakjubkan, temanku yang menjadi pencetus idea dulu – Mat Arif, tiba-tiba enggan pula untuk pergi. Dia asyek kembali dengan kebiasaan lamanya, memukul bulu ayam di gelanggang badminton pada setiap petang.

Inilah kuasa Tuhan yang membolak-balikkan hati hamba-hambaNya!
Sejak menerima amalan zikir, pada setiap malam Selasa dan Jumaat – aku, Aidin dan Bakir terpaksa pergi ke Pulau Lalang kerana salah satu syarat dalam amalan Tarekat Naqsyabandiah ialah mesti bertawajjuh bersama guru. Sejak itulah aku selalu berkesempatan solat Maghrib dan Isya bersama guru. Dan memang terbukti, aku sendiri dapat merasakan betapa nikmatnya sembahyang bersama guru, walaupun nikmat seumpama itu sebenarnya telah pernah aku alami dalam solat sendirian.
Bila musim cuti persekolahan tiba, aku bersama Aidan, terus memasuki ibadah suluk selama 10 malam. Pengalaman bersuluk adalah pengalaman kerohanian dan sesiapa yang ikhlas akan memperolehi nikmatnya. Aku tidak tahu berapa banyak air mata yang telah aku curahkan kerana waktu suluk adalah waktu untuk melalui rasa penyesalan, mengalami kesedihan, kepiluan, air mata keinsafan dan taubat.

Pada masa bersuluk, apabila taubat meresapi jiwa maka air mata penyesalan akan berhamburan di sepanjang zikir terutama di malam hari – rasa sedih, pilu dan sayu, rasa malu dan penyesalan di atas dosa dan kejahatan silam serta kejahatan jiwa, menyebabkan air mata tidak dapat dibendung-bendung. Esakan dan tangisan bahkan raungan menjadi resipi biasa yang mengisi aroma sewaktu suluk. Ada yang terbuka hijab sehingga dapat melihat keajaiban alam kerohanian, melihat rohani para wali bahkan Rasulullah.Ada yang terangkat maqam kerohanian dengan menempuh pengalaman-pengalaman kerohanian yang memperjelaskan hakikat al Haq serta kebesaran kerajaanNya.Bahawa benarlah suluk adalah hospital kerohanian.

Walaupun demikian, aku pada akhirnya telah membuat keputusan untuk tidak lagi istiqamah dengan Ayah Wan Hassan walaupun dia merupakan salah seorang anak murid Tok Kenali yang masyhur di Kelantan pada awal kurun yang lalu. Ini adalah kerana aku tidak mahu membahagi kasih. Semakin beramal, bertawajjuh dan mendengar huraian Tasauf dari Ayah Wan Hassan, hatiku terasa semakin kasih kepadanya. Hatiku menjadi rindu kepadanya dan sentiasa ingin bersamanya. Aku sebenarnya agak enggan untuk meletakkan kasih kepada Ayah Wan Hassan dan perguruannya, kerana aku tidak mahu berpisah dengan perguruanku yang terdahulu. Aku agak enggan untuk bersama golongan Ayah Wan Hassan yang beliau menafsirkan satu hadis `ada sekumpulan dari umat Nabi Muhammad saw akan memasuki syurga secara berantai-rantai’ yang beliau tafsirkan, rantaian salasilah pengamal zikir tarekat seperti yang dibawanya. Aku sesungguhnya lebih selesa dan bersedia untuk bersama perguruanku yang terdahulu yang telah dibentuk pada tahun 1970an.

Bila aku berpindah ke Seremban pada akhir 1980an hatiku terasa semakin jauh dengan Tok Wan Hassan. Disebabkan jarak yang jauh, aku tidak lagi dapat berdampingan dengannya dan tidak boleh lagi bertawajuh.Akhirnya aku telah membuat keputusan yang muktamad iaitu tidak mahu lagi mengamalkan zikir tersebut.Aku merujuk kepada perguruan persilatanku sebagaimana waktu mahu beramal dahulu, aku merujuk dengan mereka, dan mereka memberitahuku:`tak mengapa sebab cucu telah ada pegangan jiwa`. Tidak lama kemudian aku lantas mendapat isyarat dalam mimpi menandakan aku telah terputus pertalian dari kumpulan tersebut. Digambarkan pada suatu hari semasa bersuluk, aku pergi ke bandar bersama beberapa orang teman. Aku agak leka di bandar sehingga tanpa sedar teman-teman suluk semuanya telah kembali ke tempat suluk. Akhirnya aku terlepas sembahyang Zohor berjumaah bersama guru, dan ini adalah isyarat terbatalnya suluk kerana salah satu syarat sah bersuluk ialah mesti tidak tertinggal berjumaah bersama guru.
Sejurus bersimbang dengan mak, Ayah La tanpa memberitahuku bergegas ke bilik air. Rupa-rupanya waktu Maghrib telah pun masuk. Bila isteriku melihat Ayah La telah siap berwuduk, dia segera mengingatkanku supaya segera berwudhuk. Aku cepat-cepat meluru ke bilik air dan agak tergesa-gesa mengambil wudhuk kerana khuatir Ayah La solat sendirian tanpa menungguku. Ini kerana aku tidak memberitahunya maksud di hatiku untuk solat berjumaah.
Bila sampai ke tempat solat, aku sedikit kecewa kerana ternyata Ayah La sedang mendirikan solat. Aku menjadi keliru untuk bersolat sendirian atau pun tidak. Melihat susunan sejadah, ternyata sejadah di susun dalam bentuk solat berjumaah secara berdua. Aku tiba-tiba agak gelabah sekarang. Kenapa aku tiba-tiba begitu gelabah? Tapi syukur, Ayah La rupa-rupanya sekadar solat sunat!
Ayah La kemudiannya berdiri dan nampaknya telah bersedia untuk menjadi imam. Aku diminta membaca qamat. Lalu aku melakukannya. Sebaik-baik sahaja kakiku memijak sejadah yang kelihatan kuning semuanya – apakah sejadah yang memang berwarna kuning semuanya atau bagaimana, aku tiba-tiba terasa ada suatu keanihan – warna kuning dan kekuningan! Selain itu ada sejenis aroma keharuman! Aku mengangkat takbir lalu solat berimamkannya. Saat yang menakjubkan ialah ketika sujud. Aku tidak pasti apakah ada renjisan air wangi di tempat sujud kerana pada ketika sujudlah aku dapat mencium sepuas-puasnya keharuman, bau harum yang lebih memuncak berbanding saat mula meminjak sejadah tadi. Aku tidak dapat menggambarkan apakah ada yang teramat istimewa selain dari keharuman itu, kerana aku terasa ada sedikit kelainan di jiwaku pada sepanjang solat itu. Aku adalah penumpang yang terkeliru bila tiba-tiba sahaja telah sampai ke penghujung, apabila salam dari Ayah Laku dengari. Entahlah...
Tidak ada wirid yang panjang kerana sejurus kemudian Ayah La berdoa. Malam itu tidak banyak perbualan. Tapi aku dianugerahi dan ditunjuki hakekat solat yang diamalkan oleh Ayah La.Dianugerahi jua beberapa wirid amalan harian temasuk zikir harum yang berbunyi:
Bismillahi zatullah,
Arrahman sifatullah,
Arrahim maujudullah,
Hasbi Rabbi Jallah
Fiqalbi ghairullah.......dst.

Ayah juga mengurniakan zikir sepuluh yang berbunyi:
Laa ila haillallah, awal nur akhir pun nur, nur di dalam Zat Allah
Laa ila haillallah, awal nur akhir pun nur, nur di dalam Sifat Allah
Laa ila haillallah, awal nur akhir pun nur, nur di dalam....dst.

Ayah La seterusnya meminta aku memilih satu malam Jumaat dan berzikir nafi isbat sebanyak 12,000 semalaman

`Kalau anak `pengsan’, Mek jangan sentuh dia’, Ayah La memberikan amanat kepada isteriku.

Aku dan isteri saling berpandangan.Kami tidak mengerti apa-apa.Rasa gentar pun ada di hatiku.Pengsan? Aku tertanya-tanya.

`Jangan takut’,Ayah La menenangkanku.`Kalau terjadi begitu, cepat-cepat Mek beritahu ayah.Ayah akan pulihkan’

`Kalau panggil Tok Penghulu Malim?’, isteriku membuat cadangan kerana Tok Penghulu Malim lebih dekat dengan rumah kami.

`Tak boleh!’, ayah La menjawab tegas.`Cuma ayah seorang sahaja yang boleh memulihkan’.

`Kenapa tak boleh sentuh, ayah?’, aku bertanya pula sambil dada masih juga bergetaran.

`Kalau sentuh....matilah anak...’.

`Mati?’

Dan aku sangat terkejut dengan berita itu. Aku memandang Ayah La yang membundarkan matanya sambil memainkan kesukaannya bila bertembung mata - menaik menurunkan kedua-dua keningnya ke atas dan ke bawah.

`Kalau tak dipulihkan, adakah akan pulih dengan sendiri, ayah?’, aku bertanya untuk mengetahu maklumat selanjutnya.

`Pulih juga.Tapi kalau panggil ayah, ayah boleh bantu lagi’

Maksud ayah ialah membantu dalam proses kerohanian di alam kerohanian tersebut.

