31 Oktober 2009

34

PAK HABIB

Pak Habib masuk ke ruang dalam rumahnya.Tinggallah aku bersama isteri dan anak-anak di ruang tamu. Kami menikmati bunyi unggas-unggas peliharaannya.Berbagai-bagai bunyi dan irama menghiasi suasana pagi di rumahnya. Yang paling riuh ialah bunyi burung tiung emas yang sentiasa mengucapkan `assalamualaikum’ dan beberapa perkataan lain atau ayat dan kalimat-kalimat yang tidak menentu. Ada satu bunyi yang paling mengganggu perasaan iaitu bunyi orang berkahak di bilik air.Hingga terasa loya dibuatnya.

`Kebetulan...’, Pak Habib menerangkan.`Orang tua rumah di depan itu, kena batuk...Acapkalilah dia masuk ke bilik air...’

Dan Pak Habib ketawa dengan kesah itu kerana itulah di antara bunyi-bunyi yang dihafal oleh burung tiung emas kesayangannya. Nada suara Pak Habib ternyata sedikit kesal dengan rakaman suara itu. Tapi apa nak dikata lagi.

Anak tiung emas itu sebenarnya sedang cedera dan patah kakinya ketika dia memungutnya di pinggir sebuah hutan. Dia ditimpa satu kemalangan oleh ribut di sebuah rimba. Pak Habib merawatnya sehingga pulih sepenuhnya.

`Semua burung yang ada ini memberi makna mengenai keadaan tetamu yang datang’, Pak Habib memberikan informasi.

`Bila bising dan riuh-rendah bunyinya, ertinya tetamu datang dengan membawa banyak masalah mistik.Semakin bermasalah, semakin bising bunyinya’

Di ruang tamu rumah Pak Habib itu, terpampang satu potret besar hasil lukisan Pak Habib sendiri.Menurutnya lukisan tersebut adalah mengenai wajahnya pada usia kira-kira 15 tahun lebih muda berbanding usia sekarang.Pak Habib berbakat besar dalam seni lukisan kerana ada beberapa buah lagi hasil lakaran abstraknya di letakkan di dinding. Lakaran abstrak itu memiliki makna tersendiri dalam sufisme. Aku bersama isteri boleh menganalisisnya.

Adik iparku mengatakan nama Pak Habib dalam bidang lukisan dikenali bukan sekadar di peringkat nasional, tapi bahkan sehingga sampai ke persada antarabangsa.

`Cuba perhatikan potret itu’, isteriku berkata.

`Kenapa?’

`Serupa tak?’

Aku mengamati potret besar Pak Habib. Tapi aku tidak menyelami maksud isteriku.

`Serupa tak dengan orang yang abang temui di dalam mimpi itu?’,isteriku melanjutkan.

Aku lantas teringat kepada mimpiku. Memang! Memang! Inilah orangnya. Kira-kira sebulan yang lalu aku telah bermimpi bertemu dengan seorang lelaki yang nampaknya masih muda, rambutnya sedikit panjang, berkulit agak cerah, berbadan tidaklah terlalu kurus, dan lebih tinggi sedikit berbanding denganku. Orangnya sentiasa mengembara dari satu destinasi ke satu destinasi, dan di dalam mimpi itu menggambarkan pada ketika ini dia sedang berada di tempatku.Orangnya penuh dengan ilmu di dada dan kalau aku mahu, boleh juga aku belajar dengannya.Aku cukup berkenan dengan orang tersebut kerana dia serasi dan boleh dijadikan teman. Ada terusik sedikit rasa rindu kepadanya dalam mimpi itu.

Kira-kira hampir satu jam yang lalu, kami telah bersimbang dan sebagaimana biasa aku akan dihidangkan dengan kesah-kesah lalu mengenai seseorang yang baru aku temui. Jalan hidup Pak Habib sejak dahulu sehingga sekarang, menurut apa yang diceritakannya, nampaknya serupa benar dengan apa yang tergambar di dalam mimpiku.Pada masa dahulu dia selalu mengembara ke beberapa tempat di luar negara, tetapi kini dia hanya pergi ke England sahaja kerana menguruskan hartanahnya di sana. Dia bekas tentera dan pernah teruji ilmunya sewaktu bertempur dengan kuminis.

`Betul! Betul’, aku menjawab soalan isteriku dan secara tiba-tiba pada ketika itulah sekujur tubuhku terasa lain. Roma di kedua-dua lenganku meremang secara tiba-tiba dan aku menunjukkan kepada isteriku, betapa bulu roma di lenganku yang tegak berdiri, sementara liang roma di kulitku keluar bintik-bintik halus. Aku tidak tahu kenapa jadi begitu.

Bermula sebagai seorang anak muda yang suka bermusafir ke sana-sini terutama ke Singapura dan Indonesia, dan di pelbagai tempat di dunia dalam kehidupan yang agak kurang terkawal, Pak Habib menempuh revolusi jiwa dan anjakan paradigma, sewaktu membuat umrah. Dia bermimpi bertemu dengan moyangnya yang bertaraf aulia, dan dari situlah dia terasuh di dalam mimpi sehingga memiliki ilmu yang penuh di dada - ilmu Tasauf, perubatan dan kebatinan.

Mempunyai hubungan yang erat dengan pihak istana terutama Sultan Selangor, Johor, Pahang dan Berunei. Ramai dari kalangan Habib dan Syed yang memiliki nama yang tersohor di tanah air memiliki hubungan darah yang rapat dengannya. Kebanyakannya sepupu dan dua pupu dengannya.

Sebenanya nama Pak Habib sudah lama aku ketahui.Adik iparku memiliki hubungan yang rapat dengannya oleh urusan perubatan. Namaku dan isteri dirujukkan terlebih dahulu kepada Pak Habib oleh adik iparku, dan bila Pak Habib bersetuju, baharulah kami diizinkan untuk mendapatkan khidmat kepakarannya dalam perubatan.

Sesungguhnya sakit zaman berzaman yang aku tanggung masih juga belum reda. Aku telah berikhtiar menempuh perjalanan beribu kilometer untuk menghilangkan bisa di pinggang, sehinggalah sampai kepada Pak Habib. Aku bertekad kalau masih belum pulih juga, aku mungkin tidak mahu berusaha lagi.Bukan berputus asa tetapi inilah barangkali yang mungkin telah ditakdirkan untukku yang tentunya ada hikmahnya yang tersendiri dariNya.

Pak Habib kemudiannya keluar semula, tapi sekadar meminta aku dan isteriku untuk masuk ke ruang dalam rumahnya.Kemudiannya kami terus ke bilik air. Aku bersama isteri diminta mandi mengikut syarat yang telah ditetapkan. Ada bacaan-bacaan tertentu dan kaedahnya yang tersendiri yang perlu kami patuhi. Isteriku melakukan upacara mandi bunga dengan bantuanku sementara Pak Habib membantuku bila aku pula perlu mandi. Di atas kepalaku diletakkan sehelai kain kuning sepanjang satu meter dan air dijiruskan ke atasnya oleh Pak Habib. Ada bunga-bunga tertentu yang telah aku lupa berapa jenis semuanya, yang terdiri dari pelbagai warna yang direndam di dalam satu bekas besar yang telah disediakan.

Bila siap kami diminta masuk ke sebuah bilik lain dan di sana kami berdua diurut dan dibedah secara kebatinan. Aku amat menyanjung tinggi di atas kesopanan Pak Habib meminta izin dariku untuk setiap kali menyentuh sekadarnya pada beberapa bahagian tertentu pada tubuh isteriku iaitu pada bahagian tengkuk, tulang kipas dan pinggang.

Apabila dia mohon memegang atau menyentuh sesuatu bahagian Pak Habib akan sentiasa berkata:

`Maafkan Pak Habib, Din, izinkan Pak Habib memegang belakang isteri Din’

`Maafkan Pak Habib, Din, Pak Habib nak tekan .....’

Aku sungguh merasa selesa oleh bahasanya yang sangat hormat dan sopan itu.

Kami suami-isteri sebenarnya tidak merasa apa-apa kesakitan semasa rawatan kebatinan itu walhal Pak Habib mendakwa pisau ghaib di tangannya telah memotong organ-organ atau tulang dan sendi tertentu pada badan kami.

Apabila semuanya telah selesai, kami keluar kembali ke ruang tamu. Semuanya duduk di kerusi masing-masing. Pak Habib pun berkata kepada ku:

`Din, awak kena cari keturunan awak’

Aku tercengang.

`Awak kena ambil tahu dari mana asal mulanya’, Pak Habib berkata lagi.

Aku masih betul-betul tercengang. Keturunanku memang aku tidak tahu. Pada masa kedua-dua ayah bondaku masih hidup aku memang pernah terdengar bualan-bualan mereka mengenai kesah-kesah silam berkaitan dengan keturunanku.Itu waktu aku masih budak-budak dan aku tidak meminatinya. Aku kadang-kadang menjadi pelik terutama bila ibu suka mengorek mencari titisan waris yang hilang, dan bila susur-galur diselidiki, memang jelas mereka adaah waris yang sah yang telah terpisah sejak beberapa generasi.Bila aku telah menjadi anak muda dan bekerja, aku banyak berada di perantauan dan tidak langsug mempedulikan soal jurai keturunanku di sebelah atas. Bila ibu bapa telah tiada, baharulah isu keturunan timbul tetapi aku tidak lagi dapat menemui sesiapa yang sebaya dengan mereka kerana semuanya telah meninggal dunia.

