30 Oktober 2010

81. Lari Dalam Perang

Aku diheret oleh arus yang teramat deras di sebuah jeram sungai. Air yang mengalir dengan sangat laju itu menyebabkan aku tunggang terbalik dan tenggelam-timbul di dalam air. Aku bagaikan tidak berdaya untuk berbuat apa-apa dan terpaksa membiarkan sahaja diri ku dihanyuti oleh air yang deras itu. Ada ketikanya jatuh terjunam, ada ketikanya jatuh berpusing-pusing di bawa oleh air yang cukup berkuasa tu. Berjurus-jurus - dihanyutkan oleh air menuruni jeram sungai sehinggalah aku sampai di kawasan yang tidak ada lagi jeram. Di kawasan ini, walapun lebih tenang tetapi masih berarus deras. Walaupun demikian dapatlah juga aku mengawal diri. Aku hanya sekadar perlu mengimbangi diri ku untuk terus kekal timbul sambil membiarkan air yang masih deras mengalir menghanyutkan diri ku ke hilir.
Sejurus tadi kami berlima sebenarnya berada di suatu medan.Kami berlima akhirnya tiba-tiba terpaksa melarikan diri dan satu-satunya jalan yang kami tempuhi ialah menerjunkan diri ke dalam air sungai yang berjeram dan berbatu-batu itu.
Aku cukup bersyukur kerana sewaktu diseret tidak ketahuan tadi, kepala ku tidak terhantuk kepada batu-batan yang begitu banyak berada di jeram tersebut. Nasib baik juga badan ku tidak juga terdagul kepada batu-batu tersebut. Kalau terjadi demikian tentulah kepala ku atau tubuh ku cedera.
Dalam keadaan yang tetap cemas dan kelam-kabut itu, aku tidak perasaan bagaimana tiba-tiba sahaja Piei berada di sisi ku. Aku tidak sempat dan tidak ada masa untuk menyapa dirinya kerana kami sibuk dengan ikhtiar menyelamatkan diri masing-masing.
Aku tidak sempat dan tidak ada masa untuk bertanya padanya mengenai kawan-kawan yang lain. Yim, Wan dan Dol, di manakah mereka? Aku tidak tahu bagaimana nasib kawan-kawan yang lain. Ke manakah Yim? Ke manakah Wan? Ke manakah Dol? Aku tidak tahu di manakah mereka semua.
Aku bersama Piei terus sama-sama berenang sambil menghiliri sungai yang tetap berarus deras itu. Kami masih lagi tetap berenang dengan kuat walaupun nafas mencungap-cungap. Walaupun kami berdua telah jauh di hilir, tapi kami berdua tetap berenang tanpa menghiraukan penat dan letih.
Beberapa jurus kemudian kami terdampar di tepi tebing. Dan bila mencecah sahaja tebing, kami tidak bertangguh lagi. Dengan nafas yang mencungap-cungap kami terus menongkah tebing dan selepas itu lalu menongkah pula pada sebuah tebing yang semakin tinggi bagaikan sebuah bukit.
Sambil mendaki bagaikan merangkak itu aku bertasbih:
`Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah’.
Tiba-tiba aku terjaga.`Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!’, lidah ku masih bertasbih.
Nafas ku tercungap-cungap sebaik terjaga itu.Aku cuba mengingat kembali mimpi ku tadi. Kami berlima sebenarnya terpaksa lari dalam keadaan kelam-kabut dan ketakutan kerana tewas dalam peperangan! Kami tewas dalam peperangan melawan orang-orang kafir! Lalu terpaksa lari dengan ketakutan! Walaupun kami tidak diburu, tetapi kami dilanda ketakutan oleh kekalahan dalam perang! Walaupun yang sebenarnya tidak ada suasana peperangan yang dialami, kami tiba-tba melarikan diri dari peperangan setelah tewas.
Bila perkara ini dirujuk kepada tok, reaksi tok, kalau tak silap panglima ketika itu ialah Panglima Gayung Lanang ialah:
`Nampaknya cucu semua kena berzikir semula......’