Sewaktu kunjungan kali kedua ke rumah Cikgu Zan setelah menerima zikir, Cikgu Zan pernah menerangkan hal-hal yang mungkin terjadi sewaktu berzikir. Pengalaman kerohanian adalah berbeza-beza bagi setiap salik.Ahmad Yaridan murid Cikgu Zan yang kebetulan ada bersama pada ketika itu, diterbangkan ke udara membelah awan sewaktu berzikir.Guru berpesan jika terjadi demikian jangan sekali-kali membuka mata dan jangan takut.Dalam suasana malam yang gelap gulita dan mata yang terpejam itu, Ahmad Yuridan menjadi teramat gementar lalu melanggar pesanan guru. Dia membuka matanya sedangkan guru berpesan tunggulah sehingga sampai ke destinasi.Oleh sebab dia tidak tahan menanggung ketakutan, dia melanggar arahan dan dengan demikian terbatallah kembara. rohaninya.Walaupun demikian, hasil dari pengalaman tersebut, Ahmad Yaridan boleh melihat pada waktu malam yang gelap gulita, bagaikan melihat di bawah sinaran sang bulan.

Bila Ayah La menerangkan orang yang sedang pengsan jangan disentuh, tapi sebaliknya tunggu sehingga dia pulih sendiri, teringatlah aku betapa aruah ayahku...Ayahku harus juga `pengsan’, tapi tubuhnya dipegang oleh ibuku yang risau kerana dia tidak menyahut teriakan, dan haruslah menjadi sebab kematiannya.Ayahku dikatakan pada waktu itu sedang dalam proses menuntut ilmu kerohanian dan kalau tamat dia mungkin akan menjadi manusia baru yang alimin, abidin dan solihin.

Sebelum bertolak pulang, aku sempat meminta kepastian dari Ayah La, mengenai satu peristiwa siapakah orang tua yang aku temui duduk sendirian di sebuah pondok di pinggir jalan sewaktu balik dari Pulau Melaka, Kelantan. Siapakah orang tua yang rupanya persis Tok Lan Wali yang telah meninggal dunia kira-kira setengah tahun yang lalu. Aku ketika terlihatnya, mendapati Tok Lan Wali lengkap berpakaian jubah hijau dan bersurban kelabu sementara isteriku melihatnya berpakaian ala mujahidin Afghanistan. Kalau tidak bertelingkah pandangan sesama kami, sudah tentu aku akan menyapa orang tua itu.
Ayah La menerangkan:
`Memang benar! Dialah yang anak temui itu. Jangan terkejut, orang seperti itu kadang-kadang muncul di mana-mana. Anak berdua memang dikelirukan pada hari itu supaya anak tidak menegurnya.....’

24 Julai 2009

(8)
BERTAMU KE RUMAH WALI?

Cikgu Zan menasihatiku supaya berkunjung ke Bukit Tempayan. Tok Penghulu Malim telah lebih dahulu lagi, juga mencadangkan kepadaku supaya menziarahi orang tua itu. Menurut Cikgu Zan orang tua di Bukit Tempayan itu seorang yang kasyaf dan tinggi martabatnya, lebih tinggi berbanding dengan Tok Penghulu Malim sendiri.

Gambaran yang diberikan oleh kedua-dua personaliti yang menurut persepsiku, mereka adalah orang-orang yang telah terangkat martabatnya, menjadikan aku sangat teruja untuk mengenalinya. Seorang wali? Entahlah. Tapi tentulah orang tua ini lebih istimewa berbanding Tok Penghulu Malim yang bagiku telah cukup istimewa.

Sampai di Bukit Tempayan aku sedikit keliru untuk mencari rumahnya. Isteriku menasihatkan supaya berhenti bertanya di sebuah kedai kopi di pinggir jalan. Setelah memberi salam aku lantas bertanya kepada seorang lelaki dalam usia lima puluhan yang sedang minum-minum di kedai makan itu.

`Boleh saya tumpang bertanya, di mana rumah orang yang dikatakan mengamalkan ilmu sesat?’

Lelaki yang kutanyai itu merenungku sejenak. Pertanyaanku mungkin agak ganjil baginya.

`O...senang saja. Awak teruskan saja di jalan ini. Bila sampai di simpang hadapan, di sebelah kirinya ada sebuah rumah berwarna hijau. Ada kereta Toyota GL di sebelahnya. Ha ! Yang itulah rumahnya’

Selesai mengucapkan terima kasih aku meneruskan perjalanan.Sejurus memandu aku pun sampai di rumah yang dituju. Lega hatiku kerana orang yang ingin ditemui barangkali ada di rumah kerana ada dua orang lelaki tua sedang bersimbang di atas pangkin di luar rumah. Mana satukah tuan rumah? Setelah berbisik-bisik dengan isteriku, kami pasti yang berkain pelekat dan berbaju kemeja T itulah orang yang kami cari. Mereka nampaknya berhenti berbicara. Tumpuan sekarang adalah kepada kami anak beranak.
Aku keluar dari kereta lalu memberi salam. Kemudian aku menyatakan hajat.

`Saya mahu berkenalan dengan Ayah La’, aku memberitahu.

Lelaki yang aku sangkakan tetamu, lantas mengisyaratkan dengan tangannya kepada lelaki tua yang berkain pelikat itu. Aku lantas menuju ke arahnya lalu memberikan satu sembah salam. Kemudian aku bersalaman pula dengan lelaki tua yang seorang lagi itu.

Ayah La mengamati diriku sepintas lalu. Aku tahu dia sedang `membaca` diriku.

`Tok Penghulu Malim dan Cikgu Zan berkirim salam kepada ayah’, aku berkata seterusnya.Bila kedua-dua nama besar itu kusebutkan kepadanya, wajah Ayah La terus saja berseri-seri.
Senyuman manis terukir di bibirnya. Sertamerta dia menjadi ramah dan mesra.

`Ha! Naiklah anak...’, Aya La meminta isteriku naik ke rumahnya yang pintunya memang telah sedia terbuka.`Naik-naik! Emak ada di dalam!’, perintahnya lagi dengan ramah-mesra yang mendalam. Aku tiba-tiba terasa bagaikan aku adalah anaknya dan dia bagaikan seorang ayah.

Ayah La lantas bangun dari kerusinya dan mengajak Haji Stapa naik ke rumahnya. Naiklah kami semuanya ke dalam rumah. Di muka pintu sudah bersedia menanti seorang perempuan dalam usia kira-kira 6o tahun. Wajahnya tenang, bertubuh langsing dan memakai baju kebaya labuh yang telah lusuh.

`Anak buah Tok Penghulu Malim....’, Ayah La memperkenalkan kami kepada isterinya.

`O....anak! Naik! Naik! Mari naik rumah mak!’

Kami di ruang tamu sekarang. Setelah bertanya khabar mengenai diriku sekeluarga, Ayah La lantas menyambung bicaranya dengan Haji Stapa. Tapi aku tidak dapat mengikuti butir bicara mereka kerana sibuk melayani emak yang rancak bertanya itu dan ini dan bercerita dengan kami. Aku memang teramat ingin mengikuti bualan Ayah La dan tamunya itu kerana amat teruja mengenai istilah dan kalimat yang belum pernah aku mendengarnya. Misalnya Sarung Fatehah. Aku bagaikan mahu saja meninggalkan emak kerana ingin mengetahui apakah Sarung Fatehah itu. Dan kemudiannya kalimat `Sekarang Tuhan! Jadi dulu bukan Tuhan?`. Aku bagaikan tidak sabar untuk mencampuri mereka, tetapi aku sedar aku tidak boleh berbuat demikian kerana perbuatan itu adalah melanggar adab. Aku belum lagi layak! Lagi pun apabila aku sudah berada di dalam ’jalan ini’ bersama Ayah La, ke mana lagikah kuah, kalau tidak tumpah ke nasi?

Aku sendiri telah dapat merasakan bahawa kini aku anak beranak telah diterima mesra sebagai anak-anak di sini – di bawah seliaan dan kawalan Ayah La dan isterinya Mak. Cikgu Zan telah menerangkan sebelum ini bahawa Ayah La sangat suka kalau bila-bila pergi mengunjunginya demi ilmu, datanglah dengan membawa semua anak-anak seperti yang Cikgu Zan sendiri lakukan. Inilah yang sangat disukai oleh Ayah La dan dikatakan akan beroleh berkat yang melimpah.

`Apa hajat anak jumpa ayah ini?’. Ayah La memulakan bicara dengan kami sebaik-baik sahaja dia duduk di kerusi di sebelahku setetelah Haji Stapa balik ke rumahnya.

Aku lantas berbicara dengan yakin menjawab pertanyaan ayah.

`Hajat saya suami isteri besar, ayah’, dan mata Ayah La yang lembut dan memberikan ketenangan itu kutentang.

`Saya dan isteri belum lagi kenal Allah Taala’, aku menerangkan maksud di hati. `Saya harap dengan datangnya saya suami isteri ke sini, ayah dapat menunjukkan kepada kami jalan mengenal Allah Taala’, aku menyusun kata-kata dengan penuh hormat dan takzim. Maklumlah dengan siapa sekarang aku berbicara. Demikianlah istilah yang dipesankan kepadaku oleh Tok Penghulu Malim. Jangan minta supaya ayah mengajar, sebab ayah tidak mengajar. Ayah sekadar menunjukkan. Menunjuk jalan.
Ayah La lalu menguji pengetahuanku mengenai Sifat 20. Sifat Nafsiah, Salbiah, Maani dan Maanuwiyah, Sifat Rasul dan kesimpulan Tauhid dalam Kalimah Laailla haillallah Muhamma dar Rasulullah. Ternyata aku masih terkial-kial. Ilmu Sifat 20 memang telah aku pelajari dengan aruah abang sepupuku – aruah Abang Mat – tapi aku telah terlupa. Aku mempelajari darinya sejak usiaku 19 tahun.