Cuma yang aku ingat dengan pasti, moyangku memang pernah menjawat jawatan Orang Besar Berempat tetapi meletakkan jawatan apabila dilanda krisis dengan Sultan pada zaman yang lalu. Moyangku sangat kecewa dan kecil hati oleh satu perlanggaran adab terhadap keluarga oleh Sultan yang memerintah. Sejak krisis itu moyangku lari dari kebesaran istana sehingga pada zaman aki, iaitu ayah kepada ayahku memberi amanat jangan sekali-kali anak-anak cucunya berdekatan dengan Istana! Dia tidak rela!

Aki di sebelah emakku pula, yang merupakan sepupu kepada aki dari belah ayahku, pada suatu ketika diperlukan oleh Inggeris untuk menjadi peon (budak pejabat). Dalam satu ujian menulis angka satu, akiku itu boleh menulis dengan tegak mengalahkan adiknya yang menulis huruf tersebut bengkang-bengkok.Itulah ujiannya. Lalu akiku di bawa ke Kuala Lipis dan bekerja dengan gaji $15.00 sebulan di pejabat Residen Inggeris. Tetapi akiku hanya bekerja selama tiga bulan sahaja kerana lebih suka duduk dalam kehidupan hutan.

Aku tidak tahu apakah rahsia sebenarnya akiku meninggalkan jawatannya. Tapi mungkin juga bersabit dengan krisis pada zaman moyang.Sejak itu keturunanku menjadi penghuni belantara nun jauh di pedalaman.

Kalau kedua-dua akiku tidak lari dari dunia kebesaan dan kemuliaan dunia, besar kemungkinan aku dan adik-beradikku merakamkan sejarah kehidupan yang berbeza.Apa pun aku amat bersyukur di atas takdir Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Demikianlah agaknya sebab Pak Habib meminta aku memakai kain kuning sewaktu upacara mandi bunga yang bermaksud membuang saka. Anak lelakiku yang akan berkhatan tidak lama lagi, dipesan oleh Pak Habib supaya dipakaikan dengan kain pelikat yang mesti berwarna kuning juga, atau kalau tak ada warna kuning, mesti ada di antara warna-warnanya, warna kuning.Dia membayangkan kalau tidak ada warna kuning, dikhuatiri.....

Pak Habib lantas menceritakan dia pernah pergi sehingga ke Hadralmaut untuk mengesan jejak keturunannya yang sekarang bertebaran di seluruh pelusuk Alam Melayu. Dia juga telah menjelajah ke beberapa tempat di Indonesia untuk mengesan keturunan dan kini telah memiliki sejarah yang panjang dan jelas mengenai penglibatan keturunannya dengan golongan istana Raja-Raja Melayu. Pak Habib kemudiannya menunjukkan buku keturunan beliau sehingga sampai kepada Junjungan Mulia Rasulullah saw dari satu jurai, dan jurai yang lagi satu sampai ke Greek Yunani yakni bapa atau moyang kepada Iskandar Zulkarnaen.

Pada pertemuan yang lain, aku mengharapkan Pak Habib dapat berkongsi maklumat mengenai ilmu dan sejarah Tok Lat; apakah sejarah tersebut boleh dikongsi bersama? Apakah ilmu Tok Lat adalah ilmu yang benar-benar sakti dan kenapa setelah bertahun-tahun mengamalkannya, belum ada sedikit pun tanda kesaktiannya? Kenapa anak-anak muridnya yang lain terutama Tok Penghulu Malim semakin bertambah ampuh dan hebat? Kenapa dengan aku ilmu Tok Lat bahkan ilmu Tok Ayah Sohor juga menjadi tawar? Apakah salahku? Apabila menyebut nama itu, Pak Habib pun berkata.

`Tentang Tok Lat, kita letakkan noktah sahaja’

Ada dua maksud menurut kefahamanku.Pertama Pak Habib tidak mahu membicarakannya. Aku tidak tahu kenapa. Apakah dia memang betul-betul mengetahui siapakah Tok Lat dan tahu juga sejarah tentangnya tapi tidak mahu membicarakannya? Aku tidak tahu. Kemungkinan kedua, mungkin Pak Habib meminta aku menamatkan perhubungan dengan Tok Lat. Tok Lat yang aku amat kagumi sewaktu mengenalinya pada peringkat awal dahulu, kini menjadi satu bebanan yang membawa kecelaruan minda buatku. Semakin hari aku terasa semakin keliru dengannya. Aku tidak pasti apakah maksud Pak Habib yang sebenar, tapi entah mengapa bila dia menyuruh aku meletakkan noktah, aku tiba-tiba bagaikan tidak ada lidah untuk bertanyakan apa-apa mengenai Tok Lat.

Sayangnya tempoh persahabatan dengan Pak Habib tidak lama. Pak Habib sebenarnya menerima banyak cabaran dalam tugas perubatannya. Terlalu banyak serangan-serangan kebatinan kepadanya oleh ikhtiarnya membantu dan merawat pesakit sehingga ada juga serangan yang terbolos. Dia menunjukkan bekas-bekas serangan di betisnya dan di antara yang terbaharu ialah bekas tusukan sebilah keris kecil di bahagian atas antara kedua keningnya. Terpacak keris kecil di situ pada waktu terkena serangan itu.

Aku mula menyedari Pak Habib telah mulai lemah tetapi dia tetap mendakwa dia telah berjaya menghadapinya dengan sempurna dan telah pulih dari serangan tersebut. Tetapi naluriku memberitahu bahawa Pak Habib tidak mahu mengaku, bahawa dia sebenarnya sudah kurang berdaya dan memang belum pulih sepenuhnya dari bencana serangan tersebut. Aku cukup bersimpati dengannya.

Kesah Pak Habib terseret ke dalam mimpi rupanya. Pada suatu malam, tiba-tiba menjelma satu makhluk di dalam mimpiku. Aku lantas memarahi makhluk itu yang nampak tubuhnya hitam setinggi lebih dari sepuluh kaki. Makhluk itu lantas meludah kepadaku bagaikan satu semburan dari sebuah paip air. Aku undur beberapa tapak untuk mengelak dari terkena air ludahnya. Aku tiba-tiba rasa bagaikan tercabar dan terangsang untuk menentangnya, tetapi batinku memutuskan, aku jangan mencampurinya sebab ini bukan urusanku.

Pak Habib ternyata semakin merosot kesihatannya lalu pada suatu hari aku bersama isteriku dan juga adik iparku menziarahinya untuk kali kedua. Ketika itu Pak Habib hanya banyak berbaring. Walaupun sakit, tapi dia nampak tabah dan ceria.Ketika akan berpisah, Pak Habib menggenggam tanganku bagaikan tidak mahu dilepaskannya. Kepalanya bagaikan terangkat-angkat semasa bergengaman tangan itu. Aku lalu memahami dia bagaikan meminta aku menciumnya. Lalu aku memberikan ciuman persahabatan di pipinya. Tanganku tetap digenggam erat bagaikan tidak mahu dilepaskannya. Aku tahu perasaannya tersangat sebak dan dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mengawal dirinya, tetapi ternyata rahsia jiwanya tetap terbongkar jua, apabila matanya bergenangan.

Aku tidak dapat menggambarkan perasaanku ketika itu.Mata aku juga bergenangan. Aku bagaikan terasa, ada satu rahsia besar yang disimpan oleh Pak Habib tetapi dia tidak boleh membocorkannya kepadaku.Isteriku juga merasakan demikian.

Itulah pertemuan terakhir dengannya bila pada suatu hari adik iparku menghantar berita sedih bahawa Pak Habib telah kembali ke Rahmatullah Taala.

Al Fatehah...Semoga Pak Habib mendapat rahmat dan keampunan dari Allah Rabbul Alamin.

26 Oktober 2009

33. AKI ANJANG PENYADAP

Janjiku dengan Anjang untuk berkunjung ke rumahnya memang segera aku tunaikan. Pada suatu cuti hujung minggu yang berkembar dengan satu cuti lain, aku bersama isteri dan anak-anak bertolak ke Tembesu Paya – perjalanan sejauh melebihi 200 kilometer.

Apabila sampai di rumahnya, isterinya sedang memasak air kabung di sabak.Tercengang-cengang isterinya kerana tidak kenal. Bila aku menyebut nama Tok Lat, dan kesah pertemuan dengannya di rumah Tok Lat, baharulah air mukanya berubah menjadi berseri-seri. Dia ternyata cukup gembira dengan ketibaan aku anak-beranak. Maklumlah kami adalah anak-anak buah yang amat rapat dengan Tok Lat.

Pagi itu aku sekeluarga dihidangkan dengan air nira kabung mentah yang begitu enak rasanya. Telah berpuluh tahun lamanya aku tidak menikmati air kabung.Pada masa kecil-kecil dahulu, ayahku juga adalah seorang penyadap kabung. Jadi minum air nira kabung yang masih mentah adalah suatu yang sangat lazim pada masa itu. Aku terasa begitu gembira bila mendapati Anjang mengusahakan nira kabung. Selain boleh meminum airnya, tentulah aku juga boleh dengan mudah mendapatkan bekalan gula kabung dan nisannya.