24 Oktober 2010

80. Zikir Di Templer Park

Kami berada di rumah setinggan Kampung Pantai Dalam.Yim tinggal di sini. Dia tidak lagi bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Raub tapi telah beralih arah ke ibu kota. Rumah hijau di Raub masih di duduki oleh Dol yang pada ketika itu telah berjaya mendapatkan kerja dengan LLN/TNB.
Piei telah lama bertukar dari Jerantut ke Kedah. Sekolah pertama beliau ialah di SMK.Seri Gunung.Kemudian bertukar ke SMK.Alor Janggus dan seterusnya ke SMK.Siong, Baling, Kedah. Wan telah menamatkan pelajaran di USM dan bekerja dengan sebuah agensi Kerajaan Pahang sementara aku baru sahaja mula bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah.
Akulah yang paling banyak mendapat didikan tok secara berseorangan kerana sewaktu Yim di Raub aku selalu ke rumahnya dan melalui itulah aku lebih banyak mendalami soal-soal agama melalui tok.
Tok meminta kami pada kali ini berzikir – bertapa di luar; bukan di rumah lagi.Kami diminta merasai pula suasana bertapa di tempat yang berlainan samada di bawah pokok, di dalam hutan, di tepi anak sungai atau bahkan di dalam air.Tok memberitahu tempat yang terbaik adalah di dalam air kerana akan cepat mendapat ketibaan.
Bila kami berbincang, kami semua membuat keputusan untuk pergi ke Templer Park. Di sana ada air yang mengalir, ada hutan dan semak, ada kawasan lapang dan sebagainya sesuai dengan kehendak tok. Bila sampai, aku terus mencadangkan supaya kami semua berendam di dalam air sambil berzikir.Cadangan gila ku itu hampir sahaja dipersetujui kecuali Wan yang mengatakan habislah basah kereta Subarunya nanti....
Betullah juga. Akumemang mudah jadi gila tanpa memikirkan implikasinya!
Di tengah-tengah lalu lalang pengunjung ke taman itu kami tidak mempedulikan sesiapa dan apa komen orang-orang yang lalu lalang. Kami duduk bersila sambil memejamkan mata. Yim berada di sebelah ku, bertafakur di bawah satu pondok teduhan. Wan dengan Dol di suatu tempat yang lain sementara Piei duduk sendirian di pondok yang lain.
Kira-kira satu jam kami bermeditasi.
Kira-kira jam 10.00 malam, tok datang. Kedatangannya adalah khas bagi membuat refleksi mengenai pengalaman berzikir di Templer Park petang tadi.
`Tok nak dengar apa yang cucu dapat dalam berzikir. Yang pasti cucu semua telah dilimpahkan dengan cahaya. Betul bukan?’
Kami semua mengangguk.
`Beritahu tok, cucu dapat cahaya apa?’, tok menujukan soalan kepada Piei.
`Entahlah tok, Cucu nampak macam gelap sahaja’
`Mesti ada! Sekurang-kurangnya satu’
`Warna biru’, Piei menjawab.
`Ada lagi!’, tok berkata bagaikan dia telah tahu apakah warna cahaya yang dianugerahkan kepada Piei.
`Rasa-rasa macam warna hijau...Tapi sekejap sahaja’
Tok mengangguk.
`Cucu?’, Dol ditanyai pula
`Cucu satu sahaja tok. Warna merah’
Tok mengangguk lagi.
`Cucu?’, aku ditanyai
Aku tersenyum.
`Cucu banyak! Macam ada semuanya’
`Warna apa?’
`Biru, hijau, merah, kuning dan ...... cucu tak dapat sebutkan warnanya’
Warna-warna tersebut kebanyakannya menjelma pada saat-saat akhir meditasi.Pada permulaan zikir, tidak ada apa-apa yang kelihatan. Cuma kegelapan sahaja. Aku tidak ingat warna apakah yang mula-mula sekali tiba dan agak lama menyaksikannya. Begitu juga warna yang kedua. Selepas itu agak lama juga berada dalam kegelapan. Warna ketiga muncul sebentar sahaja. Menjelang akhir zikir iaitu bila Yim/ toklah tentunya menyuruh aku berhenti berzikir – beberapa warna muncul silih berganti, tapi sekadar yang begitu sebentar. Aku tak dapat nak istilahkan warna-warnanya.
`Cucu?’, Wan pula diminta.
`Cucu ada tiga. Merah, kuning dan putih’
Tok tidak pula menerangkan apakah maksud warna-warna itu dan kami pula tidak bertanya. Aku memang agak kesal juga kerana tidak bertanya apakah erti warna-warna itu dan nampaknya sampai bila-bilalah aku mungkin tidak akan mengetahui maknanya.
Selepas itu tok membicarakan soal Tasauf.
‘Begitulah kehidupan orang Tasauf ‘, tok berkata.`Asyek dengan berzikir.
Kalau cucu dapat mencari sebuah tempat kediaman yang jauh dari manusia ramai,kalau boleh di tepi anak sungai atau samada di pinggir bukit dan gunung atau di mana-mana sahaja asalkan jauh dari keriuhan ramai, tempat seperti itulah yang baik’
Tok yang datang adalah Guru.Justru bila Guru yang datang, kami bercakap dengan nada hormat dan tertib kerana demikianlah Guru.Kami tidak juga menyediakan makanan dan minuman kerana menyedari bahawa martabat Guru tidak lagi makan dan minum.
`Mandi, membasuh pakaian, mengambil wuduk dari air yang tidak disentuh oleh apa-apa adalah bagus untuk membersihkan jiwa. Cucu minum airnya dan berwudhuk darinya.Cucu tanam padi sendiri dan usahakan sendiri sehingga menjadi beras dan nasi. Cucu tanam sendiri sayur-sayuran dan pokok buah-buahan; bahkan semuanya atas usaha cucu, itulah yang teramat baik untuk jiwa kerana demikianlah cara hidup pengamal Tasauf sejati.’
Bicara dari Guru itu aku rasa memang ditujukan kepada ku kerana akulah satu-satu cucunya yang meminati Ilmu Tasauf.
`Adakah dato dulu begitu?’
Guru tersenyum memandang ku yang mengisyaratkan apa perlunya bertanya lagi.