Bayangkanlah kini aku telah berada pada awal 40an. Tentulah aku telah terlupa. Oleh kerana aku masih terkial-kial ayah lantas menamakan tiga nama di sekitar tempat aku tinggal untuk aku memperhalusinya. Dia bukan sahaja menamakan orang-orang berkenaan di tempat-tempat yang berlainan, tapi menerangkan latar belakang diri dan taraf keilmuan masing-masing.
`Anak ambillah faham dengan mereka. Semua mereka mahir Sifat 20’.
Aku diam sahaja.
’Kalau nak dekat, pergi saja kepada Haji Fadil di Bukit Rumbia. Dia bagus. Lagi pun dialah yang lebih tinggi’
Aku dan isteri masih diam.
`Tapi Haji Fadil pun tak berapa sampai kepada nafi isbat. Bila tak sampai kepada nafi isbat, tak sampailah kepada makrifat...’
Kemudian ayah merenungi anak mataku dan dia lantas bertanya pula.
’Tahu apa nafi isbat?’
Dan matanya dibundarkan sambil kedua-dua keningnya dinaik-turunkan beberapa kali bagai menggurauiku. Aku bukan tak tahu langsung, tapi ingat-ingat lupa.Kemudian Ayah La merenungi pula isteriku dengan memek mata yang sama. Isteriku menggeleng-geleng.
Ayah La menjawab sendiri soalannya.
`Di sinilah kuncinya rahsia dalam Sifat 20. Kalau tak sampai kepada maksud Nafi Isbat, jadilah burung tiong yang pandai berkata-kata. Tak kenal....Ramai orang terkunci di sini dan ada juga guru yang sengaja menguncikannya di sini’
Dan Ayah La seperti tadi juga bermain-main dengan keningnya kepada kami.
`Jadi...bila anak habis belajar dengan Haji Fadil, datanglah semula kepada ayah...Ayah akan buka....’
`Kalau dengan ayah saja?’
Aku tiba-tiba saja tak dapat merahsiakan hajat di hati iaitu kalau boleh tak mahu lagi pergi kepada orang lain.
`Boleh! Tapi jauh....Teruklah anak....’
Aku diam sahaja. Tapi di hatiku, aku bersedia untuk berulang ke Bukit Tempayan ini walaupun sejauh mendekati 100 km.
Ayah La kemudiannya bangun meninggalkan kami. Dia pergi ke dapur. Tinggallah aku bersama isteri. Kami mula bersimbang sesama sendiri.
`Abang dah rasa cukup selesa dengan ayah. Baik orangnya...!’, aku memuji
`Lemah-lembut, mesra, peramah...’
`Kita berulang ke sini sahajalah....’, aku membuat cadangan kerana aku sudah cukup terpikat dengan kelembutan, kemesraan dan sifat kebapaan yang ditunjukkan oleh Ayah La dan isterinya.
`Lagi pun nak cari siapa tadi? Haji Fadil?’
Aku mengangguk.
`Kita pun tak tahu macam-mana orangnya. Entah di mana pula rumahnya’, isteriku bersetuju.
Tiba-tiba Kak Ngah merengek nak buang air.Isteriku menjadi sedikit geram.
Maklumlah belum biasa di rumah orang. Orang yang sangat disegani pula. Bila Kak Ngah mendesak, Kak Long pula tiba-tiba memberitahu dia pun mahu ke bilik air juga. Terpaksalah isteriku mengalah dengan kehendak anak-anak. Tinggallah aku bersama anakku yang ketiga yang kududukkan di atas riba.
Rumah Ayah La nampaknya amat sederhana. Tidak ada apa-apa hiasan di ruang tamu selain bingkai gambar-gambar lama.
Seakan-akan ada gambar orang lama-lama. Aku tidak tahu siapa. Tapi ada kemungkinan pahlawan-pahlawan lama Pahang. Ruang tamu nampak kosong sahaja. Selain set kerusi rotan manau, perabut lain ialah sebuah almari lama yang dijadikan tempat menyimpan pinggan mangkuk.Tingkap rumah elok berlangsir sesuai dengan tingkap rumah kayu.Di lantai terhampar sepenuhnya tikar getah berwarna kelabu.
Ayah La pada pengamatanku seorang yang sangat berbeza dengan Tok Penghulu Malim dan Cikgu Zan. Sebagai orang kampung yang tidak pernah bekerja dengan kerajaan, penampilan Ayah La kelihatan sangat sederhana. Kain pelikat yang dipakainya cukup lusuh. Demikian juga bajunya. Sudah begitu pudar warnanya.

Tapi wajahnya nampak begitu ceria dan murah dengan senyuman.Dia juga sangat lemah-lembut, tenang dan amat menyenangkan. Inilah persamaan dengan Tok Penghulu Malim.
Sewaktu berada bersama Tok Penghulu Malim, aku dapat merasakan aroma yang begitu tenteram, selesa dan bahagia sehingga saat-saat bersamanya terasa begitu nikmat, puas dan kalau boleh ingin berada lebih lama bersamanya. Dengan Ayah La, sesungguhnya perasaan sedemikian terasa jauh lebih hebat bahkan bagaikan dua kali ganda. Entahlah! Entah mengapa!
Ayah La tiba-tiba muncul semula lantas duduk betul-betul di sebelahku. Tadi dia duduk di hadapanku.
`Anak, kalau tersingkap masa muda-muda ini, anak tidak dimakan usia!’, Ayah La membisikkan ke telingaku sebaik sahaja dia duduk. Aku langsung tidak mengerti apakah maksud tersingkap itu.Tapi mulutku kelu untuk bertanya. Entahlah.Entah mengapa lelaki berusia melebihi 70an ini sangat mesra di hatiku bila dia membahasakan dirinya ayah dan aku adalah anak. Apakah demikian adab dalam kaedah menuntut ilmu Tasauf? Apakah istilah sedemikian digunakan kepada semua anak-anak muridnya? Atau khusus bagiku sahaja? Entahlah. Aku kurang mengerti.Tapi aku dapat merasakan bahawa aku telah mendapat tempat istimewa di hatinya.
`Mek sendiri nanti’, katanya merujuk kepada isteriku.`Kalau tersingkap pada usia sekarang, nescaya tidak akan tua. Tetap muda!’
Aku memandang isteriku yang baru sahaja sampai di kerusi bersama Kak Long dan Kak Ngah.
Isteriku nampak agak terpinga-pinga kerana dapat mengesan namanya disebut.
`Bila anak tersingkap dan isteri anak juga tersingkap – bila sama-sama tersingkap, anak akan mendapat keharuman pada seluruh tubuhnya sewaktu bersama....’, ayah menerangkan selanjutnya. Tapi kali ini bicaranya lebih perlahan khas untukku. Aku tidak pasti isteriku perasan atau tidak.
`Tapi ayah lambat!’, Ayah La membuat pengakuan.
`Ayah lambat dapat jalan ini.Ayah dah tua, baru dapat....’
Cikgu Zan menerangkan kepadaku bahawa Ayah La mengamalkan zikir Nafi Isbat dengan bersungguh-sungguh ketika ayah dilanda kesedihan akibat kehilangan anak lelaki kesayangannya. Ayah mengubati kesedihan hatinya dengan membaca Surah Yasin dan berzikir. Pada setiap malam selepas Isya ayah beramal sehinggalah ke tengah malam. Ada kalanya sampai ke pagi. Ayah sendiri tak tahu berapa ribu atau berapa belas ribu semalaman bilangan Zikir Nafi Isbat yang diamalkannya.

Dalam berzikir itulah Ayah La didatangi oleh rohani-rohani tertentu yang cuma ayah seorang sahaja yang mengenalinya.Ada juga ketikanya ayah dikunjungi oleh orang-orang biasa pada masa-masa biasa yang ayah tidak kenal siapakah orang-orang itu sehinggalah tetamu tersebut memperkenalkan dirinya. Ada juga di antara pengunjung misteri tersebut yang tidak memperkenalkan dirinya, dan pergi begitu sahaja setelah menyampaikan maklumat atau menganugerahkan ilmu. Dari mereka semualah ayah memperolehi ilmu dan kemudiannya naik darajat.