Anjang dan isterinya Mak Su Wandah, agak terkilan kerana Tok Lat tidak dapat ikut serta. Tok Lat pada mulanya seperti biasa, memang begitulah, beria-ia meyakinkan akan pergi, tapi bila tiba saatnya, ada pula halangan dan alasannya. Aku memang sentiasa kecewa dengannya, tapi hal ini terpaksalah aku telan sendiri.

Pada awal malam, iaitu pada kira-kira jam 9.00 malam, Anjang dikunjungi oleh sebuah keluarga yang anaknya memerlukan rawatan kerana gangguan histeria. Malam itu adalah Isnin malam Selasa. Aku sedikit kecewa kerana Anjang tidak boleh melakukan perubatan pada malam itu kerana dalam satu minggu ada dua malam Anjang tidak melakukan perubatan iaitu Isnin malam Selasa dan Rabu malam Khamis. Aku begitu terkejut dengan syarat perubatan yang diamalkan oleh Anjang sehingga tetamu yang datang ke rumah dengan penuh harapan pulang begitu sahaja dengan kecewa.

Ada satu lagi keganjilannya iaitu tidak boleh makan apa jua jenis makanan laut. Ini katanya bersumber dari kesah Nabi Yunus as yang telah diselamatkan dari mati lemas di dalam perut ikan.Tidaklah aku tanya, apa kaitan mereka dengan kesah tersebut sehingga ikan dan semua makanan laut, menjadi bagaikan haram buat selama-lamanya bagi Anjang dan semua anak-anak buahnya.

Sekitar pukul 10.00 malam, rumah Anjang dikunjungi pula oleh sejumlah anak-anak muda. Mereka tidak masuk ke dalam rumah, tapi terus sahaja berkumpul di suatu tempat. Bila aku bertanya, apa urusan mereka, Anjang tidak menjawab tapi mempelawa aku pergi ke sana. Rupa-rupanya anak-anak muda tersebut datang untuk berlatih pencak. Wah! Guru silat rupanya Anjang ini. Aku cuba mengesan dari Mak Su Wandah berkenaan silat tersebut. Mak Su Wandah menerangkan silat tersebut adalah silat semulajadi iaitu berasaskan sifat semulajadi kedatangan gerak kepada pesilat – aku tak pasti nama rasmi silat tersebut.Semua adik-beradik Anjang termasuk Mak Su Wandah sendiri mengamalkannya. Tujuannya menurut Mak Su Wandah adalah untuk perang di akhir zaman.

Hampir satu jam kemudian, baharulah aku bersama isteri dan anak-anak menuju ke gelanggang bersama Mak Su Wandah.Aku sebenarnya telah agak terangsang sejak beberapa ketika sebelumnya kerana mendengar riuh-rendah bunyi latihan dan pertarungan.Aku berdiri sejarak lima belas kaki dari tepi gelanggang bersama anak-anak dan isteri, melihat anak-anak murid Anjang sedang berlatih. Tidak ada gendang, gong, atau tiupan serunai. Yang kedengaran ialah bunyi menderam, dengusan dan sebagainya dari pesilat yang diserapi oleh kuasa semulajadi. Guru kaka sibuk mengawasi mereka.

Pada ketika itu aku tidak tahu ke mana perginya Anjang sebab dia tidak ada di gelanggang.Latihan sebaliknya dilakukan oleh guru kakanya sahaja.Melihat persilatan itu, tahulah aku bahawa persilatan berkenaan adalah persilatan yang bercampur dengan unsur lain.Maklumat tambahan kemudiannya, aku dimaklumkan oleh orang kanan Aki Anjang, yang aku panggil Aicik Mat Yamin, seseorang pesilat yang telah mencapai jiwa yang tinggi akan meninggalkan silat kehaiwanan lalu memperolehi taraf persilatan yang tinggi sampai kepada martabat silat kewalian.

Pukul 12.00 malam baharulah dapat bersimbang dengan Anjang. Anjang tiba-tiba membahasakan dirinya Aki kerana mengakui bahawa aku dan isteri adalah dari keturunannya. Pada siangnya sewaktu bersama Mak Su Wandah, aku telah menyebutkan nama-nama orang terdahulu yang aku percaya ada pertalian darah denganku. Mak Su Wandah lantas mengingatkan:

`Kalau menyebut nama-nama Dato Bahaman atau Mat Kilau ataupun nama Moyang, kalau bukan dari keturunan mereka, sekadar mendakwa sahaja, Anjang akan bertempik’.

Pada ketika itu Mak Su Wandah sedang memerun kayu-kayu api ke dalam lubang sabak yang apinya agak kurang marak.

`Mengaku keturunan Pawang Nong pun tak boleh’ Mak Su Wandah berkata dengan yakin.

`Bertempik juga?’

`Bertempik! Kalau bukan...’

`Habis apa yang berlaku?’

`Orang itu balik ajelah.Tak berani’

Siang tadi aku risau juga takut kalau-kalau Anjang bertempik. Tapi naluri nakal di hatiku, mahu juga aku melihat dia bertempik.Mahu juga aku saksikan apa yang akan berlaku kalau dia bertempik.

Malam ini nama-nama tersohor berkenaan disembat lagi sepintas lalu, dan ternyata Aki Anjang tidak bertempik. Sebaliknya tiba-tiba sahaja, aku bersama isteri dibahasakan dengan gelaran cucu. Aku memanglah gembira kerana tanpa terduga boleh bertemu ramai pula waris di sini.

Seperti biasa, bila bertemu dengan orang-orang makrifat, bicara yang akan disentuh ialah berkaitan dengan ilmu Tasauf dan ketuhanan. Setelah lebih dari satu jam berbual, Aki Anjang tiba-tiba berkata:

`Cucu, bila naik darjat nanti, akan tinggi daripada aki’

Aku tidak berkata apa-apa. Seronok pun tidak, terkejut pun tidak. Kalau Aki Anjang sangat memandang tinggi kepada Tok Lat dan Tok Ayah Sohor, apalah yang hendak dihairankan kenyataannya demikian, kerana Tok Lat dan Tok Ayah Sohor bagaikan telah menyerahkan seluruh ilmu mereka kepadaku dan bahkan dijanjikan akan menjadi pengganti mereka pula apabila sampai masanya nanti.

`Tapi syaratnya kenalah belajar dengan aki’, aki berkata seterusnya.

`Maksud aki?’

`Kena ambil juga walaupun sepatah perkataan dari aki’.

Aku tidaklah pula tahu apakah sebabnya mesti juga perlu belajar dengannya. Barangkali kerana tarafnya yang tua – lapisan tua dari keturunan. Aku tidak pasti. Dan memang aku benar-benar mengambil beberapa munafaat dari aki kemudiannya. Jarak rumahnya yang dekat dengan tempat aku bekerja menyebabkan aku ada kesempatan untuk pernah tidur beberapa kali di rumahnya dan bertolak pulang semula sebelum subuh.Kemuncak penganugerahan ilmu ialah aku termasuk sebilangan kecil yang terpilih oleh aki untuk menerima ilmu yang hanya boleh dianugerahi hanya sekali dalam setahun.

Aku memang agak terkejut bilamana pada suatu hari Aicik Mat Yamin iaitu adik ipar aki, merupakan salah seorang orang yang pergi ke rumah Tok Lat tempoh hari, bagaimana dia begitu tepat dapat menemuiku di tempat kerjaku, walhal dia tak pernah sampai pun ke tempat aku bekerja. Ketika aku menuju ke kereta untuk satu keperluan, ketika itulah dia sampai dengan motosikalnya di tepi jalan di dalam kampus dan terus memberhentikan motornya dan mula mengecamku. Aku pada mulanya tidak kenal dia, kerana mukanya ditutupi oleh cermin topi keledar.

`Aki Anjang kirim salam’, dia membuka bicara sebaik-baik sahaja motornya tiba di sisi keretaku. `Aki meminta Cikgu pergi ke rumahnya pada malam ini juga’.

Aku cukup terkejut lantas bertanya.

`Kenapa?’

`Malam ini adalah malam yang satu-satunya malam dalam bulan Ramadhan tahun ini, untuk Aki Anjang menganugerahkan ilmu’

`Kenapa malam ini?’, aku sebenarnya menjadi sedikit tertekan oleh sesuatu yang tidak dirancang.

`Malam ini adalah malam Jumaat bulan purnama’

`Anugerah ilmu...’,aku berkata sendirian.`Untuk siapa?’

`Untuk yang terpilih. Saya ditugaskan oleh Aki Anjang untuk mempelawa Cikgu menerima ijzah ilmu tersebut’

`Aki yang pilih? Aki pilih saya?’, aku tidak tahu pertanyaan itu adakah pertanyaan gembira atau terkejut.

`Sebenarnya bukan aki. Tapi Moyang. Moyang sendiri Cikgu. Moyang sendiri yang pilih Cikgu dan yang akan menganugerahkan nanti’

`Moyang?’, aku terkejut.` Moyang sendiri akan menyerahkan ilmu nanti? Bagaimana? Moyang datang ke Tembesu Payakah?’, bertubi-tubi soalan aku hamburkan.