19 Oktober 2010

79. Ijazah Guru dan Mahaguru

Pada pertengahan tahun 1979 ketika aku sedang melalui minggu orientasi mahasiswa di UM, dua hari sebelum minggu orientasi berakhir, Yim tiba-tiba datang bersama Piei memberitahu bahawa Mahaguru meminta semua cucu-cucunya berkumpul. Wan memang masih dalam cuti semester dan telah pun berada di Raub.Mahaguru mengarahkan berkumpul kerana beliau akan memperturunkan sekaligus ijazah semua persilatan panglima dan puteri kerana tahun 1980 telah pun hampir sedangkan sejumlah besar panglima belum lagi sempat memperturunkan ijazah masing-masing.
Pada ketika itu kalau aku tidak silap, kami berempat cuma baru menerima tak sampai pun jumlahnya 30 orang sedangkan jumlah yang aku ketahui termasuklah persilatan puteri hampir seratus orang. Jadi terpaksalah aku pulang ke Raub setelah mendapat kebenaran dari Pengetua Kolej Zaaba. Di Raub Mahaguru Ketiga telah menganugerahkan serentak ijazah persilatan semua panglima termasuk persilatan Petanda Pertama, Kedua dan Ketiga.Cuma ijazah Guru Ketiga, Kedua dan Pertama yang mesti diterima secara berasingan. Demikian juga ijazah dari Mahaguru Ketiga,Kedua, Pertama dan Mahaguru Terulung.
Yim agak terkejut kerana masih ada lagi rupanya panglima-panglima yang sangat hebat yang selama ini tidak diketahuinya. Sepanjang pengetahuannya nama-nama besar seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Panglima Hitam, Panglima Awang, Serban Hijau, Si Pitung, Si Gondrong dana beberapa orang lagi adalah yang terhebat. Rupa-rupa ada pula nama-nama baru yang selama ini bagai dirahsiakan seperti Panglima Halalintar, Panglima Melati, Panglima Kalimah, Panglima Lintar dan Panglima Bogor dari Indonesia yang digambarkan memiliki kehebatan yang mengatasi yang lain-lain.
`Kawan ingat, sudah habis semua panglma yang kawan terima. Rupa-rupanya ada lagi yang disimpan’,komen Yim.
`Apa kelebihan mereka?’
`Pantas. Kalau Tuah dan Jebat boleh melakukan 5 pukulan dalam satu sinaran kilat, mereka boleh membuat tujuh pukulan!’
`Cepatnya!’
Kami semua bagaikan bertambah gembira dan bangga dengan kurniaan tersebut untuk kami menghadapi 1980 tentunya.
Mengenai kehebatan mereka ini kami pernah merujuk kepada panglima yang lain.Mereka mengatakan walaupun pantas sehingga tujuh pukulan, tetapi kekuatan pukulan tidak sama.Yang lima pukulan memiliki kekuatan yang lebih. Ertinya kelebihan kepantasan dan kelebihan kekuatan pukulan adalah kelebihan dan keistimewaan masing-masing.Demikian penerangan dari dato-dato panglima apabila nama-nama panglima terhandal kami kemukakan kepada mereka.
Selain senarai panglima dengan nama-nama besar, terdapat pula nama-nama panglima seperti Selendang Merah, Selendang Putih, Selendang Hitam, Selendang Kuning, Panglima Dato Panglima.Panglima Galak, Panglima Jagat, Panglima Lang Hitam, Panglima Bongsu, Tok Man Hitam, Mamak Petanda Paduka Raja, Galak Hitam, Naga Rimba, Panglima Bunga, Panglima Wira, Panglima Kuntau Jawa, Kencana Putih, Pasak Kuda, Galak Hitam, Sayung, Panglima Gagak, Panglima Mamat, Panglima Sulung, Raden Wijoyo, Sumur Hitam, Panglima Galak dan sebagainya.
Setelah diijazahkan oleh Mahaguru Ketiga jumlah semua panglima ialah seramai 94 orang sementara puteri seramai 28 orang. Setelah tamat menerima ijazah persllatan panglima yang dianugerahan melalui Mahaguru Ketiga, kami berkumpul semula beberapa minggu kemudian untuk menerima ijazah dari Guru pula. Sewaktu menerima ijazah dari Guru Pertama, aku lantas bertanyakan kepadanya mengenai apa yang membezakan antara dia dengan Mahaguru Ketiga.