Menurut Cikgu Zan, Ayah La memiliki seluruh ilmu.Mintalah apa-apa sahaja darinya. Apabila ayah mendapati sesuai dengan seseorang itu, ayah akan memperturunkannya. Walau apapun, apa yang terbaik, pesan Cikgu Zan, ialah jangan meminta, sebab ayah sendirilah yang tahu bilakah dan apakah ilmu yang sesuai untuk dikurniakan kepada seseorang itu.
`Kalau saya nak tanya ayah tentang Zat Allah, boleh tak?’, aku tiba-tiba bertanya.Aku pernah membaca buku-buku Tasauf sebelum ini mengenai Zat, Sifat, Asma dan Afaal. Tapi tak pernah faham, terutama tentang Zat. Inilah kemusykilanku sejak sekian lama.Dan peluang seperti ini, bertemu dengan orang pada martabat ariffinbillah, menjadikan aku kurang sabar untuk mengetahuinya.
`Kenapa?’
`Mana Zat Allah, ayah?’
Soalanku itu aku tidak pasti sesuai atau tidak dikemukakan pada pertemuan pertama itu. Aku pula tidak dapat mengukur aras dan tingkat ilmu. Ayah La lalu membulatkan matanya mendengar soalanku itu, sambil membuat mulut penyet. Dia bermain-main dengan keningnya seperti tadi. Dia tidak menjawabnya, tapi spontan tangannya memegang daging pejal di lenganku sambil memicit-micitnya. Aku tidak mengerti apakah maksudnya.
`Anak ini’, ayah tiba-tiba bersuara.`Bila sampai masanya...pada usia 45 atau 46 tahun, anak akan mendapat sesuatu’. Ayah La tiba-tiba membocorkan satu rahsiaku. Aku tidak terkejut dengan rahsia itu, tapi aku sedikit terkejut bagaimana rahsiaku itu diketahuinya.
Maklumat mengenai itu telah beberapa tahun terdahulu telah aku mengetahuinya. Yim memberitahu ku:
`Saya ada dengar datuk-datuk ada bercakap, awak Mal, bila sampai usia 45 atau 46, awak akan mendapat sesuatu’
`Apa dia?’, aku bertanya.
`Itu saya tak tahu’
`Tak tanya atuk?’
`Tidak’
Emak tiba-tiba muncul dari dapur. Dia mengatakan makanan tengahari telah siap, lalu menjemput kami anak beranak makan tengah hari. Aku mendapati jam waktu itu belum lagi pukul 12.00 tengah hari dan aku tidak pula bercadang untuk makan tengahari di rumah mereka. Aku sebenarnya sedang menanti waktu yang sesuai untuk meminta diri. Bila melihat aku dan isteri masih teragak-agak, Ayah La lalu meminta aku mengajak isteri dan anak-anakku pergi ke ruang tengah rumah untuk menikmati juadah tengahari. Nampaknya kami anak beranak tidaklah dapat mengelak lagi.
Aku lantas mengajak ayah supaya makan sekali, tapi dia kata dia belum lapar.Terpaksalah kami anak beranak sahaja yang pergi menuju ke hidangan yang telah siap bertutup dengan tudung saji.Isteriku diminta oleh ayah mengisi nasi dan melayani kami anak beranak makan. Sambil itu Ayah La berjalan tergayang-gayang di persekitaran dengan kedua-dua belah tangan di belakang seolah-olah mengawasi kami yang sedang makan itu. Aku dan isteri sama-sama tidak mengerti apakah maknanya itu! Tidak juga mengerti kenapa kami sahaja yang makan!
Lepas makan aku sekali lagi bertanya Ayah La.
`Tok Penghulu Malim memberitahu kepada saya ayah, orang yang mati pada martabat makrifat , akan zahir kembali.Betulkah begitu?’
Ayah La memang suka membuat mata bulat mulut penyet, sambil memain-mainkan keningnya ke atas ke bawah. Dia berlama-lamaan begitu denganku. Aku terasa amat terhibur dan begitu senang hati sekali dengan gelagatnya itu. Bertambah mesralah rasanya hati ini dengannya. Sejurus kemudian Ayah La lalu menjawab.
`Betul!’, ayah menjawab dengan tegas dan keyakinan jitu.`Ayah pun baru saja mendapat khabar bahawa guru ayah telah pun zahir kembali’.
Berita itu membuatkan aku menjadi kian ghairah untuk mengetahui dengan lebih lanjut.Aku lantas bersuara.
`Maafkan saya ayah! Boleh saya tau, siapa guru ayah?’, aku memberanikan diri bertanya.
`Cikgu Jantan!’
`Cikgu Jantan?’
Aku pura-pura terkejut dengan maklumat itu. Tapi sebenarnya aku telah tahu dari Cikgu Zan bahawa Ayah La sewaktu tinggal di Besut, Terengganu dia sempat berkenalan dan belajar dengan seorang yang bernama Lebai Umar. Apabila Lebai Umar meninggal dunia, ayah sempat menghadiri pengkebumian jenazahnya di Besut. Pada ketika itu Ayah La tidak tahu siapa Lebai Umar. Bila ayah sampai pada martabat sekarang baharulah terbuka rahsia kepadanya bahawa Lebai Umar adalah Cikgu Jantan. Kini guru ayah yang bernama Cikgu Jantan atau Lebai Umar telah pun zahir kembali di Gua Musang. Ayah berhasrat untuk mencarinya pada bulan hadapan.
Cikgu Jantan adalah salah seorang pahlawan Pahang yang seangkatan dengan Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Lela. Abang kepada ayahku, yang aku panggil Aingah Isya pada ketika usianya belasan tahun, pernah mengikut Cikgu Jantan selama beberapa bulan di dalam hutan bekerja mencari rotan. Aingah Isya menceritakan dia sempat belajar bersilat dan menuntut ilmu sewaktu bersama-sama mencari rotan dengan Cikgu Jantan dulu. Tapi sayangnya, ilmu-ilmu tersebut cuma berguna pada waktu itu sahaja. Apabila Aingah Isya pulang ke Kampung Sungai Onak setelah berpisah dengan Cikgu Jantan, semua ilmu yang telah dipelajarinya telah tidak diingatnya lagi. Semuanya telah terlupa. Aingah Isya pun hairan kenapa jadi begitu. Dia pun tak tahu apakah dia telah terlanggar pantang.
`Minggu terakhir bulan ini nanti, anak tak usah datang ke rumah ayah’, Ayah La tiba-tiba memberi pesanan.
`Kenapa ayah?’
`Sebab ayah nak naik gunung’
`Naik gunung?’, aku keliru dan tak faham.
Gunung apa dan di mana? Di sekitar kawasan di sini tidak ada gunung. Yang ada cuma bukit. Itu pun bukanlah terlalu tinggi.Lantas aku bertanya.
`Gunung apa ayah?’
Ayah La diam dan tidak menjawab. Aku bertanya lagi.
`Berapa lama ayah di gunung?’
`Satu minggu’
Menjelang waktu zohor, aku bersama isteri dan anak-anak meninggalkan Ayah La dan emak.Kami pulang dengan hati yang sungguh riang dan gembira kerana dapat merasakan kemesraan dan kasih-sayang dari mereka terhadap kami sekeluarga sepanjang berada di rumah mereka. Aku bertekad akan menjadikan mereka berdua bagaikan ibu dan bapa tempat kami anak-anak meletakkan kasih. Sementelahan, aku sendiri telah kehilangan ibu dan ayah dan isteriku telah ketiadaan bapa.

21 Julai 2009

7.

BERGAYUT DI JANGGUT HANTU

”Rumahnya di atas bukit. Kena naik tebing tangga”
Itulah pesan Cikgu Zan supaya aku mencari Aki Mat Diah. Sekarang aku percaya, aku telah sampai ke rumahnya bersama isteri dan anak-anakku.
”Dia juga adalah salah seorang guru Ayah La. Maksudnya, Ayah La pernah juga berguru dengannya sebelum Ayah La sampai pada tingkat sekarang”, Cikgu Zan memberikan informasi seterusnya.Ayah La adalah seorang pengamal Tasauf yang kalau menurut Cikgu Zan, lebih tinggi darajatnya berbanding dengan Tok Penghulu Malim sendiri, yang merupakan guru Cikgu Zan.
Kami sebenarnya dalam perjalanan pulang dari rumah Cikgu Zan. Ini adalah kali ketiga kami ke rumahnya dalam tempoh dua bulan.Setelah Tok Penghulu Malim mengarahkan aku dan isteriku supaya menerima zikir dari Cikgu Zan, kami memang benar-benar mematuhi arahan itu. Menjelang sepuluh akhir Ramadhan kami menuju ke rumah Cikgu Zan setelah dibuat temujanji terlebih dahulu. Kami berhenti di pinggir jalan kira-kira lima kilometer dari rumah sewa Cikgu Zan di Desa Mulia, untuk berbuka puasa dengan bekalan ala kadar yang isteriku sediakan. Selepas semuanya sempurna, kami tiba di rumah Cikgu Zan lebih kurang jam 9.00 malam.
Aku masih ingat lagi pada malam itu setelah menerima ijazah zikir tarekat, kami bersimbang sehingga jam 3.00 pagi, baharulah aku sekeluarga pulang dalam perjalanan sejauh lebih 150 km. Cikgu Zan telah memberikan informasi yang sangat menyeluruh mengenai jalan kehidupan Tasauf melalui kesah berbagai-bagai personaliti pada era yang lalu dan yang masih ada berserakan di sana sini.
Masing-masing dengan pelbagai keistimewaan dan keajaiban diri masing-masing. Fikiran aku dan isteriku memang sungguh terbuka pada malam itu untuk memahami jalan agama pada aras yang lebih tertutup tetapi tinggi.Cikgu Zan memang sesuai sebagai guru yang membuka kefahaman ilmu pada beberapa lapisan tingkat hati manusia.
Aku yang mendukung anak yang ketiga sampai lebih awal ke tangga kayu bulat rumah Aki Mat Diah. Isteriku sedikit di belakang memimpin tangan anakku yang kedua. Anak sulungku berjalan di sisinya. Aku memberi salam dan salamku dijawab oleh sebuah suara yang mesra dari dalam rumah. Sejurus menunggu, muncullah seorang lelaki. Agak-agakku usianya telah mencecah sekitar 90 tahun.Tapi masih tegap dan kemas. Rambutnya putih seluruhnya dan tidak berbaju tapi berseluar hitam yang labuh dan lusuh.Dia agak kaget melihat aku sekeluarga yang tiba tanpa diundang pada waktu Asar yang telah pun melebihi separuh waktu.
Aku berjabat tangan dan dipersilakan masuk. Ruang tamu yang kosong itu agak gelap kerana persekitaran rumah dinaungi oleh pokok-pokok yang rendang. Tidak ada apa-apa di ruang tamu itu kecuali sebuah almari yang sudah berusia puluhan tahun. Ada mesen jahit Singer generasi lama di tepi tingkap terbuka di bahagian kanan rumah.Tidak ada bilik lain selain sebuah bilik tidur dan dapur. Aki Mat Diah berteriak menyeru isterinya supaya datang untuk meraikan tetamu yang tidak diduga.
Aku perasan Aki Mat Diah sedang merenungku. Biasalah orang pada tingkat begini memiliki kuasa fihrasat. Dia sedang `membaca’ diriku. Taraf diri dan tahap ilmu dan maksud kedatangan.Tak perlu risau apa-apa kerana aku berniat baik.Setelah menerangkan latar belakang kenapa aku sampai ke sini, Aki Mat Diah lantas mengucapkan syukur.
”Zaman sekarang zaman orang mencari duit.Mengumpul harta!”, dia memulakan bicara setelah merenungi sudut hatiku.:”Orang-orang muda sibuk memburu hidup bergaya. Orang-orang tua pula sibuk memburu pangkat dan harta. Tapi anak, alhamdulillah! Anak tidak mengikut rentak kebanyakan manusia’.
Lantas dia membaca sepotong ayat al Quran yang bermaksud: `Janganlah kamu mengikuti kebanyakan manusia di muka bumi ini nescaya mereka menyesatkan kamu dari jalan Allah’.