`Tidak! Maksudnya... Moyang datang pada aki’

Dan baharulah aku faham. Aki memang didampingi oleh Moyang dan Moyang akan berinteraksi dengan sesiapa sahaja melalui jasad aki.

Aicik Mat Yamin lalu memberitahuku supaya segera mendapatkan sepasang pakaian sembahyang atau jubah, biji tasbih, kopiah dan surat Yasin untuk keperluan menerima ijazah. Aku lalu bertanya ilmu apakah yang bakal dianugerahi. Aicik Mat Yamin menjelaskan bahawa ilmu tersebut adalah ilmu yang meliputi seluruh keperluan untuk diri sendiri dan nantinya akan melahirkan murid-murid dalam persilatan, perubatan, perurutan yang berasaskan ketuhanan. Ilmu-ilmu berkenan akan datang sendiri nanti iaitu setelah mendapat ijazah dari Moyang. Ilmu yang bakal dikurniakan nanti seolah-olah raja segala ilmu.

Bila Aicik Mat Yamin telah pergi, aku menjadi sedikit serba-salah. Syarat tidak boleh makan makanan laut menyebabkan aku bertambah serba-salah. Tergerak juga di hati ini untuk sekadar menerimanya sahaja, tapi tidak usah mengamalkannya. Lantas aku meminta pandangan isteri. Isteriku memberikan pendapatnya yang sentiasa sesuai diakuri.

`Tak usahlah’

Aku tahu isteriku agak ragu-ragu mengenai perjalanan sejauh ini - setelah mendekati sepuluh tahun bersama Tok Lat, Tok Ayah Sohor dan kini Moyang pula.

`Kalau sekadar ambil sahaja, tapi tak usah amalkan...’, aku membuat cadangan.

`Tak usahlah. Bila sudah terima, sudah tentu abang diikat oleh ikrar. Ingat, apa jadi pada aki dulu bila engkar?’

`Tapi ingin juga nak kenal Moyang!’, aku masih terkilan.

`Tak payahlah! Entah apa-apa itu! Entah siapa-siapa!’

Nama Moyang adalah nama besar yang disebutkan oleh Tok Lat.Moyang tinggal di Endau dan telah pernah dikenali oleh Tok Penghulu Malim kerana Moyang pernah tinggal beberapa ketika di dalam bilik tingkat atas tempat simpanan pelbagai khazanah lama di rumah Tok Penghulu Maliki (Rujuk Bab 18:TOK PENGHULU MALIM BERTEMU NABI IBRAHIM?).Tok Empat Zanum pun pernah bertemu sewaktu Moyang berkunjung ke Sungai Serampang. Aku sendiri pernah pada satu waktu dahulu mencarinya di Kampung Jawa, sewaktu bertugas di luar pejabat, tapi hairan bin ajaib, sampai dekat Maghrib pun aku tidak dapat mencari rumahnya.

Isteriku mencadangkan supaya aku membuat helah memberitahu Aki Anjang, Tok Lat tidak membenarkan aku menerimanya lagi, kerana Tok Lat mencadangkan supaya aku sempurnakan terlebih dahulu amalan semua ilmu-ilmu yang telah aku terima darinya.

Aku tidak pasti apakah yang akan terjadi kepadaku seandainya aku bersetuju menerima ilmu tersebut kerana Moyang adalah watak paling ampuh berbanding dengan watak-watak yang lain-lain sebelum ini. Yang jelas,kalau aku menerima juga ijazah ilmu tersebut, aku tentu tidak lagi boleh makan ikan sungai dan laut, termasuk udang, kerang, ketam, sotong dan sebagainya.

Kami – aku, isteriku dan aki – bersimbang sehingga 4.30 pagi pada malam ketibaan itu. Aku sempat terlelap sejenak dan terjaga semula lebih satu jam kemudian. Dalam tidur sebentar itu, aku sempat bermimpi. Aku tidak tahu samada mahu mempercayainya atau tidak.

Aku digambarkan bagaikan masuk ke sebuah kawasan perguruan. Ada seorang lelaki berambut putih seluruhnya sedang duduk di bawah sepohon pokok. Badannya juga putih dan wajahnya kelihatan bersih. Sebaik sampai, bagaikan ada satu suara memperkenalkan lelaki tua itu kepadaku:

`Orang lelaki tua itulah yang paling tinggi darjatnya dalam perguruan di sini’.

Tiba-tiba aku bagaikan berada untuk beberapa ketika dalam perguruan tersebut dan kemudiannya berjaya menamatkan perguruan. Bila tamat, terdengar pula suara seperti sewaktu mula-mula sampai tadi:

`Tahniah! Tahniah kerana awak telah berjaya mengatasi ketinggian taraf lelaki itu’.

Selepas sarapan pagi, kami ada sejenak masa bersimbang kerana kejap lagi Aki Anjang akan menguruskan kerjayanya sebagai penyadap kabung.

Aki Anjang menerangkan bahawa dia ada pertalian darah keturunannya dengan raja-raja. Antaranya ialah dengan Sultan Kelantan dan Sultan Berunai.Pernah utusan Raja Perempuan Kelantan datang ke rumahnya menguruskan mengenai sebilah keris yang dipersoalkan oleh Raja Perempuan Kelantan, kenapa keris tersebut diserahkan kepada Aki, sedangkan sepatutnya dialah yang lebih berhak kerana dialah keturunan Raja Jembal. Aki juga mendakwa mendapat beberapa hadiah pemberian dari Sultan Berunei teristimewa ketika perkahwinan puterinya. Selain itu rumahnya juga ada dikunjungi oleh beberapa orang artis tersohor tanah air untuk mendapatkan rawatan dan membeli madu kerana Aki juga memiliki kebolehan luar biasa mendapatkan madu lebah di pohon tualang dengan memanjat cara mistik.

Aki Anjang seterusnya menceritakan sebelum dia mendapat dan mencapai tahap sekarang, dia telah jatuh sakit. Dia tidak tahu apa puncanya. Dia telah berubat dengan segala kepakaran baik cara moden maupun tadisional, tetapi semuanya gagal.

Pada akhirnya dia berikhtiar dengan anak atau murid kepada Kiai Salleh atau terkenal juga dengan nama Panglima Salleh di Batu Pahat, dalam peristiwa Bintang Tiga tahun 1946 dahulu. Melalui telahan murid tersebut, dia diberitahu sakitnya adalah berpunca dari satu amanah yang tidak ditunaikan. Aki Anjang mesti menunaikan amanah tersebut, kalau mahu sembuh.

Bila mendapat maklumat itu baharulah dia teringat, bahawa beberapa tahun sebelumnya, dia pernah pergi ke Pulau Jemaja di Indonesia kerana menuntut ilmu Tasauf. Di sana dia menuntut ilmu dengan seorang lelaki tua, dan dia diarahkan oleh orang tua itu supaya mencari seorang orang tua yang tinggal di Kampung Jawa, Endau, Pahang untuk menyambung pelajarannya dan seterusnya menerima ijazah perguruan. Inilah amanah yang Aki Anjang telah mengabaikannya. Dia pun hairan, kenapa dia begitu terleka menunaikan janji sehingga hampir tiga tahun mengidap sakit bisa-bisa badan, sehingga ada kalanya bagaikan orang hilang akal.

Bila Aki Anjang sampai di Endau di rumah orang tua yang dimaksudkan, alangkah terkejutnya dia, kerana lelaki yang ditemui di Pulai Jemaja itulah lelaki tua yang sama di Kampung Jawa!

Namanya Tok Gajah.Dikenali sebagai Imam Perang Rasul! Sekarang dipanggil Moyang! Dan Moyang pun membahasakan dirinya Moyang!

`Apakah Moyang yang aki maksudkan, adalah Moyang yang selalu disebutkan oleh Tok Lat itu?’, aku inginkan penjelasan. Aku pun tak kurang juga terkejutnya dengan maklumat itu.

`Iya, cucu! Sebiji sama!’

Aku mengagumi berita itu. Semakin jelaslah sekarang kepadaku bahawa siapakah Moyang dan apakah peranannya? Patutlah aku mendapat mimpi mengenai Tok Guru Peramu pada suatu masa yang lalu (Rujuk Bab 13:PENJAGA MAKAM PEJUANG TERBILANG). Rupa-rupanya mimpi tersebut menjadi penanda bahawa aku akan diheret ke dalam persekitaran yang sedang aku lalui sekarang.Aki juga memberikan maklumat yang agak detail mengenai Dato Bahaman yang dikatakan telah melalui proses mati hakekat beberapa kali.

Kemudian melalui Ayah La aku mendapat pula kesah Lebai Umar yang menjadi guru kepadanya. (Rujuk Bab 8:BERTAMU KE RUMAH WALI?). Lebai Umar ialah Cikgu Jantan. Ini disahkan sendiri oleh Ayah La sewaktu aku asyek dengannya dahulu.

Kini aku dipertemukan pula dengan Aki Anjang yang ada hubungan langsung dengan Moyang! Moyang yang telah dua kali tinggal di rumah aki dan kehadirannya sangat mengagumkan aki.Kali pertama Moyang tinggal selama satu minggu. Tapi pada kali kedua, lebih lama lagi iaitu hampir dua minggu.