`Tentang silat memang tak banyak beza walaupun silat Mahaguru lebih tinggi. Tentang kebatinan pun sama.Cuma sewaktu ghaib.Ini yang tok kesalkan!’
Kami mendengar dengan kagum penjelasan Guru Pertama. Sebelum ini kami pernah bertanya kepada Yim mengenai apakah perbezaan di antara taraf panglima dengan Petanda. Yim menerangkan kelebihan Petanda ialah boleh membuat dua pukulan batin secara beriringan sedangkan panglima cuma sekali sahaja. Bila berlaku pertarungan panglima tetap dapat ditewaskan oleh Petanda oleh serangan kebantinan kedua yang pasti tidak dapat ditangkis.
Sementara kelebihan martabat Guru dan Mahaguru ialah boleh mebuat tiga pukulan batin secara berturutan.
Mengenai persilatan, kelebihan bagi persilatan darjat yang lebih tinggi ialah tidak banyak pergerakan. Martabat Guru dan Mahaguru hampir tidak perlu bergerak bagi menangkis serangan. Pergerakannya bagaikan seseorang yang sedang berjalan di lorong sempit yang sekadar menggesel-gesel atau menyelit-nyeit sambil mengelak; tapi serangan yang dilancarkan teramat hebat dan tidak mampu ditangkis.
`Perbezaan taraf yang dicapai oleh dato-dato semua, adakah dicapai melalui pertandingan?’, aku bertanya lagi.
`Memang! Dan inilah yang dato kesalkan kerana tidak dapat ghaib daripada pandangan Mahaguru sedangkan bila Mahaguru ghaib, tok tak dapat mengesan di mana dia berada’,demikian penjelasan Guru Pertama.
Setelah menerima ijazah dari Guru, beberapa minggu kemudian kami berkumpul lagi di Raub dan pada kali ini adalah untuk menerima pula jazah dari semua Mahaguru.Bila telah menerima ijazah semua Mahaguru, Mahaguru Terulung berkata:
`Silat tok jangan buat main-main’
Setelah menerima ijazah Mahaguru,kini ada sejumlah 132 ijazah persilatan yang kami terima. Inilah kekuatan perang tahun1980 yang akan turun ke medan untuk membunuh semua musuh-musuh agama – sesiapa sahaja yang tidak ada kalimah Allah di dahi – akan menjadi korban persenjataan zahir dan batin dari para wali, termasuk bayi yang di dalam buaian.....Inilah penjelasan dari tok.
Kami berada pada tahap kesediaan tertinggi. Maklumlah kami seakan-akan sudah melengkapi semua pakej peperangan. Ada cincin pembisa, ada tali pinggang merah, ada tangkal kuning, ada senjata yang akan tiba ke tangan kami bila kami memerlukannya dan senjata itu adalah senjata yang mengatasi segala senjata, ada pengapit dan ada persllatan 132 pemencak kebatinan. Yang terlebih utama ialah bila bertempur atau berperang kami akan ghaib dari pandangan musuh.
Kami sekarang – akulah tentunya - tidak lagi menghiraukan apakah bentuk kekuatan dan persenjataan musuh. Biar pedang, parang dan senapang, biar peluru, bom dan ..... Kami –akulah tentunya - tidak lagi peduli. Bila menerima semua kekuatan perang itu, bagaikan ternanti-nanti tahun 1980, tahun untuk mengembalikan maruh dan martabat Melayu dan Islam yang telah hilang dan tergadai di bumi sendiri.
`Kita akan rampas semula Pulau Sngapura cucu’, tok berkata dalam perbualan di suatu waktu yang lain.`Itu bumi Islam dan bumi Melayu, cucu. Kita akan rampas kembali nanti’
Aku cukup bersemangat dan bersedia demi bumi Melayu dan Islam.
TAPI PEPERANGAN TIDAK TERJADI DI MALAYSIA.
`Tok sangka alamat yang tok terima berlaku di sini....’,demikian komen tok dan komen itu memang mengecewakan ku kerana dengan begitu Tanah Melayu/Malaysia nampaknya akan terus-meneruslah ditadbir di bawah sistem Yahudi sehingga....entah bila!
Menurut tok, perang sebaliknya berlaku di Iran apabila kebangkitan Imam Khomeini – Ayatullah Ruhullah Khomeini - menubuhkan Kerajaan Islam Iran setelah meruntuhkan Maharaja Shah Iran – Shah Reza Pahlavi. Demikian komen tok apabila tahun 1980 hampir berakhir.