Kemudian dia berkata lagi.
`Zaman sekarang merupakan zaman orang beribadat tanpa ilmu’,dia meneruskan bicara.`Orang bersembahyang ramai. Tapi sembahyang ikut-ikutan. Soal yang mudah-mudah pun tak faham. Soal azan misalnya. Imam masjid sendiri pun tak tahu. Pada zaman sekarang kebanyakannya tahu azan saja. Masuk waktu laungkan azan. Masuk waktu laungkan azan. Tapi tak tahu hakekat azan’.
Aki memulakan bicara mengenai satu soal yang serius. Aku sebagaimana biasa memang dahaga dengan ilmu. Aku memberikan perhatian sepenuhnya.Isteriku juga.
`Dok gaduh kat Aki tak pergi jumaah. Aki bukan tak mahu pergi.Tapi kalau hakikat azan pun tak tahu, buat apa aki pergi berjumaah!
Betul tak?’
Aku senyum sahaja. Belum ada apa-apa idea. Aku baru dalam proses untuk memahami maksudnya. Aku menanti huraian selanjutnya.
`Dalam sejarah syariat memanglah Saidina Bilal yang diilhamkan azan – dapat dalam mimpi, dan sejak itulah azan dikumandangkan pada setiap kali masuk waktu solat.Itu kesah benar dalam syariat. Tapi yang aki maksudkan, apa asal-usul azan? Apa hakekat azan? Apa rahsia azan?’
Aku baru menyedari apa yang aki mahu maksudkan. Apa yang aku fahami iaitu sejak dihuraikan oleh Cikgu Zan, ajaran Tasauf mengandungi ilmu yang rahsia. Ilmu ini menjadi rahsia pengamalnya. Tersimpan teguh di dalam dada. Tidak dibukakan kepada yang tidak layak. Tidak dituliskan di dalam kitab-kitab. Imam Ghazali sendiri tidak menulis di dalam kitabnya. Apa yang ditulis adalah yang berkaitan dengan Ilmu Muamalah. Bidang Ilmu Mukasyafah, Imam Ghazali ra sekadar menyentuh lapisan luarnya sahaja.
Dikatakan jalan menuju Allah ialah melalui empat jalan iaitu Jalan Syariat, Jalan Tarekat, Jalan Hakekat dan Jalan Makrifat. Semua orang Islam wajib menempuh Jalan Syariat dan Jalan Tarekat untuk sampai kepada Jalan Hakekat dan Jalan Makrifat. Dua yang pertama ialah zahir agama iaitu Islam Zahir. Dua yang berikutnya ialah batin agama iaitu Islam Batin. Semua jalan-jalan ini ada rahsianya masing-masing.Zahir dan batin perlu berintegrasi sebagaimana roh dengan jasad. Zahir penting tapi batin lebih penting lagi. Umpama menjaga badan. Badan zahir perlu dijaga secara zahir supaya terhindar dari penyakit zahir. Badan batin yakni roh perlu dijaga dari penyakit batin. Penyakit zahir perlu disembuhkan. Penyakit batin lebih lagilah perlu disembuhkan. Penyakit zahir berakhir bila nyawa berpisah dari tubuh, tetapi penyakit batin kekal selama-lamanya. Obat penyakit zahir pergi berjumpa doktor zahir. Obat penyakit batin perlu berjumpa doktor batin iaitu Guru Tasauf. Ini penjelasan dari Cikgu Zan.
`Ketika Sifat sudah nyata dalam ghaibNya, maka Sifat mempersoalkan kenyataan Zat. Masing-masing mendakwa lebih tua dan awal.Maka Zat meminta supaya Sifat menghilangkan diri untuk pembuktian. Sifat lantas melakukannya. Tapi ke mana jua Sifat bersembunyi, Dia tetap zahir. Sampailah giliran Zat. Zat menghilangkan diri, lalu Sifat terpinga-pinga mencari di manakah Kanzun Mahfiyyan bersembunyi. Sedarlah Sifat bahawa Dia adalah Kenyataan Kedua; bahawa Zat lah yang Awal, Zat lah yang lebih tua’
Aki Mat Piah diam sejurus.Dia melihat kesan singkapan rahsia azan kepada kami berdua.Kemudian dengan suara yang lembut,dia menyambung kesah ghaibul ghuyub itu.
`Insaflah Sifat lalu mengakulah Dia dalam ikrar:`Allah hu Akhbar Alllah hu Akhbar!’ ertinya Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar’
Aki Mat Diah berhenti sementara.Mataku direnungnya. Tiba-tiba dia bertanya:
`Tahu kenapa bila azan sedang dilaungkan, muazin berpaling ke kanan dan berpaling ke kiri?’
Aku menggeleng-geleng.
`Orang sekarang pakai buat aje! Tengok orang dulu-dulu buat, dia buat sama.
Orang dulu buat dengan ilmu, tapi orang sekarang tak tahu rahsianya. Inilah iman taklidi namanya.Iman ikut-ikutan....Kalau dia orang dengar, dia orang marah! Belajar tinggi-tinggi tapi tak dapat apa-apa!’
`Dapat kulit sahaja!’, aku mencelah. Sejak tiga kali ke rumah Cikgu Han, aku semakin mengerti untuk mencampuri hal-hal pada lapisan yang lebih dalam.
`Betul!’, dan senyumnya melebar.
`Dapat kulit nak buat apa? Yang kita hendak ialah isinya. Macam makan buahlah. Isi yang kita hendak – sedap dimakan. Sebab itulah Allah Taala pandang pada hati insan, bukan muka, bukan harta! Ertinya pandang batin, bukan zahir! Pandang isi, bukan kulit! Pandang dalam, bukan luar!’
Isteri aki yang tadinya keluar sekadar untuk bersalaman dengan isteriku kini keluar semula. Dia menatang sebiji dulang dan beberapa cawan. Ada sedikit juadah di atas sebuah piring – penganan talam.Dia duduk di sisi isteriku sambil mengguraui dan mengacah-ngacah anak ketigaku yang berada di atas haribaan isteriku.
Aku mulai menjadi lebih serius memberikan tumpuan kepada sebuah rahsia yang sedang disingkapkan pada petang ini. Isteri aki mulai diam juga kerana menyedari isteriku juga sedang berminat memberikan perhatian kepada rahsia yang bakal dicurahkan.
`Sifat memandang ke kanan kerana Dia mendengar suara yang sama, perlahan sahaja, bagaikan di sebelah kanan:Allah hu Akhbar Allah hu Akhbar! Tapi Sifat tidak melihat apa-apa. Sifat ulang sekali lagi takbir tadi. Dan kali ini dia terdengar pula seoah-olah dari sebelah kiri,lalu Dia berpaling ke kiri, tapi seperti tadi juga, Dia tidak melihat apa-apa.’
Aki merenungku dengan mata sedikit tajam
`Ha! Bagaimana? Di mana Zat?’
Aku terkelip-kelip.
`Dia maujud tapi tidak kelihatan’.
`Tadi suara Zatkah yang menyebabkan Sifat berpaling?’, isteriku bertanya.

`Ya!’, aki dengan senyuman manis usia sembilan puluhan memandang isteriku, bagaikan seorang datuk yang memandang dengan kasih-sayang terhadap cucunya.