`Bagaimana kita nak sampai ke tahap dia, cu’, aki pernah berkata kepadaku.`Dia tidur sikit, makan sikit.Bercakap pun bila ditanya.Hidupnya penuh dengan ibadah dan zikir.Mana mampu kita buat? Kita buat sikit, sudah penat, ngantuk. Tapi Moyang tak nampak penat pun...’

Aku terpegun dengan berita itu.

`Kita puasa satu hari, dia puasa sampai sepuluh hari’
`Berterusan?’, aku bertanya dengan rasa lebih terpegun.

`Iyaaa!’

Jelaslah kepadaku sekarang, bahawa lima orang pahlawan Pahang yang berjuang melawan Inggeris pada akhir kurun ke 19 dahulu – Tok Gajah, Dato Bahaman, Cikgu Jantan dan Mat Lela sekarang telah berada dalam persekitaranku dan mereka mempunyai pengaruh yang teramat besar terhadap orang-orang yang sedang dalam perjalanan mencari Tuhan! Cuma Mat Kilau yang aku tidak begitu pasti, tetapi bagi Aki Anjang, Mat Kilau ada sama dalam persekitaran terutama dengan aki.

Aku teringat bila Tok Ayah Sohor pernah memberitahuku dahulu, bahawa tugasnya adalah untuk mencukupkan jumlah 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab; tetapi sehingga ke saat itu, bilangannya masih belum cukup lagi!

`Ayah tengah cari, tak cukup lagi’, katanya.

Dan Tok Ayah Sohor masih terus mencari kerana demikianlah tugasnya; mencari orang-orang yang mencari Tuhan!

22 Oktober 2009

32

TOK LAT MENJADI SULTAN

Dalam suatu perjalanan pulang ke rumah dari tempat bekerja pada suatu cuti hujung minggu, aku tiba-tiba teringin untuk singgah di rumah Tok Lat terlebih dahulu.Bila sampai sahaja di kawasan perumahan Tanah Hitam Lama, aku lantas membelok untuk singgah di rumahnya. Sejak berpindah kerja di tempat baru, sudah agak jarang aku mengunjungi Tok Lat.Cuma pada hujung-hujung minggu sahaja.Itupun kadang-kadang sahaja kerana ada pula waktunya aku ke Tanah Merah mengunjungi Tok Ayah Sohor.

Setelah meletakkan kereta, aku berjalan kaki ke rumah Tok Lat.Bila sampai, pintu memang sudah sedia terbuka. Aku agak terkejut, apabila mendapati ruang tamu yang kecil itu telah penuh sesak dengan ramai tetamu, tetapi tidak seorang pun yang aku kenali.

`Ooo Cikgu’, Tok Lat menyapa bila melihat aku berdiri di muka pintu memberi salam.

`Masuk Cikgu! Masuk!’, Tok Lat seperti selalunya bersifat ramah-tamah dan mesra denganku.

Aku lantas masuk. Aku bersalam-salaman dengan tetamu yang tidak aku kenali itu. Kemudian lantas memberikan sembah salam kepada Tok Lat.

`Kenal?’, Tok Lat bertanyaku.

Aku menggeleng-geleng. Lelaki yang bersila di hadapan Tok Lat, tersenyum memandangku.Di sebelahnya adalah isterinya. Ada tiga orang lelaki lagi bersamanya. Aku menjangkakan lelaki yang bersila di sisi Tok Lat itulah yang menjadi ketua rombongan kerana dia kelihatan lebih kemas, berwibawa dan ada ketokohan. Tok Lat lantas memperkenalkan aku kepada mereka. Bila menyedari aku bekerja di tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka, lelaki itu mula menunjukkan sikap yang lebih mesra denganku. Bila saling cuba mengenali antara satu sama lain secara sepintas lalu, dengan merujuk nama orang-orang rertentu – nama-nama besar yang ada sekarang dan pada zaman dahulu, seakan-akan kami ada pula pertalian darah.

Anjang nama lelaki yang nampak hebat itu. Anjang, oleh kemesraan dan ada unsur pertalian darah denganku, dan lebih-lebih pula oleh faktor Tok Lat yang akrab denganku, tiba-tiba mempelawa aku ke rumahnya.

`Bawa tok sekali’, pesannya dengan nada kesungguhan. Aku memandang Tok Lat bagaikan meminta jawapan.

`Boleh, Cikgu! Boleh!’, Tok Lat memberikan kesanggupan.

`Kalau boleh datang musim sekarang, elok sangatlah’, Anjang berkata lagi.

`Kenapa?’

`Musim buah-buahan’

`Buah durian banyak?’, Tok Lat tiba-tiba tertarik.

`Banyak! Datanglah. Durian, langsat, dokong dan rambutan’

`Ha! Elok, Cikgu.Tok suka durian’, Tok Lat bernada gembira.

Aku gembira dengan keceriaan Tok Lat itu dan kesediaannya untuk bersamaku berkunjung ke rumah Anjang – saat yang sentiasa aku nanti-nantikan selama ini, lalu aku cuba mengesan di mana Anjang tinggal. Dia memberikan lokasinya dan apabila jelas semuanya, aku memberi kesanggupan untuk berkunjung ke rumahnya bersama Tok Lat apabila tiba masanya nanti.

Setelah selesai saat-saat perkenalan rengkas itu, lalu mereka menyambung perbualan yang tadinya tergendala.Aku berdiam diri sahaja sambil mendengar kerana tidak tahu hujung pangkalnya. Yang dibicarakan adalah mengenai orang-orang zaman terdahulu, tempat-tempat yang aku tidak pasti di mana dan bagaimana orang-orang berkenaan muncul beberapa kali di sana-sini. Aku kurang faham dan tidak dapat menghubungkan jalan ceritanya. Tapi nama Moyang ada disebut. Begitu juga Dato Bahaman, Mat Kilau, Pawang Nong dan lain-lain.

`Pada tahun 1960an dahulu, tok’, Anjang berkata seterusnya.`Saya teringat pernah pergi ke suatu tempat jauh di dalam hutan di belakang Gambang’

Tok Lat nampaknya mendengar dengan teliti. Semua orang nampaknya seperti tadi juga, sentiasa bertumpu kepada Anjang yang sejak sedari tadi, dialah yang banyak bersuara, banyak bertanya, menjawab dan menerangkan. Dialah selama ini yang aku dapati berbicara dengan Tok Lat sedangkan yang lain-lainnya hanya duduk diam, memerhati dengan hormat, penuh kesopanan.

`Kalau tak silap saya, tok’, Anjang meneruskan bicaranya.`Tempat tersebut letaknya di lereng bukit’.

`Cari siapa?’

`Ada seorang orang tua di situ’, Anjang menjawab pertanyaan Tok Lat itu.`Orang tua yang saya kunjungi itu, tinggal bersama isterinya di sebuah pondok kecil dan di hadapannya ada paya.Kalau tak silap di keliling pondoknya itu ada kebun ubi dan pisang’.

Anjang berhenti sebentar. Wajah Tok Lat direnungnya.

`Siapa orang tua itu, tok?’

`Awak pergi buat apa?’, Tok Lat tiba-tiba bertanya pula. Soalan Anjang tidak dijawabnya.

`Orang tua itu boleh berubat, tok.Jadi pergi berubatlah, bawa orang yang sakit itu’, Anjang menjawab.

`Awak pergi berdua sahaja, bukan?’

`Ha! Betullah!’, dan Anjang nampak sedikit tergamam.

`Siapa orang tua itu, tok?’, sekali lagi Anjang mendesak.

Tok Lat tersenyum.

`Toklah itu’, Tok Lat menjawab.`Tok!’, Tok Lat mengulangi menegaskan lagi.

`Tok?’, Anjang semakin terkejut. Rakan-rakannya terkejut juga. Bagaikan terbelalak mata mereka.

`Lama tok tinggal di situ. Dekat sepuluh tahun’,Tok Lat melanjutkan.

Tok Lat kemudiannya menerangkan bahawa dia duduk di berbagai-bagai tempat lain lagi di Negeri Pahang selepas berpindah dari Gambang.

Anjang nampak kian tergamam dengan berita itu. Dia begitu kaget mengenai jarak masa sejak 1960an sehingga sekarang.Ertinya sudah beberapa puluh tahun! Rakan-rakan Anjang yang baru pertama kali bertemu Tok Lat, nampak bagaikan terhairan-hairan. Bagaikan tidak berkelip-kelip mata mereka memandang Tok Lat. Tapi aku sendiri tidaklah terkejut kerana sudah mengetahui kesah-kesah Tok Lat sebelum ini yang tinggal di merata-rata tempat di Negeri Pahang. Misalnya di Triang, di Mempelas dekat Tasik Cini, di Jengka, di Merchong dan lain-lain.Tapi kesah Tok Lat pernah tinggal di dalam hutan dekat Gambang baharu sekaranglah aku tahu.