14 Oktober 2010

78. Solat Hakekat.

Guru Pertama melanjutkan huraiannya mengenai solat hakekat.
`Bila cucu berdiri untuk solat, tak perlu lagi membaca lafaz niat. Setelah mengosongkan diri terus sahaja angkat takbir raturihram dan lafazkan di dalam hati semasa bertakbir: `Esa Zat......’
`Bacalah dengan lambat dan tenang terutamanya Fatehah. Satukan lidah, otak dan hati....dari dalam. Tekan pada lafaz Allah hu Akhbar’, Guru Pertama berkata lagi.
Aku mendengar dengan cermat
`Satu perkara lagi cucu, masa syahadah.Selepas cucu melafazkan `Asyhaduallailla ha illallah’, syuhud penuh-penuh dan lembutkan jari tangan. Cuba buat’
Aku lalu membuatnya.Tok melihat aku membuatnya.
`Nanti cucu akan dapat rasakan tangan cucu akan menegang lalu jari telunjuk cucu akan bergerak dengan sendirinya. Biarkan dia bergerak’
Aku mencuba lagi melafazkan syahadah sambil syuhud.Tapi jari telunjuk ku tetap keras.Tak ada pula rasa apa-apa pada lengan dan jari-jari ku.
`Asuhlah selalu dan dalam nafas yang sama lafazkan pula `Muhammadar Rasulullah’, dan biarkan juga jari telunjuk bergerak dengan sendirinya’.
Aku mencuba beberapa kali tetapi ternyata jari telunjuk ku tetap keras dan tidak bergerak walau sedikit pun.
`Asuhlah. Gerakan yang cucu nanti rasakan bukan cucu yang menggerakkannya, tetapi itulah kuasa – Kuasa Allah.Ini berkaitan dengan silat yang cucu terima selama ini iaitu bersilat menggunakan kuasa Allah; bukan kuasa cucu’
Aku terasa cukup gembira bila mendapat limpahan ilmu ini.
`Sewaktu mengatakan Allahhumm masolliala....lepaskan nafas perlahan-lahan. Nanti.. bila sudah terasuh, di dalam hati cucu akan ada satu detakan...bukan bisikan.Bukan suara....Cucu beritahu atuk apa yang terdetak di dalam hati cucu nanti’.
Guru Pertama memandang ku dengan senyuman manis yang terukir di bibir.
`Ada lagi satu perkara iaitu apabila cucu selesai solat dan memberi salam. Salam ke kanan nampakkan kalimah.....dan salam ke kiri nampakkan kalimah......’
(Aku telah mendapat sentuhan gerak di jari telunjuk semasa bersyahadah dan memangnya istimewa. Demikian juga detakan di hati. Ini juga sangat istimewa.Bila aku melaporkan kepada tok, betullah apa yang aku telah perolehi itu.
Mengenai hal ini aku sedang menunggu seseorang – mudah-mudahan seorang Guru Mursyid yang boleh membicarakannya samada boleh digunakan atau bercanggah dengan hakekat yang sebenarnya. Semoga Allah Taala mempertemukan aku dengan Guru Mursyid)
`Satu perkara lagi cucu, bila cucu rukuk dan sujud bacalah tasbih sehingga sepuluh atau sebelas kali’.
`Tak mengapa lebih dari tiga kali, tok?’
`Orang sekarang tok tengok waktu rukuk dan sujud kadang-kadang sekejap sangat.Kadang-kadang tak ada takmaninah. Kalau tak ada takmaninah, setan gelak saja. Cucu tak tahu, waktu solat setan bertenggek di kepala. Sujud dan rukuk biarlah lama-lama supaya setan yang bergayut jatuh tersembam. Kalau tidak, setan ketawa berdekah-dekah sahaja.Itulah solat yang sia-sia”
Aku rasa cukup tertarik dengan penerangan dari tok itu. Setelah memberikan senyuman manisnya, tok meneruskan lagi:
`Bila iktidal cucu, bila sampai pada rabbana, angkat tangan berdoa. Bila siap sebutkan amin dan sapukan tangan ke muka.Lepas itu barulah sujud’
`Kenapa buat begitu, tok’
`Sebab itu adalah doa’
Aku agak ragu-ragu juga untuk menyapu tangan ke muka selepas iktidal sebab perbuatan sebegitu tidak menjadi kelaziman ramai.Tok terus tersenyum memandang ku.
`Selepas solat Maghrib dan Subuh, jadikan wirid membaca Qulhu sebanyak empat puluh empat kali atau tiga puluh tiga. Tok buat tiga puluh tiga kali’
Bila tok berpesan begitu, tahulah aku bahawa Mahaguru tentunya membaca empat puluh empat kali. Tok adalah bertaraf Guru jadi dia membaca tiga puluh tiga kali sahaja.
`Lagi satu perkara cucu’, tok melanjutkan.`Bila berdoa pejam mata dan mintalah di dalam qalbu’
(Mengenai doa di dalam qalbu saya telah melakukannya dan memang mengejutkan kerana ada hal-hal yang tak pernah terlintas di dalam minda terucap di dalam qalbu. Saya dapati Ihya juga ada menyarankan supaya berbuat demikian)