`Tanpa huruf dan suara!’
Kami terkebil-kebil.
`Kenapa Sifat tidak dapat melihat Zat sedangkan Zat dapat melihat Sifat?’
Kami ditanyai kembali. Aku berlidah kelu. Aki berpaling kepada isteriku. Isteriku juga berlidah kelu.
`Itulah erti tajali. Zat menyatakan Sifat.Bila Sifat nyata ghaiblah Zat. Ghaib yang ertinya bukan hilang dan lenyap. Zat tetap maujud dan tidak bercerai tanggal dengan Sifat. Dia tetap Dia yang menyatakan Dia.Faham?’
Aku tidak pasti mahu menjawab faham atau tidak. Untuk mengatakan faham, aku masih khuatir.Untuk mengatakan tidak faham, aku memang mulai faham. Apa pun Aki Mat Diah tersenyum kerana pandangan matanya jauh menembusi ke dalam hatiku.
`Itulah sebabnya, muazin bila melaungkan azan, berpaling ke kanan dan ke kiri dan itulah sebabnya bila muazin melaungkan azan, makmum mesti diam dan menjawab azan!’.
`Tapi orang sekarang tak peduli’, sampuk isteri aki.
`Inilah ilmu yang telah hilang’
`Tapi orang sekarang menuduhnya sesat, Aki’
`Bila dia tuduh sesat, dialah yang sesat....’, dan aki ketawa.
`Bukankah aki dah kata tadi. Orang sekarang beribadah tanpa ilmu, sebab ke mana mahu dinafikan ayat `Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin!’
`Mereka kata sesat, sebab tidak ada hadis-hadis dari Nabi Muhammad saw mengenai rahsia hakikat yang aki ceritakan tadi’, aku bagaikan menghujah aki.
`Siapa kata tak ada?’, nada suara aki tinggi bagaikan marah. Tapi aki tetap masih dalam senyumannya.
`Mereka tak jumpa! Bukan semua kitab mereka baca!’
`Lagipun aki, bukan semua di tulis di dalam kitab’, aku mencelah.
`Betul! Yang menjadi pakaian batin, tetap batin. Hadis soal hakikat tertulis di dalam hakekat. Tersembunyi dan menjadi rahsia di dalam dada.Yang zahir sahajalah yang terzahir terutama pada zaman sekarang orang menyangka ilmu Allah Taala cuma ada di sekolah-sekolah...’
`Minum air....sapa namanya?’,isteri Aki Mat Diah yang nampaknya dalam usia 60an mempelawaku. Aku mengangguk.
`Kak Long, ambil air itu.Minum. Kita nak balik kejap lagi..’, aku menyuruh anak sulungku. Sambil itu aku mengambil satu cawan air kopi yang telah dituangkan oleh isteri aki, satu aku letakkan di hadapan aki, dan yang satu lagi untukku sendiri.
Sambil makan-makan itu aku bertanyakan latar belakang aki. Dia menyatakan masa muda-muda dulu, dia menuntut banyak ilmu.Zaman dulu kedua-dua bidang ilmu dituntut. Satu ilmu akhirat iaitu ilmu mengenai Allah Taala, dan satu lagi ilmu dunia iaitu ilmu syarat untuk menjadi seorang lelaki sejati. Aki menuntut kedua-dua bidang ilmu tersebut. Dia sempat berguru dengan Tok Kenali. Tok Kenali memfirasatkannya ’awak nanti akan menggigit orang bersurban’.
`Memang betullah! Aki tak boleh orang ganggu. Dah banyak kali. Imam-imam di sini dah silih berganti ganggu aki. Asyek kata aki tak mahu dengar dia baca kitab. Asyek ganggu aki tak pergi sembahyang jumaah. Sampai fitnah aki tak sembahyang. Imam yang baru sampai ini pun ganggu aki juga.Satu hari aki jumpa dia...’
`Berapa umur dia aki?’
`Tua dah...Tak lama pencenlah tu...’ isteri aki yang menjawab.
`Maaflah Pak Imam. Saya bukan tak mahu pergi tapi entahlah. Saya ni memanglah liat sikit ke masjid. Bukan apa. Cumanya...saya musykil sedikit. Saya ni taklah reti sangat. Taklah belajar tinggi. Cuma saya nak tahu, bila kita sembahyang, pak imam, mula-mulanya kita bediri betul. Lepas itu kenapa kita bertakbir Allah hu Akhbar?’
`Lafaz niat dulu aki...Lepas itu baru angkat takbir’, pak imam menegur aki.
`Iya betul, pak imam. Betul.. Lafaz niat dulu. Tapi kenapa kita bertakbir?’
Pak Imam agak terkebil-kebil.
`Maksudnya...kenapa tidak bertahmid ke....bertasbih ke...’
`Nabi kita dah buat begtu. Kita sebagai umatnya, ikut sajalah..’
`Betullah itu, imam...’, aki menjawab.`Tapi kenapa Allah hu Akhbar?
Kenapa Nabi ajarkan Allah hu Akhbar? Apa salasilah dia?’
`Salasilah....’, Pak imam masih belum mengerti. Lalu dia bertanya.
`Maksud aki?’
`Asal mula dia...Macam Rukun Haji juga, imam..Ada salasilahnya. Berlari dari Safa ke Marawah, melontar batu di Jumrah....Ikut sunnah Nabi Ibrahim....’
Aki nampak imam itu terdiam. Merah juga mukanya. Sejurus menunggu, dia tetap diam. Lalu aki pun berkata:`Tak apalah pak iman. Lagi satu saya nak tanya. Semasa kita sembahyang, kita bertakbir Allah hu Akhbar ketika mahu rukuk, mahu sujud dan sebagainya. Tetapi kenapa ketika bangkit dari rukuk, waktu iktidal, apa sebab pula tidak bertakbir?’
`Aki nampak dia diam juga. Bertambah merah muka dia. Ha! Itulah Tok Kenali dah kata, aki akan gigit orang bersurban. Banyak dah yang kena macam itu’
Dan Aki Mat Diah ketawa.
`Sebab itulah aki’, aku mencelah.` Imam perlu dilantik oleh ahli kariah...’,
`Betul.....’, aki menyokongku dan kemudiannya berkata seterusnya.
`Dengan imam makan gaji ini, entahlah, aki berat benar nak berjumaah....’
`Solat Jumaat, aki?’
`Itu kena pergi!’

` Tak pergi...nanti.. orang lagi salah sangka pula....’, sampuk isteri aki.
Menurut aki pada zaman muda-muda dahulu dia beberapa kali berjalan kaki ke Kelantan untuk berguru. Oleh kerana penat berjalan kaki, aki lalu menuntut ilmu nak melihat hantu, nak minta tolong. Sejak itu aki berulang-alik ke Kelantan dengan menumpang hantu
`Bagaimana?’, isteriku terkejut.
Aki Mat Diah ketawa.
`Aki bergayut pada janggut dia...’
Kami menjadi terpegun dan kehairanan
`Dia berjalan kaki?’
`Terbang!’
`Tak takut ke, aki?’, isteriku nampak seronok dengaan cerita yang sukar untuk dipercayai itu
`Takut apa? Takut terbang?’
`Dengan hantu tu... Tak takut ke?’
`Dia yang takut!’, dan aki meledak ketawa.

`Kalau tidak, tak mau dia bawak aki. Berat! Mencungap juga dia nampaknya.. nak sampai ke sini...’

Dan aki terus tertawa.

17 Julai 2009

6.

RAYUAN DARI KUBUR.

Seseorang pernah mengupas mengenai iman kepadaku.

`Iman yang tidak berguna ialah iman orang munafik. Ini adalah iman orang yang berpura-pura dalam agama’, seseorang itu berkata. `Pada zahirnya dia menunjukkan taat kepada Allah dan RasulNya. Bibirnya bercakap bagaikan orang berilmu dan beriman, tapi hatinya ragu-ragu. Cakap lain, buat lain. Lain di bibir, lain pula di hati. Orang jenis ini sebenarnya engkar dan durhaka’, seseorang itu diam sebentar. Dia bagaikan membenarkan aku meresapi ke dalam minda huraiannya. Kemudian sambil mata merenung ku seseorang itu berkata lagi.

`Orang-orang seumpama ini melakukan ibadah lebih didorong oleh rasa malu. Kadang-kadang sekadar mengikut-ngikut. Ibadahnya lebih untuk menunjuk-nunjuk dan dilakukan dengan perasaan yang berat dan sangat malas.Bila dia mendapat kesusahan, dan ditimpa musibah, dia lantas ingat kepada Allah dan berdoa untuk kelepasan. Pada waktu susah, rajin dan banyak ibadahnya. Tapi bila senang, mudah lupa diri dan mengikuti nafsu. Inilah tingkat iman yang dikatakan menyembah Allah bersama tuhan-tuhan yang lain’.

Seseorang itu berdiam diri lagi.Mataku dan yang mendengar direnung seperti tadi bersilih ganti.Bila mata seseorang itu sampai kepadaku, aku dapat merasakan sinarnya menembusi lembut meresapi mataku.

Tiba-tiba seseorang itu mengemukakan pertanyaan.

`Tahu maksud menyembah Allah bersama tuhan-tuhan yang lain?’

Kami yang mendengar terkelip-kelip. Agak lama juga seseorang itu membiarkan kami berfikir untuk memberikan jawapan. Tapi tidak ada sesiapa yang bersuara.

`Tuhan-tuhan yang lain ialah nafsunya, kadang-kadang akalnya, kadang-kadang pemimpinnya’.

`Biasanya mereka sendiri tak tahu kan, pak? Tak tahu bahawa mereka adalah orang yang berpura-pura beriman’, aku bertanya.