Aku percaya Anjang barangkali tidak tahu, Tok Lat berasal dari daerah Raub, iaitu dari Cheroh. Tok Lat mendakwa tanah tempat tinggal ayahnya masih dapat ditunjukkan tempatnya. Dalam satu trip bersama Tok Ayah Sohor untuk mengesan tanah tersebut, bilamana Bakar membawa mereka, Tok Ayah Sohor mendapati tanah tersebut sangatlah baik kerana memiliki kawasan berbukit dan ada beberapa buah gua.Tok Ayah Sohor menyatakan betapa sukanya dia kalau dapat memiliki kembali kawasan tersebut untuk tujuan-tujuan kerohanian kerana ada banyak gua di sana. Tetapi disebabkan tanah tersebut telah menjadi kawasan perkampungan dan ada pula sebuah surau kecil yang baharu dibina, mereka berdua tidak sampai hati untuk mengambil kembali tanah tersebut yang menurut dakwaan mereka, pada geran asal masih tercatat nama Tengku Husin, ayah mereka. Aku tidak dapat memastikan kebenaran dakwaan tersebut iaitu benarkah pada geran besar di Pejabat Tanah dan Daerah Raub ada catatan demikian.

Ayah Tok Lat mengembara kembali ke utara Tanah Melayu untuk menjejak warisan kerana dari warisan utaralah dia berasal. Bermula daripada Bendahara di Petani pada kurun-kurun yang lalu. Anak-anak Bendahara ini mengembara, meneroka dan membuka wilayah dan petempatan baru di beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu dan ada yang sampai ke Pahang. Di Pahang keturunan ini membuka beberapa wilayah seperti di Jelai, Berchang, Dong, Tea, Pedah, Jengka, Bera, Chenor dan sebagainya.

Ayah Tok Lat iaitu Wan Hussin kembali ke utara. Dalam satu sayembara untuk mencari siapa yang boleh menjadi Harimau Berantai kepada sultan Kedah, ayah Tok Lat dapat menewaskan semua jagoan yang lain oleh kehebatan ilmu tempurnya. Bila dia dapat bergaul dengan kalangan istana, ayah Tok Lat berjaya memikat puteri sultan dan akhirya berkahwin dengan puteri tersebut. Tok Lat telah menceritakan kepadaku dia tidak selesa berada dalam suasana istana yang penuh protokol dan kemewahan, dan oleh kerana itu dia keluar meninggalkan istana, kembali semula ke Pahang.

Tok Lat pernah mempelawaku ke Kedah untuk mengesan jejak sejarahnya pada zaman Sultan Abdul Hamid. Dia menceritakan kepadaku mengenai keajaiban Balai Nobat yang menyimpan banyak khazanah purba dan rahsia. Dia mempelawaku melawat Muzium Negeri Kedah, untuk meneliti kenangannya pada zaman yang lalu. Di Muzium Kedah Tok Lat mencadangkan aku duduk sebentar di atas kerusi tempat bersemayam Sultan Abdul Hamid yang masyhur dengan kebesaran daulatnya, seperti pernah dibuat oleh Bakar untuk merasai sesuatu keajaiban. Tok Lat juga mempelawaku mengenali Kampung Naga kerana di sanalah zaman kanak-kanaknya bermula.

Atas dorongan Tok Lat tersebut, aku sekeluarga telah pergi ke Kedah pada satu cuti Hari Raya.Kami tinggal di Pendang, di rumah anak saudara Tok Lat selama beberapa malam.Malangnya aku gagal untuk mengalami pengalaman duduk di singgahsana di Muzium Kedah kerana pada ketika itu muzium sedang dibaikpulih. Di Kedah, Tok Lat membawa kami pergi ke beberapa lokasi, menunjukkan beberapa kawasan yang pada masa dahulu dakwanya adalah miliknya, kawasan tanah di beberapa tempat yang luasnya beratus-ratus ekar yang nilainya bukan lagi beratus juta, bahkan berbilion Ringgit Malaysia. Tanah-tanah tersebut sedang dalam proses untuk dimiliki kembali dan usaha ke arah tersebut sedang dilakukan oleh Wan Mat Nor.Tok Lat tidak bermaksud untuk membolot kekayaannya, tetapi akan menghadiahkan beberapa bahagian tanah tersebut kepada beberapa teman rapatnya termasuklah aku sendiri juga. Jadi kami – rakan-rakan rapat Tok Lat, perlu membantunya dari segi kewangan untuk pelbagai urusan dengan Pejabat Tanah.

Pada hari terakhir, kami anak beranak kemudiannya dibawa ke suatu perkampungan yang ramai juga dihuni oleh orang-orang Siam. Aku sudah lupa nama tempatnya. Mungkin Kampung Siam namanya. Kami dijamu dengan lauk yang dihebahkan sebagai kegemaran Raja Bersiung, yang resepinya kini cuma diketahui oleh emak kepada Wan Mat Nor seorang sahaja. Memang menyelerakan. Aku tidak dapat pastikan kesahihan maklmat itu.

Sewaktu asyek meneliti salasilah keturunan Wan yang terletak di atas meja, Wan Mat Nor tiba-tiba berkata kepadaku.

`Nanti saya akan letakkan nama Cikgu di situ’.

Aku tercengang mendengar janjinya itu. Tapi aku tidak pula bertanya apa-apa. Tapi Wan Mat Nor sebelum itu telah berjaya menjadikan aku kagum padanya, sebagai seorang yang memiliki keistimewaan. Dia mendakwa pernah dijemput ke istana Sultan Kelantan kerana ada masalah gangguan persis saka. Dia berjaya memulihkannya. Demikian juga di istana lama Sultan Perak sehingga apabila dia melangkah ke ruang istana, tiba-tiba sahaja berjatuhan beberapa perhiasan di dinding istana.Ini menggambarkan kebesaran titisannya – sebagai titisan yang masih tulin, walaupun tidak menjadi orang istana! Dia juga mendakwa mempunyai hubungan yang rapat dengan Pak Lah.Mereka menjadi akrab atas sebab titisan Wan. Pak Lah didakwanya telah beberapa kali pernah berkunjung ke rumahnya.Demikian hebatnya tokoh yang bernama Wan Mat Nor ini.

Tibalah saat untuk Anjang dan rombonganya beredar. Tampillah seorang anak muda yang merupakan orang yang paling muda dalam rombongan tersebut. Bila dia mendekati Tok Lat untuk bersalaman, dengan tidak disangka-sangka dia membuka pencak. Aku yang duduk betul-betul di sisinya menjadi tergamam juga. Sambil duduk itu tubuhnya menjadi bergetaran dan tangannya tiba-tiba menjadi tegang. Keluar urat-urat lengannya. Kulit mukanya tiba-tiba berubah menjadi kering dan berkilat sambil matanya menjadi merah dan berair. Dia mendesis-desis sambil memencak itu. Aku yang sangat hampir di sisinya memerhati sambil berawas juga. Aku kehairanan kenapa tiba-tiba dia jadi begitu. Tok Lat kelihatan tenang sahaja sambil tersenyum. Anak muda itu perlahan-lahan merapati Tok Lat dalam langkah pencaknya dan setelah beberapa saat berlalu, akhirnya dia menghulurkan kedua-dua belah tangannya bersalaman dengan Tok Lat. Baharulah aku tahu, bahawa tariannya itu tadi adalah tarian langkah sembah.Bagaikan langkah sembah kepada seorang sultan atau raja sehari dalam majlis persandingan.

Tok Lat lalu menepuk-nepuk dan mengusap-ngusap kepalanya. Selesai Tok Lat mengusap kepalanya, baharulah anak muda tersebut menjadi normal kembali. Tapi berair matanya selepas tarian langkah sembah itu. Aku mulanya menyangka, cuma dia seorang sahaja yang akan mengalami demikian. Rupa-rupanya berlaku kepada setiap orang dalam rombongan itu kecuali Anjang. Cuma Anjang sahaja yang boleh bersalaman seperti biasa.

`Saya dapat kawal diri’, Anjang memberitahuku.`Kalau saya tak boleh tahan, saya pun akan jadi begitu juga’.

Bila mereka telah beredar, aku cuba mendapatkan penjelasan dari Tok Lat kenapa terjadi peristiwa aneh tadi.

`Mereka titisan tok’

Aku terkebil-kebil.Titisan darahkah? Dan wajahku menggambarkan kehairanan.

`Titisan ilmu’, Tok Lat menjelaskan bagaikan tahu apa yang sedang bergolak di hati.

`Nampak mereka cukup hormat kepada tok?’,

Tok Lat tersenyum.

`Begitulah Cikgu.Ilmu dari tok’

`Macam menyembah sultan, tok’

`Begitulah, Cikgu’

Rupa-rupaya Tok Lat adalah sultan.Memperjelaskan kepadaku satu keyakinan bahawa Tok Lat pada hakekatnya memang Tengku Syafie yang kalau dia tidak lari dari kalangan istana pada zaman yang lalu, dia mungkin sudah pasti ditabalkan pada suatu masa dahulu!

Begitulah kesimpulanku.

Walau bagaimanapun, lawatan ke Kedah sebenarnya banyak memberikan ruang untukku berfikir,membuat penilaian dan mengajarku untuk berhati-hati bagi perjalanan seterusnya bersama Tok Lat.Gambaran yang hebat dan indah muluk yang digambarkan olehnya sebelum ini mengenai sejarah dan kebenaran kesahnya sebagai titisan raja, dan Wan Mat Nor yang menjadi orang harapannya, menjadi sebab untuk aku perlu berwaspada mengenai apakah erti semuanya ini ? Itulah satu-satunya peluang berjalanan bersama Tok Lat yang amat aku nanti-nantikan selama ini, tetapi aku begitu kecewa kerana tidak ada apa-apa. Aku korbankan kemeriahan hari raya untuk tidak ada apa-apa! Mindaku mula diusik kecelaruan! Apakah aku berada dalam trek yang betul atau sekadar satu permainan? Siapakah Tok Lat sebenarnya?