09 Oktober 2010

77. Tok Itam Minta Seluarnya Balik.

Bila waktu Maghrib hampir masuk, tok yang tadinya bersembang dengan aku, Dol dan Piei meminta izin untuk balik. Aku yang memang sentiasa cukup seronok bila saat-saat bersama tok, tiba-tiba mempelawa supaya tok bersembahyang di rumah sahaja.Memang sebelum ini ada sekali-sekala tok bersembahyang bersama kami. Selain Tok Hitam, Hang Tuah juga pernah. Tok Habib Noh bila datang memang menjadi imam.

`Tak boleh! Tok pakai seluar membajak.Tak bersih!’

`Tak apa! Tok boleh bersalin kain cucu Rahim’, Emi mencelah. Emi pun seronok kalau tok solat bersama.

`Ha! Betul tu! Kain cucu pun tak apa’, aku pula membuat tawaran.

Tok nampak termenung sejurus. Sejurus kemudian dia berkata.

`Boleh! Tapi cucu jadi imam’

Aku jadi tersentak dengan permintaannya. Aku belum pernah sekalipun dalam seumur hidup menjadi imam dalam sembahyang. Kami di rumah hijau sejak dahulu sehinggalah sekarang sembahyang sendiri-sendiri sahaja.

Aku termenung sebentar. Permintaan tok tersebut teramat berat buat ku tetapi dalam masa yang sama hati ku teramat ingin supaya tok ada bersama kami dan bersimbang lagi selepas solat Maghrib nanti. Dengan tok kami memang tak pernah merasa puas dan jemu. Sejak 1977 hingga sekarang 1979, bila tok datang tok akan sentiasa membicarakan hal-hal yang menarik – mengenai masalah kami, isu semasa, kesah-kesah tok pada zaman yang lalu, hal-hal agama dan sebagainya.

Tok menunggu jawapan dari ku yang masih ragu-ragu antara mahu atau tidak.Kalau mahu ,aku mesti menjadi imam solat Maghrib. Kalau tak sanggup jadi imam, tok akan pulang. Tok tidak pula meminta Piei dan Dol. Akhirnya aku membuat keputusan.

`Baiklah. Cucu akan cuba’, aku membuat keputusan yang berani.Sebelum ini bersama Tok Syed Noh memang kami telah diajar membaca surah al Fatehah dengan makhraj dan tajwid yang betul. Tok Man Misai yang menjadi guru Quran juga pernah membetulkan kami. Aku pun telah pernah membaca al Fatehah secara kuat yang didengari oleh rakan-rakan semasa Fatehah kami diperbetulkan oleh Tok Syed Noh. Jadi apa salahnya aku mencuba sekarang?

Kami mengambil wudhuk.Piei yang telah pun siap lebih awal membentang sejadah untuk kami solat Maghrib berjumaah. Tok dilayan oleh Emi untuk bersalin pakaian sembahyang – berkain pelikat dan berbaju Melayu, milik Yim.

Aku melaksanakan tugas buat julung kalinya menjadi imam. Tok Itam, Piei dan Dol menjadi makmum. Aku Berjaya melakukannya termasuk wirid dan doa sekali yang memang telah menjadi amalan ku. Pada ketika itu wirid dan doa yang aku amalkan rengkas sahaja.

Selesai solat kami bersimbang seperti biasa. Setelah kira-kira dua puluh minit bersimbang, tok lantas memberitahu dia mahu pulang. Kami pun mengizinkannya kerana menyedari tok memang ada banyak tugas. Pada malam-malam biasanya tok berzikir.