`Memanglah!’,

`Mereka sentiasa menyangka bahawa mereka adalah orang Islam dan beriman’,

`Ya! Mereka sentiasa menyangka bahawa mereka bukan orang munafik’, seseorang itu memandang kami bergilir-gilir seperti tadi. Kami yang mendengar mengangguk-ngangguk.Kemudian seseorang itu menyambung bicaranya:

`Orang-orang begini percaya dengan sangkaan, bahawa bila mati nanti Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga kerana merasakan bahawa mereka orang-orang yang beriman. Tapi iman itu mesti dibuktikan. Bila tidak dibuktikan, bagaimana tanda ada iman! Inilah masalah orang zaman sekarang, merasakan dirinya beriman, tapi tidak ada bukti. Bila tidak ada bukti iman, mana boleh mengaku beriman?’

`Samalah dengan orang Kristian, kan pak?. Bila mati, mereka semua percaya bahawa mereka akan ke syurga kerana semua dosa mereka telah diampunkan apabila Jesus, anak tuhan yang telah disalib untuk menebus dosa warisan’

`Itulah perdayaan iblis!’

`Sama sahajalah dengan orang munafik! Betulkan, pak? Semata-mata sangkaan!’

Dia tidak menjawab tapi kepalanya mengangguk mengiakan bahawa orang-orang Islam sekarang bagaikan sama sahaja dengan orang-orang kafir khususnya Kristian - beriman pada sekadar sangkaan dan bukannya keyakinan.

`Iman tingkat yang lebih baik ialah meyakini di hatinya akan makna lafaz Laillaha illallah. Ini martabat orang biasa. Orang pada peringkat ini ada berbagai-bagai tingkat hatinya.Pada umumnya mereka beramal dengan lebih ikhlas dan ibadah mereka lebih tekun. Golongan inilah yang paling ramai. Tapi kebanyakan mereka akan menerima bencana di Yaumil Mahsyar. Ramai yang akan terbenam di lembah neraka kecuali yang mendapat syafaat’.

Aku cukup puas dengan huraian seseorang itu itu. Ini adalah kesah masa muda-muda dahulu sewaktu aku bersama seseorang itu. Seseorang itu banyak meninggalkan amanat dan bekalan untuk kami pendengar terutama aku sendiri.

Bila usiaku semakin dewasa dan setelah mendirikan rumah tangga, aku mendapati aku telah berjaya melangkah kepada era keimanan yanag lebih jitu. Aku percaya begitulah. Mudah-mudahan. Tok Penghulu Malim menjadi orang yang sangat penting dalam membimbingku kepada jalan Tasauf setelah begitu lama aku tercari-cari dan ternanti-nanti.

Sekarang kami – aku dan isteri untuk ke sekian kalinya - berada di rumah Tok Penghulu Malim lagi. Seperti selalunya urusan ialah mengenai bicara makrifat dan hakekat kerana itulah yang kami mahu perhalusi.

`Kita kalau boleh tak mahu berada dalam tingkat syariat dan tarekat. Mati pada martabat syariat masih binasa. Demikian juga mati pada martabat tarekat’ Tok Penghulu Malim mengulang kembali maklumat yang telah dihuraikanya dahulu apabila aku mengemukakan pertanyaan mengenai perbezaan tingkat iman.

`Kalau boleh kita perlu sampai dan mencapai makam hakekat dan makrifat. Inilah maqam muqarrabin. Tahu apa maksud golongan muqarrabin?’.Tok Penghulu Malim tiba-tiba bertanya.

`Golongan yang hampir dengan Allah Taala’, aku menjawab.

`Tahu makna hampir?’

Aku mengangguk.Hampir yang aku fahami, tidak berasaskan jarak tapi berasaskan kedekatan pada martabat, misalnya orang-orang besar lebih hampir dengan sultan berbanding rakyat biasa.

`Macam Ayah Lan Wali’

`Ayah Lan?’

`Kenal?’

Kami berdua memang kenal dengan Ayah Lan Wali. Isteriku sejak dari kecil lagi telah biasa melihatnya. Bila bertemu dengannya yang sedang berjalan di tepi jalan - isteriku yang ketika itu masih di sekolah rendah - Tok Lan Wali akan menoleh kepada kereta yang dipandu oleh aruah Encik (ayah) isteriku, hingga terlihat giginya yang putih bersih itu. Itulah pengalaman isteriku melihat Ayah Lan Wali. Bukan sekali tetapi beberapa kali bila keluarga isteriku pulang ke rumah Tok Aki Said sewaktu dia tinggal di Kampung Belalang.

Sewaktu aku masih rapat dengan Aicik Leman dulu, aku mempercayai pendapat Aicik Leman bahawa Ayah Lan Wali bukanlah seorang wali kerana cara hidupnya sudah tidak mengikut syariat. Oleh kerana mempercayai pendapatnya, aku lalu tidak berminat untuk mencari kesempatan berkenalan dan menziarahi Ayah Lan Wali. Itulah yang dikatakan tidak ada rezeki. Kalau tidak berpegang kepada fatwa itu, aku percaya aku boleh menjadi orang yang rapat dengan Tok Lan Wali.

Pada waktu isteriku memerlukan rempah ratus untuk dibuat ubat makan lepas bersalin anak ku yang pertama, kami pergi ke Kampung Belalang. Itulah kampung halaman Ayah Lan Wali yang tinggal berdua bersama ibunya. Tuan rumah tempat kami kunjungi itu mempamerkan dekorasi ruang tamu bercirikan orang yang berilmu dan beragama. Lalu aku tertarik untuk membuka sembang agama dengannya. Aku lantas menanyainya mengenai Ayah Lan Wali.

Dia menerangkan pada suatu masa dahulu, mereka sama-sama berguru dan mengamalkan zikir. Tapi Ayan Lan Wali menjadi agak berlainan. Bila berzikir, dia akan berzikir dengan kuat bagaikan orang lupa diri. Bila dia berzikir, dia akan menjadi asyek sehingga mengambil masa yang relatif lama. Dia juga selalu menyendiri, tidak suka bercakap dan bersembang, berseloroh atau bergurau-senda. Selain itu dia menjadi kian aneh, kerana suka mandi dalam air sungai sendirian di tengah-tengah malam tanpa khuatir kepada buaya atau apa-apa jua kemungkinan malapetaka yang menimpa. Oleh bawaan hidupanya yang ganjil itu, tuan rumah yang aku kunjungi itu dan rakan-rakannya menganggap Ayah Lan Wali adalah orang gila.Bawaan hidupnya dianggap tidak betul kerana mengabaikan jalan syariat. Jadi pada pendapatnya, Ayah Lan Wali adalah sesat.

Aku memiliki satu saat yang istimewa bersama Ayan Lan Wali dan itulah yang pertama dan terakhir. Ketika aku sampai, Ayah Lan Wali duduk di serambi rumahnya sendirian. Aku duduk betul-betul di sisi kanannya tapi sedikit ke belakang. Kawanku duduk di sisi kiri dan kanan hadapannya.Kami pergi bertiga. Serambi rumahnya penuh dengan berbagai-bagai benda yang tidak lagi berguna dan agak berserakan. Ibunya tidak ada pada waktu itu.

Aku memang telah difahamkan bahawa Ayah Lan Wali tidak berbual seperti orang biasa. Hanya sepatah dua sahaja dia berbicara. Yang banyaknya ialah bila ditanya:

’Betulkan ayah?’. Kalau betul, dia akan jawab:

`Hemmm..’, sambil mengangguk sedikit.Kalau tidak dia jawab:

`Bukan’ atau menggelengkan kepala. Bila dia meminta supaya sesuatu soalan itu diulangi, dia akan bertanya:

`Ha?’.

Jadi kawanku yang telah biasa dengannya sahajalah yang berbicara tentang persoalan-persoalan tertentu. Caranya ialah dengan memberikan cerita atau situasi terlebih dulu, kemudian minta pendapatnya samada bersetuju atau tidak.

Inilah keanehan Ayah Lan Wali. Dia bukan tidak mendengar, dia bukan pekak, bukan tuli tapi dia `menulikan’, bukan tidak bercakap, bukan bisu tetapi `membisu’. Ayah Lan Wali memang boleh bercakap seperti orang biasa. Tapi masalahnya ialah bila? Pada hari itu, aku mendapati Ayan Lan Wali bagaikan berada di dunia lain.Mindanya, hatinya bagaikan tidak ada bersama kami.

Keanehan lain ialah Ayan Lan Wali boleh duduk bersila bagaikan terpaku di lantai. Dia tidak begerak sedikit pun dari silanya selama kira-kira lebih satu jam bersamanya.. Dengan kata-kata lain dia tidak beralih sila, bagaikan tidak sedikit pun merasa penat dan lenguh. Cuma tubuhnya sahaja bergoyang perlahan-lahan ke depan dan ke belakang dengan kedua-dua belah tangannya di atas lutut.

Keganjilannya yang lain ialah mengenai rambutnya. Rambutnya berdandan, berpuntal-puntal bagai tali besimpul sampai ke bahu. Kelihatan tidak terurus. Pakaiannya berlapis-lapis dan nampak kusam dan lama. Aku tak pasti ada berapa lapis bajunya.Ada orang kata tujuh lapis. Sepatutnya dengan penampilan begini, kita tidak akan sanggup untuk duduk di sisinya. Tentulah berbau masam, hamis, hangit,hapak, busuk atau apa saja bauan yang tidak menyenangkan.Tapi percayalah saudara, dari tubuhnya ada satu aroma aneh yang tak pernah aku temui. Harum!