Namun aku masih perlu banyak bersabar – tunggu dan lihat sambil berhati-hati, kerana penghujung perjalanan telah pun hampir, kerana aku tahu di mana penghujungnya.

18 Oktober 2009

31

AINGAH TA’ARIM WALI.

Isteriku meminta supaya aku membatalkan sahaja niat untuk singgah di rumah Aingah Taarim Wali – kami dalam perjalanan balik ke rumah dari satu perjalanan jauh - kerana tidak lama lagi waktu Maghrib akan tiba. Tapi aku tetap bertegas kerana merasakan tidak ada lagi kesempatan yang lain. Kalau menanti kesempatan yang lain, bilakah lagi? Inilah peluang keemasan kerana isteriku sendiri juga akan beroleh peluang untuk bertemu dengan seorang yang Cikgu Zan namakan dia seorang wali.Kalau tidak gunakan kesempatan sekarang, bila lagi kami sekeluarga berpeluang untuk berkenalan dengan wali yang sangat unik gaya hidupnya ini? Ayah La sendiri mengktiraf ketinggian Aingah Taarim Wali, yang hidup beruzalah dan tidak berkahwin persis Tok Lan Wali atau Uwais al Qirni.

Menurut Cikgu Zan, Aingah Taarim pada waktu mudanya menuntut di sebuah sekolah pondok selama lebih sepuluh tahun di Jawa Timur, Indonesia. Dia dikatakan dianugerahi kasyaf yang begitu hebat, sehingga isteri Cikgu Zan takut untuk menziarahinya. Dikatakan Aingah Taarim memiliki pandangan telus mata, hingga boleh melihat semua orang yang mengunjunginya bertelanjang! Kasyafnya hingga boleh membilang ulas nasi di dalam perut manusia. Inilah yang mendorongku mengenalinya. Sudah bertahun-tahun hasrat ini terpendam, dan belum pernah berkesempatan. Justru, peluang yang jarang-jarang terbuka ini menyebabkan aku tetap juga mahu menziarahinya walaupun Maghrib hampir menjelang. Dan aku tidak mempedulikan ketajaman pandangannya itu walaupun ini sangat ditakuti oleh isteri Cikgu Zan sehingga sampai ke saat kini, dia masih cuak untuk menziarahi Aingah Tarim.

Tidaklah begitu sukar mencari rumahnya walaupun kami pada mulanya agak tersasul ke hadapan.Bila bertanya kepada seorang perempuan yang berpapasan di pinggir jalan d Kampung Gagap, rumah tempat Aingah Taarim tinggal, kami pun terus dapat mencari simpang ke rumahnya.

Aku sebetulnya tidak begitu pasti mengenai kebenaran dakwaan Cikgu Zan, bahawa Aingah Taarim sekali-sekala pernah dikunjungi secara rahsia pada waktu malam oleh seorang ulama tersohor yang bergelar Datuk Profesor Dr. Dr ini dikatakan pernah juga mengunjungi Ayah La di Bukit Tempayan, juga secara rahsia di waktu malam. Semoga pada suatu masa nanti aku dapat ruang perkenalan atau bersimbang dengan Profesor Dr ini, yang didakwa oleh Cikgu Zan, mencari kefahaman ketuhanan secara hakikat dan makrifat melalui Sifat 20; tidak semata-mata melalui Sifat Rububiyyah dan Uluhiyyah.Setahuku belum pernah terdengar, ada mana-mana ilmuan Islam lepasan pusat pengajian tinggi, sanggup menyusur akar...bertemu dan bermuzakarah dengan orang-orang kampung biasa, yang biasa-biasa sahaja nampaknya, yang tidak menampakkan sebarang imej orang berilmu dan soleh!

Maghrib baru saja berlabuh ketika aku meletakkan kereta di bawah sepohon pokok pada simpang masuk untuk berjalan kaki ke rumah Aingah Taarim. Aku sedar waktu persis itu memanglah kurang sesuai. Tapi aku rasa terpaksa, dan terpaksalah membuat tidak peduli. Anak-anakku berjalan rapat-rapat denganku. Yalah, anak-anak perempuan, kerana tidak biasa berjalan di kawasan kampung yang penuh dengan semak-samun dan pohon-pohon rimba yang tinggi-tinggi di selang-seli oleh pohon buah-buahan.

Jauh benar rupanya jarak zamanku dengan zaman anak-anakku. Pada waktu aku kecil-kecil dahulu, tempat persis sedemikianlah duniaku. Aku pada zaman kanak-kanak sewaktu bersekolah di sekolah rendah, tidak gentar dengan semak-samun dan rimba, tidak gerun dengan bunyi riang-riang atau gelak-hilai sang nekah dan ungka, dan tidak pula kecut dengan maghrib dan malam.Yalah, aku anak lelaki.Aku dibesarkan dalam sebuah kehidupan kampung yang kecil dan jauh terpencil.

Sambil berjalan-jalan itu, unggas, riang-riang dan makhluk rimba juga turut memecah kesepian Maghrib dan ini menambahkan rasa cemas terhadap anak-anakku. Rupa-rupanya isteriku pun sama! Dia sentiasa meminta aku supaya jangan berjauhan.Lampu picit yang aku bawa bersama, menjadi sinar yang menerangi jalan menuju ke rumah Aingah Taarim Wali. Suluhan lampu picit kadang-kadang sengaja aku halakan ke pohonan yang tinggi atau semak-samun di kiri kanan denai yang kecil itu.

Bila sampai, kami mendapati rumah Aingah Taarim kecil sahaja. Bukanlah layak dinamakan rumah, tetapi sebuah pondok sebenarnya. Tidak ada sinar eletrik yang terang benderang. Cuma cahaya suram dari pelita – barangkali pelita minyak tanah yang cahayanya menerobosi celahan dinding. Di pintu hadapan aku memberi salam. Sejurus menunggu.Tidak ada jawapan. Salam berlalu begitu sahaja. Aku memberi salam lagi. Tak ada juga jawapan. Bila aku amati, aku terdengar suara dari dalam pondok itu. Rupa-rupanya Aingah Taarim Wali sedang bersembahyang Maghrib. Terpaksalah aku menunggu sehingga Aingah Taarim selesai sembahyang.

Sejurus menunggu, maka terkuaklah daun pintu. Bila terkuak, terjengullah seorang lelaki yang masih memakai kain pelikat dan baju panas leher bulat bewarna putih.

`Oh! Awak!’, sapa Aingah Taarim Wali. Sapaannya itu begitu mengejutkanku. Apakah Aingah Taarim tersalah orang? Dia tiba-tiba menegurku bagaikan dia telah mengenaliku. Apakah dia memang mengenaliku? Tapi bila? Aku tidak pasti. Tapi perkara-perkara seperti ini sebenarnya tidaklah menghairankan sangat.Biasalah bagi orang-orang yang berilmu seperti Aingah Taarim Wali.

Bapa saudaraku juga memiliki kebolehan mengecam tetamu yang baru pertama kali datang berkunjung.Tiga hari sebelum tetamu tiba, dia telah memaklumkan mengenai kualiti dan prestasi tetamu tersebut. Samada orangnya berilmu atau tidak, ilmunya lebih tinggi atau lebih rendah dan juga mengetahui niat kedatangannya samada baik atau buruk.Kalau bapa saudaraku yang bukan bertaraf seorang wali, tetapi memiliki keupayaan demikian melalui ilmunya, tentulah seorang yang mencapai taraf kewalian memiliki upaya yang jauh lebih tnggi melalui bukan sekadar ilmu, tetapi kasyaf atau terbuka mata hati.

`Naik! Naik’, Aingah Taarim bersuara ramah. Aku melangkah naik sambil memijak anak-anak tangga yang dibuat dari kayu-kayu bulat. Anak-anakku yang rasanya baru pertama kali menaiki tangga kayu bulat sedemikian terpaksa aku bantu untuk naik ke pondok Aingah Taarim. Begitulah juga isteriku yang walaupun bukanlah kali pertama menaiki tangga sedemikian, tapi maklumlah, kurang biasa. Terpaksalah aku memimpin tangannya supaya dia tida terjatuh.

Duduklah kami anak-beranak berasak-asak pada lorong ke dapur yang selebar empat kaki itu.Aku duduk paling hampir dengan Aingah Taarim yang kini telah menukarkan kepada pakaian yang lain. Berseluar jean tapi masih berbaju panas leher bulat yang dipakainya tadi.

Pada pengamatanku Aingah Taarim seorang yang sehat walafiat. Dia dalam kategori belumlah orang tua lagi.Tubuhnya masih nampak kemas dan sehat.Rambutnya lebat dan hitam seluruhnya.

Aku memudahkan Aingah Taarim mengenaliku dengan menyebut nama Cikgu Zan dan Ayah La.Dengan menyebut dua nama besar itu kepadanya, kehadiran aku sekeluarga mudah untuk menjadikan suasana lebih ceria dan mesra.