Selalunya bila tok akan pulang, dia akan terlebih dahulu akan berlam-salaman dengan kami sebagaimana juga sewaktu ketibaannya. Kami menanti tok menghulurkan tangan, tapi ternyata tok tidak menguhulurkan tangannya. Tiba-tiba tok berkata:

`Mana seluar tok?’

Kami tercengang.

`Seluar mana?’, aku bertanya dengan hairan.

`Selaur yang tok pakai tadi’

Kami tercengang buat kedua kalinya. Seluar mana? Kami terheran-heran.

`Kalau tok balik begini sahaja apa salahnya?’

`Heh! Tak boleh! Ini bukan pakaian tok’

Kami menjadi tercengang sekali lagi. Kenapa bukan pakaian tok sedangkan tok sedang memakai pakaian sekarang? Bukankah tok sedang berpakaian sekarang?

Bila melihat kami masih terpinga-pinga, tok lantas berkata lagi.

`Tok hendak seluar tok datang tadi. Seluar tok pergi membajak’

Pada ketika itu baharulah kami faham. Tok tadi datang dengan berseluar – pada mata kami seluar Yim, tapi pada hakekatnya seluar tok. Bila mahu bersembahyang tadi, tok bersalin pakaian baju Melayu dan kain sarung milik Yim. Jadi sekarang tok mahu balik seluar yang dipakai sewaktu kedatangannya tadi yang kami lihat ialah seluar Yim. Baharulah kamai faham kedudukan sebenarnya.

Emi yang telah mulai faham keadaan yang sebenar ketawa geli hati. Terpaksalah dia masuk semula ke dalam bilik dan mencari seluar yang Yim pakai tadi. Sejurus kemudian dia keluar semula membawa seluar yang dipakai oleh Yim sewaktu memanggil tok tadi.

`Ha! Inilah seluarnya. Inilah seluar yang tok pakai pergi membajak’

Tok lalu menanggalkan baju Melayu dan kain pelikat yang dipakainya dan digantikan dengan seluar. Selepas itu baharulah dia pulang.