Aku teramat ingin untuk berbicara dengannya tapi aku tak pandai untuk bertanya.Lagipun dengan cara dia melayan perbualan dengan temanku, aku kehilangan cara untuk berbual atau bertanya.Entahlah.Mungkin mindaku telah terkunci. Sewaktu akan balik meninggalkannya, terdetak di hatiku untuk mengemukakan satu pertanyaan padanya.

`Tok Ayah terima sedekah?’

`Terimaaa...’, jawabnya lembut dan senyuman manis terukir. Dan itulah satu-satunya interaksi aku dengannya.

Keanihan lain ialah dia begitu kuat merokok. Dia menghisap Pall Mall. Sepanjang bersamanya pada petang itu, dia menghabiskan hampir sepuluh puntung!

Banyak keanehan yang diceritakan meniti dari bibir ke bibir mengenainya. Antaranya ialah dia pernah bersembahyang di tapak pasar lama di bandar dalam keadaan hujan turun dengan lebatnya. Tapi saudara, hujan tidak menimpanya.

Ketika adik angkatnya mati dalam kemalangan motorsikal, diriwayatkan dia tiba-tiba terjerit.

`Hah! Kena dah...Kena dah dia...’

Orang-orang kehairanan. Orang-orang tidak mengerti apa yang dimaksudkannya. Sejurus masa berlalu. Dia bagaikan sedang menyaksikan satu fenomena. Kemudian dia tiba-tiba bersuara pula.

`Huh! Mati... Mati dah....’

Bila sampai khabar kemalangan ke Kampung Belalang, baharulah orang tahu adik angkatnyalah yang mati. Dia menemui ajal dalam perjalanan pulang ke rumah dari Sekolah Kebangsan Batu 5. Dia bekerja sebagai tukang kebun di sekolah itu.

Hari kematian Tok Ayah Lan Wali memang ada kesah yang begitu menakjubkan. Dia ditimpa demam selama seminggu sebelumnya. Pada hari kembalinya dia ke pangkuan Ilahi, yang menakjubkan ialah orang-orang dari sejauh Perlis, Johor, Melaka,Kelantan, pada pagi-pagi hari telah pun sampai ke Kampung Belalang, sedangkan hebahan kematiannya belum lagi tersebar di kampungnya sendiri!

`Itulah rahsia hakikat dan makrifat’, Tok Penghulu Malim menerangkan bila aku meluahkan keajaiban itu.

`Anak-anak muridnya ada di pelbagai tempat di seluruh Malaysia’

`Ertinya Abang Malim’, aku mencelah.`Orang-orang yang berada pada martabat tersebut seperti Ayah Lan Wali, boleh mengajar atau memperturunkan ilmu kepada anak-anak muridnya di mana-mana saja?’

`Memanglah!’

`Tapi bagaimana?’, isteriku pula ketakjuban.

`Dia boleh sampai kepada anak-anak muridnya dengan cara hakikat. Dan dia boleh sampai ke mana-mana secara pantas’

`Macam Mat Kilaukah?’, aku lantas teringat kesah Mat Kilau yang dikatakan tiba lebih dahulu berbanding orang-orang lain yang menaiki kereta ke Singapura, bila diadakan satu keperluan/mesyuarat di sana pada kurun yang lalu.

`Mat Kilau berjalan pantas. Ayah Man boleh ghaib dan terus tiba!’

Tok Penghulu Malim nampak cukup ceria dengan berita yang disampaikannya itu. Kemudian dia menyambung.

`Sebab itulah anak-anak muridnya telah tahu lebih awal mengenai kematiannya sebelum orang-orang Kampung Belalang sendiri tahu’

Kami berdua mendengar dengan rasa takjub.

`Tentulah pemberitahuan secara rohani agaknya’, aku membuat andaian.

`Ya! Dan kadang-kadang dia datang sendiri’

`Bagaimana dia pergi?’

`Orang macam ini nampak saja dia berjalan kaki macam orang biasa. Tapi yang sebenarnya dia boleh saja dilihat berjalan pada masa yang sama di beberapa tempat’

`Bagaimana?’, isteriku begitu kaget.

`Inilah rahsia diri. Awak tahu diri manusia, ada berapa diri?’

Aku menggeleng-geleng.

`Ada berapa martabat roh?’

Aku juga menggeleng-geleng.

`Orang makrifatullah mengenali semuanya ini. Lalu terbukalah hakekat. Pernah baca sejarah Haji Ab. Rahman Limbung sewaktu berperang dengan Inggeris di Terengganu pada zaman penjajah dahulu?’

Aku tidak tahu pula sejarah itu.

`Dia dilaporkan berada pada tiga tempat dalam situasi yang berbeza pada masa yang sama. Orang-orang kampung melihat dia berseru:’Bangkit! Bangkit! Mari berperang melawan Inggeris! Mari!!’, sedangkan isterinya mengesahkan dia tidak ke mana-mana pada hari itu. Dan dirinya yang lagi satu berada di tempat lain, juga membangkitkan semangat perjuangan’.

Aku sedikit terpegun.

`Maknanya ada tiga diri’

`Orang pada martabat ini menyaksikan dirinya ada tiga hingga tujuh diri’, Tok Penghulu Malim menerangkan seterusnya. Dan Tok Penghulu Malim terus tersenyum lebar, sambil membongkar satu rahsia lagi, rahsia yang tersangat besar apabila dia berkata:

`Dan diri saya yang sedang berada di kerusi mengalami kesemua pengalaman seumpama itu serentak’

`Abang Malim pernah mengalami?’, isteriku sangat terkejut dengan maklumat itu lalu cuba menggali rahsia.Aku pun sangat terkejut juga.

Tok Penghulu Malim makin melebar senyumannya.

`Pada petang itu saya berada di kerusi inilah. Yang satu lagi menaiki Trooper ke Sungai Serampang dengan Encik Sarif kerani Pejabat Daerah. Yang satu lagi pergi memikat terkukur di Kampung Lenggur’

Kami berdua kian terpegun. Tok Penghulu Malim tersenyum senang. Informasi paling rahsia mengenai dirinya telah dibukakan kepada kami. Wah! Kami berasa sungguh bertuah. Kamilah orang yang paling bertuah!

`Selain itu, kalau awak esok-esok sampai ke martabat ini jangan suka-suka lalu di tanah perkuburan’

`Kenapa?’, kami suami isteri bertanya serentak. Amat terkejut.

`Ebbe’, Tok Penghulu Malim merujuk kepada anak perempuannya yang sedang mengadung tiga bulan itu.`Suatu hari dia beritahu, dia tak mahu pergi lagi ke kubur. Dia takut!’

`Kenapa?’

`Banyak sangat suara merayu meminta tolong darinya!’

`Meminta tolong?’

`Ya!’, tegas suara Tok Penghulu Malim.

`Kenapa?’

`Siksaan kubur! Banyak sangat yang kena siksaan kubur. Sebab itulah mereka meminta tolong!’

`Nak tolong macam mana?’

`Ha Itulah....Aruah Ustaz Derus yang meninggal dunia baru-baru ini’.

`Ustaz Derus di Kampung Lenggur?’

`Awak kenal tak?’

Aku ditanya.

`Kenal!’, aku menjawab.

Memangah aku kenal. Dia seorang ustaz bersebelahan dengan kampungku dulu tapi telah berpindah ke Lenggur. Dia adalah salah seorang ustaz yang menjadi rujukan agama bagi orang-orang kampung. Jadi imam, jadi wali hakim dan memimpin zikir tahlil di tanah perkuburan.

`Dia merayu pada saya. Tolonglah.....katanya...’

Kami merenung wajah Tok Penghulu Malim bagaikan kurang percaya.

`Tapi nak tolong macam mana....?’

Kami – atau aku sendiri tentunya – makin bertambah takjub dengan keistimewaan orang yang telah mencapai martabat hakekat dan makrifat ini. Belum pernah lagi selama ini aku menemui orang seperti Tok Penghulu Malim ini. Aku mengucapkan syukur kerana dipertemukan dengan Tok Penghulu Malim dan mengharapkan akan terus dapat menghirup sebanyak-banyaknya ilmu darinya dan dapat mengetahui sebanyak-banyaknya pengalaman rohaninya.

`Kalau awak berdua mahu mencapai taraf ini’, dia melanjutkan apabila melihat wajah kami yang sangat mengaguminya.`Awak kena ambil zikir’

`Zikir?’

`Ya! Zikir Tarekat Muhammadiah’

`Dari Abang Malim sendiri?’

`Saya tidak menurunkannya lagi.Awak pergi terima dari Cikgu Zan’

`Dia tinggal di mana?’

`Desa Mulia, Jalan ke ....

`Jauhnya!’, aku bagaikan memprotes. Aku tahu jaraknya melebihi 150 km.`Kalau dengan Abang Malim saja apa salahnya!’

`Tak boleh dah.Sebab amanah sebagai guru telah diberikan kepadanya. Itu tugas martabat guru’

Aku diam dan faham sekarang. Tok Penghulu Malim rupa-rupanya telah berada pada martabat yang lebih tinggi.

`Selain dengan saya, dengan Cikgu Zan pun awak kena belajar. Awak kena mula dari bawah. Belajar betul-betul darinya sebab dia akan jadi guru awak. Dan awak juga perlu mencari orang-orang lain yang ada `jalan ini’’.

`Siapa? Saya tak kenal?’

`Dengan Ayah La di Bukit Tempayan, boleh juga! Cikgu Zan selalu ke sana’

Aku diam.Tapi di hati ada keazaman untuk mengenali kedua-dua orang yang diwar-warkannya itu.