Aku membuka swis yang tertentu untuk membolehkan dia menghuraikan hakikat kejadian. Inilah tujuanku kerana bab ini memang aku belum mampu mengupasnya secara menyeluruh dan detail. Aku ingin mendapat kefahaman yang lebih mantap dari orang-orang seperti Aingah Taarim Wali ini iaitu setelah Ayah La telah kusingkirkan dari perkamusan hatiku dan juga oleh kerana Tok Lat ternyata lebih selesa membicarakan dan menghuraikan hal-hal yang lebih rahsia dan ghaib yang memanglah teramat tinggi.

Aku ingin mengetahui dengan lebih jelas mengenai Hakikat Ketuhanan dan Hakikat Insan. Hakikat ada tetapi tiada.Hakikat tiada tetapi ada. Hakikat ghaib tetapi nyata.Hakikat nyata tetapi ghaib, hakikat haq dan batil. Seterusnya konsep puji qadim bagi qadim, puji muhadas bagi muhadas, puji qadim bagi muhadas dan puji muhadas bagi qadim.Nyata pertama, kedua dan ketiga. Muhammad Awal, Muhammad Batin, Muhammad Akhir, Muhammad Zahir. Hakikat Diri dan Hakikat Ketuhanan. Lapisan-lapisan ruh dan alam Lahut, Jabarut, Malakut dan Mulki, alam kabir, alam soghir, Hakikat Arasy, Qursy, Loh Mahfudz dan sebagainya.

Pada malam itu Aingah Taarim menghuraikan dengan sangat lancar, kemas dan jelas mengenai konsep Muhammad. Wah! Aku terpegun.Patutlah dia dikurniakan pandangan tajam yang menggerunkan orang-orang yang tahu ilmu hakekat dan makrifat.

`Bila faham Hakikat Diri, amalkanlah satu zikir nafas. Awak boleh keluar mengembara ke mana-mana pun yang awak suka’, dia membuat kesimpulan setelah membuat huraian yang begitu terperinci sehingga walaupun aku faham, tetapi dalam keadaan sedikit pening. Tapi apakah aku benar-benar faham? Entahlah! Tapi apa yang pasti, aku faham huraiannya tetapi tidaklah mampu menguraikannya secara terperinci dan sejelas Aingah Taarim.

`Pak Ngah boleh lakukan?’, aku mengujinya. Teringat aku Tok Penghulu Malim pernah mengalami kehadiran beberapa diri pada masa yang sama di beberapa tempat yang berbeza. Ini juga berlaku kepada Haji Ab. Rahman Limbung sewaktu perang melawan penjajah Inggeris pada awal kurun ke 20 dahulu.

`Kalau ke Mekah atau Madinah, dalam 3 jam di sana puaslah...Habislah semua tempat dijelajah’, Pak Ngah menerangkan.

`Kalau saya nak amalkan boleh Aingah?’

`Boleh! Tapi awak kena masakkan dulu Hakikat Diri. Kena datang berulang kali ke sini dulu.Bila telah masak, baru boleh amalkan. Tapi bukan mudah....’

`Maksud Pak Ngah?’

`Sepuluh tahun Pak Ngah amalkan, baharu boleh....’

Dan dia ketawa.

Aku mengira-ngira kesanggupan untuk berulang ke sini.Aku mengira-ngira jarak dari tempat bekerja ke sini sejauh 150 kilometer. Kalau mahu pergi juga, bermakna aku terpaksa sanggup untuk tabah mengunjunginya pada hari-hari bekerja. Ini disebabkan pada setiap hujung minggu aku perlu berada di rumah bersama anak-anak dan isteri yang jaraknya sejauh 250 km dari tempat aku bertugas.

Pak Ngah meminta diri sebentar untuk ke dapur. Air yang dijerangnya tadi telah pun mendidih. Dia nampaknya bersusah-payah membancuh kopi susu untuk kami seramai enam orang.

Tidak ada apa-apa yang hendak diceritakan mengenai pondok Aingah Taarim . Tak ada apa-apa pun selain dapur gas dua tungku dan serba-sedikit pinggan mangkuk, piring, gelas dan keperluan dapur yang serba seadanya. Demikian pondok orang yang memilih hidup membujang sampai sekarang yang pada pendapatku usianya telah mencecah awal lima puluhan.

Sambil minum-minum itu Aingah Taarim Wali menceritakan kesahnya sewaktu belajar di pesanterin dahulu. Satu keajaiban pernah ditemui oleh Aingah Taarim Wali. Seorang anak murid di perguruan tersebut tidur selama satu tahun. Bila dia sedar dari tidurnya, dia tiba-tiba fasih berbahasa Arab. Kesah ini diceritakan oleh Aingah Taarim Wali apabila aku bertanya apakah ia tahu apa-apa kesah mengenai Wali Aziz yang tidur selama tiga bulan. Mengenai Tok Lat dia nampaknya tidak tahu apa-apa.Begitu juga Tok Ayah Bidin.

`Awak beri pada Aingah alamat rumah awak’, Aingah Taarim berkata sewaktu kami akan berpisah.

`Boleh Aingah’, dan aku cukup gembira dengan cadangannya itu.

`Aingah ini suka berjalan’, Aingah Taarim berkata lagi.`Manalah tahu, kalau-kalau Aingah sampai ke tempat awak, boleh Aingah pergi ke rumah awak’

`Boleh Aingah! Boleh...!’, aku bersuara dengan nada gembira.Tidak terduga seorang wali Allah tiba-tiba sudi menjadi tamuku dan nantinya tentulah boleh berteman.

`Tapi kalau awak bagi nombor telefon, elok juga.Boleh Aingah telefon terlebih dahulu’

Aku lantas memberikan nombor telefon rumah dan nombor telefon bimbitku. Kami bertolak pulang meninggalkannya pada kira-kira jam 10.30 malam.

Selepas pertemuan itu, aku sempat sekali lagi mengunjungi Aingah Taarim Wali. Kali ini aku pergi sendirian sahaja kerana mengambil peluang melalui suatu tugasan di luar ibu pejabat. Kali ini pada hari siang pula. Kunjungan pada kali ini membuat satu kejutan buatku.Aku bagaikan tidak percaya.

Aku mendapati Aingah Taarim Wali kehidupannya, rupa-rupanya seperti orang biasa juga. Belum sempat kami bersembang panjang, tiba-tiba abangnya datang pada petang itu. Abangnya meminta dia memungut buah-buah durian pada keesokan harinya kerana abangnya ada urusan. Abangnya juga meminta supaya dia menjualnya pula.

Dengan begitu tahulah aku bahawa Aingah Taarim Wali masih terikat dengan kehidupan biasa. Tidak seperti Tok Lan Wali yang telah bebas dari ikatan urusan dunia dan kadang-kadang nampak terabai dari peraturan syariat sehingga dianggap sebagai orang gila. Jauh benar bezanya dengan kesah hidup para-para wali yang riwayat kehidupan mereka banyak yang telah aku telah baca.

Selepas itu datang pula seorang anak muda yang nampaknya begitu mesra dan boleh bergurau-senda dengannya. Pada masa itulah semakin jelas dalam keyakinanku, bahawa Aingah Taarim Wali sebenarnya adalah seorang orang biasa yang hidupnya seperti orang biasa juga. Yang menjadi tanda-tanya, kenapa dia memilih cara seorang zuhud?
Oleh sebab itulah bila Cikgu Zan dan Encik Dahari yang bekerja sebagai Pegawai Pelajaran Daerah, yang menjadi murid setia Aingah Taarim, pernah berkali-kali menawarkan aku untuk menyertai mereka menuntut ilmu, aku berjaya mengadakan berbagai-bagai halangan dan alasan.

Berita-berita terakhir mengenai Aingah Taarim Wali - beberapa tahun setelah kunjangan aku sekeluarga dahulu - ialah apabila aku diberitahu oleh Cikgu Zan, Aingah Taarim Wali sekarang tinggal di sebuah rumah baru pemberian wakil rakyat melalui program rumah untuk rakyat termiskin. Aingah Taarim Wali nampak gembira dan selesa dengan pemberian itu dan sedang berusaha pula untuk membeli tikar getah dan sebagainya supaya rumahnya kelihatan lebih ceria.

Cikgu Zan dan Encik Dahari menjadikan Aingah Taarim Wali sebagai ganti Ayah La setelah Ayah La meninggal dunia. Beberapa bulan yang lalu – setelah Aingah Taarim berpindah ke rumah baru - aku mendapat khabar dari Cikgu Zan mengatakan Aingah Taarim Wali telah dimasukkan ke hospital kerana diserang sakit kencing manis, lalu akhirnya jari kakinya, satu atau beberapa, telah dipotong. Sekarang dikhabarkan, dia telah kembali semula ke rumahnya dan melalui Encik Dahari, menerusi perbualan telefon baru-baru ini, aku mendapat khabar pula, Aingah Taarim Wali telah semakin kabur penglihatannya.

Dan beberapa bulan kemudian Cikgu Zan menelefonku menyampaikan khabar bahawa dia pada ketika itu berada di rumah Aingah Taarim Wali sedang menanti waktu untuk memandikan jenazah Aingah Taarim yang telah meninggal dunia oleh sakit yang dihidapinya sejak sekian lama.

Al Fatehah.