04 Oktober 2010

76. Jumpa Tok Itam.

`Betulkah cucu jumpa tok pada malam tu?’, aku bertanya.
`Ha! Dah selalu minta nak jumpa, jumpalah’,tok menjawab.
Malam itu malam terang bulan. Aku tiba-tiba sampai ke sebuah kawasan seakan-akan sebuah sawah padi. Ada seseorang yang kelihatan sedang mara ke arah ku dari tengah-tengah sawah itu. Besar dan tinggi tubuhnya. Bila sampai di sisi ku ternyata, lembaga yang datang itu memang besar dan tinggi. Rasanya ketinggian ku memang sekadar paras dadanya sahaja.
Dalam hati aku berkata `inilah Panglima Hitam’.
Emi datang dari dapur membawa sedulang air. Ada juga sepiring kuih yang aku beli pada petang tadi di bandar Raub.Memang begitulah selalunya, bila berhajat akan memanggil tok, aku akan menyediakan juadah dan benda putih yang tok suka - Benson.
`Betul ke Mal ?’, Emi bertanya lagi bagi mengesahkan kebenaran mimpi ku.
Aku mengangguk kerana sebelum tok dipanggil, aku telah terlebih dahulu menceritakan kepada Yim dan Emi mengenai mimpi ku itu.Aku mahu tok dipanggil pada malam ini untuk mengesahkannya kerana memang sudah lama aku berhasrat dan beberapa kali pernah berdoa untuk berjumpa dengan Panglima Hitam.
`Tapi sekejap aje, tok !’, aku bagaikan mengesali diri.
`Ha! Dah cucu nak balik juga!’
Memang pada malam itu aku pun tidak tahu kenapa sebaik sahaja berjumpa aku tiba-tiba terus sahaja mahu balik.
`Apa yang dibualkan tok?’,aku bertanya setelah aku tidak ingat apa-apa mengenai apa yang aku dan tok bicarakan.
`Cucu tiba-tiba sampai. Cucu bagi salam, tok pun jawablah. Lepas itu cucu tanya,tok buat apa?Tok jawab, tanam padi.Bila tok pergi dekat cucu, adalah sembang satu dua patah lagi, tiba-tiba cucu kata nak balik. Tok cuba tahan, singgahlah kat pondok tok, minum-minum dulu, tapi cucu kata nak balik jugak.....Dah nak balik juga, baliklah....kata tok’
Aku memang kesal dengan saat yang teramat sejenak itu. Aku mengesali, kenapa aku tba-tiba mahu balik? Bukankah terlebih elok kalau kiranya aku dapat bersembang lama? Tapi kenapa terjadi begitu? Aku cukup kecewa.
Pada waktu awal-awal perkenalan dengan mereka dahulu, Yim yang tinggal sebilik dengan ku selalu bertanya pada pagi-pagi hari sebaik bangun dari tidur.
`Egkau ingat tak,Mal?’
`Ingat apa?’
`Cuba ingat-ingat’
`Tentang apa?’
`Malam tadi! Cuba ingat-ingat’
`Mimpi?’
`Ya! Mimpi malam tadi’
Aku berusaha megingati tapi tak ada apa-apa yang aku ingat. Sehinggalah Yim memberitahu ku.
`Malam tadi engkau pergi ke tempat tok. Puteri-puteri melayan engkau’
`Siapa?
`Puteri Gunung Ledang, Puteri Melor, Puteri Mayang Mengurai dan ramai lagi...’
`Aku buat apa?’
`Saja! Saja-saja.Bersembang-sembang’
Tapi aku memang tidak ingat apa-apa. Bukan sekali sebenarnya Yim bertanya soalan sedemikian. Beberapa kali sebenarnya, yang bermakna beberapa kali aku pernah di bawa ke tempat mereka, tetapi aku memang tak ingat apa-apa.Entahlah. Entah mengapa.
Ada dua kesempatan melihat Panglima Hitam.Padi kali kedua iaitu setelah aku memohonnya disebabkan aku tidak berpuas hati dengan mimpi yang pertama. Tok Itam sedang duduk. Aku berdiri di sisinya. Pada ketika itu aku memang dapat melihat wajahnya dengan lebih jelas dari sebelah kanannya.Kulitnya bukanlah hitam dari segi warna, tetapi berwarna hitam keperangan dan warna ini adalah hitam berbanding dengan warna-warna yang tidak kehitaman.
`Asyek tengok hidung kita aje!’, tok memberikan komen kepada ku yang memang pada malam itu aku syek melihat hidungnya yang besar dan mancung itu.
`Eee! Seronoknya dapat jumpa tok’, Emi mencelah.`Emi pun dah banyak kali berdoa nak jumpa tok.Tapi tak pernah dapat.Bila agak-agaknya, tok?’
Tok Itam sekadar tersenyum.
Rumah hijau tidak lagi seperti dahulu. Sekarang telah menjadi rumah kelamin campur bujang. Ini hanyalah buat waktu sementara sahaja kerana tak lama lagi aku akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya,mengikut jejak Wan yang telah terlebih dahulu melajutkan pelajaran ke USM. Keputusan STPM melayakkan aku melanjutkan pelajaran. Aku dapat keputusan yang agak cemerlang iaitu A bagi Sejarah, B bagi Bahasa Melayu dan dua subsidiari dengan Kertas Am kekal 3.
Bilik yang aku tinggal bersama Yim dahulu kini telah menjadi bilik Yim suami isteri, dan aku buat sementara tinggal d ruang terbuka tempat tidur Piei setelah Piei bertukar ke SMK.Jerantut.
Sebenarnya rumah hijau memang pernah beberapa kali menjadi tempat tidur Emi. Begitu juga Saedah. Semasa Yim sakit dahulu, Emi memang beberapa kali terpaksa di panggil dari Sungai Way untuk membantu merasionalkan kembali pemikiran Yim.Demikian juga Saedah, juga dalam usaha pemuiihan ingatannya. Bila Emi atau Saedah datang, akulah yang terpaksa membawa diri keluar bilik untuk memberi laluan kepada mereka. Bila mereka telah berumah tangga, aku jugalah yang terpaksa mengalah kerana itulah sahaja satu-satunya bilik yang berkunci pintunya di rumah hijau itu.
Dalaam hal ini Tok telah memberi pesanan sewaktu membina ikatan sesama kami dahulu, buatlah seperti adik-beradik; seperti saudara sendiri. Lantas demikianlah di hati ku tidak terniat walau sezarah pun rasa kecurangan. Aku rasa demikianlah juga Wan dan Piei.Kami beranggapan adik-beradik lima bersaudara.
Beruntungnya kami tidak disyaki oleh sesiapa walaupun beberapa kali aku, Wan dan Piei pulang berkumpul di rumah hijau bila ada apa-apa keperluan bersama, walaupun rumah berkenaan kemudiannya telah menjadi rumah kelamin. Tapi kami pun tahu, tok memang sentiasa mengawasi kami dan dapat menjenguk ke dalam hati kami. Kami pun memang dididik untuk memiliki hati yang lurus, berpegang kepada agama demi perjuangan agama.